Detikdaily

Ahad, 30 Disember 2007

Perang Besar Hanya Tinggal Beberapa Hari...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Walaupun 2007 berlalu tanpa menyaksikan pilihan raya umum ke-12, masih banyak adegan politik yang menarik dan berwarna-warni sifatnya dapat dirakamkan sepanjang tahun tersebut. Di samping menyuntik keinsafan buat diri bahawa baki usia kian pendek, tahun baru 2008 diramal menghidangkan pelbagai episod siasah yang lebih mendebarkan lagi. -->

Pastinya setiap parti-parti politik yang bakal bertanding mendakwa sudah bersedia menghadapi suara dan pilihan rakyat walaupun persiapan itu belum dapat ditingkatkan sepenuhnya. Semua akur bahawa tidak mudah buat parti-parti pembangkang menyusun gerak dan memperlengkapkan jentera untuk berdepan kerajaan Barisan Nasional.

Padang tidak sama rata sentiasa menjadi alasan bahawa kemenangan bukan menjadi teka-teki lagi. Dalam lain perkataan, pada hari penamaan calon lagi sudah dapat diagak siapa yang bakal menerajui kerajaan Pusat, cuma untuk beberapa negeri sahaja ramalan itu sukar untuk disahkan lebih awal, misalnya Kelantan dan Terengganu, dahulunya termasuk Pulau Pinang dan Sabah.

Dan inilah yang sering ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pilihan ketika mereka membuang undi kerana, katanya, parti-parti pembangkang tidak pernah menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif kepada BN. Secara terbuka Rashid memperlekeh dan menghina keupayaan pembangkang untuk menyaingi kehebatan BN.

Kemampuan pembangkang memberi saingan hebat terhadap BN

Pemimpin pembangkang tentu dapat mengemukakan sanggahan dalam bentuk fakta dan dokumen lengkap bagi menolak dakwaan Rashid itu. Malah, operasi tempang dan tunggang-langgang SPR yang diterajui Rashid adalah antara bukti nyata bahawa kemenangan besar BN selama ini adalah disumbangkan oleh banyak faktor manipulasi dan eksploitasi, selain penipuan terancang dan taktik kotornya sebagai penyandang.

Manakala bagi pemimpin Umno-BN, mereka berhujah, jika proses pilihan raya kita tidak adil, telus dan bebas, sebagaimana dakwaan pembangkang, sudah tentu PAS tidak berupaya menawan Kelantan (sebelum ini termasuk Terengganu), apatah lagi kemenangan pada 2004 itu hanya dengan kelebihan satu kerusi dan perbezaan undi pula sekadar dua sahaja. Jika BN mempunyai mekanisme canggih untuk menipu, pastinya PAS akan berputih mata di Kelantan empat tahun lalu.

Logika itu, bagi sebahagian orang, mungkin boleh diterima akal, walaupun ia dibuat dalam konteks yang salah. Penyelewengan perjalanan pilihan raya di Malaysia tidaklah sampai sehingga meletakkan kertas undi palsu ke dalam tong yang kemudiannya akan dijumlahkan bersama. Manipulasi itu melalui satu proses yang panjang dan terancang, misalnya melalui kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya, undi pos, pengundi hantu, mengundi berulang kali, politik wang, salahguna kuasa kerajaan sementara, selain penghakisan ketara elemen demokrasi berjalan lancar sebelum Parlimen dibubar lagi.

Saya tidak berhasrat untuk mengulangi segala ketempangan pengurusan pilihan raya kita yang sudah diketahui umum itu. Perarakan raksasa 100,000 anjuran Bersih pada 10 Nov lalu menyaksikan isu-isu berkaitan tuntutan pilihan raya adil dan bebas sudah dapat dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Tidak mudah untuk mengerahkan orang seramai itu dalam isu-isu yang tidak menyentuh hal agama atau sensitiviti kaum. Ia satu petanda positif yang cukup menjanjikan buat gerakan pemulihan demokrasi di Malaysia.

Apa yang ingin saya kongsi bersama adalah keupayaan dan kemampuan pembangkang untuk memberi saingan paling hebat kepada BN, seterusnya berusaha membentuk kerajaan alternatif ataupun menjadi pembangkang kuat yang berwibawa tinggi. Ketika mendedahkan seribu satu kepincangan sistem dan penipuan pemerintah, kita tentu yakin ada ruang yang masih boleh dimanfaatkan untuk menggerakkan perubahan itu. Ataupun, sejak awal kita sudah mengangkat bendera putih dan menyertai pilihan raya sekadar tidak mahu memberi kemenangan percuma buat BN?

Banyak dari aspek-aspek persiapan pilihan raya yang masih boleh kita perbaiki, yang mana ia terletak di bawah keupayaan kita, sama ada untuk mempertingkatkannya atau membiarkan kekal laih. Sebahagiannya tidak pun memerlukan perbelanjaan besar, seperti lebih mendekatkan diri dengan pengundi akar umbi, tetapi malangnya ia kerap kali diambil mudah, ataupun kita lebih asyik membicarakan hal-hal yang kita tidak boleh atau begitu sukar untuk mempengaruhinya. Justeru, lebih bermakna dan berfaedah jika kita dapat kenal pasti wilayah atau zon kritikal yang dapat kita kuasai dan dari situ sama-sama memikirkan jalan praktikal untuk mendekatkan kita dengan kemenangan.

'Temberang' Rashid dan asakan yang tidak tertanggungnya

Semasa terus mempertingkatkan tekanan kepada SPR, Rashid dan juga pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mewujudkan situasi lebih kondusif dalam pilihan raya, aktivis pembangkang tentu sudah bertungkus-lumus menyediakan prasarana berdepan "peperangan besar" ini. Ada aspek-aspek tertentu yang mana BN juga mempunyai kelemahan dan kedaifan, terutama apabila isu-isu semasa lebih memihak oposisi. Semua maklum bahawa wang, janji dan agihan projek pembangunan di saat-saat akhir kempen tidak boleh mengubah segalanya jiwa pendapat awam berjaya didekati.

Mendengar 'temberang' dan lenggok badan Rashid semasa memberikan ucaptama kursus anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Universiti Malaya, bertajuk "Memahami Perjalanan dan Proses Pilihan Raya Umum di Malaysia, 4 Dis lalu, saya dapat rasakan beliau menghadapi asakan yang agak tidak tertanggung.

Berulang kali beliau cuba menunjukkan bahawa segala serangan pembangkang terhadapnya langsung tidak meninggalkan kesan, namun lebih kerap Rashid bercerita bahawa tidurnya tidak terusik dengan hentakan Bersih itu, maka saya lebih percaya apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

Beliau turut meluahkan rasa tertekan dengan kritikan pihak antarabangsa terhadap sikap berat sebelah media sedangkan, katanya, SPR tiada kena mengena dengan apa yang dilaporkan itu. Justeru, saya kira, pembangkang dan juga gabungan Bersih harus terus-menerus menggandakan kempen penerangan kerana perubahan dalam sistem pilihan raya kita boleh dicapai jika asakan tidak terputus begitu sahaja.

Biarpun tarikh pilihan raya dijangka diumumkan dalam waktu terdekat, kempen "menjatuhkan" Rashid usah berkubur. Kita mesti membentuk satu penanda aras dan merakam sejarah bahawa keceluparan Rashid harus dihukum agar memberi teladan untuk pengerusi SPR berikutnya.

Saya turut tertarik dengan beberapa idea besar reformasi sistem pilihan raya kita, misalnya dengan merombak sistem First-Past-The-Post (FTPT) yang diamalkan sekarang, bagi mengelak manipulasi gerrymandering, kepada sistem alternatif yang mengambil kira nilai setiap undi, iaitu sistem Mixed Member Proportional (MMP) yang antara lain diamalkan di New Zealand dan Jerman.

Memang untuk menyebut nama-nama sistem ini pun agak mengelirukan, tetapi untuk jangka panjang, dalam dua atau tiga kali pilihan raya akan datang, aktivis pembangkang dan NGO harus bersedia untuk melakukan kempen besar-besaran bagi melaksanakan perubahan lebih mendasar. Pengkaji seperti Wong Chin Huat adalah orang yang sepatutnya dirujuk dalam hal ini.

Amat tidak berbaloi apabila sebahagian besar tenaga, kudrat, fikiran dan wang ringgit dihabiskan pihak pembangkang hanya untuk memastikan mereka tidak ditipu oleh BN dan juga SPR.

Sepatutnya tumpuan untuk membersihkan Daftar Pemilih dan mengenal pasti taktik penipuan lawan - daripada hari penamaan calon sehingga masa mengira undi - boleh dialihkan kepada kerja-kerja asas kempen, terutama untuk membentangkan manifesto, mewajarkan program alternatif, menjelaskan isu-isu dan menyanggah kritikan BN. Inilah bahananya apabila SPR menjadi perkakas buat Umno-BN, bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara, pihak polis dan lain-lain jabatan kerajaan.

Sebenarnya pembangkang juga terpaksa menghanguskan begitu banyak dana bagi menghadapi pilihan raya yang penuh ketempangan ini. Mungkin kehilangan wang ringgit itu tidak terasa kerana ia dikutip daripada "poket ahli-ahli parti" dan sumber-sumber tentu. Idealnya, lebih baik sejumlah besar dana dan keringat aktivis itu , secara terancang, dikumpul dan digembleng lebih awal bagi menekan kerajaan untuk membuat perubahan sistem pilihan raya. Harus diingat, tidak cukup dengan itu, tanpa pengorbanan besar (kita baru dikhutbahkan tentang korban Ibrahim dan Ismail), impian hanya layak menjadi mainan tidur sahaja.

Mungkin ada pihak akan menempelak saya bahawa sekarang bukan masa untuk kita bertegang leher soal tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Kini masa cukup suntuk untuk membina persiapan selengkapnya, bukan sekadar berdepan gabungan parti-parti politik tetapi satu ketumbukan padu pemerintah-kerajaan yang terjalin secara tidak bermoral.

Sejauhmanakah maklumat di 'alam maya' dapat dirakyatkan?

"Perang besar" hanya tinggal "beberapa hari" sahaja lagi, bukan "beberapa bulan", apatah lagi "beberapa tahun". Tumpuan mesti difokuskan kepada latihan petugas, pemantapan logistik, memenuhkan tabung, menggerakkan operasi MTD dan lain-lain lagi aspek teknikal dan taktikal. Rasanya calon-calon juga sudah dikenal pasti berdasarkan kriteria terpilih. Semoga elemen negatif dalam soal pemilihan calon yang menjadi wabak dalam BN tidak berjangkit kepada PAS terutama di kubu-kubu kuat, seperti Kelantan.

Pilihan raya ke-12 sememangnya menjanjikan harapan tinggi buat pembangkang. Kali ini tiada persempadanan semula. Era bulan madu Perdana Menteri baru seperti pada Mac 2004 sudah lama berakhir, sebaliknya banyak isu-isu berkaitan personaliti Abdullah, menantunya Khairy Jamaluddin, juga anak-anak dan kaum kerabatnya menikam balik BN.

Kalau dulu Dato' Seri Anwar Ibrahim terperosok di penjara, kini beliau dapat mengetuai jentera pembangkang meskpun masih tidak dibenarkan bertanding. Gabungan pimpinan baru PAS selepas era Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dilihat semakin mantap dan matang. DAP juga tidak lagi melatah untuk bertembung sesama pembangkang. Selain itu, lebih banyak NGO muncul untuk mendokong suara perubahan.

Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan fenomena baru dunia siber, bukan sekadar fungsi ajaib laman-laman web seperti pernah mengejutkan pilihan raya 1999, tetapi juga kehadiran blog, webtv dan YouTube, selain kamera digital serta alat komunikasi canggih. Memang ia bukan lawan setanding kepada sebaran meluas akhbar-akhbar arus perdana dan siaran radio-tv, namun jika kandungannya berkualiti tinggi, mencetuskan banyak pendedahan baru yang berasaskan penyelidikan mendalam, jentera kempen BN akan menghadapi serangan balas yang mungkin mereka sendiri tidak menduga kehebatannya!

Saya tidak begitu risau soal penguasaan teknologi terkini oleh aktivis pembangkang untuk menghadapi serangan fitnah pemerintah. Malah, dalam banyak hal, seperti yang kita saksikan di bangsal panas semasa hari pengundian, parti pembangkang lebih ke depan menggunakan peralatan moden. Yang menjadi kebimbangan ialah sejauh mana segala maklumat dan pendedahan yang tersimpan di "alam maya" itu dapat dirakyatkan sehingga mengetuk setiap pintu rumah pengundi, termasuk di ceruk pedalaman.

Mampukah, dalam tempoh kempen paling singkat, pengundi mendapat maklumat dan penerangan sewajarnya, selain menangkis sebarang tuduhan liar BN yang bermaharajalela ketika itu? Ketika pengundi Tionghua - yang mudah akses kepada internet, manakala akhbar Cina sendiri lebih waras berbanding Berita Harian dan Utusan Malaysia -- dikatakan bersedia mengundi pembangkang, masyarakat Melayu pula masih menghadapi gejala jurang maklumat yang serius, membuatkan emosi mereka lebih mudah digoda propaganda murahan Umno.

Seharusnya persiapan ditumpukan bagi mengetuk dan membekalkan bahan kempen kepada setiap rumah di segenap taman, kampung, jalan dan lorong. Biar rakyat dapat membuat penilaian seadilnya selepas mereka mempunyai maklumat yang cukup tentang parti, calon dan isu-isu berbangkit di waktu kritikal menjelang hari mengundi. Mekanisme untuk merakyatkan maklumat itu tidak mudah digerakkan jika perancangannya belum dimasakkan lagi.

Ya, masa semakin suntuk namun peluangnya masih terbuka, dan cabaran Harakah serta Harakahdaily memainkan peranan efektif dalam perang besar yang tinggal beberapa sahaja lagi itu kian terasa gigitannya ...

Rabu, 26 Disember 2007

Hak berhimpun tidak boleh disekat Akta Polis

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

Pakar undang-undang dan perlembagaan, Profesor Abdul Aziz Bari menegaskan kerajaan tidak boleh marah jika ada pihak yang menyifatkan kualiti demokrasi di negara ini sangat rendah. -->

Katanya, amalan demokrasi di negara lain membenarkan perhimpunan aman dan kebebasan bersuara, berpersatuan di kalangan masyarakat sivilnya.

Tetapi di Malaysia, ia sebaliknya kerana kerajaan menutup ruang berhimpun dengan menggunakan Akta Polis sebagai penghalang kepada hak yang sebenarnya terjamin dalam perlembagaan, katanya semasa ditemuramah Harakah baru-baru ini.

"Sepatutnya perhimpunan aman seperti anjuran Bersih tidak diganggu oleh polis dan rekod gangguan ini sebenarnya telah lama berlaku; termasuk ketika mahasiswa mengadakan demonstrasi di ibu negara pada Disember 1974 dahulu.

"Hak mengadakan himpunan aman itu adalah hak yang dijamin dalam negara demokrasi. Ia bukan hak yang diberi atas dasar belas ihsan oleh pemerintah.

"Sama ada isu atau rungutan itu wajar atau sebaliknya adalah soal lain dan pihak polis bukan pihak yang sepatutnya diberi tanggung jawab untuk menangani perhimpunan aman itu," tegasnya yang juga Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM.

Menurut Aziz, hak berhimpun terjamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ini menunjukkan bahawa hak ini bukan ihsan pihak berkuasa kerana ia adalah hak yang penting yang dijamin oleh perlembagaan. - mks.

Khamis, 13 Disember 2007

Suruhanjaya Siasatan 'Pita Lingam' : Mahfuz persoal integriti Haidar

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar hari ini mempersoal wibawa dan integriti Tan Sri Haidar Mohamed Noor yang diumumkan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan 'Pita Lingam'. -->

menggambarkan bahawa suruhanjaya itu secara keseluruhannya dipertikai integritinya.

Haidar didakwa pernah dikaitkan dalam kes mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika Haidar menjawat jawatan sebagai pendaftar.
Percaturan

"Saya melihat bahawa ianya membawa persoalan kepada integritinya sebagai Pengerusi memandangkan beliau juga menjadi hakim dalam era tersebut," katanya.

Pelantikan Haidar ini amat diragui dan timbul persoalan samada kenaikan pangkat Haidar ini ditentukan oleh percaturan yang mungkin dibuat oleh VK Lingam dan Vincent Tan, dakwa Mahfuz.

Meskipun katanya Nama Haidar tidak disebut dalam perbualan 'Pita Lingam' namun, kesangsian tetap timbul kerana sebagaimana yang didedahkan dalam pita tersebut, ada kemungkinan pelantikan hakim sebelum dan selepas dari tahun 2002 (ketika perbualan VK Lingam dirakam) ada kaitan dengan percaturan yang dibuat.

Ambil pandangan Sultan Azlan Shah

Justeru itu keanggotaan Haidar sendiri boleh disangsikan dan beliau juga melihat kenyataan kerajaan bahawa pelantikan itu dibuat setelah mendapat perkenanan dari Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-raja Melayu adalah amat disangsikan.

Ini kerana katanya, kali terakhir Majlis Raja-raja Melayu bersidang ialah ketika memutuskan soal kedudukan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Justeru selepas dari itu hingga kini, Majlis Raja-raja Melayu belum bersidang lagi, dan kenyataan kerajaan bahawa keanggotaan suruhanjaya itu telah dirujuk kepada pihak Istana adalah meragukan.

"Kita tidak mahu proses ini dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Yang di-Pertuan Agong dengan saranan yang mungkin tidak menyeluruh dan kurang tepat.Ia memerlukan perbincangan dari Majlis Raja-raja," katanya.

Beliau melihat bahawa pandangan tokoh undang-undang dalam Majlis Raja-raja Melayu seperti Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah dalam melantik kenaggotaan suruhanjaya ini amatlah penting.

Tindakan tegas, rombak organisasi kehakiman

Sehubungan itu beliau mendesak bahawa kedudukan Haidar dikaji semula.

Mengulas mengenai skop siasatan suruhanjaya itu beliau melihat segala keputusan dan hasil siasatan jika benar berlakunya penyelewengan, satu tindakan tegas perlu dibuat.

Tindakan tersebut termasuklah merombak semula organisasi kehakiman yang wujud hari ini dan dengan itu juga Suruhanjaya Kehakiman perlu ditubuhkan bagi tujuan itu, katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) menyarankan agar skop siasatan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes 'Pita Lingam' tidak terlalu tertumpu kepada soal kesahihan rakaman sahaja.

Sebaliknya kata Tian Chua suruhanjaya itu perlu menyiasat isu penyelewengan yang terdedah dalam pita itu dan penyelewengan-penyelewengan yang 'mungkin' berlaku sejak pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily hari ini untuk mengulas isu keanggotaan suruhanjaya dan skop siasatan badan berkenaan.

skop sempit, perlu diperluas

Mengulas lanjut perkara itu Tian berkata, dari laporan akhbar hari ini, beliau melihat bahawa skop siasatan suruhanjaya terlalu sempit.

"Kita sokong tuntutan Majlis Peguam Malaysia yang mahu suruhanjaya memperluaskan skop siasatan semua penpenyelewengan yang berlaku sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Tun Salleh Abbas.

"Ini kerana kita percaya bahawa pendedahan skandal kehakiman dalam video klip VK Lingam ini hanya sebahagian sahaja kes penyelewengan membabitkan badan kehakiman, dan siasatan perlu diperluaskan lagi merujuk kepada isu-isu terdahulu sebelum ini yang mana kita tidak mendapat gambaran secara jelas mengenainya," katanya.

Sementara itu beliau juga mempersoalkan pelantikan Haidar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan memandangkan Haidar sendiri dilihat 'kurang wibawa' dalam keanggotaannya semasa mengemudi Panel Bebas menyiasat kes yang sama.

Kata Tian Chua, KeADILan mempersoalkan mengapa individu seperti Haidar dan Dato' Mahadev Shankar sekali lagi dilantik menggangotai suruhanjaya sedangkan mereka telah menggangotai Panel Bebas sebelum ini.

"Dalam hal ini saya melihat timbulnya keraguan terhadap kebolehan anggota suruhanjaya termasuk Pengerusinya," katanya.

Enam nama diumum anggotai suruhanjaya

Semalam, enam anggota Suruhanjaya Diraja telah diumumkan bagi menyiasat kes klip video memaparkan imej seorang dikatakan peguam sedang berbual menerusi telefon mengenai pelantikan hakim, diberi waktu tiga bulan untuk menyiapkan siasatan.

Suruhanjaya Diraja itu yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor akan menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video, mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video tersebut dan kepada siapa dia sedang bercakap serta orang yang disebut dalam perbualan itu.

Lima anggota lain suruhanjaya itu ialah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mahadev Shankar; bekas Peguam Cara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh; ahli sejarah, Prof. EmeritusDato' Dr. Khoo Kay Kim dan Dato' Abdullah Sani Abdul Hamid, sebagai setiausaha suruhanjaya.

Haidar dan Mahadev merupakan anggota panel khas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut yang ditubuhkan pada 25 September lalu selain aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, pelantikan Haidar bersama lima ahli itu berkuat kuasa 12 Disember 2007.

Siasat salah laku

Menurut kenyataan itu, tugas lain suruhanjaya tersebut ialah menyiasat dan menentukan kebenaran isi kandungan percakapan dalam klip video tersebut, menentukan sama ada terdapat apa-apa salah laku oleh mereka yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video tersebut.

"Suruhanjaya itu juga perlu mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video itu sekiranya didapati telah melakukan sebarang salah laku," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, Suruhanjaya Diraja tersebut perlu menyiapkan siasatan dan mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan mulai hari ini.

"Jemaah menteri yang bermesyuarat pada 5 Disember lalu telah berbincang dan bersetuju dengan keanggotaan suruhanjaya itu, bidang tugas dan tempoh siasatan.

"Perkara-perkara tersebut disembahkan untuk perkenan Seri Paduka dan Seri Paduka telah memperkenankan penubuhan suruhanjaya itu di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119)," kata kenyataan itu.

Panel khas dipengerusikan oleh Haidar yang diberi tempoh kira-kira sebulan untuk menyiasat klip video itu sebelum ini, telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Tiga menteri pula iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kemudiannya dilantik oleh Kabinet untuk meneliti laporan panel khas itu.

Dalam pada itu, Haidar yang kini Pengerusi Bumiputra-Commerce Bank Bhd. pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching.

Steve, 67, yang berasal dari Kuching pula memiliki ijazah Sarjana Undang- Undang dengan kepujian dari University of Brussels, Belgium dan pernah bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kuching.

Mahadev pula pernah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berada dalam tahanan polis pada 27 Januari 1999.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada April 2000 untuk tempoh dua tahun dan berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi selama 11 tahun.

Zaitun Zawiyah, 57, berasal dari Ipoh, Perak dan telah bersara pada 27 April 2006.

Beliau sebelum itu pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa, Ketua Bahagian Sivil dan Ketua Bahagian Pendakwaan.

Kay Khim, 70, merupakan rakyat Malaysia pertama yang memperoleh falsafah kedoktoran (PhD) dari Fakulti Sastera UM dan pernah menerbitkan dua buku.

Sementara itu, Abdullah Sani, 55, yang memegang jawatan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri sejak 28 Disember 2006 memiliki ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Awam dari American University, Washington DC. -->

Rabu, 12 Disember 2007

Bersih 'menang', kesemua tahanan bebas!

Oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Hrkh) - Pembebasan kesemua 24 tahanan bermula petang sehingga malam semalam merupakan satu kejayaan pusingan pertama Bersih sekaligus menutup tirai 'pesta penangkapan' di parlimen semalam. -->

Lapan daripadanya telah dibebaskan lebih awal adalah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali; Penganalisis pilihan raya Malaysia, Wong Ching Huat; Koordinator Suaram, Yap Swee Seng; wakil CIJ,V. Gayathri; Mien dan Pengurus Pengiklanan Harakah, Mokhtar Rozaidi kira-kira jam 6 petang.

Manakala, baki 16 yang lain antaranya terdiri daripada Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, AJK PAS Pusat Dr Lo' Lo Haji Ghazali dan Dr Mohd Nasir (PSM) telah dibebaskan seoarng demi seorang bermula jam 8.45 malam.

Menurut kenyataan Suaram kepada Harakahdaily, kesemua yang terlibat dikehandaki melaporkan diri sekali lagi di Mahkamah Jalan Duta pada jam 9 pagi, 18 Disember 2007 (Selasa).

Walaupun berlaku penangkapan, namun objektif Bersih tercapai apabila berjaya mengadakan sidang media di pekarangan lobi parlimen pada jam 11.40 pagi tadi dan serentak dengan itu menyerahkan memo Bersih kepada ahli-ahli parlimen pembangkang untuk disampaikan kepada ahli parlimen yang lain termasuk Perdana Menteri.

Memo tersebut secara asasnya membantah pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk melanjutkan perkhidmatan Pengerusi SPR daripada 65 kepada 66 tahun yang dipercayai mempunyai motif untuk memberi peluang kepada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjawat jawatan itu semula.

Seterusnya secara tidak langsung Bersih beranggapan bahawa pelanjutan perkhidmatan Rashid adalah untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang dan menafikan peluang pembangkang untuk menang serta dalam masa yang sama mencabul hak rakyat untuk mengundi secara bijaksana dalam pilihan raya kelak. - mks.

Pemimpin PKR, PAS ditangkap depan Parlimen

KUALA LUMPUR: Polis hari ini 11/12/07 bertindak meleraikan satu perhimpunan haram penyokong Bersih yang didalangi parti pembangkang, yang mengingkari perintah mahkamah melarang mereka daripada berhimpun di bangunan Parlimen.

Dalam gerakan itu, polis menahan 12 orang di beberapa lokasi sekitar situ, termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang membolosi sekatan polis di laluan utama menghala ke bangunan Parlimen.

Tian Chua yang menaiki sebuah kereta dilaporkan membolosi sekatan polis di di Jalan Parlimen, berhampiran pintu masuk utama ke Parlimen sementara seorang lelaki yang bersamanya di dalam kenderaan tersebut turut ditahan.

Menurut polis, turut ditahan ialah Setiausaha Agung PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim [foto atas] dan anggota jawatankuasa PAS pusat Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali .

Polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), ditempatkan di beberapa lokasi berhampiran bangunan Parlimen pagi ini dan memeriksa kenderaan yang menghala ke pintu utama Parlimen.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman memberitahu pemberita, polis terpaksa bertindak menahan beberapa peserta perhimpunan haram itu mulai pukul 9 pagi setelah mereka berdegil untuk memasuki kawasan Parlimen.

Semalam polis Kuala Lumpur mendapat perintah mahkamah bagi melarang penyokong Bersih daripada berkumpul di bangunan Parlimen, konon bagi kumpulan itu menyerahkan satu memorandum yang membantah satu rang undang-undang pindaan perlembagaan yang dibentangkan hari ini. BERNAMA

PAS Kedah anjur ceramah khas 'Peristiwa Tangkapan Mohamad Sabu'

Oleh Helmi Khalid

KUALA KEDAH, 11 Dis (Hrkh) - Detik-detik cemas, pilu dan ganasnya polis dalam peristiwa penangkapan Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu, 9 Disember lalu di Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai akan didedahkan kepada umum. -->

Melalui ceramah khas 'Peristiwa Tangkapan Mohamad Sabu' yang akan diadakan di Pejabat PAS Kawasan Kuala Kedah di Kubang Rotan, kesemua empat mangsa tahanan yang kebetulan aktivis PAS di Kuala Kedah bakal menceritakan kembali detik tersebut.

Mereka terdiri dari, jurukamera tvPAS.com, Mohd. Fakhri Ahmad, aktivis Bersih, Abdul Razak Sentu, Muhd Subri Mohd. Said dan Mohamad Haji Salleh pimpinan PAS Cawangan di Kampung Sungai Baru dan Kubang Rotan Hilir, dekat sini.

Mereka ditahan polis atas tuduhan mengganggu tugas penjawat awam ketika polis cuba menahan Mohamad Sabu di plaza tol berkenaan.

Menurut Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah, Haji Aris Awang, ini adalah peluang masyarakat terutamanya di sekitar Bandaraya Alor Star ini untuk mendengar sendiri kisah yang bakal disampaikan oleh tahanan.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu, kesemua mereka ditahan dan dibawa menaiki kenderaan polis ke Balai Polis IPD Seberang Perai Selatan, Jawi, di tahan semalaman di lokap balai berkenaan sebelum dihadapkan ke mahkamah keesokan harinya.

Di mahkamah, mereka diarahkan pulang semula ke lokap IPD berkenaan memandangkan pihak mahkamah belum bersedia memulakan sebutan kes bagi tangkapan itu.

Dari lokap balai, mereka yang bergari, sekali lagi dibawa ke mahkamah Majistret Jawi sebelum dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM 2500.00 setiap seorang. Mereka adalah antara yang ditahan bersama Mohamad Sabu.

Butiran ceramah akan dimaklumkan kemudian. - mks

Mohamad Sabu dan 16 yang lain bebas dengan ikat jamin

Oleh Azamin Amin KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Setelah menunggu hampir 12 jam di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, akhirnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama 16 yang lain telah dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 9.30 malam tadi. -->


Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, masing-masing telah dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Gobalakrishnan dikenakan ikat jamin sejumlah RM3,000.
Selain itu dua orang yang didakwa telah dikenakan ikat jamin sejumlah RM1,000 memandang mereka masih di bawah umur, masing-masing berumur di antara 16 dan 17 tahun manakala bakinya dikenakan ikat jamin sejumlah RM2,000 seorang.

Kesemua ikat jamin berjumlah RM39,000 telah dibayar secara tunai di kaunter ikat jamin di pejabat pendaftar mahkamah B1 jam 8.00 malam.

Turut hadir sama Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi; Anuar Tahir,Ronnie Liu (DAP) dan para penyokong sekitar 50 orang beserta puluhan wartawan.

Sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah memohon supaya mahkamah menolak permohonan ikat jamin daripada para peguam Orang Kena Tuduh (OKT) dengan alasan kesalahan yang mereka lakukan adalah serius.

Namun setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak termasuk Peguam PAS, Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad Sabu dan 10 yang lain, Peguam DK Ganesan (Gobalakrishnan) dan Ranjeet Singh (Tian Chua), Hakim Rozana Ali Yusoff menolak permohonan Ghani tersebut dan telah memberi keputusan kira-kira jam 7.15 malam tadi.

Bagaimanapun, kesemua 17 yang dibebaskan dengan ikat jamin akan dibicarakan pada 11 hingga 13 Februari tahun hadapan.

Kes yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2 itu bermula agak lewat kira-kira jam 4.31 petang memandangkan Ghani Patail sedang melakukan pendakwaan terhadap kes yang berbeza di Mahkamah Sesyen 1 berhubung kes penangkapan 5 peguam dan 4 aktivis yang melakukan perarakan di pusat membeli belah Sogo menuju ke bangunan Bar Council sempena Program Festival Hari Hak Asasi Manusia semalam. - mks.

Isnin, 10 Disember 2007

3 tragedi 9 Disember: Malaysia menuju sebuah Negara Polis

Oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

PAS melihat beberapa insiden yang berlaku pada hari ini dengan penuh kebimbangan dan menegaskan bantahan sekeras-kerasnya terhadap apa yang berlaku itu. -->

Pertama: Tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang enggan memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS, iaitu Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berikutan Perisitwa Hitam Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 September, 2007 lalu.

Keenganan memberikan ikat jamin kepada kedua-dua ahli PAS ini sangat luar biasa sedangkan semua kes yang dituduh terhadap mereka dibenarkan ikat jamin. Menurut rekod kedua-dua mereka adalah mangsa yang ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis dalam kejadian tersebut.

Dalam kes ini juga PAS berdukacita atas keputusan Peguam Negara yang bertindak sendiri sebagai pendakwa dalam kes yang disebut di di peringkat Mahkamah Sesyen ini.

Kedua: Penangkapan terhadap lima orang peguam dan tiga aktivis yang sedang meraikan hari Hak Asasi Sedunia di Kuala Lumpur anjuran Majlis Peguam Malaysia pagi tadi. Turut ditahan adalah seorang ahli Majlis Peguam kerana menghalang pihak DBKL dari menurunkan sepanduk perayaan tersebut.

Tindakan pihak polis melakukan penangkapan dalam majlis aman dan memperingati "Hari Hak Asasi Sedunia" seumpama ini sudah pasti mencacatkan lagi rekod hak asasi negara yang telah sedia tempang dan tercemar.

Ketiga: Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Naib Presiden PAS, Hj Muhammad Sabu di Ipoh, ketika beliau sedang membawa rombongan perkahwinan anak perempuan beliau di sana. Beliau ditahan kononnya kerana menyertai perhimpunan haram.

Berikutan tindakan-tindakan ini PAS menganggap kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mula bergerak ke arah sebuah "Negara Polis" (Police State) dan tidak lagi menjunjung sistem demokrasi yang merupakan asas Perlembagaan Persekutuan kita.

Saya menyeru semua ahli-ahli PAS di seluruh negara khasnya diperingkat kawasan-kawasan agar menunaikan solat hajat dipimpin oleh para ulamak peringkat masing-masing, dengan memohon ke hadrat Allah SWT agar menghapuskan segala bentuk kezaliman ini dan menyelamatkan kita semua dan negara tercinta ini dari angkara buruk kerajaan Barisan Nasional yang jelas membelakangkan demokrasi dan hak asasi itu.

Perhimpunan Bersih: Mat Sabu, Tian Chua dan 12 lagi ditahan

Polis hari ini melancarkan gerakan menahan dua pemimpin tinggi pembangkang dan berbelas orang lagi yang mengambil bahagian dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu.
Pemimpin terkemuka PAS, Mohamad Sabu ditahan di Perak manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula ditahan di Johor.Ketika dihubungi pada jam 4.45 petang tadi 8/12/07, isteri Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini bahawa suaminya sedang dibawa oleh polis dari Ipoh ketika beliau selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya.
Manakala Tian Chua pula ditahan di luar pejabat Suaram di Johor Bahru pada jam 5.15 petang oleh sepasukan polis dari Kuala Lumpur.
Seorang pemimpin PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengesahkan tangkapan para penyokong Bersih di beberapa buah negeri.Seramai 14 orang ditahan mengikut Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram.
Sepuluh daripada mereka ditangkap lebih awal ekoran perhimpunan tersebut dan dibebaskan dengan ikatjamin polis.Ikatjamin mereka berakhir pada hari Isnin dan mereka yang ditahan hari ini dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.
Difahamkan majoriti mereka yang ditahan itu adalah anggota pasukan pengawal dari parti PAS yang ditugaskan untuk mengawal lulintas dan menjaga disiplin orang ramai ketika perhimpunan anjuran Bersih itu.
Gerakan tangkapan hari ini diadakan menjelang satu lagi perhimpunan yang dirancang diadakan Selasa ini di mana Bersih mahu menyerahkan memorandum bantahan kepada Parlimen.
Bersih mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan yang dijadual dibentangkan pada hari berkenaan, yang jika diluluskan, akan membolehkan tempoh perkhidmatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dilanjutkan setahun lagi.
Pindaan tersebut bertujuan melanjut tempoh perkhidmatan anggota SPR kepada 66 tahun.
Larangan perhimpunanPada 10 November lalu, kira-kira 40,000 orang menyertai perhimpunan Bersih untuk menuntut diadakan pilihanraya yang bersih dan adil.Mereka berhimpun di luar Istana Negara dan memorandum telah diserahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wakil istana, sebelum bersurai secara aman.
Walaupun perhimpunan itu pada umumkan berjalan secara aman, tetapi pihak polis bertindak menembak gas pemedih mata dan pancutan air kimia untuk menyuraikan orang ramai di stesen LRT Masjid Jamek.
Menurut laporan, 29 orang ditahan sewaktu perhimpunan tersebut dan 24 daripadanya dibebaskan pada hari yang sama.
Perhimpunan Bersih itu diikuti oleh satu lagi perhimpunan tiga minggu kemudiannya di mana 30,000 penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) membanjiri Kuala Lumpur kerana membantah dakwaan berlakunya diskriminasi kaum dan agama.
Minggu lalu, 31 penyokong Hindraf didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dalam perhimpunan 25 November, di mana 16 daripada mereka turut menghadapi menyertai perhimpunan haram.Tindakan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan berterusan hari ini apabila lapan orang, termasuk lima orang peguam, ditahan kerana menyertai perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia di Kuala Lumpur.
Di samping itu, difahamkan, pemimpin PKR, N Gobalakrishnan akan menjadi orang yang ke-32 didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok atas tuduhan cubaan membunuh, berkaitan dengan perhimpunan Hindraf itu.

Sabtu, 8 Disember 2007

Tukar segera, jangan lanjut khidmat Rashid - Bersih

Oleh Azamin Amin
'Remove Rashid! Don't RUSH IT for RASHID!' adalah slogan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam kenyataan media hari ini yang mengecam sikap biadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menghina Presiden PAS dan keputusan mahkamah baru-baru ini. -->

Bersih menyelar tindakan dan kenyataan tidak profesional Rashid yang semakin mengundang kemarahan terutama parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili sebahagian besar masyarakat di negara ini.

"Bersih mengecam sikap Rashid yang 'menyerang peribadi' (personal attack) Parti PAS, Presiden PAS, Harakah dan menghina keputusan mahkamah kes Likas termasuk mendakwa Hakim Dato' Muhammad Kamil Awang sebagai berat sebelah, kecewa dengan kerajaan sehingga memberi keputusan seumpama itu,"kata jawatankuasa Bersih Dr Zulkifli Ahmad yang membacakan kenyataan media Bersih di sidang Media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

"Bersih memprotes pindaan Perlembagaan Selasa ini di Parlimen untuk melanjutkan umur persaraan Pengerusi SPR dari usia 65 ke 66 bagi membolehkan Rashid terus berkhidmat," katanya di hadapan puluhan wartawan.

Turut hadir sama dalam sidang media tersebut ialah AJK PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Nawawi,Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua, Koordinator Parti Sosialis Arutchelvan Lee Thye Yoo (Youth4change) dan Zul(Citizen Intank).
"Don't Rush it for Rashid dan semata-mata untuk membolehkan Rashid menjadi Pengerusi SPR lagi," kata Dr Zul.

Tian Chua juga berpendapat ramai lagi calon yang berwibawa yang boleh menggantikan Rashid dan tidak bersetuju sama sekali kerajaan melalui Parlimen terpaksa secara tergegas-gesa meminda perlembagaan tersebut demi untuk mengekal khidmat Rashid yang semakin diragui kewibawaannya oleh rakyat.

Antara tokoh lain yang dicadangkan Bersih bagi menggantikan Rashid ialah bekas-bekas Hakim yang telah bersara yang mendapat kepercayaan penuh daripada rakyat keseluruhannya.

Cadangan Bersih ini seiring dengan Perkara 114 (1) dan (2) Perlembagaan yang menjelaskan: "SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja ... Pada melantik ahli-ahli SPR, Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."

"Selasa (11 Disember) jam 11 pagi nanti di Parlimen, delegasi Bersih akan menyerahkan memo membantah pindaan tersebut yang bakal dibacakan dan surat mengenai penyerahan memo itu serahkan akan kita hantarkan kepada Yang Dipertua hari ini juga," kata Syed Azman.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyerahan memo tersebut bukanlah perhimpunan rakyat secara besar-besar seperti yang pernah di anjurkan Bersih pada 10 November lalu.

Usul tersebut buat kali pertamanya dibentang secara tergesa-gesa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 20 November lepas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz dan akan dibacakan kali kedua pada 11 Disember ini, kata Tian dan Bersih mahu menteri terbabit menimbang semula dan menarik balik usul tersebut.

Dalam sidang yang sama Aru menjelaskan bahawa di bawah kepimpinan Rashid, pilihan raya 2004 menjadi antara pilhanraya umum paling buruk dan 'terkotor' dalam sejarah dan sekiranya membenarkan lagi Rashid menjadi pengerusi maka pilihan raya kan datang akan turut tercemar dan tidak diyakini prosesnya.

"SPR sudah hilang kredibiliti kerana mempunyai pengerusi seperti Rashid dan jika Rashid masih menjadi pengadil kita khuatir pilihan raya kita tidak akan bersih dan imej SPR akan terus menjunam," katanya.

Antara petikan kata-kata Rashid yang mencetuskan kontroversi sewaktu sesi soal jawab di Kursus Kenegaraan Malaysian Press Institute (MPI): Media dan Pilihanraya Umum di Universiti Malaya 4 Disember lalu ialah:-

"Hakim itu sendiri tidak periksa...dalam one side, hakim itu sendiri 'bias' (berat sebelah). Hakim itu 'got frustrated with certain things' dan dia gunakan ini untuk pukul kerajaan bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"That was a biased penghakiman.Semua orang bersetuju 'it was biased' penghakiman. Dia tidak melibatkan pengundi hantu,"katanya merujuk kes pilihan raya kecil Likas, Sabah.

"....I sendiri 'get frustrated with this'. Ini manipulasi keadaan just untuk capai kemenangan dari sudut politik. Itu sebab saya tak keluar menjawab. Tak boleh jawab. "Dia ada akhbar dia...yang amat adil...Harakah. Dia ada Harakah maki hamun kat orang. Itu adillah tu. Saya tak ada," katanya mengkritik Harakah

Di kesempatan itu juga Rashid membidas Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi Awang yang pernah bertemu beliau di pejabat SPR di Putrajaya tempoh hari.

"...Haji Hadi datang hari tu meeting dengan saya, diluar kata ada 500,000 pengundi hantu, semuanya mengundi...orang pakai serban besar pakai jubah..macam mana ni?Kalau saya kata... orang dia akan kecik hati pulak kata tok guru dia...tak pelah biarlah dia jawab esok..." katanya seterusnya mengakhiri ucapannya dalam sesi soal jawab di kursus tersebut. -->

Matematik dan Sains dalam BI: Pihak mana berkeras?

Oleh Dr. Shafie Abu Bakar
Selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih teraju pemerintahan Negara pada akhir Oktober 2003 sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Dr. Mahathir, kita menjangkakan beliau memulai pentadbirannya dengan beberapa kejutan yang melonjakkan namanya dan penghormatan rakyat terhadapnya.
Salah satu kejutan yang diharapkan ialah penarikan balik pengajaran Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di sekolah rendah – juga bahasa ibunda bagi sekolah Cina dan Tamil, tetapi sayang tidak dilakukan!

Sesungguhnya sejak Dr. Mahathir melalui kabinetnya mengambil keputusan mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains pada pertengahan 2002 lahir penentangan-penentangan baik dari pendukung kerajaan yang diperintah oleh BN, maupun dari pembangkang terhadap keputusan tersebut.
Sidang parlimen yang berlangsung pada Jun 2002 misalnya dihangatkan oleh penentangan terhadap keputusan yang dibuat kabinet.
Pejuang-pejuang bahasa dari kalangan Umno merasa amat tidak berpuasa hati, tetapi terpaksa memendam rasa. Ahli-ahli parlimen dari Pas seperti Datuk Dr. Hassan Ali (Pas – Parit Buntar), Sdr. Mahfuz Omar ( Pas – Pokok Sena) , Dr. Syed Azman Syed Ahmad (Pas – Kuala Terengganu) merupakan antara yang membantah penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains.

Isu ini menjadi isu utama bagi Pas di dalam pilihan raya kecil bagi Parlimen Pendang dan Anak Bukit berikutan kematian Ustaz Datuk Fadzil Noor Presiden Pas pada 24 Jun 2002.
Oleh kerana perubahan dilakukan secara mengejut tanpa kajian dan perancangan, maka kekacauan dan kekeliruan berlaku.
Misalnya Timbalan Menteri Pendidikan pada masa itu Datuk Abdul Aziz Shamsuddin mengumumkan pada (27 Jun 2002) bahawa peperiksaan mata pelajaran Matematik dan Sains pada peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM mulai tahun 2003 dikehendaki dijawab di dalam bahasa Inggeris.
Pengumuman yang dianggap dengkal, mengejut dan menjadikan orang ramai, khususnya ibu bapa dan mereka yang terlibat dengan pendidikan dan peperiksaan berkenaan ribut dan menjadi tumpuan bantahan, Timbalan Menteri berkenaan terpaksa pula membuat keputusan mengejut lagi, tanpa perancangan dan mengelirukan (28 Jun 2002) bahawa soalan-soalan peperiksaan di dalam kesemua peringkat peperiksaan di atas akan disediakan di dalam dua bahasa – Melayu dan Inggeris, tetapi calon dikehendaki menjawab di dalam bahasa Inggeris!

Arahan yang dianggap tidak rasional dan bercanggah dengan kaedah normal pendidikan ini, kononnya bagi mengatasi kelemahan pelajar-pelajar, terutama di luar bandar di dalam penggunaan bahasa Inggeris.
Tetapi pendekatan yang lebih rasional berikutan dari bantahan-bantahan diterima Kementerian Pendidikan mengumumkan pada 12 Julai 2002 bahawa semua peperiksaan pada semua peringkat akan terus menggunakan bahasa Melayu. Pembelajaran matapelajaran Matematik dan Sains bermula dari tahun satu 2003. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan itu menyebut.

"Ini bermakna penggunaan bahasa Inggeris di peringkat UPSR akan diadakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris pada tahun 2008, PMR (2005), dan SPM serta STPM (2004)." Kenyataan itu menambah, "pelajar dan ibu bapa tidak perlu khuatir mengenai perkara ini." (UM 13 Julai 2002: 1).

Menurut kenyataan di atas, sehingga tahun tersebut kertas-kertas soalan Matematik dan Sains akan disediakan di dalam dwi-bahasa.
Tetapi dari segi praktiknya penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains hanya bermula pada tahun 2003 bagi tahun satu dan peperiksaan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya bagi dua matapelajaran tersebut bermula 2008 dan meningkat seterusnya dari tahun ke tahun.

Punca Mewajibkan Penggunaan Bahasa Inggeris

Adalah dikatakan punca awal yang membawa kepada keputusan mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains kerana Dr.Mahathir banyak berdepan dengan pegawai-pegawai tadbir dan diplomatiknya yang tidak cekap menggunakan bahasa Inggeris di dalam urusan-urusan yang memerlukan penggunaan bahasa tersebut terutama dalam hubungan dengan pegawai-pegawai dari luar Negara dan taklimat-taklimat kepada mereka.
Dr. Mahathir membuat komen berhubung dengan kelemahan ini pada 6 Mei, 2002 dan berjanji untuk menghidupkan kembali 'English Medium Schools', jika masyarakat menghendakinya, tetapi tanpa membawa kepada perundingan empat hari selepas itu beliau telah mengumumkan bahawa matapelajaran Sains dan Matematik akan diajar di dalam bahasa Inggeris di semua sekolah mulai 2003 (The Sun, Nov. 19-20, 2005: 9).

Tindakan ini dianggap tidak tepat kerana ia melibatkan perubahan dasar pelajaran kebangsaan yang sewajar tidak diubah secara sewenang-wenang.
Masalah pegawai yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris yang diperlukan di dalam kerjaya mereka hendaklah diatasi dengan kursus, latihan dan pendedahan dengan suasana kerja mereka.
Sedangkan pemaksaan secara mengejut terhadap anak-anak menguasai bahasa Inggeris di dalam bidang yang bersifat teknikal dan di luar dari budaya mereka adalah satu beban dan pemaksaan terhadap mereka dan juga guru-guru.
Penguasaan bahasa cara terbaik ialah melalui pengajian bahasa dan sastera. Pengajian dan penguasaan terhadap bahasa Inggeris tidak memerlukan masa berpuluh tahun. Cukup melalui kursus-kursus di dalam bidang berkenaan di dalam tempoh terhad.
Tindakan kerajaan merubah secara drastik mendapat bantahan dari pejuang-pejuang bahasa, rasa tidak puas hati daripada ibu bapa dan resah dari kalangan guru sendiri.
Ini menyebabkan Menteri Pendidikan pada masa itu, iaitu Tan Sri Musa Mohamad mau semua pihak menghentikan daripada membuat spekulasi mengenai pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Menurutnya: "Laporan daripada pelbagai sumber yang tidak jelas, kurang tepat dan khusus itu boleh mengelirukan keadaan dan membimbangkan orang ramai," katanya, "Jawatankuasa yang diketuai Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat telah menyiapkan laporan mengenai cadangan itu dan akan mengemukakan beberapa saranan".
Tan Seri Musa menambah, "Rakyat tidak perlu bimbang kerana pihaknya mengambil kira pandangan pelbagai pihak supaya tidak menganiaya pelajar." (BM, 14 Julai 2002: 4).

Kecelaruan dan kebimbangan tentang bagaimana perlaksanaan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris ini tiba pada kepastian apabila laporan cadangan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada 19 Julai 2002 dengan laporan media sebagaimana berikut:

"Kuala Lumpur. Fri, - Science and Mathematics will be taught in English in phases from next year in all national schools, Prime Minister Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad said tonight," kenyataan itu berkata, "However no decision was made on whether the move would include national-type Chinese and Tamil schools," Selanjutnya kenyataan itu menambah, "the cabinet`s decision that the two subjects be taught in English was to enable Malaysians to master Science and Matemathics, essential for the country in its quest to reach developed nation status." (NST, Saturday, July 20, 2002: 1).

Keputusan kabinet di atas bererti tidak meyakini bahasa Melayu mampu mendukung keilmuan seperti Matematik dan Sains walaupun terbukti setelah hampir 40 tahun bahasa tersebut digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti-universiti di negara ini termasuk bidang Matematik dan Sains menyerlahkan kejayaan.
Kabinet juga berpendapat bahawa untuk mencapai tahap negara maju hendaklah menggunakan bahasa Inggeris.
Pendapat ini mencanggahi realiti kemajuan dari Negara dan bangsa yang tidak menggunakan bahasa Inggeris, tetapi menggunakan bahasa nasionalnya sendiri seperti Jepun, Korea, Rusia, German dan lain-lain.
Dapat juga ditambah tidak ada patriotisme dan kemegahan dari pihak pembuat keputusan terhadap bahasa Melayu.
Berhubung dengan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains berikutnya turut dikehendaki melaksanakannya di sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (UM, Selasa 6 Ogos 2002: 11).

Apa yang Terjadi

Penukaran mengejut secara boldoza tanpa melalui sebarang kajian dan pilot projek mengakibatkan timbulnya problem-problem seperti ketiadaan guru berkelayakan mengajarkan Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris.
Begitu juga tiadanya buku-buku teks di dalam bahasa Inggeris. Lantaran terpaksa diberi kursus ad-hoc kepada guru-guru Matematik dan Sains mengajar di dalam bahasa Inggeris, tetapi kursus-kursus sedemikian tidak dapat melahirkan guru yang dapat mengajar secara memuaskan di dalam bahasa Inggeris.
Usaha membuat modul dan program pengajaran dan penyampaian dalam bahasa Inggeris melalui laptop terpaksa dilakukan.
Peruntukan yang besar yang tidak pernah diumumkan terpaksa dikeluarkan.
Sementara itu timbul rasa tidak puas hati dari kalangan guru-guru sendiri sehingga Najib Tun Razak terpaksa memberi amaran, bahawa guru-guru usah tanam bibit kebencian terhadap pemimpin-pemimpin (MM, Ahad 14 Julai 2002: 4),
Bagi memujuk guru-guru yang tertekan dengan paksaan mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris maka mereka dipujuk seperti mengadakan insentif dengan elaun kritikal sebanyak 5%, elaun khas bagi guru-guru yang mengajar mata-mata pelajaran tersebut didesa dan kenaikan bagi yang berkelayakan dari DG 3 kepada DG 2.

Sementera itu ratusan juta kewangan dibelanjakan bagi buku-buku Matematik dan Sains yang telah diterbitkan di dalam bahasa Malaysia selama ini menjadi sia-sia dan beratus juta pula terpaksa dikeluarkan untuk menerbitkan buku-buku di dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua matapelajaran tersebut. Ini tidak termasuk kos bagi melatih guru-guru berkenaan di dalam bahasa Melayu sebelum dan bahasa Inggeris berikutnya.
Selain dari itu kerjasama antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei di dalam bidang bahasa melalui Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) bagi menghasilkan istilah-istilah Sains termasuk Matematik menjadi sia-sia.

Paling dahsyat penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains, dalam masa jangka panjang akan melumpuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu.
Kemampuan dan kejayaan yang telah ditunjukkan oleh bahasa berkenaan di dalam Matematik, Sains dan bidang-bidang keilmuan yang lain di universiti-universiti tempatan sejak 40 tahun yang lepas akan terbengkalai, sedangkan sejak pertukaran pengajaran dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris sejak 2003-2007 tidak menunjukkan kemajuan yang menggalakkan.
Di dalam penilaian PMR 2006 kurang daripada satu perempat peratus yang menjawab soalan peperiksaan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, sedangkan bagi tahun sebelumnya yang menjawab melalui bahasa Inggeris adalah satu pertiga, berikutnya peningkatan yang menjawab melalui bahasa Melayu ialah 46.2%, manakala yang menjawab dalam kedua-dua bahasa (bercampur) ialah 29.7%.
Bererti pelajar lebih selesa menjawab di dalam bahasa Melayu. Dengan menggunakan bahasa Inggeris di dalam matapelajaran Matematik dan Sains tidak pula meningkatkan kemampuan pelajar berbahasa Inggeris. Pada tahun 2005 pencapaian pelajar di dalam bahasa Inggeris ialah 73.8%, manakala bagi tahun 2006 menurun kepada 71.4% (The Star, Saturday 30 Dicember 2006: N8).

Bantahan Terhadap Penggunaan bahasa Inggeris Dalam Matematik dan Sains

Majoriti penduduk Negara ini menolak penggunaan bahasa Inggeris bagi Matematik dan Sains kerana dari kajian saintifik menunjukkan pembelajaran melalui bahasa ibunda lebih memberi kefahaman dan kesan pada pelajar. Ini adalah penemuan UNESCO yang membuat kajian yang dibiayai oleh Bank Dunia 1997 (The Sun, Nov. 19-20, 2005: 9)

Antara penolakan secara berorganisasi dari kalangan orang Melayu dan individu ialah.

* Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kali ke 1V yang berlangsung di UPSI pada September 2002 yang menghantar perwakilan menemui Perdana Menteri dan menyarankan dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.

* Kempen Dewan Bahasa dan Pustaka yang diketuai Datuk Rahim Bakar bagi mengumpul satu juta tandatangan membantah penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains.

* Kongres Kepentingan Bahasa yang bersidang pada 16-17 Disember 2005 di Universiti Teknologi Malaysia dihadiri 1,200 perwakilan mewakili 100 pertubuhan NGO yang antaranya mendesak dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains di dalam bahasa Melayu.

* Kongres Pendidikan Melayu ke 2 yang diadakan di Kuala Lumpur pada April 2006 yang dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang melahirkan kebimbangan setengah juta anak Melayu akan tercicir dan mendesak dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.

* Perhimpunan Agung Umno kali ke-58 di PWTC Nov. 2007 baru-baru ini melalui usul dibentangkan oleh Wakil Badan Perhubungan Negeri Johor, Senator Mohd Fuad Zarkashi mendesak agar pengajaran Matematik dan Sains dikembalikan kepada bahasa Melayu dan mendapat sokongan perhimpunan.

* Tokoh-tokoh yang lantang menentang penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains ialah seperti, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Professor Dr. Nik Safiah Karim, Tan Sri Ainuddin Wahid, Profesor Datuk A. Bakar Hamid, Profesor Zainal Abidin Wahid, Profesor Dr. Awang Sariyan, Prof. Dr. Nur Hashimah dan beberapa lagi.

Antara penolakan secara berorganisasi dari kalangan orang Cina ialah:

* Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zhong)
* Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
* Kesatuan Guru-Guru Besar Sekolah Cina se Malaysia*
Dewan Perhimpunan Cina Malaysia

Usul-usul Mesyuarat Perwakilan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Peringkat Kebangsaan di Malaysia ialah:

Hendaklah dikekalkan pengajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah dalam bahasa ibunda dan hendaklah ditingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan menggunakan pendekatan yang efektif dan releven (MM, Ahad 4 Ogos 2002: 7).

Berikut dengan pendirian organisasi-organisai dan pertubuhan-pertubuhan Cina yang penting di Malaysia ini, maka MCA parti politik terbesar yang mewakili orang-orang Cina di Malaysia mengambil keputusan dan pendirian bahawa:

"Ahli Jawatankuasa Pusat MCA sebulat suara memutuskan untuk menentang cadangan Kerajaan menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di semua sekolah rendah jenis kebangsaan Cina bermula tahun depan." (Berita Minggu, Ahad 20 Oktober 2002: 1).

Oleh kerana orang-orang Cina bersatu menentang dan menggugat kemahuan pihak tertentu di kalangan pemerintah yang tetap maukan Matematik dan Sains diajarkan di dalam bahasa Inggeris, maka Perdana Menteri ketika melawat UPSI mengeluarkan amaran kepada kumpulan orang Cina yang membantah penggunaan bahasa Inggeris dan mereka diingatkan, "Jangan main api!", kerana pihak pemerintah akan menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan, jika isu dibangkitkan boleh menimbulkan huru hara di Negara ini (BM Ahad 11 Ogos 2002: 1).

Tentangan tidak saja secara terpisah, tetapi terdapat kerjasama antara kaum di dalam membantah misalnya pada 2 Julai 2002 bertempat di Kuala Lumpur sebanyak 20 buah persatuan Melayu-Cina mendesak kerajaan membatalkan penggunaan bahasa Inggeris bagi Matematik dan Sains. Begitu juga pihak Dong Jiao Zong di Kajang pada Sabtu 9 Disember 2005 dengan kerjasama NGO seperti GAMIS, Solidariti Mahasiswa Malaysia, Suaram Johor, Persatuan Dravidian Malaysia dan Malaysian Indian Youth Council dihadiri tiga ribu peserta mendesak agar membuat kajian kesan pengajaran Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris, juga mendesak agar bahasa ibunda digunakan di dalam pengajaran.

Siapa Berkeras Mau Gunakan bahasa Inggeris?

Jika rakyat dari Melayu, Cina dan India, NGO dan organisai-organisasi menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajarn Matematik dan Sains, maka siapa sebenarnya yang beria-ria mempertahan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains? Mereka ialah:

* Dr. Mahathir Muhammad yang mencetuskan idea supaya menggunakan bahasa Inggeris di dalam pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains dan diluluskan oleh kabinet pada masanya. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hingga kini masih mengekalkan polisi ini dan belum bercadang menarik balik polisi ini.

* Golongan koporat dan ahli perniagaan yang merasa selesa dengan cadangan dan mempertahankannya. Golongan koporat memang berlagak dengan gaya kelas tersendiri yang melambangkan kemewahan dan segala urusan dianggap tidak standard jika tidak menggunakan bahasa Inggeris.

* Kalangan ahli politik dari pihak pemerintah yang enggan memberi respon terhadap desakan mengembalikan pengajaran bahasa Melayu bagi matapelajaran Matematik dan Sains. Apa reaksi Datuk Seri Najib terhadap cadangan Kongres Pendidikan Melayu kali kedua sebagaimana dilaporkan:

"Najib dismissed speculation that the government would reverted to teaching Mathematics and Science in Bahasa Malaysia. It`s too early to decide because a policy cannot be changed hastily. Whatever decision we make will be based on a through study``. (NST, Monday March 28, 2005: 2).

- Menteri Pelajaran Malaysia Datuk Seri Hishammuddin dilaporkan berkata:

"We should not be shy to say English is a Malaysian language". (NST, Tuesday, August 16, 2005: 1). Beliau juga dilaporkan, "Pressure has been building on Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein to shift the policy on using English for Mathematics and Science subjects but he seems determined to stay on course". (Sunday Star, 25 November 2007: F34). Pendirian yang sama berlaku pada masa Tan Sri Musa Mohamad menjadi Menteri Pelajaran dan Tan Sri Zahid menjadi Menteri Pelajaran, bahkan Tan Sri Zahid yang diamanahkan menyediakan laporan Pengajian Tinggi yang dikenali dengan laporan Zahid mencadangkan bahasa Inggeris hendaklah digunakan sepenuhnya dalam pengajaran di pengajian tinggi.

Pengamal media tempatan yang menggunakan bahasa Inggeris, kerana dengan penggunaan dan pengembangan bahasa Inggeris makin memperkukuhkan kedudukan mereka. Contoh gesaan dari the Sun agar ``Keep English for Science and Mathematics`` (The Sun, Tuesday November 20, 2007: 16).

Apa yang Dituntut

Matematik dan Sains hendaklah diajar dalam bahasa Melayu (ibunda). Namun semua yang menuntut baik dari institusi, kongres, persidangan, NGO dan orang perseorangan tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Peningkatan bahasa Inggeris hendaklah dilakukan menurut pendekatan yang releven dan sesuai di dalam pengajaran bahasa tersebut. Pengajian di dalam Matematik dan Sains bersifat teknikal dan tidak banyak membantu meningkatkan bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu berwibawa di dalam bidang keilmuan. Kejayaan penggunaannya terbukti di pengajian tinggi sejak hampir 40 tahun lepas. Penukaran pengajian Matematik dan Sains dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi akan memandulkan bahasa tersebut dan hanya menjadi bahasa kelas bawahan

Malaysia semestinya mempunyai tradisi, nilai, budaya dan jati diri sendiri yang dimegahkan, termasuk mempunyai bahasa dan dasar pelajaran yang tersendiri, Malaysia tidak seharusnya bersifat duplikasi dan carbon copy kepada Negara tertentu. Kita perlu mempunyai jati diri dan identiti tersendiri dan mampu bersaing di dunia globalisasi.

Kesimpulan

Rakyat banyak dari berbagai kaum mau matapelajaran Matematik dan Sains kembali diajarkan di dalam bahasa Melayu. Tidak ada cacatnya penggunaan bahasa tersebut di dalam bidang keilmuan selama ini. Bahasa Melayu terbukti mampu menjadi bahasa ilmu.

Tetapi bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dan pendekatkan yang relevan perlu dibuat. Mereka yang berkeras mau menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains sebenarnya dari kalangan orang dalam yang boleh disifatkan sebagai harapkan pagar, pagar makan pagi. Tekanan hendaklah terus dibuat agar mereka berubah sikap dan menerima kehendak rakyat dan jika mereka terus berdegil turunkan mereka dari tampuk pemerintahan melalui kuasa rakyat. Rakyat berhak mendaulatkan bahasanya sendiri sebagai bahasa ilmu yang menjadi jatidiri dan kemegahan mereka.

Bangi,

20 Zulkaedah 142830 November 2007.-->
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut