Detikdaily

Rabu, 30 Januari 2008

Calon Umno K'tan: 10 muka lama digugurkan

Oleh Muda Mohd Noor
Ehsan Malaysiakini

Sepuluh muka lama, termasuk tiga ketua Umno bahagian, telah digugurkan daripada senarai calon Umno kelantan bagi pilihanraya umum akan datang.

Tiga ketua Umno terbabit ialah Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas), Datuk Nik Mohd Zain Nik Omar dan Datuk Hashim Safin (Tanah Merah).

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, Umno negeri telahpun menghantar senarai nama calon kepada ibu pejabat Umno.

Senarai tersebut, katanya, akan diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk dipertimbangkan.

Abdul Rahim yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu di Parlimen Pasir Mas, tewas kalah kepada calon PAS, Ismail Noh; Nik Zain pula kalah kepada calon PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Parlimen Pengkalan Chepa) manakala Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh digugurkan atas faktor usia.

Berikutan itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Dali Hussein yang juga Ketua Pemuda Pengkalan Chepa, disenaraikan untuk bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa.

Naib Ketua Umno bahagian itu, Rahim Mohd Zain dijangka menjadi calon Umno menentang Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di DUN Chempaka.

Timbalan Ketua bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mat Yassin dijangka bertanding di kawasan Parlimen tersebut, manakala Ketua Pemuda Pasir Mas, Ahmad Rosdi Mahamad bertanding di Pasir Mas.

Perubahan juga berlaku di Parlimen Pasir Puteh di mana Adun Selising Amran Mohd Noor dijangka bertanding di kawasan Parlimen tersebut.

Ahli Parlimen sekarang, Datuk Che Min Ahmad dijangka bertanding di DUN Limbongan yang kini diwakili calon PAS, Drs Zainuddin Awang Hamat.

Pemangku Ketua Pemuda Bachok, Mohamad Sidek dijangka bertanding DUN Perupok dalam Parlimen Bachok.

Manakala calon wanita pula ialah Ketua Wanita Tanah Merah, Datin Suhainie Deraman untuk DUN Kemahang dan Ketua Wanita Machang, Datin Safiah Ali (DUN Temangan).

Memo kepada PM sempena pilihan raya


Oleh Ali Bukhari Amir

Ini sepucuk surat daripada seorang warganegara Malaysia kepada Perdana Menteri, Presiden Umno-BN dan waris turunan anak cucu dua orang ulama. Yang termaktub di dalam surat ini adalah persoalan berdasarkan kedudukan dan jawatan-jawatan tuan di atas.

Syukur kepada Allah. Sembah salam buat junjungan besar penghulu kita, Muhammad s.a.w.
Amma Ba'du …
-->
Tuan yang dimuliakan …

Tidak berapa lama lagi, kita semua akan berdepan dengan pilihan raya bagi menandakan kita ini demokrasi (kununnya demokrasi yang bersih!). Ketika Bersih menuntut perjalanan pilihan raya yang bersih, tuan menganggap perhimpunan di jalanan itu sebagai suatu pemberontakan!

"Apa yang mereka mahukan lagi?" kata tuan dalam Perhimpunan Agung Umno tempoh hari. "Mereka mahu memberontak ke atas kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat secara amalan demokrasi."

Hati-hati tuan dengan ucapan itu. Pertamanya, tentang ayat "inilah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat." Keduanya, ayat "secara demokrasi."

Pada saya, selama 50 tahun belakangan ini, kerajaan ini dipilih bukan hanya oleh rakyat, tetapi juga telah dipilih oleh 'mayat'! Jadi, ini bukan tulen demokrasi. Mayat-mayat ini menjadi suatu lembaga zombi yang tiada perasaan dan boleh dibeli oleh puak puaka kapitalis.

Demokrasi – Plutokrasi

Jadi, ini adalah sebuah negara demokrasi zombi. Demokrasi yang dibeli oleh kapitalis. Secara jelas, inilah negara yang dinamakan demokrasi–plutokrasi. Dalam Kamus Dewan, plutokrasi bermaksud penguasaan politik yang dimonopoli oleh golongan kaya, kapitalis dan pemodal.

Kedua, dipilih 'secara demokrasi'. Demokrasi ini tak tulen, banduan-banduan di penjara yang berhak mengundi tidak dibenarkan mengundi. Satu kemujuran bagi pihak tuan apabila Bersih tidak sedar untuk menuntut agar banduan kita keluar mengundi.

Mereka memang bersalah, tapi hak mengundi tetap ada pada hakikatnya. Adam telah berdosa kerana memakan buah larangan. Tetapi, hal dosa tidak membatalkan status khalifah. Jadi, jika anak cucu Adam berdosa, status khalifahnya tidak terbatal dan haknya menaikkan khalifah dan berbai'ah (mengundi) tidak boleh dinafikan dalam negara yang kununnya demokrasi.

Sekali lagi, mujurlah Bersih tidak menyedari dan sedikit alpa tentang hal ini. Selamatlah tuan dengan 'berkat' ketidaksedaran rakyat ini. Hal pemahaman mengenai dosa Adam yang tidak membatalkan kekhalifahan ini tentu menelan 100 halaman jika mahu didebatkan. Jadi, biarlah saya bunuh lebih awal pandangan ringkas itu di sini. Kita lanjutkan hal lain.

Di atas tadi telah saya jelaskan secara ringkas kedudukan Malaysia sebagai negara demokrasi–plutokrasi, iaitu sebuah negara model demokrasi yang dikuasai golongan pemodal kapitalis.

Dalam buku The Best Democracy Money Can Buy (kalau tidak salah ingatan saya), pengarangnya Greg Palast menulis mengenai pilihan raya Amerika yang penuh curang di mana nama 'felon' banduan telah dijadikan aset untuk membawa pengundi hantu mengundi dalam pilihan raya.

Adakah ini juga cara di Malaysia? Saya tak tahu. Bagaimanapun, saya pernah terdengar cerita di mana dalam pilihan raya pertama lagi, kes 'orang mati' boleh mengundi semula dan hal ini tersiar di akhbar perdana. Seorang pensyarah mengesahkan hal ini dan saya mahu kaji hal ini.

Tuan …

Kita pernah diserang Siam, Inggeris, Belanda, Jepun, dan Portugis. Tapi, ada satu 'ilmu' yang diajar penjajah terakhir (British) yang tak sempat diajar oleh penjajah yang sebelumnya. Siam, Belanda, Jepun dan Portugis tak sempat menurunkan ilmu menipu dalam pilihan raya ini.

Berasaskan pengesahan pensyarah itu, saya yakin Britishlah yang mengajar 'Founding Fathers of Malaya' tentang hal menipu bersikap curang dalam membentuk pasukan zombi dan mayat bergerak ini. Dengan rancangan British, kad pengenalan pun dicipta untuk membezakan pro komunis dan rakyat awam yang bukan komunis.
Hanya akhir-akhir ini saja orang kita bising-bising sama ada mahu kekalkan atau tidak istilah Islam yang tercatat di My Kad orang yang murtad itu. Kalau tanya saya, mudah saja.

Letaklah istilah 'murtad' pada My Kad si murtad. Yang nak gugurkan istilah Islam pada My Kad milik seluruh umat Islam di Malaya ini apa cerita?
Yang murtad dia seorang saja. Letak istilah 'murtad' pada My Kad dia. Habis cerita. Tentang urusan dia murtad tu, serahkan urusan itu antara dia dengan Tuhan. Kita tunggulah di akhirat saja. Lagi pun kita sendiri pun belum tentu lulus. Ada hal lain lagi yang mahu saya cerita akan hal 'murtad' dan 'pemurtadan' ini. Ini beza. Tapi, 100 halaman pula saya kena menulisnya.

Sebelum itu pun, Tun Dr Mahathir mahu lengkapkan My Kad dengan segala cip elektronik. Padahal, niat asal penjajah British memulakan tradisi kad pengenalan ini untuk membezakan antara komunis dan orang awam. Itu saja.

Dalam kepala British tiada langsung nak memikirkan soal murtad dengan kad pengenalan ini. Hubungan kad pengenalan dan komunis ini amat rapat sebetulnya. Tetapi, mungkin di dalam tempoh pilihan raya pertama di Persekutuan Tanah Melayu dulu, mungkin British mula fikir tentang satu cara untuk memenangkan Umno dengan menggunakan zombi-zombi ini.

Bukankah segala pentadbiran, jabatan pendaftaran negara, hal-hal yang bersangkutan dengan kelahiran dan kematian penduduk Tanah Melayu pada saat itu di bawah tadbiran British. Jika ada anak baru lahir, maka namanya didaftarkan kepada polis dan mungkin matinya diberitahu kepada polis juga. Dan polis berada sepenuhnya di bawah pentadbiran British.

Mungkin sebab itulah pensyarah itu tadi ketika kecilnya pernah terbaca kisah orang mati yang hidup semula untuk mengundi. Mungkin British sudah mula menghidupkan tradisi ini.

Tuan yang dimuliakan …

Jadi, berdasarkan buku The Best Democracy Money Can Buy yang saya sebutkan di atas tadi itu, saya fikir sekurang-kurangnya ada tiga sumber hantu dan zombie yang mengundi. Pertama, Umno mungkin menggunakan nama banduan seperti yang didedahkan dalam buku di atas.

Banduan masih hidup. Biarlah kita namakan mereka sebagai zombi. Keduanya, Umno boleh jadi menggunakan mayat-mayat, yang dihidupkan sebagai hantu yang diterjemahkan di dalam rupa wajah warga Bangla dan sebagainya.

Ketiga, menggunakan nama polis dan tentera. Hasil capaian internet dan maklumat daripada khalayak ramai, telah ditemukan nama-nama tentera ini. Mungkin Timbalan Presiden Umno, merangkap TPM, merangkap Menteri Pertahanan boleh menjawab isu tentera yang namanya ditemui terdaftar sebagai orang awam dalam senarai nama pengundi SPR ini.

Dia tu mahu lari sembunyi ke mana? Kapal selam? Tak boleh … Bak kata Fansuri, sepandai-pandai kapal selam menyelam, akhirnya kapal selam itu timbul ke permukaan juga. Jangan dia bermegah sangat dengan kapal selam itu. Najib bukanlah orang yang pertama mengglokalkan dirinya dengan kapal selam dari Perancis tersebut.

Jawab isu kad pengenalan tentera

Menurut Fansuri, antara bangsa terawal mencipta kapal selam itu adalah kaum Melayu sendiri setelah Panglima Awang berjaya bertawaf dunia. Nenek moyang raja Melayu yang mencipta kapal selam adalah Raja Suran. Tetapi, saya perlukan 100 halaman untuk hal ini. Apa pun, sila jawab isu kad pengenalan tentera terlebih dulu sebelum nak 'sembang deraih' isu kapal selam.

Tuan yang dimuliakan …

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dengan maksud yang berbunyi lebih kurang begini, "Amat baik jika harta yang baik diberikan kepada lelaki yang baik."
Untuk mendapatkan maksud dan makna yang lebih tepat, mungkin tuan boleh merujuk tuan penasihat agama di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ruang dan masa terbatas, tak dapat saya utarakan rawi dan simpulkan matannya dengan rapi. Jika tidak, 100 halaman pula jadinya.

Daripada hadis ini, saya ingin berkongsi pandangan dengan tuan untuk muhasabah mengenai arah tujuan segala perbelanjaan negara atau pun apa-apa yang dinamakan sebagai Belanjawan.

Daripada belanjawan inilah lahirnya projek-projek yang mungkin mendatangkan keuntungan yang boleh dilaburkan semula dalam pilihan raya kelak dan pilihan raya berikutnya. Cumanya, saya ingin bertanya. Adakah hadis ini menjadi sandaran ketika membentang belanjawan?

Marilah diperhalusi satu persatu. Duit adalah aset, modal, alat perkakas yang Allah pasti akan tanya kita semua kelak. Jadi, kita patut guna wang sebaik-baiknya. Mari kita cermati…

Pertamanya, duit halal yang terletak dalam genggaman lelaki yang soleh (baik). Ini kedudukan yang paling baik dan 'ideal'. Sudah tentulah wang itu dilaburkan kepada hal yang baik.

Kedua, duit halal yang dipegang oleh lelaki yang jahat. Ini satu kerugian kerana wang halal itu akan menjadi sia-sia kerana mungkin akan dilaburkan dalam casino, cukai rakyat yang baik itu mungkin digunakan bagi membeli kapal selam, melabur dalam projek membawa Mat Rempit ke kutub ais dan akhirnya mereka ini dibawa berkempen demi kepentingan diri jua akhirnya.

Mat Rempit dibawa belayar
bermain salji di kutub utara
duit cukai rakyat membayar
wang halal dah tiada ertinya.

Ketiga, wang haram yang dipegang oleh lelaki atau penguasa yang baik. Ini mendatangkan hal yang dilema pada akhirnya. Duit-duit dari Magnum, Toto, Genting, judi empat nombor ekor ini masuk dalam penbendaharaan negara. Pemerintah yang baik pun mungkin akan terbeliak dengan wang haram ini. Tapi, jika imannya teguh, dapat dikawal wang haram ini sebaiknya.

Tapi, jika rumah menteri-menteri berjiranan dengan rumah menteri yang berjudi, tidak susah sangat mahu dikirim beg hitam yang sarat dengan RM6 juta wang judi melalui pintu belakang rumah bukan? Alah … Kita pun kawan dengan SB juga. Jadi, tahulah sedikit sebanyak.

Keempat, wang haram yang ada dalam tangan penguasa jahat. Inilah yang paling merbahaya sekali. Dengan kejahatan dirinya dan kejahatan yang dikendongnya bersama wang haram itu, maka makhluk perosak ini akan melahap setiap inci tanah, memperkosa hutan dara bernafsu serakah guna membina mahligai peribadi dengan mengusir peneroka asal yang bermastautin lama, tapi disetinggankan melalui fatwa di gedung pemerintahan Dewan Undangan Negeri.

Arakian, adakah projek-projek pembangunan (kununnya) yang mahu diberikan kepada empat jenis manusia ini diperhitungkan samada mereka lelaki yang soleh, baik, pandai mengguna wang atau tidak? Dan, adakah peruntukan wang itu telah dibedakkan, dibezakan mana yang halal atau yang haram sebelum pengagihan? Atau halal haram itu dicampur semunya lalu diagihkan tanpa mengira watak baik buruk lelaki kontraktor penerima tender itu?

Jangan main-main dengan hadis Rasululah. Petunjuk nabi telah diberi. Sudah ada, tapi kita ini buta mata dan buta hati.

Wang halal bercampur haram inilah yang mungkin diberikan sebagai upah kepada zombi dan warga Bangla oleh insan-insan korup yang menaja pengundi hantu ini. Dekat pilihan raya kali ini kita pun tahulah rumah bomoh mana yang cerah sampai dinihari. Semua ini merosakkan.

Salah guna wang ini telah menjahanamkan ruang demokrasi kita. Kembali kepada perbualan asal; demokrasi kita adalah demokrasi – plutokrasi, suatu jenis model demokrasi yang sudah pun dikawal oleh golongan pemodal yang kelihatan intelektual tapi percayakan hal khurafat.

Moralnya, gunalah wang sebaiknya dan usahakan punca pendapatan kita halal dan wang yang halal itu diputarkan dan dikitarkan semula pada tangan lelaki adil. Kalau tidak, wang bertukar ke tangan lelaki jahat dan dengan wang inilah mereka memusnahkan amalan demokrasi tulen.

Tuan yang dimuliakan …

Mungkinlah tuan di Davos kini atau sudah mahu berangkat pulang daripada mengikuti World Economic Forum. Selamat berforum. Sekarang, marilah kita bercerita tentang Nylonkong.

Amerika akan mula jatuh dan makin lembab ekonominya. Majalah Time meneropong kepada Nylonkong (NY-LON-KONG) atau New York, London dan Hong Kong. Ketiga-tiga bandar utama ini telah dibuka oleh Empayar British suatu masa dulu. Siapa di sebalik kuasa empayar terakhir dalam tamadun manusia ini? Siapa yang menjadi tulang belakang raja-raja Eropah?

Dalam novel Little Lord Fauntleroy yang pernah saya baca di zaman Matrikulasi menceritakan pergolakan bagaimana Amerika cuba 'berjuang' membebaskan dirinya daripada cengkaman British. Jangan salahkan saya ketika menulis ini. Saya dididik oleh Kementerian Pendidikan pada saat itu.


Kementerian ini telah membekalkan novel ini dan tiga novel lain; Rice Without Rain (Minfong Ho) dan The Village By The Sea (Anita Desai) pada tahun 1996. Tahun berikutnya, saya sudah khatam secara mentah novel Little Lord Fauntleroy (Frances Hodgson Burnett) dan To Kill A Mockingbird (Harper Lee).

Agak-agaknya, siapa yang telah mewajibkan bacaan ke atas novel-novel berkualiti dan 'panas' sebegini? Tidak mungkin pegawai Kementerian Pelajaran seperti yang bekerja di bawah Hishammuddin Tun Hussein kini. Mereka tidak sukakan hal ilmiah.
Nantilah, jika ada kelapangan saya cuba menulis dalam 100 halaman mengenai hal ini. Isu ini pun penting juga sebab ada seorang sasterawan negara yang enggan menggunakan gelaran SN dengan sebab tindakan Menteri Pelajaran meminggirkan novel-novel sastera berat dan serius di sekolah kita.

Sebelum saya melalut lebih lanjut, saya ingin menjawab soalan awal. Jawapannya satu sahaja – Freemason! Ya, Freemason inilah dalang kepada kuasa Empayar British dan tulang belakang raja-raja Eropah. Mereka inilah ksatria (Knights Templar) yang berjuang dalam Perang Salib.


Ketika kolonial British semakin tumbang akibat gerakan menuntut kemerdekaan di India dan China termasuk di kebanyakan negara-negara Asia, golongan Freemason mula melabuhkan pengkalan kekuasaannya ke Amerika. Kuasanya itu berpunca daripada ekonomi.
Kini, ekonomi Amerika mula lembab. Mereka masih hidup dan setiap yang hidup, bernafas dan bernyawa akan terus mencari suaka. Freemason asalnya adalah warisan kepada golongan penyembah berhala. Berhala mereka berpuaka. Puaka-puaka bergentayangan mencari suaka.

'Agama' mereka ini (jika boleh disebut agama) adalah warisan daripada ahli sihir Fir'aun sejak zaman Musa a.s berusaha keras menanam Tauhid di dada Bani Israel. Apabila mereka bebas merdeka daripada penjajahan Fir'aun, amalan menyembah berhala warisan ahli sihir ini telah pun diwariskan oleh Samiri. Kesimpulannya, ia telah menjadi darah daging dan sukar dihapuskan.

Mereka sebenarnya adalah pelarian daripada sebuah negara ke sebuah negara. Dari wilayah ke wilayah, mereka meneroka dan memunggah khazanah hasil bumi di sesebuah negara. Dalam Persekutuan Tanah Melayu, mereka berlabuh di Melaka. Ketuanya Alfonso De Albuquerque.

Kaum puaka ini kemudian berlabuh ke Singapura, kemudian ke Pulau Pinang. Sebab itu, hal politik Negeri-Negeri Selat ini disatukan di bawah satu pentadbiran di mana ketiga-tiga negeri tidak mempunyai raja Melayu yang dahulunya dilihat sebagai pemelihara agama Islam.

Negeri-negeri Selat di Tanah Melayu sama seperti Nylonkong


Melaka-Pulau Pinang-Singapura. Tidakkah gabungan ini serasi dan sama dengan Nylonkong? Ny-Lon-Kong (New York, London dan Hong Kong) adalah jelmaan kepada tradisi kekuasaan Freemason di zaman lalu. Jadi, berhati-hatilah terhadap gabungan kuasa ekonomi baru ini.

Mengapakah ketika tertutupnya Studio Jalan Ampas di Singapura, maka P Ramlee ingin pergi ke Hong Kong? Kenapa MFP (Malay Film Production) berpindah ke Hong Kong? Kenapakah dengan mudah seniman dan seniwati mendapat laluan mudah berlakon dan bertemu pelakon Hollywood pada suatu masa dahulu?

Seniwati veteran Mariani dalam satu temubual mengaku mudah bertemu pelakon Hollywood dan arwah Ibrahim Pendek dapat berlakon di Hollywood. Ini semua tentu ada kaitan. Semua kekayaan Shaw Brothers di Hong Kong adalah hasil peluh keringat pelakon kita dulu. Tetapi, hasil khazanah berharga kini diratah bersendirian oleh golongan Freemason.

Pelakon veteran kita kerap ditipu dengan perjanjian kabur. Hal ni perlukan kajian sejarah rapi juga. Kalau kerajaan tidak membaca atau gagal mendalami makna yang tersirat mengenai hal-ehwal perfileman di negara kita, mudah kita dijajah melalui produk budaya. Terus-terang saya katakan bahawa, kita dijajah produk budaya kerana kerajaan lemah dalam kajian sejarah filem.

Sejarah dikaji semula bukan dihafal

Jika sejarah dikaji dan tidak cuma dihafal, nescaya ia menjadi menarik. Menurut hemat saya, Umno tidak suka pelajar mengkaji sejarah. Pelajar-pelajar yang cerdik akan selalunya kembali mempersoalkan dan setiap persoalan ini akan difatwakan Umno sebagai suatu penentangan, malah pemberontakan pula!


Baru-baru ini pihak GPMS minta ilmu Sejarah diajarkan dengan tegas di sekolah. Apabila hal sejarah ini diperakui sebagai ilmu, maka ia tidak boleh lari daripada penyelidikan, kajian, temu bual secara bebas. Semua proses inilah yang menyebabkan lahirnya ilmu.

Jadi, jika pelajar dibiarkan bebas mengkaji sejarah Freemason, bersediakah Umno dengan rela membiarkan generasi rebung ini membuat rumusan sendiri ke atas wajah parti pemerintah?

Jika ilmu sejarah sebegini diajarkan di sekolah, ia tidak membosankan. Malah, pelajar sendiri yang akan mempertahankannya. Tapi, cabaran utama di sini ialah bagaimanakah kita mahu mewujudkan guru-guru sejarah yang mencintai sejarah dan berupaya pula menggerakkan hati nurani pelajarnya untuk kembali mencintai sejarah?


Inilah soalan yang sepatutnya menjadi bahan fikiran tuan dan menteri pelajaran. Sejarah yang wujud dalam bentuk kajian amat penting agar rakyat tidak mudah ditipu. Sejarah yang diajar secara hafalan inilah yang menambahkan bebal fikiran dan benak di hati.

Cuma ilmu sains yang dilihat sebagai ilmu yang berkaitan dengan kajian dan penyelidikan. Ini pun suatu hal yang menarik juga diperbincangkan. Suatu masa dulu, kalau tak salah saya, ada semacam satu gesaan untuk menonton drama bersiri Mc Gyver (Richard Dean Anderson).

Drama itu dikatakan akan menumbuhkan minat kepada sains. Akhirnya, ia diharamkan hanya kerana seorang pelajar yang ditemui mati di celah sayap kapal terbang. Ramai pihak membuat andaian bahawa si mangsa cilik itu telah meniru aksi Mc Gyver.

Ini cuma andaian atau mungkin hipotesis. Ia belum diselidiki, belum diadakan temu bual dan ibu bapanya dan rakan-rakannya belum lagi diasak dengan persoalan samada pelajar memang terpengaruh dengan drama itu atau tidak. Tapi, dengan pantas drama itu diharamkan.

Sekarang, drama itu kembali disiarkan di TV2, RTM setiap Jumaat malam Sabtu. Jenis fikiran bagaimana telah kita gunakan sekarang ini? Menurut fikiran kerajaan, apa yang menjadi halal dan haram dan terkadang bertukar hukum pula itu? Adakah ia bersandarkan akal atau emosi?

Sejenis arak yang haram diminum pada asalnya menjadi halal kerana masa berlalu menjadikan ia berubah sebagai cuka. Penglihatan, mengirim maklumat kepada akal bahawa arak telah pun berubah menjadi cuka bersandarkan bau, rupa cuka. Maka, hukum halal haram itu bersandar kepada akal pada kes ini. Bukan emosi. Saya rasa, Mc Gyver dihalal haramkan bukan bersandarkan akal fikiran, malah ia terletak kepada kemahuan, kehendak dan emosi.

Harap tuan dapat fikirkan hal sekecil ini dengan mendalam. Tak ramai menteri-menteri yang suka fikir dengan mendalam. Yang berbakat sikit dah dipecat daripada kerajaan. Kita tertekan kerana dipimpin manusia kurang cerdik (bukanlah kita ini pun cerdik sangat). Lihat kepada sikap meminggirkan novel sastera bermutu tinggi sudahlah. Tanyalah Hishammuddin itu.

Tuan yang dimuliakan …

Manusia dilahirkan dengan fitrah, ertinya suci daripada segala dosa. Dosa kepada Allah boleh dibersihkan melalui taubat, istighfar dan keampunanNya. Itu dosa kepada Tuhan. Bagaimana pula dosa kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan? Mereka ini perlu dihukum!

Dosa adalah kekotoran yang perlu dibersihkan. Pendosa perlu dihukum agar mereka bersih dan suci kembali kepada keadaan fitrah asal kejadian mereka. Yang dihukum atau terhukum tanpa sebarang 'dosa' yang pernah mereka lakukan akan dinamakan sebagai 'mangsa'.

Dosa dan mangsa. Kedua-duanya mungkin berasal daripada istilah Sanskrit. Bahasa ini diikat kuat dengan agama. Saya yakin bahawa agama purba itu ada kaitan dengan Tauhid. Mungkin, ada juga nabi-nabi purba yang tidak dikenali. Agama itulah yang membekalkan hukum dan peraturan.


Syurga dan neraka. Ini istilah Sanskrit. Orang Melayu tidak menyebut 'al-Jannah' (syurga), 'an-Naar' (neraka). Ertinya, mungkin ada agama purba dalam kalangan Melayu purba sebelum kedatangan Islam ke wilayah Nusantara.

Orang Melayu sudah kehilangan atau pun tidak mengenali akar sejarah. Tapi, mahu berbual-bual mengenai hal ini perlu waspada sentiasa. Kalau mahu lanjutkan kisah 'nabi-nabi' Melayu ini saya perlukan 1000 halaman pula barangkali. Jadi, mari kita bualkan tentang hal dosa sahaja.

Umno bukan dibenci kerana dosanya, tapi kerana 'bias'nya

Sedarkah tuan bahawa ada kalangan rakyat yang membenci Umno bukan kerana dosa Umno. Umno bernasib baik kerana pembangkang telah 'bertawakal' kepada dosa-dosa Umno untuk menang. Percayalah tuan… tuan jangan bimbang apa-apa. Pembangkang tidak akan menang selagi mana wujudnya sikap bertawakal kepada dosa-dosa Umno-BN ini.

Mereka harap dengan pendedahan ini rakyat marhaen akan buka mata. Naik tol, naik barang maka BN akan jatuh. Saya berani kerat jari kalau BN jatuh. Yang jatuh mungkin seorang dua yang terpelanting daripada jawatan dalam Umno-BN, tetapi bukan Umno-BN dan sistemnya.

Saya pun geram kepada Umno bukan sebab dosa Umno. Yang mengkritik Umno-BN pun, manusia juga yang pernah menindas orang bawahannya. Lantas, apa bezanya kalau mereka ini memerintah?

Dalam realiti hari ini, seorang wanita akan memilih pemuda yang gagah dan nakal berbanding pemuda lemah tapi baik. Kenapa ini terjadi? Inilah jawapan kepada persoalan, kenapakah BN tak rebah. Jika mereka perhalusi baik-baik hal ini, nescaya mereka faham. Tuhan memberikan kefahaman jika ada usaha manusia untuk memahamkan sesuatu.

Nasib rakyat (wanita) akan menjadi malang jika pemuda yang lemah tapi baik ini menyangka, kerana kejahatan pemuda itulah maka wanita (rakyat) tadi memilihnya. Lalu, mereka berusaha menjadi jahat juga. Malangnya, lelaki yang baik tadi cuba menjadi jahat dalam keadaan lemah. Walhal, wanita memilih kegagahan dan bersabar buat sementara ke atas kejahatan lelaki tadi.

Syahadan, rakyat benci BN bukan kerana dosa (kejahatan) mereka. Rakyat bersabar atau pun terpaksa bersabar dengan dosa itu. Tapi, rakyat benci BN kerana sikapnya berat sebelah. Jika ternyata ada seorang ahli Umno yang ditahan, ia akan dilepaskan dan jika musuhnya ditahankan, habis diselongkar luar dalam segala isinya. Ini 'bias' dan mendatangkan kebencian ramai.

Jadi, kalaulah BN dapat menghukum dosa-dosa ini, maka rakyat (wanita) akan dapat menaruh keyakinan terhadap pemuda gagah tadi yang telah dibersihkan sikap nakal buasnya. Dan, hal ini tentunya memerlukan usaha jihad yang lumayan berterusan.

Awalnya ramai pihak menganggap watak agamawan dapat menawarkan hukuman ke atas BN ini ditambah imej Islam Hadhari. Tetapi dalam kedudukan telur di hujung tanduk atau seperti kata Fansuri bagaikan tahi cicak di hujung kaki saat solat, entah siapa yang dapat menyucikan kaki pentadbiran? Kini, terpalit pula najis khinzir. Entah siapalah yang dapat menyamaknya?

Tuan yang dimuliakan …


Dua hari sebelum tangkapan terbaru di KLCC 26 Januari lalu, filem Cuci telah ditayangkan di TGV, KLCC. Para pelakon ini berpakaian serba kuning yang sama warnanya dengan pakaian rasmi Bersih. Minda bawah sedar menggerak pemikiran rakyat agar membenci ketidakadilan.

Filem Cuci sokong Bersih?


Kalau tanya Afdlin, Hans Isaac, Awie dan A.C Mizal, sampai kiamat mereka takkan mengaku bahawa mereka itu penyokong Bersih. Ini kerana, minda bawah sedar itulah yang memainkan peranan. Beza cuma, Cuci ditaja Celcom dan bukan Digi yang lazim dikaitkan dengan Bersih.

Sekarang ini, Maya Karin pun sudah pandai bercakap soal demokrasi. Baru jadi ahli panel di Kelantan telah diancam macam-macam oleh parti pemerintah. Keadaan ini sangat merbahaya kepada Umno jika berterusan menekan artis yang cerdik. Mujurlah BA belum lagi mengambil kesempatan ke atas artis. BN bernasib baik kerana BA tidak sedar tentang kekuatan artis.

Bekas Presiden Amerika Ronald Reagan juga artis. Demikianlah Gabenor California Arnold Schwarzenagger pun artis juga. Pengikut dan peminat mereka memang ramai. Dan, tiada satu hukum pun yang menghalang mereka daripada bergiat dalam lapangan politik kepartian serta sesekali berbicara dengan nada kritikal ke atas pemerintahan Amerika.
Michael Moore, Martin Sheen Angelina Jolie, George Clooney, Leonardo DiCaprio serta lain artis lagi begitu selamba mengirim pesan politik di bumi Hollywood ke atas politik Amerika.

Daripada suatu sudut, saya kagum kerana mereka sedar bahawa kritikan itu mahal harganya kerana terpaksa bertarung dengan satu kuasa besar. Tetapi, mereka berani menggalas amanah dalam mengirim teguran itu dengan berani dan penuh kesedaran.
Di Malaysia, saya fikir kesedaran baru memuncak dan sedang bermula. Artis yang selama ini tenggelam dalam dunia hiburan kini beranjak ke ruang politik hiburan apabila mereka telah mengirim laporan kepada BPR berhubung kekecohan Persatuan Karyawan. Ini pun politik juga, cuma politik hiburan, bukan kepartian. Kini politik kepartianlah yang menguasai negara.

Mujurlah ia bukan politik di ruang kepartian. Sekali lagi, suatu kemujuran bagi BN kerana BA tidak mengambil peluang untuk menyantuni artis dalam menyelami permasalahan mereka. Di sini, saya makin menghormati artis berbanding ahli politik kepartian.

Dalam politik hiburan tiada kawalan. Lihatlah berita politik hiburan (Melodi) dan bandingkan dengan berita politik kepartian (Buletin Utama). Ada beza antara keduanya. Di dalam Melodi, 'dibogel telanjangkan' semua tanpa seurat benang dengan soalan Nash Terjah. Adakah Karam Singh Walia dan editor Buletin Utama dilepas bebas semahunya untuk melaporkan?

Tuan …
Setakat ini sajalah celoteh saya ini. Tidak tahu bagaimanakah caranya untuk membetulkan hal yang makin tenat dan pincang kini. Sempena Maal Hijrah, Tahun Baru Cina, Thaipusam serta segala macam cuti di Malaysia ini, dan atas nama bulan Muharam, Safar, Januari dan Februari yang bakal tiba, saya ingin memohon ampun dan maaf di atas keterlanjuran saya menulis ini.

Saya minta maaf jika ada kesilapan dan kesalahan saja. Tetapi, di atas kebenaran kata-kata itu tidak dapatlah saya minta maaf lagi. Kita kena minta maaf atas apa-apa yang kita khilaf saja dan untuk itu, sekali lagi tangan yang sedang menaip ini dirapatkan sebagai isyarat maaf.

Sempena Maal Hijrah saya cuba ingin berbaik-baik dengan tuan, tapi tidak dapat-dapat juga. Entah kenapa hati ini belum masuk ke ruang wilayah perdamaian lagi. Nantilah esok lusa jika hati saya akur kepada kehendak saya yang asal. Banyak perkara yang mahu dibualkan.

Sekian dengan itu, wassalam …

10:00 pagi, 29 Januari 2008,

Sekolah Pemikiran Kg Baru.


Umno Kelantan Mengaku Kalah Sebelum Berjuang!

KETIKA Umno negeri lain menyatakan keyakinan luar biasa parti itu akan mampu mempertahankan Kerajaan negeri masing-masing yang dimilikinya berpuluh tahun lalu (kecuali Terengganu), Umno Kelantan seperti sudah mengaku kalah sebelum berjuang.

Sikap ini agak anih dan menyebabkan orang merasakan ia seperti satu tektik dan strategi pula. Namun apabila dilihat kepada realiti yang berlaku sebenar di dalam parti itu dan kerencaman masalah yang dihadapi para pemimpinnya, memang keadaannya menjadikan Umno Kelantan terpaksa mengaku kalah awal-awal lagi.

Walaupun semua pemimpin kecil dan besar Umno bercakap dan mendakwa Umno Kelantan akan mampu menumbangkan Pas, namun cakap itu hanya penyedap mulut sahaja. Mereka bercakap dalam keadaan panas sejuk dan ada kalanya sebagai mengulik diri sendiri saja kerana ianya kontras dengan hakikat yang berlaku.

Satu masa para pemimpin Umno menguar-nguarkan kepada rakyat yang mereka akan dapat merampas Kelantan. Kononnya keagungan Pas selama 18 tahun akan berakhir kali ini. Manakala di masa lain pula mereka masing-masing memperlihatkan rasa kurang konfiiden yang Umno mampu mengatasi Pas.

Lama sebelum ini beberapa kali Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa sendiri menegaskan yang partinya akan mempu meraih sekurang-kurang 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya akan datang. Kejayaan itu membolehkan Umno dengan senang akan memerintah Kelantan selepas bulan Mac nanti.

Strategi

Memang Umno berbuat kerja dan mengatur strategi untuk merampas setidak-tidak lima atau 10 kerusi yang dimenangi Pas dalam pilihan raya lalu di samping mengekalkan 22 kerusi yang dimenangi kini. Satu plan strategi yang ampuh dikatakan telah disusun sebegitu rupa sekali ini termasuklah bersekongkol dengan berbagai agensi Kerajaan secara tidak halal.

Mendengar kenyataan Annuar itu, sedikit sebanyak menyebabkan ada juga pemimpin Pas menggeletar. Ahli dan penyokong yang berjiwa kecil terus dilamun kesedihan dan kedukacitaan bimbang kehilangan kerajaan Kelantan yang satu-satu kerajaan bercirikan Islam sejati.

Kenapa tidak, strategi itu memang sesuatu yang praktikal dan dapat dilaksanakan oleh Umno yang terkenal dengan permainan politik wangnya.

Menghuraikan keadaan ini atau mencari jawaban apakah kenyatan itu benar cukup mudah sekali. Kalau benarlah apa yang dikatakan itu, masakan pemimpin Umno Kelantan takut untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Tetapi soalnya kenapa lagak dan wajah pemimpin Umno Kelantan tidak mencerminkan keriangan bila pilihan raya semakin hampir? Kenapa mereka menjadi seram sejuk?

Ketakutan di kalangan pemimpin Umno ini semakin jelas. Rata-rata mereka menang di kerusi DUN dalam pilihan raya lalu dikatakan telah membuat persiapan untuk menyelamatkan diri masing-masing dengan berpindah untuk bertanding di kerusi parlimen sehinggakan berlaku pencakaran sesama sendiri.

Katanya sudah dibuat satu persepakatan tidak rasmi di mana semua ketua-ketua bahagian bertanding di Parlimen, termasuk mereka yang pada masa ini menang di beberapa kerusi DUN. Persefahaman ini dikatakan telah dibuat oleh Pengerusi Umno Kelantan, Annuar dengan dipersetuju oleh pemimpin kanan yang menghadapi masalah sama dengannya.

Ekoran itu Annuar yang kini Ketua Pembangkang di DUN Kelantan dan juga Adun Kok Lanas dikatakan akan bertanding di kerusi parlimen Ketereh, Ramzi Abdul Rahman (Setiausaha Badan Perhubungan) yang kini menang di Dabong akan bertanding di parlimen Kuala Krai, Norzaidi Omar (Bendahari) yang kini Adun Pengkalan Kubur akan bertanding di kerusi parlimen Tumpat.

Lain-lain pemimpin kanan yang menang di kerusi DUN dulu seperti Hashim Shafin akan ke parlimen Tanah Merah, Kamaruddin Md Noor DUN Semerak akan ke parlimen Pasir Putih. Gara-gara cadangan dan hasrat Annuar itu menyebabkan keadaan ahli Parlimen Ketereh Md Alwi Che Amat dikatakan tidak tenang dan ada yang beranggapan cara Annuar itu sebagai menganiyaankan Alwi.

Helah

Jelas persepakatan itu adalah helah untuk menyelamatkan pemimpin kanan berkenan. Dalam pada itu ia secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak berani untuk berhadapan dengan Pas. Natijah daripada tindakan itu juga menjelaskan bahawa mereka tidak konfiden bahawa Umno akan mampu merampas Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Sudah pasti kalau mereka yakin Umno akan menang sampai 26 kerusi sudah pasti mereka tidak akan menyusun strategi dan helah demikian untuk menyalamatkan diri masing-masing. Bukankah selaku pemimpin kanan mereka juga bakal menjadi pemimpin dalam kerajaan kelak? Tetapi kerana mereka sendiri tidak yakin, tidak guna mereka menunggu atau mencari penyakit.

Mungkin kepada mereka strategi itu dianggap canggih untuk menyelamatkan diri masing-masing, tetapi pada satu masa ia menyerlahkan sikap hipokrit mereka selaku pemimpin. Satu masa mereka menyatakan Umno akan menang, tetapi di masa lain mereka kalut membuat persiapan untuk menyelamatkan diri. Bukankah tektik itu jelas menipu ahli!

Melihat kepada keadaan itu nyata bahawa dakwaan yang Umno mampu mengatasi Pas pada pilihan raya akan datang hanya omong kosong sahaja sedang hakikatnya mereka - para pemimpin kanan, seakan sedang sudah mengetahui untung nasib mereka yang bakal hanyut selepas ini.

Sebenarnya sesuatu yang menghairnkan juga kenapa Annuar sendiri selaku pemimpin nombor satu yang turut sama takut dan menjadi tidak yakin kepada kebolehan dan kemampuannya sendiri. Kalau benar beliau berhajat untuk 'melarikan' dan menyelamatkan diri, ini bermakna beliau tidak bertanggungjawab kepada perjuangan dan ahli Umno.

Umum arif kenapa Annuar tidak berminat untuk terus kekal di kerusi DUN Kok Lanas. Pertama kerana beliau sudah membaca yang Umno tidak akan mampu mengatasi Pas. Kedua kerana sekiranya Umno menang beliau merasakan beliau tidak akan dapat menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan.

Kesempatan

Itulah yang tersumbat di dalam kepala Annuar. Jadi adalah logik dan munasabah kalau beliau melayani pilihan raya ini secara sambil lewa sahaja atau mencari kesempatan untuk mendapat wang sebanyak mungkin.

Sebenarnya persepsi demikian tidak betul dan tidak harus ada dalam kepala seorang pemimpin berkarisma dan berpengalaman seperti Annuar. Beliau tidak patut memikirkan nasibnya akan jadi tidak baik kalau pun Umno menang di Kelantan. Sikap demikian adalah sikap oportunis.

Beliau seharusnya optimis dan yakin kepada diri sendiri. Perasaan rendah diri beliau tidak akan dipilih menjadi MB kerana masalah dengan istana di masa lalu seharusnya tidak menjadi phobia dan menganggu langkah perjuangannya. Beliau tidak patut menunjukkan kelemahan dirinya itu kepada ahli Umno yang lain.

Annuar harus membuang jauh-jauh bisikian itu dan perlu memberanikan diri. Anuar perlu ingat dan menyedari bahawa siapa yang tidak pernah bersalah atau melakukan perbuatan yang boleh menyinggung hati pihak istana. Beliau kena sedar dan ingat bukan beliau sahaja 'bersalah' dengan sultan tetapi orang lain juga termasuklah Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalau orang lain boleh berbaik dan diterima semula oleh Sultan Kelantan kenapa tidak beliau? Lagipun urusan melantik dan memilih MB kelak bukan atas kemahuan Annuar sebagai Pengerusi Perhubungan seratus peratus tetapi mereka akan ditunjuki oleh Presiden Umno.

Apabila ianya ditunjuki oleh Presiden yang juga ketika itu Perdana Menteri apakah pihak istana tidak bersedia untuk menerimaya. Tergamakkah istana Kelantan di saat kepupusan keramatnya ini menolak cadangan Perdana Menteri?

Kalaulah benar Annuar layak sudah pasti pemimpin tertinggi Umno mempunyai formula atau penawar bagaimana hendak menyejukkan hati pihak istana. Tidak ada perbalahan yang tidak boleh diselesaikan!

Sikap takut tidak berhujung dan berbukti yang ada kepada Annuar kini sehinggakan merasakan dirinya menimbulkan masalah kepada partinya adalah tidak betul. Annuar seharusnya mencuba dahulu. Biarlah istana menghalau beliau daripada mengangkat sumpah sebagai MB baru boleh disimpul atau disahkan bahawa Annuar sememangnya tidak diingini oleh istana.

Setakat merasa bimbang di dalam kepala itu adalah perasaan orang yang lemah semangat dan mudah merasa bersalah atas apa-apa yang sebenarnya yang belum pasti. Sifat dan sikap itu tidak

Ahad, 27 Januari 2008

Derma untuk pilihan raya sekarang, usah tunggu Parlimen bubar

Oleh Iskandar Abd Samad


SAYA masih ingat lagi rapat umum pertama yang saya hadiri. Ianya pada pilihanraya umum 1974, ketika itu saya berada di dalam tingkatan 1 dan saya telah dibawa ke sana oleh bapa saya.

Walaupun rapat umum itu adalah rapat umum BN tetapi semasa itu kami menetap di Petaling Jaya yang merupakan kubu kuat pembangkang.Dalam pilihanraya umum tahun 1969, Goh Hock Guan mewakili DAP telah menang di sana. Ketika DAP hampir menang di Selangor dalam tahun 1969, beliau dikatakan akan menjadi Menteri Besar.

Tetapi Gerakan di Selangor pimpinan Tan Chee Koon enggan bersama DAP di dalam sebuah kerajaan campuran. Maka UMNO-Perikatan kembali berkuasa.

Pada pilihanraya umum 1974, beliau telah “belot” dan bertanding di atas tiket BN tetapi kalah di tangan calon DAP.Walaupun di sekolah rendah, saya tahu wakil rakyat saya bernama Goh Hock Guan dari parti “roket”, Beliau adalah seorang arkitek tetapi itu bukanlah pendorong kepada saya untuk menjadi seorang arkitek hari ini.Mungkin Goh Hock Guan tidak dapat “cari makan” di dalam pembangkang.

Tetapi bukan semua arkitek seperti beliau. Bukan semua yang mengejar “gold and glory”. Ada yang meninggalkan bidang mereka dan menjual ayam goreng.

Ada yang mahu menternak kambing. Ada yang lebih zuhud dari Ustaz dan Ustazah.Bercerita tentang zuhud, bekas wakil rakyat PAS yang menang di Parit dalam tahun 1969, Allahyarham Hashim Gera, adalah ayah rakan sedarjah saya.
Pertama kali saya berjumpa YB itu, juga dalam tahun 1974, beliau tidaklah seperti seorang YB.

Pada saya begitulah sepatutnya seorang YB atau pemimpin, “simple” dan bukan yang minta diraikan, dihormati dan disembah,

PILIHANRAYA ZAMAN DULU-DULU


Perbezaan pilihanraya ketika itu dan masa kini adalah amat ketara. Di antaranya adalah tempoh kempen yang panjang.

Di zaman Tunku, jarak di antara penamaan calon dan pengundian ada yang hampir 3 bulan. Pada pilihanraya umum 2004, ianya adalah 9 hari.Bagaimana agaknya jika tempoh berkempen hari ini juga sepanjang 3 bulan?Adakah ini bermakna kita akan mempunyai masa yang secukupnya untuk menerangkan kepada rakyat polisi-polisi kita?

Atau adakah jentera pilihanraya kita akan keletihan?
Tidak semua orang boleh bercuti selama 3 bulan!Walau bagaimanapun, pada pendapat saya 3 bulan tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada kita.

Pada hakikatnya hari ini, sama ada di Pandan atau di Kapar atau di mana-mana sahaja di Selangor, jentera pilihanraya PAS sudah bergerak seperti Parlimen telah dibubarkan.

Inilah perbezaan di antara 2008 dan 2004.Walau bagaimanapun bukan semua ahli menyedari akan hakikat ini.

Ada yang masih lena tidur. Ada yang masih tidur-tidur ayam. Malah ada yang tengah koma!

PARLIMEN SUDAH DIBUBARKAN

Ceramah umum, ceramah kelompok, program-program kemasyarakatan, edaran risalah dan mesyuarat di Pandan diadakan lebih rancak dan kerap dari ketika tempoh berkempen pada pilihanraya umum 2004.

Malah ada yang telah dimasukkan ke hospital akibatnya!Seperti yang sering saya katakan, Parlimen telah dibubarkan.

Oleh itu, kepada para petugas, masa untuk keluar bertugas adalah sekarang!

Masa untuk menawarkan diri untuk menjadi petugas adalah sekarang!Masa untuk menderma adalah sekarang!Jika anda menunggu sehingga Parlimen dibubarkan untuk tampil ke hadapan maka anda telah ketinggalan keretapi!

Jika anda menunggu sehingga penamaan calon untuk menyumbang wang ringgit maka sumbangan anda akan hanya dibazirkan untuk gerakerja sampingan sahaja!

Gerakerja utama telah dilakukan sebelumnya!

PERINGATAN PRESIDEN
Dato’ Seri Presiden semasa taklimat khas kepada pimpinan Kawasan-Kawasan bulan lepas telah berkata bahawa semasa pilihanraya duit akan mencurah-curah datang kepada PAS tetapi ketika itu duit hanya boleh digunakan untuk “buat makan” sahaja.

Benar sekali, wang yang diterima di saat-saat akhir hanya akan digunakan untuk membeli makanan para petugas.

Akhirnya bilik-bilik gerakan kita menjadi seperti “mini market”. Makanan-makanan yang dibeli cukup untuk menghadapi satu perang nuklear.

Atau wang yang diterima di saat-saat akhir akan digunakan untuk mencetak beribu-ribu risalah.
Akibatnya para petugas terpaksa tidur bertilamkan risalah dan poster. Masa tidak mencukupi untuk mengedar beribu-ribu risalah yang diterjunkan beberapa hari sebelum hari mengundi.

Memang benar ada ganjarannya di akhirat kelak bagi sumbangan-sumbangan kita tetapi biarlah sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.Oleh itu, sekali lagi saya menggesa, “Jika hendak menyumbang untuk dana pilihanraya, sumbanglah sekarang dan jangan tunggu sehingga Parlimen dibubarkan”.

KERAJAAN BARU

Tidak mustahil satu kerajaan baru akan ditabalkan di negeri Selangor selepas pilihanraya umum ke 12

.

Suasana politik sekarang menunjukkan bahawa perubahan itu boleh berlaku. BN boleh ditumbangkan.

Tetapi walau siapapun yang akan memimpin kerajaan baru, ianya adalah satu kerajaan campuran. Komposisi kaum di antara Islam dan bukan Islam adalah 50-50.

Pada konvensyen PAS Selangor tahun lepas, Dato’ Mustafa Ali telah menekankan bahawa di Selangor, realitinya adalah perkongsian kuasa.

Inilah realiti kita di Selangor. Ia bukan Kelantan. Ia bukan Terengganu. Ia bukan Kedah.

Ia bukan Perlis.Tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberikan lebih ruang kepada Islam untuk didaulatkan.
Undang-undang dan peraturan-peraturan yang menindas perkembangan Islam akan dinyahkan.UMNO yang menyekat perkembangan dakwah Islam yang sebenar akan menjadi sejarah silam.Kerajaan negeri, walaupun kerajaan campuran, akan meletakkan Islam kembali di tempat yang sepatutnya.

Prejudis dan permusuhan terhadap Islam yang dibiarkan subur di bawah UMNO akan turut dinyahkan.Keadilan Islam akan dapat difahami oleh semua.

Tetapi ianya akan berlaku jika kita semua, bukan sahaja ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sahaja, bersatu menuju ke arah matlamat yang sama.

Jika kita asyik bertelagah, kamu tidak ada petugas aku ramai petugas maka UMNO dan BN akan terus juara.Jika kita tidak mahu mengundi parti-parti pembangkang lain kecuali parti kita sendiri maka ini bermakna kita memberi laluan kepada BN.

Bukankah matlamat kita untuk mengalahkan calon-calon BN tidak kira siapa yang menentang mereka?

Bukankah dengan tidak mengundi kita pada hakikatnya telah memenangkan BN?Kita memerlukan satu sama lain untuk mengalahkan BN.

Dalam tahun 1990, pengundi Cina bersama pembangkang tetapi pengundi Melayu tetap bersama BN maka BN gagal dikalahkan kecuali di Kelantan

.Dalam tahun 1999, pengundi Melayu bersama pembangkang tetapi pengundi Cina pula bersama BN maka sekali lagi BN tetap unggul kecuali di dua negeri.Seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit. Bukan hanya orang Melayu. Bukan hanya orang Cina atau India.

Parti-parti komponen BN bekerja untuk memenangkan calon BN, tidak kira siapa. Tetapi adakah perkara yang sama berlaku kepada kita?

Agaknya sampai bila, kita akan terus “dipecah dan diperintah” oleh BN?

Dilaga-lagakan seperti ayam sabung untuk kepentingan mereka.UMNO sering berkata PAS belot apabila PAS bekerjasama dengan orang-orang Cina, dan ramai yang percaya, tetapi UMNO yang menjual kampung-kampung Melayu kepada pemaju-pemaju Cina tidak dihebohkan.

Mungkin kita terlalu bodoh kerana percaya kepada dakyah-dakyah UMNO dan SB-SB.

Mungkin kita hanya berlegar-legar di kalangan kelompok kita sendiri sehingga gagal melihat suasana secara menyeluruh atau “the big picture”.Kita perlu juga melihat dari luar.

Cuba-cubalah berfikir secara global bukan sekadar kampung atau taman kita sahaja. Kita ada 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor, kampung atau taman malah DUN anda adalah hanya satu titik di dalam satu lukisan yang besar.

Sabtu, 26 Januari 2008

SPR Tidak Iktiraf Konsep "Kerajaan Sementara"

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata beliau telah menerima jawapan yang mengejutkan dari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa suruhanjaya itu tidak mengiktiraf konsep kerajaan sementara apabila Parlimen dibubarkan bagi memastikan perjalanan pilihanraya umum yang bebas, adil dan bersih.
Katanya, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor - dalam surat bertarikh 17 Januari lalu yang difaks ke pejabat beliau pada 22 Januari lalu sebagai menjawab surat bertarikh 7 Januari dari Setiausaha Pejabat Ketua Pembangkang Lau Weng San untuk membuat temujanji beliau (Lim) dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman - menulis:“Sukacita dimaklumkan bahawa dalam kerangka undang-undang pilihanraya Negara kita termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan adanya ‘Caretaker Government’.
Oleh yang demikian, apabila pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran tersebut akan terus menerajui kerajaan sehinggalah sebuah kerajaan baru ditubuhkan selepas keputusan pilihanraya diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.
“Adalah dimaklumkan bahawa SPR bukan jabatan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memberikan tafsiran mengenai sesuatu perkara atau fasal yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana pihak yang lebih layak untuk memberi apa-apa interpretasi mengenai Perlembagaan Persekutuan ialah Jabatan Peguam Negara.
Justeru itu, tuan adalah dinasihatkan untuk berhubung terus dengan Jabatan berkenaan jika tuan memerlukan apa-apa interpretasi mengenai sesuatu perkara atau fasal yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.
” Menurut Lim (foto), SPR telah melanggarkan Pelan Integriti Nasional apabila enggan mengiktiraf konsep kerajaan sementara apabila Parlimen dibubarkan bagi memastikan pilihanraya umum yang bebas, adil dan bersih.Sambil menegaskan tiada siapa pun yang meminta SPR mentafsir Perlembagaan, Lim bekata, SPR telah 'menyalak pada pokok yang salah' apabila ia mendakwa Perlembagaan 'senyap' tentang konsep kerajaan sementara.
"Apakah konsep integriti nasional dan Pelan Integriti Nasional terdapat dalam Perlembagaan, dan apakah SPR sudah lali daripada perlu menghormati dan memelihara prinsip kesopanan dan kesusilaan dan integriti dalam melaksanakan tugasnya dari segi perlembagaannya untuk mengadakan pilihanraya umum yang bebas, adil dan bersih?
'Salah tanggapan'"Atau apakah SPR akan berkata kerana Perlembagaan tidak menyatakan apa-apa tentang "pilihanraya yang bebas, adil dan bersih", maka SPR tidak mempunyai tugas dari segi perlembagaan untuk memastikan pilihanraya akan datang bebas, adil dan bersih, walaupun suruhanjaya itu akan membelanjakan RM200 juta - pilihanraya umum termahal dalam sejarah 50 tahun kemerdekaan negara?" kata Lim.SPR juga, katanya, membuat tanggapan yang salah apabila beranggapan bahawa kerajaan sementara itu merupakan 'kerajaan lain' selepas pembubaran Parlimen.
"Ianya tidak begitu.
Perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri kabinet masih sama, dan menerima gaji dan ganjaran daripada wang rakyat walaupun Parlimen telah dibubarkan.
"Bagaimanapun, mereka mesti ingat bahawa mereka hanya sebuah 'kerajaan sementara' selepas Parlimen dibubarkan dan mereka tidak boleh menyalahgunakan kedudukan, sumber, dana dan jentera kerajaan untuk berkempen bagi calon atau sesebuah parti politik," katanya.
Manakala SPR pula, kata Lim, telah gagal melaksanakan tugasnya di segi perlembagaan serta Pelan Integriti Nasional apabila menolak konsep 'kerajaan sementara' selepas Parlimen dibubarkan - yang semuanya adalah mengenai kejujuran, tingkahlaku dan integrisi.
Oleh itu, Lim menggesa pengerusi dan anggota SPR supaya mengadakan mesyuarat tergempr untuk mengkaji semula dan menarik balik penolakan konsep 'kerajaan sementara' selepas pembubaran Parlimen kerana ia boleh memberi tanggapan bahawa pilihanraya umum akan datang mungkin menjadi yang paling 'kotor' dalam sejarah.
"Dalam hubungan ini, saya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengumumkan sama ada beliau menerima dan akan menghormati konsep 'kerajaan sementara' apabila Parlimen dibubarkan, serta mengarahkan semua menteri kabinet tidak menyalahgunakan kedudukan, sumber, dana dan jentera kerajaan untuk tujuan kempen pilihanraya, bagi membezakan antara kerajaan dan parti," katanya.

"Kita hidup bagai di zaman batu"

Oleh Mahfuz Omar


SAYA tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada minggu lepas yang mengugut rakyat supaya tidak memperjudikan diri dan masa depan negara dengan mengundi pembangkang.

Saya sebenarnya tidak begitu faham dengan analogi Pak Lah yang cuba mengaitkan perubahan sikap rakyat dengan perjudian masa depan. Adakah Pak Lah berfikir bahawa rakyat negara ini terlalu bodoh sehingga semudah itu diperalatkan oleh sesiapa sahaja termasuk sanggup menggadai masa depan negara.

Ironinya, pengalaman 50 tahun berada di bawah Kerajaan Perikatan / BN adalah satu perjudian yang besar dan rakyat telah ‘kalah judi’! Kita semua tahu bahawa rakyat dan negara ini sudah hampir bankrap dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana perjudian mereka bersama BN.


Tiba-tiba Pak Lah cuba mengugut rakyat supaya masa depan mereka tidak diperjudikan kerana bimbang ditipu oleh pembangkang.

Setakat ini tidak ada rekod pembangkang menipu rakyat, sebaliknya rekod Pak Lah sebagai ‘penipu besar’ diteliti oleh rakyat setiap hari.

Lihatlah bagaimana rakyat tertipu oleh slogan “pendidikan percuma sepenuhnya” yang dilaungkan oleh Pak Lah dalam Bajet 2008, tiba-tiba ibu bapa terpaksa membayar ratusan ringgit untuk persekolahan anak-anak mereka sehinggakan yuran tandas dan tuala wanita juga diambil. Perkara ini belum pernah berlaku dalam sejarah dunia apabila sebuah kerajaan memakan hasil air kencing dan najis kanak-kanak sekolah kecuali ia hanya sanggup dilakukan oleh kerajaan BN.

Bagi saya, kenyataan politik seperti ini amat tidak beretika dan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat.

Mengapa kita membuat spekulasi terhadap perkara yang tidak pasti sedangkan pembangkang belum diuji ketelusan dan kebolehan mereka melaksanakan janji. Seolah-olah Pak Lah cuba mengatakan seseorang itu mandul terlebih awal sedangkan orang tersebut masih belum berkahwin.

Jika rakyat mahu tahu hakikat sebenar atau kebolehan sebenar pembangkang sebagai ‘kerajaan menunggu’, mereka harus memberi peluang kepada PAS/BA untuk memerintah negara ini.

Pemimpin BN tidak perlu menakut-nakutkan rakyat supaya jangan berubah. Bangsa yang maju fikirannya ialah bangsa yang bersedia untuk berubah kepada yang lebih baik. BN sedar bahawa mereka gagal mentadbir negara dengan baik dan berkesan. Di bawah regim mereka, rakyat ditindas, penyelewengan melata di mana-mana, rakyat hidup melarat tetapi pemimpin hidup mewah, keadilan terjejas dengan teruk dan rakyat hidup dalam ketakutan.

Tiba-tiba mereka menggunakan cara yang tidak senonoh iaitu mengugut rakyat bahawa masa depan negara akan lebih teruk di bawah pembangkang.

Bagi rakyat yang sudah lama tertindas dan dianiaya oleh kerajaan sendiri, mereka tidak perlu berfikir tentang keadaan masa depan yang kononnya lebih buruk di bawah pembangkang, tetapi mereka harus berfikir bagaimana untuk menamatkan kezaliman yang sedia ada.

Rakyat sudah cukup menderita dengan kenaikan harga minyak mentah, tepung, tol dan tambang bas. Nanti harga petrol pula akan menyusul. Rawatan swasta di hospital kerajaan sudah diperkenalkan. Barang-barang makanan seperti roti dan kueh mueh sudah mengalami kenaikan harga. Tetapi Kerajaan BN masih tidak dapat mencari jalan untuk mengurangkan beban hidup rakyat.

Dalam politik, negara ini benar-benar diperintah oleh segolongan elit BN dengan dipengaruhi oleh kroni-kroni mereka.
Apa-apa dasar negara ditentukan berasaskan kepentingan mereka. Kerajaan BN mewujudkan WPI untuk kepentingan Singapura, membazirkan RM4.458 bilion (kos asal RM8b meningkat kepada RM12.485 b selepas penangguhan) untuk menyiapkan landasan berkembar dari Ipoh ke Padang Besar juga kerana kepentingan Singapura dalam menghubungkan republik itu dengan China.
Manakala pegawai tinggi polis dan hakim tidak lagi dilantik secara bebas oleh Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya oleh sekumpulan gangster. Bahkan, pegawai-pegawai yang bermasalah dengan kroni pemimpin BN akan dihadap ke mahkamah, manakala penjenayah yang bersekutu dengan pemimpin BN terlepas begitu sahaja.

Perlaksanaan demokrasi sudah tidak demokratik lagi. Sistem pilihan raya kita sekadar mengesahkan proses demokrasi sahaja apabila hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan dinafikan. Indeks kebebasan media begitu dahsyat seteruk indeks rasuah. ISA dan akta draconian lain terus disalahgunakan untuk menutup mulut rakyat.
Lebih teruk lagi, pengundi-pengundi pos menjadi alat untuk mengekalkan kuasa politik BN. Pengerusi SPR sendiri bercakap bagi pihak regim, bukannya seorang yang berkecuali. Ini belum dikira soal kuasa politik orang Melayu yang semakin terjejas dan juga kegagalan pemimpin Umno melaksanakan keadilan dan undang-undang yang berteraskan al-Quran dan Sunnah. Masakan rakyat hidup terjamin apabila pemimpin BN bercakaran sesama sendiri untuk merebut kepentingan peribadi.

Kehilangan adik Sharlinie beberapa bulan selepas adik Nurin Jazlin sudah cukup untuk menggambarkan betapa parahnya keadaan sosial kita.
Usah bercakap lagi soal bohsia, bohjan, dadah, rempit, mabuk, jenayah, zina dan lain-lain. Setiap hari kita mendengar masalah ragut, bunuh, rogol hinggalah penculikan kanak-kanak. Kita seperti hidup pada zaman batu yang tidak mempunyai peraturan sosial. Apa tidaknya apabila menteri sendiri ‘berlakon’ untuk CD lucah, pemimpin tertinggi BN satu demi satu dikaitkan dengan skandal seks, pecah amanah, rasuah dan sebagainya.
Dah bapa borek, sudah tentu anaknya rintik!
Timbalan Perdana Menteri kononnya menyeru pemimpin BN supaya menjaga tingkah laku, walhal beliau sendiri beberapa kali dikaitkan dengan skandal. pembunuhan Altantuya, rakyat Mongolia dan ia nampaknya terbeban hanya pada penasihat dan pengawal peribadi beliau sahaja!

Kerajaan BN juga secara mudah menyalahkan para siswazah apabila mereka merungut kerana ketiadaan pekerjaan. Yang diungkitkan ialah kegagalan siswazah membina kompetensi diri sehingga mereka ‘tidak laku’ di pasaran kerja.
Sedangkan, Kerajaan BN gagal menyediakan persekitaran ekonomi yang kondusif yang menggalakan pertumbuhan. Bagaimana mahu bekerja jika tidak ada majikan untuk mengambil pekerja.
Pelabur asing kurang berminat apabila Malaysia tersohor dek indeks rasuahnya. Usahawan-usahawan baru begitu sukar untuk meneroka peluang-peluang perniagaan kerana ‘duit kopi’ yang terlalu besar dan permainan kroni yang terlalu licik.
Kita kadang-kadang berasa hairan apabila anak menantu Perdana Menteri dan adik timbalannya begitu cepat melonjak naik, sedang siswazah lain terus terbungkam kerana ‘tidak kompeten’.

Bukankah di negara kita terdapat lebih 2.5 juta pekerja asing, tidak termasuk pendatang haram. Mereka menguasai pasaran buruh dengan kos yang rendah, sedangkan rakyat sebagai pekerja mahir tidak mendapat tempat.
Universiti kini sudah mencecah 50 buah, tetapi peluang pekerjaan untuk graduan masih tidak bertambah. Jika siswazah tidak kompeten, apa tugas Kementerian Pengajian Tinggi untuk meningkatkan kebolehupayaan rakyat dalam menjana ekonomi. Rakyat sebetulnya sudah meluat dengan dasar-dasar aneh Kerajaan BN yang mengutamakan kroni dan keluarga, mengamalkan rasuah dan kolusi.
Jika kita meneliti secara ringkas gambaran susana politik, ekonomi dan sosial negara yang saya cerakinkan itu, nampaklah kita bahawa soal menggadai masa depan tidak timbul lagi. Keadaan sudah cukup kelam kabut sekarang.
Dalam kata lain sudah 50 tahun rakyaty kalah judi! Rakyat harus berfikir untuk menebuskan balik kekalahan judi di tangan BN ini dengan memberi peluang kepada pembangkang pula untuk mengotakan janji dan manifesto mereka.
PAS/BA berjanji untuk mengurangkan harga petrol sekurang-kurangnya 30 sen bagi satu liter, sedangkan kerajaan BN seperti yang dinyatakan oleh Pusat Kajian Ekonomi (MEIR) bahawa harga minyak akan dinaikkan sekurang-kurangnya 30 sen bagi satu liter.
Selain itu, PAS/BA berjanji menyediakan pendidikan percuma daripada sekolah rendah sehingga ke ijazah pertama dengan memberikan biasiswa dan menghapuskan yuran universiti. Dan bagi 220,000 graduan yang masih berhutang dengan PTPTN, PAS/BA berjanji hutang mereka akan dihapuskan.
Rakyat perlu mengambil kesempatan ini sebelum kita terus menderita oleh kegagalan pengurusan dan pentadbiran BN.

Pembangkang tidak pernah berpeluang untuk menunjukkan kebolehan mereka memerintah dan rakyat tidak perlu takut untuk berubah.
Pemimpin BN yang ada diketahui umum tidak beretika dan menggunakan pendekatan tidak beretika untuk menakut-nakutkan rakyat. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga sudah berpesan kepada rakyat supaya menolak pemimpin-pemimpin yang tidak berertika dalam pilihan raya ini.
Jika rakyat berubah, mereka akan mendapat apa yang sekarang sedang dinikmati oleh rakyat Kelantan. Dasar-dasar yang pro rakyat oleh PAS di Kelantan ditiru satu demi satu oleh Kerajaan BN. Daripada rumah tiga bilik, cuti Sabtu dan Ahad hinggalah takaful kifalah dan armalah semuanya cuba dicedok oleh BN yang menunjukkan rakyat lebih terjamin di bawah PAS. Maka tidak terjejas masa depan rakyat dengan membuat perubahan.
Perubahan ke Arah Keadilan, Kemakmuran dan Kemajuan.

Vincent Tan kuasai akhbar The Sun, The Edge

Oleh Malaysiakini

Berjaya Corporation milik jutawan Tan Sri Vincent Tan mengumumkan hari ini telah membeli 35.7 peratus saham Nexnews - syarikat yang memiliki akhbar The Sun dan akhbar mingguan kewangan The Edge.
Menurut kenyataannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan bahawa ahli perniagaan Tong Kooi Ong - rakan kongsi Tan dalam Nexnews - telah bersetuju untuk menjual semua sahamnya dalam syarikat tersebut pada harga RM139.2 juta.
Keputusan tersebut akan menjadi Nexnews anak syarikat Berjaya Corporation dengan pegangan 54.59 peratus, kata kenyataan tersebut.
Penjualan keseluruhan saham milik Tong itu turut menandakan berakhirnya perkongsian mereka selama lima tahun.
Pada 2003, mereka menggunakan Nexnews untuk menggabungkan dua syarikat mereka - The Edge Communications Sdn Bhd milik Tong dan Sun Media Corporation Sdn Bhd milik Tan - kedua-dua penerbit akhbar The Edge dan The Sun.
Sejurus kemudian, Tong telah menjadi The Sun sebagai akhbar percuma, dan menambah pengedaran hariannya kepada 265,000 nashkah pada tahun 2006.
Dari jumlah tersebut, 215,000 nashkah diedarkan di Lembah Klang, menjadikan The Sun akhbar harian berbahasa Inggeris No1 di wilayah tengah.
Manakala akhbar The Edge pula merupakan akhbar perniagaan mingguan paling berwibawa di negara ini dengan edaran kira-kira 23,000 pada Jun 2006.
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, akhbar The Sun telah menjadi saingan hebat kepada dua akhbar berbahasa Inggeris utama - The Star dan New Straits Times - dari segi edaran serta pendirian editorialnya yang lebih independen dalam membuat liputan berita.
Kuasai semulaPara pemerhati percaya Tan mengambilalih Nexnews kerana pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan tidak senang dengan laporan akhbar harian tersebut.
The Sun, yang dibiayai oleh Tan pada 1993, mencatat kerugian sehingga RM200 juta dalam tempoh 15 tahun.
Ekoran itu, Tan telah membawa Tong, yang berjaya melancarkan akhbar The Edge, untuk membantu memulihkan akhbar harian tersebut.
Tong, yang diberi kebebasan sepenuhnya oleh Tan untuk menguruskan akhbar tersebut, telah membantu memulihkan kedudukan akhbar berkenaan.
Bagaimanapun, ekoran keputusan Tan hari ini untuk menguasai semula The Sun, maka para pemerhati politik menjangka akhbar tersebut akan kembali menyiarkan berita yang menyokong kerajaan

Sabtu, 19 Januari 2008

Eusoff: Hubungan saya dengan Lingam tidak rapat

Oleh Kuek Ser Kuang Keng
www.malaysiakini.com

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin hari ini berkata beliau mengenali peguam Datuk VK Lingam sejak awal tahun 1990-an ketika beliau menjadi hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.Katanya, beliau pertamakali bertemu Lingam ketika peguam tersebut datang untuk membincangkan satu kes dengannya.
Eusoff tidak pula menyatakan sama ada mereka bertemu di pejabatnya ataupun di tempat lain.Bagaimanapun, Eusoff menambah, hubungannya dengan peguam itu tidak rapat.
“Ianya merupakan satu hubungan biasa. Bukan hubungan rapat," katanya kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.
Eusoff adalah saksi yang ke-11 dipanggil memberi keterangan dalam siasatan tersebut bagi menentukan, antara lain, ketulenan klip video tersebut di mana Lingam didakwa mengatur perlantikan hakim-hakim, di dakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Eusoff juga ditanya mengenai percutiannya ke luar negeri bersama Lingam. Bekas ketua hakim negara itu menegaskan bahawa beliau kebetulan bertemu dengan Lingam dan keluarganya ketika percutian tersebut dan Lingam mahu ikut sama.
Gambar percutian
Ekoran banyak soalan yang dikemukakan kepada Eusoff, anggota suruhanjaya tersebut, Datuk Steve Shim bertanya sama ada beliau mahu perkara itu ditangguhkan untuk membolehkannya melantik seorang peguam.
Eusoff bersetuju sambil menyatakan suruhanjaya itu bertindak tidak wajar dengan membenarkan soalan-soalan yang tidak relevan ditanya kepadanya.
Siasatan tersebut kemudiannya ditangguhkan hingga Isnin depan. Hubungan Eusoff dengan Lingam sudah lama diperkatakan apabila gambar-gambar muncul di Internet, yang menunjukkan mereka bercuti bersama di New Zealand pada Disember 1994.
Eusoff menafikan sebarang salahlaku, dengan menyatakan bahawa beliau terserempak dengan Lingam dan keluarganya ketika bercuti dan peguam tersebut telah ikut bersamanya melawat zoo.Sementara itu, peguam Wee Choo Keong memohon kepada suruhanjaya tersebut supaya memanggil adik Lingam - Thirunama - sebagai saksi untuk memberi keterangan mengenai hubungan rapat Lingam dengan Eusoff.
Anggota suruhanjaya tersebut, Datuk Mahadev Shankar berkata, pihaknya akan menimbang permohonan tersebut selepas selesai mendengar keterangan Eusoff.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Eusoff memberitahu suruhanjaya diraja tersebut bahawa beliau dan Lingam berkongsi membayar kos pengangkutan antara dua bandaraya di New Zealand semasa percutian mereka dan keluarganya pada 1994.
Eusoff, yang ketika itu Ketua Hakim Negara, berkata beliau hanya membayar separuh daripada kos pengangkutan tersebut untuk sebuah van dari Christchurch ke Queenstown setelah Lingam menawarkan untuk membayar separuh lagi tambang tersebut.
Bekas Ketua Hakim Negara itu berkata beliau, isterinya Toh Puan Rosaini Mustaffa dan dua orang anaknya, Zubaidah dan Johan, telah menyewa sebuah van agensi pelancongan yang dipandu oleh rakyat New Zealand ke Queenstown.
Wakil Majlis Peguam Ranjit Singh bertanya kepada Eusoff kenapa beliau tidak memberitahu Lingam bahawa beliau tidak akan berkongsi van dengan beliau (Lingam) dan keluarganya kerana adalah salah bagi seorang hakim berbuat demikian kerana Lingam ialah seorang peguam yang pernah mengendalikan kes di mahkamah beliau.Eusoff menjawab bahawa van itu boleh muat antara empat dan sembilan orang dan "kami ada lapan orang".
Ranjit Singh juga bertanya sama ada Lingam peroleh program percutian Eusoff dan merancang lawatan itu hanya untuk rapat dengan Eusoff.
Eusoff menjawab: "Saya tidak boleh katakan apa yang beliau (Lingam) fikir tetapi Hakim Datuk Edgar Joseph Jr, yang baru balik dari New Zealand, memberitahu saya bahawa negara itu adalah tempat yang menarik itu dilawati.
"Saya kemudian minta setiausaha saya menghubungi ejen pelancongan untuk mengaturkan lawatan untuk saya selama seminggu atau lebih.Bagaimanapun, beliau (Lingam) mahu ikut saya. Itu di luar kawalan saya," katanya.

Tidak kenal TanMenjawab soalan Nordin sama ada beliau mengenali ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, beliau menjawab: "Tidak kenal".Bagaimanapun, Eusoff berkata beliau pernah berjumpa dengan Tan di beberapa majlis sosial termasuk sambutan Hari Raya.
Kepada soalan pegawai pengendali inkuiri itu, Datuk Nordin Hassan,Nordin sama ada beliau pernah melihat rakaman klip video seorang peguam berbual tentang pelantikan hakim melalui telefon, Eusoff berkata : "Ada, BPR (Badan pencegah Rasuah) pernah tunjuk kepada saya.Ditanya sama ada beliau melihat lelaki yang berada dalam video klip itu, Eusoff berkata beliau tidak boleh cam sebab masa itu klip video itu tidak jelas.Nordin kemudian meminta kebenaran supaya klip video itu dimainkan dalam prosiding bagi tujuan pengecaman.
Selepas klip video itu dimainkan bagi kali keempat sejak prosiding inkuiri bermula Isnin lepas, Eusoff masih gagal mengecamkan lelaki ituberdasarkan imej.Bagaimanapun, beliau berkata suara lelaki itu seakan-akan suara Lingam.
Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan dianggotai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguamcara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Khim.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya.

Selasa, 15 Januari 2008

Politik Datuk Joe Akan Berakhir ?

Ceramah Umum

1. Ustaz Ahmad Yahya
2. Saudara Mohd Nasir Mustafa

Tarikh: 18hb Januari 2008
Jam : 9.30 Mlm
Di :Markas PAS Cawangan Kubang Pasu
Kg Kubang Bentong, Hosba

Jamuan Di Sediakan (Selepas Solat Maghrib)

Sembelih seekor lembu..pakat pakai mai makan.
Seluruh Muslimin Dan Muslimat Di Jemput Hadir.

Sabtu, 12 Januari 2008

Banyak lagi kerja bermanfaat daripada sekadar hadir ceramah Mat Sabu

MENURUT para pemerhati politik, Parlimen akan dibubarkan pada hari Chap Goh Mei, penamaan calon pada 8 Mac dan hari mengundi pada 16 Mac.
Kita tertunggu-tunggu akan bentuk Malaysia selepas pilihan raya umum yang ke -12 ini. Adakah satu kerajaan baru akan dibentuk di peringkat Persekutuan atau di negeri-negeri yang dianggap sebagai "panas"? Atau BN akan dapat terus bertahan dan akan menjadi lebih ganas, zalim, gelojoh dan rakus lagi?

Sekiranya BN gagal ditumbangkan, walaupun jangkaan ini berbunyi sungguh pesimistik dan menentang arus, saya berharap di Parlimen dan di Dewan-Dewan Undangan Negeri, mereka tidak akan diberi laluan yang mudah.

Kita semua masih ingat nostalgia pasca pilhan raya umum 1999 di mana BN digasak dan dibelasah oleh ahli-ahli Parlimen BA.
Tidak seinci pun ruang diberikan oleh wakil-wakil rakyat BA yang dapat mematahkan hujah dan seterusnya menutup mulut wakil-wakil rakyat BN.

Pada hakikatnya wakil-wakil BA walaupun dipilih untuk mewakil pengundi di kawasan-kawasan mereka namun mereka mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Ditambah pula dengan jumlah mereka yang sedikit, pada Parlimen kali ini jumlah pembangkang tidak sampai 10% dan wakil-wakil PAS hanya boleh dikira dengan jari di sebelah tangan, mereka yang dipilih mestilah mempunyai kualiti dan kaliber yang boleh bercakap untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukan kawasan yang mereka wakili sahaja.

DAP telah lama menyedari akan hakikat ini dengan memastikan pimpinan tertinggi mereka dapat dihantar ke Parlimen.
Itulah sebabnya Lim Kit Siang kerap berpindah, dari Melaka ke Pulau Pinang dan sekarang di Perak. Beliau tidak berucap untuk Ipoh Timur tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, sebagai ahli PAS saya amat berharap agar PAS menurut jejak DAP di dalam hal ini. Hanyalah yang terbaik perlu "dilepaskan" ke Parlimen.
Lebih-lebih lagi PAS sebagai suara Islam di Malaysia perlu memastikan bahawa suara ini kedengaran di peringkat yang paling tinggi di negara kita.

Di dalam dunia tanpa sempadan, sentimen-sentimen kenegerian dan kedaerahan perlu dileburkan.

Pilihan raya satu pesta?

Saya ingin menceritakan pengalaman saya dengan dua ahli kita baru-baru ini.

Yang pertama adalah ketika saya pergi bersolat Asr di sebuah surau di mana ahli-ahlinya sungguh aktif dengan aktiviti surau tetapi hampir tidak terlibat dengan gerakerja PAS Kawasan walaupun pelbagai usaha untuk mendekati mereka telah dilakukan.

Seorang ahli berkata kepada saya, "Jangan takut, malam ini kami akan ke Melewar untuk mendengar Mat Sabu".

Yang kedua adalah ketika saya mengiringi Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS, ketika beliau berceramah di Dusun Tua.

Seorang ahli dari Pandan yang saya jumpa di sana telah memarahi saya kerana kita jarang mengadakan ceramah-ceramah umum.

Saya menerangkan kepada beliau bahawa kita baru sahaja menganjurkan majlis minum teh bersama Ustaz Nasharuddin di Town Park, Pandan Indah. Town Park terletak di tengah-tengah pusat komersial Pandan Indah, beberapa ratus meter dari Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

PAS di banyak tempat di Selangor jika berceramah di ceruk-ceruk, di markas-markas atau akan meletakkan rostrum di dalam rumah kerana takut diganggu polis.

Tetapi kita di Pandan meletakkan PAS di tengah-tengah masyarakat dan kita tidak gentar dengan ugutan dan tekanan dari mana-mana pihak sekalipun. Ada orang kata kita berani, ada orang kata kita gila.

Tetapi ahli kita itu masih tidak berpuas hati, dia masih mahu "ceramah malam" di markas.

Kedua-dua pengalaman itu membuat saya bertanya akan gerak kerja yang paling efektif untuk memenangi pilihan raya.

Adakah ianya "ceramah malam" di markas? Atau pergi ke Melewar untuk mendengar Mat Sabu?

Tidak dapat dinafikan ceramah memainkan peranan yang penting di dalam mengubah minda rakyat.

Ketika gelombang reformasi melanda negara kita mulai 1 September 1998, ceramah-ceramah perdana atau dengan lebih tepat lagi ceramah-ceramah mega dengan kehadiran melebihi 30,000 orang telah berjaya mengumpil rakyat dari cengkaman UMNO-BN.

Tetapi kadang kala orang yang sama datang ke ceramah-ceramah malah Mat Sabu sendiri pernah merungut kerana orang yang sama sering datang ke Melewar. Tidak ada orang-orang baru.

Jadi apakah yang sepatutnya gerak kerja utama kita?

Di dalam Konvensyen Pilihan raya PAS Negeri Selangor pada 23 Disember lepas, Saudara Wan Nik Yusuf dari Jabatan Pilihan raya PAS Pusat (JPP) memberitahu bahawa gerak kerja pilihan raya yang paling penting di Kelantan adalah yang berkaitan dengan daftar pemilih.

Sama ada mendaftarkan pengundi-pengundi baru atau mengenal pasti kecenderungan para pengundi.

Cawangan-cawangan akan memastikan setiap ahli dan penyokong berdaftar sebagai pengundi. Mereka juga mengetahui bila anak-anak ahli dan penyokong mereka akan layak untuk mengundi.

Buku-buku daftar pemilih yang kita ada di Pantai Barat mungkin melihat empat atau lima tahun sekali hampir menjadi “teks” usrah-usrah. Buku daftar itu sentiasa dirujuk setiap hari. Mereka mengenali semua orang.

Alasan kita di Selangor selalunya adalah ahli-ahli kita tidak ramai seperti di Kelantan. Atau penduduk-penduduk kota sering berpindah randah. Tetapi kadang kala apabila kita bertanya kepada ahli-ahli tentang kecenderungan jiran-jiran terdekat mereka, mereka tidak tahu!

Sudah berjiran lebih sepuluh tahun tetapi gagal menyelami hati budi orang-orang di sekelilng mereka.

Apabila diberikan buku daftar pemilih sama ada akan dipulangkan buku yang tidak bertanda, sebersih selepas dibasuh dengan sabun Trojan, atau telah terjual bersama surat-surat khabar lama.

Ini membuat saya bertanya, adakah kita benar-benar serius berusaha untuk menang atau menganggap pilihan raya hanya sekadar satu pesta sebagai alternatif kepada "Jom Heboh" atau "Jom Gegar"?

Di dalam keadaan kita yang sedikit di Selangor berbanding dengan UMNO, gerak kerja yang kita lakukan mestilah tepat kepada sasaran. Masa dan wang ringgit tidak seharusnya dibazirkan dengan kerja-kerja yang tidak berkesan dan tidak mendatangkan sebarang hasil.

Untuk memenangi pilihan raya bukanlah sekadar pergi ke Melewar mendengar Mat Sabu. Bukanlah sekadar duduk di surau mendengar kuliah ustaz yang hebat-hebat kerana lebih 95% yang masih tidak ke surau.

Bukanlah sekadar duduk di kedai-kedai kopi di kalangan kita mengutuk Umno. Bukanlah sekadar menaikkan bendera dan poster selepas penamaan calon. Tetapi ianya adalah kerja yang berterusan dan berpanjangan. Pilihan raya tidak dimenangi di dalam masa seminggu!

Menurut Wan Nik, gerak kerja memenangkan PAS di Kelantan dalam tahun 1990 bermula secara sepenuh masa dari tahun 1986. Terdapat petugas-petugas seperti beliau yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya.

Tetapi di Selangor jika ada yang memberi tumpuan sepenuh masa kepada pilihan raya, mereka akan dilabelkan sebagai sebagai sekular. Nampaknya orang di Selangor lebih pandai dari Tuan Guru Nik Aziz!

Apa yang anda boleh lakukan?

Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu gerak kerja pilihan raya kita.

Tidak perlu menunggu cawangan anda bermesyuarat kerana anda boleh melakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Tidak perlu menunggu restu dari Ketua Cawangan anda kerana ini adalah arahan terus dari Yang Di Pertua PAS Kawasan.

Malah tidak perlu menunggu wujudnya Cawangan kerana gerak kerja ini boleh dilakukan tanpa bantuan sesiapa.

Di antaranya adalah,

1. Mengumpul sebanyak mungkin nombor telefon “handphone” pengundi-pengundi "atas pagar" dan "UMNO cair"

2. Menyenaraikan nama dan alamat pengundi-pengundi "atas pagar" dan UMNO cair" yang anda kenali.

3. Mengedarkan risalah-risalah yang dikeluarkan oleh PAS Kawasan. Fotokopi semula jika mampu. Walaupun jika ia diedarkan kepada hanya 10 orang atau 10 buah rumah, ianya amat berharga.

4. Menghadiahkan akhbar-akhbar seperti Harakah, Siasah dan Berita KeADILan kepada pengundi "atas pagar" dan "UMNO cair" selepas dibaca. Jangan simpan dan menjadi ia "suratkhabar lama". Masukkan ke dalam peti surat mereka.

5. Menghadiri program-program PAS Kawasan walaupun berseorangan. Kehadiran anda amat membantu di dalam menaikkan moral para petugas di samping memberi imej yang positif di kalangan para pengundi.

6. Naikkan bendera PAS di rumah anda.

Kerja-kerja ini lebih bermakna kepada gerak kerja pilihan raya kita dari pergi ke Melewar mendengar Mat Sabu. Hubungilah saya untuk maklumat lanjut. Kita mempunyai masa yang amat terhad. Anggap Parlimen telah dibubarkan.

Selamat berjuang!
http://iskandar56100.blogspot.com/-->

PAS yakin pilihanraya umum ke 12 'miliknya'

BIARPUN Umno dan Barisan Nasional melancarkan kempen agresif menawan semula Kelantan akhir-akhir ini, PAS yang memerintah negeri itu selama 17 tahun langsung tidak gentar.
Bahkan, menurut Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, parti itu akan menambah bilangan kerusi pada pilihan raya akan datang berdasarkan aliran sokongan turun naik pengundi setiap kali pilihan raya umum berlangsung.

Jika pada pilihan raya umum 2004 sokongan kepada PAS berkurangan sehingga parti pembangkang itu kehilangan Terengganu dan hampir-hampir kehilangan Kelantan yang dikuasainya, beliau percaya pada pilihan raya ke-12, sokongan terhadap mereka akan melonjak semula.

"Kita lihat senario pilihan raya sejak dulu lagi berlaku turun naik (sokongan terhadap PAS), jika pada pilihan raya umum 1959 (sokongan kepada PAS) naik, pada 1964 turun, 1969 PAS naik semula.

"Pada 1974 (sokongan) turun semula, 1978 naik, 1982 turun...

"Pada 1999 naik dan pada pilihan raya tahun 2004 turun, kita percaya pilihan raya umum akan datang kita akan melonjak semula ditambah pula dengan isu yang banyak berlaku dalam negara," katanya.
Sementara itu, harakahdaily melaporkan, dua pemimpin utama Barisan Alternatif (BA) iaitu Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato'Seri Anwar Ibrahim akan menggegarkan kawasan parlimen Pekan pada 19 dan 22 Januari ini.

Program "Gelombang Kuning Semarak Hijau" itu menghimpun ribuan ahli dan penyokong PAS / BA dari seluruh negeri dari pukul 2.00 petang hingga 12.00 tengah malam.

Presiden PAS akan menghadiri program sesi sebelah petang di Peramu Jaya, Pekan dan Kuantan. Pada sebelah malam beliau akan berceramah di Kampung Razali, Gambang.

Antara aturcara program sempena lawatan presiden ialah Dialog dengan bukan Melayu (kaum Cina dan India ) serta mengedar risalah di Kuantan.

Turut serta bersama Ustaz Hadi termasuklah Timbalanya Ustaz Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Ketua Penerangan, Mahfuz Omar serta para pemimpin BA Pahang.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menemui rakyat juga di kawasan parlimen, Pekan pada 22 Januari. Anwar dijangka akan ke Muazam shah sebelum ke Pekan. Beliau juga akan berdialog dengan masyarakat Cina dan India sebelum berceramah di kawasan parlimen Pekan.

Lawatan kedua-dua tokoh BA tersebut adalah sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi pilihan umum ke -12. Parlimen Pekan adalah kawasan yang diwakili bakal Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pekan mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Peramu Jaya, Pulau Manis, Bebar dan Cini. PAS dan PKR pernah memang di Peramu Jaya (dulu Kuala Pahang) dan Cini dalam pilihan raya umum ke 10 (1999). Bagaimanapun tewas dalam pilihan umum ke 11 (2004

Wakil rakyat ditembak mati di pejabat MIC

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tenggaroh Datuk S. Krishnasamy ditemui mati dengan kesan luka tembakan dalam sebuah lif di bangunan MIC di Jalan Segget di sini pada 11/01/2008 .

Timbalan pengerusi MIC Johor itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada pukul 2.10 petang oleh ketua Puteri MIC Johor R. Vithiyamohan, kata Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif.

Timbalan ketua polis Johor SAC I Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (bermisai) dikerumuni wartawan di luar bangunan MIC, tempat wakil rakyat Tenggaroh ditembak mati.

Krishnasamy, 61, dipercayai sedang menuju ke tingkat dua bangunan itu untuk menghadiri mesyuarat perhubungan MIC Johor.

Mohd Mokhtar berkata polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat dan meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

"Biar polis buat siasatan," katanya.

Polis belum menyatakan motif di sebalik kejadian itu. Tiada sebarang senjata api ditemui di dalam lif itu.

Menurut seorang saksi, beliau melihat seorang lelaki meninggalkan tempat kejadian dalam keadaan tergesa-gesa dengan menunggang sebuah motosikal.

Ini merupakan kali kedua seorang anggota dewan undangan negeri mati ditembak. Pada November 2000, wakil rakyat Lunas di Kedah, Dr Joe Fernandez, 54, ditembak oleh seorang pembonceng motosikal ketika beliau memberhentikan keretanya di satu persimpangan lampu isyarat di Bukit Mertajam.

Krishnasamy, yang juga anggota jawatankuasa pusat MIC, menjadi wakil rakyat Tenggaroh sejak pilihan raya umum 2004. Beliau juga adalah ketua MIC bahagian Labis.

Ketua MIC cawangan Taman Datuk Chellem, S. Arumugam, berkata bahawa sebelum ke bangunan MIC itu, Krishnasamy makan tengah hari bersama beliau dan tiga lagi pemimpin MIC bahagian di sebuah restoran di Jalan Trus, tidak jauh dari bangunan itu.

"Kami borak-borak sahaja, Datuk sempat makan nasi campur," katanya.

Arumugam berkata bahawa selepas makan tengah hari, Krishnasamy telah meminta diri untuk ke bangunan MIC kerana mahu menghadiri mesyuarat dan beliau sendiri turut beredar untuk menuju ke tempat sama dengan sebuah kereta lain.

Arumugam berkata setibanya di tempat letak kereta di luar bangunan MIC itu, beliau terkejut apabila mendengar tangisan dua orang wanita di bangunan itu.

Vithiyamohan pula berkata ketika beliau mahu menaiki lif di tingkat lima, beliau terperanjat mendapati satu mayat dalam keadaan tertiarap di dalam itu.

Sehingga ini polis masih menyiasat untuk menentukan sama ada Krishnasamy ada membawa senjata api sendiri semasa kejadian.

Mayatnya telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut