Detikdaily

Rabu, 30 April 2008

Kejohanan Wushu Jemputan Kebangsaan

Persatuan Wushu Negeri Kedahj dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Kedah telah menganjurkan Kejohanan Wushu Jemputan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Sin Kuang di sini.

Kejohanan ini dianjurkan sebagai acara pra-Sukma yang telah menerima penyertaan dari beberapa buah negeri termasuk Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

Kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan , Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Dr Hamdan Khalib.

Dalam ucapannya beliau berharap dimasa akan datang sukan wushu akan turut menarik minat kaum lain selain kaum tionghua yang begitu sinonim dengan sukan bela diri itu.Menurut beliau lagi, kerajaan negeri akan berusaha supaya sukan ini akan turut diberi perhatian untuk dimajukan sepertimana sukan-sukan lain.

Dalam majlis itu juga disampai elaun kepada atlet kontinjen negeri Kedah yang akan beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 di Terengganu penghujung Mei depan.

Setiausaha Politik MB Kedah fail petisyen Dun Belantik

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd. Sanusi Md. Nor hari ini memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-12 yang lalu bagi Dun N.23 Belantik.

Petisyen tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Star melalui firma Taulan Rasul & Co. jam 10.30 pagi tadi.

Pada PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu, Mohd. Sanusi sebagai calon PAS tewas kepada calon BN, Mohd. Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.

Tiga nama disenaraikan sebagai defendan dalam petisyen tersebut iaitu Mohd. Tajudin, Suruhanjaya Pilihan raya dan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Sik.

Mohd Sanusi yang dihubungi menjelaskan terdapat 13 tuntutan yang dikemukakan di dalam petisyen tersebut dan antaranya ialah berkaitan kemasukan 1,031 pengundi pos di Daerah Mengundi Kota Aur yang tidak mengikut peraturan.

Menurutnya, seramai 1,031 pengundi pos tersebut tidak tercatat ketika nama bagi Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku ke 3 tahun 2007 dibuka untuk pameran dan bantahan. Bagaimanapun nama-nama tersebut diwartakan dalam DPT 3 sebagai pengundi pos dan sekaligus digunapakai dalam PRU ke 12.

Peguam Darshan Singh mengetuai pasukan 12 orang peguam yang bakal menghadapi perbicaraan kes ini yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

Hari ini adalah hari terakhir bagi mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan PRU yang lalu untuk memfailkan petisyen. Petisyen dibuat dalam masa 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan. Keputusan PRU ke-12 diwartakan pada 8 April lalu. - mks.

Selasa, 29 April 2008

Peniaga dan PBT disaran bertolak ansur

Para peniaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mewujudkan suasana 'menang-menang' iaitu dengan perbincangan dan tolak ansur dalam mencapai persefahaman antara kedua-dua pihak.

Demikian menurut Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohamed Taulan Mat Rasul dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-9 Penjaja-penjaja Kecil Melayu Kawasan Simpang Kuala yang diadakan di Kompleks Hijau Kuning, Alor Star.

"Tidak dinafikan peniaga suka tempat orang ramai, tempat lalu-lalang orang banyak. Dulu masa saya kerja di (majlis) bandaran orang marah, dia tanya pasai apa tempat tu tak bagi? Tempat tak ada orang siapa nak beli? Ini memanglah persoalan yang kena diatasi bersama antara tuan-tuan dengan pihak berkuasa tempatan," ujarnya.

Menurut beliau, peniaga boleh mengemukakan kertas kerja atau memorandum kepada PBT dan menghantar wakil untuk mengadakan perbincangan secara terhormat sebagai sebuah persatuan berdaftar.

Beliau yang memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menjelaskan bahawa PBT memiliki kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perkara yang melanggar peraturan.

"Jadi kita nak kedua-dua pihak 'win-win', maknanya 'menang-menang' dengan adanya tolak ansur antara pihak berkuasa tempatan dengan penjaja-penjaja," serunya.
Tambah beliau lagi, beberapa kawasan perniagaan awam di sekitar Alor Star akan diambilalih dan disusun semula oleh Majlis Bandaraya Alor Star.

Ujarnya, tindakan itu dilakukan dalam usaha mengatasi beberapa permasalahan yang melibatkan lalu lintas, perebutan tempat berniaga, peniaga tanpa lesen, pendatang tanpa izin dan lain-lain.

"Oleh itu PBT akan menyusun semula, kemukakan memorandum dan cadangan kepada PBT, apa yang tuan-tuan mahu. Dari segi kebersihannya, pembahagian petaknya, susunan aturnya demi kemudahan peniaga-peniaga dan pengunjungnya. Ini perlu untuk adanya persefahaman antara penjaja dengan pihak berkuasa tempatan.

"Kadang-kadang kita kata kita sudah bersihkan lepas meniaga, tetapi pihak berkuasa kata tidak dibersihkan dengan sempurna. Jadi adanya tidak sefahaman. Ini perkara biasa yang kadang-kadang berlaku. Apapun, kerjasama kena ada,"nasihatnya.

Menurutnya lagi, PBT memiliki undang-undang dari perkara yang besar hingga yang kecil dalam hal perniagaan. Oleh itu pematuhan kepada undang-undang bertujuan tidak mengganggu dan memudharatkan pihak lain selain turut membantu pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan melalui PBT sedang berusaha mengenalpasti tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan tempat peniaga kecil menjalankan perniagaan selain berusaha membantu peniaga agar berkemampuan memiliki premis perniagaan sendiri. - mks.

Sabtu, 19 April 2008

Kerajaan negeri akan beri bantuan kepada mangsa kebakaran

Kerajaan Kedah akan memberikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Pekan Kodiang pagi tadi selepas dibuat taksiran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, demikian jelas Exco Kanan, Ir Phahrolrazi Zawawi.

Selain itu kerajaan juga akan mengkaji bentuk tindakan lanjut yang akan diambil memandangkan tanah yang diduduki itu bertaraf sementara (TOL).

Beliau hadir melawat tempat kejadian kira-kira jam 1.00 tengah hari tadi bersama-sama Adun Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad serta Pegawai Tugas Khas Kanan Menteri Besar, Roslizan Zakaria.

Dalam kejadian pukul 10.00 pagi tadi, sederet rumah kedai lapan pintu kedai milik peniaga kaum Tionghua di Pekan Kodiang hangus dijilat api.

Kebakaran tersebut membabitkan dua buah kedai runcit, dua buah kedai emas, dua buah kedai telefon bimbit, sebuah kedai emas dan sebuah kedai barangan elektrik.

"Kebakaran bermula kira-kira jam 10.00 pagi dan pihak bomba yang menerima panggilan pada jam 10.20 pagi tiba 15 minit kemudian. Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berdekatan 20 minit kemudian," kata pegawai penjaga Balai Bomba Jitra, Abdul Kudus Abdul Malik.

Bagaimanapun sejurus kebakaran berlaku, pasukan bomba sukarela Pekan Kodiang yang berada berdekatan sudah memulakan tugas mereka dengan dibantu pasukan bomba sukarela dari pekan berdekatan seperti Padang Sera, Tunjang dan Megat Dewa.

Menurut Abdul Kudus, secara keseluruhan, pasukan bomba yang terlibat ialah dari balai Jitra, Arau, Bukit Kayu Hitam dan Alor Star selain dibantu tujuh kereta bomba sukarela.
"Punca kejadian dan kerugian masih disiasat," kata Abdul Kudus.

Sementara itu, awal petang tadi, satu mesyuarat khas diadakan di pejabat Penghulu Mukim Keplu dekat sini untuk memutuskan tindakan segera kepada mangsa kebakaran.

Mesyuarat dipengerusikan Penghulu Mukim, Md Akib Hashim dan turut disertai Phahrolrazi, Roslizan, mangsa kebakaran serta wakil dari pasukan Bomba dan Penyelamat.

Turut hadir wakil Pejabat Daerah Kubang Pasu, Naib Yang di-Pertua PAS Kawasan Jerlun, Ismail Wan Teh dan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Abdul Aziz Hat.

Antara bantuan segera yang diberikan ialah bantuan makanan dari Pejabat Daerah Kubang Pasu bernilai RM100.00 kepada semua lapan keluarga mangsa yang terbabit.

Dalam ucapan ringkasnya, Phahrolrazi berharap semua mangsa bersabar dengan ujian tersebut di samping mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba dan penyelamat serta pasukan bomba sukarela yang banyak membantu.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan dari pihak kerajaan negeri kepada semua mangsa kebakaran tersebut. - mns

Khamis, 17 April 2008

Kerajaan Kedah lantik ahli majlis PBT baru berkuat kuasa hari ini

Semua ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Star yang lama telah ditamatkan perkhidmatan mereka bermula semalam dan perlantikan ahli majlis baru berkuat kuasa hari ini, demikian diumumkan Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak. --

"Mesyuarat Exco hari telah bersetuju untuk membatalkan khidmat ahli majlis daerah dan bandaran yang lama berkuat kuasa hari ini dan yang baru dilantik berkuat kuasa esok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam.

Menurutnya, semua perlantikan baru itu membabitkan lantikan wakil parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pegawai-pegawai (ex-officio) mengikut peruntukannya iaitu tidak melebihi 24 orang.

"Mereka yang dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua (YDP) Majlis masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohamed Taulan Mat Rasul yang ditemui kemudian menjelaskan perlantikan tersebut membabitkan seramai 243 orang ahli tidak termasuk YDP.

Secara terperincinya, perlantikan tersebut Majlis Bandaraya Alor Star seramai 24 orang, Majlis Perbandaran Sungai Petani (24 orang), Langkawi (21 orang), Kulim (24 orang), Kubang Pasu (22 orang), Baling (18 orang) dan Pendang (21 orang).

Sementara itu, Sik menerima perlantikan ahli seramai 16 orang, Padang Terap (20 orang), Bandar Baru (17 orang), Kulim HiTech (21 orang ) dan Yan (15 orang). - mns

Cakaplah perpaduan Malaysia!

Kini bukan lagi masanya untuk bercakap mengenai perpaduan kaum Melayu, Cina, India atau Kadazan, kata seorang pemimpin kanan Gerakan.

Sebaliknya, tegas naib presiden Gerakan, Datuk Dr S Vijayaratnam, kini merupakan masa untuk menumpukan kepada soal perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, perkembangan ini jelas dapat dilihat daripada keputusan pilihanraya umum lalu apabila rakyat tidak mengundi mengikut garis parti kaum.

"Pengundi pelbagai kaum telah beralih menyokong pembangkang.

Jelas sekali bahawa pengundi Cina memangkah PAS, manakala pengundi Melayu pula menyokong (simbol) roket," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, sekarang adalah masa untuk bercakap mengenai perpaduan rakyat Malaysia yang bukan lagi berasaskan kepada garis kaum.

"Itulah yang rakyat mahu dan ia akan menjadi tumpuan menjelang pilihanraya umum yang akan datang," tambah Vijayaratnam.Barisan Nasional, katanya, mesti bersedia menerima realiti tersebut bagi mengelak sebarang polemik.

Beliau berkata, walaupun bukan mudah memandangkan wujudnya parti-parti berasaskan kaum dalam BN, tetapi ia bukanlah sesuatu isu yang tidak boleh diatasi.

"Ia perlukan komitmen, tetapi adalah mustahak bagi BN menerima falsafah kepelbagaian kaum supaya kekal relevan dan menebus semula kekalahan dalam pilihanraya umum lalu.

"Kita mesti dengar suara rakyat," tegas Vijayaratnam

sumber Malaysiakini

Rabu, 16 April 2008

Lebih 40 ribu borang ahli PAS habis di Kedah


Lebih 40,000 borang keahlian PAS habis dalam seminggu di Kedah, demikian menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Hassan Razak semasa merasmikan
Mesyuarat Agung PAS Kawasan Merbok Kali Ke-24 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Merbok (PUTIM), Pengkalan Kakap di sini.

"Keadaan hari ini, lepas kita menang di beberapa buah negeri, pakat menderu-menderam ambil borang. Borang KeADILan, borang-borang PAS, borang Kelab Penyokong PAS.

"40,000 dicetak untuk negeri Kedah, tak sampai seminggu habis! La ni kita ada 150,000 ahli PAS seluruh Kedah, lepas ni akan jadi 190,000 insya-Allah," ujarnya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengimbas kembali kebangkitan rakyat pada pilihan raya yang lalu yang disifatkan beliau masih belum disedari pemimpin Barisan Nasional (BN) sedangkan rakyat semakin sedar.

"Sepatutnya sebagai orang politik sudah boleh baca apabila orang India menyebut 'Makkal Sakhti' sepatutnya dia (pemimpin BN) sudah boleh fikir. Apabila orang Cina menyebut 'Gai Ge', dia boleh fikir. Apabila orang Melayu menyebut 'Reformasi' sepatutnya mereka sudah boleh fikir.

"Tetapi mereka masih tidak boleh fikir kerana pemikiran mereka dihalang, ditadbir, didinding oleh projek-projek besar yang menguntungkan mereka dan menguntungkan peribadi anak menantu mereka," ujar beliau.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin BN Kedah yang meninggalkan jumlah beban hutang yang besar.

"Rupanya selama 50 tahun mereka mentadbir, bukan mereka mentadbir untuk memberi pembangunan kepada rakyat. Bukan mereka tadbir untuk memberi kebajikan kepada rakyat. Bukan mereka gunakan semua agensi kerajaan itu untuk mentadbir pembangunan rakyat.
"Rupa-rupanya wang yang banyak itu mereka agih untuk diri mereka dan ahli keluarga mereka, konco-konco mereka, pengampu-pengampu mereka menyebabkan rakyat memikul bebanan yang begitu berat iaitu RM2 bilion hutang yang ditinggalkan," katanya.

Dalam menjelaskan tanggungjawab kerajaan baru memikul hutang itu, beliau memberikan analoginya yang tersendiri.

"Nak buat macam mana dah kita menikah dengan janda orang. Janda tu berhutang, maka kita berkahwin dengan dia, sebagai suami dia maka tanggungjawab dan kewajipan suami baru kepada janda tersebut kena bayar hutangnya walaupun RM2 bilion," ujarnya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyeru agar ahli parti berperanan sebagai kerajaan bukan lagi bersikap pembangkang. Malah menyentuh hubungan dengan bukan Islam beliau meminta ahli parti mewujudkan pendekatan yang berakhlak.

"Jadi gunalah bahasa dan pendekatan yang baik dengan orang yang bukan Islam dengan akhlak kita yang terpuji untuk menawan hati mereka. Hasil daripada mereka tertawan dengan akhlak kita, maka mereka akan bersama-sama dengan kita.

"Yang boleh pusing hati mereka Allah SWT sahaja, kita hanya boleh tunjuk akhlak yang baik macam Nabi menunjukkan akhlak yang baik kepada seluruh masyarakat Arab," serunya.

Turut hadir pada perasmian tersebut ialah Ahli Parlimen Merbok, Dato' Rashid Din dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Azmi Abdul Hamid. - mks.

PAS Kedah tubuh Pusat Khidmat Wakil Rakyat

PAS Kedah akan mewujudkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya.
Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Pesuruhjayanya, Ir. Phahrolrazi Zawawi di dalam satu perjumpaan khas petugas PAS pada14hb april 2008.

Dalam perjumpaan yang dihadiri lebih 1,000 orang itu, Phahrolrazi menjelaskan untuk bagi Dun yang tidak dimenangi oleh Pakatan Rakyat akan dijadikan sebagai DUN angkat
.
"Antara tujuan diwujudkan PKWR adalah untuk menjadi pejabat wakil rakyat dan memudahkan urusan rakyat dengan wakil rakyat. PKWR juga akan bertindak sebagai pembantu kepada wakil rakyat," jelasnya.

Menurut beliau, semua hal pengurusan PKWR tersebut akan dibiayai sendiri oleh Adun PAS yang berkenaan dengan dipantau oleh PAS Kawasan.

"Untuk melaksanakan cadangan tersebut, PAS Kedah telah mengeluarkan kertas kerja panduan kepada semua kawasan. Saya agar semua petugas parti bersama menjayakan gerakerja yang direncanakan di bawah PKWR ini," katanya lagi

Ahad, 6 April 2008

Apa lagi Mahdzir bekas MB Kedah?


OLeh AFRAR YUNUS
Isu dua imam, tanah perkuburan yang berlainan, khutbah dua edisi dan sebagainya sudah tentu masih dalam ingatan kita.

Beberapa tahun yang lalu, isu-isu ini dicipta oleh UMNO dan media pengampu kerajaan persekutuan bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di Terengganu dan di Kedah.

Selepas pilihanraya umum kedua belas, Kedah dimandatkan oleh rakyatnya untuk diperintah oleh Barisan Rakyat yang diketuai PAS. Barisan Rakyat mendapat 22 kerusi manakala BN mendapat 14 kerusi DUN.Bekas Menteri Besarnya, Mahdzir Khalid seperti kera digigit tebuan.

Tidak dapat menerima kekalahan tersebut.

Rata-rata penduduk di Alor Star memberitahu, "inilah balasan kepada mereka yang sombong dan bongkak.

Bercakap dengan rakyat tanpa memandang muka mereka".

Mahdzir telah mengumumkan bahawa kesemua Ahli Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik semasa zaman pemerintahan BN hendaklah meletakkan jawatan bermula 1 April 2008.

Pada Februari 2008 yang lalu, Mahdzir juga ada mengumumkan untuk membayar tungggakan elaun kepada Pengerusi dan JKKK ini. Difahamkan elaun Pengerusi JKKK adalah RM500.00 sebulan manakala elaun Setiausahanya ialah RM200.00 sebulan.

Bagi saya, bukan sahaja ahli PBT dan JKKK sahaja yang perlu meletakkan jawatan.

Apa sahaja kedudukan yang berkaitan dengan bidang kuasa pentadbiran negeri hendaklah mengambil tindakan yang sama.

Ini termasuklah Imam-imam yang hanya boleh membaca khutbah (bukan berkhutbah), Pengerusi dan jawatankuasa Yayasan Kemiskinan Negeri Kedah, Pegawai Peribadi Exco-Exco, perlantikan politik bagi anak-anak syarikat di Negeri Kedah dan sebagainya.

Bagi pegawai-pegawai lantikan politik dari kerajaan BN, mereka tidaklah dipecat atau dibuang kerja. Mereka boleh balik dan berkhidmat semula ke agensi lama sebelum dipinjamkan di atas dasar politik.

Di Amerika, apabila Presiden barunya mengangkat sumpah, maka ia akan membawa bersama ketua-ketua pentadbirnya dari kalangan orang mereka.

Di Malaysia, Ketua Pentadbirannya tidak terganggu.

Apapun, jika dibiarkan idealisma bertentangan untuk menentukan arah sebuah kapal, nescaya keharmonian dan kemakmuran tidak dapat dikecapi.

Biarlah yang lainnya menjadi penumpang sahaja. Bukan semua boleh menjadi nakhoda.Apa guna mahu dikekalkan jika tidak dapat bekerja secara bersama. Apa guna mahu menerima gaji rakyat jika tugasan tidak dilakukan.

Kita perlulah faham tugas dan peranan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri

.Saya teringat isu dua imam dan tanah perkuburan yang berlainan apabila bekas MB Kedah Mahdzir Khalid yang mengarahkan JKKK meletakkan jawatan, tetapi di dalam masa yang sama masih mahu mengekalkan fungsi mereka di tempat lama dengan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Apakah ini semua ?Siapa bakal pemecah belah masyarakat di Kedah jika isu seperti ini dibiarkan?

Bukan UMNOkah ?Orang yang sepatutnya membuat keputusan di peringkat negeri adalah Ustaz Azizan Abdul Razak.Mahdzir sepatutnya sudah sedar bahawa dia bukan lagi Menteri Besar Kedah.

Bukan lagi keputusan Mahdzir, UMNO atau BN yang perlu dipakai kerana mereka sudah ditolak rakyat.


Rabu, 2 April 2008

Hampir 2,000 ahli PBT, JKKK berundur

Semua 1,938 ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Kedah yang mewakili Umno meletakkan jawatan.

Peletakan jawatan itu, yang berkuatkuasa semalam, diarahkan parti itu selepas tewas di tangan pakatan pembangkang pada pilihanraya umum 8 Mac.

Ketua badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu dicapai pada mesyuaratnya di pejabat Umno di sini malam tadi, lapor Bernama hari ini.

Kedah kini dikuasai pakatan PAS-PKR selepas pembangkang, termasuk DAP, menguasai 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS menguasai 16 kerusi, PKR lima dan DAP satu setelah seorang calon bebas menyertai pakatan pembangkang.

Selain di negeri itu, 876 ketua kampung di seluruh Perak dilaporkan bersedia melepaskan jawatan masing-masing atas alasan mereka tidak sehaluan dengan kerajaan campuran pimpinan DAP, PAS dan PKR.

Seramai 13,140 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) akan menurut langkah yang sama pada 1 Mei ini.

Kerjasama lebih erat dengan India – Azizan

Kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama lebih erat dengan India bagi meneroka potensi baru dalam pelbagai bidang terutamanya bidang bioteknologi dan farmasi.
Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, dua bidang itu ternyata boleh memberi faedah dalam bidang ekonomi kepada kedua-dua pihak dan perlu dipandang serius oleh semua pelabur di negeri ini.

Azizan memberitahu, kerajaan India telah mengajak beliau untuk mengadakan lawatan kerja ke sana dan berjumpa dengan para pelabur bagi menerangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan dengan mereka.

“Saya akan membawa perkara ini kepada Pusat Pelaburan Kedah untuk dikaji dan dipertimbangkan secepat mungkin.

“Banyak bidang baru terutamanya bioteknologi dan farmasi boleh diteroka dan boleh membawa keuntungan kepada kedua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akbar sempena kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India, Ashok K. Kantha yang mengadakan lawatan ke Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Azizan berkata, negeri ini mempunyai pelbagai keistimewaan terutamanya dalam bidang perindustrian, pelancongan dan sebagainya yang boleh dieksploitasi oleh para pelabur.
“Kita ada Taman Perindustrian Kulim yang lengkap dengan pelbagai prasarana untuk ditawarkan kepada pelabur manakala kita juga menyasarkan lebih ramai pelancong dari India melawat Kedah,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama yang telah terjalin sejak dari dahulu mesti dipelihara dengan lebih erat bagi mewujudkan peluang-peluang baru yang boleh membawa faedah bagi kedua-dua negara.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu hanya tertumpu kepada satu negara sahaja untuk mengadakan kerjasama tetapi semua negara yang berminat amat dialu-alukan datang dan menjalinkan kerjasama.

Dalam pada itu, Ashok berkata, India dan Kedah telah lama mengadakan kerjasama dua hala dan beliau melihat negeri ini mempunyai potensi yang luas untuk diteroka bersama.
“Tahun lepas India melabur RM1 bilion di negara ini dan Kedah juga termasuk dalam senarai negeri yang mempunyai kerjasama pelaburan dengan India.

“Tahun ini kita mahu lebih banyak pelabur dari India dan Kedah untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya bidang bioteknologi dan farmasi,” katanya.

MB Kedah minta penghulu bekerja secara profesional bukan ikut arahan JKKK

Oleh Bashir Ishak dan Izwan Abdul Halim

Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru para penghulu di negeri ini menjalankan tugas mereka secara profesional tanpa memikirkan fahaman politik walaupun Kedah kini diterajui oleh PAS.
Katanya, selaku pegawai kerajaan negeri yang lebih hampir dengan rakyat, para penghulu diminta tidak bekerja untuk ahli politik tetapi bekerja dengan untuk rakyat.
"Tuan-tuan jangan takut dan bimbang dengan kerajaan negeri yang baru walaupun berbeza parti politik. Itu hak masing-masing yang telah ditetapkan mengikut perlembagaan negara.

"Yang pentingnya kita berusaha untuk memantapkan pentadbiran, kita bekerja sebagai pegawai kerajaan negeri mengikut profesionalisme masing-masing. Kerjasama dengan kerajaan bukan dengan saya," katanya.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan memperkasakan tugas penghulu yang kini dilihat agak terkebelakang berbanding peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Dulu JKKK berperanan menolong penghulu tetapi akhirnya penghulu lepas ke tepi. JKKK dari lantikan politik ini nampaknya lebih berkuasa dari penghulu.

"Jadi kita akan memperkasakan semula para penghulu dan adakan dikembalikan semula peranan mereka ke landasannya," ujarnya dalam majlis pertemuan dengan para penghulu seluruh negeri Kedah.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Pengerusi Persatuan Penghulu dan Penggawa Malaysia Cawangan Kedah, Md Fuad Zainol Abidin menyatakan sokongan para penghulu kepada pimpinan kerajaan negeri yang baru.

"Kami berharap agar kerjasama yang erat diteruskan antara YAB Menteri Besar dengan para penghulu untuk menjadikan negeri Kedah lebih sejahtera," katanya.

Majlis perjumpaan dengan penghulu dari seluruh negeri Kedah ini diadakan di Seri Mentaloon, kediaman rasmi Menteri Besar dekat sini baru baru ini.


Ustaz Azizan yang ditemui pemberita kemudiannya menyokong kenyataan bekas Menteri Besar Dato' Seri Mahdzir Khalid agar JKKK meletakkan jawatan dengan segera.


"Kita bukan nak pecat mereka, tapi kalau mereka tak mahu terima jawatan, kita boleh lantik JKKK baru dan senang kita nak terus buat kerja" katanya. - mr

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut