Detikdaily

Khamis, 15 Mei 2008

5 MB Pakatan Rakyat ajak rakyat boikot akhbar Utusan

Majlis Menteri-menteri Besar lima buah negeri yang ditadbir di bawah Pakatan Rakyat, menyeru rakyat supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Salah seorang ahli majlis, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat akhbar itu bersikap keterlaluan dan tidak profesional serta tidak adil, kerana terus memburuk-burukkan serta memutar-belit berita tentang pentadbiran negeri dan juga gabungan Pakatan Rakyat.

Khalid juga menegaskan akhbar terbabit membesar-besarkan isu untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pentabiran serta parti dan juga membakar api perkauman yang sempit.

Katanya, semua ahli majlis ini meminta semua jabatan dan institusi kerajaan di lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan berhenti membeli akhbar tersebut dan juga berhenti memberikan iklan kepada mereka.

Justeru, ahli majlis ingin menyeru supaya semua pembaca Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhenti membeli akhbar tersebut serta-merta.

Sehubungan itu, katanya, para pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat kesal dan bimbang kerana kontroversi mengenai kuasa serta kedudukan Raja-Raja dipolitikkan secara besar-besaran dan tidak bermaruah, terutama oleh media milik parti-parti dalam kerajaan BN Pusat dan sesetengah pemimpin Umno.

"Kami berpendirian tegas mendukung kedudukan Raja-Raja sebagai Raja ber-Perlembagaan, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, semua pihak harus menerima bahawa seseorang Menteri Besar mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan mana-mana pegawai eksekutif di negerinya.

Namun, katanya, bagi jawatan yang berkaitan dengan Majlis Agama Negeri, Sultan sebagai Ketua Agama Negeri seharusnya dirujuk terlebih dahulu.

Justeru, Ahli Majlis Menteri-menteri Besar menegaskan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi DAP Yb Karpal Singh adalah pandangan beliau dari perspektif undang-undang.

"Kami menerima penjelasan YB Karpal Singh bahawa beliau tidak bertujuan untuk menghina Sultan. Kami berharap semua pihak akan menerimanya juga dan berhenti segera dari menggembar-gemburkan isu ini sehingga boleh menimbulkan ketidakstabilan dan ketegangan kaum," kata Khalid. - mr

Kedah cadang tubuh jawatankuasa penyelarasan antara Pusat dan Negeri


- Kerajaaan Negeri Kedah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa penyelaras antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, demikian diumumkan Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak.


Menurutnya, penubuhan jawatankuasa tersebut yang dicadangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini adalah untuk membincangkan isu-isu kepentingan rakyat berikutan perbezaan politik antara parti yang memerintah kerajaan pusat dan kerajaan negeri.


"Kita mahu mengelakkan berlakunya keadaan yang tidak menyenangkan berikutan perbezaan politik. Kita tak mahu berlaku sebarang kecacatan di peringkat negeri yang akan memberikan kesan juga kepada kerajaan pusat.


"Untuk itu kita mencadangkan diwujudkan jawatankuasa ini dengan niat yang baik untuk menyelaraskan isu-isu kepentingan bersama antara kerajaan negeri dan pusat," jelasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini

.
Berkata kepada pemberita kemudiannya, Ustaz Azizan juga mencadangkan agar pihak kerajaan pusat menubuhkan satu jawatankuasa seumpamanya bagi kelima-lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu di Kedah, Kelantan, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
"Sudah sampai masanya Perdana Menteri menjemput pemimpin kelima-lima negeri ini untuk berbincang tentang penyelarasan antara pusat dan negeri demi untuk kepentingan negara Malaysia," katanya.


Ditanya pemberita kemudiannya, Ustaz Azizan berkata pihak kerajaan negeri akan menghantar surat rasmi berkaitan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri. - mns


Rabu, 7 Mei 2008

Selamat berpesta : Harga barang naik

Oleh AFRAR YUNUS

Harga barang-barang makanan naik bukannya sepuluh atau dua puluh sen. Naik beringgit-ringgit. Seolah-olah Malaysia sudah tidak ada kerajaan. Seolah-olah anak-anak ayam telah kehilangan ibu mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad seperti juga Shafie Afdal. Sudah memulakan teori-teori dan alasannya bahawa kementeriannya tidak terlibat dalam pengawalan harga beras.

Dituding jarinya ke arah Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed yang dikatakan sepatutnya mengawal harga kenaikkan beras.

Mustapa pula memberikan alasan bahawa ia akan mempastikan harga beras dan lain-lain barang kawalan tidak naik harga.

Mustapa bercakap seolah-olah barang-barang dapur di rumahnya itu dibeli oleh orang lain atau mungkin mendapat secara percuma. Begitukah ?

Teringin, seronok dan berlumba-lumba menjadi menteri tetapi khidmat kepada masyarakat tidak dapat dilaksanakan.

Lihat beberapa harga barang-barang dapur di sekitar bandar Alor Star Kedah.

Beras

19.00

35.00

Milo

22.00

29.00

Buttercup

4.80

8.40

Sadin

4.60

5.30

Ikan Jenahak

20.00

28.00

Minyak jagung

18.00

30.00

Sabun Basuh

0.70

1.00


Beras naik RM16.00 bagi kampit 10 kilo. Bukan RM1.60.

Rakyat mula berfikir. Apakah syarikat-syarikat besar barang-barang makanan dikuasai oleh pak-pak menteri dan kaum kerabat mereka.

Dihebohkan pula harga disel akan naik pada Julai 2008 ini.

Wah ! Rakyat Malaysia perlu gembira dengan pesta kenaikkan harga barang-barang makanan termasuk makanan rozi.

Semua yang naik tidak akan, tidak boleh dan tidak mahu turun. Begitu juga pemimpin-pemimpin yang berlumba-lumba menjadi pak-pak menteri, semuanya tidak akan, tidak boleh dan tidak mahu turun.

Selagi pak-pak menteri ini tidak diturunkan, jangan harap harga barang akan berhenti turun. Selamat berpesta!


Pengilang Beras Palsukan Gred Beras Dikesan

Oleh BERNAMA
Seorang pengilang beras swasta di Tunjang, Jitra dikesan memalsukan gred beras super tempatan 15 peratus hancur kepada super special tempatan 5 peratus hancur, dalam tindakan serbuan oleh Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras cawangan Kedah semalam.

Ketua bahagian itu, Rohim Kalid berkata pihaknya merampas 30 tan beras bernilai kira-kira RM90,000 yang disimpan di dalam kilang berkenaan dan menyoal pemiliknya, berusia 54 tahun.

"Siasatan awal mendapati pengusaha kilang terbabit mengambil kesempatan melakukan kegiatan itu untuk mengaut keuntungan mudah berikutan krisis kenaikan harga beras sekarang," katanya kepada pemberita di sini hari Rabu.

Rohim berkata pengilang itu disyaki mengaut keuntungan berlebihan dengan memalsukan gred beras, berikutan perbezaan ketara antara harga beras super special tempatan 5 peratus hancur yang dijual RM28 bagi sekampit 10 kilogram (kg) berbanding RM16.50 untuk sekampit 10 kg beras super tempatan 15 peratus hancur.

Katanya pemilik kilang boleh didakwa memalsukan gred beras dan tidak mengeluarkan gred beras mengikut syarat lesen pengilangan.

Dr Isa dilantik Speaker Dun Kedah

Majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah berlangsung di sini baru baru ini dengan menyaksikan Dr Isa Ismail dilantik sebagai Speaker.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Kubang Pasu terpilih selepas menjadi calon tunggal apabila namanya dicalonkan oleh Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak dan disokong oleh Exco kerajaan negeri, Ir Amiruddin Hamzah.

Isa, 59, adalah bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia dan pada pilihan raya umum yang ke-12 baru-baru ini tewas dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Kubang Pasu.

Sementara itu, Adun Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad pula dilantik sebagai Timbalan Speaker apabila beliau juga merupakan calon tunggal untuk jawatan berkenaan.

Abdul Ghani adalah seorang peguam dan pernah menjadi Adun bagi kawasan itu sebelum tewas pada pilihan raya umum 1999 dan memenanginya semula pada pilihan raya umum lepas.

Selepas kedua-dua Spekaer dan Timbalan Speaker mengangkat sumpah, Azizan kemudiannya mendahului semua wakil rakyat yang terpilih mengangkat sumpah sebagai Adun.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, PAS memenangi 16 kerusi daripada 36 kerusi Dun di Kedah dan membentuk kerajaan bersama KeADILan yang memperolehi empat kerusi.
Manakala calon bebas yang menang di Dun Bukit Selambau kemudiannya menyertai KeADILan. DAP pula memperolehi satu kerusi.

Sementara itu Barisan Nasional pula hanya mendapat 14 kerusi Dun. - mks.

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut