sebalik keghairahan Umno untuk bermuzakarah dengan PAS, tiba-tiba Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak membuat satu kenyataan yang agak ‘menghiburkan’ apabila diajukan soalan wartawan berhubung isu muzakarah Umno-PAS, khususnya di negeri Jelapang Padi ini. “Kita di Kedah, PAS, Umno macam adik, abang…” katanya.
Isu muzakarah kedua-dua parti politik utama Melayu Islam di negara ini, iaitu Umno dan PAS, bukan perkara baru. Ia berbangkit setiap kali Umno menghadapi prestasi yang buruk pada pilihan raya umum.
Selepas pilihan raya umum 1999, di mana Umno mengalami kekalahan di banyak kawasan majoriti Melayu, isu muzakarah timbul. Malah hingga ke peringkat wujudnya perbincangan rasmi antara Setiausaha Agung kedua-dua parti politik, bagi membuka laluan ke arah pertemuan rasmi antara pucuk pimpinan parti.
Selepas pilihan raya umum 2004, isu muzakarah langsung tidak berbangkit. Ada juga pihak yang cuba membangkitkan isu tersebut, namun dengan pantas di cantas oleh pucuk pimpinan Umno dengan dua patah perkataan, ‘tidak perlu’!
Kini, isu muzakarah berbangkit lagi. Iaitu selepas BN yang didominasi Umno mengalami kekalahan di banyak kerusi Parlimen serta hilang lima negeri ke tangan Pakatan Rakyat.
Di pihak PAS, muslihat Umno dalam isu muzakarah amat mudah difahami. Ia untuk menjarakkan PAS dengan KeADILan dan memecahbelahkan ahli-ahli PAS. Ada juga pemimpin PAS yang setuju bahawa muzakarah Umno-PAS boleh akibatkan ahli berpecah.
Namun strategi Umno itu dibuat berasaskan persepsi tahun 80-an dan ketakutan segelintir pemimpin PAS berhubung kerjasama itu juga adalah berasaskan persepsi 80-an.
Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor pernah dimarahi sebahagian ahli-ahli PAS sebaik sahaja tersiar gambar beliau berpeluk mesra dengan Tan Sri Osman Aroff. Itu bijaknya permainan media, pada masa itu.
Hakikatnya hari ini, persepsi ahli-ahli pun sudah jauh berubah. Mereka tidak berfikir cara 80-an lagi. Apa sangat bagi mereka, kalau setakat pertemuan pucuk pimpinan parti bagi membincangkan persoalan ummah. Menteri Besar PAS dan Perdana Menteri boleh bertemu di mana-mana. Mereka adalah negarawan. Bukan terhad kepada pemimpin parti politik sahaja.
Pilihan raya umum 1990, PAS berjaya tawan Kelantan. Pegawai-pegawai kerajaan Pusat di negeri itu, amat takut untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri. Demokrasi difahami secara primitif dan Pusat baru menyelak kamus untuk memahami maksud federalisme.
Sekarang masa sudah berlalu hampir 20 tahun, dari tarikh kejutan pertama kerajaan negeri tidak seideologi politik dengan Pusat.
Sekarang di Kedah, gambar Menteri Besar yang dibingkaikan tergantung di hampir setiap pejabat kerajaan Persekutuan, sebaris dengan gambar Perdana Menteri. Hanya di segelintir sekolah, di mana pengetua atau guru besarnya kurang cerdik sahaja, gambar Menteri Besar tidak digantung.
Ustaz Azizan pernah mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan negeri dan Pusat. Semua jabatan kerajaan Pusat yang terdapat di Kedah dijemput, sebilangan besarnya hadir. Nampaknya tembok kejahilan demokrasi sudah hampir roboh.
Kebetulan pada tahun ini, Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-51 diadakan di Kedah. Kerjasama antara Pusat dan negeri tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi dengan Sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan, Tuanku Sultan Abdul Halim. Pembesar negara dihimpunkan lagi di sini untuk anugerah kebesaran dan pelbagai program. Semuanya kena ‘tabik’ pada Menteri Besar selaku tuan rumah.
Apabila Ustaz Azizan kata, “PAS-Umno Kedah macam adik, abang”, sebenarnya ia satu lagi babak baru dalam evolusi politik. Bukan pasca pilihan raya. Sejak sebelum pilihan raya lagi keakraban bertaut.
Bayangkan ketua bahagian atau pemimpin utama Umno bahagian boleh bertemu secara langsung dengan calon PAS waktu pilihan raya dan menawarkan khidmat dan sumbangan untuk membantu memenangkan calon PAS; ini adalah satu keakraban yang sangat luar biasa. Lebih daripada abang dan adik. Ia tidak berlaku di satu bahagian, malahan di semua 15 bahagian di negeri ini. Bekas MB, Dato’ Seri Mahdzir Khalid sedar dan PM Abdullah Ahmad Badawi pun tahu.
Strategi untuk memenangkan calon PAS, menurut kiraan rakan Umno tadi ialah PAS jangan adakan ceramah terhadap Umno di tempat-tempat tertentu yang menjadi kubu Umno.
Hujahnya, jika PAS lakukan serangan, ahli Umno akan marah dan mungkin bertindak balas. “Biar kami yang uruskan,” kata pemimpin mereka. Antara percaya dan tidak, PAS akhirnya akur. Keyakinan yang diberikan nampaknya tidak sia-sia. Betul mereka mengundi PAS! Kemampuan ahli Umno mengundi PAS adalah luar biasa. Lebih daripada kemungkinan implikasi muzakarah lagi.
Mungkin situasi politik begitu rupa di Kedah adalah faktor mengapa pilihan raya umum lalu dihadapi dengan tenang di Kedah, berbanding Terengganu.
Selepas pilihan raya, pun masih tenang. Tiada ribut-ribut. Tiada laporan Umno-PAS berebut dewan orang ramai, balai raya atau premis tertentu milik majlis daerah.
Sehingga kini pun Umno, yang sejak berzaman tidak pernah memiliki premis sendiri di peringkat bawah, masih menggunakan premis tersebut sebagai pejabat atau tempat mereka bermesyuarat. PAS tidak pula mengganggu.
Semua orang mahukan suasana tenang lagi sejahtera. Takkan seluruh ruang kehidupan mahu dipenuhi dengan episod perkelahian yang tidak berkesudahan, sehingga tersekat kerja dakwah.
Muzakarah, adalah isu yang kini memasuki dimensi baru. Halangan cuma satu, bolehkah Umno dipercayai?
