Detikdaily

Sabtu, 22 November 2008

Isu kenapa hakim dipecat: Biar sejarah bercerita!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kes pemecatan Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara dan dua lagi bekas Hakim Mahkamah Agung, Wan Sulaiman Pawanteh dan George Edward Seah Kim Seng, 20 tahun lalu, adalah babak paling hitam dalam sejarah badan kehakiman negara kita.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab sepenuhnya dalam tragedi yang begitu memalukan itu.

Sehebat mana pun sumbangan Mahathir kepada negara, tindakannya memecat tiga hakim kanan itu, dengan alasan yang direka-reka, melalui persidangan dua tribunal khas yang penuh ketempangan itu, "sukar untuk dimaafkan". Ia tidak boleh "diampun" hanya dengan bayaran ex-gratia atau pencen, biar berapa banyak jumlahnya. Malah, usaha memulihkan kewibawaan badan kehakiman kini amat sukar dilakukan, antara lain, disebabkan rekod buruk itu.

Tun Salleh dipecat pada 8 Ogos 1988, manakala Wan Sulaiman dan George Seah pada 7 Oktober.

Saya bersetuju dengan dakwaan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz, pada 6 November lalu, "bercakap tidak benar dan melakukan pembohongan besar" di Parlimen apabila menyatakan tiga bekas hakim itu bukan dipecat tetapi diberhentikan awal.Sudah terang lagi bersuluh.

Tun Salleh dipecat bagi menyelamatkan kerjaya politik Mahathir sebagai Presiden Umno, yang ketika itu dalam keadaan cukup kritikal, ekoran kemenangan tipisnya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah, dengan hanya majoriti 43 undi, pada pemilihan 24 April 1987, dipersoal di mahkamah.

Seramai 11 penyokong Ku Li mengemukakan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di bawah Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, di mana hanya terdapat seorang hakim, Harun Hashim.

Mereka membawa bukti terdapat perwakilan haram yang mengundi, dan ini boleh menyebabkan pertandingan itu tidak sah dan terbatal.

Isu itu sebenarnya sudah dirujuk kepada Setiausaha Agung Umno, Sanusi Junid sebelum pemilihan tetapi ia tidak dilayan.

Jadi tidak tepat dakwaan mengatakan bahawa penyokong Ku Li membawa kes itu ke mahkamah kerana kalah dalam pemilihan. Mereka sudah membuat aduan sebelum pertandingan dijalankan.

Yang peliknya, Mahathir mengarahkan peguamnya, Sri Ram, membuat perakuan di mahkamah bahawa Umno memang mempunyai cawangan-cawangan yang ditubuhkan tanpa kelulusan Pendaftar Pertubuhan, yakni cawangan haram.

Dengan itu Harun Hashim tidak mempunyai pilihan lain kerana tertakkluk kepada tuntutan Seksyen 12(1) dan Seksyen 12(3) Akta Pertubuhan. Lalu, pada 4 Februari 1988, Umno - seperti yang dikehendaki Mahathir - diisytiharkan pertubuhan haram.(Seksyen 12(1) Akta Pertubuhan berbunyi: "Tidak ada sesebuah pertubuhan pun yang berdaftar boleh menubuhan sesebuah cawangan tanpa terlebih dahulu memperolehi kelulusan daripada Pendaftar." Manakala Seksyen 12(3) berbunyi: "Apabila sesebuah pertubuhan berdaftar menubuhkan sebuah cawangan tanpa terlebih dahulu memperolehi kelulusan daripada Pendaftar, mala pertubuhan yang berdaftar tersebut akan dianggap sebagai pertubuhan haram.")Berpura-puralah Mahathir mengecam Hakim Harun Hashim seolah-olah beliau begitu terkejut dan amat tidak bersetuju dengan penghakiman itu.

Buat seketika dunia diperbodohkan seolah-olah mahkamah membuat keputusan yang tidak menyebelahi Mahathir, walhal itulah yang dikehendakinya.

Motif Mahathir untuk mengharamkan Umno lebih jelas apabila beliau sebagai Menteri Dalam Negeri tidak menggunakan kuasanya seperti diperuntukkan Seksyen 70, yang menegaskan menteri boleh atas budi bicaranya dengan bertulis membuat pengecualian ke atas mana-mana pertubuhan dari mematuhi mana-mana satu atau semua peruntukan dalam Akta Pertubuhan.

Mahathir mahu membentuk satu parti baru, yang namanya seakan-akan sama dengan Umno, kalaupun tidak serupa, dengan keahlian dan aset parti lama (melalui pindaan Akta Pertubuhan, Mac 1988), tapi serentak dengan itu dapat memastikan seteru politiknya, seperti Ku Li dan pengikutnya, dikeluarkan secara automatik.Pada 8 Februari 1988, Mahathir mendaftarkan parti baru, Umno 88.

Pada masa sama, satu lagi parti baru, Umno Malaysia didaftarkan bagi pihak Ku Li. Pihak Pendaftar Pertubuhan kemudiannya menolak permohonan kedua-dua pihak, atas alasan pengharaman Umno pada masa itu belum digazetkan lagi.

Beberapa hari kemudiannya Umno Baru didaftarkan dengan nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) ataupun Umno.

Bulan berikutnya Akta Pertubuhan dipinda bagi menjayakan strategi Mahathit seterusnya.

Diperuntukkan bahawa satu pertubuhan baru yang kebanyakan ahlinya daripada satu pertubuhan yang telah diharamkan boleh mengambil alih harta, wang dan juga tanggungan pertubuhan yang telah diharamkan itu.Kumpulan 11 tidak berpuas hati dengan keputusan Harun Hashim dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung. Mahathir arif benar, majoriti hakim-hakim Mahkamah Agung ketika itu tidak dapat dipengaruhinya.

Keputusan yang amat ditakuti Mahathir adalah Umno akan dihidupkan semula, cuma pemilihannya sebagai Presiden Umno dibatalkan.

Walaupun peruntukan akta memang menjelaskan Umno ketika itu boleh diharamkan tetapi hakim dikatakan boleh membuat keputusan lain memandangkan pesalah (Mahathir) mendapat manfaat besar daripada kesalahannya sendiri.Logiknya, seseorang pesalah tidak boleh mendapat keuntungan atau manfaat daripada kesalahan yang sengaja dilakukannya, malah dia sepatutnya dihukum. Pihak yang sengaja membiarkan ada cawangan haram adalah pihak Mahathir sendiri, dan mereka juga yang membuat perakuan bagi "memaksa" hakim mengharamkan Umno.

Apabila Umno diharamkan, terbukti bahawa yang mendapat keuntungan besar adalah pihak yang menyebabkan Umno itu diharamkan. Justeru, hakim tidak boleh membuat keputusan mengharamkan Umno kerana ia hanya menguntungkan pihak Mahathir.

Dengan itu, keputusan perbicaraan yang memihak Mahathir itu harus dibatalkan kerana ia bercanggah dengan prinsip "keadilan semulajadi".Mahathir sedar, dengan popularitinya berada pada tahap paling rendah dan taktik kotornya didedahkan, jika ada pertandingan semula besar kemungkinan besar Ku Li boleh mengecewakannya.

Walaupun ramai pesalah terpaksa menunggu keputusan "hidup atau mati" di depan hakim, Mahathir tidak sanggup menanti takdir.

Tun Salleh telah mengarahkan sembilan hakim (melibatkan sidang hakim paling ramai pernah dicatatkan) mendengar perbicaraan bersejarah itu.

Implikasi arahan ini amat disedari Mahathir.

Tujuh hakim Mahkamah Agung wakjtu itu diketahui umum sedia membuat keputusan yang tidak selari dengan kehendak pemerintah (Mahathir) jika itu yang dituntut keadilan.Pilihan Mahathir terbatas.

Tun Salleh mesti disingkirkan dengan apa jua cara. Tetapi masalah belum selesai dengan pemecatan Tun Sallah. Sembilan hakim yang majoritinya sukar "dikawal" itu tetap boleh mendengar rayuan tadi.

Bukan saja Tun Salleh mesti dipecat, arahannya juga mesti "tidak boleh dilaksanakan".Kebetulan waktu itu Syed Agil Barakbah bersara dari Mahkamah Agung dan mewujudkan satu kekosongan. Mahathir segera mengeksploitasi keadaan itu dengan menaikkan pangkat Harun Hashim daripada Hakim Mahkamah Tinggi menjadi Hakim Mahkamah Agung.Sekali lagi dunia tertipu apabila dicanang kenaikan pangkat Harun Hashim itu menandakan mahkamah Malaysia begitu bebas.

Masakan tidak, seorang hakim yang mengharamkan Umno pun boleh dinaikkan pangkat. Walhal Mahathir melantiknya bagi menggagalkan arahan Tun Salleh supaya sembilan hakim mendengar rayuan Umno 11.

Sebagai hakim yang mendengar kes itu di Mahkamah Tinggi, Harun Hashim tentu hilang kelayakan mendengar rayuan kes sama. Tinggal lapan yang layak, sedangkan hanya tujuh (angka ganjil) yang dikehendaki.

Arahan Tun Salleh tidak boleh dilaksanakan lagi. Dengan itu, penggantinya, Abdul Hamid Omar (yang menjadi pengerusi tribunal memecat Tun Salleh) boleh merombak komposisi hakim yang difikirnya sesuai untuk mendengar rayuan berkenaan.

Selain itu, dengan membariskan Harun Hashim bersama hakim-hakim Mahkamah Agung, Mahathir telah meletakkan Harun Hashim dalam kedudukan lebih nutral.


Sebagai Hakim Mahkamah Agung, Harun Hashim tidak boleh membuat keputusan bersendirian, seperti ketika berada di Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Mahkamah Tinggi, melainkan bersama-sama, sekurang-kurangnya dua orang hakim yang lain.

Maka terselamatlah Mahathir, dan bertambah kecewalah Ku Li ... hingga kini.

Namun yang lebih buruk, sehingga 20 tahun kemudian, wibawa kehakiman yang musnah teruk itu begitu sukar dipulihkan semula. Kes pita video Linggam membuktikannya.

Negara semakin ketandusan hakim-hakim yang boleh dihormati ekoran tindakan Mahathir dua dekad lalu. _

Isu ladang babi: RTM,TV3 berniat jahat terhadap Kedah

Mohd Khalil Abdullah

Media pro Umno-Barisan Nasional (BN) sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang didukungi oleh PAS,KeADILan dan DAP.

Jika sebelum ini, media cetak memainkan peranan dengan menjadi agen penyebar dakyah dan permainan licik politik BN,kini media elektronik menjadi senjata apabila RTM dan TV3 cuba memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini mendedahkan bagaimana kerajaan Kedah dijadikan mangsa dengan corak pemberitaan yang memesongkan dan berniat jahat.

Menurutnya, siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang 19 November 2008 dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam 19 November 2008 mendedahkan tembelang sebenar kedua-dua stesen televisyen tersebut apabila menyiarkan berita yang jauh terpesong dan berniat jahat.

"Kedua-dua siaran tv ini melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di Kedah.

"Saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua berita tersebut adalah satu pembohongan dan telah memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2009),"jelasnya.

Tambahnya,siaran berita tersebut hanyalah berbentuk jahat untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah dan menghasut rakyat untuk bencikan Kerajaan dan berbentuk provokasi.

"Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

"Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK.4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007 bertajuk: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman,"katanya lagi.

Helmi juga mendedahkan,sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) bagaimanapun TV3 khususnya masih menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

"Bagi saya ia jelas satu pembohongan fakta yang amat jelas oleh stesen televisyen swasta berkenaan dalam siarannya pada 20 dan 21 November melalui slot Buletin Utama.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam sidang akhbar, Menteri Besar juga telah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menghormati keputusan Kerajaan terdahulu (BN) bertarikh 4 Disember 2007 itu dan setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,"jelasnya lagi.

Beliau juga menambah, bahawa Ustaz Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Menurut Ustaz Azizan,kata Helmi, bukan hanya ladang babi, jika terdapat ladang ayam, lembu, kambing, kerbau sekalipun telah menimbulkan keresahan rakyat, maka ladang tersebut akan dipindahkan.

Oleh itu katanya, dari penjelasan itu, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri memikirkan satu tempat dan kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan yang mungkin atau telah wujud berpunca dari ladang ternakan tersebut.

"Adalah di luar dari jangkauan pemikiran saya jika pemberita TV3 Kedah lebih suka melihat ladang babi dibina berdekatan kawasan perumahan jika dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memindah dan memusatkan ladang dan sembelihan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

"Saya juga menjangkakan, jika ladang baru itu nanti terbina sekalipun jauh dari kawasan penempatan, sekali lagi akan ada pihak memainkan isu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah membina ladang ternakan babi yang luas, jika andaian saya ini benar-benar berlaku, sahlah bahawa berita berkenaan bukannya membela hak dan kepentingan rakyat tetapi ia lebih membela hak binatang ternakan tersebut kerana telah dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan yang terpencil,"tegasnya.


Pimpinan Pakatan Rakyat kecam media pro Umno-BN

Sementara itu, baru-baru ini pemimpin Pakatan Rakyat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sepakat mengecam konspirasi media pro Umno-BN yang sedang bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan menabur fitnah, adu-domba dan memainkan isu-isu sensitif bagi mengelirukan rakyat.

Selain untuk mencetuskan kemarahan rakyat, tindakan media pro Umno-BN itu juga bertujuan untuk menjatuhkan reputasi lima kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin.
Perkara ini didedahkan oleh ketiga-tiga mereka pada 'Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini Pakatan Rakyat' yang diadakan di Hotel De Palma, Ampang dekat sini baru-baru ini.

Presiden PAS dalam penegasannya bimbang peranan yang dimainkan oleh media arus perdana boleh mengancam kestabilan dan kemuafakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung dengan segera.

Kata beliau, peri pentingnya media telah dibuktikan oleh MCA dengan mengambil alih dua buah akhbar utama berbahasa Cina, Nyangyang Siang Pau dan Sin Chew Daily selepas pilihan raya kecil Lunas bagi menyekat sokongan orang-orang Cina terhadap pembangkang.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan menyifatkan media arus perdana bertindak 'kasar' dengan melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama seperti yang berlaku ke atas exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Teresa Kok dan Ronnie Liu serta editor Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin.

"Media sekarang ini mainkan isu perkauman. Bangkitkan isu agama. Seolah-olah terdapat pergeseran dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan ini amat merbahaya," tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Justeru itu, ketiga-tiga pemimpin mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan laporan-laporan berniat 'jahat' yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang dikuasai Umno-BN. - mks. _

MB Kedah sumbang gaji RM10,000 sebulan


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat potongan gajinya lebih RM10,000, jumlah paling besar yang pernah dibuat oleh seorang menteri besar, kata seorang pemimpin PAS negeri.

Potongan itu daripada jumlah gajinya RM14,100 dimulakan sejak awal pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di negeri itu, Mac lalu, namun ia tidak diumumkan secara meluas, kata timbalan pesuruhjaya PAS Kedah, Hassan Abdul Razak.

Jumlah wang yang dipotong itu disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri bagi mencontohi amalan cara hidup sederhana yang selama ini diamalkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hassan mendedahkan amalan Azizan itu bagi menyangkal dakwaan pesuruhjaya PAS itu bermewah-mewah selepas menjawat kerusi nombor satu dalam pentadbiran Kedah.Hassan menambah, potongan itu diumumkan pertama kali dalam program taklimat dasar-dasar kerajaan kerajaan negeri di ibu negeri apabila dibangkitkan PAS kawasan Alor Star, 14 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak didedahkan sebelum ini kerana "(hendak) membuat kebaikan tidak perlu dihebah-hebahkan".

Ahli-ahli akar umbi PAS negeri baru-baru ini dilaporkan tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PAS Kedah.

Malaysiakini difahamkan, dalam pertemuan minggu lepas, menteri besar dan kerajaan Kedah mendapat kritikan pedas wakil-wakil PAS kawasan sehingga beliau diminta menyerahkan portfolio agama yang dipegangnya kepada exco lain.

Azizan juga turut dituduh gagal memperkasakan pelaksanaan Islam yang diperjuangkan PAS seperti membiarkan pusat hiburan beroperasi sehingga lewat pagi dan arak dijual bebas di Langkawi.

Pegawai kerajaan pula didakwa mendapat layanan istimewa daripada menteri besar berbanding pegawai lantikan politik.

Selain itu, Azizan dan barisan exco dikatakan selalu memberikan alasan sibuk sehingga susah ditemui rakyat tetapi didakwa rajin bermain golf.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Hassan berkata, selain soal kepemimpinan Azizan, kebajikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) antara perkara utama yang dibangkitkan.Selain itu, tambahnya, PAS Kedah didakwa "bongkak dengan PKR".Bagaimanapun, kata Hassan, perkara itu dijelaskan oleh menteri besar di hujung program di Kompleks Alor Star.

Wakil-wakil PAS daripada 15 kawasan di seluruh Kedah turut dikatakan berpuas hati dengan penjelasan tersebut.Sehubungan itu, Hassan berkata, kritikan kepada kerajaan negeri merupakan salah faham dan dibuat berdasarkan "cakap-cakap di kaki lima".

Menurutnya, dalam pentadbiran kerajaan, ada perkara yang telah dibuat tetapi belum diumumkan dan ada yang belum dibuat tetapi telah dirancang dan akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.Komen-komen itu, termasuk yang pedas dan negatif, diusulkan secara bertulis oleh wakil-wakil PAS kawasan tanpa menyatakan nama pengemuka soalan-soalan tersebut.

Komen-komen di pertemuan tertutup ini bagaimanapun terbocor kepada umum, termasuk Umno dan pihak media.Hassan kesal kerana dokumen yang dianggap sulit itu telah “dicuri pihak tertentu”.Majlis sumbang saran kali ketiga itu dihadiri wakil-wakil PAS kawasan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli-ahli parlimen PAS Kedah.

Majlis itu merupakan susulan selepas pertemuan Ogos lalu, sementara perjumpaan pertamanya diadakan sejurus selepas kemenangan parti itu dalam pilihanraya umum, Mac lalu. PAS negeri merancang menjalankan sesi taklimat dasar-dasar kerajaan negeri kepada jentera parti empat kali setahun.

Yoga secara sistematik haram - Majlis Fatwa

Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Dato' Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam," katanya dipetik Bernama di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Okt lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.

Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung. - mks._
sumber harakahdaily

Khamis, 13 November 2008

ADUN Kuala Nerang muflis, kemungkinan pilihan raya kecil?



Kedah kemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil, yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12, berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim muflis. `

Timbalan Pendaftar Najwa Che Mat telah mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis 3 November lalu.

Syed Sobri dikatakan gagal menjelaskan hutang bank berjumlah RM100,000.

Bagaimanapun Syed Sobri telah mengemukakan rayuan dan permohonannya akan didengar pada 1 Disember ini.

Beliau enggan mengulas apa-apa mengenainya.Sumber-sumber Barisan Nasional (BN) pula memberitahu kes tersebut telah diselesaikan bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

Pada 8 Mac lalu, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan kelebihan 805 undi.
Syed Sobri memperoleh 7,856 undi.Speaker Dewan Undangan Negeri, Dr. Abdul Isa Ismail telah mengemukakan surat makluman mengenainya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi The Star di Indonesia mengesahkan ada dimaklumkan perkara tersebut dan ia sedang diteliti.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, adalah baik jika perkara tersebut diselesaikan.

"Kita tidak perlu membazirkan wang dengan mengadakan pilihan raya. Kita boleh fokus kepada soal pembangunan negeri," katanya.
sumber:The Star

Rabu, 5 November 2008

Saya ada formula' - MB


Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abd. Razak berjanji akan menyelesaikan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) persatuan itu yang tertunggak sehingga RM838,983, lapor SAFINA RAMLI.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah menjelaskan, kegagalan KFA untuk membayar caruman tersebut dikesan bermula sejak dulu ketika dia belum memegang jawatan presiden KFA lagi.
"Mereka (kerajaan terdahulu) yang tak bayar tapi saya telah mempunyai formula tersendiri untuk mengatasi masalah ini.
"Saya berjanji akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagaimanapun, Azizan enggan mengulas dengan lebih lanjut mengenai formula yang telah diperoleh untuk menyelesaikan masalah caruman KWSP yang tertunggak itu.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang mendedahkan sembilan persatuan bola sepak (FA) negeri termasuk Kedah gagal melunaskan caruman KWSP mereka sehingga mencecah RM4 juta.
Azzuddin berkata, hanya lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan yang tidak terbabit dengan masalah itu dan memuji kecekapan pentadbiran persatuan bola sepak di negeri-negeri tersebut.
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut