Detikdaily

Sabtu, 27 Disember 2008

HUDUD : Keperluan Rakyat dan Negara .

Isu Hudud sekali lagi membelah ruang politik tanahair dengan pelbagai polemic yang sengaja ditimbulkan oleh pelbagai pihak . Seolah – olah mereka bersikap tidak pernah mahu memahami kenapa Hudud atau Kanun Jinayah Syari’ah dipertahan dan diperjuangkan oleh PAS sebagai sebuah Gerakan Islam dan lebih penting lagi ialah , mengapa Hudud sangat diperlukan oleh Negara .

Undang – undang Jinayah Syari’ah ini bukanlah suatu yang baru atau asing terutama kepada ummat Islam di Malaysia . Sejak 1990 apabila PAS Berjaya menguasai negeri Kelantan undang – undang Jinayah Syari’ah atau Hudud menjadi popular sejurus draf Qanun Jinayah Syari’ah itu dibentang dalam Dewan Undangan Negeri buat pertama kalinya.

Telah banyak seminar , symposium , nadwah dan wacana yag dianjurkan seluruh Negara bagi membincang serta membahaskan harapan dan halangan perlaksanaan hukum hudud di Negara kita amnya dan di Kelantan khasnya .

Kalau nak faham , saya kira semua orang sudah boleh memahami prinsip , konsep , falsafah , objektif dan matlamat perlasanaan hukum hudud . Terutama bagi seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt dan Kitab yang diturunkanNya . Kalau pun benar mereka belum memahami hukum hudud , mereka pasti sahaja tahu siapa orangnya yang boleh dirujuk untuk mempelajari atau mengambil tahu mengenai hudud .

Malangnya , mereka sengaja menjadikan hudud sebagai satu polemic ( terutama menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu sekaligus mengharapkan agar gandingan Pakatan Rakyat berpecah ) untuk menimbulkan keresahan dikalangan non muslim dan juga dikalangan muslim yang masih gagal untuk memahami Islam agama yang mereka sendiri menganutnya.

Saya menyokong kenyataan Naib Presiden PAS Dato’ Husam Musa yang kembali mempertegaskan hasrat PAS untuk melaksanakan hudud kiranya rakyat memberikan mandat kepada PAS sebagai sebuah Gerakan Islam untuk memimpin dan mentadbir Negara ini .
Ia menjelaskan bahawa PAS tidak pernah pudar prinsip perjuangannya walaupun telah meredah pelbagai musim yang penuh cabaran dan kekangan sebaliknya masih segar bugar dengan pegangan atau aqidah perjuangannya. Inilah yang menjadi rahsia kekuatan PAS mampu bertahan sejak tahun 51 hingga kini biarpun terlalu banyak serangan dan ancaman dari pihak musuh.

Hudud bukanlah ciptaan PAS . Inilah yang dipertegaskan entah kali ke berapa ribu oleh pimpinan PAS bahkan Mursyid Am . Ia adalah ciptaan Tuhan Qadhi Rabbul Jalil dan Tuhan yang samalah memerintahkan agar hudud dilaksanakan . Firman Allah swt :
و أن احكم بينهم بما أنزل الله

Dan hendaklah kamu menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt.
Surah al Maaidah : 49


Kenapa harus ia menjadi polemic apabila Naib Presiden PAS mempertegaskan hasrat dan cita – cita PAS untuk mendaulatkan undang – undang Tuhan . Firman Allah swt :
أفحكم الجاهلية يبغون و من أحسن من الله حكما لقوم يوقنون

Sesudah itu , patutkah mereka berkehendak lagi akan hukum Jahiliyyah ? Siapa lagi yang terlebih baik hukumnya ( berbanding hukum Allah swt ) bagi mereka yang yakin .
Surah al Maaidah : Ayat 50


Saya tidak hairan apabila Lim Guan Eng pantas menolak hasrat PAS yang mahu melaksanakan hudud andai Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Negara ini justeru Lim Guan Eng bukan seorang yang arif mengenai Islam dan dia tidak mempunyai pertimbangan dosa jua pahala .

Biarpun saya sangat tidak bersetuju dengan sikap beliau yang pantas membuat kenyataan membantah hasrat murni PAS untuk melaksanakan hukum Allah swt di atas tanahair tercinta ini. Sementelah beliau berulangkali menyatakan bahawa beliau mahu memimpin negeri berasaskan kepimpinan Umar bin Abdul Aziz . Umar bin Abdul Aziz tidak pernah menolak hukum Allah swt tersebut .

Saya sekali lagi sangat tidak bersetuju , bagaimana seorang pemimpin yang menegaskan mahu memerintah negeri dengan Amar Makruf Nahi Mungkar tiba – tiba secara terbuka menolak hasrat suci PAS mahu melaksanakan hudud . Mungkin beliau gagal memahami bahawa hudud adalah Amar Makruf .

Tetapi saya lebih kesal , lebih hairan dan lebih – lebih tidak bersetuju apabila UMNO sendiri yang mempertikaikan hudud . Mereka mempunyai kuasa memerintah Negara tetapi sejak merdeka mereka gagal melaksanakan hukum Allah swt ini .


Khairy Jamaludin contohnya , sewaktu membentang idea dan hujjah dalam Wacana Perdana di Kota Bharu baru – baru ini mempersoal kenapa Kelantan yang dikuasai PAS sejak 18 tahun yang lalu masih gagal melaksanakan hudud .

Sedang semua pihak tahu , masih wujud terlalu banyak kekangan undang – undang dan perlembagaan untuk membolehkan Kelantan sebagai sebuah Kerajaan Negeri melaksanakan hudud . Malah UMNO pernah memberi amaran kepada Kelantan agar tidak melaksanakan hudud bahkan UMNO pernah mencabar hudud dan menyamannya ke mahkamah .

Persoalannya kenapa tanggungjawab melaksanakan hukum Allah ini mahu dibebankan kepada Kelantan yang hanya bersifat Kerajaan Negeri dan pasti sahaja banyak halangan dan ketidakupayaan mengatasi kekangan undang – undang bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hudud .

Kenapa UMNO sebagai sebuah kerajaan yang telah menguasai Kerajaan Pusat sejak awal malah pernah menang besar pada tahun 2004 , mendapat mandat rakyat yang hampir solid menguasai parlimen enggan melaksanakan hudud ?

Paling tidak , kenapa UMNO tidak pernah membawa usul ke parlimen agar kerajaan BN melaksanakan hudud sedang UMNO juga turut mendakwa mereka adalah parti umat Islam ?

Malaysia Perlukan Hudud.

Hudud adalah undang – undang Jenayah yang berasaskan syariat Allah swt . Undang – undang yang dicipta sendiri oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini . Undang – undang untuk membenteras jenayah . Hukumannya adalah untuk menghukum penjenayah yang merosakkan kepentingan manusia seperti harta ( kerana mencuri ) , aqal ( kerana minum arak ) , keturunan ( kerana zina ) , nyawa ( kerana membunuh ) dan agama ( kerana murtad ) .

Apa yang tidak kena dengan hudud sehingga ia mahu ditolak dan hasrat PAS mahu melaksanakannya dibantah keras ? Jika kerana masih belum memahaminya , PAS sedia menyediakan bengkel khas untuk memahamkan mereka mengenai hudud .

Atau kerana apa ? kerana kepentingan politik ? bukankah kita berpolitik untuk kesejahteraan ummah dan menjaga ke amanan Negara ? Lalu kenapa masih tidak selesa dengan hudud ? bukankah Hudud untuk membasmi penjenayah yang gagal dihapuskan oleh undang – undang ciptaan manusia sejak merdeka lagi .

Kenapa tidak memberi peluang kepada Islam menunjuk atau membuktikan keupayaannya menghadapi jenayah yang dilakukan oleh manusia . Kita boleh merujuk bagaimana indeks jenayah yang semakin meningkat dalam Negara kita walaupun pelbagai akta dan undang – undang telah diperkenal dan diperketatkan .

( rujuk : http://www.rmp.gov/rmp03/statindeks2006.htm )
Rasionalnya setelah kita buntu dengan satu cara , kita mesti mencuba cara yang lain . Demikian hari ini Negara telah buntu menghadapi peningkatan indeks jenayah dan jelas undang – undang yang ada pada hari ini gagal mengekang peningkatan serius jenayah dalam Negara kita . Kenapa tidak memberi peluang kepada Islam ?

Melaksanakan Islam dan hukumnya bukan bermakna non muslim dipaksa masuk atau menerima Islam . Melaksanakan Islam juga bukan bermaksud semua orang mesti dihukum , yang dihukum hanyalah mereka yang bersalah dan disabitkan kes .

Hudud tidak zalim , jauh sekali ganas sebagaimana tohmahan sebahagian mereka yang jahil dan berniat jahat terhadap Islam . Sekali lagi saya tegaskan bahawa hudud adalah hukum Allah swt dan Allah telah menitahkan seluruh hambanya agar berlaku adil dan membasmi kezaliman/keganasan . Firman Allah swt :

إن الله يأمر بالعدل و الإحسان و إيتآئ ذى القربى و ينهى عن الفحشاء و المنكر و البغى يعظكم لعلكم تذكرون

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebajikan serta member bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman . Dia mengajar kamu dengan suruhan dan laranganNya ini semoga kamu mengambil peringatan dan mematuhinya .
Surah an nahl : Ayat : 90

Realiti perjuangan dan pengorbanan dalam PAS


Ustaz Idris Haji Ahmad

"Bukan senang berjuang dengan PAS sebagai sebuah jemaah Islam dan menjadi parti yang sentiasa mencabar kemungkaran yang dilakukan oleh Umno/BN. Kuasa yang mempunyai segala kekuatan material dan sokongan. Tetapi kita memimpin PAS berbekal kekuatan iman dan aqidah yang mantap dengan keyakinan mendapat kemenangan di akhirat."

Aidil Adha 1429 bersamaan 8 hb Disember 2008. Banyak binatang ternakan dikorbankan sebagai satu amalan sunat muakkad yang dituntut kepada mereka yang berkemampuan. Sunnah korban yang dilakukan sebagai mengimbau kembali peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail .

Kedua-dua beranak ini menjalankan arahan Allah, walalupun Nabi Ibrahim terpaksa mengorbankan anaknya Nabi Ismail. Perbuatan yang dilakukan sebagai satu pengabdian diri kepada Allah SWT seperti dalam surah al-Saaffat 37: 107 " Dan kami tebuskan anak itu dengan seekor sembelihan yang besar".

Setelah nyata kesabaran dan ketaatan Nabi Ibahim dan Nabi Ismail maka Allah SWT melarang menyembelih Nabi Ismail .Untuk meneruskan korban , Allah menggantikannya dengan seekor sembelihan (kambing). Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkan korban pada hari raya haji dan hari tasyrik.

Daripada sini kita memahami bahawa pensyariatan qurban ialah satu ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT tanpa apa-apa keraguan. Walaupun Allah SWT ,memerintahkan nabi Ibahim menyembelihkan anaknya, maka lantas ia melakukan tanpa apa-apa keraguan untuk melaksanakannya. Justeru itu apabila kita mengingatkan peristiwa qurban bukan hanya berbangga dengan berberapa ekor binatang yang disembelih, tetapi lebih kepada pengahayatan semula terhadap konsep korban yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Jika sekiranya Nabi Ibrahim menyembelih anaknya kerana ia adalah arahan Allah SWT, maka kita sebagai pengikut agama tauhid seperti yang diajar oleh Nabi Ibrahim AS maka menjadi kewajipan kepada kita untuk menghayati falsafah korban dalam konteks perjuangan Pas untuk menegakkan Islam dan keadilan sejagat.

Justeru itu dalam konteks perjuangan ia tidak boleh memakai kaedah logik dan akal semata-mata, tetapi ia mesti berpandukan kepada wahyu Allah SWT. Sembelih anak ini bukan perkara logik, tetapi nabi Allah Ibrahim A.S melaksanakan kerana ini arahan Allah SWT.

Justeru itu renungan kita sebagai pejuang, di mana Allah SWT tidak memerintahkan kita menyembelihkan anak, tetapi hanya untuk berkorban apa sahaja untuk Islam dan demi kelangsungan perjuangan agama Allah SWT.

Tidak disebut perjuangan kalau tanpa pengorbanan. Kerana Islam tidak menang kalau tidak ada pengorbanan di kalangan para Rasul dan Nabi-Nabi A.S. Merekalah orang yang paling banyak diuji oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW, Bermaksud:"Orang yang paling dahsyat menerima ujian adalah para nabi, kemudian orang yang seumpamanya."

Dalam konteks kedatangan Islam di negara kita, Islam sampai melalui pengorbanan yang dilalui oleh mereka yang terdahulu mengharungi lautan dan ombak badai yang memukul perjalanan mereka. Kerana Islamlah, mereka sanggup bekorban apa sahaja.

Realiti Perjuangan Dan Pengorbanan Dalam PAS

Bukan senang berjuang dengan Pas sebagai sebuah jemaah Islam dan menjadi parti yang sentiasa mencabar kemungkaran yang dilakukan oleh Umno/BN. Kuasa yang mempunyai segala kekuatan material dan sokongan. Tetapi kita memimpin PAS berbekal kekuatan iman dan aqidah yang mantap dengan keyakinan mendapat kemenangan di akhirat.

-Hendak memimpin ummat kearah penghayatan Islam yang syumul bukan hanya dalam bentuk hadhari sahaja. Satu cabaran kepada kita kerana, kita memimpin jamaah yang mengajak kepada perkara samiyyat bukan kepada kebendaan semata-mata. Pihak musuh menawarkan perkara yang nampak di depan rakyat.

-Terpaksa mengorbankan segala wang ringgit dan harta benda untuk perjuangan supaya cita-cita suci tercapai. Kerana Pas tidak dibantu oleh tauke arak dan judi, tetapi dibantu oelh tulang empat kerat ahlinya yang komited dengan fikrah perjuangan.

-Sudah menjadi lumrah dalam perjungan Pas, terpaksa mengorbankan masa untuk memikirkan Islam dapat dihayati dengan baik oleh masyarakat di negara ini.

-Terpaksa mengorbankan kenaikan pangkat dalam profesion yang diceburi walaupun kita mempunyai merit untuk naik. Tetapi dasar pilih kasih dan tidak demokratik perkara ini perlu dilupakan sahaja. Terdapat juga mereka yang hendak membina kerjaya terpaksa berundur dan melupakan perjuangan walaupun pada asalnya begitu bersemangat.

-Kadang-kadang terputus tali persaudaraan kerana menyertai perjuangan Pas. Mereka menganggap perjuangan Pas anasir perosak Negara kerana terpengaruh dengan media di hadapan mereka.

-Realiti dalam Pas ramai pengikut tapi kurang orang yang hendak kedepan memimpin kerana takut dengan berbagai ugutan. Akhirnya seorang ahli terpaksa memikul tugas yang bertimbun-timbun.


-Realiti yang dihadapi oleh pejuang Pas masa yang begitu kurang dengan anak-anak. Justeru itu anak-anak perlu diberi tarbiah inilah perjuangan Pas supaya mereka memahami tugas ini adalah satu pengorbanan untuk kesenangan mereka pada masa hadapan.

-Oleh kerana Pas sebagai sebuah gerakan ummah maka keahliannya terbuka. Ini satu pengorbanan yang besar kepada mereka yang memimpin Pas untuk menguruskan ahli yang berbagai status untuk disesuaikan dengan piawai standard minimum sahaja.

-Pengorbanan seorang ahli Pas ialah apabila ia menghilangkan sikap ego ketika bersama dengan Pas kerana mera?i ahli Pas yang berbagai latar belakang. Walau pun beliau bijak macam mana pun dia perlu menurunkan darjat ananiah (keakuanku sahaja) daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, sebaliknya memimpin sebuah jamaah yang ahlinya bekerja secara sukarela bukan ada gaji.

Bagaimana Untuk Menjadi Ahli Pas Yang Bekorban Untuk Islam.

Menjauhkan diri dari melakukan maksiat sama ada yang besar atau yang kecil kerana ini merupakan penghalang besar untuk menjadi pejuang.


- Memberikan perhatian mengenai sunnah perjuangan Islam (PAS) adalah payah. Bukan di hampari dengan permaidani merah.

- Bersedia untuk berhadapan dengan halangan - Sentiasa mendampingi orang soleh dan berjiwa besar - Sentiasa mengkaji dan merujuk buku-buku sirah -Sentiasa mengingati mati dan siksa kubur - Sentiasa mengingati syurga dan neraka ini adalah balasan terakhir manusia -Melakukan muhasabah keatas diri dan mengkaji setiap masa

- Keinginan diri sendiri untuk mempertingkatkan kerja parti.? Mesti merasakan kita boleh seperti orang lain boleh. ? Merasa diri bersalah dengan Allah apabila melihat kemungkaran dan kezaliman bermaharajalela.

Kesimpulan

Konsep pengorbanan perlu dihayati oleh pejuangan Pas, walaupun bulan korban sudah hendak meninggalkan kita. Keberkesanan akan dapat dilihat dalam diri, keluarga, jamaah apabila kita benar-benar menghayati falsafah korban.

(Penulis juga merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulama? PAS Pusat)-azm _

"Hairan mengapa pemimpin Umno kritik hudud" - Lim Guan Seng



"Kita takut terhadap pelaksanaan hukum hudud kerana apa, orang yang dihukum hanya mereka yang disabit melakukan kesalahan sahaja," ujar seorang pemimpin kaum Tionghua di Parlimen Kota Bharu, Lim Guan Seng.

Menurut beliau sekiranya tidak bersetuju perlulah dijelaskan apa masalahnya. "Penjual dadah mana setuju dengan hukuman gantung, tetapi dia tetap digantung setelah disahkan bersalah.

"Menolak hudud tidak apa, tetapi biarlah ada alasan, contohnya kalau tidak mahu sembahyang kena bagi alasan, sebab Islam beri ruang untuk berbincang," ujarnya lagi.


Beliau menjelaskan hudud bukan perundangan yang pandai-pantai dibuat pemimpin PAS, tetapi diturunkan oleh Allah kepada manusia.

Menurutnya susah apa dengan hudud kerana banyak kesalahan lain ada yang digantung sampai mati, dan orang ramai termasuk pemimpin Umno tidak pula bising.

Baru-baru ini banyak pihak terutamanya pemimpin Umno dan DAP melantah apabila Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menjelaskan pelaksanaan hukum hudud tetap menjadi dasar kepada perjuangan PAS sejak dahulu sehingga sekarang.

Bagaimanapun pemimpin Umno dan DAP begitu lantang mengkritik. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook membantah cadangan PAS menegakkan perundangan Islam.

Guan Seng berkata, mereka yang membuat kenyataan menolak perundangan hudud kerana tidak faham.

"Saya tidak hairan kalau pemimpin DAP membantah kerana mereka bukan beragama Islam, sebaliknya pemimpin Umno yang mengaku beragama Islam juga mengkritik hudud.
"Maknanya di sini pemimpin Umno dan DAP sama sahaja, malah mungkin lebih teruk lagi," katanya.

Menurutnya juga sebahagian besar masyarakat Cina di negeri ini mulai faham mengenai hudud setelah diberi penerangan pemimpin PAS dari semasa ke semasa.

Katanya, ia dibuktikan dengan peningkatan mendadak sokongan orang bukan Islam kepada calon PAS di Kota Lama pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Beliau juga berkata, isu hudud dimainkan media harian yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno semata-mata bagi memecahkan perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat yang semakin mantap sekarang.

Kata beliau sebab itulah isu hudud dimainkan dengan agak meluas dengan harapan rakyat melihat perpecahan mulai melanda Pakatan Rakyat.

Seorang pemimpin masyarakat India di sini, Tharuman A/L Arjunan berkata, perundangan hudud dikuatkuasa bukan bertujuan mengongkong rakyat, sebaliknya memberi keinsafan dan keadilan yang saksama.

"Tetapi Umno lebih senang dengan perundangan yang dibawa dari barat biar pun sudah terbukti tidak lagi mampu mengekang kadar jenayah yang semakin meningkat sekarang.

"Sebagai contoh pada 1990 kes kecurian dilaporkan sebanyak 50,000 kemudian bertambah kepada 61,000 kes tahun 1991. Manakala kes rompakan meningkat 15 peratus dalam tempoh tersebut," katanya.

Beliau berkata, statistik itu membuktikan perundangan dari barat yang dikuatkuasa gagal dan perlu diganti dengan perundangan Islam.

Kata beliau juga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disahkan zalim masih mahu dipertahankan kerajaan BN, sedangkan perundangan Islam yang terbukti harmonis ditolak ke tepi.


PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut