Detikdaily

Selasa, 24 Februari 2009

Tarbiyah penting untuk hadapi era kemenangan - Mohamad Sabu

Oleh Saidah Hairan

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mengingatkan ahli PAS supaya memperkukuhkan tarbiyah di kalangan ahli kerana sudah ada tanda-tanda ahli PAS hilang sifat berkorban demi Islam.

Menurut beliau, sifat ikhlas untuk melakukan kerja-kerja jemaah sudah mulai pudar dan kebanyakan ahli telah mula meminta upah untuk melakukan sesuatu tugas.

Sedangkan sebelum PAS mencapai kemenangan katanya, sifat mementingkan upah tidak timbul sebaliknya perkara itu telah menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, katanya.

"Jika perbuatan ini berterusan kita takut kalau PAS diberi kemenangan, kita tidak ada bezanya dengan Umno," katanya ketika memberi ucapan dalam program Himpunan Muslimat PAS Kawasan Ulu Langat, Ahad, 23 Februari lalu.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam lebih mudah berkembang apabila mempunyai kuasa kerana Islam itu merupakan agama yang sempurna.

Malangnya kata beliau, pendukung agama Islam ramai yang tidak sempurna sehingga nilai-nilai agama itu tidak diamalkan oleh orang Islam tetapi orang bukan Islam seperti menjaga kebersihan, kesopanan dan lemah-lembut.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh turut menegaskan bahawa dalam mendepani cabaran semasa peranan Muslimat tidak boleh dinafikan kerana orang yang mula-mula mati syahid adalah wanita.

Justeru, katanya, Muslimat jangan sampai menjadikan alasan terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk aktif dalam program jemaah.

"Jangan jadikan kesibukan dunia melupakan tugas hakiki kita sebagai hamba Allah," katanya.

Beliau turut menyelar sikap pimpinan Umno yang telah memerintah selama 51 tahun tetapi tidak berjaya memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam.

"Mereka sendiri tidak mampu untuk melaksanakan Islam terhadap dirinya sendiri jadi apa guna kita menyerahkan kuasa kepada mereka," tegas beliau.

Beliau berkata, apa akan jadi kepada bangsa Melayu jika Muslimat tidak serius memainkan peranan sehingga tidak peduli dengan anak-anak muda yang terjebak dalam gejala sosial. - lanh _

Isnin, 23 Februari 2009

Derhaka bermula dari rumah Umno

Oleh Mohd Fadli Ghani

TINDAKAN biadap Umno/BN menculik dan membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak telah bertukar menjadi pertembungan antara rakyat dan istana. Puncanya hanya satu ? media yang mengapi-apikan kononnya Menteri Besar PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah membuat sembah derhaka kepada Sultan Perak.

Apakah benar Nizar menderhakai sultan saya tidak pasti, tetapi yang pasti media pro BN menggembar-gemburkan hal ini sehingga imej Sultan Perak tercalar teruk di hati rakyat kerana para pemimpin Pakatan Rakyat mempertegaskan mereka tidak berniat derhaka, bahkan amat setia kepada raja.

Soal derhaka atau setia bukanlah hak saya untuk menentukannya. Biarlah sultan sendiri membuat perhitungan. Apa yang saya ingin lontarkan adalah derhaka bukanlah budaya dalam masyarakat Melayu di negara ini. Tetapi sejarah negara telah mencatatkan bahawa budaya menderhaka ini bermula di Rumah Umno dan merekalah yang membuatkan Raja-raja Melayu kehilangan wibawa sehingga rakyat bisa mentertawakan raja.

Bahkan, ketika Umno belum wujud, bakal presidennya yang pertama sudah dibuang negeri kerana derhaka kepada Sultan Johor. Dan pada Disember 1992, Umno jugalah yang membuat usul derhaka di Dewan Rakyat kerana marahkan Sultan Johor juga.

Raja zalim disanggah

Islam telah mengajarkan kepada kita bahawa ketaatan mutlak hanyalah kepada Allah dan Rasul. Islam jugalah yang mewajibkan ketaatan kepada ulil amri (pemimpin) tetapi dengan batasan yang tidak melangkaui ketaatan kepada Allah dan Rasul. Sebarang perselisihan padangan, tidak ada pendekatan lain, melainkan kembali kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah). Inilah prinsip ketaatan dan kederhakaan dalam pemikiran Islam.

Walaupun orang-orang Melayu merasakan bahawa Raja tidak wajar diderhakai, sebenarnya budaya ketaatan Melayu sendiri bermula dengan 'wadat' antara Sang Sapurba yang bergelar Sri Tri Buana sebagai Raja dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat. Mitos Bukit Seguntang ini bermula dengan permintaan Demang Lebar Daun supaya Sri Tri Buana menerima anak cucunya (rakyat) sebagai hamba yang tidak akan dizalimi walaupun berlaku kesalahan, kecuali yang melanggar hukum syarak. Lalu Sri Tri Buana mengkabul permintaan rakyat dengan syarat semua jangan derhaka kepada keturunannya yang menjadi Raja.

"Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu yang mengubah dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah," demikian kedua-duanya bersetuju untuk berwadat itu.

Maknanya, ketaatan akan berakhir sekiranya istana tidak lagi mendukung prinsip keadilan kepada rakyat. Inilah garis antara hak dan tanggung jawab Raja dan rakyat yang berakhir dengan "dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, kaki tiang ke atas" dengan maksud memporak-perandakan negeri jika wadat ini dilanggari.

Sejarah Melayu telah merakamkan bahawa anak cucu Sri Tri Buana ini temasuklah Sultan Melaka. Kemudian berkembang membentuk Kesultanan Johor dan Perak pada abad ke-16. Kesultanan Perak dari keturunan Sultan Muzaffar Shah, iaitu anakanda Sultan Mahmud Shah Melaka masih bertahan sehingga hari ini.

Adapun keturunan Sultan Mahmud Shah yang berkerajaan di Johor telah berakhir dalam peristiwa ?mangkat dijulang? yang terkenal itu. Mengapakah Sultan Mahmud Johor itu mangkat dijulang sehingga berakhirnya sebuah kesultanan pada 1699. Adil atau zalimkah baginda terhadap rakyat? Lalu 'terpaksalah' rakyat menderhakainya!

Salah sebuah kesultanan yang mempunyai hubungan dengan Melaka di bawah jurai keturunan Bendahara ialah Terengganu. Ketika negeri-negeri Melayu sedang dijajah pada awal abad ke-20, Sultan Zainal Abidin III dan para ulama telah menggubal undang-undang tubuh negeri Terengganu yang terkenal nama 'Itqanul Muluk bi Takdis Suluk' yang menetapkan Sultan Terengganu tidak boleh menyerahkan negeri itu kepada kuasa asing, jika demikian berlaku maka tidak wajib lagi rakyat taatkan rajanya.

Bukankah selepas British melantik penasihatnya di Terengganu pada 1919, berlaku pemberontakan besar pada 1924 hingga 1928 di Terengganu. Derhakakah rakyat atau zalimkah raja?

Pemimpin Umno mulakan sembah derhaka?

Politik Melayu moden selepas abad ke-20 telah memperlihatkan beberapa siri penderhakaan terhadap sultan. Di kalangan ahli politik, yang memulakannya ialah Dato? Onn (datuk kepada Hishamuddin Hussein), yang kemudiannya menjadi Presiden Umno. Derhaka pertama berlaku pada 1920 apabila Dato? Onn mengkritik Sultan Johor secara terbuka di mana sahaja. Beliau marahkan sultan kerana baginda melelong harta bapanya, Dato? Jaafar setelah Menteri Besar Johor itu gagal membayar hutang negeri sehingga kematiannya.

Sultan Ibrahim sangat murka kepada Dato? Onn. Penderhakaan ini berterusan sehingga Dato? Onn dipecat jawatan dan dibuang negeri ke Singapura pada 1927.

Bukan Dato? Onn sahaja yang menderhaka, abangnya, Dato? Abdullah Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor turut menderhaka apabila menghina dan memburukkan nama Sultan Ibrahim di luar negeri pada 1927.

Seorang lagi kakak Dato? Onn, Che Dara Jaafar yang menjadi isteri Sultan Ibrahim turut menerima nasib malang akibat penderhakaan ini. Dato? Abdullah telah dipecat sebagai menteri besar dan dilucutkan gelarannya lalu di buang negeri bersama Che Dara oleh Sultan Johor.

Keluarga Dato? Onn terbuang kerana derhakakan sultan, akhirnya Dato? Onn menjadi pengarang Warta Malaya di Singapura, sebuah akhbar yan begitu lantang mengkritik dan memberi sembah derhaka kepada Sultan Johor pada 1930.

Selepas kembali ke Johor pada 1936, Dato? Onn mendapat semula kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan sehinggalah beliau dilantik memangku tugas Menteri Besar Johor pada Oktober 1946, iaitu beberapa ketika selepas Umno ditubuhkan. Dato? Onn ketika itu adalah Presiden Umno yang pertama.

Setelah jawatannya sebagai Menteri Besar Johor disahkan pada September 1947, Dato? Onn telah mencadangkan supaya seorang Melayu dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Raja-raja Melayu amat murka dengan cadangan Umno ini kerana ia meletakkan seorang Melayu di atas daripada kedudukan Raja-raja Melayu Sendiri.

Raja-raja Melayu mengesyaki jawatan itu hendak diberikan kepada Dato? Onn dan ia dianggap satu penderhakaan Umno dan Dato? Onn terhadap Raja-raja Melayu. Sultan Kedah, Sultan Badlishah adalah antara yang paling lantang menentang tindakan derhaka Dato? Onn.

Umno secara terbuka menghina Sultan Kedah dalam beberapa isu yang berbangkit pada 1948 dan mendakwa Raja-raja Melayu tidak wajar meminggirkan Umno yang mempertahankan Raja-raja Melayu semasa Malayan Union. Akhirnya, Sultan Kedah berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya menolak cadangan Umno untuk melantik seorang Melayu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi.

Kerana gagal dalam mempengaruhi Raja-raja Melayu, Dato? Onn sekali lagi melakukan derhaka dengan menuduh Raja-raja Melayu memungkiri janji dan bertindak tidak mengikut perlembagaan. Ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Umno di Butterworth pada 27 Ogos 1949, Dato? Onn menderhakai Raja-raja Melayu dengan menuduh raja-raja lebih mementingkan diri daripada menjaga kepentingan orang Melayu. Beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British untuk melemahkan Umno dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.

Lebih dahsyat lagi penderhakaan ini apabila Presiden Umno menuduh Sultan Kedah sebagai ?kacang lupakan kulit? dan mengugut untuk mengajak ahli Umno menamatkan pemerintahan feudal beraja ini. Akibatnya, Sultan Kedah menyatakan hasrat mengharamkan Umno di negeri itu dan Sultan Johor memaksa Dato? Onn meletakan jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 17 Jun 1949.

Inilah pengalaman derhaka terawal dalam sejarah politik Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Tindakan Umno melantik seorang yang mempunyai rekod derhaka sebagai Presidennya telah membentuk sikap derhaka yang berterusan Umno terhadap Raja-raja Melayu.

Dato? Onn semenjak mudanya mempunyai sikap menderhakai rajanya, kemudian dengan kekuatan sokongan ahli-ahli Umno pada 1948, beliau secara terbuka mencabar kuasa Raja-raja Melayu, dan menggunakan platform Umno untuk menghina dan menderhakai Raja-raja Melayu, termasuk membuat ugutan untuk mengajak ahli-ahli Umno menamatkan sahaja sistem beraja di negara ini! Bukankah derhaka ini bermula dari Rumah Umno?



PAS ada 'Baiah' elak lompat parti - Ustaz Hadi

Oleh Mohd Sabri Said

"Baiah merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah s.w.t dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon dalam setiap pilihan raya sama ada umum atau kecil."

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan, PAS nyata mempunyai rahsia tersendiri untuk menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada mengambil sikap melompat parti kerana tindakan itu bukan sahaja membelakangkan kehendak Allah s.w.t bahkan meninggalkan amanah manusia yang mahu seseorang Adun itu melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Katanya rahsia tersebut ialah 'Baiah' yang merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah s.w.t dan kepimpinan dalam parti berbanding parti lain ketika dilantik menjadi calon dalam setiap pilihanraya samada umum atau kecil.

"Perbezaan kekuatan Adun-adun PAS ialah 'Baiah' berjanji dengan Allah s.w.t sekiranya kami menipu, khianat, menyeleweng kami akan dilaknat oleh Allah.s.wt, oleh malaikat dan segala yang melaknat.

"Itulah yang tiada dalam parti lain kerana masing-masing mengambil agama suku, politik suku, " ujarnya ketika berceramah di pekarangan Markaz Tarbiyah PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terenganu memberitahu, walaupun ada Adun atau kepimpinan yang melompat keluar parti, semua pihak boleh melihat di mana 'kedudukan' mereka tika ini.

Sambungnya, golongan terbabit kehilangan maruah dan kehebatan bahkan jika berada dalam parti lain hanya sekadar melukut di tepi gantang bukan lagi diberikan kepercayaan sebagai kepimpinan sepertimana dalam PAS sebelum ini.

"Kita tengok mereka yang lari dari PAS apa yang mereka perolehi sebagai hukuman di dunia.

"Mereka hilang maruah, hilang kehebatan dan tidak ke mana walhal golongan terbabit mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Itulah perhitungan antara dosa dan pahala, " tegasnya.

Justeru itu, PAS tetap berusaha mengajak parti lain untuk bersama PAS memperjuangkan kedaulatan demi menjaga maruah yang tinggi tidak kerana pandangan manusia sebaliknya kerana Allah s.w.t.

PAS katanya, tidak memaksa parti lain terutamanya bukan Islam menerima Islam semata-mata menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah menyelewengan amanah rakyat dengan melakukan berbagai kekejaman dan kezaliman.

Menyentuh mengenai peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalanya, Dato' Seri Najib Razak sepatutnya belum lagi waktunya kerana Perdana Menteri tidak lagi 'selesai' dengan amanahnya terhadap rakyat sebagaimana janjinya sewaktu mula memegang tampuk pemerintahan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa tahun lalu.

Janji Abdullah katanya untuk menyelesaikan masalah kehakiman, rasuah, polis, SPR dan pekerti kalangan kepimpinan Umno masih jauh. "Beliau seharusnya berusaha untuk tanganinya sehingga selesai bukan memberi jalan berundur kepada orang lain yang pastinya mempunyai agenda lain dalam pentadbiran baru kelak.

"Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman, Suruhanjaya Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tidak setakat itu sahaja malahan kena bersama parti lain di luar BN kerana ia bukan masalah Umno. Ia masalah semua rakyat dan ia perlu dengan sistem demokrasi yang betul, " Kata Ahli Parlimen Marang itu.

Beliau berucap di dalam program anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu lagi.Turut berceramah pada malam itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Hafiz Nordin dan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang turur dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man. - azm_



Sabtu, 21 Februari 2009

Kenapa Saya Menyertai PAS ?

Oleh Ustaz Nasarudin Tantawi

Jawapan kepada persoalan ini adalah suatu perjuangan yang perlu diisytiharkan dengan prinsip dan keyakinan , justeru ia bukan penyertaan politik parti dan kuasa .

Seorang yang beriman wajib berjihad mempertahankan syariat Allah dan memelihara maruah ummah dari ancaman musuh . Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan platform untuk melunaskan tanggungjawab tersebut . Kenapa …

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ
وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

( Ali - Imraan - 104 )

CIRI - CIRI PLATFORM JIHAD YANG WAJIB DISERTAI .

Jamaah yang menyakini bahawa Islam adalah satu - satunya kekuatan yang dapat membangunkan semula ummah , juga kembali membebaskan golongan musthad’afin dan menyelamatkan dunia daripada kehancuran Jamaah yang lahir dari kesedaran sendiri , tidak dipengaruhi oleh mana - mana pihak samaada timur mahupun barat .

Lahirnya kerana tuntutan Al - Quran dan Sunnah . Jamaah yang meyakini kesejagatan Islam dan memperjuangkannya secara menyeluruh . Jamaah yang memperjuangkan kebenaran secara amali ( tidak hanya teori semata - mata ) dan sanggup terjun ke medan daawah sekalipun mengambil risiko yang tinggi . Jamaah yang terdapat padanya keperibadian hizbullah .

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ولا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
( Al Maidah - 54 - 56 )

Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka Merendah diri sesama mukmin Bersikap tegas terhadap orang - orang kafir Berjihad di jalan Allah tanpa takut pada celaan orang yang mencela Wala’ kapada Allah , rasul dan orang - orang yang beriman Mendirikan solat , menunaikan zakat dan senantiasa ruku` kepada Allah.

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنْ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا ولا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

( Al Jathiyaah - 18 )

Saya menyertai PAS kerana ………

1- PAS bersifat Rabbani dan syumul .

Rabbani : Islam sebagai dasar perjuangan. · Bercita - cita menegakkan Daulah Islamiyyah dan
melaksanakan hukum -hakam Allah . · Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara .

Syumul :
Memperjuangkan Syariah Islamiyyah yang merangkumi aspek politik , perundangan , hukum , sistem kemasyarakatan , pembangunan , ekonomi , hubungan antarabangsa , akhlak , tentera , pendidikan dan ehwal yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia .

Membentuk tasawwur Islami yang jelas merangkai kehidupan di dunia dengan akhirat .

2. PAS sebagai Harakah Islamiyyah dan parti politik Islam .

Islam sewajibnya diperjuangkan , pembentukkan Harakah Islamiyyah adalah untuk menunaikan kewajiban tersebut .

· Kuasa politik adalah keperluan asas dan mutlak bagi merealisasikan perundangan Islam dan pembentukkan perlembagaannya .

· Mengambil ruang dalam sistem demokrasi berparlimen yang membenarkan penubuhan parti politik dan aktiviti penerangannya .

· Mengambil pendekatan perjuangan yang selamat dan aman . ( مواجهة سلمية )

Ketenteraan Islam OIC terhalang oleh Liga Arab?

Oleh Ali Bukhari Amir

Ketika mengarang ini, saya sedang menonton sesi soal jawab antara Dato' Rais Yatim bersama Ahli Parlimen Dato' Ismail Abdul Mutalib (Maran) dan juga Ahli Parlimen PAS Mohd Nasir Zakaria, (Padang Terap).

Mereka bersoal jawab berhubung pakatan ketenteraan Islam OIC. Saya agak berpuas hati dengan penjelasan Rais Yatim yang tersusun, jelas dan kemas itu. Biar pun kita tidak bersetuju dalam beberapa hal, namun yang paling penting ialah kejelasan maklumat.

Beberapa orang tentera yang hampir bersara, masyarakat awam mengirim pandangan dan marah-marah kepada saya sambil mengutuk tindakan saya mengkritik klip video latihan komando sebelum ini. Malah, ada juga yang turut menyokong tulisan saya itu.


Saya masih menunggu pihak atasan menjawab. Dalam sasaran saya, mereka itu mestilah Kagat, komando dan pegawai-pegawai atasan sendiri. Tetapi ramai tentera bawahan dan mereka hampir pencen beberapa bulan sahaja lagi yang memberikan komentar.

Kalau saya cabar tentera buat perubahan, saya rasa mereka pun tak berani. Mereka bukan ada kemahuan menyoal pihak atasan mereka sendiri. Mengenai contoh-contoh tulisan itu, nantilah saya sertakan jika ada kelapangan nanti, insya Allah.

Tetapi, apabila yang berucap sebentar tadi di TV1 adalah Menteri Luar, memang perlulah saya ambil perhatian. Ini kerana, merekalah yang boleh memutuskan beberapa dasar.

Maka, saya cari maklumat ini di Bernama kerana agensi berita itu memang tangkas dalam menyiarkan laporan. "Every minutes is a deadline!" begitulah kata mantan editor.

Tentera Antara Negara Islam sukar diwujudkan?
Berikut adalah berita itu dengan sedikit suntingan. Dan antara hal yang menarik perhatian ialah isu Liga Arab yang disifatkan sebagai suatu halangan lantaran tiadanya kesepakatan antara persatuan Arab tersebut.

Pasukan Tentera Negara Islam Rumit Untuk Diwujudkan
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pasukan ketenteraan di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mungkin dapat diwujudkan kerana ia terlalu rumit dan bukan sesuatu yang digalakkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Malaysia mengutamakan hal-hal berkaitan kesejahteraan ekonomi dan perpaduan di kalangan negara-negara OIC, berikutan itu, dasar berhubung dengan ketenteraan bukan sesuatu yang digalakkan oleh Malaysia dan negara-negara yang menganggotai OIC setakat ini.

"Harus kita lebih tekankan kesatuan secara am di kalangan negara-negara Islam terlebih dahulu selain penekanan keupayaan ekonomi di kalangan negara-negara Islam yang masih daif diutamakan," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rais berkata tiadanya kesepakatan di kalangan Liga Arab itu sendiri merupakan satu halangan paling besar untuk mewujudkan pasukan ketenteraan berkenaan.

"Di Mesir sekarang, dasar untuk membenarkan mereka pergi ke Gaza diubah dalam tempoh-tempoh tertentu tanpa memberi sebab yang jelas kepada anggota OIC sendiri, kalau itu pun berlaku apatah lagi mewujudkan bala tentera di bawah sayap OIC yang setakat ini hanya dilihat sebagai satu kumpulan musyawarah keduniaan antarabangsa Islam sahaja," katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) yang ingin tahu sekiranya Malaysia boleh mempengaruhi negara-negara naungan OIC supaya membeli teknologi pensenjataan dari negara-negara Islam, Dr Rais berkata ia merupakan sesuatu yang tidak dibenarkan.

"Isu untuk melengkapkan persenjataan ini menerusi kuasa-kuasa dalaman OIC itu sendiri, tidak pernah mendapat perhatian OIC untuk dilaksanakan," katanya.

Liga Arab tak boleh disandarkan rujukan
Malaysia, OIC tidak boleh lagi melihat Arab sebagai titik pertautan, titik rujukan kepada kesatuan umat Islam. Di dalam biografi kehidupan Dr Burhanuddin al-Helmy tulisan Dr. Ramlah Adam ada disebut mengenai kritikan Dr Burhanuddin terhadap penyerahan tanah Palestin oleh British kepada Yahudi Zionis Israel.

Tidak lama selepas tersiarnya artikel kritikan tersebut di dalam majalah pimpinannya, Dr Burhanuddin ditangkap lalu dihumbankan ke dalam penjara di Singapura. Tiada seorang pun yang dapat menjamin beliau kerana wang jaminannya terlalu tinggi.

Saudagar-saudagar Arab di Singapura, tak seorang pun yang mengambil peduli sehingga berita itu dihidu oleh seorang pemimpin Arab. Akhirnya, beliau mengutuk para saudagar Arab Singapura yang sanggup membiarkan seorang anak Melayu yang tiada apa-apa pun hubungan darah dengan bangsa Arab Palestin merengkok di dalam penjara.

Ekoran selaran itu, Dr Burhanuddin barulah dibebaskan dengan wang jaminan oleh Arab Singapura. Ini menjelaskan bahawa, berbanding Melayu dan Arab, maka bangsa Melayu itulah yang boleh diharap berbanding Arab sebenarnya.

Pemimpin Islam Melayu Malaysia sepatutnya letakkan hal ini sebagai ingatan dan jangan lihat pemimpin Arab dan Liga Arab akan memimpin kesatuan untuk membebaskan jiwa, diri bangsa Arab Palestin lagi.

Undang-undang tubuh, perlembagaan dan perundangan OIC itu dicipta oleh manusia dan kita sendiri boleh memindanya ke arah kebaikan tanpa perlukan persetujuan bangsa Arab. Islam bukan cuma ditegakkan oleh bangsa Arab semata-mata.

Islam bermula oleh orang-orang Arab, tapi kehebatannya diteruskan oleh bangsa Kurdish di tangan Salahuddin al-Ayyubi, kemudiannya oleh bangsa Moors, Mughal, India, China, Mongolia dan lain-lain bangsa. Bila pula Islam berkembang di tangan orang Melayu?

Jangan lagi kita jadikan isu Liga Arab pun tidak bertindak, bangsa Arab sendiri tak peduli hal di Gaza, Hosni Mubarak di Mesir pun tidak kata apa.. sebagai alasan. Allahyarham Dr Burhanudin telah lama berjuang mendahului kita pada 1948 pada awal-awal Israel sedang menceroboh Palestin. Dan, pada masa itu pun orang-orang Arab bungkam diam saja.

Hal kedudukan kita-Melayu Malaysia sebagai bangsa pembebas Palestin, Patani dan lain-lain wilayah Islam yang terjajah inilah yang perlu dibahaskan sekarang..

10:30 p.m, 20 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Syor, bantahan, kritikan boleh disalurkan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _


Abdullah Perlu Timbang Cadangan Hadi

Oleh MSO
SELAIN daripada Mohd Najib Razak, Muhyiddin Yassinlah orang yang tidak senang dengan cadangan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang agar Abdullah Ahmad Badawi terus mentadbir negara ini dengan memegang jawatan PM. Abdullah boleh teruskan walaupun pelan peralihan kuasa sudah dimaktubkan. Pelan itu cuma ciptaan manusia yang desprate dan bukannya Quran, ia boleh diubah dan dialih hatta dilupuskan sekalipun.

Muhyiddin yang kini berangan-angan untuk menjadi timbalan presiden Umno (kemudian timbalan PM) marah kepada Hadi atas cadangan itu. Beliau minta Hadi supaya tidak mencampuri urusan Umno dan elok selesaikan masalah Pas yang masih berserabut.


Dari sisi lain benar juga kata-kata Muhyiddin itu, Pas tidak patut campur tangan mengenai apa-apa urusan dalaman Umno, itu privancy Umno. Tetapi di sini adalah sedikit kelainan, apa yang Hadi katakan itu bukan soal Umno tetapi soal negara ini. Permintaan Hadi itu bukan dari konteks presiden Umno tetapi Abdullah sebagai PM.


Atas kapasiti PM, Abdullah adalah hak semua rakyat negara. Samalah dengan raja-raja Melayu ia bukan saja hak orang Melayu tetapi hak semua rakyat tidak kira bangsawan atau marhaen. Abdul Hadi tentu ada alasan dan hujah tersendiri kenapa beliau membuat rayuan itu.


Perkembangan politik, dan aksi-aksi politik hari ini mungkin membimbangkan beliau. Situasi yang berlaku kini, termasuk rampasan kuasa menerusi perlembagaan dan istana di Perak, masalah ekonomi, masalah perkauman memerlukan mungkin itu menyebabkan Hadi rasakan Abdullah berada di tempatnya kini.


Kucahan politik dan masalah itu besar bagi pandangan Hadi. Sekiranya ia tidak ditangani dengan sempurna oleh orang yang boleh dipercayai dan bersih dirinya, tidak terlibat dengan jenayah – rasuah dan bunuh ia akan memberi kesan kepada negara. Keadaan keselamatan negara juga boleh terancam. Selama ini kita berusaha dan bermadah untuk mengelakkan berlakunya ketegangan kaum. Peristiwa 13 Mei cukup menakutkan dan meninggal fobia dalam setiap rakyat negara ini. Kebimbangan itu tidak berguna langsung sekiranya usaha menghindarinya tidak dilakukan.


Semakin hari dengan cara politik oleh mereka yang gila kuasa dan berfahaman sempit (racialisme) masalah kaum sudah mula berbibit semula. Ucapan-ucapan di Parlimen oleh ahli parlimen menjelaskan perkara itu. Sesetengah ahli Parlimen memperlihatkan bahawa negara ini seperti di zaman sebelum merdeka, di mana atau lebih tepat sebelum kedatangan kaum Cina dan India masuk ke negara ini. Mereka merasakan semua yang ada di negara ini adalah hak mereka.

Sifat bongkak dan ego yang membenci kaum lain sudah dicerminkan dalam parlimen. Perkataan bangsa asing, kaum pendatang serta menafikan hak-hak warga negara lain makin lantang dan tidak dibendung sewajarnya dan adakalan ia seperti sengaja dilepaskan speaker.


Mungkin senario itulah membimbangkan Abdul Hadi maka beliau merasakan orang sedarhana seperti Abdullah diperlukan meneruskan pentadbiran. Masa dan ketika ini tidak sesuai untuk diserahkan kepada orang lain yang mempunyai genetik daripada tokoh politik yang sanggup bertindak diluar batas-batas pelembagaan dan adat susila kerana kuasa.


Apakah untungnya orang Melayu dan Muhyiddin sendiri sekiranya berlaku ketegangan kaum? Kemungkinan-kemungkinan ini tidak boleh diselindungkan di sebalik impian dan cita-cita tinggi kita kerana ia boleh meletup seperti bom jangka.


Jadi janganlah Muhyiddin sombong dan bongkok dalam melihat saranan dan cadangan Abdul Hadi itu. Jangan kita memikirkan kedudukan dan kekuasan, kita membelakangkan kepenting lain lebih besar. Saya percaya ahli Umno sedia mengenepikan impian Muhyiddin dan lebih untuk melihat kepentingan bersama!


Muhyiddin menempelak Hadi itu keran beliau bimbang dengan kedudukannya. Beliau takut kalau Abdullah terus menjadi PM dia akan hilang jawatan dan hilang peluang untuk naik. Saya rasa Abdullah bukan begitu orangnya. Walaupun Muhyiddin tidak habis mengodam dan berusaha agar Abdullah disingkir, namun Abdullah masih tidak melakukan apa-apa. Muhyiddin masih juga dikekalkan di kerusi Kabinet.


Kata Muhyiddin politing terlalu banyak kini. Beliau tidak sedar bahawa apa yang beliau cakap dan lalukan untuk jatuhkan Abdullah itu juga politiking. Sebenarnya kebimbangan Hadi itu bermula daripada apa yang Muhyiddin ilhamkan itu.


Elok kalau Abdullah rasa terpanggil dengan cadangan Hadi yang kemudian disokong oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat itu. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga pernah memberi jaminan bersedia untuk menyokong apa juga tindakan Abdullah yang memerlukan sokongan di parlimen. Walaupun Anwar tidak langsung menyebut yang beliau mahukan Abdullah terus kekal menjadi PM, jaminan itu menggambarkan kerelaan Anwar untuk lebih melihat Abdullah jadi PM daripada orang lain.


Krisis politik yang berlaku di Perak sekarang ini adalah masa paling sesuai untuk Abdullah mengadjustkan keadaanya – merombak pelan atau menghapuskan pelan berkenaan. Pergolakan di Perak itu boleh dijadikan alasan untuk Abdullah tidak berundur dulu. Apa lagi ketengangan di Perak itu telah dikaitkan secara langsung dengan orang yang bakal mengambil alih jawatan.
Pastinya kalau orang lain menggantikan Abdullah suhu dan iklim politik di Perak yang kini belum reda akan bertambah hangat dan kesannya bukan saja di Perak tetapi di seluruh negara. Jika ini berlaku negara akan jadi huru hara.


Mungkin untuk merealisasikan perkara ini Abdullah tidak perlu sampai mengistyharkan Perak dalam keadaan darurat seperti mana dilakukan Hussein Onn di Kelantan tahun 1978 lalu. Beliau masih ada kuasa tersisa dan beliau boleh menggunakan itu. Dalam hal ini Abdullah tidak perlu merasa takut kepada tekanan dalaman kerana sokongan di luar boleh mengimbanginya. Abdullah juga perlu memikirkan soal masa depan negara yang bakal ditinggalkan.


Sedikit sebanyak kalau berlaku kekacauan selepas ini Abdullah juga tetap akan dituduh sebagai tidak bijak meninggalkan penggantinya, tidak seperti mana Dr Mahathir Mohamad lakukan, beliau pergi dengan menggantikan Abdullah yang boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno.

Selasa, 17 Februari 2009

Nizar telah melakukan yang terbaik buat PAS, rakyat dan negeri Perak

Oleh Paktam Mat,Jitra.

Dua malam saya menziarahi kediaman rasmi Menteri Besar Perak, hati saya cukup tersentuh dengan perwatakan penuh kesederhanaan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Hati kecil saya berbisik, inilah pemimpin masa depan yang amat kita tunggu-tunggu.

Sayang, dengan pengalaman hanya selama 11 bulan menerajui kerajaan negeri Perak, Nizar diuji Allah dengan bebanan yang cukup berat, yang mungkin tidak tertanggung oleh individu lain dalam PAS.

Namun, apabila mendengar ucapannya, Nizar masih tetap bersemangat waja, bijak menyusun ayat, mencari istilah dan membangkitkan aura. Saya agak terkilan tidak sempat mengikuti dari dekat bagaimana Nizar mengemudi bahtera kerajaan Perak selama 11 bulan itu. Saya amat yakin, sejauh ini, beliau telah melakukan yang terbaik untuk PAS, rakyat dan negeri Perak.

Bukan sedikit tohmahan yang dihadapkan kepadanya selama memerintah, tetapi beliau tetap gagah berdiri bukan untuk membalas balik serangan kepadanya namun membuktikan dengan amalan praktis.

Sesungguhnya tidak mudah untuk menerajui Perak dengan segala kerencamannya itu. Malah cukup sukar sekali buatnya yang agak baru dalam politik untuk berdepan segala mehnah dan cabaran, bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bagi memenuhi janji manifesto dan membumikan segala tawaran yang tentunya jauh lebih baik berbanding pemerintahan Umno-BN selama 50 tahun itu.

Saya percaya dugaannya pasti lebih hebat sekarang. Bagaimanapun saya tidak pasti bagaimana kehidupan seharian Nizar kini. Apakah beliau terus mendapat sokongan padu atau ada yang perlahan-lahan meminggirkan diri, termasuk rakan dan taulan? Saya tidak mahu membayangkan hal-hal negatif tentang suasana yang dihadapinya sebab saya yakin Nizar mampu meredah segala belantara kepayahan dan kesukaran ini.

Dari wajahnya terpapar satu semangat luar biasa. Saya juga yakin hubungannya dengan Allah makin dekat dan dekat. Dari jauh saya hanya mampu berdoa agar Nizar dapat menangani tribulasi berat yang bukan sahaja menimpa dirinya tetapi juga jamaah PAS itu sendiri._

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut