Detikdaily

Rabu, 25 Mac 2009

Gantung permit Harakah - Kami tidak akan berhenti bersuara!

Oleh Rashidi Hassan

Rakyat dikejutkan dengan tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung permit penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuatkuasa 23 Mac baru-baru ini.

Tiada alasan kukuh untuk menyokong penggantungan yang dibuat KDN, melainkan ianya terdorong daripada sentimen kegusaran pemerintah Umno-BN terhadap keberkesanan Harakah. Penggantungan permit ini amat tidak adil dan harus ditarik balik serta merta.

Sejak 1987 Harakah diterbitkan, sehingga kini sudah mencapai 22 tahun, tidak sekalipun permit Harakah digantung walaupun tohmahan, fitnah, kecaman dan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Harakah.

Dalam tempoh 22 tahun, Harakah sedia ditegur, termasuk oleh KDN, dan kita melakukan perubahan jika diminta berbuat demikian.

Bagaimanapun, sebagai sebuah organ parti Harakah juga mempunyai visi dan misi yang tersendiri.

Malangnya, banyak tuduhan kepada Harakah merupakan dakwaan liar yang tidak berasas. Ia juga jarang dibuktikan.

Justeru, kebanyakannya bersifat tekanan politik Umno-BN.

Tindakan menggantung permit Harakah adalah yang julungkalinya dibuat, menunjukkan KDN tidak bertindak adil dan mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.KDN dipergunakan untuk kepentingan politik mereka.

Meskipun Harakah kerap dilabel sebagai 'akhbar nyamuk' yang didakwa tidak berpengaruh, dengan jumlah jualannya tidak sebesar mana, edarannya tidak meluas seperti akhbar arus perdana, tetapi yang peliknya ia begitu ditakuti dan digeruni Umno-BN.

Apalah kedudukan Harakah, jika hendak dibandingkan dengan jumlah puluhan media cetak dan elektronik yang jelas memihak kepada Umno-BN?

Tidak cukupkah lagi dengan sokongan membabi-buta media pengampu itu sehingga mereka cukup alergik untuk menerima kahadiran akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan?

Mengapa Umno-BN takut dengan suara kebenaran sedangkan Malaysia dicanangkan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, menerima perbezaan pandangan dan menghormati kepelbagaian?

Hakikatnya ketakutan Umno-BN kepada Harakah membuktikan bahawa Harakah merupakan akhbar alternatif yang berjaya.

Hasil sumbangan kecil Harakah, rakyat sudah semakin terbuka minda dan tidak lagi mempercayai media pengampu Umno-BN yang bersepah di pasaran.

Umno-BN menjangkakan usaha mereka melalui KDN menggantung permit Harakah, mampu untuk menyekat rakyat mendapatkan sumber berita yang benar, sahih dan berwibawa.

Sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat ini, terutama menghadapi beberapa pilihan raya kecil yang cukup kritikal buat BN, rakyat dijangka akan kembali tertutup minda.

Ternyata sangkaan Umno-BN meleset. Rakyat Malaysia matang berfikir dan membezakan mana yang benar dan mana yang salah.

Justeru penggantungan penerbitan Harakah tidak akan mampu menghalang rakyat yang cintakan demokrasi serta dahagakan keadilan untuk terus mencari kebenaran.

Penggantungan ini juga sama sekali tidak akan mematahkan semangat warga kerja Harakah untuk terus bertungkus lumus memberikan sajian terbaik buat tatapan rakyat.

Walaupun tangan kami diikat, walaupun lidah kami dikunci, kami tetap akan berjuang untuk kebebasan bersuara, kami akan terus berjuang untuk membongkar kepincangan dan malapetaka yang dibawa Umno-BN terhadap rakyat dan negara.

Kami akan teruskan usaha mulia ini dengan beberapa penerbitan yang lain, termasuk dalam laporan harian melalui Harakahdaily.net.

Apa pun, KDN diharap dapat mengembalikan kewarasan bertindak dengan membatalkan arahan penggantungan itu, bagi memastikan imej negara tidak terus tercemar dengan sikap yang tidak demokratik itu.

Dalam suasana media baru, seperti internet, menguasai keadaan, tentulah memalukan jika kerajaan BN dilihat bertambah kerdil dan penakut untuk berdepan cabaran semasa sehingga menggunakan pendekatan primitif bagi menutup peluang buat rakyat menerima bahan-bahan berita atau maklumat alternatif. _

Ahad, 15 Mac 2009

Kembalikan Sains, Matematik ke dalam bahasa Melayu

Oleh LanH

Bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan perkara baru seperti 'dilolongkan' Menteri Pelajaran yang akan bertanding Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein. Agaknya Hishammuddin selama ini tertidur kot sebab itu dia bertanya kepada pejuang bahasa; mengapa sekarang baru membantah.

Bantahan terhadap PPSMI yang bermula sejak 2003 tidak pernah menyepi ditelan masa sebaliknya berterusan dan menyinga akhir-akhir ini. Terbaru Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada 31 Januari oleh Pengerusinya yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr Hassan Ahmad.

Mereka akhirnya menggerakkan massa (menghimpunkan 100,000 peserta), membabitkan pelbagai golongan, daripada kumpulan cendekiawan, pencinta bahasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan orang ramai bagi menzahirkan bantahan; dengan berarak dan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Mac lalu.

Penulis sudah beberapa kali memuzakarahkan isu ini termasuk mengutarakan suara dan rintihan rakyat tetapi kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran belum mengambil suatu pendekatan tegas menanganinya. Pada hujung tahun lalu, diadakan lima pusingan dialog (meja bulat)berhubung PPSMI tetapi apabila sesi persekolahan bermula pada Januari, murid masih mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan forum PPSMI, ada pandangan pro dan kontra mengenainya. Kita memahaminya; kerana masing-masing mahukan yang terbaik bagi masa depan generasi muda dan negara. Bagaimanapun kebanyakannya adalah berdasarkan perspektif dan pengalaman masing-masing, tidak terikat dengan fakta; malahan pelaksanaan PPSMI tidak berdasarkan eksperimen dan kajian emperikal.

Demikianlah jika tidak diselesaikan masalah PPSMI ini, kita percaya ia akan berlarutan bukan saja selepas enam tahun seperti sekarang ini, malah 10, 20, 30, 50 hatta 100 tahun akan datang. Perkara ini hanya menghabiskan tenaga dan masa, sedangkan anak bangsa dan negara perlu disiapkan dalam mendepani cabaran lebih hebat.

Kita berpendapat bahawa pro dan kontra PPSMI perlu ditamatkan segera; sebaliknya rujukan perlu dibuat kepada ketetapan 'standard'. Apabila ini dilakukan perbalahan dapat diakhiri manakala pelanggar ketetapan itu dihukum tidak kira apa pangkat dan kedudukan mereka.

Berdasarkan ini kita amat bersetuju dengan tindakan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan. Gapena mempunyai premis baik dalam hal ini kerana pemimpin yang memaksakan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik telah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apabila sesuatu dasar itu dibuat dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, tentulah ia terbatal dengan sendirinya.

Persoalannya, setakat mana keseriusan Gapena atau pihak-pihak berkaitan dalam mengheret pelaksana PPSMI ini ke muka pengadilan? Kita bimbang tindakan undang-undang akan memakan masa panjang; tiada kelihatan cahaya pada hujung terowong, sedangkan anak-anak di sekolah menjadi mangsa ketidak-tentuan ini.

Demikianlah betapa negara kini dilanda kemelut besar gara-gara pemimpin yang memerintah tidak mengikut hukum sehingga Perlembagaan Persekutuan pun dilanggarnya. Adalah amat bahaya jika seseorang itu memerintah mengikut akal, tanpa mempedulikan undang-undang sedia ada.

Bagi manusia yang akalnya terbatas, Allah SWT telah menyediakan garis panduan (hukum-hakam)nya yang terkandung dalam al-Quran dan diterjemahkan dalam kehidupan oleh Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Manusia termasuk pemimpin tidak akan terpesong jika menuruti hukum-hakam Allah, malah dia dijanjikan kedudukan mulia di sisi Rasul jika memerintah secara adil.

Jika hukum Allah pun tidak mahu diikuti pemimpin, apatah lagi untuk patuh kepada undang-undang ciptaan manusia termasuk Perlembagaan Persekutuan. Mereka mengikuti nafsu yang akhirnya menyebabkan seluruh negara terjerumus dalam kemelut tiada kesudahan.

Kepada pemimpin berkenaan (siapa makan cili dia terasa pedasnya), insaflah dan kembalilah ke pangkal jalan. Jika sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pengantar di sekolah, kembalikanlah kedudukan itu, usah berdalih lagi!



Selasa, 10 Mac 2009

Catitan Seorang Pejuang Bahasa

Oleh Aris Awang

Assalamualaikum warahmatulLAH

Untuk sahabat-sahabat dari Kedah yang menyertai demonstrasi PPSMI, jika nak lihat gambar sendiri sila klik gambar di Slaid Show untuk pergi ke Flickr mungkin gambar hangpa ada di Flickr tiada di Slaid Show aku..... gambar lain banyak lagi yang aku tak upload kerena tak celuih.

Kalau nak gambar hangpa minta la, kat YB Naset Mustaffa, kerana aku pinjam kamera dia. Ada setengah gambaq aku tangkap masa mata tengah pejam dan tak reti nak tarik zoom mai dekat. Sebab tu aku nampak FRU haluih-haluih ja masa hari tu............

Zul Che Harun.... masa aku jumpa atas titi hari tu tengah dok kutip batu, nak punggai FRU, aku bagi tau kat dia.... YB Naset kata ibadat kita hari ini, tak termasuk melontaq..... rukun yang ada ialah tawaf istana, berlari anak, cekup hidung, tenyeh mata, ghagaeh bukit, loncat pagar, terjun longkang, mengendap balik tembok dan makan garam je.... kalau melontar juga kira tak aci... dia pun tak jadi la melontaq.

Yang aku heran YB Ustaz Izat Shauki pi lomoq muka dia jadi seropa dengan 'Jemuan' aku pun tak tau dia pakai rukun mana satu. Hangpa tau ka 'Jemuan' tu menatang apa.... sebenarnya aku pun tak tau. Sorang lagi yang juga dari kawasan Pokok Sena, Hj Mahfuz bejalan tetonggek-tonggek.... lepas tu wek....wek keluar ayaq liuq belenja..... pakai rukun mana satu aku pun tak tau la..... aku rasa depa ni tambah rukun, pasai Mazhab Pokok Sena ni dia lain sikit.

Yang geng Baling pula..... pi ragaeh Pokok Mengkudu.... lepas tu boleh jadi pengedar daun mengkudu pulak, buat ubat cegah cekek rengkung.... aku pun pekena juga..... depa kata lebih korang daun Ketum...... lepaih kena daun Mengkudu berasa la lega sikit, serbu semula ke kawasan istana...... prup-prup kena tembak lagi.....

Antara geng Kedah yang sempat aku jumpa ialah YB Naset, Mat Wira, Mat Toy kerana mai sekali. Mat Toy kami ambik dekat kedai nasi Kandar Subaidah, Butterworh. Geng Kola mai sebiji bas, Pak Mat Mara, dari Pekan Kuala Kedah (70 tahun) rebah dua kali kena tembak gas.

Antara yang aku jumpa ialah Geng Pemuda Negeri, Geng Muslimat Negeri, Geng Baling, Geng Sik, Geng Merbok, Geng Pokok Sena, Geng Sungai Petani, Geng Kulim/Bandar Baru, Geng Aloq Setar, Geng Jerlun, Geng Kubang Pasu, Geng Langkawi, Geng Pendang, Geng Jerai, Geng Padang Terap dan Geng Padang Serai. Boleh kata semua kawasan ada wakel, kera OK la...

Jumpa Ust Musoddak, Ketua Pemuda Negeri Kedah sedang teriak sampai merah mata, mungkin kerana tiada Ilham aku rasa. Begitu juga Helmi, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah dok meratit dalam masjid, sampai merah mata dan belenja ayaq hidung, sambil dok cekup....

Sementara, Sanusi, Setiausaha Politik MB Kedah dan anak YB Ustaz Taib Azamudin, aku jumpa masa atas titi dok terkerisin tengok trak FRU, dengan baju basah lincun.... pasai kena tembak ayar ka.... pasai peluh sebab lari bedesup-desup ka, aku tak tau la pulak...

Kalau nak tengok video, dapatkan dari YB Cikgu Ya Jeneri, yang disebut oleh UMNO antara orang sasaran yang akan dibeli oleh mereka...... tawaran jawatan ialah jadi PM ganti Najib... tak pecaya tanya dia, aku mana tau.

Aku juga sempat jumpa dengan Bang Mat Sabu di Bukit Gantang.... aip silap di stesyen keretapi dekat Masjid Negara, makan nasi goreng dan teh tarik dengan Bang Razak, geng dilarang melarang, YB Naset, Geng Melaka dan banyak lagi sebelum zohor, bila azan pakat pi solat zohor di masjid negara.... lepas itu berpecah....

Jumpa dengan Kak Normah isteri Bang Mat dengan anak dara dia.... masa balik dari istana dalam kawasan masjid negara.... kata kat dia, "tak boleh ambik gambar ni, pasai muka nampak come pun tak kena gas dan sembur ni...." Tak dan habeh cakap.... terus dengaq.... keting! keting! keting!..... bunyi A .......... seruuuuuu, FRU sembur ayaq, lari lintang pukang..... menyelamatkan diri... prup-prup tembak pulak gas pemedih mata..... masuk dalam kolam masjid dan sekelilingnya.

Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang menamatkan program hari itu dengan ucapan didalam masjid ketika diluar masjid dihujani tembakan water-canon dan gas, sekumpulan polis cuba masuk kedalam masjid, tetapi berjaya dihalang akhirnya keluar loy sahaja dari kawasan masjid dengan diiringi oleh Unit Amal kerana bimbang di kute oleh orang ramai.

Panjang lagi kalau nak tuleh.... apapun syabas diucapkan kepada semua Anggota Unit Amal, peserta demonstrasi, pemuda Wilayah Persekutuan dan Selangor, Pejuang Bahasa, Pemimpin PAS, Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang antara orang terawal yang terkena tembakan gas.


Semoga ianya menjadi salah satu amalan yang dikira sebagai ibadah sepanjang kita hidup atas muka bumi Allah swt, dengan kita pulangkan segala amal baik yang kita lakukan itu untuk kesinambungan hidup anak cucu yang akan mewarisi bumi Allah ini, serta mengikhlaskannya hanya semata-mata untuk Allah swt.

Maaf menggunakan bahasa Kedah..... kerana memang khas untuk geng Kedah, sebab lebih 400 kilometer geng Kedah telah pergi hanya untuk menunaikan panggilan kepimpinan.... oleh itu jangan kepimpinan menghampakan kami. Tidak ada apa yang kami mahu.... yang kami mahu ialah Islam dibawah pimpinan yang Muttaqin demi keredaan Allah di dunia dan di akhirat nanti dan selagi kami yakin kerja yang di arah, strategi yang diatur diyakini ada ganjaran Pahala disisi Allah.



Razaleigh: Ubah ubah format pilih PM bagi kukuhkan BN

Oleh G. MANIMARAN

Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengesyorkan dua langkah penting semalam, antara lain membolehkan keahlian secara langsung bagi mengembalikan keyakinan orang ramai dan kekuatan Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, BN perlu mengambil langkah seumpama itu untuk membuka keahlian kepada orang ramai tanpa perlu menyertai perikatan ini melalui mana-mana parti komponen.

Malah, kata beliau, ia penting bagi mencerminkan bahawa BN merupakan sebuah pakatan politik yang benar-benar demokratik.

"Pada masa ini, anggota Barisan Nasional terdiri dari parti-parti komponen, tetapi kita boleh ubah kita buka BN kepada orang ramai. Supaya boleh menjadi ahli secara langsung dalam BN.

"Ini mencerminkan bahawasanya parti BN adalah parti yang demokratik yang membuka keahliannya kepada semua pihak... baik orang Melayu, Cina, India dan suku kaum yang lain.

"Tetapi syaratnya saya rasa, untuk merasa kesan tindakan ini ialah supaya undang-undang dipinda. Terutamanya perlembagaan, supaya setiap parti yang menawarkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya mesti mengubah kedudukan parti masing-masing untuk membuka partinya kepada seluruh rakyat untuk menyertai parti," kata beliau dalam temu bual dengan saluran Astro Awani malam tadi,

Razaleigh yang juga Ketua Umno Gua Musang dan bekas Menteri Kewangan memperincikkan dua cadangan itu untuk merealisasikan reformasi BN.

Syor kedua ialah mengadakan proses pemilihan BN melalui Parlimen, sekali gus penyandang jawatan Perdana Menteri.

"Pendapat saya, tidak semestinya pemimpin parti komponen perlu menjadi Perdana Menteri kerana menurut perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik seseorang menjadi Perdana Menteri sekiranya dia menguasai sokongan majoriti, ahli-ahli parlimen atau ahli-ahli Dewan Rakyat dalam Parlimen.

"Ini bererti tidak semestinya pemimpin parti dipilih, sesiapa sahaja yang dapat sokongan majoriti dalam Parlimen boleh menjadi Perdana Menteri.

"Jadi kalaulah individu itu menjadi presiden parti komponen, berada dalam dewan rakyat tidak semestinya dia dipilih sebagai ketua parti dalam dewan rakyat," katanya.

Sebaliknya kata beliau, jika individu itu menjadi ketua parti dalam Dewan Rakyat, maka dia layak ditimbang menjadi Perdana Menteri.

"Ini kerana individu itu memimpin golongan majoriti dalam Dewan Rakyat," katanya.

Perutusan Maulidur Rasul: Laksana ajaran Nabi dalam pemerintahan

Oleh Dr Harun Din

MENGINGATI Rasulullah s.a.w. adalah dituntut oleh syarak. Cara tuntutan itu adalah umum, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengingati Rasulullah, bukan semata-mata kerana jasmaninya tetapi kerana risalah atau mesej yang dibawa untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia hingga ke akhirat. Iklan

Pada zaman mutakhir ini umat Islam umumnya, tidak lagi menghayati petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w., malah mereka juga terasing daripada menghayati perjuangan baginda, menyebabkan Islam terpinggir dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.tidak lagi menjadi idola.

Oleh itu, amat perlu diadakan sambutan yang bersesuaian dengan keadaan zaman ataupun perayaan-perayaan yang dilakukan selama ini seperti perarakan atau ceramah-ceramah agama sudah menjadi sesuatu yang ritual. Kadang-kadang ia tidak memberi makna yang sepatutnya bagi ditimba oleh orang-orang Islam.

Oleh demikian, saya mencadangkan supaya kalau benar-benar mengaku semuanya itu kerana hendak mengikuti jejak Rasulullah, maka ada baiknya diubah, ditambah sambutan itu dengancara pemerintah itu sendiri mengisytiharkan setiap tahun yang diadakan sambutan keputeraan Baginda, sekurang-kurangnya satu dari ajaran baginda dilaksanakan dalam pemerintahan.

Sebagai contoh, kalau Rasulullah s.a.w. amat memerangi arak, maka satu tahun diambil tahun 'pengharaman arak' untuk selamanya, manakala tahun hadapan pula satu lagi diambil untuk dilaksanakan, contohnya, seperti menutup aurat. Maka dilaksanakan perintah itu dengan sebaiknya oleh pemerintah. Bagi tahun ketiga pula, sebagai contoh, mengharamkan judi.

Ertinya, jika setiap tahun diadakan sambutan, diambil sekurang-kurangnya satu ajaran itu, maka ternampaklah kita ini serius dan wujud perubahan yang baik sempena Maulidur Rasul itu.

Manakala, satu hal lain pula, pihak yang berkuasa atau badan amal yang berwibawa, perlu mengadakan penyelidikan yang rapi tentang beberapa episod daripada sejarah hidup Rasulullahyang boleh dijadikan modul hidup atau praktikal modul untuk dilaksanakan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu ada sejarah Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik untuk dilaksanakan."

Namun, selama ini hampir tidak pernah dilakukan penyelidikan sedemikian di Malaysia dalam hal ini.

Atas sebab-sebab itu, seperti dinyatakan tadi perlunya beberapa pendekatan dan ajaran Rasulullah s.a.w. itu diambil satu daripadanya setiap tahun bagi memberikan kemanfaatan kepada seluruh ummah.

* Dato' Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS _

Khamis, 5 Mac 2009

Kerajaan Kedah saman TV3

Oleh Izwan Abdul Halim

Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas TV3 ekoran stesyen penyiaran itu berterusan menyiarkan berita yang disifatkan sebagai bohong dan berniat jahat.

"Pagi ini saya diberitahu TV3 ulang lagi bahawa Exco derhaka angkat sumpah, ini satu kenyataan yang tidak betul. Kita tidak tahu siapa derhaka.

"Oleh kerana dah melampau sangat, saya sudah arah Dato' Penasihat Undang-undang Negeri mengambil tindakan undang-undang kepada TV3 dalam mesyuarat Exco tadi. Kerana dia ada 'mala fide' (berniat jahat) yang berterusan," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini semalam

Ujarnya, pada majlis mengangkat sumpah Exco Kerajaan Negeri kelmarin, beliau telah pun menerangkan kepada media bahawa beliau masih menunggu nama Exco tersebut.

"Sebenarnya saya sudah terangkan semalam, kita sedang menunggu nama Exco yang dianggap menderhaka dan orang ramai pun tak ambil kisah sangat hal itu. Tuanku Sultan pun tidak ada apa-apa. Tuanku dengan sukacita melantik semua Exco. Jadi kalau sudah angkat sumpah depan Tuanku dan Tuanku pun telah perkenan tidak timbullah isu derhaka.

"Jadi kita nampak TV3 berniat buruk, berniat jahat maka wajarlah kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang ini. Jadi Penasihat Undang-undang Negeri akan ambil langkah yang perlu untuk itu," jelasnya ringkas.

Sebelum ini stesyen penyiaran yang sama telah beberapa kali ditegur Menteri Besar atas laporan-laporan mereka terhadap Kerajaan Negeri Kedah. Antaranya berkenaan penutupan Tabika Kemas, perlantikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Taman Teknologi Tinggi Kulim, penggunaan payung kuning di raja dan jet eksekutif, pembalakan di sekitar kawasan tadahan air dan penternakan babi di Bukit Selambau. - azm




"Siapa Exco yang derhaka itu?" - MB Kedah

Oleh Izwan Abdul Halim

Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mempersoalkan ketaatan kepada raja sepertimana dilaungkan Ketua Pemuda Umno yang juga Adun Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid berikutan ketidakhadirannya ke Majlis Perlantikan Dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Anak Bukit pada 3 Mac baru-baru ini.

"Orang yang kata ada Exco derhaka tu, mereka pun tidak datang istana. Ketua Pemuda Umno itu dia Adun (Ayer Hangat), majlis ini Tuanku Sultan panggil, tetapi dia tak hadir. Dia kata dia taat kepada raja, bolehkah saya kata dia derhaka kepada raja? Berapa banyak majlis dia tidak pernah datang.

"Pergi tanya dia, derhaka atau tidak majlis Tuanku tidak datang. Dia kata (dakwa) orang derhaka kepada raja. Siapa dia, nama apa, buat di mana, ada bukti apa? Kalau itu barulah saya hormat, barulah profesional. Kata tidak profesional dia marah pula.

"Tidak tahulah kalau awak semua (wartawan) ada nampak Ketua Pemuda Umno datang hari ini. Berapa kali tak datang pun. Itu taatkah? Derhaka atau tak?" persoalnya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Sebelum ini Rawi dilaporkan telah menghantar memorandum kepada Istana Anak Bukit berhubung dakwaannya terhadap Exco Kedah yang dikatakan menderhaka.

Terdahulu, beliau menggesa nama Exco berkenaan dinyatakan kepadanya apabila wartawan menyoal bahawa salah seorang Exco sedang disiasat polis berikutan tuduhan menghina Tuanku Sultan Kedah.

"Salah seorang tak boleh pakailah, kena letak namalah. Cuba beritahu saya nama Exco itu. Buat alasan (menggunakan ayat) 'salah seorang Exco'. Esok orang kata Menteri Besar pula.

"Tidak ada nilai berita, nilai yang sah. Jadi saya tidak akan layan kenyataan mengarut ini. Saya masih banyak kerja hendak dibuat. Hari ini kita tengok walaupun mereka bercakap macam-macam, nak runtuh dunia, (tetapi) perlantikan berjalan sangat sempurna," ujarnya menyangkal. _




Rabu, 4 Mac 2009

Nasib kerajaan tanpa sijil halal

Oleh Mahfuz Omar

KEADAAN politik semakin tidak keruan nampaknya menjelang peralihan kuasa yang bakal berlangsung pada hujung Mac depan.

Semenjak Sirul Azhar mengaku dikambinghitamkan, nampaknya Najib Razak lebih gelojoh untuk menjadi orang nombor satu. Apa tidaknya, selepas berjaya menabalkan sebuah 'kerajaan haram' di Perak, kini beliau berusaha untuk mendapatkan 'takhta' di Putrajaya pula.

Masih kencang khabar angin yang mengatakan mungkin Najib tidak sempat ke Putrajaya dan ramai juga yang mengharapkan begitu kerana mereka bimbang kegelojohan Najib akan memberi dampak yang lebih buruk berbanding ?kelembapan? pentadbiran Abdullah Badawi.

Minggu lepas, setelah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah Diraja di Parlimen, tersebar berita kononnya teks ucapan baginda telah dipinda pada saat akhir, iaitu sesudah disemak oleh Abdullah Badawi. Jawatankuasa Kabinet untuk menyediakan titah Diraja yang dipengerusikan oleh Najib itu dikatakan telah menyerahkan teks yang berbeza kepada Abdullah Badawi dengan teks yang dibaca oleh Seri Paduka Baginda.

Pada akhir teks yang dititahkan itu menyebut lebih kurang begini: "Beta maklum bahawa Memanda Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada memanda Timbalan Perdana Menteri pada bulan hadapan setelah menerajui Negara sejak 31 Oktober 2003...?

Bahagian ini dikatakan tiada dalam teks yang disemak oleh Abdullah Badawi. Wallahu a'lam!

Kegelojohan mendapatkan kuasa nampaknya tidak tertahan lagi. Bukan senang nak jadi Perdana Menteri kerana selepas 50 tahun merdeka, baru lima orang merasai jawatan ini. Sudah tentu igauan yang dialami oleh Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim tidak mahu dialami lagi oleh Najib. Dia mesti cepat-cepat mencopot Abdullah Badawi supaya dia segera ditabalkan sebagai Perdana Menteri.

Najib juga tidak mahu nasib memanda ayahandanya, Tun Razak berulang kembali. Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri terlalu lama sehingga Tun Razak yang sudah uzur itu hampir kehilangan peluang. Laporan perisikan British menunjukkan adanya penglibatan beliau dalam komplot menjatuhkan Tunku melalui tragedi 13 Mei. Kalau tidak berbuat begitu, sudah tentu sampai mati pun dia tidak merasa jawatan tertinggi itu.

Dalam kesibukan Najib mengejar jawatan nombor wahid itu, nampaknya projek sulit Najb di Perak kurang menjadi. Kerajaan haram sudah ditabalkan, tetapi kecohnya belum lagi reda. Dia memang berjaya memaksa Nizar Jamaluddin keluar dari rumah rasmi Menteri Besar, tetapi kesnya tetap tersangkut di mahkamah. Biarlah mahkamah menentukannya.

Satu lagi 'mahkamah' sedang bersidang di Bukit Gantang, dan hakim rakyat akan membuat keputusan 7 April ini. Zambry Kadir belum boleh tidur lena walaupun sudah digelar YAB secara haram. Dia terpaksa berhadapan dengan keadaan ini sehingga terpaksa menarik diri dari bertanding jawatan Majlis Tertinggi Umno.

Kali ini sama ada Zambry benar-benar membuat keputusan sendiri atau dikambinghitamkan juga seperti Sirul Azhar tidak pula diketahui.

Kegawatan politik Perak itu menggelegak semula selepas Speaker DUN Perak, V Sivakumar mengambil keputusan menggantung keahlian Zambry dan enam Exconya sebagai Adun. Maknanya, beliau tidak boleh menghadiri sidang Dun selagi mana status keahliannya digantung. Dia memang tidak berpuas hati, tetapi Speaker memang mempunyai kuasa, kata Prof Aziz Bari, pakar undang-undang perlembagaan dari UIAM.

Itulah akibatnya memperoleh sebuah kerajaan yang 'dicuri'. Kerajaan lemah dan tidak dapat berfungsi lagi. Nampaknya Sultan Perak terpaksa mengambil jalan terakhir ? membubarkan dewan negeri.

Umno cukup tidak mahu pilihan raya diadakan pada saat ini. Lihatlah bagaimana tarikh dua pilihan raya kecil ditetap dua hari sebelum habis tarikh matangnya ? 60 hari. Apabila desas-desus kerusi DUN Bukit Lanjan juga akan dikosongkan, para pemimpin BN mempertahankan bahawa Elizabeth Wong tidak perlu meletakkan jawatan.

Tetapi, jika keadaan politik sudah tidak menentu di Perak, mahu tidak mahu sultan tidak ada pilihan. Menteri Besar lama yang dikatakan sah oleh rakyat dihalang memasuki pejabat, Menteri Besar baru yang 'haram' pula sudah tidak boleh berfungsi di dewan negeri walaupun diraikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang lebih sudu dari kuah.

Bagaimana seorang yang digantung keahliannya di dewan negeri boleh menjadi Menteri Besar, sedangkan syarat menjadi Menteri Besar ialah mesti seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Dun). Tetapi kini keahliannya digantung selama 18 bulan daripada menghadiri sidang Dun. Kalau dia rasa masih MB macam mana Zambry nak bentang belanjawan negeri perak untuk tahun 2010 sedangkan dia tidak boleh menghadiri sidang Dun Perak.

Sepatutnya Zambry sudah hilang kelayakan sebagai Menteri Besar kerana keahliannya sudah digantung. Ya! Seperti kedudukan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Ketua Umno Kota Bharu dahulu, terlucut jawatan kerana keahlian digantung! Maka, dengan sendirinya kedudukan Zambry juga begitu. Speaker menggunakan kuasanya untuk mengambil tindakan ke atas Adun yang tidak berdisiplin. Ini adalah amalan di semua negara Komanwel, kata Prof Aziz Bari. Apa tunggu lagi?

Kini giliran Zambry pula untuk mengosongkan pejabatnya di Wisma Darul Ridzuan. Tapi saya percaya Zambry tidak akan berbuat begitu kerana ia akan memalukan Najib. Najib sudah tentu tidak sanggup dipersalahkan lagi di atas kemelut ini. Inilah akibatnya apabila memimpin sebuah kerajaan tanpa sijil halal yang sah!

Rakyat sudah tahu apa peranan Najib dalam menubuhkan kerajaan haram di Perak. Mereka tidak berani membawa usul tidak percaya ke Dun walaupun berjaya menculik dan merasuah tiga Adun Pakatan Rakyat. Dia tahu kerajaan Pakatan tidak akan jatuh jika dibuat usul tidak percaya, lalu mereka menggunakan saluran istana untuk memaksa Nizar meletakkan jawatan.

Nizar belum meletak jawatan, tetapi Zambry sudah mengangkat sumpah. Itu yang membuatkan Speaker hilang sabar agaknya, lalu menggantung keahlian Zambry. Kini Najib tidak mahu bertanggung jawab, lalu dipindahkan semua kesilapan ini kepada istana. Kononnya istana yang mengarahkan Zambry mengangkat sumpah, lalu dia mahu melonggokkan kegawatan ini di atas bahu istana. Istanakah yang menculik dan merasuah wakil rakyat? Atau Najib yang melakukannya, kemudian mendesak istana menerima sumpah Zambry.

Sebelum saya menutup bicara kali ini, saya ingin menyentuh sedikit tentang pilihan raya Israel yang baru tamat minggu lepas. Parti Kadima pimpinan Tzipi Livni memperolehi 28 kerusi mendahului Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu dengan lebihan 1 kerusi.

Netanyahu amat mengharapkan supaya dapat membentuk kerajaan dan kini berusaha melobi parti-parti kecil Israel - Beiteinu dan Parti Pekerja yang masing-masing mempunyai 15 dan 13 kerusi. Tapi nampaknya Netanyahu, bekas Perdana Menteri Israel itu tidak cukup licik, lalu sehingga hari ini masih belum dapat mengangkat sumpah.

Saya mencadangkan kepada beliau supaya datang 'berkursus' dengan Najib Razak bagaimana cara menculik dan merasuah wakil rakyat parti lawan ketika parti Netanyahu ketinggalan satu kerusi itu. Kalau dia mengambil Najib menjadi penasihat, sudah tentu Netanyahu boleh menangkat sumpah dengan segera... walaupun secara haram!-

Segalanya Haru Biru Bila DUN Perak Tidak DiBubar

Oleh Mohamad Hanipa Maidin

Melihat kepada apa yang berlaku di Perak pada masa ini kita boleh menyimpulkan begini : segalanya lintang pukang dan haru biru apabila Y.M Sultan Perak, di atas budibicaranya, enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Perak meskipun diminta oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Nizar untuk berbuat demikian di bawah Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Negeri Perak

Dari situ berlakulah siri lintang pukang yang sekaligus memalukan bukan sahaja rakyat Perak tetapi juga nama Malaysia di pandangan dunia.

Apabila Speaker dan para ADUN Pakatan terpaksa mengadakan sidang DUN tergempar di bawah pokok kita teringat apa yang berlaku kepada Kerajaan Pasola di dalam filem Laksamana Do Re Mi arahan P.Ramlee. Yang lebih lucu lagi Penasihat Undang-Undang Negeri Perak mahu mewakili Zambry dalam kes yang difailkan oleh Nizar tetapi di dalam kes yang difailkan oleh UMNO ke atas Speaker, V. Sivakumar ( kerana Speaker melarang Zambry masuk DUN selama 18 bulan ) Mahkamah Tinggi Ipoh pula mengarahkan V. Siva Kumar diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Perak. Ini bukan lagi haru biru tapi dah berbelit dan tersimpul !!!

Untuk berlaku adil kepada Y.M Sultan Perak, tidak boleh dinafikan baginda mempunyai budibicara untuk enggan membubarkan DUN meskipun diminta secara munasabah oleh MB Perak. Namun istilah “budibicara” di dalam konteks undang-undang tidak pernah ditafsirkan sebagai budibicara mutlak ( absolute discretion) . Budibicara , sepertimana yang diterima oleh prinsip undang-undang dan amalan demokrasi , hendaklah dilaksanakan secara wajar dan adil.

Y.M Sultan Perak pun sendiri mengakui bahawa tidak wujud apa yang dinamakan budibicara mutlak kerana beliau sendiri pernah di dalam satu kes yang beliau putuskan semasa menjadi hakim dahulu iaitu kes Pengarah Tanah dan Galian , Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd ( 1979 ) 1 MLJ 135 menyatakan seperti berikut :-

“ Every legal power must have legal limits otherwise there is dictatorship… in other words , every discretion cannot be free from legal restrain ; where its is wrongly exercised , it becomes of the court to intervene. The courts are the only defence of the liberty of the liberty of the subject against departmental aggression. Unfettered discretion is contradiction in terms”. Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolute”

( Terjemahan :”Setiap kuasa di sisi undang-undang mesti mempunyai had dan batasannya di sisi undang-undang. Dengan lain perkataan setiap budibicara tidak boleh bebas dari had dan batasan undang-undang. Kalau sekiranya budibicara salah digunakan adalah menjadi tugas Mahkamah untuk campurtangan. Mahkamah sahajalah satu-satunya pembela kepada kebebasan rakyat di atas mana-mana salah laku dan kerakusan kuasa jabatan. Budibicara yang tidak dikawal adalah satu istilah yang mengandungi percanggahan. Kuasa cenderung untuk merosakkan. Kuasa yang mutlak akan rosak juga secara mutlak.” )

Kata-kata diatas adalah satu kata-kata yang menakjubkan selagi mana roh kata-kata itu diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan.

Rakyat negara ini menerima institus Raja sebagai satu institusi yang dihormati. Raja adalah lambang kestabilan. Dalam konteks sejarah negara ini memang tiada siapa boleh menafikan institusi Raja adalah suatu kesinambungan dari satu sejarah yang amat panjang. Atas dasar itu peruntukkan mengenai institusi Raja diterima sebagai salah satu “indigenous elements ( elemen-elemen tradisi ) yang dimasukkan di dalam Perlembagaan sama ada Perlembagaan Persekutuan atau pun Perlembagaan Negeri-Negeri di Malaysia

Bagaimanapun dalam masa yang sama semua orang juga mengakui ( termasuk para sultan di negara ini ) bahawa Malaysia mengamalkan institusi Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) bukannya institusi Raja Yang Berkuasa Mutlak ( Absolute Monarchy ). Tidak dinafikan secara relatifnya Raja Berperlembagaan adalah jauh lebik dari Raja Berkuasa Mutlak. Namun dalam masa yang sama salah memahami atau salah menafsir konsep Raja Berperlembagaan boleh mewujudkan “constitutional anarchy” ( hura hara Perlembagaan )

Bagi mereka yang mempelajari undang-undang Perlembagaan mereka pasti mahir dengan istilah “convention” ( amalan ). Secara mudahnya “convention” di dalam konteks Undang-Undang Perlembagaan bermaksud amalan-amalan yang telah diterima pakai sebagai salah satu kaedah untuk menafsirkan peruntukkan Perlembagaan.

Menurut Geofrrey Marshall “ conventions” adalah apa yang kita namakan sebagi satu akhlak positif Perlembagaan ( positive morality of the Constitution ). “Conventions” menurut sarjana tersebut adalah satu peraturan yang mana para aktor-aktor politik wajib mematuhinya.

Di dalam konteks apa yang berlaku di Perak , apakah “convention” yang patut dipatuhi oleh Y.M Sultan apabila MB Perak meminta baginda membubarkan DUN Perak ? Jawapannya “convention” yang terpakai adalah Y.M Sultan , dengan penuh hormat, sewajarnya membubarkan DUN apabila dengan secara munasabah diminta berbuat demikian oleh MB Perak iaitu Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.

Philip T.N Koh, salah seorang peguam Perlembagaan di dalam tulisannya “ constitutional conundrums and conventions “ ( The Edge , 23 Feb 2009 di m/s 55 ) menyatakan seperti berikut :-

“Adalah berfaedah untuk dicatatkan di sini berdasarkan amalan-amalan di negara Komenwealth boleh dikatakan tidak pernah berlaku keadaan di mana Governor ( di Malaysia Sultan ) menolak mana-mana permintaan yang munasabah ( untuk bubar dewan ) oleh Menteri Besar. Di United Kingdom, kini telah diterima dan diakui meskipun keistimewaan diberikan kepada Raja untuk membubar Parlimen namun perlaksanaannya bergantung , dalam keadaan biasa , kepada perkiraan dan keputusan Perdana Menteri.” .

Kini segalanya kembali semula kepada Y.M Sultan. Kalau baginda mahu terus melihat keadaan di Perak semakin terus lintang pukang dan haru biru , baginda boleh mengekalkan sahaja keputusan baginda. Namun jika baginda mahu keadaan Perak kembali aman dan damai maka baginda tidak mempunyai pilihan kecuali membubarkan DUN Perak dan mengembalikan kuasa memilih MB dan Kerajaan Perak yang baru kepada rakyat baginda sendiri. Dalam hal ini pilihan kedua nampaknya satu



Selasa, 3 Mac 2009

Nasib Baik Saya Tidak Jadi Sultan Perak

Oleh Mohd Sayuti Omar

PASTINYA Tuhan telah mengukur kain dibaju saya sebelum Dia menjahit baju untuk dijadikan pakaian saya. Kalaulah saya menjadi Sultan Perak yang dijunjung dengan panggilan hebat Paduka Sultan itu alangkah malu besarnya saya hari ini. Sebab di negeri Perak kini ada dua kerajaan yang keduanya berstatus tidak sah!

Naiflah saya sebagai sultan memiliki dua kerajaan tetapi keduanya tidak sah. Apa lagi sultan itu pula dikenali sebagai sangat bijak, adil dan profesional dan seorang pakar.

Satu kerajaan yang juga dilantik oleh Sultan bersam barisan Exconya masih mengaku merekalah kerajaan sah di Perak. Manakala satu lagi kerajaan yang baru dibentuk selepas rampasan kuasa juga mengakui merekalah kerajaan yang sah.

Perebutan kuasa (kerajaan) kini sedang berlaku dan berlarutan sejak sebulan lalu. Masing-masing berkeras untuk tidak mengalah dan meletakkan keadaan di Perak dalam kucar kacir, celaru, haru biru, dan rakyat menjadi bingung memikirkan apa yang berlaku.

Malu sungguh! Hari ini sebuah kerajaan telah mengadakan persiangan Dewan Undangan Negeri di bawah pokok. Kejadian ini adalah sejarah kerana inilah kerajaan pertama mengadakan sidang di luar Dewan Undangan Negeri.

Betapa aiblah saya kalau saya menjadi Sultan dengan kejadian itu. Sekalian burung, awan, pokok kayu, kereta, lori dan bas melihat kejadian itu seolah kerajaan saya sangat miskin sehinggakan Menteri Besar dan anggota exconya terpaksa bermesyurat di bawah pohon kayu. Ia juga kelakar dan semacam cerita kartun saja.

Manakala di tempat lain, sebuah lagi kerajaan berhimpun di mahkamah menanti keputusan mahkamah terhadap injuksi mereka menghalang kerajaan satu lagi itu daripada mengadakan sidangnya. Sebelum itu DUN yang indah dan dibina dengan harga jutaan ringgit diarahkan ditutup bagi mengelakkan persidangan oleh kerajaan satu lagi mengadakan persidangan.

Sekalian polis dan pasukan pertahan lain juga dipanggil untuk menghalang anggota kerajaan itu dari memasuki ke DUN. Khabarnya sebuah trak FRU siap dengan penyembur menghalang ke pintu masuk ke DUN berkenaan.

Gara-gara dihalang itulah maka kerajaan itu bersidang di bawah pokok. Bayangkan betapa rimas dan meleketnya anggota badan kerajaan itu yang berkok dan bertali leher berada di bawah pokok.

Apa yang saya gambarkan sebelum ini mengenai kedudukan politik di Perak sudah menjadi kenyataan, cuma bezanya raja bukan bersemayam di bawah pokok kayu seperti raja negeri Pasir Dua Butir itu. Tetapi kerajaan Tuanku bersidang di bawah pokok.

Nasib baiklah saya tidak menjadi Sultan Perak maka terelaklah saya daripada menerima keaiban dan kemaluan dengan segala kejadian itu. Terelak memikul sejarah baru bagi mana sebuah negeri yang mempunyai seorang raja yang bijak bitari tetapi menjadi kucar kacir. Negeri hanya sekangkang kera tetapi ada dua buah kerajaan yang hebat dan gah.

Sekiranya saya menjadi Sultan tidak mahu saya apa yang berlaku terjadi kerana ia memalukan dan sekaligus menggambarkan kelemahan serta kerendahan hati dan budibicara sultan. Kalau saya jadi sultan saya tidak akan membiarkannya dan menyelesaikan masalah itu kurang daripada tujuh hari.

Semisalnya saya tidak akan membenarkan kerajaan baru dibentuk ketika kerajaan lama masih wujud dan tidak diendorse dalam dewan undangan negeri. Sebaik-baik akal dan pilihan saya ialah saya akan menitahkan kepada memanda menteri supaya bubar Dewan dan pilihan raya baru hendaklah diadakan. Biarlah dalam pilihan raya itu rakyat menentukan siapa yang mereka kehendaki dan menolak siapa mereka benci.

Adalah tidak molek saya sebagai raja kalau berpihak kepada mana-mana puak kerana semua yang bernaungan di bawah negeri saya adalah rakyat saya belaka. Saya benar-benar akan menjaga fungis saya sebagai payung meneduhkan rakyat dari hujan dan ribut.

Tetapi disebabkan kerana bukan saya menjadi sultan saya tidak dapa berbuat apa-apa ke atas apa yang menimpa negeri Perak hari ini melainkan hanya boleh menulis dan merakam segala peristiwa itu dengan perasaan yang cukup mual sekali. Mual!



Isnin, 2 Mac 2009

Persahabatan : Nilai Keizzahan Perjuangan

Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi

Tiada yang lebih indah berbanding sebuah persahabatan yang diikat kukuh dengan nilai ukhuwwah Fillah pula bersulam rasa kasih dan cinta kerana Allah swt.

Persahabatan inilah menjalin tenaga dan menguatkan saf perjuangan dari ancaman pelbagai anasir yang merosakkan amal jamaei dan thiqah berjamaah .

Sendi utama persahabatan ini ialah ghayah dan hadaf yang bersatu di atas prinsip amal Islami biarpun mungkin berbeza approach dalam melaksana atau merealisasikannya .

Jamaah menjadi ceria dan anggotanya gembira apabila orientasi organisasinya berlandaskan nilai persahabatan yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam .

Sebaliknya mendung akan mengiringi sepanjang sessi atau musim andai jamaah kehilangan nilai persahabatan ini . Tentu sahaja krisis serta konflik mudah tercetus dan paling tidak " perang dingin " sesama anggota akan wujud apabila makna sebuah persahabatan tercalar atau dibiarkan tercemar dek pelbagai virus negatif yang menular dikalangan anggota .

Justeru itulah , persahabatan menjadi modul asas bagi sebuah gerakan Islam di bumi mana pun ia beroperasi . Pelbagai mekanisma dicipta untuk melahirkan erti persahabatan yang utuh dikalangan anggota jamaah . Tamrin , mukhayyam , usrah dan liqa' fikri antara aktiviti tradisi yang diwarisi oleh jamaah sejak berzaman untuk mengekalkan tahap persahabatan yang utuh demi mewujudkan jamaah yang perkasa .

Kita juga biasa dengan istilah dengar dan taat , baiah , wala' , ukhuwwah , thiqah , husnu zon dan sebagainya dalam pelbagai medium pengisian dalaman ke arah pemantapan komitmen ahli dengan amal jamaei . Segala istilah itu juga merupakan tradisi soleh yang kita warisi dari generasi sebelumnya guna mengukuhkan persahabatan antara anggota jamaah dan memastikan perjuangan yang kita dokong ini terus kuat dan gagah meredah cabaran serta menyerap tekanan .

Implikasi mudah bagi Perjuangan tanpa Persahabatan

Sebagaimana saya sebutkan tadi , saya juga percaya semua anggota memahami betapa jamaah yang gersang dari nilai dan erti persahabatan yang dikehendaki oleh Islam ini akan mendorong berlakunya kepincangan dalam pelbagai organ parti . Antaranya :

1. Keputusan yang kedua akan dibuat atas keputusan pertama yang telah di binding oleh mesyuarat yang sah .

2. Wujudnya sub meeting . Mesyuarat dalam mesyuarat atau mesyuarat lepas mesyuarat malah lebih malang mesyuarat "kedua" atau mesyuarat di "luar" itu dibina atas dasar tidak puas hati dan tidak percaya kepada pimpinan dan sebahagian anggota mesyuarat yang lain .

3. Saling curiga mencurigai antara satu sama lain dalam apa jua penampilan dan aktiviti . Lalu mewujudkan suasana suram dan resah dikalangan pendokong jamaah . Salin tidak mempercayai .

4. Hilang wala' atau pudar ketaatan kepada pucuk pimpinan malah lebih parah apabila lahirnya kecenderungan untuk mentaati dan mempercayai pihak lain yang berada di luar jamaah .

5. Tikam belakang ! Cantas karier ! Bocor rahsia dan menjatuhkan imej akan menjadi saraf yang digerakkan sesama sendiri demi survival karier politik kononnya demi jamaah .

6. Multi jamaah dengan maksud boleh sahaja menyertai mana - mana jamaah kerana wala' tidak wajib kepada pimpinan jamaah kecuali hanyalah kepada Allah dan Rasul sahaja . Begitu juga baiah tidak ada untuk pimpinan jamaah sebaliknya baiah hanya untuk khalifah .

7. Pergeseran yang mudah mencederakan perasaan terhasil dari persaingan yang tidak sihat sesama sendiri .

8. Wujud team yang saling bertembung antara satu sama lain dan kemudiannya berlaku tajrih yang tidak wajar sesama anggota jamaah .

9. Berlepas harap dan tidak memberi komitmen yang baik terhadap aktiviti yang diamanahkan malah mudah merajuk serta kecewa kerana tidak berpuas hati dalam pembahagian tanggungjawab kepada anggota . Ianya adalah kesan dari rasa cemburu antara satu sama lain .

10. Mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa yang dialami oleh anggota yang lain biar pun ia satu keperluan yang mendesak . Terkadang jelas dapat dilihat sorotan matanya seperti memandang musuh kepada saudara sejamaah apa lagi ucapan terkadang berbau nista sesama sendiri . Jelasnya mudah berlaku perselisihan faham .

Bagaimana Mengukuhkan Persahabatan .

Persahabatan dapat di bina dan diperkukuhkan melalui aktiviti tradisi warisan generasi terdahulu dengan kepelbagaian pendekatan sesuai di era ini .

Semua anggota janganlah bersifat atau bersikap "kalis Tarbiyah" , khasnya pimpinan biarpun setinggi mana ia menjawat jawatan dalam jamaah . Semua peringkat jamaah mesti sedia kembali ke medan tarbiyah justeru ia suatu yang hidup dan senantiasa memerlukan persegaran merentas zaman .

Beri keutamaan kepada pemantapan wala' , syura , baiah ,taat dan semua prinsip amal Jamaei agar akhlak berjamaah dapat dipupuk .

7 Mac, runtuhkan kebodohan ini!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Segala persiapan telah diatur. Kempen penerangan jelajah seluruh negara selesai sudah. Hujah mengapa PPSMI dibantah tidak diragui lagi. Tokoh-tokoh cendekiawan dan budayawan Melayu semakin ramai memberi sokongan dan tampil ke depan. Majoriti rakyat, sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, menolak tanpa sangsi. Dasar yang pelik dan aneh itu sememangnya telah menjahanamkan perkembangan intelektual hampir satu generasi anak-anak yang tidak berdosa. Tarikh 7 Mac bakal menjadi saksi amarah yang membuak-buak itu ditumpahkan melalui satu himpunan raksasa yang bersejarah, insya-Allah.

Tiba-tiba ingatan saya terimbau hampir empat tahun lalu. Saya diundang di saat-saat akhir, untuk menghadiri satu persidangan peringkat kebangsaan, di Kolej New Era, Kajang, anjuran Dong Jiao Zong (DJZ). Saya menjadi bidan terjun mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) apabila tiada wakil pertubuhan Melayu yang bersedia menjadi ahli panel bagi membantah apa yang hari ini kita kenali sebagai PPSMI. Saya sampai jam 3 petang, ketika hujan panas renyai-renyai. Namun dahi saya berpeluh akibat gementar berdepan lebih 5,000orang yang datang dari seluruh negara, kebanyakannya masyarakat Tionghua yang mewakili sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Cuba bayangkan, keanehan waktu itu, dan saya terasa keseorangan dibelit kesunyian di atas pentas. Tiada wakil NGO Melayu yang mampu meluahkan bicara dan rasa tentang PPSMI yang bersedia untuk memakan korbannya. Sedangkan siapa mangsa yang paling teruk daripada rancangan pelik dan aneh itu, kalau bukan anak Melayu sendiri dibandingkan dengan pelajar Cina dan India? Benar, orang Melayu lebih suka menumbuk dinding melepaskan marah ... tapi awas, jangan sampai mengamuk! Reaksi awam ketika itu seolah-olah menggambarkan masyarakat Melayu dapat menerima PPSMI walaupun penolakan masyarakat Cina, terutama dari kelompok pendidik mereka, begitu ketara.

Enam tahun masa berlalu. PPSMI jelas "celaka". Kedudukan bahasa Melayu yang sedia lemah makin dihina di bumi sendiri. Usaha gigih pejuang bahasa sejak sekian lama untuk memartabatkannya di persada antarabangsa seperti diterajang ke jurang dalam. Anak-anakMelayu yang diketahui agak lemah dalam matematik, sains dan bahasa Inggeris dijadikan bahanuji kaji dan perkakas untuk mengaut keuntungan melalui dasar yang pelik, aneh dan bodoh itu. Tertebuskah dosa kita membiarkan mereka merana selama enam tahun? Dan bahasa Melayu makin dipandang rendah. Malah, kita sebenarnya melakukan "usaha sia-sia" menghabiskan masa menentang PPSMI ketika kita patut menggembleng tenaga memperkukuhkan bahasa kebangsaan itu dalam setiap sektor. Tanpa PPSMI pun bahasa Melayu perlu diperkasa seutuhnya terutama menempuh badai globalisasi.

Melalui Siasah, kemudiannya Harakah, saya memberi ruang secukupnya untuk berhujah dan berdebat. Di atas pentas teori tiada siapa dapat menyanggahnya. PPSMI wajib dikuburkan,segera! Menteri Pelajaran hanya menyerlahkan kebebalan dalam beberapa reaksinya. Kini masa untuk menghentikan kebodohan yang cukup panjang ini. Budayawan, cendekiawan, pemimpin politik, aktivis masyarakat dan ibu bapa perlu bersatu tenaga untuk, bukan sahaja meruntuhkan kedunguan dan kebengongan ini, dengan turun beramai-ramai pada 7 Mac nanti, tetapi juga untuk bersama-sama membina kembali peradaban bangsa yang terabai selama ini. Selamat berdemonstrasi!_

Kerajaan perpaduan, negara tanpa pembangkang

Oleh Roslan SMS Corner
Seorang wartawan dari portal berita Mandarin mohon saya ulasan berkenaan apa yang dikatakan "unity government" yang dicadangkan oleh Presiden PAS. Begitu juga seorang penyokong tegar PAS berbangsa Tionghua dari Kelantan, minta penjelasan adakah ini bermakna PAS dan Umno akan bergabung dan mengadakan hubungan kerjasama politik?

Seorang wartawan dari portal berita Mandarin mohon saya ulasan berkenaan apa yang dikatakan "unity government" yang dicadangkan oleh Presiden PAS. Begitu juga seorang penyokong tegar PAS berbangsa Tionghua dari Kelantan, minta penjelasan adakah ini bermakna PAS dan Umno akan bergabung dan mengadakan hubungan kerjasama politik?

Ternyata yang mereka maksudkan itu adalah cetusan gagasan baru yang cuba dilontarkan oleh Dato? Seri Tuan Guru Presiden PAS. Ia bermula semasa beliau membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Parlimen dan diikuti dengan temuramah khas bersama Malaysian Insider dan akhbar Siasah di bangunan Parlimen.

Gagasan baru ini tidak sekadar melibatkan Umno dan PAS malah lebih besar lagi ia mencadangkan kerjsama politik secara "total" melibatkan semua pemain-pemain dalam gelanggang politik tanahair . Beliau mencadangkan sebuah kerajaan tanpa pembangkang yang menyatukan bukan sahaja orang-orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Mendakap realiti semasa yang menampakkan suasana muram dan mencemaskan samada dari perspektif ekonomi maupun politik, maka demi kepentingan rakyat dan Negara Tuan Guru mencadangkan agar semua pihak mengenepikan perbezaan dan meredakan perbalahan, duduk semaja atas satu pentas dan melahirkan sebuah kerajaan perpaduan atau "unity government" yang akan melihat semua parti bersatu membentuk satu kerajaan demi rakyat dan Negara.

Di dalam perbahasan beliau di Dewan Rakyat itu beliau menyebut:

"Pendekatan dalam mewujudkan perpaduan ini mestilah memenuhi segala ciri dan sifat fitrah naluri yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Manusia bukan sahaja boleh disatukan sebagaimana menyatukan batu-bata dalam mendirikan bangunan, kayu yang mendirikan perabot tidak boleh disatukan begitu sahaja kerana manusia bukan sahaja jasad, mereka mempunyai hati perut dan perasaan. Dengan sebab itu pendekatan yang perlu diambil dalam mewujudkan perpaduan mestilah merangkumi segala aspek yang ada dalam naluri kejadian manusia itu sendiri."

Dalam suasana politik hari ini ia mungkin sesuatu yang sukar difikirkan namun jika kita semua meletakkan kepentingan Negara di hadapan, pembelaan nasib dan kebajikan rakyat agenda utama kita, maka tidak mustahil cadangan ini dapat dilaksanakand engan syarat semua pihak jujur dan ikhlas.

Mengapa cadangan ini perlu dipertimbangkan?

Dari sudut politik kita melihat pasca PRU ke 12 menampakkan perubahan besar ke atas lanskap politik tanahair. BN menang dan mengekalkan kuasa diperingkat Pusat namun kehilangan majoriti duapertiga di Dewan Rakyat. Pakatan Rakyat pula berjaya menundukkan BN di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia walaupun mereka kekal berkuasa di tujuh negeri lain (Sarawak tiada pilihan raya negeri).

Rentetan lanskap baru ini rupa-rupanya mencetuskan pula beberapa insiden politik yang tidak menampakkan kestabilan dan meyakinkan rakyat. Perebutan kuasa terus menerus berlaku sehinggakan pihak istana turut terlibat dan terbabit secara langsung.

Ini suatu fenomena yang baru dan rakyat semakin resah dan cemas mengikuti perkembangannya.

Tuan Guru melihat perkara ini tidak wajar dibiarkan berlarutan kerana ia bakal mengundang perbalahan dan perpecahan yang lebih serius yang akhirnya bakal merugikan rakyat dan Negara.

Kemudian dari sudut ekonomi kita masing-masing sedar betapa suasana ekonomi global kini begitu meruncing dan kegawatan besar di Amerika Syarikat dan Eropah bakal singgah dan mempengaruhi ekonomi Negara kita. Kita masing-masing bertanggungjawab mempertahankan Negara kita dari ancaman ekonomi ini dan sama-sama perlu menyatukan idea dan fikiran untuk meminimakan impaknya nanti ke atas rakyat dan Negara.

Kerana itulah, demi mengelakkan krisis yang lebih besar dari sudut politik dan ekonomi, maka pilihan yang ada bagi kita yang perlu difikirkan secara serius oleh semua pihak adalah ke arah "Negara tanpa pembangkang" ini.

Bagaimana ia mahu digerak dan dilaksanakan, maka kita serahlah pada pucuk piminan tertinngi semua parti agar berani tampil ke hadapan untuk menyahut pelawaan ini dan memikirkan penyelesaian yang terbaik buat rakyat dan Negara.

Kita mendoakan agar semua pihak memikirkan idea ini dan jika boleh bersama-sama bergerak ke arah perlaksaannya. Ia bukan sekadar baik buat PAS atau Umno tetapi sebenarnya akan baik buat BN dan PR dan lebih penting lagi buat semua rakyat Malaysia yang dahagakan kestabilan dan perpaduan itu.- azm

(Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden) _
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut