Detikdaily

Selasa, 26 Mei 2009

Ulama juga perlu ditarbiyah

Oleh Zulkifli Yahya

Allahyarham Tuan Guru Haji Ahmad Yusof Pulau Pisang, Kedah pernah 'memarahi' seorang ahli Badan Perhubungan PAS Kedah kerana mengkritik Dewan Ulamak. Baginya institusi ulama sangat mulia kerana mereka adalah pewaris Nabi. Justeru, ia tidak wajar diperlekehkan.

Tindakan Tuan Guru Haji Ahmad Yusof yang dilakukan beliau di hadapan Almarhum Ustaz Fadzil Noor itu adalah betul. Dia mempertahankan kemuliaan institusi ulama. Namun tindakan individu yang mengkritik Dewan Ulamak itu juga tidaklah pula salah

Beliau tidak bermaksud mengkritik kemuliaan institusi ulama sebagai pewaris nabi. Beliau hanya cuba mendedahkan kelemahan individu dalam kepimpinan ulama yang menyebabkan Dewan Ulamak tidak berperanan seperti yang sepatutnya.

Kepimpinan ulama dalam PAS bermula tahun 1983. Kemunculannya adalah seiring dengan kebangkitan revolusi Islam Iran pimpinan Ayatollah Khomeini. Tidaklah diketahui, ianya suatu perancangan, suratan atau kebetulan.

Selepas 27 tahun berlalu baru dapat dikenal pasti bahawa konsep kepimpinan ulama dalam PAS berbeza dengan di Iran. Kepimpinan ulama di Iran dikuasai dan didominasi oleh majlis syura ulamanya. Mereka benar-benar berautoriti, berwibawa, disegani dan dihormati. Ia menjadi tempat rujukan. Yang penting ialah tempat rujukan isu politik dan kepimpinan; yang sentiasa berubah dan bercelaru.

Adakah kepimpinan ulama dalam PAS begitu? Saya melontarkan soalan dan semua orang bebas memberikan jawapan. Tapi apa yang sangat pasti ialah 'kepimpinan ulama' dalam PAS diterima sebulat suara oleh setiap anggota PAS di mana-mana peringkat jua.

Kepimpinan ulama difahami sebagai kemimpinan mesti berteraskan Islam dan pemimpin adalah orang yang faham Islam atau menjadikan sumber ilmu Islam sebagai asas rujukan. Ia tidak mesti bermakna batang tubuh pemimpin mesti ulamak. Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pernah memimpin Pemuda sekalipun mereka bukan ulama yang mendapat pendidikan formal di bidang agama.

Semua faham hal itu. Cuma, kalau 'itulah saja' maksud kepimpinan ulamak, maka ia tidak bermula dari tahun 1983. Mungkin sejak PAS ditubuhkan lagi, kepimpinan ulamak sudah bermula. Jangan lupa bahawa antara agenda penting terbit dari kepimpinan ulama ialah penubuhan Majlis Syura Ulamak yang dimasukkan dalam perlembagaan parti.

Selepas PAS Pusat merayakan Jubli Perak, kepimpinan ulamak nampaknya tidak sehebat kepimpinan ulamak di Iran yang benar-benar memperkasa majlis syura ulamak, sehingga keputusan entiti tersebut dipertikaikan lagi. Ulamak Iran juga tidak terdedah (atau mendedahkan diri) kepada kontroversi.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mat Daud Iraqi baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu 'rasuah politik' dalam PAS yang mengundang kemarahan banyak pihak. Rasuah adalah kerja terkutuk yang sangat hina. Ia menjadi sebab musuh politik PAS, Umno, hancur lebur.

Dalam PAS jangankan perbuatan merasuah untuk naik jadi pemimpin, niat untuk merasuah dalam hati kecil pun seharusnya jangan ada. Ekoran kenyataan Ustaz Mat Daud itu, ramai tercari-cari siapa dia 'pemimpin terkutuk' yang ada dalam PAS itu.

Kenyataan itu bukan setakat mengundang keresahan pemimpin PAS, tapi membuka ruang yang sangat luas kepada anggota bukan PAS, khususnya Umno untuk mentohmah PAS. Ia memberi imej yang sangat buruk terhadap PAS. "Tengok, Umno dan PAS sama saja ... taik rasuah!"

Sakit telinga untuk mendengarnya sedangkan apa yang dicanangkan tidak berlaku pun. Kalaupun berlaku (andaian yang tidak masuk akal), apakah bijak menggunakan saluran media tali barut BN, yang tidak pernah bersimpati terhadap perjuangan Islam, untuk menyelesaikan masalah?

Laporkan saja pada jawatankuasa kerja PAS Pusat untuk diambil tindakan. Andai kenyataan liar seperti itu diucapkan oleh pemimpin bawahan PAS, ia tetap mencetuskan kontroversi. Apatah lagi yang mengucapkannya ialah Ketua Dewan Ulamak PAS.

Namun selagi kita manusia, ulama atau bukan ulama, tetap tidak tersisih dari melakukan kesalahan. "Nabi Muhammad adalah pemimpin dan juga imam. Ada ketika Baginda khusyuk solat sampai mengerjakan Maghrib empat rakaat tetapi kemudiannya ditegur makmum.

Rasulullah s.a.w. akur dan mengerjakan sujud sahwi," kata Dato' Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS. "Ini bukan kesilapan, tetapi petunjuk ringkas dari Rasulullah s.a.w. bahawa pemimpin boleh ditegur, dibantu dan diberi pandangan."

Betul, ulama boleh ditegur. Pengisian kepimpinan ulama juga boleh dipersoal atau diperbetulkan. Melakukan kesilapan adalah perkara biasa, tetapi apabila ulama yang melakukan kesilapan ia mesti dianggap luar biasa. Barulah institusi ulama akan dihormati. Justeru, ulamak juga perlukan pentarbiahan di samping mereka mentarbiyah orang lain. - azm _

Selasa, 12 Mei 2009

Nasihat Buat Yang Kalah, Wasiat Buat Yang Menang

oleh Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man.

(Mesyuarat Agung Tahunan)Mesyuarat Agung Kawasan dan Dewan-Dewan baru berlalu, kini seluruh tumpuan dihalakan kepada pemilihan dalam muktamar PAS Pusat. Pelbagai cerita suka duka, tawa dan tangis didengar dalam keriuhan suasana mesra jamaah.


Itulah keindahan perjuangan Islam. Kita membina ukhuwah Islamiah dalam jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Kemanisan perjuangan ini tentulah tidak lahir secara spontan, Bahkan ianya lahir melalui tarbiyah samada secara formal atau imformal.


Semua kita sangat sayangkan suasana ukhuwwah ini, kerana kita yang bersama dalam perjuangan di dunia mengharapkan agar Allah mengumpulkan kita dalam majlis yang diredhaiNya diakhirat.


HAKIKAT PENCALONAN


Kita menyedari bahawa kita bukanlah insan terbaik dalam jamaah, kita bukanlah ahli yang hebat dengan keilmuan sehingga mampu menerangi cahaya bagi menyuluh jalan agar Allah redha kepada kita, kita bukanlah ahli ibadah yang hebat, mampu menangis di hadapan Allah setiap malam dikala manusia lain sedang nyenyak tidur, dan kita juga bukanlah pemimpin terbaik.


Kita hanya menawar diri itupun setelah ada orang lain mencalonkan kita; terkadang kita malu dengan pencalonan itu, kerana kita mengetahui kelemahan diri kita, namun apa daya kerana kita tidak mampu menjawab hisaban di akhirat bilamana mengecewakan harapan jamaah.


Lantaran ianya hanya tawaran diri, tentulah kita tidak akan kecewa bilamana kita tidak dipilih. Apa yang nak ditangisi dan disesali diri, kalau ianya adalah satu keringanan hisaban di akhirat ?


Apa yang nak dikecewakan bilamana ahli tidak memilih kita, kerana apa yang berlaku dengan kehendak Allah semuanya, tangannya hanya memilih apa yang telah digerakkan hatinya oleh Allah?

Ingatlah, andainya kita tahu betapa gembiranya nanti bilamana kita dihadapkan di hadapan Allah, tentulah kita tidak sedih, kecewa dan apatah lagi menyimpan dendam pada yang tidak memilih kita, bahkan ucaplah terima kasih kerana meringankan bebanan diakhirat, sedangkan bebanan dosa diri sendiripun kita dah tak mampu untuk menjawabnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang banyak ini. Andainya kita rasa sedih di atas kekalahan kita, cuba tanya:


apakah ianya lahir dari rasa hebat kita berbanding orang lain?

atau lekeh sangatkah orang yang berjaya bilamana ramai perwakilan memilih mereka?

Aku sangat khuatir andainya ia lahir dari bisikan syaitan agar rasa kecewa, merajuk kemudian menyepi diri dari jamaah dan akhirnya gugur dari medan dakwah. Kerana inilah matlamat syaitan dan inilah yang menggembirakan musuh, dan inilah juga yang mengecewakan kita di akhirat.


PERJUANGAN DAN BEKALAN


Ketewasan dalam merebut jawatan dalam parti, bukanlah berakhirnya sumbangan kepada kemenangan Islam dan lebih-lebih lagi bilamana kita rasa bahawa jamaah akan susah dengan ketiadaan kita. Perjuangan Islam terus berjalan, dan usia kita semakin hampIr. Apa rasa andaInya kita yang telah menghabiskan usia dalam perjuangan yang sangat panjang, tiba-tiba berakhir dengan kita tiada dalam kelompok yang memperjuangkan Islam.

Aku sangat bimbang akan diriku dalam hal ini. Semoga Allah lindung kita bersama. Lantaran itu, teruskan perjuangan, kerana usia kita semakin hampir bertemu Allah, sedangkan perjuangan ini masih jauh. Inilah nasihat kepada yang ditipu oleh nafsu dan pujukan syaitan yang merasa kecewa dengan pemilihan yang kecil di dunia, agar kita tidak tewas dalam ‘pemilhan’ yang besar di hadapan Allah di akhirat.


WASIAT KEPADA YANG BERJAYA


Andainya kita tahu apa yang menanti kita di akhirat, tentulah kemenangan akan disambut dengan tangisan dan dukacita, kerana itulah wasiat Rasulullah, ” Sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan ianya diakhirat adalah dukacita dan penyesalan”. Kalaulah tidak kerana perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan di akhirat, tentulah tiada siapa yang teringin akan jawatan ini.


Kepada yang berjaya memenangi apa jua jawatan, berbanggalah di hadapan Aallah andainya kita dapat melaksanakan amanah, mengangkat martabat Islam , memperjuangkan syariat Allah dan berada dihadapan di dunia untuk terus dipilih oleh Allah agar terus berada di hadapan di akhirat. Ingatlah “ debu-debu yang melekat di kaki mereka yang memperjuangkan Islam, menyebabkan ia tidak akan disentuh oleh api neraka di akhirat”.


Allahumma masukkan kami dalam kelompok tersebut. Keindahan perjuangan Islam lahir dari dokongan semua pihak, perjuangan tidak akan bertemu dengan kerehatan dan keselesaan. Perjuangan adalah pengorbanan untuk Allah dan Rasul. Mencari redha Allah bukanlah dapat dicapai dengan merasa hebat dengan jawatan yang disandang dan juga bukanlah merasakan akulah yang layak, berbanding orang lain.


Perjuangan bagi mendaulatkan Islam tidak akan berhasil andainya kita yang memegang jawatan ini jauh dari Allah, merasa kagum dengan kebolehan diri dan merasakan bahawa apa yang kita capai hasil kebijaksanaan kita dan kitalah penentu kepada kemenagan ini. Lantaran itu, kita dikuasai oleh nafsu merasa kehebatan diri sendiri dan memandang lekeh kepada orang lain.


Pimpinan yang berjaya bukanlah mengumpulkan manusia yang hebat sekelilingnya dan merasakann dirinyalah yang hebat dikalangan yang ‘hebat, tetapi pemimpin hebat ialah yang menghargai semua sumbangan, membaiki yang rosak, rawat yang terluka, memberi harapan bagi yang kecewa, agar semuanya terus memberi sumbangan kepada perjuangan ini.


Jazakallah

Krisis politik: Nizar MB sah, adakah pilihan rakyat jalan penyelesaian?

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

Pilihan raya negeri baru dilihat sebagai jalan terbaik menyelesaikan krisis politik Perak sekiranya prinsip demokrasi ingin terus dipertahankan ekoran keputusan terbaru mahkamah semalam.

Pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman berkata, apabila berlaku kemelut yang dilihat tidak menemui jalan penyelesaian dalam sebuah negara demokrasi, maka hak rakyat untuk menyelesaikannya mesti dikembalikan.

"Kita lihat kemelut ini tidak ada penyelesaian dan ia hanya akan selesai jika kita kembalikan semula hak untuk memilih kepada rakyat melalui pilihan raya.

"Jika berlaku konflik antara undang-undang dan politik, undang-undang harus mengutamakan rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah mampu menyelesaikan kemelut politik yang melanda Perak sejak Februari lalu.

Mahkamah mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak selepas mendapati beliau tidak mengosongkan jawatan itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah - antara Mohammad Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang membawa kepada kemelut politik di negeri itu sejak tiga bulan lalu akhirnya terjawab.

Zaini berkata, Barisan Nasional (BN) sememangnya berhak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, namun hal itu hanya akan lebih memanjangkan kemelut yang melanda.

Katanya rakyat Perak memerlukan kepada sebuah kerajaan yang dapat berfungsi dengan baik.

"Saya tak nafikan hak BN untuk merayu namun perkara ini akan jadi berlarutan.

"Jadi pada saya, kembalikan hak itu kepada rakyat untuk menentukan siapa yang lebih berhak.

"Hal itu selaras dengan konsep demokrasi iaitu kerajaan yang dibentuk oleh rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah yang memihak kepada Nizar.

Katanya, terdapat beberapa langkah susulan berikutan keputusan itu dan semuanya terletak di bawah kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Pertama, Sultan boleh menitahkan untuk mengadakan sidang DUN khas supaya para ADUN dapat membuat undi tidak percaya bagi menunjukkan Nizar kehilangan majoriti.

"Kedua, baginda boleh memberi perkenan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri itu," katanya.

Selain itu, Ahmad Atory berkata, Sultan Perak juga mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat jika berlaku sebarang insiden yang melibatkan tindakan fizikal seperti pergaduhan.

"Dalam hal ini, Sultan boleh melantik seorang Pengarah Gerakan negeri yang akan bertindak menguruskan pentadbiran negeri sehinggalah pilihan raya seterusnya diadakan," katanya.

Bubar DUN - Peluang Sultan Azlan Shah muncul terhormat

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mengharapkan Sultan Azlan Shah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, bagi membolehkan rakyat negeri itu membuat pilihan secara demokratik selepas Mahkamah Tinggi semalam memberikan kemenangan dari segi undang-undang kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, inilah masa yang terbaik bagi institusi Di Raja Perak yang amat dihormati sebelum ini, untuk membuktikan bahawa mereka adil dan saksama.


"Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati.

"Peluang institusi Diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Husam, bagi PAS dan Pakatan Rakyat, pembubaran Dun tidak semestinya memberikan keuntungan kepada Pakatan Rakyat kerana, rakyat Perak bebas membuat pilihan mereka sendiri.

Katanya, pembubaran Dun merupakan tetap langkah terpuji yang membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat adalah pemain demokrasi yang jujur dan pruden serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas.

"Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan," tegas beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Naib Presiden PAS itu juga menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengembalikan jawatan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah mengejutkan.

Katanya, keberanian Hakim Abdul Aziz Rahim membawa Mahkamah Malaysia keluar sebagai institusi yang bebas dan berintegriti adalah amat mengejutkan.

"Beliau adalah seorang hero baru," kata Husam.

Husam juga menempelak Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana beliau sepatutnya tidak lagi menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan krisis Perak yang beliau sendiri mulakan.

Tegasnya, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu, tetapi, rakyat tetap beranggapan bahawa pemecatan Nizar adalah tidak sah, dan ianya telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,

Menurutnya, Najib harus berani menerima realiti dan berani menyelesaikan kemelut ini mengikut saluran politik adalah langkah yang paling baik.

"Jika rayuan itu nanti masih memihak kepada Nizar, Najib dan Umno akan menanggung malu yang lebih besar. Jika keputusan itu atas apa sebab pun memihak kepada BN, rasa euphoria rakyat atas bebasnya kehakiman negara ini kembali menjadi negatif.

"Jika Najib berani bertindak bersama Pakatan Rakyat untuk memujuk Sultan Perak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, BN mendapat dua markah iaitu bebasnya kehakiman di bawah pentadbiran Najib dan yang kedua, kerana berani mencari jalan penyelesaian kepada krisis atas prinsip kembalikan kuasa penentuan kepada rakyat," ujar Husam.

Katanya, Umno dan BN mungkin tewas dalam pilihanraya itu nanti, tetapi maruah politik dan integriti BN akan dapat dihindarkan dari terus koyak.

"Ia telah pun koyak dengan parah sebelum ini. Umno-BN mendapat kuasa di Perak, tetapi ia meranapkan imej BN di seluruh negara, bahkan dunia. Harganya terlalu mahal.

"Samada Najib ingin terus bermandi dalam lumpur politik yang tidak mungkin dibersihkan selagi ia menggonggong kuasa di Perak melalui jalan di luar batas undang-undang dan amalan demokrasi yang terpuji atau kembali ke pangkal jalan," tegasnya._

Isnin, 4 Mei 2009

Jawatan : Antara Rebutan di Dunia & Bebanan Di Akhirat

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan

« Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya’.

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘ jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’. AlHamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.
Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada.

Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh. Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri ( enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar.( Nauzubillah).

Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.


Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’.


Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang. Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar al Khattab:


“ Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.


Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita.

Wassalam.

Mau'izah untuk ana dan para sahabat;

Jangan Beri Peluang Musuh Pecah Belahkan PAS Menjelang Muktamar - Pak Shukur Harun

MENJELANG Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Shah Alam awal Jun ini saya sudah terdengar dan terbaca tulisan dan kenyataan di pelbagai media dan blog dari sesetengah pihak yang sama sekali tidak membantu memperkukuuh PAS mendepani politik baru Malaysia, tulis Shukor Haron atau Pak Shukor pada akhbar Harakah.

Tulisan dan ulasan itu, antara lain, memberi gambaran seolah-olah di dalam PAS ini ada beberapa kelompok dan golongan - Erdogan dan Ulama, Pro Praksi Umno dan sebaliknya. Ada pula tulisan dan blog memperbodoh dan memperlekeh golongan yang lain, mencetuskan prejudis yang sama sekali tidak perlu.


Ada pula yang mati-matian hendak mempertahankan golongannya, tidak kira golongannya itu berdiri di pihak yang benar atau sebaliknya, tidak kurang menyindir dan merendah-rendahkan sesetengah pemimpin yang ‘tidak sehaluan dengan’nya.

Entah dari mana datangnya elemen yang mencetuskan sikap buruk ini, namun yang pasti semua sikap buruk ini sewajarnya di’bersihkan’ supaya tidak menjadi virus yang merosakkan parti yang sedang berkembang, terbuka, dihormati oleh kawan dan lawan, berwibawa dan bersih.

Selama ini saya sangat keberatan untuk menyentuh isu ini dalam tulisan saya atas sebab, antara lain, untuk tidak ikut serta dalam perdebatan yang buruk ini, juga untuk tidak mencederakan jamaah kerana ia bertentangan dengan akhlak Islam.

Namun tulisan dan kenyataan yang bertaburan di dalam pelbagai media dan blog sejak-sejak akhir-akhir ini muncul seperti tidak terkawal lagi, lebih-lebih lagi menjelang Muktamar awal Jun ini maka saya terpaksa menyentuh isu ini dalam tulisan kali ini dengan harapan masing-masing menginsafi diri.

Saya tidak tahu di mana telah dihumbankan akhlak Islam dan akhlak berjamaah yang ditekankan di dalam tarbiyah selama ini. Kalau mereka yang terlibat ini mahu mengekalkan akhlak Islam dan akhlak berjamaah, kenyataan dan tulisan liar seperti ini tidak akan berlaku.

Sebagai pendukung jamaah, kita mengasihi dan mendukung fikrah semua pemimpin - sama ada di kalangan Tuan Guru, ustaz, mahupun golongan profesional dan veteran. Tidak ada pilih memilih dalam meletakkan sokongan dan kepatuhan kepada mereka, justru kerana semuanya telah memberikan sumbangan yang demikian besar kepada perjuangan PAS selama ini.

Ini hasil tarbiyah berterusan yang diterima oleh orang seperti saya dan kawan-kawan sejak suku abad lalu, iaitu sejak PAS di bawah kepimpinan ulama. Sebab itu di zaman PAS susah dan miskin dulu amalan dan nilai ini begitu kukuh.

Ini bukan bermakna PAS di zaman kini, yang telah mencapai kemenangan demi kemenangan, maka kepatuhan dan kasih sayang ahli PAS kepada pemimpin berkurangan. Saya percaya pendukung PAS hingga kini, tetap mematuhi dan memberikan kasih sayang kepada semua pemimpin tanpa pilih memilih.

Itu sebabnya saya amat sedih dan kesal, entah mengapa dengan tiba-tiba, muncul elemen yang tidak sihat, yang cuba memecah belahkan pimpinan dan jamaah, merenggangkan hubungan sesama pemimpin. Apakah sebenarnya agenda mereka? Mahu melihatkan perpecahan di dalam PAS. Kalau ini niat mereka, saya yakin tidak akan berjaya. Walau apapun hendak dikatakan, Allah .w.t. memelihara PAS sebagai sebuah jamaah Islam.

Saya pasti hubungan antara sesama pemimpin dengan pemimpin yang lain tetap erat dan mesra. Dan elemen tidak sihat seperti yang saya sebutkan tadi tidak akan dapat mempengaruhi para pemimpin kita. Mereka tetap bekerja sebagai satu pasukan kerana semuanya berada di dalam orbit Ialam.

Adapun pemilihan pucuk pimpinan di dalam Muktamar akan datang ini adalah proses biasa, menyempurnakan amalan demokrasi dalam PAS. Kalah dan menang adalah perkara biasa. Semua pendukung masih boleh memberikan khidmat di dalam pelbagai sudut di dalam jamaah.

Kiranya ada individu ulama yang tidak dipilih oleh perwakilan, tidak bermakna perwakilan menentang entiti atau kepimpinan ulama. Keunggulan kepimpinan ulama sama sekali tidak tercabar bila-bila pun.

Demikian juga jika ada individu profesional atau veteran yang tidak terpilih, bukan bermakna perwakilan menentang golongan profesional dan melupakan jasa para veteran. Sama sekali tidak, justru kerana ada cir-ciri, kretaria, persepsi dan imej yang menjadi perhitungan perwakilan.

Saya percaya tidak berlaku kempen pengaruh mempengaruhi di dalam proses pemilihan, bagaimanapun ‘gamat’nya pemilihan PAS itu, seperti yang digambarkan oleh pihak media tertentu. Jauh sekali apa yang dipanggil ‘sogokan’. PAS bukan sebuah parti sekular yang tidak ada rasa tanggungjawab agama, dosa dan pahala. Setiap perjuangan PAS bermatlamatkan untuk mencapai keredaan Allah s.w.t. Itu klaimiknya.

Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam ini berlansung di tengah-tengah kemenangan demi kemenangan, pujian demi pujian, pengakuan demi pengakuan dari semua pihak – Islam dan bukan Islam - bahawa PAS berwibawa, padu dan kuat, cemerlang dan bersinar, boleh dipercayai, terbuka untuk semua, adil, saksama dan berimej kontemporeri. Peluang seperti ini tidak semua masa kita perolehi.

Oleh itu, sewajarnyalah Muktamar ini menghantar isyarat jelas dan betul kepada seluruh rakyat bahawa ia serius mendepani daimensi politik baru Malaysia yang berasaskan keadilan, demokrasi, ketelusan dan kasih sayang kepada semua rakyat.

Ini pemikiran besar yang sewajarnya mendominasi perbincangan di Muktamar tersebut, bukan hal-hal yang remeh temeh, sekitar isu yang boleh diselesaikan menerusi perundingan di pelbagai peringkat parti dan sahabat kita di dalam Pakatan Rakyat.

Tidak syak lagi, pemikiran dan idea besar sangat perlu dicetuskan di dalam Muktamar ini menerusi perbahasan Ucapan Dasar para perwakilan dan perbahasan Usul serta ucapan penggulungan sudah tentu diikuti oleh banyak pihak – di dalam dan luar negara. Ini peluang yang sangat besar dan bermakna, yang sewajarnya direbut, iaitu dengan Muktamar ini meyerlahkan imej, persepsi dan watak PAS yang sedang muncul di pintu gerbang politik baru Malaysia.

Itulah sebabnya saya katakan di awal tulsian ini bahawa pemikiran buruk yang nilainya hanya seperti sampah sarap di tepi jalan, sewajarnya di’bersihkan’ supaya tidak menjadi virus yang merosakkan parti yang sedang berkembang dan dihormati oleh kawan dan lawan.

Mari kita bermuktamar dengan jiwa bersih, berlapang dada, terbuka, mematuhi akhlak Islam dalam semua keadaan. Sesungguhnya masyarakat sedang menyaksi dan mentafsirkan semua apa yang kita fikir dan lakukan.

Natrah Kembali ?

Oleh Faisal Tehrani

Saya ingin merujuk kepada keputusan kabinet dalam hal membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya. Kabinet memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Keputusan terkini kabinet itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban, atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah, dengan bekas isterinya M Indira Ghandi. Lelaki itu menukar agama tiga anak mereka ke Islam sejak penghujung tahun lepas.

3. Untuk mereka yang masih muda, tidak ramai yang mengetahui berkenaan tragedi Natrah. Pada tahun 1950 umat Islam telah melakukan bantahan besar demi menyelamatkan agama dan maruah Islam. Kes ini terjadi kerana Mansor Adabi seorang guru berusia 22 tahun menikahi Natrah yang merupakan anak angkat Che Aminah. Natrah asalnya berketurunan Belanda. Mahkamah penjajah British waktu itu; memutuskan tujuan pernikahan ini untuk menyelamatkan Natrah daripada dibicarakan semula di Singapura, kerana itu Natrah di'rampas' dan diletakkan di gereja.

4. Sebenarnya dalam kes tersebut, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupannya sebagai seorang muslim. Pun begitu, pada 12 Disember 1950 hakim telah menjatuhi hukuman yang amat kontroversial iaitu Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Ekoran dari itu, 12 Disember 1950 berlakulah rusuhan Natrah di mana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu berasa kecewa akibat Natrah dimurtadkan.

5. Rusuhan dan tragedi akidah ini berlaku kerana pihak penjajah jelas sekali gagal menumpukan perhatian kepada sensitiviti agama dan umat Islam.

6. Peristiwa tersebut juga menyebabkan Karim Ghani ditahan oleh polis dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. 'Nadra Appeal Committe' segera ditubuhkan di Singapura. Dan pada Ogos 1951 - Sept 1952, Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmy, presiden Parti Islam SeMalaya (PAS) ditahan di Pulau Sekijang, Singapura kerana dituduh menjadi 'dalang' dan pencetus rusuhan Natrah. Almarhum Profesor Dr. Ahmad Ibrahim yang diabadikan namanya di UIA hari ini menjadi peguam bela kes Natrah di Mahkamah Sivil Singapura waktu itu. Sementara MA. Majid pula seorang India Muslim menjadi sumber kewangan untuk menggerakkan bantahan.

7. Isu antara Mohd Ridzuan Abdullah, dan bekas isterinya M Indira Ghandi ini boleh menyala menjadi seperti isu Natrah sekiranya tidak ditangani dengan cermat. Ini kerana kerajaan tidak merujuk pihak berkuasa seperti Majlis Fatwa dalam hal ini. Ia mulai menyebabkan ramai umat Islam berasa kecewa. Masih ada kesempatan untuk menghindari petaka seperti itu.

8. Sebagai seorang muslim, saya kira saya turut berdukacita dengan keputusan kabinet yang menggunakan pendekatan populis ini.
http://tehranifaisal.blogspot.com/
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut