Detikdaily

Jumaat, 31 Julai 2009

49 tahun lalu, PAS yakin ISA akan disalahguna

Oleh Ahmad Tajdid

BERIKUT adalah sedutan ucapan Ahli Parlimen Bachok yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Zulkiflee Muhammad ketika bangun membahaskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960. Iklan

Tuan Yang Dipertua, di hadapan kita ini ada satu Rang Undang-undang yang bertujuan hendak memerangi subversif, dan di-dalam Undang-undang ini ada beberapa peraturan yang ditujukan kapada maksud itu.

Tuan Yang Dipertua, saya bangun di sini menyokong undang-undang ini. Tetapi saya hendak menceritakan beberapa perkara yang ada di-dalam Undang-undang ini yang pada fikiran saya akan boleh menimbulkan kepayahan dan kesusahan dan akan boleh digunakan bagi maksud yang lain daripada maksud yang asal Undang-undang ini.

Tadi, Timbalan Perdana Menteri (Tun Abdul Razak Hussain) sudah memberikan fikirannya dan di dalam ucapannya yang panjang itu dia telah memberi satu tegasan mengatakan bahawa Undang-undang ini tidak dimaksudkan untuk mencengkam kebebasan dan demokrasi di dalam negeri ini. Dan dia telah berjanji dan memberi jaminan tidak pula ada tujuan Kerajaan hendak menggunakan Undang-undang ini bagi maksud menahan perkembangan parti-parti politik yang bertentangan dengan Kerajaan.

Saya tidak tahu sama ada janji ini boleh dipegang atau tidak. Itu akan diterangkan oleh perbuatan-perbuatan yang akan ditunjukkan kepada Menteri itu; tetapi saya memberi amaran, Tuan Yang Dipertua. Di-dalam mempersetujukan ini saya memberi amaran bahawa kalau sah dan benar tujuan Kerajaan hendak mengawal, memelihara dan mengembangkan demokrasi di negeri ini maka amalkanlah Undang-undang ini menurut dasar pengubalannya.

Sebarang salah guna dari Undang-undang ini akan membawa satu reaksi yang buruk dan tidaklah menjadi mustahil kalau sesudah berjanji hendak dijalankannya dengan baik, tidak mustahil Kerajaan itu hendak menjalankan dengan tidak baik. Orang-orang atau setengah atau sebahagian daripada manusia daripada negeri ini akan menjadi komunis jika disalah pakai Undang-undang ini.

Kita tahu kesalahan-kesalahan dan penyakit-penyakit yang ada di dalam Undang-undang sebagaimana saya sebutkan, tetapi bagi kepentingan keselamatan negeri dan atas asas bahawa Undang-undang ini menuju kapada mencegah perkembangan subversif (komunis) dan terrorism (keganasan) maka kita sokong.

Tuan Yang Dipertua, apabila kami menyokong Undang-undang ini, kami tuntut kepada Kerajaan supaya meluaskan fahaman di dalam makna subversif tidak sahaja subversif dari komunis, tetapi sebarang anasir yang tidak diingini yang ingin menjatuhkan tatahidup demokrasi di dalam negeri ini hendaklah ditegah sama ada dia melakukan subversifnya itu dengan cara langsung atau tidak langsung.

Saya maksudkan puak-puak Amerika, puak-puak Inggeris, puak-puak apa sahaja yang cuba hendak menggunakan helah dan dayanya bagi menjahanamkan tatahidup di negeri ini di dalam subversif.

Sebabnya Tuan Yang Dipertua, "Prejudicial to the interest of this country" yang menjadi teras bagi perkara yang besar di dalam Undang-undang ini tidaklah semata-mata dihadkan kepada sesuatu puak sahaja. Saya bersetuju bahawa bahaya-bahaya komunis amatlah besar. Dan ada masanya iaitu akan bertambah besar. Cara-cara mengembangkan komunis di dalam negeri ini bukanlah payah. Sedikit kesilapan akan membalikkan sejarah negeri ini kepada apa yang telah berlaku.

Bagi pihak saya, sehinggakan pengisytiharan Perdana Menteri menyokong kemasukan China ke dalam United Nation (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) itu pun saya rasa, ada mempunyai bibit yang menyeronokkan orang-orang komunis di dalam negeri ini, dengan memberikan kekuatan kapadanya bahawa sekarang negara besarnya telah diakui dan komunisnya sa-kurang-kurangnya dihormati.

Sekurang-kurangnya Perdana Menteri kita telah memberi sadikit angin kepada goyangnya pokok komunis di Tanah Melayu ini dengan pengisytiharan yang saya tidak hendak bahaskan kerana itu soal luar negeri tetapi tidak di-nafikan adanya sokongan moral komunis.

Tuan Yang Dipertua, di-dalam Undang-undang ini, ada beberapa perkara yang tidak terang dan ini akan saya cuba menyebutkannya, supaya dengan menyebutkan perkara-perkara itu dapatlah Kerajaan itu betul-betul mengamalkan Undang-undang ini dengan jiwa dan roh Undang-undang. Ini tidak dengan jiwa dan roh yang lain dari dasar menggunakan Undang-undang ini.

Lagi sekali saya katakan, sebarang silap amal, salah gunakan Undang-undang ini bukan akan mengurangkan terrorist yang 400 orang itu bahkan akan menambah bilangannya. Sebarang penekanan yang tidak dibolehkan oleh Undang-undang ini akan mengakibatkan kesan balas yang tidak diingini.

Pergi kepada satu-satunya Undang-undang ini dan saya percaya Kerajaan ketika sekiranya orang menyokong satu Undang-undang Kerajaan itu maka berilah pertimbangan yang berat kepada fikiran yang dikemukakannya itu sebab dia tidak membangkang, cuma menyokong, kerana ada perkara-perkara yang dirisau, kok salah masuk maka akan sengetlah perjalanan jentera Undang-undang ini.

Tuan Yang Dipertua, di dalam mempersetujui Rang Undang-undang ini, Persatuan Islam Tanah Melayu memegang apa yang dicakapkan oleh Kerajaan bahawa dia tidak bertujuan hendak mencegah perkembangan politik yang sihat di dalam negeri ini. Sebab apa, Tuan Yang di-Pertua? Kerana kita memikirkan kepentingan keselamatan negara. Apa yang disyarahkan oleh orang-orang Persatuan Islam Tanah Melayu mudah sangat membawa kapada apa yang di-sebutkan di sini.

Dalam hal menentang terrorist (pengganas) ini, Tuan Yang Dipertua, kita tentulah tidak berapa risau sebab kategori atau jenis manusia yang disebutkan sebagai 'terrorist' adalah kurang orang yang mungkin dituduh. Maka apa yang ada dalam undang-undang ini yang menerangkan bahawa boleh kita maafkan, kalau pun ia itu terkeluar sedikit sesudah batas kebebasan hidup biasa. Sebab kita adalah berhadapan dengan 'terrorist'.

Walau bagaimana pun kalau ada kemungkinan kezaliman yang dapat dilakukan kepada orang yang kita rasa bukan dirinya penjahat maka patut dihindarkan dalam undang-undang atau yang menjalankan undang-undang ini.

Setelah saya menyebutkan dalam perkara ini tadi maka saya ingin mengemukakan kapada Tuan Yang Dipertua bahawa kami menyokong Rang Undang-undang ini demi kepentingan keselamatan negara, dan saya ulangkan peringatan yang diberi tadi bahawa sebarang salah guna di atas undang-undang ini akan mengakibatkan satu perkara yang sebaliknya.- tajdid_

Memali semarakkan tentangan terhadap ISA

Oleh Norlaila Othman

"SUAMI ketika itu sedang berdiri dan apabila terkena tembakan, beliau terjatuh ke atas lantai. Mak Lang angkat kepalanya dan letak atas riba. Darah segar memenuhi ruang tamu rumah Ustaz Ibrahim Libya. Suami menghembuskan nafas terakhirnya di riba Mak Lang," kata Aishah Ahmad, 56, balu kepada Maaruf Hashim salah seorang yang syahid dalam peristiwa berdarah Memali pada bulan November 1985.

"Mak Lang tak tahu apa yang terjadi kepada mayat suami selepas itu. Mak Lang bersama anak dan beberapa isteri syuhada yang lain dibawa ke Pejabat UTK Tanjung Pari. Di sana, Mak Lang disoal siasat selama 18 hari

"Selama di sana, Mak Lang pernah disoal siasat hingga enam jam sehari. Selesai disoal siasat, Mak Lang dihantar ke bilik kurungan. Mak Lang ditahan bersama anak perempuan, Mariza yang pada masa itu berusia 15 tahun. Selepas 18 hari di Tanjung Pari, Mak Lang dihantar ke PPH Sungai Petani dan dipenjara selama dua bulan.

"Selepas dua bulan, kami dibebaskan dari PPH Sg Petani, barulah Mak Lang pulang ke Memali untuk bertemu anak-anak lain yang ditinggalkan dan menziarahi perkuburan arwah suami," ujar beliau lagi yang dikurniai lima anak bersama suaminya, Assyahid Maaruf.

Terkial-kial

Begitu lancar Aishah @ Mak Lang bercerita mengenai pengalamannya membuatkan saya terkial-kial mencatat setiap butir bicaranya. Setelah segalanya yakin dicatat, saya mengangkat kepala, melihat pada wajah beliau dan kelihatan air mata bergenang di kelopak mata yang sudah berusia itu.

Walaupun peristiwa itu hampir 24 tahun berlalu, saya dapat merasakan seolah-olah ia baru berlaku semalam ...

Itu adalah salah satu testimoni yang saya perolehi ketika melawat keluarga mangsa berdarah Memali yang berlaku pada 1985. Ketika itu, saya masih terlalu muda dan tidak begitu ambil berat untuk mengetahui siapakah yang benar dan siapakah yang zalim dalam peristiwa itu.

Cuma yang masih saya ingat, media kerajaan mendakwa mereka adalah pesalah dan penderhaka. Ketika itu tiada media alternatif, tanpa internet atau SMS. Memang amat sukar untuk diketahui, apakah dan siapakah yang menjadi punca pembunuhan beramai-ramai itu.

Cuma yang jelas bagaimana gas pemedih mata, kereta perisai, beberapa trak polis dikerahkan dengan lengkap bersenjata boleh sewenng-wenangnya dihantar ke sebuah perkampungan terpencil di Baling itu dan mengepung sebuah rumah kecil milik seorang ustaz yang hanya menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat di sekelilingnya.

Siapakah yang empunya gas pemedih mata, kereta perisai, trak polis, polis dan segala senapang yang digunakan di kejadian itu?

Saya tidak pernah berpeluang mengetahui jauh sekali mengenali lelaki bernama Ibrahim Libya ini yang menjadi tajuk utama perbualan penduduk Memali. Namun berdasarkan penceritaan dan beberapa penulisan ringkas mengenainya, saya dapat simpulkan bahawa beliau seorang berpendidikan tinggi dalam bidang agama, bijak dalam penyampaian kelas-kelas dikendalikannya, berkarisma, berkepimpinan dan beliau amat disenangi oleh sebahagian besar ahli masyarakat setempat.

Berdasarkan daripada beberapa pondok (asrama) yang didirikan di sekitar surau yang terletak tidak jauh dari rumahnya, dapat disimpulkan beliau adalah seorang aktivis muda yang bercita-cita tinggi untuk melihat ramai anak bangsa di daerah itu mempelajari dan menghayati Islam dengan sebaiknya.

Sebagai seorang graduan dari Libya dan pernah bertugas di Pusat Islam, saya yakin, kedudukan beliau ketika itu bukan setakat dikasihi tetapi juga dipandang tinggi dan amat dihormati.

Berdasarkan pembacaan juga, saya melihat kepimpinan, keperibadian, kebijaksanaan dan kegiatan beliau telah membuatkan ada pihak lain yang tidak senang dengan perkembangan tersebut dan ingin mencantas atau mematikan saja segala bakat yang dimiliki itu dengan menahan beliau di bawah ISA.

Tamatkan bakat

Sebelum kes Ibrahim Libya, sudah ada pemimpin PAS yang ditahan tanpa bicara lebih awal, antaranya Dr Burhanuddin Helmi. Tidak mustahil, alat yang sama iaitu ISA, digunakan terhadap Ibrahim Libya untuk menamatkan bakat dan kepimpinan politik beliau.

Keengganan beliau menyerah diri kepada pihak berkuasa telah menjadikan penguasa ISA merasa tercabar status quonya dan akhirnya bertindak ke atas Asy-syahid dan para pengikutnya menggunakan kekerasan.

Apabila menyelami isu Ibrahim Libya dan pembunuhan beramai-ramai di Memali ini, saya teringat peristiwa penahanan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1998 di mana beliau dengan tegas menunjukkan sikapnya melawan tindakan kerajaan yang memecatnya ketika itu.

Beliau terus melawan dan mendapat sokongan rakyat hinggalah akhirnya ditahan di bawah ISA. Ketika dalam tahanan polislah beliau dipukul hingga lebam di bahagian mata, yang menjadi 'trademark' KeADILan hingga kini.

Membandingkan isu keengganan Ibrahim Libya menyerah diri pada pihak berkuasa (tahun 1985) dengan sikap tidak mahu mengalah oleh Anwar (tahun 1998) nampaknya polis telah mempelajari sesuatu daripada peristiwa Memali.

Mereka tidak menyerang rumah Anwar sebaliknya memburu dan menangkap beliau ketika dalam perjalanan pulang daripada satu program ceramah yang mengajak rakyat bangun untuk menuntut 'reform' atau pembaharuan.

Sekiranya Menteri Dalam Negeri, polis pada tahun 1985 itu bersabar sedikit, mungkin peristiwa berdarah Memali dapat dielakkan...

Sewaktu menziarahi mangsa pembunuhan beramai-ramai di Memali baru-baru ini, fokusnya bukan siapa atau bagaimana peristiwa itu terjadi, tetapi saya terlalu ingin mendapatkan reaksi mangsa yang juga merupakan penduduk setempat, bagaimanakah pandangan mereka terhadap kerajaan Umno-BN yang seolah-olah melihat nyawa rakyat marhaen ini tidak bernilai sama sekali.

"Setelah suami kami dikebumikan, ada pihak yang membantu kami supaya menyaman kerajaan disebabkan kematian suami kami itu. Kes itu difailkan pada 1986 dan terpaksa melalui fasa yang lama untuk mendapat keputusannya.

Masih menyusu

"Alhamdulillah, pada tahun 2004, tiga peguam yang mewakili kes tersebut telah berjaya memenangi perbicaraan," kata Rokiah Mohd Hassan, balu kepada Asy-syahid Mohd Rezki Ahmad, berusia 27 tahun ketika kejadian. Selepas pembunuhan suaminya, Rokiah dan seorang anak kecil yang masih menyusu juga turut ditahan di penjara selama dua minggu.

"Mak Pah sedang mengandung empat bulan ketika suami ditembak di rumah Ustaz Ibrahim Libya. Kami semua berada dalam keadaan 'curfew' hampir dua bulan. Kami cuma boleh keluar rumah untuk mencari rezeki dan memotong getah dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Mak Pah dan semua penduduk di sekitar Memali tidak tahu apa yang terjadi kepada 14 orang yang telah ditembak hingga mati itu.

"Alhamdulillah aktivis PAS dan penduduk dari kampung lain telah datang ke Memali untuk melakukan urusan pengkebumian mereka," tambah Mak Pah yang nama sebenarnya Siti Maryam binti Omar kepada aku. Sebaik saja tamat menceritakan kisah duka Memali, beberapa titik air mata gugur di wajah yang mula dimamah usia itu.

"Pada tahun 2004, kami menang kes pembunuhan di Memali. Kes itu berjalan hampir 18 tahun. Pihak kerajaan membayar pampasan RM20,000 kepada 14 keluarga syuhada. Maknanya, hampir 20 tahun selepas suami kami ditembak dengan kejam, kerajaan menilai nyawa suami sebanyak RM1,000 setahun. Sungguh rendah nilai nyawa mereka di sisi kerajaan BN!" kata Siti Aishah @ Mak Lang sambil mengesat matanya. Beliau tidak mahu mengulas panjang.

"Suami saya yang ditahan ISA pada 2002, ikut saja perintah dan arahan kakitangan KDN dan Menteri Dalam Negeri, hingga kini masuk lapan tahun ditahan di Kem Kamunting. Jika ditahan di bawah ISA, mangsa dikurung tanpa bicara bertahun-tahun lamanya. Jika enggan ditahan di bawah ISA jadilah macam kes Asy-syahid Ibrahim Libya, mangsa terus kena tembak, rakyat tiada nilai di mata kerajaan Umno-BN," kata saya kepada semua Muslimat yang hadir di rumah Siti Aishah.

Semua tetamu wanita itu terkejut dan mula tersenyum. Salma Ismail, Ketua Wanita KeADILan Kedah dan timbalannya, Nurin yang menemani lawatanku ke Memali juga turut tersenyum melihat riak wajah mereka yang sejak dari awal kelihatan agak serius ketika bercakap denganku.

Mereka tidak sangka, saya adalah isteri kepada seorang tahanan ISA kerana sejak awal saya melangkah masuk ke ruang tamu rumah Siti Aisyah @ Mak Lang saya hanya sibuk bertanya soalan, mencatat fakta, merekod perbualan dan mengambil gambar tiga wanita balu mangsa pembunuhan di Memali itu. Mereka menyangka saya seorang wartawan Harakah!

Sebaik selesai mencatat fakta-fakta penting, saya dibawa melawat kesan-kesan peristiwa itu. Dua puluh empat tahun peristiwa itu berlalu dan banyak pembangunan dilakukan hingga menghilangkan struktur asas rumah, surau dan pondok yang dibina oleh Ibrahim Libya dan teman-teman rapatnya.

Namun kesan peluru yang menembusi dinding sebuah rumah kecil untuk menyimpan padi, dapat menggambarkan bagaimana rakus dan ganasnya polis menembak Ibrahim Libya dan teman-teman setianya pada waktu Subuh pada November 1985.

Sesiapa saja yang berada di Memali ketika itu, pasti tidak dapat melupakan drama hebat pembunuhan beramai-ramai yang begitu kejam dan tragis!

Debat secara terbuka

Kisah Memali juga mendapat tempat di minda penulis sejarah ISA berbangsa Cina. Dalam buku '45 Years Under ISA' Koh Swe Yong menyebut: "... pada 1985, peristiwa Memali menyaksikan ramai aktivis PAS ditahan di bawah ISA. Peristiwa itu mengubah persepsi PAS yang selama ini memandang sepi isu ISA, dan mereka mula mengkritik serta menentang akta zalim itu. "

Kritikan itu diluahkan dalam berbagai bentuk, di mana saja ada peluang bercakap atau debat tentang ISA, PAS segera menyuarakan secara terbuka supaya ISA segera dimansuhkan."

Kini, 24 tahun selepas Peristiwa Berdarah Memali, rakyat semakin faham dan jelas tentang kejahatan dan kezaliman akta tanpa bicara yang menjadi nadi utama Umno untuk memastikan parti reput itu terus bertahan. Sejarah telah membuktikan, semua Perdana Menteri Malaysia, amat gemar menggunakan ISA untuk mencantas pihak lawan.

Dan mutakhir ini, kegunaan ISA juga dipelbagai. Selain menjadikan mangsanya sebagai 'pengganas Islam', ISA juga digunakan untuk melabel 'pembuat syiling palsu', 'pembuat Mykad', 'penghantar SMS', 'menyelamatkan wartawan wanita' dan pelbagai lagi.

Penulisan ini hanya berkisar kepada mangsa ISA daripada bangsa Melayu dan berugama Islam. Bagaimana dengan bangsa lain? Bagaimana dengan kaum Cina dan India?

Sejak 49 tahun yang lalu, semua bangsa dan pelbagai peringkat usia dijadikan mangsa ISA, adakah rakyat Malaysia masih terus bersabar dan membiarkan pemerintah menggunakan ISA sesuka hati mereka saja?

Rakyatlah yang berkuasa untuk menolaknya. Jika rakyat bersatu padu mahu akta ini dimansuhkan, maka tunjukkanlah sokongan anda semua di HIMPUNAN MANSUH pada 1 Ogos ini. _

Testimoni anak seorang tahanan ISA

Oleh Suhaib Mat Sah

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.


Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview - azm _

Isnin, 27 Julai 2009

Peluang pekerjaan untuk rakyat, Kedah galakkan swasta

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri Kedah senantiasa menggalakkan pihak swasta menganjurkan sebarang ekspo yang boleh membuka peluang untuk rakyat negeri ini menikmati pekerjaan di zaman kemelesetan ekonomi global sekarang.

Ujarnya, walaupun negara mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk namun sebagai pihak yang bertanggungjawab menjadikan aset memajukan sesebuah negeri atau negara maka keperluan tersebut turut terletak di atas bahu mereka.

Kerajaan Negeri mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta yang berminat menganjuran ekspo untuk membantu kerajaan memberi peluang kepada rakyat yang kehilangan pekerjaaan di samping membuka mata mereka yang sedang memikirkan bidangg mana yang ingin diceburi, " tegasnya dalam ucapan merasmikan Career Expo dan Postgraduate 2009 yang diadakan di Dewan Bandaran Kulim semalam.

Menurut beliau, sektor swasta seharusnya menjadi pemangkin kepada kemelut yang melanda negara sekarang ini berikutan kejatuhan ekonomi dunia.

Kerajaan juga sedang mencari formula bermutu untuk membangunkan kembali negeri Kedah yang dianggap negeri miskin sebelum ini dengan menambah bilangan pelabur serta menarik seramai mungkin pelancung dalam dan luar negeri.

Kemunculan pelaburan yang banyak dan kedatangan pelancungan yang tinggi pasti memberi impak kepada negeri Jepalang Padi yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat.

"Sektor swasta wajar jadi pemangkin kepada ekonomi sekarang. Kerajaan pula sedang berusaha mencari pelabur dan menambah bilangan pelancung ke Kedah. Jika ramai pelancung dan nilai pelaburan bertambah maka Kedah akan terus maju sekaligus tercapai hasrat melunaskan hutang kerajaan terdahulu, " kata beliau.

Tidak dinafikan keruntuhan ekonomi melibatkan keluarga menjadi kacau bilau, sengsara dan sebagainya sekiranya keluarga berkenaan menjadikan wang sebagai hambatan.

Justeru itu, Kedah mula melancarkan program yang mendatangkan manafaat kepada rakyat dengan menambah baik peluang dalam bidang elektronik, pertanian dan sebagainya.

"Kedah bukan sahaja mementingkan projek berjalan dengan baik terapi juga mahukan pelaksanaanya mengikut lunas-lunas yang diterima oleh Islam kerana sumber yang baik memberi kebaikan kepada rakyat secara umumnya, " tambah beliau.

Program yang diadakan selama dua hari bermula 25 dan 26 Julai itu dianjurkan oleh PenExpo Events Sdn Bhd dan JCL Kulim bagi tujuan membuka minda rakyat yang sedang mencari pekerjaan serta ingin membina kerjaya dengan syarikat yang maju.

Sebanyak 30 buah syarikat dan Institut Pengajian Tinggi mempamerkan kerjaya serta peluang pekerjaan yang boleh meningkatkan kamahiran seseorang di samping mengenal pasti bidang apa yang boleh diceburi selari dengan kebolehan dan kelulusan yang ada.

Hadir sama dalam program kali ke 3 itu ialah Penolong Pegawai Daerah Kulim, Norizan Khazali, Setiuasaha Majls Bandaran Kulim, Ammar Dato' Mahmud Naim, Pengarah JCL Kulim, Ooi Chong Yew dan Pengarah Urusan PenExpo Events Sdn Bhd, Francis Wong. - mks._

Khamis, 16 Julai 2009

Pusat penapisan minyak, prospek besar kepada ekonomi Kedah - MB

Bertempat di Hotel Nikko, kerajaan negeri Kedah telah memeterai perjanjian kerjasama (MOU) dengan Merapoh Resources Corporations bagi membangunkan projek penapisan petrokimia yang dinamakan Kedah Sungai Limau Hydrocarbon Hub (SULIHH).

Perjanjian bernilai RM35 bilion ini dimeterai antara Merapoh Resources Corporation dengan kerajaan Kedah bersama pelabur-pelabur antaranya Hong Kong Beijing Star Ltd dan Winson Invesment Ltd.

Dari sudut kerja-kerja kejuruteraan, pembangunan dan kepakaran loji penapisan minyak, projek diserah kepada SK Engineering & Construction sebuah syarikat terkemuka berpangkalan di Korea

Sementara SK Energy pula diberi kontrak penyelengaraan dan operasi SULIHH.

Perjanjian dibuat pada jam 3.15 petang dengan disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bersama pegawai kewangan negeri, Dato' Mohd Puat Mohd Ali dan setiausaha kerajaan negeri, Dato' Wira Rasli Basir.

Turut hadir, Exco Kanan Kedah, Dato' Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi; Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Mohd Isa Ismail; Exco-exco Kerajaan Negeri, Ir Amiruddin Hamzah; Dato' Mohamad Taulan Rasul; Dr Hamdan Mohamed Khalib; S.Manikumar dan Ustazah Aishah Ghazali

Merapoh diwakili, Pengerusi Eksekutifnya, Md Nazri Ramli dan Pengarah Eksekutif Mohd Hassan Mansor.SK Engineering diwakili, Naib Pengerusi dan CEO, Suk Kyong Yun dan Naib Presiden, Tae Min Cheong.

Pelabur, Hong Kong Beijing Star Ltd diwakili, Presidennya, LiFeng Yi serta Pengarah, Mou Fu Kong,sementara Winson Investment Ltd diwakili Tony Loh.

Dalam ucapannya, Ustaz Azizan menyatakan rasa syukur berikutan perjanjian ini telah ditandatangani syarikat yang akan membangunkannya dan pelabur.

Projek SULIHH yang berlokasi di Yan Kedah ini akan memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi Kedah,ujar Ustaz Azizan.

Projek ini jugaakan memberi peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat Kedah khasnya dan Malaysia amnya, kata beliau.

Projek ini juga katanya adalah kejayaan besar dan bersejarah kepada kerajaan Kedah dalam memacu pelaburan masuk ke negeri itu.

Beliau turut membayangkan kejayaan ini kelak akan memberi kesan besar kepada pertumbuhan masuk pelaburan ke Kedah, selain pembangunan kawasan berhampiran.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada usaha keras Merapoh Resources Corporations dan Kedah Investment Centre (KIC) yang merealisasikan impian rakyat Kedah ini.

Projek yang SULIHH dijangka siap padatahun 2013 ini katanya adalah loji penapisan yang terbesar setakat ini yang diusahakan di Semenanjung.

Kerajaan Kedah ujarnya memberi sokongan penuh ke atas pembangunan SULIHH ini selain mengalu-alukan pelabur untuk melabur di Kedah._

nalisis Manek Urai: PAS menang tipis walau diasak hebat

Oleh Wan Nik Yusof Ngah

Kemenangan akhirnya berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Umno yang mewakili Barisan Nasional terpaksa mengiktiraf kuasa rakyat Manek Urai.

Keputusan awal pada 6.30 petang 14 Julai lepas, memberi jawapan penuh kebenaran bagi rakyat Manek Urai sama ada jelas menerima atau menolak janji-janji BN atau menerima hakikat tindakan kerajaan BN yang menggelapkan wang royalti minyak untuk Kelantan.

Maknanya, rakyat Manek Urai masih menaruh harapan kepada PAS untuk menunaikan hak dan kepentingan mereka. Isu royalti minyak adalah terlalu singkat ia dibangkitkan. Banyak rakyat yang masih tidak memahaminya. Ada yang menganggapkan sebagai mainan PAS kerana kononnya terdesak.

Walaupun begitu, kemenangan tipis 65 undi adalah suatu realiti yang membuktikan PAS diasak kuat oleh BN dan agensi kerajaan Pusat serta kapasiti Timbalan Perdana Menteri yang hadir mengetuai jentera kempen bukan atas sifat Timbalan Presiden Umno.

Kesungguhan pemimpin BN untuk menang sanggup menyalahgunakan kuasa dan ruang demokrasi sehingga tawaran jambatan dan pembangunan Manek Urai sebagai pusat agropolitan adalah isu bernilai tinggi dapat memukau perggantungan pengundi atas pagar kepada BN.

Ia suatu cetusan masa depan yang bunyinya retorik tetapi itulah impian pengundi yang berstatus atas pagar. Cetusan itu tidak dapat diimbangi oleh PAS, meskipun PAS adalah mewakili kerajaan Pakatan Rakyat di sebuah negeri yang terpinggir sejak sekian lama.

Begitu juga sedikit sebanyak permasalahan semasa rakyat Manek Urai nampaknya belum selesai dan agak rumit diselesaikan. Permasalahan hidup itu ada kaitannya dengan kepayahan hidup mereka sekian lama.

Ia berkaitan dengan isu tanah, air, jalan, input pertanian dan jaminan mengatasi beban kemiskinan. Kesemuanya hanya dilihat secara spesifik setelah berlaku pilihan raya kecil. Mana mungkin ia dapat diselesaikan kesemuanya.

Apa yang ketara, kesemua permasalahan kepayahan rakyat Manek Urai telah dijadikan modal bagi kempen BN untuk merendah-rendah jasa dan bakti PAS yang telah memerintah Kelantan hampir 20 tahun. Jelingan isu-isu tersebut telah memukau pemikiran logik mereka yang sedia berdepan dengan permasalahan tersebut.

Selain itu, ia turut menyentuh jiwa dan pengharapan masa depan golongan pengundi muda. Justeru itu, sebahagian pengundi muda telah beralih sikap kepada BN. Ia mungkin disokong dengan keyakinan terhadap calon PAS berbanding calon BN yang mewakili kumpulan muda atas faktor jawatannya sebagai ketua pemuda bahagian. Meskipun, asas nilai 'kepemudaan' boleh dianggap jurang antara dua calon, jentera PAS dilihat lebih memahami.

Oleh kerana itu, didapati banyak aktiviti kempen PAS banyak terkhusus kepada golongan muda. Tetapi ia belum memadai untuk menampilkan imej calon PAS sebagai tokoh sebenar mewakili golongan muda. Sedangkan pengundi muda di Manek Urai agak besar iaitu melebih 47 peratus.

Atas kekuatan itu, pengundi muda agak rapat dengan kempen BN.

Walau apapun, kemenangan tipis PAS turut disempurnakan oleh kesediaan pengundi PAS yang berada di luar Manek Urai sanggup balik mengundi, meskipun berdepan dengan masalah cuti dan beban kewangan ketika ekonomi mendesak sekarang. Sumbangan pengundi dari luar cukup besar, jika tidak PAS pastinya kalah besar.

Menyedari hakikat inilah, taktik PAS pada saat akhir adalah bermain taktik psikologi dengan meyebar luas peluang kemenangan besar berpihak kepada PAS. Menyebabkan jentera BN kalut dan kucar-kacir.

Tambahan pula tersebar cepat berita kepulangan awal (pada jam 3.30 petang) Muhyidin Yasin ke Kuala Lumpur. Turut menyakinkan sebahagian pengundi betapa BN sudah kalah besar, kerana pemimpin besar telah mundur lebih awal.

Inilah nilai kemenangan tipis PAS yang nostalgik kepada PAS dan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku peneraju rakyat Kelantan sekarang.

Semoga Tuhan Yang Esa, memberi kemenangan tipis ini bakal membuahkan nilai-nilai koreksi ikhlas semua peringkat parti dan kerajaan negeri di dalam mengolah tanggungjawab dan amanah kepada rakyat Kelantan, khususnya di Manek Urai. Amin. -azm

(Penulis adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat)_

Umno Biadap Guna Sekolah Buat Ceramah Politik

Dewan Pemuda Pas Kubang Pasu meluahkan rasa kesal ke atas Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu yang membenarkan Umno Bahagian Kubang Pasu menggunakan Sekolah Rendah Kebangsaan Tunjang, Jitra Kedah untuk program ceramah isu-isu semasa berkaitan politik.

Naib Ketua Pemuda Pas Kubang Pasu, Kaman Jaapar berkata, Dewan Pemuda Pas Kubang Pasu rasa kesal di atas tindakan tidak bermoral oleh Umno Kubang Pasu yang menggunakan sekolah sebagai tempat menganjurkan program ceramah politik’.


“Sejak bila Pejabat Pendidikan Daerah dan Kementerian Pelajaran Malaysia benarkan parti politik gunakan sekolah untuk ceramah politik, soalnya.

Laporan yang diperolehi oleh Pemuda Pas Kubang Pasu, ceramah isu-isu semasa anjuran Umno Bahagian Kubang Pasu tersebut diadakan pada jam 2 petang, 11 Julai lalu (Jumaat). Penceramah utamanya ialah Ketua Umno Bahagian, Datuk Johari Baharom.
Kaman berkata, tindakan Umno Kubang Pasu menjadikan sekolah rendah Kebangsaan Tunjang sebagai tempat ceramah isu-isu politik menunjukkan bahawa sikap yang angkuh dan besar kepala serta tidak pernah menghormati peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan”..

“Bagi Umno, peraturan ataupun undang-undang yang menyekat mereka adalah tidak terpakai, sebaliknya hanya perlu dikenakan kepada parti politik lain yang tidak sehaluan dengan mereka semata-mata ataupun golongan rakyat yang tidak menyokong mereka, katanya.

“Orang jenis inikah…perlu kita hormati dan pilih’, katanya.

Sementara itu, AJK Pas Kubang Pasu, Zabedi Usop berkata, setahunya sekolah tidak boleh digunakan untuk aktiviti politik, kecuali sebagai tempat untuk pembuangan undi ketika pilihanraya. Itupun dengan kebenaran oleh pihak Kementerian berkaitan.
Katanya, pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu di minta supaya menjalankan tugas dengan telus dan beretika, di samping memantau pihak pentadbiran sekolah-sekolah dalam bidangkuasanya supaya ia tidak menjadi alat kepada sesebuah parti politik”.

“Kami (Pas) tidak halang mereka membuat aktiviti politik dalam daerah ini, tapi mereka (Umno) perlulah menghormat sikit kepada peraturan yang ditetapkan, di samping janganlah guna sekolah untuk tujuan politik. Apakah Umno Kubang Pasu dah tak ada tempat lain lebih sesuai untuk mereka anjurkan ceramah politik, katanya.
Sehubungan itu, Pemuda Pas Kubang Pasu akan menghantar surat kekesalan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu dan Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Tunjang berhubung tindakan mereka membenarkan Umno Kubang Pasu mengadakan ceramah politik di situ.

Kaman berkata, kita harapkan pada masa depan, Umno Kubang Pasu tidak lagi biadap membelakangkan undang-undang mengadakan program politik di sekolah-sekolah”.

Program Sembang Niaga, peluang kontraktor bumiputera dan usahawan rebut peluang

Oleh : Hj. Osman Awang

Bagi memastikan golongan bumiputera khususnya di Kedah yang terlibat dalam bidang kontraktor binaan dan usahawanan IKS mendapatkan peluang-peluang baru dan maklumat yang tepat, PAS Kawasan Kubang Pasu melalui Lajnah Ekonomi, Keusahawanan dan IKS akan menganjurkan program ‘Sembang Niaga’ pada 24 Julai depan, jam 8.00 malam, bertempat di Country Height Jenan, Jitra.

Menurut Pengarah program Sembang Niaga, Hj Zabedi Usop, tujuan pihaknya menganjurkan program tersebut adalah untuk memberi pendedahan samada dari peluang ekonomi dan maklumat berkaitan perniagaan khususnya kepada golongan bumiputera setempat dan luar Kedah”.

Katanya, “program seumpama ini adalah yang pertama kali dapat dilakukan oleh Pas Kubang Pasu sejak negeri Kedah diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Program Sembang Niaga merupakan salah satu inisiatif yang dapat dilakukan oleh Pas Kubang Pasu melalui lajnah yang berkaitan untuk memberi galakkan serta sebagai tanda sokongan kepada golongan bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan.

Program tersebut turut dihadiri oleh saudara Che Had Dhali, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah, Bahagian Ekonomi dan GLC, saudar Zaidi Ahmad, Pengerusi Konsortium Pembekalan Bahan Binaan Bumiputera Negeri Kedah dan Prof. Dr(H) Hamsiah Ismail, CEO Era Edar Marketing. Ketiga-tiga mereka adalah panelis yang akan membicarakan tentang peluang-peluang perniagaan serta menyampaikan maklumat terkini tentang ekonomi.

Zabedi berkata, ketiga-tiga jemputan tersebut adalah panelis yang akan membicarakan tentang peluang perniagaan dan maklumat berkaitan ekonomi.

Katanya lagi, golongan yang paling sesuai mengikut program ini ialah para kontraktor bumiputera, bakal usahawan, para siswazah, ahli perniagaan berasaskan perkhidmatan, makanan, pembuatan (IKS) dan pertanian”.

Sehubungan itu, pihaknya telah menyediakan sebanyak 200 tempat duduk (terhad) yang dibuka kepada seluruh rakyat bukan sahaja di Kubang Pasu, tetapi juga di seluruh negara. Di mana setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM 70.00 setiap orang, di mana kaedah penyertaan adalah tertakluk kepada syarat “Siapa cepat, dia dapat”.

Sehubungan Zabedi berkata, mana-mana pihak yang berminat atau ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung program tersebut, bolehlah menghubunginya di talian 019-441 6903 (Hj Zabidi), 019-470 4114 (Hj Osman).

Manek Urai "Universiti Politik" Pakatan Rakyat

Oleh Angkasanuri

Kejayaan Pas mengekalkan Dun Manek Urai harus diraikan dengan penuh rasa kesyukuran walaupun kali ini Pas menang dengan majorti yang tipis. Pilihanraya kecil dan pilihanraya umum sesuatu yang berbeza. Aliran corak pemikiran pengundi boleh berubah dengan tiba-tiba terutama kepada penduduk atau pengundi di Kelantan. Cara dan corak pemikiran politik mereka berbeza berbanding dengan penduduk lain di negara ini

Mungkin kali ini dalam pilihanraya kecil Manek Urai mereka sebelum ini terutama golongan atas pagar atau pengundi luar merasa 'tak apa' kalau pangkah Umno@BN kerana undi tersebut tidak akan menjejaskan kerajaan Pas di bawah pimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.Andaian mereka,kerajaan Tok Guru masih utuh dan stabil jika satu kerusi terlepas kepada umno@BN. Mungkin juga ada benarnya, aliran pengundi kali ini ingin menyampaikan sesuatu mesej yang saya rasa tidak sukar untuk difahami khususnya oleh pimpinan Pas khasnya dan pimpinan Pakatan Rakyat amnya.

Berbeza dalam Pilihanraya Umum yang lalu, golongan muda khususnya yang menetap di luar Kelantan balik umpama pesta untuk mempertahankan kerajaan Pas pimpinan Tok Guru dari dirampas oleh Umno@BN. Mereka berpusu-pusu dan berbondong-bondong dengan kesesakan yang luar biasa sepanjang perjalanan serta ada yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyelamatkan kerajaan Pas di Kelantan.

Kepada pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat di semua peringkat saya berharap agar tidak menunding jari kepada Umno@BN yang menipu, membeli undi, politik ugut dan sebagainya. Ini kerana itu sudah memang cara dan gaya Umno@BN berpolitik. Apa yang penting semua pihak dalam Pas dan Pakatan Rakyat perlu membuat post mortem terperinci berhubung dengan kemenangan tipis ini. Saya tidak melihat isu 'perselisihan' yang sengaja direka oleh pihak Umno@BN di antara Tuan Guru dan Ustaz Nasharudin menjadi faktor utama kemenangan tipis ini. Tetapi saya melihat pengundi Melayu di Manek Urai kurang senang dengan gelagat rakan Pas dalam pakatan khususnya DAP seperti yang berlaku di Kedah.

Pengundi Melayu terutama golongan atas pagar atau tidak berparti yang sebelumnya menyokong Pas dalam pilihanraya umum lalu mengalami konflik dan dilemma apabila isu yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Ini merupakan pengajaran yang sangat penting kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat khususnya hal yang sensitif. Mereka perlu mengeratkan muafakat dan kerjasama untuk memastikan matlamat menumbangkan kerajaan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang benar-benar menjadi kenyataan. Hentikan segala polemik dan perdebatan secara terbuka sebaliknya setiap isu yang wujud perlu ditangani melalui rundingan dan semangat setiakawan.

Apa yang lebih penting segala ilmu dan pengalaman sepanjang pilihanraya kecil Manek Urai perlu dijadikan muhasabah dan renungan dengan menjadikan ia sebagai 'universiti politik' untuk rujukan pada masa akan datang.

http://angkasanuri.blogspot.com/

One Malaysia yang kabur lagi keliru

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Sebaik sahaja Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggalas tugas sebagai Perdana Menteri ke enam Malaysia, lantas beliau memperkenalkan konsep One Malaysia atau Satu Malaysia.

Tidak jelas apakah tujuan sebenar konsep One Malaysia diperkenalkan. Secara umumnya ia adalah satu gagasan baru yang diperkenalkan kepada rakyat Malaysia, kononnya untuk mencapai kesepaduan dan kesamarataan dalam pelbagai bidang.

Lalu, para juak-juak kerajaan Umno-BN, tanpa memikir dan memahami apakah sebenarnya One Malaysia, terus mencanang dan mewar-warkannya, kononnya ia adalah konsep terbaik yang harus diterima oleh rakyat Malaysia.

Hakikat sebenarnya pemimpin-pemimpin Umno-BN sendiri tidak jelas dan tidak tahu apakah maksud sebenarnya One Malaysia. Mereka mencanang dan menyokong One Malaysia kerana ianya merupakan idea yang dicetuskan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno.

Kerana sudah menjadi tradisi Umno-BN, untuk menjadi 'pak angguk' dan 'pak turut' kerana takutkan kuasa yang ada pada seorang yang bernama PM, walaupun kemungkinan langkah yang diambil merugikan rakyat.

Tindakan mereka ini hanya menambah kekeliruan di kalangan rakyat. Rakyat tertanya-tanya apakah selama ini rakyat Malaysia tidak bersatu padu sehingga BN terpaksa mengemukakan satu konsep yang baru.

Apakah langkah yang bertujuan perpaduan diperkenalkan selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang kuasa di beberapa buah negeri?

Apakah rakyat dianggap berpecah belah hanya kerana mereka tidak lagi mahu memberikan sokongan dan mandat kepada BN?

Yang berpecah belah dan ditolak rakyat sebenarnya ialah Umno-BN. Najib sepatutnya membuat reform untuk memperbaiki Umno dan BN terlebih dahulu.

Walaupun Najib mendapat mandat besar sebagai Presiden Umno, namun beliau tetap gagal menyatupadukan Umno. Ramai orang-orang Umno semakin kecewa dengan parti. Lantas mereka menyertai Pakatan Rakyat.

Najib sebagai Pengerusi BN juga gagal untuk mengawal parti seperti MCA yang sentiasa diselubungi dengan kesangsian dan berbelah bahagi sama ada untuk kekal atau keluar daripada BN.

Parti MIC juga sentiasa mendesak BN lantaran presiden dan pemimpin utamanya diketepikan daripada arena politik negara.

Parti Gerakan juga, selepas tewas besar di Pulau Pinang, terus bercempera walaupun presidennya diberi tugas besar di peringkat nasional.

Najib nampaknya tidak mempunyai fokus yang jelas terhadap corak pemerintahannya. 100 hari beliau menjadi PM, lebih banyak mengundang negatif daripada positif.

Justeru, daripada beliau memperkenalkan One Malaysia, hanya sebagai gula-gula kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan bukan Melayu yang menolak Umno-BN, lebih baik beliau memperkenalkan konsep One-Umno atau One BN.

One Malaysia hanyalah sebuah ideologi baru atau fahaman baru yang bakal menjejaki nasib seperti konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi PM dahulu.

Islam Hadhari sudah dilupakan oleh rakyat Malaysia, One Malaysia bakal menjejaki nasib yang sama.

Ianya bakal menjejaki nasib dasar PPSMI yang diperkenalkan PM ke empat, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, yang banyak menyusahkan rakyat, daripada membawa kebaikan.

Islam Hadhari, PPSMI dan One Malaysia hanyalah bermotifkan politik, dicanang dan dilaksanakan dalam waktu yang singkat tanpa memikir implikasi yang sebenarnya kepada rakyat.

Ianya adalah sebuah retorik seorang PM, yang dicanangkan hanya untuk meraih populariti selepas imej parti yang menunjangi kerajaan tercalar teruk sehingga ditolak rakyat.

Hakikat sebenarnya ialah, kepercayaan terhadap kemampuan BN memerintah negara sudah semakin pudar dihati rakyat.

Rakyat sudah beralih arah kepada Pakatan Rakyat, sebagai platform baru untuk membawa keharmonian, kesejahteraan dan kebajikan untuk semua rakyat. - mks._




Ahad, 12 Julai 2009

Jika Anwar Ibrahim dipenjarakan

oleh: Mohd Hasbie Muda

1. Pembicaraan DS Anwar Ibrahim masih belum selesai. Terbaru, ia ditangguhkan ke 15 Julai kerana peguam Sulaiman Abdullah masih belum sihat sepenuhnya.

2. Saya berdoa semoga kebenaran timbul jua. Samada kebenaran milik Saiful atau milik Anwar, itu soal kedua. Yang penting ia (kebenaran) hadir dalam perbicaraan kali ini.

3. Bercakap tentang Anwar, dia mungkin akan disabitkan bersalah. Kalau itu berlaku apa akan jadi pada Pakatan Rakyat?

4. DAP dan PAS memang punyai dua kutub berbeza. Payah nak bertemu apatah lagi bersama. Setakat ni hanya Allahyarham Ustaz Fadzil dan Anwar Ibrahim saja yang mampu mengikat mereka (dengan izin Allah). Tanpa mereka atau pemimpin yang sepintar mereka, barangkali DAP dan PAS akan kembali berseteru.

5. PAS dan DAP yang berseteru adalah rahmat besar buat UMNO-Barisan Nasional (UBN). Pasca PRU 1999, DAP tewas teruk termasuk Kit Siang dan Karpal Singh. Waktu itu keadaan masih harmoni. Sesudah PAS kehilangan Ustaz Fadzil, suhu hubungan mereka semakin membahang. DAP keluar Barisan Alternatif kerana tidak bersetuju dengan agenda Negara Islam tajaan PAS.

6. Perang mulut mereka di media pun tak kurang hebatnya. Paling parah bilamana Ustaz Hadi melabelkan Kit Siang dan Karpal Singh sebagai ‘ubat tamat tempoh’. Dalam PRU 2004, PAS pula yang menderita. PAS kalah teruk termasuk Ustaz Hadi dan Timbalannya Ustaz Nasha kalah di Marang dan Besut. Pada waktu itu , Anwar Ibrahim belum dibebaskan.

7. Pada tahun 2004, Anwar Ibrahim dibebaskan. Dalam tempoh 2004 hingga 2006, beliau banyak membuat anggangement dengan pimpinan PAS dan DAP. Anwar dihentam juga sebab banyak dilihat keluar ke luar negara. Namun dalam masa yang sama, beliau berusaha menyatukan parti pembangkang terutama PAS dan DAP.

8. Natijahnya, PRU 2008 parti pembangkang tidak bertembung sesama sendiri. Kemenangan besar diraih dalam pilihanraya.

9. Anwar Ibrahim bukanlah faktor mutlak, namun dia juga adalah antara faktor penyumbang. Memang PAS ada sejarah hitam dengan dengan Anwar. Siapa tidak kecewa bilamana beliau memilih UMNO sebagai wadah perjuangannya meninggalkan PAS yang terkial-kial pada tahun 1982. Pada waktu itu, PAS ibarat melukut di tepian gantang. Tiada siapa berminat. Kaderisasi PAS di kampus-kampus juga pernah tergugat dengan pengaruh Anwar.

10. Namun usah dinafikan Anwar juga banyak berjasa kepada PAS. Kemenangan 27 kerusi dalam PRU 1999 banyak disumbangkan gelombang Reformasi pada ketika itu yang Anwar gerakkan. Begitu juga dengan kemenangan 23 kerusi (tidak termasuk Ibrahim Ali) dalam PRU lepas.

11. Apapun, saya berharap kebenaran milik Anwar. Tetapi antara Anwar dan kebenaran, saya tetap memilih kebenaran.

————-

*Penulis ialah Pengerusi Economics Student Leaders Council (ECONS), sebuah badan pemikir dan NGO bebas terutamanya dalam isu-isu sosio-ekonomi negara, mengembangkan pemikiran kritis dalam politik dan ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya. Blog Pencak Bicara MHM kini menjadi ruang analisis dan perkongsian beliau.

Ustaz Azizan dan warna-warni politik Kedah

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pergolakan politik di Kedah baru-baru ini memang menarik perhatian ramai. Sebagai salah sebuah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dalam tsunami politik Mac 2008, apa jua perkembangan di Kedah dilihat berupaya mempengaruhi kecenderungan pengundi di peringkat nasional, seterusnya boleh membayangkan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Hasrat untuk melihat Pakatan retak dan berpecah tidak kesampaian. Pemimpin Umno-BN terpasa menggigit jari kempunan. Isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar, mungkin bagai tiupan angin kencang yang hanya meneguhkan lagi akar mengikat bumi.

Pertemuan dan perbincangan dari hati ke hati antara pimpinan PAS, KeADILan dan DAP diharap dapat merumuskan gerak langkah yang lebih mantap, di samping mengenal pasti wilayah sensitif yang adakalanya mudah dilupakan.

Negeri yang pernah melahirkan dua perdana menteri dan seorang presiden PAS - yang dikagumi kawan dan lawan itu - disifatkan agak terlewat jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, sebelumnya dikenali sebagai Barisan Alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah dan PAS secara solo.

Pemerhati politik menyifatkan sejak kebangkitan PAS dalam pilihan raya umum 1969, yang menyaksikan antara lain calon Perikatan, Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abdul Rahman tewas mengejut, majoriti pengundi Melayu dianggap sentiasa lebih memihak parti Islam itu. Penyelamat BN hanyalah pengundi bukan Melayu.

Keadaan berubah dalam pilihan raya umum ke-12. Kemenangan awal calon PAS mula dikesan di kawasan yang jumlah pengundi bukan Melayunya agak signifikan. Ada kerusi majoriti Melayu yang dimenangi PAS pada 1999 tetapi kali ini tewas. Akhirnya PAS membentuk kerajaan bersama KeADILan dan kemudiannya DAP turut dilibatkan, walaupun tidak mendapat peruntukan kerusi Exco.

Hal sama berlaku di Pulau Pinang apabila DAP menerajui kerajaan dengan majoriti lebih selesa dan Adun tunggal PAS juga tidak diberi jawatan Exco. Bagaimanapun keadaan itu tidaklah sampai menggugat persefahaman dalam Pakatan.

Keunikan politik Kedah

Kebijaksanaan PAS mengemudi kerajaan negeri teruji di Kedah, sebuah negeri yang berbeza dari segi komposisi penduduknya berbanding Kelantan dan juga Terengganu.

Justeru, MenteriBesar Ustaz Azizan Abdul Razak, seperti pernah diakui oleh Dr Mahathir sendiri, begitu cermat dan berhati-hati untuk melakukan perubahan, dan bagi bekas PM itu, ia menyukarkan peluang BN untuk menawan semula Kedah.

Mungkin sesetengah kalangan agak tidak sabar untuk melihat pembaharuan, atau sekurang-kurangnya suatu kelainan ketara berbanding pemerintahan BN. Namun, Ustaz Azizan pastinya sudah merencana pendekatan terbaik agar kepentingan rakyat tidak terjejas, kestabilan politik terus utuh dan kemenangan dapat dipertahan. Apatah lagi ada pihak meramalkan, selepas 'rampasan kuasa' di Perak, ia mungkin berjangkit ke negeri Kedah.

Bukan sedikit usaha dan gerak diatur bagi memburukkan kerajaan Kedah. Isu babi dan hubungan PAS-DAP hanya senarai hujung daripadanya. Mungkin melalui media, ia seperti bergegar tetapi di peringkat akar umbi rakyat tidak mudah dipengaruhi tuduhan sensasi.

Malah, difahamkan pengarang akhbar-akhbar milik Umno-BN di Kuala Lumpur hadapi kesukaran untuk 'memaksa' wakil mereka di Alor Setar untuk memanipulasi berita Kedah, khususnya yang membabitkan menteri besar. Ini disebabkan wartawan-wartawan negeri 'malu alah' dengan Ustaz Azizan sendiri.

Bagi PAS, Kedah adalah pengalaman terbaik untuknya menunjuk teladan merintis kejayaan di negeri-negeri yang lain. Petugas PAS Kedah misalnya dikenali sebagai pekerja terbaik dalam hal-ehwal pilihan raya. Komitmen mereka juga sudah teruji dalam beberapa insiden tragis yang menelan korban nyawa. Semoga kemenangan tidak merencatkan istiqamah mereka.

Dan, jika sokongan pengundi bukan Melayu dapat dipertahan terutama melalui urustadbir kerajaan yang antirasuah dan mesra rakyat, serta kepemimpinan Ustaz Azizan dapat menambat hati lebih ramai masyarakat Islam, maka impian BN untuk merebut kembali Kedah, seperti dibayangkan Dr Mahathir, tentu bertambah sukar dan kelam.

Jika institusi menteri besar dalam BN sarat dengan daki rasuah (ya, dengan mudah kita dapat menamakan daripada Rahim Tamby Chik, Ali Rustam, Muhammad Muhd Taib, Isa Samad, Khir Toyo, Khalil Yaakob dan banyak lagi) tetapi dalam PAS, seperti ditunjukkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Abdul Hadi Awang dan kini Ustaz Azizan (juga tidak lupa Ir Mohamad Nizar Jamaluddin), ia tetap tidak tercemar._

Tunaikan mandat rakyat dengan cara yang betul

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Rakyat memberikan mandat besar dan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional, bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008.

Mandat dan kepercayaan ini diberikan kerana rakyat sudah semakin muak dengan pemerintahan Umno-BN yang mengamalkan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Dalam tempoh 50 tahun pemerintahan Umno-BN, amalan ini semakin berleluasa sehingga pemimpin-pemimpin Umno dari peringkat Majlis Tertinggi sehingga ke peringkat cawangan, kebanyakkannya hidup mewah dan kaya raya.

Rakyat menolak Umno-BN kerana dengan kuasa politik, mereka memanipulasi sistem kehakiman negara. Membuat dakwaan terpilih dan melepaskan sebahagian besar pemimpin Umno-BN walaupun didapati bersalah mengamalkan jenayah rasuah politik wang.

Rakyat semakin muak dengan Umno-BN, kerana mereka tidak tahu mengurus ekonomi negara dan negeri dengan cara yang betul.

Dakwaan terhadap Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo terhadap kos pembinaan banglo termasuk pengambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar itu, mencecah RM24 juta, hanyalah satu cebisan daripada jenayah rasuah pemimpin Umno.

Bukan sahaja Khir, malah Menteri-Menteri Besar di kalangan Umno yang lain juga, sering didakwa terbabit dengan penyelewengan harta rakyat termasuk dalam isu balak dan tanah.

Umno-BN juga ditolak rakyat kerana mengamalkan politik perkauman yang sempit dan sering memanipulasikan sentimen perkauman demi kepentingan politik mereka.

Bagi orang-orang Melayu, kerajaan yang dikuasai Umno-BN menyempitkan fungsi bahasa dan budaya bangsa serta merendahkan tahap akademik rakyat melalui perlaksanaan PPSMI.

Elemen-elemen penolakan rakyat terhadap penguasaan dan hegemoni Umno-BN terlalu banyak untuk dinukilkan.

Kejahatan dan kedurjanaan Umno-BN terhadap negara dan rakyat terlalu banyak sehingga rakyat kebanyakan sudah tidak mahu menerima mereka sebagai peneraju negara.

Hanya segelintir rakyat yang masih terjerat dengan permainan dan manipulasi media sahaja yang masih memberi sokongan kepada Umno-BN.

Justeru inilah masa yang terbaik untuk Pakatan Rakyat yang berjaya menguasai enam negeri dalam PRU ke-12 untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat boleh memerintah dengan baik, adil dan saksama.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menghentikan sebarang retorik, sebaliknya membongkar segala penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno-BN sebelum ini.

Selain itu, kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mestilah tidak mengamalkan apa yang diamalkan oleh Umno-BN sebelum ini.

Pakatan Rakyat mesti bersih daripada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme. Mestilah mengagihkan kekayaan dan sumber negeri secara adil kepada rakyat yang benar-benar layak memilikinya.

Manakala pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang diberi amanah memegang kuasa eksekutif di peringkat negeri, mestilah mencontohi stail kehidupan dan pemerintahan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang penuh dengan kesederhanaan.

Pemimpin Pakatan Rakyat hendaklah mengelakkan daripada amalan pembaziran dan hidup mewah, kerana tidak mahu rakyat menuding jari menyamakan Pakatan Rakyat dengan BN dikemudian hari.

Pakatan Rakyat juga mestilah menghentikan pertikaian dalam isu picisan seperti isu babi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Yang paling penting Pakatan Rakyat mesti membezakan cara pentadbiran dan pemerintahannya dengan Umno-BN.

Jika kita memahami mengapa Umno-BN ditolak rakyat, maka mulai dari sekarang, kita seharusnya memperlengkapkan diri untuk menerajui negara dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari Umno-BN. _

PPSMI: 2012 akhir kiamat bagi Umno?

Oleh Fahri Abdullah al-Masri

Sebuah filem Hollywood; 2012 akan ditayangkan tidak lama lagi. Isinya memuatkan kisah tentang bagaimana dunia ini bakal berakhir, menuju penghujungnya. Titik mula ke arah tamatnya usia dunia ini, menurut pengalaman rohani-intelektual sebuah tamadun purba, kaum Aztec di Mexico, kononnya akan berlaku pada 2012.

Ini bukan bermaksud, pada tahun 2012, dunia akan kiamat. Sebaliknya, pada tahun itulah, bermulanya detik-detik awal menuju ke arah kemusnahan alam ini. Sebelum dunia ini benar-benar hancur melebur sebagai yang dikehendaki Tuhan, maka akan ada tahun-tahun kegemilangan di mana dunia ini akan diperintah oleh kuasa-kuasa yang baik

Menurut catatan pengalaman rohani-intelektual Islam, kuasa-kuasa yang baik itu, tidak lain dan tidak bukan - merujuk kepada kuasa besar Islam sendiri.

Syahadan, ramai pihak melafazkan rasa syukur berhubung langkah dan keputusan kerajaan baru-baru ini memansuhkan PPSMI ini. Ada beberapa orang kenalan mengirim sms, menghantar mel-e termasuk juga yang menelefon.

"Ertinya, perjuangan GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) sudah berjaya!" kata seorang teman.

Dalam pembentangan kertas kerja di PPMN (Perhimpunan Penulis Muda Nasional, Ayer Keroh, Melaka, Mei lalu), seorang pemuda agak 'celupar' menyebut nama ketiga-tiga nama politikus dengan jelas - Dr Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak. Ketiga-tiga politikus ini sememangnya ada masalah dengan beliau dan dia juga bermasalah dengan ketiga-tiga politikus tersebut.

Alasan kenapa wujud masalah itu turut beliau sertakan, iaitu masalah dendam konflik antara beliau dengan mereka itu ada kaitan langsung dengan dasar PPSMI itu.

Mutakhir ini, wujud suatu keputusan baru, iaitu dasar PPSMI ini akan berakhir sepenuhnya pada 2012, demikian menurut Muhyiddin Yassin. Dengan perisytiharan ini, maka bertambahlah seorang lagi watak baru yang bermasalah dengan tukang catat ini.

PPSMI, rawatan penyakit yang perlu disegerakan!

Kata orang, penyakit datang macam kilat, tetapi kalau nak pergi, ia macam semut, jalan pun terkemut-kemut. Hal ini kita boleh tanyakan kepada seorang ahli perubatan yang bernama Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir sebagai seorang ahli dalam ilmu perubatan tentu mengetahui jenis penyakit yang bagaimana perlu dirawat dan pesakit dalam kategori apa yang patut diutamakan ketika menerima rawatan terlebih dahulu, rawatan awal dan rawatan kecemasan. Ada pesakit dan penyakit yang boleh kita kemudiankan rawatannya terlebih dahulu.

Kategori penyakit yang terpaksa dibuat 'rawatan kecemasan' ini, biasanya penyakit kronik. Lewat sedikit sudah mengakibatkan kehilangan nyawa. Jika pesakit itu cuma demam-demam sedikit, maka rawatan ke atas pesakit itu boleh dirujuk kepada rawatan pesakit luar yang mana pesakit itu boleh menunggu gilirannya untuk dirawat oleh pihak doktor.

Contoh mudah-jika dalam hospital itu ada pesakit yang demam-deman dan tiba-tiba ada pesakit yang baru terlibat dalam kecelakaan jalan raya tiba di hospital berkenaan dan kehilangan banyak darah, maka mangsa kecelakaan jalan raya itulah yang perlu diutamakan terlebih dahulu.

Demikianlah halnya dengan PPSMI ini. Sudah lama rakyat kita menderita akibat kehilangan RM3 bilion dan sekarang entah berapa bilion lagi yang akan dikorbankan untuk menjadi projek gajah putih menjelang 2012 itu.

2012 - pilihan raya umum ke-13?

2012, adalah tahun di mana Malaysia akan berdepan dengan pilihan raya umum ke-13. Angka 13 yang selalu disukai Abdullah Ahmad Badawi itu, banyak membawa petaka dan nasib malang kepada Umno itu sendiri.

WCH 13 - adalah nombor kereta PM, dan kehadiran 13 calon Bebas dalam pilihan raya kecil di Bukit Selambau sebelum ini juga mengundang kekalahan kepada Umno. Sebab itu, ada orang berpendapat bahawa angka 13 (13 calon Bebas) itu adalah hasil perencanaan parti pemerintah juga. Wallahualam.

Muhyiddin perlu cermat sekali lagi memilih angka, tarikh dan tahun bagi mengelakkan kejatuhan Umno yang mungkin datang sebagai ombak tsunami dalam pilihan raya umum ke-13 ini. Gara-gara PPSMI ini, Umno mungkin boleh rebah dengan suatu tolakan yang sangat dahsyat oleh rakyat.

Pilihan terletak di tangan Muhyiddin untuk beliau segera memansuhkan PPSMI tanpa tangguhan lagi. Jangan ditunggu-tunggu sehingga 2012, tahun malang buat Umno dan tahun yang didakwa akan berlaku titik permulaan tumbuhnya kuasa-kuasa kebaikan di dunia sebelum alam ini menempuh petaka paling dahsyat sepanjang hidupnya.

Rakyat tahu bahawa Muhyiddin terhutang budi kepada Tun Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu yang menjadi akar tunjang dan tulang belakang kepada Muhyiddin sehingga beliau sanggup mengeluarkan satu kenyataan untuk menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatannya sebagai PM.

Muhyiddin juga yang bertanggungjawab membawa Mahathir masuk semula dalam Umno. Tentu ada banyak rasa segan dan malu alah Muhyiddin ke atas Mahathir. Kalau Muhyiddin mahu memansuhkan PPSMI rasa tidak kena dan serba salah pula kepada Dr Mahathir.

Sepatutnya, Muhyiddin perlu ketepikan perasaan peribadinya itu. Ini kerana, hal ini melibatkan perjuangan bahasa kebangsaan. Janganlah dimasukkan hal ehwal peribadinya dalam perkara yang melibatkan kenegaraan. Jangan Muhyiddin libatkan hal peribadinya dengan Dr Mahathir kerana PPSMI melibat nasib murid-murid dan guru-guru sekolah!

Jangan kerana rasa malu alah dan segan antara dua orang pemimpin politik ini, maka semua sistem pendidikan tergendala, mutu pendidikan merosot. Jangan kerana khuatirkan projek kroni maka diperjudikan semua nasib murid-murid, guru-guru dan wang rakyat seluruhnya.

Terima kasih kepada pemerintah?

Seorang rakan telah berterima kasih kepada kerajaan berhubung pemansuhan PPSMI ini. Sepatutnya, kita tidak perlu berterima kasih kepada kerajaan. Berterima kasihlah kepada GMP, dan mana-mana pihak yang berterus-terang dengan beraninya menyanggah keangkuhan kerajaan yang mempertahan PPSMI sebelum ini.

Ini kerana, para pembuat dasar PPSMI adalah penjenayah dan pengkhianat. Telah wujud laporan polis terhadap para pendokong PPSMI tersebut. Maka, bagaimanakah kita harus berterima kasih terhadap penjenayah yang telah jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara?

Adakah cuma kerana mereka itu pemerintah, maka itu bererti mereka boleh terlepas daripada jaring hukuman rakyat selama ini? Setelah beberapa bilion dicetak guna mengaut keuntungan peribadi, maka kini mereka mengambil masa yang lama; sehingga 2012 untuk mencetak keuntungan demi keuntungan.

Yang patut kita bimbangkan ialah sikap mereka yang mengambil keuntungan projek terlalu lama dalam tempoh 3 tahun ini (2009 - 2012) akan menyebabkan kelompok-kelompok berkepentingan ini akan berasa lebih sedap untuk menerima habuan duit berbilion-bilion lagi.

Dan, tidak mustahil, ekoran kesedapan mencetak keuntungan itu, maka PPSMI akan 'dimansuhkan' lagi buat kali kedua pada 2015. Maka, bak kata Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, perjuangan kita belum selesai.

Jadi, kita perlu menyekat sikap tamak haloba kroni yang mengaut keuntungan dengan cara memiskinkan orang lain. Mencari lebihan dana dan laba dengan cara menyusahkan guru-guru dan murid-murid adalah suatu pekerjaan yang tidak beretika sama sekali dalam tamadun kemanusiaan.

Sebagai yang dijangka, Muhyidin cuma berani berkata bahawa pihak kerajaan mahu memansuhkan PPSMI, tapi beliau tidak berani mendedahkan berapa jumlah bilion jumlah peruntukan yang telah dihabiskan untuk mempertahan dasar yang tidak berfaedah itu.

2012: Pemansuhan atau Penundaan PPSMI?

Dalam fikiran Muhyiddin, Najib dan para pembuat dasar ini, rakyat dan GMP kerap mendesak ke arah 'pemansuhan' PPSMI. Maka, sebab itu kenyataan Muhyiddin kali ini tidak lagi menyebut penundaan PPSMI itu. Muhyiddin telah bermesyurat dengan kumpulannya untuk memikirkan idea baru untuk menyebabkan rakyat dan guru-guru tidak terlalu marah terhadap kenyataannya kali ini.

Ayatnya berbunyi lebih kurang begini - pemansuhan PPSMI itu akan berlaku pada tahun 2012. Jangan lagi digunakan istilah ditunda. Ini kerana, ungkapan ditunda, ditangguh itu telah digunakan sebelum ini. Maka jika digunakan sekali lagi, orang ramai akan berkata, asyik-asyik tunda lagi, asyik-asyik nak tangguh, jadi bilakah PPSMI itu nak dimansuhkan?

Jadi, suatu ayat baru telah direkacipta dan dipilih guna menipu rakyat dan guru-guru sekali lagi. Jarak tempoh tiga tahun sehingga 2012 ini tentunya akan mengambil masa untuk Umno terus berfikir lagi apakah alasan untuk diberikan kepada rakyat untuk melanjutkan lagi PPSMI ini.

Di samping itu, dalam jangkamasa selama tiga tahun ini, Umno berharap semoga rakyat akan terus dilumpuhkan semangatnya dan akhirnya mereka akan mengalah begitu sahaja. Semangat GMP untuk mansuhkan PPSMI masih membara.

Jika mahu, GMP juga boleh membuat perhimpunan sekali lagi depan Istana Negara. Kumpulan Page dan penyokong PPSMI tidak mampu berbuat demikian kerana mereka sedar bahawa mereka tiada sokongan akar umbi.

Kumpulan Page, guru-guru dan masyarakat yang menyokong PPSMI selama ini tentunya sedikit sebanyak berasa malu kerana sebelum ini mereka beriya-iya mempertahan dasar PPSMI tersebut. Ternyata, kerajaan sendiri telah menyedari bahawa apa-apa yang telah mereka lakukan selama ini tidak benar dan tidak wajar sama sekali.

Antara perkara yang paling penting juga dalam tempoh 3 tahun ini ialah usaha rakyat bersama GMP untuk mengheret penjenayah bahasa ini ke muka pengadilan.

Hal ini penting agar para pembuat dasar PPSMI ini tidak lagi berfikir bahawa mereka akan terlepas begitu saja dan rakyat begitu mudah memaafkan sikap mereka yang tergamak menipu rakyat untuk menangguh PPSMI untuk 6 bulan lagi sebelum ini, dan kini kononnya mahu menunda lagi PPSMI sehingga 2012 atas nama pemansuhan dasar bebal tersebut!

9 Julai, 12:33 p.m
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _

Isu babi dan hubungan Pakatan Rakyat

Oleh Zulkifli Yahaya

Di Kedah, dua minggu terakhir ini isu babi 'menjuarai carta' isu-isu semasa yang diperkatakan. Ia lebih diperkatakan berbanding isu DAP keluar Pakatan Rakyat di Kedah.

Sewaktu pusat sembelihan babi dirobohkan, orang-orang kampung berhampiran, terdiri dari Umno dan PAS, berhimpun sambil bertakbir. Mungkin ini kali pertama ahli Umno diajar bertakbir beramai-ramai seperti tradisi dalam PAS sejak sekian lama. Tidak ada orang Melayu/Islam yang tidak bersetuju mengenai pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar ditutup.

Apabila terdapat ura-ura pusat penyembelihan tersebut akan dipindahkan ke Jabi, Pokok Sena dan Kampung Cina, Pendang, Umno telah menggerakkan demonstrasi membantah. Logiknya, Umno yang gembira sangat berlaku pertikaian antara DAP dan Pakatan Rakyat Kedah patut menyokong pusat penyembilan babi diwujudkan di mana sekalipun.

Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah boleh mencadangkan supaya ditempatkan di belakang rumahnya. Inilah peluang bagi Umno memulihkan sokongan masyarakat Cina terhadap BN, di mana kekalahan mereka 2008 lalu adalah akibat peralihan sokongan bukan Melayu dari BN ke Pakatan Rakyat.

Anehnya, Umno yang paling kuat menentang kewujudan pusat penyembelihan tersebut. MCA, DAP dan Gerakan patut sedar perihal penentangan Umno serta memahami isu babi adalah sensitif bagi orang Melayu Islam.

Seorang rakan bukan Islam yang menyertai ekspedisi ke Haadyai menceritakan sikap pelik rakan-rakannya berbangsa Melayu. Sebahagiannya memuaskan nafsu serakah dengan perempuan murahan di sana, tetapi apabila tiba waktu makan mereka mencari kedai makan milik orang Islam, takut termakan babi.

"Itu betina dia tak kira halal haram, masa makan dia kotor pula dengan babi," ceritanya sambil ketawa. Maknanya dalam tradisi Melayu, bukan setakat orang Islam yang beriman, orang Melayu yang buruk akhlaknya pun jijik dengan babi.

Orang bukan Melayu mesti memahami dengan baik isu silang budaya dalam negara jika mahu keharmonian wujud di tanahair yang terdiri dari pelbagai kaum.

Apa hal sekalipun, kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Kedah tidak pernah menidakkan keperluan masyarakat bukan Melayu. Hingga hari ini tidak pernah terdapat rungutan di kalangan bukan Islam bahawa bekalan babi terputus atau ada peraturan dari kerajaan negeri melarang mereka makan babi. Mereka bebas nak makan babi sampai pecah perut pun.

14 tahun masa yang diberi untuk pemilik pusat penyembelihan mencari tapak baru dan memindahkan operasi kesana adalah masa yang lebih daripada mencukupi. Tapi difahamkan pemiliknya langsung tidak mengambil apa-apa langkah kerana tahu pucuk pimpinan kerajaan BN Kedah yang dikuasai Umno masa itu, akan tetap mempertahankan operasi haram mereka.

Masa itu Umno beranggapan, kalau benarkan ladang babi dalam kampung Melayu pun, mereka tetap akan menang pilihan raya. Majoriti orang Melayu kononnya lebih setia dengan BN berbanding orang Cina.

Demi keharmonian kaum, keselamatan dan faktor-faktor kebersihan, kebenaran untuk membuka pusat penyembelihan babi terpaksa melalui proses yang agak teliti. Ia tidak macam buka kedai roti canai tepi jalan.

Pertama, pengusaha mesti mencari sendiri lokasi yang difikirkan sesuai. Bukan kerja Exco kerajaan mencari tapak kerana Exco bukan tauke babi.

Empat pihak mesti dirujuk untuk mendapatkan pengesahan tentang kesesuaiannya iaitu Jabatan Alam Sekitar, Pentadbir Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Verterinar.

Selepas mendapat sokongan dari pihak berkenaan barulah permohonan dibuat kepada menteri yang berkaitan. Kuasa meluluskan permit pusat penyembelihan babi terletak di tangan menteri.

Sudah tentu kelulusan di peringkat menteri tidak terlalu sukar kerana jika menteri enggan meluluskan, Pakatan Rakyat boleh mencanangkan kepada semua orang bukan Islam di seluruh negara bahawa kerajaan BN yang enggan meluluskan.

Sebaliknya jika menteri meluluskan, boleh pula Pakatan Rakyat beritahu kepada seluruh orang Melayu di Kedah bahawa menteri yang telah luluskan. Biar BN pula merasa dilema seperti kerajaan Kedah hadapi sekarang.

Ertinya, selagi kelulusan menteri belum diperolehi, haram membuka pusat penyembelihan babi. Itu penegasan mengikut undang-undang.

Dalam isu penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang, Ketua Menteri begitu beriya-iya mempertahankan kedaulatan undang-undang sehingga nak bertemu penduduk pun enggan. Dia kononnya tidak mahu dilihat mencampuri urusan mahkamah.

Mengapa pula dalam isu operasi babi yang berlarutan secara haram selama 14 tahun, peraturan dan undang-undang tidak dihormati oleh DAP.

Terdapat dua anggota DAP yang menjadi ahli Bandaraya Alor Setar (MBAS). Sewaktu MBAS membentangkan cadangan untuk merobohkan pusat babi di Kampung Berjaya, mereka langsung tidak membantah tetapi selepas itu menjadi benteng manusia untuk mempertahankan pusat tersebut dari dirobohkan.

Oleh kerana misi menumbangkan BN lebih penting daripada mempertahankan babi, DAP perlu bersikap rasional. Di Kedah, DAP cuma satu kerusi. Ada tak genap, tiada pun tak kurang. Ahli-ahli tak ramai. Bangsal panas pun harap ahli PAS yang jaga.

Tetapi kewujudan DAP penting untuk memantapkan sokongan pengundi Cina di seluruh negeri. Masakan Pakatan Rakyat boleh menawan Malaysia kalau semua calon Parlimennya di Kedah kalah.

PAS yang cuma ada seorang Adunnya juga terpinggir di Pulau Pinang. Organisasi PAS lebih mantap dan kuat di Pulau Pinang berbanding DAP di Kedah. Tapi mereka boleh menjaga hubungan dalam Pakatan Rakyat.

DAP mempunyai pilihan sama ada menjayakan misi menumbangkan BN atau biarkanlah BN nak menang pun, asalkan 'keegoan peribadi' parti dipertahankan. - mks._
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut