Detikdaily

Khamis, 6 Ogos 2009

Anti ISA sebahagian daripada agama

Oleh Fahri Abdullah al-Masri

Seringkali watak-watak kritikal dalam perjuangan dipandang dengan penuh kehinaan. Misalnya, dalam masyarakat yang masih lemah akal dan tempang fikiran ini, kita akan bertembung dengan soalan berikut.

"Berbelas tahun Said Zahari di dalam penjara. Baru dia dinobatkan sebagai pejuang," kata seorang teman. "Awak apa yang ada?"

Kebanyakan soalan ini menyinggah ke benak kita ini datang daripada kaum wanita. Tak kurang juga, kaum lelaki bersifat demikian. Semua soalan ini semakin melemahkan semangat juang.

"Tak kasihankah kepada keluarga, isteri dan anak-anak bila kena tahan ISA?" tanya seorang teman lagi.

Di kuliah, kalau menyanggah Hal Ehwal Universiti dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) soalan ini pula yang akan menjengah, "Tak takutkah kalau-kalau pinjaman PTPTN ditarik balik? Tak takutkah kalau dibuang universiti?"

Akhirnya, dalam pergelutan kita membela kebenaran dan melawan kezaliman pemerintah, maka kita pula yang dipersalahkan oleh teman-teman.

Jika musuh yang bercakap begini tak terasa pedih amat hingga bisanya tertikam di hujung hati. Tapi, yang mengucap hal ini adalah rakan-rakan dan teman rapat kita sendiri.

Tidak dinafikan bahawa mereka ini berkemungkinan berniat baik juga, prihatin dengan nasib dan masalah kita.

Tetapi, sepatutnya dalam zaman yang semakin menuju ke arah ruang demokrasi yang semakin melebar kini, soalan ini sudah kuno lagi purba dan sepatutnya tidak ditanyakan lagi soalan-soalan sebegini.

Apa yang penting sekarang ialah sikap kita untuk membantu keluarga pejuang kebenaran yang teraniaya.

Atau kalau tidak mahu menolong, kita boleh menolong dengan cara menutup lidah daripada terus menyakiti hati dan perasaan manusia yang sedang berjuang itu. Dan, kita boleh menolong dengan cara tidak menyakiti hati dan perasaan ahli keluarga mereka.

Kalau kita boleh beri bantuan, bantulah keluarga kita yang menderita. Beri barang basah agar dapur mereka berasap. Tolong keluarkan sedikit belanja agar anak-anak mereka itu dapat sambung belajar di IPT. Itu saja. Jangan keluarkan lagi soalan yang melemahkan fikiran.

Tidak perlu ditanya lagi soalan itu kepada seorang 'penjenayah' yang mahu melawan kezaliman pemerintah.

Kisah melawan kezaliman dalam al-Qur'an

Al-Qur'an tidak pernah sunyi merakam kisah para nabi, orang-orang soleh terdahulu dalam melawan kezaliman pemerintah.

Al-Qur'an tak pernah mengasuh kita agar mengambil sikap kompromi dengan pemerintahan yang zalim. Kalau kita punya kekuatan, maka lawanlah sehingga tumbang pemerintahan tersebut.

Tetapi, jikalau kita tidak mampu melawan pemerintahan zalim itu kerana kita ada kelemahan, maka tiada pula al-Qur'an menyuruh kita bergabung dan menyerah kalah kepada pemerintahan tersebut.

Tuhan menyebutkan pelbagai kisah berhubung kaedah melawan jika musuh yang zalim itu ternyata jauh lebih kuat daripada kita. Iaitu, kita perlu melarikan diri, jangan sampai ditahan musuh.

Kata-kata, "If you cannot beat them, then join them.." (kalau anda tak boleh melawan mereka, maka bergabunglah dengan mereka.. atau serang mereka daripada dalam dengan menjadi sebahagian daripada mereka) adalah kata-kata yang tiada asasnya dalam agama kita.

Jika demikian, bagaimanakah caranya melawan pemerintahan yang zalim itu jika telah lumpuh segala kekuatan kita?

Maka, jawapannya ialah, dengan cara melarikan diri, jangan sampai kita ditangkap jentera penguasa yang akhirnya menyebabkan kita bergabung dengan kezaliman penguasa setelah dibasuh fikiran dengan tawaran-tawaran yang mengiurkan - harta, pangkat dan perempuan.

Dalam perjuangan, masa bukanlah ukuran

"Sampai bila nak melawan?" seorang rakan bertanya, seolah-olah memang ada penamatnya perjuangan ini. Jawapan yang nilainya agak sastrawi; 'Sehingga bertemu dua hal, iaitu sama ada syahid atau menang."

Kembali kepada isu ISA ini, antara yang paling lama merengkok dalam penjara ialah Said Zahari, 17 tahun lamanya.

Maka, seorang rakan bertanya, "Lagi rugi dan tak kasihankah dia terhadap keluarganya?"

Soalan ini sepatutnya ditanyakan kepada kerajaan, polis yang menahan orang yang tak bersalah itu. Dan, tidak sepatutnya kita bertanyakan soalan ini kepada tahanan ISA.

Ada yang sampai isteri mereka menuntut fasakh, bercerai-berai dalam keluarga, meninggal di dalam tahanan seperti Dr Burhanuddin al-Hulaimy. Dan, bukan mereka yang bersalah, sebaliknya tuduhan ke atas mereka telah direka-reka dan mereka enggan mengaku ke atas tuduhan yang direka-reka itu.

Oleh kerana insan seperti Said Zahari enggan mengaku suatu perkara yang tidak dilakukannya, maka tempoh tahanannya dilanjutkan terus selama dua tahun sehinggalah lengkap 17 tahun beliau di dalam penjara tersebut.

Maka, masa bukan lagi persoalan penting. Yang penting, apakah kita mahu berlawan, mahu bergabung dengan kezaliman pemerintah setelah ditahan, dibasuh fikiran oleh ISA atau terus berlari daripada buruan penguasa yang zalim sehingga penguasa berasa tertekan? Ini saja pilihan yang ada.

Mungkin, sengaja Allah s.w.t bangkitkan kisah Ashabul Kahfi dalam Surah al-Kahfi itu. Mereka ini telah 'dirugikan' masa mereka di dalam gua itu selama 700 tahun. Walaupun ada beberapa pendapat yang mempertikai mengenai berapa ratus tahun mereka ditidurkan, namun hal itu tidak penting.

Yang penting adalah, al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa dalam perjuangan ini, berapa banyak masa yang terbuang sekali pun, tetaplah dianggap bernilai, berkualiti dan bermutu dalam pandangan Tuhan, walaupun manusia berasa suatu kerugian hatta terpenjara 17 tahun seperti Said Zahari.

Kita juga boleh berkata, kenapa Ashabul Kahfi habiskan masa berlindung dalam gua sampai 700 tahun itu? Apakah yang Ashabul Kahfi dapat? Ketakutan? Perpisahan daripada keluarga?

Dalam tempoh itu, ketujuh-tujuh pemuda itu mungkin telah bercerai-berai dengan ahli keluarga, dan terputus kasih sayang isteri dan anak-anak jika mereka yang bernikah.

Dalam tempoh itu, ada cicit dan keturunan mereka yang mungkin sudah membesar dan pernah mendengar kisah wali 7 yang lari ke gua, tapi tidak pernah bertemu kelibat mereka itu.

Mungkin sesetengah mereka menganggap kisah itu cuma sekadar serpihan kisah dongengan dan ada pula yang meyakini kewujudan 7 pemuda yang hilang dalam gua itu.

Mereka cuma tidur, ditidurkan dan tidak pernah keluar berdakwah manusia ke jalan Tauhid, sekadar menyimpan keimanan di dalam dada selama 700 tahun.

Tapi, lihatlah bagaimana Allah s.w.t telah memuliakan kisah mereka dalam al-Quran, sedangkan ada watak Zulkarnain, seorang raja yang hebat dalam siri penaklukannya di belahan dunia Timur, Barat, ada pula watak Musa dan Khidhir, dua rasul yang tak kurang hebat peranan mereka dalam dakwah.

Namun, Allah julang nama Ashabul Kahfi sebagai nama surah lalu Rasulullah menyeru umatnya membaca al-Kahfi setiap hari Jumaat atau pada setiap malam Jumaat.

Tidur mereka adalah tidurnya seorang pejuang. Tidur mereka tidur perjuangan. Imam as-Syafie dapat menyelesaikan seribu satu macam persoalan fiqah masyarakat lewat tidurnya. Tidur mereka ini tidur yang berkualiti.

Sesiapa yang membaca Al-Kahfi, tentu menyebut dan mengulang-ulang kisah mereka ini di lidah dan meresaplah api kesedaran di dalam dada terhadap perjuangan mereka bagi menyelamatkan iman itu.

Bukankah Ashabul Kahfi telah menjadi wira yang diangkat kisah mereka itu sebagai pengetahuan umat Nabi Muhammad s.a.w? Kisah mereka telah menjadi iktibar kepada umat terbaik; umat Muhammad!

Ashabul Kahfi yang mendiami gua itu selama 700 tahun jauh lebih lama terperap berbanding penjara Outram, Singapura yang memerangkap jiwa seorang tahanan ISA, Said Zahari selama 17 tahun.

Antara raja dan rakyat yang melawan kezaliman

Surah itu sengaja dinamakan Al-Kahfi dengan sebab wujudnya kisah pemuda Al-Kahfi walaupun dalam surah tersebut termuat kisah Raja Zulkarnain yang hebat, kisah Khidhir a.s mendidik Musa a.s yang mana kedua-duanya bertaraf nabi.

Kalau dilihat sekali imbas, tentulah jasa Raja Zulkarnain yang lebih besar kerana penguasa yang adil itu telah mengembangkan risalah Tauhid di sebelah Timur dan Barat dengan lebih luas lagi.

Demikian juga, Nabi Musa a.s yang berdakwah terhadap umat Bani Israel yang jauh lebih ramai lagi. Sedangkan Ashabul Kahfi cuma memendam keimanan, memelihara aqidah Tauhid. Manakala, jumlah mereka tidaklah bertambah, sebaliknya kekal seramai tujuh orang sahaja.

Barangkali, mereka itulah 'wira yang sebenar', 'pejuang yang tulen' walaupun Raja Zulkarnain itu kelihatan gagah di sudut pandang mata kita, yang meluaskan empayar Tauhid!

Bagi Raja Zulkarnain, tiada lagi yang perlu ditakutkan. Baginda mempunyai kekuatan tentera, tiada raja lain yang dapat memaksanya agar membuang aqidah Tauhidnya, sebaliknya baginda punya kekuatan untuk mengarahkan penduduk lain memeluk ajaran risalah Tauhid.

Demikian Nabi Musa dan Nabi Khidhir yang masing-masing mereka telah dibekalkan mukjizat membelah lautan, tongkatnya berubah menjadi ular sehingga mengalahkan sihir orang-orang Fir'aun serta ilmu kerohanian, ilmu laduni sehingga mengetahui latarbelakang di sebalik sesuatu peristiwa.

Sedangkan pemuda Al-Kahfi itu tidak dikurniakan kekuatan seperti raja-raja. Mereka juga bukanlah rasul-rasul yang dikurniakan mukjizat untuk menundukkan kezaliman penguasa seperti Musa a.s.

Mereka hanyalah pemuda biasa seperti kita, yang enggan berkompromi dengan kezaliman raja, enggan tunduk kepada sikap kekejaman raja pada zaman mereka. Lalu, mereka melarikan diri, hidup terasing daripada mata manusia.

Ditidurkan selama berapa ratus tahun semata-mata kerana mahu memelihara iman dan kepercayaan yang mereka yakini selama ini. Itu sahaja inti perjuangan mereka. Enggan ditahan, enggan ditangkap dan tidak rela berkompromi dengan kekejaman dasar pemerintahan yang zalim.

Tapi, siapalah yang tahu hal mereka. Bagi Tuhan. Kedudukan mereka di sisiNya sangatlah tinggi.

Ia suatu surah yang sunat dibaca oleh umat Islam dan 'wajib' dibaca oleh mereka yang anti ISA!

9:21 p.m, 28 Julai
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

Umno gadai agama dan ketuanan Melayu

Oleh Rashidi Hassan



TIADA siapa yang boleh memadam sejarah Malaysia bahawa Umno merupakan satu-satunya parti Melayu yang majoritinya penganut agama Islam, berjaya menerajui negara sejak sebelum merdeka lagi. Iklan

Umno yang memperjuangkan nasionalisme Melayu, menjadi peneraju utama kerajaan Barisan Nasional yang turut dianggotai beberapa parti nasionalis yang lain.

Asas utama kepada penyatuan BN yang diterajui Umno ialah penyatuan bangsa-bangsa Melayu-Cina dan India (terutamanya), untuk membentuk suatu perikatan atau gabungan daripada pelbagai kepentingan bangsa dan agama.

Parti-parti nasionalis ini begitu lantang memperjuangkan ideologi dan idealisme masing-masing, untuk mencapai matlamat asasi iaitu memelihara, memupuk dan mempertahankan kepentingan bangsa dan agama mereka.

Tidak dinafikan gabungan parti-parti nasionalis ini mendapat apresiasi rakyat, apabila mandat berterusan diberikan dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih 50 tahun.

Lebih separuh kurun rakyat memberikan penguasaan mutlak BN terhadap negara. Dalam tempoh itu juga secara tidak disedari, ianya secara tidak sengaja membentuk minda diktator di kalangan pemimpin Umno-BN.

Mereka sering merasakan mereka terlalu kuat dan gagah dan tidak mampu ditumbangkan oleh sesiapa pun. Mereka turut mempunyai persepsi bahawa mereka adalah tuan kepada sistem politik, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan segala-galanya dalam negara ini.

Dan dengan kekuatan penguasaan yang sekian lama itu menyebabkan pemimpin Umno lupa dan lalai untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai sebuah parti yang memelihara kepentingan agama Islam dan ketuanan orang-orang Melayu.

Sejak Umno-BN menguasai negara, populasi kependudukan orang Melayu merosot sedikit demi sedikit daripada lebih 70 peratus kepada 51 peratus sahaja. Kuasa Melayu dari sudut politik terhakis kerana populasi menurun.

Kuasa Melayu dari sudut ekonomi juga gagal diseimbangkan dengan kaum-kaum lain kerana Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan gagal mencapai sasaran, akibat ketamakan segelintir pemimpin Umno.

Malah kekuatan orang Melayu yang majoritinya beragama Islam juga, tidak dapat mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan kerana Umno mengambil dan melaksanakan agama secara berpilih-pilih.

Dalam ertikata lain, Islam pada Umno, hanya akan dilaksanakan, pada aspek-aspek yang menepati kepentingan politik, untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukan untuk melaksanakan Islam yang syumul sebagaimana tuntuan syarak.

Hari ini kuasa politik Umno yang menjadi tonggak kekuatan politik Melayu dicanangkan semakin terhakis. Hakikatnya kuasa politik Melayu terhakis bukan kerana banyak kawasan yang ditandingi Umno, kini sudah dikuasai PAS atau KeADILan.

Sebaliknya ia berpunca daripada, kesilapan pemimpin Umno yang hanya mementingkan kuasa politik lebih daripada kepentingan bangsa yang menjadi asas perjuangan selama ini.

Dengan kuasa majoriti lebih dua pertiga di Parlimen Umno-BN membahagi-bahagikan kerusi melalui persempadanan kawasan pilihan raya sehingga menyebabkan kerusi majoriti Melayu dan bukan Melayu sama banyak.

Negeri-negeri di mana ramai penduduk minoriti bukan Melayu, diperbanyakkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, manakala negeri majoriti Melayu tidak ditambah kerusi Dun dan Parlimen.

Persempadan semula kawasan pilihan raya yang dikuatkuasakan pada 2003 misalnya, memecahkan banyak kawasan majoriti Melayu dengan memasukkan jumlah pengundi bukan Melayu yang agak besar, untuk mengalahkan PAS dan KeADILan.

Jelas Umno mahu mengekalkan kuasa mereka, dengan hanya semata-mata bergantung kepada manipulasi politik terhadap bukan Melayu yang dianggap akan tetap setia dengan Umno-BN khususnya.

Kesilapan ini amat besar sebenarnya. Percaturan Umno bahawa bukan Melayu akan kekal menyokong mereka, memakan diri. Apabila pengundi bukan Melayu beralih arah kepada Pakatan Rakyat, Umno semakin gusar. Umno mendakwa kuasa politik Melayu sudah semakin terhakis.

Umno sebenarnya hanya mahu memadamkan hakikat bahawa, terhakisnya kuasa politik Melayu adalah kerana kesilapan dan ketamakan mereka untuk mengekalkan kuasa.

Permainan politik Umno-BN ini sudah tidak boleh diterima rakyat. Pemimpin-pemimpin mereka sedang dilanca kecelaruan yang tidak berkesudahan akibat kekalahan besar dalam PRU ke 12 yang lalu.

Pada saat ini bukan sahaja Umno yang sedang celaru. Seluruh parti komponen BN juga turut dilanda kecelaruan. Mereka tidak sedar bahawa Umno, MCA, Gerakan, MIC dan seluruh anggota komponen BN sedang menerima hukuman yang berat iaitu penolakan yang berterusan daripada rakyat._
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut