Detikdaily

Isnin, 7 September 2009

Speaker Kedah : Kita bukan gila kerusi Siputeh

“Kita bukan gila kuasa atau gilakan kerusi Kota Siputeh” . Demikian apa yang dijelaskan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato’ Dr Abdul Isa Ismail ketika dihubungi .Kata beliau, “kita hendak menegakkan hak dan keadilan sepertimana yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

“Mana-mana ADUN yang tidak menghadiri sidang dewan dua kali berturut-turut , maka Seksyen 51 perlembagaan negeri memperuntukkan hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang” jelas beliau lagi.

Dalam hal ini, bukan sahaja ADUN Siputeh Datuk Abu Hassan Sharif telah tidak menghadiri sidang dewan berkenaan malah telah menimbulkan rungutan dari masyarakat pengundi di kawasannya sendiri tentang ketidakhadirannya itu.


DUN Siputeh terletak di bawah Parlimen Jerlun yang diwakili oleh Mukhriz Mahathir.

Ditanya apakah tindakan beliau seterusnya dalam menangani isu ini. Beliau berkata, “seperti yang diputuskan oleh YAB Ustaz Azizan Abd Razak Menteri Besar Kedah, kita akan failkan kes ini ke mahkmah. Biar mahkamah sahaja yang menentukan siapa yang betul”.

Jelas beliau lagi, “Dengan membawa kes ke mahkamah , kita berharap tidak akan ada lagi tafsiran masing-masing tentang undang-undang ini"


Apa terjadi jika mahkamah membuat keputusan tidak mengikuti perlembagaan Negeri Kedah sepertimana yang berlaku di Negeri Perak ?

Dato’ Dr Abdul Isa Ismail berkata, “biarlah rakyat yang menentukan dan sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang berlaku”.

http://alkerohi.blogspot.com/

Jumaat, 4 September 2009

Pakatan perlu sedia hadapi cabaran lebih besar

Oleh ABDUL SHUKUR HARUN

Mengikut proses alam, pokok yang baru tumbuh, dengan keadaannya yang masih lemah, akarnya belum teguh, ia berada di dalam keadaan tenang, tidak ada angin atau ribut taufan yang hendak menggugatnya. Ia belum lagi menerima cabaran, hidupnya masih dimanja dan dibelai oleh yang empunya tanaman itu.


Namun apabila, pohon itu semakin membesar dan membesar dan kemudian berbuah, sementara akar umbinya semakin kukuh, maka secara alami ia akan berdepan dengan hujan rebut yang datang, malah mampu menghadapi taufan yang menggila. Di sinilah jika akar umbi pohon itu teguh, ia akan mampu menghadapi cabaran sebesar manapun.

Justru itu, ketika rakyat menyambut sekitar 500 hari Kerajaan Pakatan Rakyat, saya mengambil analogi ini untuk menggambarkan mengenai survival Pakatam Rakyat, sebuah ikatan politik yang dinamik dan menjadi harapan masa depan rakyat. 500 hari dikira bermula dengan pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri selepas keputusan PRU Ke-12 8 Ogos 2008. Bagaimanapun Kerajaan PAS Kelantan sudah berusia 19 tahun, sementara Kerajaan Pakatan di Perak telah di’rampas’ begitu rupa dengan cara yang amat menjijikkan.

Seperti pohon yang sudah mulai teguh dan menampakkan hasilnya, Kerajaan Pakataan Rakyat sudah mampu menerima cabaran ribut taufan yang sangat mencabar dan tidak henti-hentinya. Selepas dapat ‘merampas’ Perak, Barisan Nasonal melancarkan kempen menggugat Pakatan dengan hebat dan pelbagai cara terumatanya di Selangor. Iaitu untuk menawan semula negeri terkaya di Malaysia itu. Sementara itu Kerajaan Pulau Pinang dan Kedah tidak kurang juga menjadi sasaran BN. Namun begitu, setakat ini, Kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah masih dapat bertahan menghadapi cabaran sengit itu.

Tidak syak lagi, sudah terlihat kebijaksanaan pimpinan Pakatan Rakyat, terutamanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, Ustaz Abd Hadi Awang, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim, Dato’ Seri Azizan Ab Razak, Lim Guan Eng dan pimpinan Pakatan yang lain.dalam menangani cabaran dari Barisan Nasional itu. Usaha pimpinan tertinggi Pakatan mengadakan retreat baru-baru ini, untuk menyelessaikan maslah dalaman, terutamanya perbalahan sesama sendiri, mengatur trategi menghadapi parti lawan dan membentuk jawatankuasa disiplin Pakatan dalam usaha mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat adalah langkah yang sangat wajar dan bijaksana oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Kepada saya, fungsi jawatankuasa disiplin Pakatan Rakyat sangat penting untuk mengawal supaya tidak ada lagi cross-fire di antara pemimpin Pakatan.sendiri yang selama ini dilihat ada sesetengah kenyataan mereka menjadi ‘hidangan lazat’ media massa tradisional untuk mengadu-domba antara pemimpin parti dalam Pakatan. Sebarang kesilapan pemimpin Pakatan, baik ucapan dataupun kenyataan media mereka bermakna akan mendedahkan diri kepada peluang media mass melaga-lagakan mereka. Justtu itu, pemimpin Pakatan perlulah mempunyai kemampuan mengawal diri supaya tidak terjebak kepada perangkap musuh.

Ini semua adalah cabaran, mehnah dan fitnah, yang dihadapi oleh batang tubuh Pakatan Rakyat, pada ketika rakyat berbilang kaum memberikan sokongan demi sokongan, seperti apa yang terlihat disemua pilihan raya kecil seluruh negara akhir-akhir ini, keculi di Batang Ai, Sarawak. Bagaimanapun kita dapat mengertikan suasana di sana. Insya-Allah, rakyat Sabah dan Sarawak akhirnya akan dapat juga menerima Pakatan Rakyat.

Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat baru memerintah 500 hari di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah tetapi kepimpinan kerajaan baru ini sudah beransur mantap, sudah menampakkan kejayaan. Ia dilihat sangat peduli rakyat. Mereka yang prihatin dan mampu berfikir, tidak prejudis kepartaian dan perkauman sempit, mampu melihat dan merasakan perbezaan antara kerajaan lama Umno/BN dengan kerajaan baru Pakatan Rakyat. Iaitu terutamanya ketelusan dan sudah terlihat mereka melakukan keadilan dan terbuka dalam mengagihkan pelbagai peluang kepada rakyat pelbagai kaum.

Masalahnya, media masa tradisional, atas kepentingan politik tuannya, telah menyembunyikan kebaikan Kerajaan Pakatan Rakyat ini, di mana yang hodohnya saja yang keluar di media tersebut. Ini adakah hakikat pertarungan politik. Dengan itu pemimpin Pakatan Rakyat jangan membuang masa memikirkan semuanya itu. Dunia siber yang terbentang luas, telah menawarkan pelbagai maklumat alternatif melalui pelbagai wabe-site dan sebagainya. Pakatan Rakyat masih berpeluang luas menghantar mesej kepada rakyat akan apa yang mereka lakukan untuk kebaikan rakyat. Di samping itu ia sendiri memiliki akhbar alternatif yang memberi peluang untuk rakyat mendapat maklumat alternatif.

Mengikut statistik, penggunaan internet di kawsan bandar dan semi-bandar sudah sampai kepada 90 peratus. Maknanya demikian ramai rakyat yang mendapat exess maklumat bukan dari media tradisional. Perkembangan ini memberi kelebihan dan sangat menolong Pakatan Rakyat. Justru itu, pengundi di Permatang Pasir, sebuah kawasan di pinggir bandar, umpamanya, mendapat maklumat yang cukup dan berimbang mengenai perkembangan politik dan kemasyarakatan.

Sementara itu, PRU Ke-13 dijangka berlansung tiga tahun lagi, atau lebih cepat. Justru itu, pemimpin Pakatan Rakyat perlu mengatur segala persiapan secukupnya untuk menghadapi PRU Ke-13 itu. Berdasarkan beberapa keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan terus meningkat, sementara sokongan pengundi Melayu belum banyak mengalami perubahan. Bagaimanapun Pakatan Rakyat masih mempunyai peluang untuk menambah sokongan pengundi Melayu. Di tengah-tengah isu perkauman yang ditiupkan oleh Umno/BN, kita yakin tidak semua pengundi Melayu terpengaruh dengan isu ini, justru kerana isu perkauman sama sekali tidak menolong orang Melayu dan kaum lainpun.

Kesimpulannya, jika Pakatan Rakyat tidak lagi berantakan sesama sendiri, prestasinya terus meningkat, tahap kepeduliannya terhadap rakyat terus meningkat, keadilan dan ketelusan dapat dikekalkan dalam pemerintahannya, tidak syak lagi rakyat akan semakin ramai menyokongnya. Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu bersedia menghadapi cabaran lebih besar – sama seperti pohon yang teguh akar umbinya, tidak mungkin tumbang walau sebesar manapun rebut taufan melandanya

Elak rugi di bulan Ramadan

Oleh RAMLI ABDUL HALIM


SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadhan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.
Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran,

Daripada jumlah itu, 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, bertarawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang Subuh supaya cepat khatam.

Yang kena diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega Sale dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega Sale dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan dari mubaraknya Ramadan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba dari kelarisan jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta juadah. Sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha.

Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah.

Jjika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diganjarkan juga dengan pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.

SPRM perlu ratusan tahun siasat Adun Lunas!

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Episod Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh keluar parti dan menyokong BN rupanya tidak berakhir selepas tamatnya pilihan raya kecil Permatang Pasir. Ia berlarutan dengan desakan demi desakan rakyat Kedah, khususnya di kawasan Lunas supaya beliau melepaskan jawatan ADUN.

Media-media talibarut BN melaporkan Adun Lunas itu keluar KeADILan untuk menjadi wakil rakyat bebas. Itu tidak betul.

Bebas bermaksud dia tidak berpihak kepada sesiapa, Pakatan atau BN. Tapi Radzhi sudah mengisytiharkan sokongan kepada Presiden Umno. Dia kini sudah tidak bebas lagi sebab terikat dengan perjanjian sulit dengan pemimpin-pemimpin Umno tertentu yang mendalanginya keluar parti.

Antara tugas penting yang diberikan kepada Radzhi ialah menarik beberapa Adun Pakatan keluar parti. Dia sudah berusaha sejak setahun lalu dan sekarang pun masih menghubungi Adun tertentu untuk menjayakan misi menumbangkan kerajaan Pakatan Kedah.

Radzhi sama sekali tidak dapat menafikan apa yang saya tulis ini kerana Adun-Adun yang terbabit sendiri yang mendedahkan kegiatan Radzhi memujuk mereka.

Seorang sahabat dari KeADILan memberitahu mereka akan mengadakan protes besar-besaran terhadap Radzhi supaya dia melepaskan jawatan Adun. Ia satu langkah politik yang baik, tetapi saya memberitahu aktivis KeADILan tadi bahawa kerja mereka tidak akan berhasil.

Mana mungkin orang yang sanggup melacurkan kerjaya politik tunduk kepada desakan pihak lawan, atas desakan supaya dia melakukan pembersihan maruah. Kalau orang seperti itu tahu makna maruah atau harga diri, dia tidak akan bawa kerusi yang dimenanginya atas tiket Pakatan dengan menggadaikan kerusi tersebut kepada BN dengan harga tertentu.

Saya mengingatkan sahabat KeADILan tadi supaya menggunakan kesempatan Ramadan yang penuh keberkatan supaya mengadakan munajat secara bersungguh-sungguh memohon Allah menggerakkan hati Adun Lunas untuk melepaskan jawatan. Ia lebih efisien dari demonstrasi. Atau lakukan kedua-duanya.

Mohammad Radzhi Salleh bukanlah nama yang dikenali sebelum bergelar YB. Penyertaannya dalam KeADILan hanya beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-12.

Kebetulan dia sempat berkenalan dengan Pengerusi KeADILan Kedah waktu itu Dato' Johari Abdul, kini Ahli Parlimen Sungai Petani.

Radzhi dikatakan banyak 'menjual minyak' kepada Johari sehingga dia diberi kepercayaan memegang jawatan penting dalam penerangan KeADILan. Namun tempohnya tidak lama.

Dalam pilihan raya 2008, Radzhi ditawar kerusi Lunas. Masa itu tidak ramai pemimpin KeADILan yang berwibawa bersedia jadi calon. Mungkin ada masalah masing-masing, terutama masalah kewangan. Lagipun tiada siapa menduga akan berlaku tsunami politik begitu besar, terutama di Kedah Selatan.

Di pihak PAS, Majlis Tindakan Dun (MTD) Lunas bermati-matian mahu calon PAS bertanding kerusi tersebut. Tapi pihak Perhubungan PAS terpaksa mengadakan berkompromi dalam agihan kerusi dengan rakan KeADILan.

Keramatnya MTD PAS lunas, walaupun 'terguris luka' dengan terlepasnya Lunas ke tangan KeADILan, tetapi mereka bekerja untuk memenangkan calon Pakatan dari KeADILan, seperti calon parti sendiri.

Hasilnya, Radzhi menang besar dengan majoriti 10,323 undi. Radzhi mendapat 17,836 mengalahkan calon BN S Ananthan yang mendapat 7,513 undi.

Di samping kerana kekuatan jentera PAS, faktor penting terhadap kemenangan itu ialah kerana komposisi bukan Melayu yang besar, iaitu 53 peratus.

Penolakan bukan Melayu terhadap BN adalah kuat. Di kalangan 47 peratus pengundi Melayu pula, ramai yang terdorong dengan sentimen kemelayuan kerana lawan Radzhi adalah dari MIC.

Kemenangan besar itu langsung tidak disebabkan oleh faktor calon kerana Radzhi yang berasal dari Hutan Kampung, Alor Setar menetap di Jitra. Dia tidak dikenali di Lunas sehinggalah posternya tertampal selepas hari penamaan calon.

Untungnya Adun Lunas situ ialah kerana dia adalah satu-satunya calon Melayu dari KeADILan yang menang di DUN. Di mana baik buruk pertimbangan pun, dialah yang paling layak menjadi Exco kerajaan negeri Kedah mewakili KeADILan.

Dengan kemenangan besar itu juga mungkin menjadi faktor untuk Radzhi merasakan Lunas kawasan yang selamat, lantas dia sendiri (boleh dianggap) mengabaikan terus servis terhadap pengundi Lunas. Dia jarang turun ke Lunas, seminggu sekali pun sukar.

Di sana-sini penduduk merungut tidak pernah nampak batang hidung YB. Dengan pihak parti, Radzhi tidak begitu memberi wala'. Dia menjadi terasing dengan pihak perhubungan sendiri.

Kepimpinan KeADILan negeri juga tertekan dengan sikap Radzhi, tapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Terdapat tanggapan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah alat BN. SPRM cergas bertindak terhadap YB-YB Pakatan di Selangor dan Perak.

Dua Adun Perak dari Pakatan (sekarang jadi penyokong BN) berjaya diseret ke mahkamah kerana didakwa terbabit kes rasuah. Sama ada betul dakwaan rasuah atau konspirasi, ia mencemaskan kerajaan Pakatan.

Lantas di Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak sangat menekankan soal integriti di kalangan Adun, lebih-lebih lagi Exco kerajaan negeri.

Sebagaimana isu rasuah tidak pernah terpalit terhadap kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan PAS Terengganu (1999-2004), maka begitulah Azizan mahu kerajaan Kedah di bawah pimpinannya.

Rekod bersih yang diharapkan tiba-tiba semacam mahu tercalar apabila semua media di negara ini melaporkan kononnya seorang Exco kerajaan negeri Kedah disiasat SPRM.

Exco tersebut adalah Radzhi!

Kini setelah Radzhi berada di pihak BN, kita mungkin boleh mengagak berapa ratus tahun masa yang diperlukan SPRM untuk menyelesaikan siasatan isu dakwaan penyelewengannya dalam tuntutan.

Apa yang hendak dijelaskan dalam catatan kali ini ialah perihal Adun Lunas tersebut adalah seorang bermasalah dan sering 'memeningkan kepala' pemimpin Pakatan Kedah.

Maka pengisytiharannya keluar parti dan menyokong BN, dapat merongkaikan sebahagian besar masalah dalam Pakatan. Saya hanya menyentuh persoalan politik dan integriti tanpa menyebut langsung isu-isu peribadi yang sebenarnya turut memberi masalah imej kepada Pakatan.

Di Perak, tiga Adun melompat satu negara jadi kecoh. Tetapi di Kedah, seorang Adun melompat tetapi keadaan semakin tenang. Setenang Ramadan.

SPR Mencabar Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Parti Se-Malaysia (PAS) menolak keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) yang mengistiharkan bahawa Dun N3:Kota Siputeh tidak kosong.

Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan ADUN Kota Siputeh, Dato' Abu Hassan Sarif, yang didakwa hilang keanggotaannya kerana tidak hadir dua mesyuarat secara berturut-turut.

Berdasarkan Perkara 51: Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UUTKNK);

"Jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong"

Dalam kes ADUN Kota Siputeh, beliau didapati gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu. Maka keputusan Speaker adalah menepati Perkara 51 UUTKNK.

Walau bagaimanapun SPR mentafsirkannya sebagai tidak sah kerana melibatkan dua penggal yang berbeza dimana mesyuarat 19 April berlaku dalam penggal pertama dan mesyuarat 9 Ogos dalam Penggal yang kedua.

Ini bercanggah dengan Perkara 51 yang langsung tidak menyebutkan isu penggal. Perkara 51 hanya menyebut tentang mesyuarat tanpa mengasingkannya mengikut penggal dan kuasa memberikan kebenaran adalah ditangan Speaker bukannya Ketua Pembangkang yang gagal melakukan tugasnya pada waktu kejadian.

Tindakan SPR ini juga bercanggah dengan Perkara 52, UUTKNK yang menyebut;

"Jika berbangkit apa-apa soalan fasal adakah mana-mana Ahli Dewan Negeri itu tiada layak menjadi ahli maka hendaklah diambil keputusan Dewan dan itulah yang muktamad."

Maka SPR tiada kuasa untuk membuat tafsiran atau keputusan kerana kekosongan Dun Kota Siputeh yang boleh diputuskan oleh Speaker dan Mesyuarat Dewan sahaja.

Maka, dengan sendirinya keputusan SPR itu terbatal dan tidak terpakai. Maka perkara ini perlu dibawa kepada Mesyuarat DUN atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Perlembagaan menetapkan bahawa SPR hanyalah berfungsi sebagai;

Jawatankuasa pilihan raya ke atas kawasan parlimen dan DUN, mengelola pilihan raya, dan pelaksanaan pendaftaran pemilih.

Ia juga mengumpul maklumat mengenai kawasan baru yang membolehkan keadilan dapat dilakukan ke atas pengundi untuk mengundi di kawasan pengundian yang ditetapkan, mempromosikan kepentingan mengundi, dan menguruskan semakan daftar pemilih dengan memadam nama-nama orang yang telah mati atau didapati tidak layak mengundi.

Pada hari pengundian, anggota SPR dan pegawai akan berada di pusat pengundian untuk menjalankan proses pengundian pilihan raya.

Maka tugas menentukan sesuatu kerusi itu kosong atau tidak adalah kuasa Speaker dan Dewan semua negeri serta Parlimen. SPR tidak boleh memandai-mandai menjadi hakim, jika tidak kes seperti di Perak akan berlaku sekali lagi.

PAS sekali lagi menyatakan pendirian menolak keputusan SPR dan meminta agar pihak SPR menghormati kuasa Speaker dan Dewan Undangan Negeri Kedah.

Ketua Penerangan PAS Pusat

Nasib Orang DUN Kota Siputeh

Oleh Zolkharnain Abidin

Semasa media melaporkan DUN Kota Siputeh mungkin kosong, seorang sahabat mengSMS saya, “Lepas ini boleh le kita kempen pasembor Kodiang.” Dia kata lagi, dia setuju PRK diadakan di situ untuk mencari pengganti Pak Abu - panggilan kepada Dato' Abu Hasan Sarif.

Petang kemarin saya mengSMSnya semula, “Pak Abu masih sah ADUN Kota Siputeh, tak dak can (peluang) kempen pasembor Kodiang le kita.”

Sahabat tadi menjawab, “Pak Abu tu dok sakit tengkuk dah banyak tahun. Bila ada majlis apa-apa, dia mulalah sakit urat. Apa nak buat, tu wakit rakyat Kota Siputeh.”

Sahabat saya ini memang orang sini tetapi menetap di luar.

Speaker sebenarnya memaklumkan sahaja kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN itu kerana penyandangnya tidak mengikut peraturan. SPR pula mengisytiharkan kerusi itu kosong dan menguruskan PRK di situ. Itu sahaja.

Tapi bila SPR melampaui keputusan speaker, tambahan pula kerusi itu milik BN, bertambah kuatlah sangkaan umum bahawa ‘SPR adalah kuda tunggangan BN.’

Speaker DUN Kedah rasanya boleh memohon mahkamah menyemak semula keputusan SPR itu itu, kalau dia mahu. Namun itu akan menjadikan drama ini lebih panjang. DUN Kedah boleh menggunakan bermacam-macam cara lain untuk menjadikan Pak Abu hilang kelayakannya sebagai ADUN.

Tetapi, isunya di sini bukan tindakan itu. Isunya ialah rakyat DUN Kota Siputeh tiada ADUN. Sebelum ini pun Pak Abu dikatakan sering culas, tentulah dalam suasana dia diketahui umum melanggar disiplin, tentulah tiada lagi tumpuan kepada tugasnya.

Dan, kalau selepas ini DUN Kedah mengenakan tindakan lanjut ke atasnya, DUN Kota Siputeh tentunya melalui tempoh yang sangat lama sebelum menjelang PRU akan datang untuk memiliki seorang ADUN yang bekerja untuk rakyat di situ.

Kerajaan negeri boleh melantik mana-mana wakil rakyatnya untuk berkhidmat di situ dengan konsep DUN angkat, tapi secantik mana pun anak angkat orang tetap mahukan anak daripada darah daging sendiri.

Demikialah nasib orang DUN Kota Siputeh.

Benar, memilih pemimpin bukan sekadar memilih lambang yang diwakilinya tetapi memilih peribadinya juga. Kuat dan amanah.

Nasib Orang DUN Kota Siputeh
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut