Detikdaily

Jumaat, 30 Oktober 2009

Hindari Politiking dalam Jamaah

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

Parti Islam se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam yang melaksanakan aktiviti Amal Islami ke arah mencapai cita - cita perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia . Penyertaan PAS dalam medan siasah [ politik ] adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

3. Siasah [ politik ] PAS adalah siasah Islamiyyah yang kaya dengan adab , akhlak dan prinsip Islami yang dipandu oleh wahyu dan sunnah . Semua pemimpin dan anggotanya terikat dengan tatacara yang telah dimaktubkan . Pelanggarannya dianggap satu kesalahan yang tidak wajar dilakukan oleh pemimpin dan anggota PAS .


4. Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik . Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami , PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah [ pemikiran ] , syakhsiyyah [ peribadi ] dan ruuhiyyah [ spiritual ] masyarakat .


5. Justeru itu , kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah .


6. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerakkerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan . Tidak hanya menumpukan isu - isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerakkerja dan aktiviti Amal Islami yang lain seperti pemantapan Aqidah dan Fikrah .


7. Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan . Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam .


8. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang telah mengabaikan solat berjamaah , menjauhkan diri dari majlis - majlis ilmu , tidak lagi melazimi usrah . Ucapannya pula tiada lagi hikmah sebaliknya kasar dan keras . Tindakannya gelojoh , egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai . Gemar bertelingkah dan suka memfitnah . Melakukan dosa tanpa sedar ianya berdepan murka dan kutukan Allah swt . Sebagai contoh mudah , apabila jamaah dan anggotanya dilanda badai dan kemelut , tiada lagi usaha untuk bermunajat dan solat hajat agar keadaan tenang dan terkawal . Sebaliknya berlumba - lumba nak menyalakan lagi isu yang sedia membara .


9. Saban ketika dan waktu hanya merancang bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu [ saingan politiknya ] kerana ia tidak sependapat dengan aku [ atau mereka memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi " demi kebaikan jamaah ...." @ " demi masa depan jamaah ..." dan lainnya sebagai melindungi perkataan sebenar " demi kebaikan aku ..." @ " demi masa depan politik aku ......." ]


10. Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak . Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana nak menang ! bagaimana nak dapatkan undi melayu dan non malay ! tetapi malang , sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka , bagaimana nak pertahankan Islam dan memenangkan Islam ! Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap Islam kerana nanti kita kurang popular dan non muslim akan menjauhi kita .


11. Sebagai anggota Gerakan Islam , kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam . Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani semua ummat , justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia . Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam . Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam .


12. Jangan hanya kita berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sedang kita tidak berusaha untuk jadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka . Bangga meriwayatkan kesederhanaan 2 tokoh pemimpin kita tetapi kita hidup tenggelam dalam kemewahan yang keterlaluan . Bangga dengan tawadhu' dan wara'nya mereka tetapi kita gopoh , liar dan tidak cermat . Bangga dengan karisma dan wibawa mereka sementara kita sering culas dan nakal .


13. Binalah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita membinanya . Pagarilah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita memagarinya . Kalau kita tidak mampu menjadi seperti mereka berdua , ambillah contoh dan ikutlah qudwah mereka bukan menjatuh dan melemahkan mereka serta melaga - lagakan mereka . Kerana itu perbuatan insan yang nakal lagi liar .

14. Berjuang biarlah dapat pahala , jangan berjuang untuk menambah dosa . Berjuang biarlah ramai sahabat , jangan berjuang meramaikan musuh . Berjuang biarlah tenang , jangan berjuang menambah serabut . Berjuang biarlah damai , jangan berjuang untuk bergaduh . Berjuang lah jangan tidak berjuang ....

15. Kita berjamaah untuk Islam bahkan kita menyertai PAS adalah untuk mendaulatkan Islam . Bukan membina empayar individu jauh sekali memburu kekayaan material . Lantaran itu , tidak sukar untuk kita memahami apa yang saya bangkitkan di sini . jangan tukar PAS sebagai Gerakan Islam kepada PAS hanya sebuah Parti Politik .

Rabu, 28 Oktober 2009

Bagaimana PAS patut hadapi era pemulihan Umno?

Oleh ABU FIRDAUS

Umno mahu memperbaiki dirinya. Ucapan Najib Abdul Razak dalam perhimpunan agung parti itu menunjukkan azam untuk berubah. Dinyatakan bahawa kesedaran sudah melanda Umno dan mereka akan berubah, demi untuk meraih kembali undi yang terlepas dan memantapkan kembali kuasanya.

Tetapi masalahnya, menurut penyokong Umno sendiri, apakah azam pemimpin parti itu akan sampai dan merebak ke bawah? Lebih-lebih lagi di peringkat pertengahan seperti ketua-ketua bahagian yang mendapat habuan daripada sistem politik wang dan korupsi. Harapan yang dilahirkan ialah akar umbi Umno akan menyokong kepimpinan untuk membersihkan parti, tetapi masalahnya ialah di peringkat pemimpin pertengahan. Namun begitu, pemimpin tinggi pun bukannya bebas daripada masalah.

Namun begitu, Umno telah memperlihatkan usaha untuk berubah, sama ada ia berjaya atau tidak adalah soal lain. Apa yang penting bagi langkah permulaan ialah membangun semangat. Itulah yang berjaya dilakukan Umno apabila menang besar di Bagan Pinang baru-baru ini. Ini diikuti perhimpunan agung Umno, yang dilihat penerus kepada semangat yang dibina itu.

Untuk berjaya, proses yang dilakukan Umno ini perlu dikembangkan kepada parti-parti komponen BN yang lain khususnya MCA dan MIC. Maka keadaan itulah yang berlaku dalam usaha bersungguh-sungguh kepimpinan Umno supaya MCA menjadi stabil dan MIC mendapat penyegaran semula. Jika tidak berupaya, maka akan dicari jalan lain, antaranya ialah penubuhan Parti Makkal Sakthi.

Tetapi apa yang berlaku pada BN ini merupakan cabaran kepada Pakatan Rakyat. Usaha penubuhan Makkal Sakthi adalah sebahagian proses memecahkan sokongan padu kaum India dalam pilihan raya umum 2008 kepada Pakatan Rakyat.

Hakikatnya gerakan Makkal Sakti berpecah tiga. Satu masih menyokong Pakatan Rakyat. Yang satu lagi beralih kepada BN. Dan yang satu mengambil pendirian berkecuali. Apa hal pun, ia bermakna Makkal Sakthi telah berpecah, yang membawa erti sokongan kepada Pakatan Rakyat berkurangan.

Tetapi cabaran bagi Pakatan Rakyat bukan itu saja. Perkara pertama ialah kepimpinan utama iaitu Anwar Ibrahim sendiri. Beliau mempunyai banyak masalah yang membebankan juga kepada Pakatan Rakyat. Usaha mesti dilakukan untuk mengukuhkan sosoknya, dan apa hal pun, pemimpin pelapis mesti disediakan. Setakat ini, ia perkara sukar untuk ditentukan tetapi ia perlu dilakukan dan disediakan juga.

Kedua, platform bersama parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Walaupun politik baru yang dibawa Pakatan Rakyat adalah berbeza tetapi satu fahaman berkongsi sama antara PAS, DAP dan KeADILan. Soal PAS dan DAP berada di penghujung spektrum politik mesti diselesaikan. Ini kerana DAP, dari segi idealisme bukannya parti cauvinis Cina. DAP sebuah parti sosialisme demokrasi yang sederhana.

Begitu juga dengan PAS. Ia bukannya parti ekstremis fundamentalis Islam. Ia parti Islam demokrat yang juga sederhana. Kalau tidak sederhana masakan ia masuk pilihan raya dan boleh bekerjasama dengan Parti Semangat 46 masa dahulu dan Parti Keadilan Nasional kemudiannya.

Dalam hal ini, PAS tentunya tidak boleh menentukan apa yang patut berlaku terhadap KeADILan dan DAP. Apa yang boleh dilakukan hanyalah terhadap dirinya saja. Kalau Umno memulakan proses pemulihannya dengan memantapkan pimpinan melalui pengunduran Abdullah Ahmad Badawi dan digantikan Najib, maka PAS mungkin berbeza pendekatannya, tetapi ia harus berjalan.

Maknanya, dari sekarang sudah dipertimbangkan siapa yang akan memimpin Pakatan Rakyat dan setiap parti komponen. Sememangnya diharapkan Anwar terus memimpin Pakatan dengan KeADILan menyediakan kepimpinan pelapis kerana kedudukannya yang lebih luas berbanding PAS dan DAP. Namun begitu, sebarang kegagalan kepimpinan, langkah wajar dibuat untuk bersedia sebagai ganti.

Di pihak PAS, parti ini kena bersedia mengukuhkan diri. Pilihan raya kecil Bagan Pinang wajar menjadi pengajaran kerana ia menunjukkan kelemahannya dan Pakatan Rakyat sendiri. Baik dari segi fahaman, kepimpinan mahupun jentera. Kalau pilihan raya umum 2008 menjadi pemangkin kepada perubahan dalam Umno, maka begitu juga Bagan Pinang bagi PAS.

PAS mesti menyediakan diri untuk memimpin Pakatan rakyat dan tidak boleh mengharapkan KeADILan. Ia mesti menjadi parti pengganti kepada Umno dalam kepimpinan negara.

Dari segi kepimpinan pula, semua masalah yang dihadapi parti mesti ditangani segera dan berhemah oleh pucuk pimpinan. Akhirnya apa yang turut penting ialah kemantapan jentera parti. Daripada kawasan, cawangan, pemimpin, aktivis dan ahli serta penyokong di sekitarnya.


Perkembangan parti mesti dipesatkan supaya kedudukan cawangan PAS di seluruh negara akan menjadi selari dan mampu mencabar pesaingnya dari Umno. Hanya dengan kehadiran yang menyeluruh ini, barulah PAS dapat menggantikan Umno sebagai ketua gabungan parti Pakatan Rakyat.

Dalam hal ini, aliran parti juga mesti diperhatikan. Dalam usaha membangunkan semula parti, Umno telah kembali menjadi parti tengah untuk semua rakyat walaupun ia bertunjangkan Melayu sebagai idealisme. Maka dalam hal ini, PAS mesti muncul juga sebagai parti tengah tetapi bertunjangkan Islam sebagai idealisme.


Ini kerana akhirnya sebagai parti tengah, di mana Umno dan PAS tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi memberi khidmat kepada rakyat. Tetapi rakyat dapat memilih mana parti yang lebih berkesan. Sama ada Umno yang tengah kanan atau PAS yang tengah kiri. Persaingan ini akan membolehkan sistem dua parti, yang akhirnya mendatangkan keuntungan kepada rakyat dan negara.

Tinggalkan sahaja BN, pilihlah Pakatan Rakyat!

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Apakah persepsi rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional, yang selama ini gagal menguruskan ekonomi negara, boleh dipulihkan hanya dengan pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak?Bagaimana rakyat boleh mempercayai ketulusan dan ketelusan semua janji yang dikemukakan dalam Bajet 2010, jika kerajaan tidak mempunyai asas bagaimana hendak menjana pendapatan negara?

Jika kita melihat kepada laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan yang 2008, hampir kesemua negeri-negeri yang ditadbir oleh BN hasil gabungan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya, dipertikaikan dengan begitu teruk sekali.

Asas yang paling besar akibat daripada kelemahan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN ialah, kegagalan menambahkan hasil negeri, sebaliknya membuat perbelanjaan luar jangka dan pembaziran, sehingga melebihi pendapatan.

Di kebanyakan negeri di bawah pentadbiran BN, semuanya menanggung hutang yang besar kepada Kerajaan Persekutuan, di samping mempunyai belanjawan atau bajet yang tidak seimbang atau defisit.

Akibatnya, BN yang mencanang kehebatan pemerintahan selama 50 tahun, semakin tidak dipercayai rakyat, kerana sebagai besar daripada Menteri Besar atau Ketua Menteri mereka, gagal menguruskan negeri dengan baik.

Perkara ini sama seperti di peringkat Pusat, jika kerajaan PM Najib tidak mampu menjana pendapatan, bagaimana kerajaan mahu melunaskan janji-janji pelbagai peruntukan dan insentif kepada rakyat?

Yang paling jelas data-data menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak stabil sebenarnya.

Selain daripada hasil minyak yang menguncup akibat kejatuhan ekonomi dunia, kadar eksport barangan keluar negara yang terjejas akibat kejatuhan Dollar Amerika Syarikat, pelabur-pelabur asing juga enggan memasuki pasaran Malaysia.

Dalam sesebuah negara yang demokratik dan berdaulat, pengaliran masuk pelaburan asing atau Foreign Direct Investment (FDI) amat penting, kerana ia melambangkan keyakinan pelabur ke atas sistem dan ketelusan kerajaan yang memerintah.

Sebaliknya di Malaysia, FDI terus menjunam. Data-data menunjukkan pelabur asing masih tidak mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan BN walaupun PM sudah bertukar.

Berpunca daripada kegagalan menjana pendapatan negara, maka pendapatan negara semakin merosot. Akibatnya kerajaan terpaksa mengurangkan belanjawan pembangunan, yang terpaksa diturunkan sebanyak 11.2 peratus.

Situasi ini sebenarnya, harus diperhatikan kerana ia amat membimbangkan. Jika pendapatan negara merosot, belanjawan tidak meningkat, ini bermakna kerajaan tidak dapat mempertahankan pertumbuhan pembangunan.

Justeru janji-janji pembangunan koridor, insentif dan sebagainya, masih lagi bersifat kosmetik, yang digunakan hanya untuk mencetuskan persepsi baik rakyat terhadap pemerintahan Kerajaan BN.

Salah satu aspek yang dicurigai rakyat ialah, bagaimana pemimpin-pemimpin Umno-BN, menggunakan kesempatan hasil daripada bajet yang memberi peruntukan kepada projek pembangunan, digunakan untuk diagihkan kepada kroni dan anak-beranak mereka.

Itulah yang berlaku sebenarnya. Di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, anak beranak beliau mempunyai beratus-ratus syarikat seperti yang tertera pada rekod Pendaftar Syarikat.

Di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, syarikat milik anak menantunya dan adik beradiknya, mendapat laba yang cukup besar daripada hasil kekayaan negara, sehingga anaknya Kamaludin Abdullah tersenarai antara bumiputera yang kaya di Malaysia.

Juga sekarang ini Najib memerintah, rakyat melihat syarikat yang dimiliki adik beradik dan sanak saudara beliau, sedang mengulangi apa yang berlaku di zaman Mahathir dan Abdullah.

Pada waktu ini, agak mustahil bagi Najib, untuk memastikan slogan 1Malaysia dapat terlaksana dengan baik, jika kerajaan pimpinannya masih bergelamang dengan elemen rasuah, mengekalkan perasuah sebagai pemimpin parti dan negara serta menyalahgunakan jentera kerajaan untuk pendakwaan terpilih?

Oleh itu jika pelabur enggan memasuki pasaran negara kerana tidak yakin ekonomi Malaysia akan dipulihkan oleh kepimpinan yang korup, maka rakyat juga harus berfikir banyak kali sama ada hendak mempercayai BN atau tidak.

Jawapannya, tinggalkan sahaja BN, pilihlah Pakatan Rakyat!_

Fitnah dan adat perjuangan

Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

SIAPA tidak kenal Prof Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fekah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara.Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini.

Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenalBeliau seorang ilmuwan dan pemikir yang telah mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.

Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal.

Ini kerana, apabila seeorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir, atau terancam.

Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh. Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencana ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan.

Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang.

Demikian Prof Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservertif Tanah Melayu dengan tuduhan ‘kaum muda’ dan ‘wahabi’. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki, atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.

Al-Imam Al-Bukhari

Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktaziah dan sesat, bahkan dikafirkan.

Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah.

Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan.

Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”.

Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”.

Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah.

Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand.

Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr).

Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana.

Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

Prof Hamka

Kembali kita kepada kisah Prof Hamka. Ramai yang tidak mengetahui sejarah perjuangan beliau dan ayahnya Haji Rasul. Pernah dituduh kafir, sesat, wahabi, kaum muda dan berbagai lagi.

Ini adalah resam kelompok yang menjaga kepentingan mereka, bimbangkan gerakan pembaharuan. Mereka bimbangkan kedudukan, aliran, jawatan, kepentingan dan pengaruh mereka hilang.

Saya cadangkan pembaca membaca buku karangan Prof Hamka yang sekarang sudah ada di pasaran kita yang berjudul ‘Ayahku’. Antara dalam buku berkenaan Prof Hamka mencerita bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916.

Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu. Hamka memetik kata-kata ayahnya: “Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.

Seterusnya Prof Hamka mengulas: “Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafi’i. (m.s 160). Prof Hamka menceritakan: “Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa...alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (m.s. 162).

Hasil perjuangan gerakan yang dituduh ‘kaum muda’ itulah yang membebaskan kejumudan pemikiran, kezaliman terhadap wanita oleh mahkamah syariah di Indonesia ketika itu.

Dalam buku berkenaan Hamka telah menceritakan kesempitan pandangan golongan agama yang jumud sehingga menyiksa wanita dalam kes-kes penceraian. Di bawah tajuk Nikah Si Kani (m.s. 171), Prof Hamka menceritakan perjuangan mereka menghadapi golongan pemikiran sempit. Namun, adat pejuang berbagai tuduhan dan fitnah dihadapi oleh ayahnya dan perjuangan mereka.

Kalimat ‘wahabi, kaum muda, keluar mazhab, sesat, kafir dan berbagai lagi menjadi mainan ulama-ulama ‘lama’ ketika itu dalam menghadapi gerakan tajdid dan pembaharuan oleh Prof Hamka dan ayahnya.

Bacalah!

Bacalah buku-buku perjuangan dan pengorbanan, ia akan memberikan rangsangan dan semangat kepada sesiapa sahaja yang ingin meneruskan agenda dakwah dan pembaharuan umat.

Sebab itu al-Quran mengubati perasaan Nabi s.a.w dengan kisah-kisah silam yang dapat menyedarkan tentang harga pengorbanan yang wajib dibayar dalam meneruskan agenda perubahan.

Firman Allah: (maksudnya) Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (Wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu. Dan jika perbuatan berpaling mereka (keingkaran mereka) itu terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil”. (Surah al-An’am, ayat 33-35).

Pertentangan akan berlaku, sudah pasti, para nabi pun tidak dapat mengelakkannya, namun perjuangan akan terus berlangsung di setiap zaman. Tiada siapa yang dapat mengubah tabiat sejarah, tetapi kita boleh memilih dalam sejarah siapa yang ingin kita berpihak!

Bn Silap Besar Mengharapkan Perpecahan Dalam PAS

Olh Angkasanuri

Siang malam pemimpin dan media Umno cuba melaga-lagakan pimpinan Pas. Mereka menggambarkan Pas kini telah berpecah. Sikap mereka berubah-ubah seperti keadaan cuaca yang tak menentu sekarang. Misalnya sebelah siang mereka boleh memuji-muji Presiden dan Mursyidul Am Pas dan malamnya boleh berpusing 360 darjah dengan digantikan tomhmahan dan kejian.

Sebenarnya mereka cuba mengalih isu dan perhatian rakyat dari isu yang berlaku dalam Umno@BN dan juga dalam negara. Dalam masa yang sama dapat mengelakkan rakyat dari membicarakan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan Umno@BN seperti yang didedahkan laporan Audit Negara baru-baru ini.

Jika Umno atau yang sewaktu dengannya mengharapkan Pas akan berpecah dengan isu yang berlaku ternyata mereka silap besar. Mereka yang bercakap tentang perpecahan yang kononnya sedang berlaku dalam Pas ialah mereka yang tidak memahami dasar dan perjuangan Pas. Pas berjuang dan berdiri gagah hari ini dalam persada politik negara kerana teras atau dasar perjuangan Pas. Pemimpin Pas boleh datang dan pergi. Pas biasa mengalami pasang surut dalam arus politik negara. Tetapi bagi pejuang dan pimpinan Pas mereka sanggup mempertaruhkan nyawa sebagai galang ganti untuk memastikan kesinambungan perjuangan mencontohi perjuangan Nabi SAW untuk menegakkan sistem keadilan dan pemerintahan yang berteraskan lunas-lunas Islam terlaksana.

Sejarah telah membuktikan ramai pimpinan Pas yang sanggup dipenjara dan mengalami pelbagai deraan fizikal dan mental tetapi untuk berundur dari perjuangan atas nama mana-mana individu adalah tidak sama sekali.

Apa yang berlaku hari ini sebenarnya ialah 'isu-isu teknikal' iaitu mencari bagaimana mekanisme, teknik atau kaedah yang terbaik yang difikirkan oleh pimpinan Pas untuk melenyapkan Umno daripada peta politik di negara ini.

selain itu, apa yang berlaku dalam Pas hari ini adalah satu lagi proses tarbiyyah untuk memantapkan perjuangan Pas agas terus kekal dan relevan agar terus subur membawa mesej Islam dan suara dakwah kepada ummah di negara ini. Kecintaan kepada perjuangan Islam mengatasi segala-gala kepentingan peribadi. Ujian adalah sebahagian pra syarat terhadap perjuangan Islam. Ujian ini akan menjadikan Pas akan bertambah gagah dalam misi dan visi untuk menumbangkan Umno@BN daripada terus rakus menipu dan menindas rakyat. Mehnah ini akan memantapkan iltizam dan ikrar untuk memastikan Umno akan ditalkinlkan dalam pilihanraya umum akan datang.

http://angkasanuri.blogspot.com

Bersihkan kala jengking di dalam PAS


Oleh Afrar Yunus

Depa kata ada kala jengking di dalam PAS. Merayap masuk kot mana ?Lantaran isu kala jengking ini, ada orang kata rupa-rupanya UMNO ni sayang pada PAS. Sayang betoi-betoi atau sayang buat-buat, itu soal dia.Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri mengambil berat lalu memberikan komen,

Zahid Hamidi pun komen dan ramai lagi memberikan pandangan masing-masing tentang masa depan PAS ekoran kenyataan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang mahukan EGM diadakan bagi membersihkan dua tiga kerat pecinta kerajaan perpaduan yang dok 'merayap' dalam PAS (macam kala jengking ?)

Molek benarlah samada EGM atau mesyuarat khas diadakan bagi tujuan itu.

PAS dirasakan tidak memerlukan orang macam Muhyiddin Yassin yang dikaitkan dengan banyak 'kehaprakan' ketika mentadbir Johor dan Zahid Hamidi yang cukup banyak bermasalah.


Bersihkan kala jengking macam depa yang dok merayap dalam PAS supaya aroma seperti itu tak berbau lagi di dalam parti berkenaan.


Jangan Nyalakan Api Fitnah

Fitnah adalah satu malapetaka yang membinasakan . Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh .Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti , pra sangka tanpa asas dan persepsi yang salah . Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang - kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain

3. Ia juga seperti harimau yang sedang tidur . Sesiapa sahaja yang mengejutkannya dari tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas dan menerkam . Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah , ia akan menyala dan menyambar .

4. Fitnah jua boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi . Lantaran itu , berhati - hatilah kerana fitnah adalah agenda syaithan yang pastinya ingin melihat para pejuang Islam berantakan sesama sendiri .

5. Semoga kita dipelihara oleh Allah swt daripada kebinasaan ini . Jauhi fitnah malah jangan sekali - kali berjinak - jinak dengan fitnah . Jika ingin membuat tuduhan , pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas . Jika mahu mengandai atau menyangka , pastikan andaian atau sangkaan itu baik . Jika mahu membentuk persepsi , bentuklah persepsi yang tepat dan benar .

6. Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan . Meskipun wujud perbedaan pandangan dan kelainan tindakan dikalangan anggota jamaah , ianya tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah . Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam .

7. Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali - sekali membentuk sikap dan fikiran semata - mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula .

8. Padam segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara . Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak , sebaliknya jamaah akan binasa , anggota jamaah akan berpecah , masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah swt akan murka .

9. Atas nama Allah swt kita bersyahadah , kitab suci al Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita , maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini . Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agent - agent musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam .

10. Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim . Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak . Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya . Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam .
http://episodeperjuangan.blogspot.com/
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut