Detikdaily

Selasa, 24 November 2009

20 tahun PAS perkenal persepsi positif

Oleh Lanjusoh

HAMPIR 20 tahun lalu, tidak ramai orang mempercayai seorang ulama yang berserban dan berkain pelikat muncul sebagai pemimpin yang dikenali hari ini.Ketika itu ramai mengenalinya sebagai ustaz. Tubuhnya agak kecil, namun misi dan visinya melangkau jauh merentasi sempadan negeri. Sekali berjumpa dengan orang ramai pastinya diingatkan kepada soal dosa dan pahala.

"Ada kehidupan selepas alam dunia sekarang. Ketika itu duit tidak ada nilai lagi. Cuma yang dapat membantu kita ialah pahala," kata pemimpin itu setiap kali memulakan ceramah.

Kelainan dicetusnya ketika menyampaikan kuliah. Beliau tidak perlu menunggu selepas solat Maghrib untuk berkuliah. Setiap kali selepas mengimamkan solat fardhu, takzirah perkara pertama yang disebutnya.

Itulah kelainan dibawa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik sejak 22 Oktober 1990. Tanggal 21 Oktober 1990 masih diingati gelombang seumpama tsunami membandai Kelantan. Kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dirampas PAS dengan rakan gabungan dalam Angkatan Perpaduan Ummah, iaitu Semangat 46.

Umno dan Barisan Nasional gagal mempertahankan sebarang ‘zuriat’ ketika itu. Begitu juga di peringkat parlimen. Kemunculan PAS bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim membuat BN kehilangan tapak di bumi Kelantan.

Tsunami politik ketika itu lebih hebat membandai berbanding Pilihan Raya Umum 1999 dan 2008 di Kelantan.

Bermula dari situlah slogan 'Membangun Bersama Islam' mulai menjadi buah mulut rakyat. Islam diperkatakan dalam setiap sudut dan ruang. Di tepi-tepi jalan mulai kelihatan perkataan yang bertulis 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahuakbar'. Papan tanda itu didirikan di tepi-tepi jalan di mana-mana sahaja.

Kerajaan negeri juga memperkenalkan dasar pentadbiran berteraskan kepada prinsip ubudiah (perhambaan), mas’uliah (akauntabiliti) dan itqan (akhlak).

Matlamat pembangunan bagi mencapai keseimbangan, memaju dan membangun sumber manusia, mengoptimumkan pengeluaran, tingkatkan kualiti hidup ke arah kesejahteraan hidup rakyat. "Langkah pertama yang saya lakukan sebagai ketua kerajaan negeri ialah memindahkan simpanan kerajaan negeri dari akaun riba kepada Bank Islam.

"Tindakan saya itu telah mengundang kemarahan tauke-tauke bank konvensional sehingga mereka datang berjumpa saya. Dan hari ini perbankan Islam berkembang pesat di seluruh negara," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Pencapaian lain termasuk mewujudkan sistem pajak gadai Islam (Ar Rahn), menutup premis judi, mengawal penjualan arak, mengharamkan konsert, menubuh Tabung Serambi Mekah, Tabung Tok Kenali, mengamalkan cuti dua hari seminggu, melantik penghulu wanita, menguatkuasa etika berpakaian Islam di premis perniagaan.

Melarang papan tanda memperagakan wanita tanpa tutup aurat, meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan, memperkenalkan bangunan berciri senireka Islam.

Selain itu, menubuh Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Maahad Tahfiz Al Quran, Maahad Tahfiz Sains, Pusat Pembanguan Pondok Bhd dan Kolej Pondok Darul Naim.

Dan beberapa tahun lalu memperkenalkan skim Takaful Kifaalah, Takaful Armalah, program Rumah Dhuafat, Dinar Emas Kelantan dan menggalakkan penanaman pokok depu.

Manakala program yang tidak kelihatan di negeri lain namun ada di Kelantan termasuk sambutan Hari Hudud, program Bulan Sembahyang dan Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Segala dasar tersebut sebati di jiwa rakyat. Dan hari ini Kelantan menyambut ulangtahun ke-19 berada di bawah pentadbiran PAS. Ini bermakna sudah 19 tahun ulama menerajui sebuah kerajaan negeri.

Sedangkan sebelum itu, kebolehan ulama memimpin atau mengepalai kerajaan tidak dibuktikan. Sebagai meraikan kejayaan itu pada 15 November lalu diadakan program ceramah perdana. Program itu bermula dengan solat Maghrib yang diimamkan mudir Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong, Ustaz Mansor Daud. Kemudian diadakan kuliah Maghrib oleh Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustafa.

Menteri Besar pula mengimami solat Isya. Selepas itu diadakan solat hajat yang diketuai Ustaz Hussin Ibrahim dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Program berkenaan mencatat sejarah apabila mempertemukan pemimpin utama Pakatan Rakyat di satu pentas. Kehadiran Penasihat Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjaya memancing ribuan penduduk tempatan hadir.

Dewan besar Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Begitu juga di bahagian luar. Mereka yang datang lewat terpaksa meletakkan kenderaan sehingga 1 km dari bangunan Putik.

Kedatangan yang begitu ramai itu menandakan mereka sayangkan kerajaan PAS. Mereka mendokong pemimpin ulama yang ternyata berjaya membawa Kelantan sehingga dikenali di peringkat global.

Kit Siang menyifatkan kerajaan Kelantan cemerlang sehingga berjaya mengekalkan kerajaan lima penggal berturut-turut.

"Ini merupakan satu Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi kerajaan PAS di Kelantan kerana berjaya mempertahankan kerajaan sehingga lima penggal.

"Kejayaan ini menjadi satu momentum bagi membolehkan Pakatan Rakyat meneruskan cabaran melangkah gagah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang," katanya diiringi laungan takbir orang ramai.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak memberi wang ihsan kepada Kelantan, sedangkan apa yang termaktub dalam perjanjian ialah royalti minyak.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien pernah mengakui Kelantan ada hak mendapat royalti 5 peratus setahun sekiranya ada minyak sama ada di laut atau darat buminya. "Itu janji Tun Razak yang masih lagi tercatat dalam hansard parlimen. Hak rakyat Kelantan perlu dikembalikan kepada mereka," katanya.

Dato' Seri Abdul Hadi Abdul Hadi Awang pula berkata, rakyat Kelantan paling cerdik di negara ini kerana berani membuat perubahan politik sejak 19 tahun lalu. Katanya, rakyat di negeri-negeri lain perlu belajar daripada keberanian rakyat negeri ini merubah minda.

"Selepas hampir 19 tahun kemudian barulah rakyat di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah mengikutnya dengan membuat perubahan politik," ujarnya.

Anwar pula dalam ucapannya mendesak Kerajaan Pusat patuh kepada undang-undang dengan memulang royalti minyak kepada Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sepatutnya Kelantan yang memberi wang ihsan daripada hasil minyak kepada Kerajaan Pusat dan bukan pusat memberi ihsan kepada Kelantan. Ini kerana hasil minyak itu milik Kelantan kerana didapati di bumi negeri ini.

"Sepatutnya kita yang bagi ihsan kepada pusat kerana minyak tersebut milik kita. Kita tidak halal kerana duit tersebut milik rakyat negeri ini," ujarnya.

Beliau juga memberi contoh pengurusan duit ihsan di Terengganu mengundang banyak bangunan yang dibina runtuh seperti bumbung stadium dan masjid. Tahun depan Kelantan bakal merayakan sambutan ulangtahun ke-20.

Ini bermakna 20 tahun Umno gagal dalam misi menawan Kelantan. PAS terus mencengkam ke akar bumi Serambi Mekah

Rabu, 18 November 2009

'BN Menang (di Kedah), Kroni Kenyang'

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

BN melancarkan slogan baru dalam usaha menawan kembali Kedah dari Pakatan Rakyat. Slogan yang berbunyi "BN Menang, Kedah Senang" itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Gerak Mesra 1Malaysia yang diadakan di kawasan Dun Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Muhyiddin turun ke Kedah, kononnya untuk lawatan kerja atas sifatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tetapi semua program yang terkandung dalam Majlis Gerak Mesra 1Malaysia adalah program politik yang visinya ialah untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Shafie Apdal juga hadir dan berucap selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah. Muhyiddin dan Shafie berucap di hadapan orang ramai bagai sebuah rapat umum politik.

Program itu diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Kedah, sebuah agensi pusat yang ditubuhkan di negeri ini kononnya bagi menyelaraskan pembangunan setelah pentadbiran negeri ditadbir Pakatan Rakyat.

Jemputan rasmi oleh Jasmaliza Jamaludin bagi pihak Pengarah Kemajuan Negeri Kedah, dihantar kepada semua jabatan meminta kehadiran 10 orang pegawai atau kakitangan bagi setiap jabatan. Jabatan Pelajaran juga meminta setiap sekolah menghantar 20 wakil. Begitu juga lain-lain jabatan. Rakyat dikerah untuk hadir dengan umpan cabutan bertuah yang pelbagai serta persembahan artis. Bukan kerana nak dengar pidato Timbalan Perdana Menteri.

Majlis Gerak Mesra 1Malaysia adalah program politik, medan pemimpin Umno memaki hamun PAS tetapi digerakkan oleh PPN yang merupakan sebuah jabatan kerajaan di mana pegawai dan kakitangannya dibayar gaji dari duit rakyat; termasuk cukai yang dikutip dari ahli-ahli PAS. Kos membiayai program tersebut juga ditanggung oleh kerajaan. Mereka langsung tidak rasa berdosa, makan duit gaji yang dibayar oleh rakyat tetapi melakukan kerja untuk parti politik.

Tiada bezanya dengan perangai RTM Kedah yang setiap siaran berita menyiarkan kegiatan Umno sebagai laporan utama, walhal Umno di Kedah sama tarafnya dengan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Sejak dulu pun Umno sebagai sebuah parti politik tidak perlu bekerja keras untuk memenangkan parti mereka dalam pilihanraya. Jabatan kerajaan yang dijadikan lembu tunggangan.

Setelah separuh abad merdeka, mengapa semua penyalahgunaan itu masih berlaku? Sebabnya BN belum kalah di Pusat. Akibat terlalu lama berkuasa, mereka merasakan semua khazanah kekayaan negara adalah hak milik mereka. Pegawai kerajaan dianggap sebagai peon pejabat Umno.

Inilah bahananya jika sesebuah parti itu diberi kuasa memerintah terlalu lama. Keburukan (akibat terlalu lama berkuasa) inilah yang perlu diberitahu kepada setiap rakyat yang mempunyai akal fikiran supaya kewarasan yang mereka miliki dapat digunakan sebaiknya untuk menolak BN.

Jika sekali mereka kalah, jadi macam pentadbiran kerajaan negeri Kedah sekarang. Pegawai-pegawai tidak perlu bersusah payah melakukan kerja untuk parti politik. Ini hujah yang kuat mengapa Umno perlu dikalahkan di Pusat, walaupun untuk sekali.

Mungkin ada juga segelintir yang gemar melakukan kerja politik, lantaran tebalnya jatidiri Umno dan masih setia bertuankan pemimpin Umno tetapi ia cuma kes eksklusif, bukan gambaran keseluruhan.

Ada yang menghubungi saya meminta didedahkan kakitangan tertentu dalam kerajaan atau GLC yang sengaja mensabotaj imej kerajaan negeri dengan beberapa tindakan tertentu. Saya menjelaskan setakat ini tidak perlu, kerana Menteri Besar lebih bijak mencatur politik.

Hasil sikap tidak gelojohnya, ada beberapa individu yang cuba mengkhianati kerajaan sudah terjun dengan labu-labunya.

Sebuah akhbar harian primitif yang menjadi lidah rasmi Umno, menyiarkan sebuah artikel kononnya kekecewaan pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah (KCS) kerana dipinggirkan oleh Pusat. Pentadbiran negeri mempunyai mekanisme yang sudah established untuk penyaluran pembangunan supaya sampai terus kepada sasaran iaitu rakyat jelata.

Rangkaian pentadbiran di Kedah wujud lebih lama dari pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tetapi lantaran sikap angkuh dan bebal pemimpin Kerajaan Pusat kerana pentadbiran negeri yang tidak sealiran dengan mereka, salurannya dilencongkan kepada rangkaian baru yang kebanyakannya melibat kepimpinan Umno negeri.

Dari segi amalan, saluran kewangan yang banyak dibuat melalui rangkaian Umno adalah "sangat baik" kerana ia mempercepatkan keruntuhan mereka. Duit dan perebutannya adalah peluru terbaik untuk menghancurkan Umno. Mati semut kerana gula, mati Umno kerana duit.

Dalam usaha mengambil kembali pentadbiran Kedah, BN sudah mula memukul canang "BN Menang, Kedah Senang". Kira-kira macam pelancaran Gelombang Biru di Terengganu selepas pilihan raya umum ke-11 lalu. Malangnya gelombang buatan di Kedah nampaknya belum menjadi.

Separuh abad BN memerintah Kedah, masih ramai rakyat yang dicengkam kemiskinan. Media massa saban hari menyiarkan kedhaifan rakyat dengan rumah dibuat dari dinding dan lantai buluh atau kayu-kayu hutan, terutama didaerah pendalaman seperti Baling, Sik dan Padang Terap. Kononnya atas keprihatinan terhadap penderitaan rakyat, media tersebut juga melaporkan YB, Pemuda atau Puteri Umno turun membantu. Mereka terhegeh-hegeh datang dengan beras, gula dan kopi.

Walhal yang sepatut dilakukan oleh BN sebagai pemerintah di Pusat ialah mempastikan tiada lagi rumah berlantai dan berdinding buluh. Kewujudan rakyat miskin di Kedah tidak bermula dari 9 Mac 2008. Berpuluh tahun golongan tersebut jarang merasai senang. Mengapa selepas BN jadi pembangkang di Kedah baru parti rasuah itu datang menjanjikan kesenangan?

Ternyata pertukaran kerajaan dari BN ke Pakatan sekarang pun tiada membawa kesusahan kepada rakyat, sebaliknya pemimpin BN yang 'susah'. Hilang banyak sumber pendapatan. Jika BN menang, tentulah juak-juak tersebut yang kenyang. Maka slogan "BN Menang, Kedah Senang" sepatut ditukar kepada "BN Menang, Kroni Kenyang".

Selasa, 17 November 2009

BN Dah Lama Menang Tapi Kedah Tak Senang,Senang Pun

Oleh MOHD FIRDAUS JAAFAR

BN DAH LAMA MENANG, KEDAH TAK SENANG-SENANG PUN. Sepatutnya itulah slogan yang Umno Kedah kena lancar pada 12 November yang lalu. Nak nafi apa lagi? Hakikatnya BN dah menang dan perintah Kedah lebih 50 tahun dulu, sejak Malaysia masih lagi Tanah Melayu. Pasai apa selama 51 tahun tadbir Kedah, Umno tak dak usaha untuk senangkan rakyat di negeri jelapang padi ini? Ramai rakyat Kedah tergolong dalam kategori orang susah, tak senang-senang dari dulu sampai la ni.

Bila PR ambil alih perintah Kedah Mac 2008 lalu, lepas wakil-wakil rakyat dPR membuka pusat khidmat, ramai yang pakat terkam pusat khidmat dan mohon bantuan itu dan ini, ada yang nak mohon bantuan JKM, ada yang nak mohon zakat, ada yang nak mohon perbaik rumah dan tak kurang juga yang mintak duit buat belanja harian.

Majoriti yang memohon masa tu adalah orang Umno yang susah lama dah, susah zaman Umno dan BN perintah lagi. Kita tanya pasai apa tak mohon sebelum ni? Jawapannya, dah mintak tapi..... depa pun tau walaupun ahli Umno tapi bukan kroni, susah macamana pun payah nak dapat bantuan.

Umno boleh ambik data permohonan bantuan untuk rakyat susah dengan agensi-agensi seperti JKM, Pejabat Zakat, Pejabat Daerah atau apa-apa agensi yang iktiraf wakil rakyat PR. Mula dari April 2008 sampai ke hari ini bertimbun permohonan yang dah dibuat, ada permohonan yang dah lulus dan ada lagi yang masih dalam proses.


Rakyat Kedah sepatutnya dah lama senang kalau Umno/BN tak menyeleweng hasil negeri. Buktinya laporan audit 2008, tak sampai setahun memerintah kerajaan PR di bawah Dato' Seri Ustaz Azizan boleh tingkatkan hasil negeri sebanyak 205%. Itu baru 9 bulan, kalau genap setahun tentu boleh cecah 275%. Guna formula paling senang, 275% kali dengan 50 tahun, tentu banyak hasil negeri kalau Umno/BN tak seleweng dulu, rakyat Kedah tentu dah senang.

Umno/BN kena malu la sikit kat Ustaz Azizan, dok tak duduk mai nak bagitau rakyat Kedah akan senang lenang kalau BN menang. Nah ambik pantun 2 kerat ni...

Wanita Umno pakai tudung merah
Piiiiiiiiiiiiiiiiiirrrrrrrrrraaaaaaaaahhhhhhhhh

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.Arahan itu dibuat oleh hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin ..Menurut hakim itu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker Dun Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Menurut beliau, peguam plaintif (Speaker Dun Kedah) telah berjaya membuktikan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif, Adun Kota Seputeh telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hasan (gambar) hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini, Speaker menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun Kedah yang sah.

Mengulas mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pegawai undang-undang SPR perlu meneliti secara terperinci desakan dibangkitkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 18 Ogos lalu Abd Isa meminta SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong atas alasan Abu Hasan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tahun ini.

Peguam bagi Speaker, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong.”

Abu Hasan tidak hadir pada sidang 19 April dan kemudian pada 9 Ogos tanpa izin Speaker.

Sulaiman berkata, Abu Hasan tidak menafikan fakta itu.

“Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kemudian perjalanan undang-undang ialah Artikel 51, di mana kerusi itu dengan sendirinya menjadi kosong,” kata Abdullah yang juga bekas Presiden Majlis Peguam di mahkamah sebelum ini.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Abu Hasan agar terus menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan hari ini.

Katanya, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.

“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar.

Muhyiddin berkata, Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.

Abd Isa baru-baru ini berkata, beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun kawasan Kota Seputeh.

Semasa kempen Bagan Pinang baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengajak penyokong PAS dan Pakatan Rakyat ke Kedah pula untuk pilihan raya kecil Kota Seputeh.

"Ada pemimpin Umno kata saya membazir apabila melantik ramai peguam untuk kendalikan kes ini. Saya kata, saya rela membazir dari membayar gaji Adun yang malas (tidak hadir sidang Dun)," kata Azizan.

Presiden PAS Yang Cool

Oleh DINSMAN

Saya nak sambung sikit tulisan Isnin lepas. "Orang-orang politik jangan sombong dan angkuh." Saya mulakan tulisan itu dengan paragraf pertamanya: "Tak sangka rupa-rupanya perkara itu begitu serius. Nasib baiklah Tok Guru Nik Aziz meletupkannya cepat. Kalau tidak, semua orang pakat duk sembunyikan benda-benda yang mereka tak suka itu, dengan anggapan ia hanya perkara kecil. Rupa-rupanya ia bukan lagi perkara kecil."

Dan respons kepada tulisan itu, yang kebetulan juga selepas berlangsungnya Seminar Khas PAS itu, rupa-rupanya lebih daripada apa yang saya tak duga dulu itu. Ingat mulanya ia tidaklah begitu serius. Tetapi rupa-rupanya ia betul-betul serius. Sana sini orang menyatakan kekecewaan dan harapan yang telah pudar dan patah. Aduuh!...

Berbagai aduan dan cerita terus sampai lagi kepada saya. Bukanlah nak percaya begitu saja kepada semua yang disampaikan itu, tetapi kebanyakannya adalah pengukuhan kepada apa-apa yang memang kita sendiri pernah alami dan temui. Cerita-cerita kekecewaan dan kehampaan orang-orang yang mengharapkan PAS dan KeADILan benar-benar tidak serupa dengan Umno.

Sekali apabila harapan rakyat itu telah pudar dan patah, hendak mengembalikannya semula kepada keadaan yang baik seperti sebelumnya, atau dengan kata yang sering digunakan sekarang – hendak 'memperkasakannya' semula, bukanlah satu kerja mudah. Tidak cukup dengan menganjurkan seminar, dan tidak cukup dengan menganjurkan konvensyen. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak langkah pimpinan di depan, rakyat di belakang mulalah bercempera mencari 'ikon' baru tempat mengadu.

Apabila orang awam mula berkata: "Sama sajalah, PAS-kah, KeADILan-kah, Umno-kah, semuanya sama. Belum menang rakyat didahulukan. Bila dah menang semua nak berebut kuasa. Harapan rakyat tidak dipedulikan lagi."

Betul. Saya bersetuju dengan Lim Hong Siang (editor MerdekaReview versi Melayu) yang mengatakan "PAS bukan takut menang, tapi gagal uruskan kuasa". Baru sahaja mendapat sebahagian daripada kemenangan yang diperjuangkan, pihak pimpinan sudah menunjukkan 'warna' keikhlasan kepimpinan mereka yang mengundang kecurigaan di kalangan rakyat yang menaruh harapan menggunung kepada mereka.

Saya juga berfikir panjang dengan kenyataan Zolkharnain Abidin (bongkarsauh.blogspot) yang pulang dari Seminar Khas itu dengan membawa kehampaan, kerana katanya seminar itu "mengulangi komitmen-komitmen lama yang memang telah diketahui umum". Atau barangkali 'persepsi' Zolkharnain itu salah? Saya tak tahu, sebab saya tak hadir dalam seminar itu, makanya saya berfikir panjang membaca kenyataannya.

Seorang YDP kawasan bertanya saya, "Apa sebenarnya tujuan seminar itu?" Saya tanyakan dia semula, "Ustaz tak pergikah?" Dia jawab dia pergi. Ah, saya tak pergi ...

Apa pun, alhamdulillah, orang ramai mulai berfikir secara serius akan masalah yang sedang kita hadapi. Itu tanda-tanda dan ciri-ciri baik bagi sebuah masyarakat. Dan paling saya gembira ialah apabila Prof Dr Aziz Bari yang mengkritik Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang begitu keras itu, diundang pula untuk menyampaikan pandangannya dalam seminar itu.

Tak usah fikir lainlah. Fikirkan kalau yang Aziz Bari kritik itu bukan Presiden PAS, tapi Presiden Umno. Apa akan jadi? Mungkinkah Umno akan undang Aziz Bari membentangkan pandangannya dalam seminar khas Umno? Saya tak fikir itu boleh berlaku dalam Umno. Sebaliknya Aziz Bari mungkin akan kehilangan jawatannya di Universiti Islam Antarabangsa.

Maka untuk itu saya fikir kita patut mengucapkan syabas kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Jelas dia seorang yang berhemah tinggi dan berjiwa besar. Teladan yang ditunjukkan itu, kita harap, akan menyemarakkan lagi ciri-ciri demokrasi dan kebebasan bersuara dalam PAS.

Tak mengapalah dengan kekecewaan dan kehampaan yang masih wujud di kalangan rakyat di sana sini. Itu tandanya harapan masih ada. Hanya kita perlulah memberikan perhatian yang lebih bersungguh-sungguh kepadanya. Yang terjadi telahpun terjadi. Kita terimalah realiti dan fakta itu, dan kita bekerjalah bagi mengembalikan semula harapan dan kepercayaan rakyat kepada kita

Bukan saja PAS. KeADILan pun sama. Sana sini timbul masalah "pemimpin yang bermasalah". Mula di Perak, kemudian di Pulau Pinang, kemudian di Kedah, dan sekarang di Selangor pula. Maka saya pun jadi terfikir juga - apakah ini semuanya terjadi secara kebetulan, atau kerana salah pimpinan masing-masing (PAS dan KeADILan), atau sebenarnya ini semua terjadi akibat daripada usaha 'underground' pihak Umno?

Saya terfikir begitu kerana saya dan kawan-kawan tidak mahu percaya bahawa para pimpinan peringkat atasan PAS boleh begitu mudah menimbulkan "masalah-masalah" itu. Kita macam tidak percaya? "Eh, takkan mereka boleh berfikir macam itu?"

Maka itulah kami pun berfikir bahawa "masalah" yang sedang berlaku dalam Pakatan Rakyat sekarang ini, ada kemungkinannya sebagai akibat daripada usaha halus dan tersembunyi di pihak Umno-BN. Mereka "membaca" di mana tersembunyinya kelemahan-kelemahan pihak yang memimpin PAS dan KeADILan sebagai manusia (kerana manusia itu mesti ada lemahnya), lalu mereka membuat serangan secara tersembunyi di sebalik helah-helah yang kelihatannya "baik" dan "lebih baik", demi untuk "Islam dan Melayu" – konon!

Tidak salah kita berfikir begitu. Kemungkinan itu memang ada. Bahkan saya lebih cenderung mempercayai kemungkinan itu. Memang kita boleh ketawa dengan slogan retorik Perdana Menteri Najib – Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Tetapi kita jangan pandang remeh dan lekeh kepada pemikiran dan strategi di belakang slogan itu.

Ketika harapan rakyat penyokong Pakatan Rakyat mulai pudar dan patah, tidak mustahil sebahagian mereka akan 'termakan' dengan slogan retorik itu. Sebab: kalau PAS dan KeADILan pun sama saja dengan Umno-BN, lebih baiklah sokong Umno-BN, dah tentu mereka lebih mampu untuk menolong rakyat, kerana mereka banyak duit.

Ha, kalau rakyat sudah berfikir seperti itu, bahaya besar. Bukan bahaya kecil, tapi bahaya besar. Maka eloklah kita cepat-cepat menyedarkan sesama kita, seperti yang disarankan al-Quran (surah al-'Asr), supaya kita sering ingat-mengingati, nasihat-menasihati.

Dan jangan cepat marah kalau orang menegur dan mengkritik kita. Jangan cepat melenting dan menuduh orang nak sabotaj kita. Contohi Presiden yang cool dan sabar mendengar orang mengkritiknya. Sekali lagi syabas Tuan Guru!


----
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 0136362408

Khamis, 12 November 2009

'Orang politik jangan sombong dan angkuh'

Oleh DINSMAN

Tak sangka rupa-rupanya perkara itu begitu serius. Nasib baiklah Tok Guru Nik Aziz meletupkannya cepat. Kalau tidak, semua orang pakat duk sembunyikan benda-benda yang mereka tak suka itu, dengan anggapan ia hanya perkara kecil. Rupa-rupanya ia bukan lagi perkara kecil.

Selepas ia dipecahkan oleh Tok Guru Nik Aziz, barulah semua orang nak mengaku, barulah semua orang nak bercerita, barulah semua orang nak buka rahsia, dan saya pun menerima bermacam-macam aduan melalui SMS, emel dan telefon.

Memang kita tak menduga ia seserius itu. Nampak di permukaannya macam biasa saja. Nampak airnya tenang. Ada sedikit berolak dan berkocak di sana-sini sekali-sekala, itu biasalah. Lebih-lebih lagi selepas musim kemenangan. Ada yang terlebih gembira sikit. Ada yang mulai khayal dengan kesenangan dan kebendaan. Ah, manusia ...!

Makanya ramai juga yang jadi melenting dengan tindakan Tok Guru Nik Aziz itu. Tak dinafikan saya pun terima banyak juga reaksi yang marah kepadanya dan menuduhnya melalut dan meminta dia melepaskan jawatan dan sebagainya. Tapi, lebih banyaklah lagi yang bercerita dan membuka rahsia-rahsia buruk yang selama ini dipendamkan.

Seseorang dari Seri Gombak misalnya menelefon saya mengadukan cerita yang berlaku setahun yang lalu.

Rumahnya kena pecah dan dimasuki perompak, dan isterinya kena tetak hingga hampir putus tangan. Ketika isterinya di hospital hampir satu bulan, tidak ada seorang pun pemimpin parti atau wakil mereka datang menjenguk.

Dia sendiri berjumpa dengan seorang tokoh pimpinan di kawasannya selepas tokoh tersebut berpidato penuh semangat di hadapan ribuan penyokong, dan dia menceritakan peristiwa yang menimpa keluarganya itu, dengan harapan tokoh itu akan datang menziarahi isterinya di hospital.

"Kita bukan nak minta duit," katanya, bercerita melalui telefon kepada saya.

Lalu terhamburlah cerita yang dia pernah bekerja untuk parti, menampal poster, memasang bendera, membawa makanan kepada jemaah yang bekerja di musim kempen pilihan raya, dan macam-macamlah.

"Waktu kempen pilihan raya," katanya, "habis semua orang tua, orang yang uzur, orang yang sakit, kita cari hingga ke hujung-hujung kampung, untuk tunjukkan keprihatinan kita dan parti kita. Tapi selepas menang, kita beritahu sendiri ke telinga dia pun dia tak datang!"

Cerita itu berlaku lebih setahun yang lalu. Tetapi kenapa tiba-tiba dia perlu menceritakannya lagi, sekarang? Dan itu hanya satu daripada puluhan cerita dan aduan yang saya terima dalam tempoh yang singkat selepas ledakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu.

Beberapa orang pula bercerita tentang tokoh-tokoh yang sudah pandai hidup bergaya, lupa pada cara hidup serba sederhana sebelum menjadi YB dulu. Jemput berceramah pun kalau orang tak ramai dah tak mahu datang. "Tanya pula, dah dapat permit? Dulu tak peduli pun itu semua."

Ada pula tokoh tu, kalau naik kapalterbang mesti kelas satu atau business class! (Ha, terkejut kau!) Buat rumah banglo baru lagi. Ah, macam-macamlah, hal-hal yang negatif begitu. Saya pun malaslah nak ceritakan semula. Anda tahulah apa yang saya maksudkan.

Maka saya merumuskan - Nasib baiklah Tok Guru Nik Aziz meletupkannya cepat. Seperti saya kata dalam tulisan lalu: "Lebih baik ia ribut sekarang daripada ia ribut tahun depan."

Betul! Bukan tujuan nak menyalahkan sesiapa. Cuma ... Lihatlah! Buka mata, buka telinga, dan dengarlah apa yang rakyat bawahan nak cerita. Memang mereka nak bercerita sekarang. Dulu mereka sanggup pendamkan rahsia-rahsia yang kurang enak mengenai pemimpin mereka. Tetapi hari ini tidak lagi. Hari ini mereka mahu bercerita. Maka dengarlah!

Dengarlah luahan rasa orang-orang di bawah yang sebahagian mereka ada yang sudah jadi bosan dan meluat disebabkan terlalu keliru dan sebagainya, hinggakan ada yang nak keluar parti pun. Janganlah pula kita sendiri yang keliru disebabkan terpesona dengan kemenangan, hingga mahu menganggap suara-suara dari bawah ini semuanya remeh dan tak perlu diambil kira.

Bagi saya, seperti yang saya sebut dalam tulisan dulu: "Ini suatu saat yang genting dan mencabar. Tiap gerakan atau organisasi perjuangan akan ada saat ujian yang sebegini. Menguji kebijaksanaan kepemimpinan, untuk menghadapi cabaran yang lebih besar di hadapan. Ada hikmah-Nya, untuk PAS (satu-satunya wadah untuk Islam didaulatkan di negara ini) menjadi lebih kukuh dan mantap."

Tak mengapa. Jangan takut menghadapi krisis. Dan jangan takut mendengar tuduhan, aduan, kekecewaan, kemarahan dan sebagainya itu. Ini semua adalah tanda-tanda parti yang sedang membesar dan menjadi dewasa. Kalau tak mahu ada krisis seperti ini, apakah kita lebih suka melihat 'satu-satunya wadah untuk mendaulatkan Islam di negara ini' terus kekal sebagai parti yang kecil untuk golongan tertentu sahaja?

Saya dan kawan-kawan seniman-budayawan-cendekiawan – kami bukan orang politik. Tetapi kami adalah pemerhati yang mempunyai komitmen dengan kebudayaan, kesenian dan ketamadunan bangsa dan negara (yang sebenarnya tidak boleh dipisahkan dengan politik).

Golongan ini (seniman-budayawan-cendekiawan) sebenarnya mempunyai peranan tersendiri dalam perjalanan hidup bangsa dan negara. Inilah mesej yang selama ini cuba dihantar oleh golongan ini kepada orang-orang politik, agar dapat dijalinkan persefahaman, demi untuk mewujudkan kehidupan yang lebih jernih dan bererti.

Tetapi sayangnya kami masih mendapati orang-orang politik itu kebanyakannya terlalu angkuh dan sombong (apalagi selepas menang), hingga bukan sahaja mahu menafikan kepentingan golongan 'budayawan' ini, tetapi juga mahu menafikan kepentingan untuk mendengar suara-suara di peringkat bawah, seperti yang cuba saya paparkan di atas itu.

Maka ada seorang penulis di kalangan kami, yang melihat dari sudutnya tersendiri, selalu menegaskan bahawa: "Orang politik ni semuanya sama saja. Umnokah, PASkah, KeADILankah, sama saja."

Saya dan kawan-kawan lain selalu membantah pandangannya. Tetapi akhir-akhir ini apabila dia mengungkit kata-katanya itu, kami hanya berpandangan sesama sendiri, walaupun sebenarnya saya sendiri tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Selasa, 3 November 2009

Selesai Melalui Musyawarah

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Sekali lagi musuh Pas kecewa apabila hendak melihat Pas berpecah dan bergaduh sesama sendiri. Mereka sakit hati apabila melihat Pas tenang dan maju ke depan. Kalau boleh biarlah Pas bergaduh seperti mereka bergaduh, dengan ini senang mereka meneruskan agenda menindas rakyat. perjuangan Pas.

Perlu diingat perjuangan Pas ialah perjuangan yang suci, iaitu perjuangan yang mengharapkan Allah dan balasan di syurga. Siapa yang ada di dalam diri mempunyai maksud yang lain ia akan tersingkir atau menyingkir diri daripada

Niat suci bersama dengan Pas ialah untuk melihat Islam didaulatkan di atas muka bumi ini. Ini yang menjadi ikatan kepada pejuang-pejuang Pas selama ini. Perjuangan bukan kerana individu, tetapi kerana dasar yang diperjuangkan oleh Pas. Apa yang berlaku di dalam Pas ialah sebagai satu proses kematangan berorganisasi dan menguji kebijaksanaan pemimpin mengurus organsiasi Pas yang semakin matang dan tertua di negara ini.

Kebijaksanaan pemimpin Pas menguruskan organisasi dalam suasana tenang dan krisis adalah satu kelebihan. Kadang-kadang perkara ini tidak ada di dalam buku tetapi ia diperolehi melalui pengalanan dan latihan yang berterusan.

Umno cuba untuk mencari kesempataan untuk menagguk di air keruh. Media mereka tidak pernah pencen daripada melagakan dan maenimbulkan keraguan kepada musuh dan ahli Pas mengenai dakwaan ada di kalangan pemimpin Pas hendak menyertai umno. Pemimpin umno cuba menghulur tangan seperti hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong untuk mengajak supaya Pas bersatu.

Mereka mengatakan bahawa Pas mempunyai masalah dalaman dan berpuak-puak dalam Pas. Telahan ini sebagai untuk melindungi apa yang berlaku di dalam umno yang mengidap penyakit rasuah yang tidak boleh diselesaikan sampai hari ini. Masalah dalaman parti kompenan BN, seperti MCA dengan krisis moral dan rasuah di kalangan pimpinanya, MIC dengan krisis kepercayaan terhadap presidennya, parti PPP dengan dua presiden.

Di dalam Pas tidak pernah baling kerusi, tembak menembak, FRU terpaksa mengawal, kena pukul kepala, membunuh sesama sendiri. Tetapi ia dapat diselesaikan dengan baik dan bertanzim dengan semangat musyawarah dan muhasabah.

Kita akur bahawa media mempunyai kuasa untuk mempengaruhi persepsi orang ramai untuk membuat pendirian dalam satu isu dan sokongan. Sebab itu selepas daripada PRU 12 umno sudah ada trooper umno untuk berada di gerbang maya untuk membentuk persepsi yang salah terhadap perjuangan Pas. Kita mengharapkan supaya ahli Pas diminta mengawasi segala apa yang dilakukan oleh musuh-musuh Pas di gerbang maya.

Ketika berlaku isu Kerajaan Perpaduan, bagaimana isu ini telah menimbulkan kegelisahan di kalangan ahli Pas dan penyokong Pakatan Rakyat telah diselasaikan dengan baik. Mereka menyangka Pas akan hancur dan berkecai, namun hajat mereka tidak kesampaian.

Mesyuarat khas yang berlangsung pada 28hb Oktober 2009 rabu malam khamis, berjalan dengan semangat ukhwah dan berlapang dada. Tuan Guru Mursyidul Am dengan keadaan yang uzur dan sibuk dengan urusan negeri, tetapi juga hadir ke majlis tersebut untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku. Seperti yang dijangka apabila majlis yang penuh mahabbah untuk melihat Islam dijulang berakhir dengan keputusan untuk menagadakan Seminar Khas bagi menerangkan isu-isu dan strategi semasa parti di Dewan Almarhum Dato’ Fadzil Noor, Markas Tarbiyyah Taman Melewar, bermula jam 8 pagi pada 7 November 2009.

Inilah rahsia parti Pas yang boleh menyelesaikan masalah parti dengan baik. Di antaranya ialah;

Pertama, kerana Pas mempunyai manhaj yang jelas, iaitu al-Quran, Hadis, ijma’ dan qias. Maka segala perkara yang diputuskan dalam menghadapi kemelut politik atau pentadbiran ialah dengan merujuk kepada perkara tersebut

Kedua qiadah (kepimpinan) yang berkualiti yang mempunyai skil dan wawasan yang jelas iaitu untuk memimpin umat di negara ini. Pemimpin yang tahan diuji dengan berbagai asakan daripada berbagai sudut.

Ketiga ialah ahli yang taat. Hasil daripada tarbiah yang dilalui oleh ahli yang begitu komited dengan perjuangan. Mereka tidak menuntut habuan dunia, yang mereka hendak melihat ialah Isalm subur di atas muka bumi ini.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru kepada semua pimpinan dan ahli agar tidak lagi mengulas atau menimbulkan spekulasi dan persepsi berhubung isu Kerajaan Perpaduan yang diangggap tidak berbangkit lagi. Sebarang isu yang timbul hendaklah dirujuk kepada pimpinan dan ahli dinasihatkan agar tidak lagi melayan atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih kepada khalayak hingga menimbulkan persepsi yang negatif terhadap parti.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” – (Surah Al-Hujurat 49 : 6)


Maka, sebarang aduan berhubung salah laku pimpinan dan ahli hendaklah dirujuk kepada Lembaga Disiplin Parti dan tidak perlu lagi disebarkan melalui ceramah, penulisan atau ulasan dalam akhbar, blog atau media lainnya hingga memberikan kesan buruk terhadap persepsi ahli dan rakyat keseluruhannya terhadap Pas.

Pas yakin bahawa setiap isu yang timbul dapat diselesaikan dengan baik melalui jalan musyawarah dan kita mempunyai tanzim yang terbaik dalam menghadapinya melalui panduan Al-Quran dan Sunnah.

http://idrisahmad.wordpress.com

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut