Detikdaily

Khamis, 26 Ogos 2010

Doa Untuk Bukan Muslim: Bicara Harmoni Buat S.S Mufti Perak

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;

1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.

7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:

“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:

“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

http://drmaza.com/home/

Khamis, 19 Ogos 2010

Awas Operasi Lalang Edisi 1 Malaysia

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Semalaysia Pas bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres China yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.



Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin umno dan NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.

Pas bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan. Pada ketika itu pemimpin umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru. Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan..

Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin Pas, Dap dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.

Pas mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen Bn. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang, bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan melayu malahan juga telah ditolak oleh orang melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat.

Rabu, 18 Ogos 2010

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yakin PAS boleh ganti Umno di Malaysia

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi yakin, parti yang dipimpinnya kini mampu untuk mengambil tempat dan peranan yang selma ini dimainkan oleh Umno lebih 52 tahun lalu. Berbekalkan politik Malaysia adalah ditunjangi Melayu sebagai teras, maka PAS wajar menempatkan dirinya ditapak Umno kini, setelah parti kebangsaan itu kian ditolak oleh rakyat.

Beliau yakin, Melayu akan jadi lebih mulia dengan Islam dan dokongan orang-orang Melayu untuk berubah cukup penting bagi mengisi impian ini. Ikuti sambungan ringkas Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS yang diadakan di Pejabat Harakah minggu lalu bersama TARMIZI MOHD JAM dan ZULKIFLI SULONG

Pengaruh Umno kian tercalar sekarang, dan PAS dilihat mampu menggantikan Umno. Ini disebut Dato' Seri sebelum ini PAS ganti Umno. Dalam pilihan raya PAS bertanding di kawasan Melayu dan kalah. Di kawasan bukan Melayu, PAS menang. Bagaimana Dato' Seri lihat PAS boleh kukuhkan parti bagi menarik keyakinan rakyat PAS sedia gantikan Umno?

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Kita perlu faham suasana politik negara kita. Apa yang difahami semua pengamal politik termasuk yang bukan Melayu bahawa pembahagian kerusi di negara ini masih menunjukkan politik Melayu masih teras kepada politik negara.


Walaupun Umno sudah memecahbelahkan kerusi semata-mata untuk memenangkan mereka (BN). Namun demikian kedudukan politik Melayu telah diterima semua kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan pelbagai etnik ini. Melayu adalah teras.


Saya percaya orang Cina tidak tamak kerana mereka sedar diri. Begitu juga orang India. Dan sepatutnya juga orang Melayu jangan tamak kerana ia (kepelbagaian) anugerah Tuhan yang mencipta dengan pelbagai etnik wujud di negara kita.


Apa yang silap apabila kita pasang skru tidak betul. Maka bergegarlah... Jadi kita kena terima hakikat bahawa Melayu masih teras politik dan hakikat itu tidak boleh diubah dengan mudah.
Kita perlu mengubah kefahaman orang Melalyu tentang politik sepertimana yang difirmankan Allah: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu yang mengubahnya..." Sama ada berubah ke arah bencana atau kebaikan.

Tapi Umno sudah berkuasa 50 tahun, tempoh yang lama...

Baik... kita lihat sudah 50 tahun Umno membawa konsep ketuanan Melayu, dan dalam masa sama parti itu mahu untuk menegakkan Islam seperti yang didakwa mereka. Hakikatnya ia tetap berlandaskan sekularisme. Bagi mereka, hanya mementingkan Melayu sahaja berkuasa, bukan Islam berkuasa.

Inilah punca kelemahan yang memalukan Islam itu sendiri hingga melahirkan pemimpin yang rasuah, pemimpin yang bukan membina bangsa tapi merobek bangsanya sendiri. Jika kerajaan Melayu Melaka, yang pemerintahannya berlandaskan Islam telah melahirkan tamadun Islam dan kemudiannya 'khazanah' Islam itu dicuri dan dihapuskan oleh penjajah tamadun tersebut.

Dato' Seri ada menyebut tentang orang Melayu perlu berubah. Hari ini, orang Melayu memang terbeban dengan isu-isu semasa seperti kenaikan harga barang dan kemiskinan. Apakah langkah-langkah PAS untuk membangkitkan keyakinan orang Melayu bagi memilih PAS sebagai pengganti Umno?

Mengapa orang Melayu tidak berubah? Ini kerana mereka tidak membaca seperti di negara barat. Di barat rakyatnya suka membaca supaya menjadi seorang yang berilmu.


Sebab untuk berubah, sangat penting kepada celik ilmu. Pelbagai yang terangkum di dalamnya keupayaan untuk menilai baik buruk, membaca rentak politik, malah boleh mmebuat keputusan bijak dalam memilih kerajaan. Rakyat khususnya orang Melayu kena lakukan perubahan untuk mendapat sokongan Islam dan bukan Islam.

Tapi dalam PRU 1999, orang Melayu sokong PAS. PRU 2004 pula orang Melayu kembali kepada Umno dan bukan Melayu undi PAS. PRU 2008 bukan Melayu kembali sokong PAS dan Pakatan Rakyat...

Jika kita lihat pada tahun 1999, Melayu memang sokong PAS, non muslim tidak sokong. Dan pada pilihan raya lain kemudiannya, Melayu kurang sokong PAS, sebaliknya bukan Melayu menyokong PAS.


Perubahan ini dokongan kuat dari semua rakyat, kalau inginkan perubahan. Kita perlu sedar negara yang demokrasi akan menekankan beberapa prinsip. Yang pertama masyarakat bermaklumat dan berilmu. Dengan maklumat dan ilmu yang diterima mereka boleh membuat keputusan yang baik.


Seperti masyarakat bermaklumat di negara barat, apabila berlaku isu yang membuktikan kesilapan negara, ia akan disiarkan oleh media massa. Apa sahaja isu kelemahan kerajaan, ianya akan menjatuhkan kerajaan, di mana media adalah saksi dalam mahkamah, manakala rakyat sebagai hakim di mahkamah.


Di negara kita, rakyat tidak dapat akses maklumat menyeluruh secara adil dengan media terkongkong walaupun ada juga kebebasan, seperti Harakah dibenarkan dua kali seminggu... itu pun untuk ahli sahaja.


Tv terhad di kawasan bandar dan pinggir bandar, luar bandar hanya ada RTM, Manakala ceramah pula sentiasa diganggu polis yang menyebabkan orang atas pagar takut hendak datang. Ini keadaan yang kita hadapi, namun PAS fikirkan masyarakat tidak boleh menipu selamanya. Kerajaan tidak kekal. Hanya kerajaan Allah yang kekal. Kita bersabar dan Allah buktikan kita boleh menang walapun dalam keadaan ini.

Perkembangan dan potensi PAS untuk mengganti Umno memang terserlah. Ini dibuktikan dengan lamaran penyatuan PAS-Umno. Motifnya dilihat sesetengah pihak, sebagai usaha memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimana Dato' Seri melihat isu ini?

PAS mempunyai konsep yang konsisten untuk meneguhkan parti kita dan kita terbuka, bukan tertutup tetapi setia dengan kawan, kita beradab dengan lawan. Islam ajar tolong-menolong dalam hal kebaikan dan taqwa dan jangan tolong dalam soal kemungkaran. Sekiranya perkara baik dan bertakwa seperti isu Palestin, Bosnia, hal kemanusiaan dalam hal ini kita tiada masalah. Bukan sahaja boleh baca sajak bersama, bukan sahaja PAS ada sumbangan, Umno juga ada. Di sini kita tidak boleh bertelingkah.


Dalam hal kebajikan kita bersedia untuk memerangi jenayah. Begitu juga soal gejala sosial, kita boleh bersama. Tetapi kerjasama untuk memikul beban dengan masalah mereka yang berpenyakit yang memarakkan amarah rakyat, penyakit rasuah dan dia ajak kita berkawan semata-mata unutk ringankan beban. Itu kita minta maaf. Islam ajar ada benda yang wajib bersatu, ada yang haram bersatu.

Wajib tolong mencegah masalah, haram kalau menyokong ke arah kemungkaran. Kita juga ambil kira tanda keikhlasan. PAS penah perintah dua buah negeri sebelum ini, Kelantan dan Trengganu.

Apa yang dia (Umno) tidak buat pada PAS? Tahun 90 di Kelantan, 99 di Terengganu, apa yang Umno tak buat kepada kita? Apa yang dibuat kepada Sabah waktu PBS menang?


Jadi, Umno perlu munasabah balik bila ajak kerjasama ini. Anak-anak kita di universiti dinafikan biasiswa, pensyarah ditukar atau dibuang daerah. Hal seperti ini amat menyentuh ahli biasa PAS.

Namun PAS terbuka sekiranya musuh yang berperang, jika mahu berdamai, ita kena berdamai dan tawakal kepada Allah. Jika dalam hal ini mereka hendak menipu, cukuplah Allah akan menolong kamu dan Allah bersama kamu.

Selasa, 17 Ogos 2010

22 Penyelewengan Dan Salah Urus Dalam Felcra.

Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar-tengah) hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat 22 penyelewengan dan salah urus dalam Felcra.

Ianya antara lain berkaitan penyelewengan wang koperasi peserta Felcra Berhad (KPFB), penyelewengan di Special Business Unit (SBU) Felcra Berhad dan penyelewengan dalam pelaburan pembelian Bon yang bernilai RM17 juta yang tidak mendapat kelulusan.

Selain itu pendedahan tersebut juga berkaitan penyelewengan bekalan baja Keiserite yang tidak mematuhi spesifikasi.

Bagaimanapun menurutnya, pendedahan hanya akan dibuat secara bersiri kerana mahu pihak Felcra menjawab sama ada mengakui atau menafikannya.

"Kita akan dedahkan perkara ini secara bersiri seperti yang dijanjikan pada himpunan pada 31 dan 1 ogos lalu" katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Felcra, Akmaluddin Mohd Noor serta Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria.

Mazlan juga berkata pihaknya meminta masa selama seminggu untuk menyiapkan dokumen berkaitan peneyelewengan itu untuk diedarkan kepada media.

Pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu telah berlangsung satu himpunan warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak.

Himpunan tersebut bagaimanapun mendapat tekanan hebat dari pihak pengurusan Felcra sehingga menyaksikan lebih 20 ahli jawatankuasa penganjur ditangkap.

Program tersebut juga hanya berjaya diadakan satu hari setengah apabila pihak pihak anggota simpanan persekutuan (FRU) menggempur tempat himpunan seblum perasmian kemuncak dibuat pada malam 1 Ogos tersebut.

Dalam pada itu Mazlan turut mendesak satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat penyelewengan yang akan didedahkan itu.

Selain itu beliau juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyemak aduan yang telah dibuat bermula 31 Januari 2009.

Anak juga katanya telah menubuhkan satu NGO bagi membantu peserta Felcra menyalurkan aduan mereka serta menubuhkan badan bertindak untuk menyerahkan dokumen aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Banjir: Umno sekadar cari publisiti murahan

Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik menyelar pemimpin-pemimpin Umno di negeri Kedah dan media-media pro mereka yang mempolitikkan kejadian banjir kilat di daerah Sik dan Baling, kelmarin.

Menurutnya, Umno Kedah kini dilihat begitu terdesak untuk menjadi juara rakyat apabila meletakkan kesalahannya kepada kerajaan negeri yang didakwa kononnya membiarkan aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Sungai Semeliang dan Ulu Muda yang berhampiran daerah itu.

"Sebenarnya aktiviti pembalakan di situ telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu dan telah berlaku sejak tahun 2004 lalu lagi, sebab apa baru sekarang mereka nak pertikaikannya?

"Mereka tak ada sewaktu kita semua sibuk menyelamatkan dan membantu mangsa, tapi bila dah selesai mereka datang bersama-sama media menyingsing kaki seluar kononnya prihatin dan simpati dengan apa yang menimpa rakyat," katanya.

Che Uda berkata, Umno tidak ikhlas membantu rakyat yang di dalam kesusahan tetapi sebaliknya hanya berhasrat mencari publisiti murahan dan cuba menangguk di air yang keruh.

"Sepatutnya mereka datang menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat dan bukannya datang mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Tindakan mereka menyalahkan kerajaan negeri tanpa usul periksa hanya disebabkan beberapa batang balak reput yang hanyut seperti yang disiarkan media-media Umno menyerlahkan sikap kepura-puraan mereka dalam cubaan mereka menjuarai isu-isu berkaitan rakyat di Kedah ini.

"Saya alu-alukan sebarang tindakan mereka untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya badan itu menyiasat dan mendedahkan sebarang penyelewangan berkaitan kelulusan kawasan pembalakan seperti yang mereka dakwa itu," jelasnya.

Menurut Che Uda lagi, kejadian yang berlaku Sabtu lalu telah mengakibatkan beberapa buah kampung di daerah itu telah dinaiki air dan tiada seorang pun mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Dewan Orang Ramai Chepir dan Sekolah Maktab Mahmud seperti mana yang didakwa.

"Hujan lebat yang berterusan beberapa hari telah mengakibatkan limpahan air di hulu dan kesan daripada itu sejumlah 170 buah rumah di beberapa buah kampung di sini telah dinaiki air dan dimasuki lumpur.

"Sebaik kejadian, kami bersama-sama Pejabat Daerah Sik, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pasukan keselamatan telah berganding bahu membantu dan menyelamatkan mangsa yang terlibat dan bantuan segera telah disalurkan kepada semua mangsa.

"Kejadian ini telah menyebabkan kerugian yang banyak dan saya berharap mangsa dapat bersabar kerana pihak yang terbabit sedang menilai jumlah kerosakan dan sedang dalam proses untuk menyalurkan bantuan seterusnya," ujarnya.

Isnin, 16 Ogos 2010

Keajaiban sedekah, terjemahan Quran terbaik dan diabetis yang terabai

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ramadan terbukti bulan keberkatan yang melimpah ruah. Dorongan untuk melakukan kebaikan begitu mudah diikuti. Masjid dan surau penuh bercahaya. Iktikaf dilazimi. Kemanisan beribadah benar-benar dikecapi. Lidah basah dengan zikir. Al-Quran dibaca penuh penghayatan dan ditekuni maknanya. Ramai menempah kitab terjemahan al-Quran sejak Syaaban lagi.

Seorang sahabat dari Johor mengirim SMS: "Akhi, mahu kita berlumba khatam Quran?" Saya tahu dia sekadar mengingatkan suatu amalan mulia.

"Apa azam anta?" tanya saya.

"3 kali (khatam)," balasnya.

Jangan lupa al-Kahfi

Sebelum ini pun, hampir setiap subuh Jumaat, SMSnya tidak pernah absen: "Lutfi, jangan lupa Al-Kahfi."

Ramadan turut memancarkan keunggulan bersedekah. Berlumba-lumba masyarakat menyumbang untuk juadah berbuka, terutama di masjid.

Seorang rakan memberitahu senarai penyumbang berbuka sepanjang Ramadan di masjid dekat rumahnya sudah penuh sejak hari pertama puasa lagi.

Apabila saya minta rakan sekerja bertanyakan sebuah masjid dekat pusat bandaraya yang menjadi tumpuan ramai berbaris panjang mendapat bubur lambuk, katanya, "tiada peluang kita menyumbang sebab sudah ada penaja sepanjang Ramadan".

Maksud hadis Nabi: "Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, maka baginya pahala orang berpuasa."

Dalam pada itu, solat tarawih masjid-masjid di Selangor khabarnya meriah sekali. Fenomena ini nampak terserlah selepas Pakatan Rakyat memerintah. "Macam solat Jumaat, siap kena ada sukarelawan bagi memudahkan parking," tambah rakan tadi.

"Kita berdoa moga dapat istiqamah sampai malam Aidilfitri nanti. Tak sedap juga kalau hanya bersemangat di awal puasa sahaja," ujarnya lagi.

Gandaan pahala sedekah

Sememangnya gandaan pahala sedekah dan menderma di hari-hari biasa - apatah lagi di bulan Ramadan - dipamerkan dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w.

Antaranya: "Sesungguhnya Allah Taala menggandakan di kalangan kamu (pahala derma) sebiji kurma atau sesuap makanan, sebagaimana digandakan di kalangan kamu ternakan anak kuda atau anak unta, sehingga derma itu menjadi sebesar gunung Uhud." Dan dalam hadis riwayat Ahmad, maksudnya: "Tidak akan berkurangan duit orang yang bersedekah."

Di sini saya nukilkan kembali kisah tentang keajaiban sedekah, yang dipetik dari buku Ajaibnya Sedekah: Semakin Bersedekah Semakin Kaya, terbitan PTS. Moga-moga kita beroleh manfaat bersama.

Kisah teladan cukup bermanfaat

Sebaik pulang dari rumah Nabi, Ali bin Abu Talib menemui isteri tercintanya, Fatimah az-Zahra dan bertanya: "Wahai wanita mulia, adakah kamu mempunyai manakan untuk suamimu?"

Fatimah menjawab: "Demi Allah, saya tidak mempunyai makana sedikit pun. Tetapi ini ada enam dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain." Ali berkata: "Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan."

Fatimah segera menyerahkan enam dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi bagi membeli makanan. Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: "Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak enam dirham. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis. Ali pun bertanya: "Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?"

"Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa," kata Fatimah. Ali menjawab: "Aku meminjamkan wang itu kepada Allah."

Fatimah berkata: "Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu." Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta menghampirinya, dan berkata: "Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini."

Ali berkata: "Saya tidak mempunyai wang." "Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa," kata Badwi itu. "Berapa harganya?" tanya Ali. "Tidak mahal, 100 dirham sahaja."

"Baiklah, saya beli," kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya menuntun unta. Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan bertanya: "Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?" "Ya," jawab Ali.

"Berapa?" Tanya Badwi itu. "300 dirham," jawab Ali.

"Baiklah saya beli," kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham kepada Ali.

Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: "Apa yang kamu bawa itu wahai Abu Hassan?" "Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 10 dirham, kemudian saya menjualnya dengan harga RM300 dirham," jawab Ali.

Seterusnya Ali pergi menemui Nabi s.a.w. di masjid. Melihat Ali sampai di masjid, Nabi tersenyum dan berkata: "Wahai Abu Hassan, adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?"

"Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah," kata Ali. "Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."

Nabi menjelaskan: "Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham. Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."


II. TERJEMAHAN AL-QURAN TERBAIK DAN PENJAGAAN KESIHATAN

Terjemahan al-Quran yang dekat di hati saya sehingga kini masih Pimpinan Ar-Rahman, terbitan Darul Fikir yang diusahakan oleh Jakim. Versi jawinya, memang tebal, lebih 1,500 halaman, tetapi cukup memikat dan mengesankan sekali.

Saya rasa ia mungkin terjemahan terbaik dalam bahasa Melayu. Kitab besar ini diusahakan (diterjemah serta diberi penjelasan) oleh Sheikh Abdullah bin Muhammad Basmeih, yang dimulakan oleh Ustaz Faisal Othman, dan disemak dan disahkan oleh Dato' Muhammad Npor Ibrahim, bekas Mufti Kerajaan Negeri Kelantan. Cetakan pertamanya pada tahun 1968.

(Saya kira alangkah elok jika pihak penerbit dapat mengemaskinikan bentuk kitab ini, terutama dalam edisi rumi, yang lebih mesra pembaca. Untuk edisi jawi, rasanya sudah cantik. Kitab ini sepatutnya dimiliki oleh setiap rumah Muslim).

Bagaimanapun, untuk menghadiahkan kepada rakan-rakan sempena Ramadan saya berhasrat mencari yang lebih nipis dan ringan. Anak saya menunjukkan kitab terjemahan yang nampak menarik, terbitan Al-Hidayah House of Quran.

Penerbit berjaya

Pejabat penerbitnya dekat Batu Caves, berhampiran PTS juga. Saya pernah berurusan dengan pemiliknya, Kamaluddin Ibrahim, lama dahulu semasa saya aktif menerbitkan buku-buku politik dari rumah di Selayang Baru. Melihat senarai buku-buku best seller syarikatnya, ternyata beliau kini seorang penerbit yang cukup berjaya.

Lama tidak berjumpa dengannya. Namun dalam pertemuan Rabu lalu, kami lebih banyak bercerita soal kesihatan. Tentu sahaja hal pembedahan pintasan jantung saya dan perkembangan pemulihannya.

Kelihatan Kamal begitu berminat. Rupanya beliau mengikuti perkembangan saya melalui Harakah. Dia mencadangkan agar Harakah memperuntukan kolum khusus untuk kesihatan. Katanya, orang Melayu khususnya harus didedahkan dengan ilmu berkaitan penjagaan kesihatan, terutama sekali mengenai pemakanan yang sihat.

Saya segera teringat nasihat seorang ibu tua dari Surabaya, Indonesia, semasa menemani anak sulungnya menjalani rawatan angioplasti di sebuah pusat perubatan dekat KLCC.

Ketika itu saya terbaring di katil, juga menunggu giliran masuk ke bilik bedah.

"Yang penting kena jaga ini," kata ibu peramah itu kepada isteri saya, sambil melekapkan jarinya ke mulut.

Jahatnya mulut

"Jahat ini ... jahatnya mulut, di sinilah bermulanya bermacam-macam penyakit," tambahnya. Berdasarkan bual bicaranya, jelas dia mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap penjagaan kesihatan. "Selain jaga mulut, exercise juga penting, malah amat penting," pesannya lagi.

Sepanjang menunggu - dilihat daripada riak dan geraknya di hadapan katil saya, beliau pasti gementar dan cemas - ibu tadi tidak henti-henti berdoa, menurut amalan agamanya, rasanya Kristian, dalam bahasa Melayu yang fasih. Anak lelakinya tersumbat hampir 100 peratus pada empat saluran darah ke jantung.

Sebaik anaknya disorong keluar, saya pula masuk, dan 30 minit kemudian, saya dimaklumkan bahawa operasi angioplasti ketiga saya itu gagal dan perlu "by-pass".

Semasa mengucapkan selamat tinggal kerana dia dan keluarganya harus bergegas balik ke Surabaya, ibu yang sudah kembali berwajah ceria itu berkata sambil tersenyum: "Moga ketemu lagi ... tapi jangan di sini, ya."

Saya bersetuju apabila Kamal menyatakan budaya pemakanan orang Melayu perlu diperbetulkan. Katanya, lihat saja berapa ramai anak Melayu kini yang mengalami obesiti. "Ramai orang kita bukan saja gemuk, malah terlalu gemuk. Dan ia sudah satu keadaan yang biasa kita tengok di mana-mana."

"Apa tidaknya, pagi nasi lemak dengan ayam, tengahari nasi dengan ayam, malam nasi goreng dengan ayam. Di restoran pula order teh tarik gelas besar, dan kedai-kedai makan berlumba-lumba menawarkan jus gelas paling besar," tambahnya.

Kolum kesihatan dalam Harakah

Bukan Kamal seorang, ramai kawan-kawan lain juga, selain pembaca dari merata tempat, memberi cadangan agar Harakah memperkenalkan kolum khas tentang kesihatan. Media lain sudah ke hadapan, malah ada akhbar yang dicari kerana ruangan kesihatannya yang menarik dan begitu bermanfaat untuk panduan seharian.

"Maaf cakap, saya perhatikan ramai juga aktivis PAS, termasuk yang muda-muda nampak terlebih berat," telefon seorang yang menggelarkan dirinya Makcik Kedah, dari Gombak.

"Bersenam dan jagalah makan sikit, bukankah perjuangan kita masih panjang," tambahnya. Saya sekadar dapat mengiyakan, sambil dalam diam berazam untuk membuang segala tabiat buruk terutama berkaitan dengan pemakanan.

Kita terpaksa akur bahawa gejala penyakit kronik seperti diabetis, darah tinggi, kanser, kadar kolestrol yang tinggi dan serangan jantung tidak lagi mengenal usia dan profil pesakit. Kalau dahulu sebahagian penyakit itu dikatakan hanya menyerang "orang kaya" dan berumur 40 tahun ke atas, tetapi tidak lagi sekarang. Data pada tahun 2007 menunjukkan lebih 3 juta rakyat Malaysia mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

Jangan ambil mudah diabetis

Strok boleh melumpuhkan anak-anak muda di bawah 30 tahun. Diabetis pula semakin "kejam" apabila anak-anak yang belum bersekolah pun tidak lagi selamat. Lima tahun lalu, dianggarkan 8 peratus penduduk Malaysia menghidap kencing manis dan tinjauan di hospital-hospital seluruh negara mendapati hanya 10.5 peratus pesakit diabetik berada dalam keadaan "under control". Seorang daripada 3 pesakit tidak menerima rawatan yang sepatutnya.

Sepanjang 20 tahun menghidap diabetik, selalunya semasa berjumpa doktor, saya selalunya akan ditanya soalan wajib, "jaga tak makan?"

Tersipu-sipu saya membalas perlahan, "jaga sikit-sikit."

Mendengar alasan itu, doktor cepat membidas, "tak ada jaga sikit-sikit, itu tandanya awak tak jaga makan."

Mengenali rakan-rakan yang turut menderita penyakit sama, saya perhatikan majoriti daripadanya bukan "pantang makan" tetapi "pantang tengok!"

Ramai lagi yang langsung tidak mengetahui kaedah merawat diabetis. Meskipun kesannya cukup buruk, seperti kerosakan serius pada saraf, buta mata, dipotong kaki, kegagalan buah pinggang, tersumbat arteri, mereka - termasuk saya - mengambil mudah sehinggalah petaka benar-benar terjadi!

NOTA: Sumbangan untuk golongan yang memerlukan di bulan Ramadan ini boleh disalurkan kepada akaun Maybank 564025400533 (atas nama Parti Islam Semalaysia), yang diselenggarakan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dan Bilik Berita Harakah.

Ahad, 15 Ogos 2010

ISA Mungkin Diguna Untuk Selamat Umno

Oleh Mohd Sayuti Omar

BELUM pun padam molek lilin yang dinyalakan oleh Gerakan Anti Mansuhkan Isa (GAMI) yang dipasang sempena 50 tahun akta itu wujud, tiga lagi ditahan di bawah ISA kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan kegiatan militan. Mereka ialah Mustawan Ahbab, 34 (warga Indonesia), Sheikh Abdullah Sheikh Junaid, 70 dan Samsul Hamidi, 34.

Penangkapan itu menunjukkan lilin yang dibakar Gami itu tidak berapa panas untuk mencegah kerajaan UBN dari terus menggunakan senjata tali hayatnya itu untuk membenteng keselamatan negara

Gerakan anti ISA masih belum membuahkan lagi hasilnya. Walaupun kerajaan sudah bersedia melakukan pindaan tetapi ia tidak menjamin akta itu tidak terus mengganas. Pindaan yang dicadangkan juga tidak akan membawa perubahan besar terhadap taring akta berkenaan.

Tidak menjadi masalah kalau ISA digunakan untuk kepentingan negara. Tetapi apakah hakikatnya begitu? Dengan penahanan terbaru tiga orang itu menunjukkan ISA masih terus berfungsi dan berperanan seperti dulu.

Tidak ada pula kenyataan membantah penahanan tiga orang terbaru itu dikeluarkan mana-mana pihak. Apakah ini bermakna penahanan mereka itu tepat dan merupakan satu keperluan?

Pun begitu penahanan ketiga mereka itu tidak boleh dibiarkan begitu saja. Penambahan warga ISA itu sesuatu yang perlu difikir oleh semua orang khasnya pembangkang yang sering menjadi mangsa akta itu. Pihak pembangkang sering dijadikan kibas korban oleh kerajaan. Dan penahanan tiga orang itu apakah ianya sebagai isyarat bahawa ISA akan mengganas sekali lagi. ISA bersiap sedia untuk membaham mangsanya bagi memastikan kedudukan pihak tertentu dalam politik tidak terancam.

Saya tidak musykil kalau ISA digunakan atas kesalamatan dan kepentingan negara. Tetapi ia menjadi musykil dan kebimbangan besar kalau ISA digunakan untuk kepentingan Umno. Tindakan itu jelas menyalah gunakan akta berkenaan. Kerana itulah ianya memerlukan banuak lagi lilin untuk dibakar. Didoakan janganlah akta kejam dan zalim ini disalah gunakan sehinggakan menyebabkan rakyat akan bangkit beramai-ramai menentangnya dan orang tidak berdosa teraniyaan.

Baru-baru ini ada pemimpin NGO (baca pemimpin 'nga' - tolol dan bodoh) mencadangkan supaya kerajaan menangkap pemimpin pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Cadangan itu disanggah hebat oleh parti pembangkang dan puak yang anti kepada ISA. Cadangan itu juga dilihat sebagai rasis. Tetapi tidak mustahil kerajaan akan mengguna pakai cadangan itu untuk menggunakan ISA.

Tidak mustahil, tidakkkk mustahil.

Hari ini keadaan Umno sungguh mencemaskan. Semua pihak termasuk dalam Umno sendiri merasakan yang Umno mungkin tidak dapat mempertahankan kerajaan dalam pilihan raya akan datang. Sudah ada pemimpin Umno yang membilang berapa banyak kerusi Melayu dan berapa banyak kerusi Cina. Sudah ada yang terang-terang menyatakan kewalangan yang BN akan kalah.

Kedudukan Umno hari tidak berapa stabil. Selain Umno bimbang dengan sokongan dari bukan Melayu tetapi sokongan Melayu juga mencemaskan mereka. Kehadiran pengundi muda yang rata-rata mahukan perubahan menakutkan Umno. Pendedahan demi pendedahan dan pembongkaran demi pembongkaran terhadap kebusukan kerajaan dilakukan pembangkang sungguh menakutkan dan menjadi perhatian.

Isu-isu mengenai Felda, saman terhadap Felda cukup mengocangkan 'iman" Umno. Terbaru isu projek Bakun yang mungkin akan menyaut wang KWSP. Isu ini mudah dimakan dan dimamah rakyat sebab ia hampir dengan mereka. Kedamaian Felda selama ini sudah terusik. Kesosonakakan peneroka melihat buah kepala sawit, susu getah warna putih sudah terusik. Apabila pembangkang mengkucar kacirkan kehidupan mereka, mendedahkan kebenaran mereka mula bertindak. Timbul rasa kebencian peneroka kepada kerakusan kerajaan.

Tindakan 776 orang peneroka Serting, Negeri Sembilan menyaman Felda minggu lepas adalah kesenimbungan penentangan dan protes peneroka kepada kepada kerajaan. Dipercayai selepas ini akan banyak lagi peneroka akan berarak ke mahkamah. Apa kata kalau semua semua rancangan tanah Felda mengambil tindakan sama terhadap lembaga itu.

Walaupun Timbalan Menteri yang jaga Felda bersama Pengerusi Felda cuba menangkisnya tetapi ia tidak berbekas lagi.

Jadi memerhati kepada keadaan ini menyebabkan tersimpul di kapala saya. Terfikir apakah kerajaan akan mengambil jalan salah dalam membalas serangan pembangang menerusi isu Felda ini dengan menahan aktivis yang menggerakkan isu itu di bawah ISA.

Ini hanya satu ilusi saya tetapi ia perlu diberi perhatian oleh mereka merasakan berpotensi untuk ditahan di bawah ISA. Pembangkang pula jangan beranggapan kerajaan takut menggunakan ISA kerana akta itu sedang ditentang. Sebagai pihak yang dalam keadaan terdesak Umbo akan menggunakan apa saja senjata yang ada kepadanya termasuk ISA. Kelambatan akta itu dihapuskan mungkin antara tujuannya untuk menjamin penerusan UBN menjadi kerajaan

http://msomelayu.blogspot.com



Sabtu, 14 Ogos 2010

PAS bagai doktor rawat penyakit rakyat

Oleh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan PAS yang sangat menjaga kebajikan rakyat, terutama dalam isu saman ekor. Kesungguhan barisan kepimpinan ini saya sifatkan adalah hasil daripada tarbiah yang berterusan.

PAS tidak boleh hanya dengan ceramah. Ceramah hanya satu metode. PAS memerlukan kepada tindakan sebagaimana kata al-Banna, biar tindakan kita menceritakan siapa kita.Apa yang saya nampak sekarang, PAS sudah mula masuk ke dimensi baru; iaitu dunia tindakan yang praktis bukan lagi omong-omong dan bukan lagi ceramah semata-mata.

Mazlan Aliman patut diberi penghargaan atas kesungguhannya dalam membela nasib peneroka Felda. Kepimpinan PAS Kelantan terus maju ke hadapan dengan idea dinar emas dan dirham. Begitu juga dengan tindakan PAS yang lain, semua ini membuktikan bahawa PAS sudah bersedia untuk mengambil kerajaan daripada BN pada pilihan raya akan datang.

Satu persoalan yang belum terjawab sehingga sekarang ialah, sekiranya PAS membentuk kerajaan pakatan, maka apakah PAS sudah bersedia untuk mengisi ruang-ruang kekosongan dalam kerajaan? Apakah persediaan PAS terhadap rancangan televisyen, artis, kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, tol sekalipun, dasar ekonomi negara, dasar sukan negara, kebebasan bersuara mahasiswa, sistem demokrasi dan banyak lagi.

Saya melihat dalam isu ini, sebetulnya terdapat beberapa perkara yang tidak perlu disebutkan semuanya oleh kepimpinan PAS. Sebagai contoh, siapa yang bakal mengisi ruang kekosongan dalam kerajaan. Bagi saya, ia tidak perlu terlalu gopoh untuk diumumkan. Namun yang paling baik ialah, di peringkat kepimpinan sendiri, sudah tersedia ramai pimpinan yang bersedia untuk menjadi menteri, sama ada dari sudut pengetahuan, maklumat, kecekapan, ketangkasan, kebijaksanaan dan kepintaran.

Lalu bentuk tarbiah PAS itu mesti diperbaharui dari semasa ke semasa. Latihan untuk menyediakan pakar diplomasi dan perunding, pakar kewangan, pakar pertahanan dan keselamatan, pakar rumah tangga dan belia, pendek kata orang yang mampu menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan oleh Umno.

Dalam isu keruntuhan sosial yang melampau, bermula daripada hubungan rambang pelajar sekolah membawa kepada pembuangan bayi secara melampau, kesemua itu menuntut satu kekuatan daripada barisan kepimpinan serta kesungguhan ahli dalam mengatasinya. Pimpinan PAS tidak boleh ada “Minda KM Melaka” yang ingin menyelesaikan masalah dengan pemikiran Barat.

Lalu, semua peringkat dalam PAS, baik ulama mahupun muslimat, pemuda mahupun unit amal, penerangan mahupun kebajikan, kawasan mahupun cawangan, semuanya mesti memainkan peranan penting dalam mendokong perjuangan PAS ini. Semua ini terangkum dalam minda “PAS adalah Jamaah Solusi” bukannya parti politik semata-mata.

Bersama Mursyidul Am dan Presiden PAS, semangat jihad kalangan ahli mesti disegarkan dari masa ke masa. Saya tidak mahu terlepas mengucapkan tahniah kepada Ustaz Nasrudin Tantawi dan pemuda yang bakal menganjurkan Ijtima’ Tarbawi di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober nanti. Beginilah tabiat pejuang PAS, tidak pernah melupakan tarbiah mendekatkan diri kepada Allah walaupun permainan politik semakin membelit dan mencengkam.

PAS bukan sahaja mesti menyelesaikan masalah kebajikan dan ekonomi, kenegaraan dan politik, malah PAS mesti bertindak memberi rawatan kepada pesakit-pesakit jiwa. Bagaikan seorang doktor, yang sentiasa menghulurkan ubat dan memberikan penawar kepada pesakit. Ya, PAS mesti bertindak seperti doktor yang tidak pernah mengeluh melayan karenah pesakit.

Saya, bersama sahabat-sahabat saya yang lain di Lembah Pantai, berbai’ah akan terus berjuang untuk menegakkan Islam melalui wadah PAS ini, insya-Allah. Seperti Sa'ad bin Abi Waqqas yang memberikan janji setia kepada Nabi s.a.w., "Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka lemparkanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka".

Khamis, 12 Ogos 2010

Kerajaan BN Negeri Kedah tinggalkan saman ekor RM390 ribui

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Laporan polis terhadap seorang pemimpin Umno negeri ini yang didakwa mencampuri urusan pentadbiran agama yang dinaungi oleh Tuanku Sultan Kedah nampaknya sehingga kini belum habis disiasat polis. Atau mungkin juga fail siasatan sudah ditutup atas sebab-sebab yang rakyat satu Malaysia sedia memahaminya.

Laporan polis telah dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya terhadap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri ini, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah setelah pemimpin pembangkang itu menuduh kerajaan negeri memecat imam serta pegawai masjid tertentu kerana mereka penyokong Umno

Baru-baru ini veteran Umno Pusat bergabung dengan veteran Umno Negeri menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam di sebuah masjid yang terletak di Jalan Datuk Kumbar.

Forum tersebut mendapat kerjasama daripada Jakim, walhal Jakim sepatutnya merujuk terlebih program tersebut kepada Pejabat Agama Islam kerana walaupun mungkin program tersebut bukan program politik tetapi ia dianjurkan oleh sebuah badan politik dengan mengundang ahli-ahli panel yang juga dilihat cenderung kepada Umno.

PAS, sama ada sewaktu menjadi pembangkang mahupun sewaktu menjadi kerajaan tidak pernah menganjurkan forum di masjid di negeri ini atas nama PAS. Memang politik dan Islam tidak boleh dipisahkan, tetapi bayangkan jika semua parti-parti politik menggunakan hujah tersebut untuk mengadakan program di masjid, maka masjid akhirnya akan menjadi medan perseteruan.

Para pemimpin PAS sering berceramah di masjid namun tidak pernah menuturkan perkataan ‘Umno dan PAS’ dalam masjid. Tetapi jika penganjurnya parti politik, maka tentunya nama penganjur tersebut tidak dapat dapat dielakkan dari disebut di masjid.

Umno sejak dulu dan kini pun asyik bertenggek di platform kerajaan atau harta milik awam untuk membuat program. Sehingga mereka tumbang di Kedah, masih terdapat banyak pejabat-pejabat Umno yang menumpang di dewan orang ramai milik kerajaan negeri.

Walhal tidak ada satu pun markaz PAS yang menumpang di tanah kerajaan, sekalipun PAS adalah penguasa di negeri ini.

Itu kisah Umno guna masjid anjur program.

Terdapat pula cerita masjid anjur program tetapi dihalang Umno. Menariknya, cerita tersebut berlaku dalam kawasan yang sama iaitu kawasan Parlimen Alor Setar.Masjid Gunung Sali dengan kerjasama Surau Al-Hidayah, Flet Seberang Terus menganjurkan program Isrok Mikraj.
Program yang mengundang seorang penceramah bebas lulusan Universiti Al-Azhar tersebut telah dirancang sekian lama dan pengumuman mengenainya telah dibuat tiga kali Jumaat berturut-turut di masjid. Ia sama sekali bukan program politik dan telah mendapat kelulusan dari Pejabat Agama.

Program pula bukan mahu diadakan di masjid (seperti kes yang pertama tadi), sebaliknya diadakan di tempat awam berhampiran surau.

Lebih mudah jika program tersebut diadakan di masjid, namun penganjur memikirkan jika program ilmu hanya bertumpu di masjid maka golongan yang jarang mendekati masjid akan terus terpisah dari ilmu. Maka perkarangan flet yang dihuni oleh beribu orang menjadi pilihan penganjur.

Khemah sudah didirikan dan persiapan tapak program dijalankan.

Tiba-tiba ia mendapat tentangan keras dari pengerusi JKKKP dan Umno setempat kerana mendakwa kononnya ia program politik, hanya kerana di dalam jawatankuasa penganjur tersebut terdapat seorang Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK-agensi Kerajaan Negeri). Pihak penganjur mahu program berjalan dengan sempurna lalu memanggil kumpulan pembantah tersebut untuk berbincang dengan baik di masjid dengan dihadiri oleh tuan imam.

Malangnya mereka memboikot perbincangan, sebaliknya mahu menganjurkan satu lagi program Isrok Mikraj ‘kilat’ di tempat yang sama dengan mendirikan khemah berasingan. Mengapa buruk dan busuk sungguh perangai mereka?

Sebenarnya langkah yang diambil oleh gerombolan Umno itu bukanlah bijak untuk politik mereka kerana, kerana masyarakat mutakhir ini semakin kritikal dan bijak menilai.Umno merasakan tindakan mereka boleh membawa keuntungan politik, sebaliknya memakan diri sendiri. Macam juga dengan isu mereka menyerang kerajaan negeri Kedah baru-baru ini kerana membeli lima buah kereta Camry untuk kegunaan Exco Kerajaan Negeri.

Tiba-tiba Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri terpaksa membayar tunggakan saman ekor tinggalan kerajaan BN dulu sebanyak RM390 ribu. “Kita beli lima Toyota Camry tetapi tidak boleh didaftarkan kerana ada masalah tunggakan saman ekor RM390,000 oleh kerajaan yang terdaulu. Ini satu pembaziran yang nyata,” katanya.Beliau terkilan kerana wang yang diperuntukkan mencecah ratusan ribu ringgit,

walhal peruntukan sebesar itu sepatutnya disalurkan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri. Kerajaan tiada pilihan kerana tidak mahu menanggung beban hutang.Umno di saat kejatuhannya memang begitu. Langkahnya serba sumbang dan pincang

Selasa, 10 Ogos 2010

PAS bawa kebenaran, Umno beri duit

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Dakwaan Pengerusi Biro Kelab Umno Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa PAS membelanjakan puluhan juta bagi melahirkan pemimpin dan penyokong di Mesir adalah satu dakwaan yang terdesak oleh kumpulan yang kecewa kerana tidak mendapat sokongan rakyat.

PAS mengucapkan terima kasih kepada Shabery kerana telah menunjukkan kemampuan PAS kepada rakyat yang berjaya menarik sokongan rakyat dalam dan luar negara.

Memang melucukan bila beliau sebut puluhan juta kerana rakyat sedia maklum bahawa PAS bukanlah parti yang menggunakan duit untuk membayar pelajar-pelajar itu sokong PAS.

PAS tidak pernah menyalurkan sebarang dana bagi para pelajar di Mesir atau di mana-mana negara luar seperti Umno. PAS bukan parti 'politik wang' macam Umno, PAS adalah partiIislam yang berteraskan kebenaran Islam.

Hakikatnya pelajar dalam dan luar negara tertarik pada PAS kerana Umno hanya mampu berikan duit bukannya kebenaran dan nilai kemanusiaan.

PAS tidak perlu gunakan duit kerana para pelajar luar negara diyakini sebagai golongan cerdik dan mampu membuat pilihan. Di luar negara tiada akta AUKU, jadi mereka tidak terikat untuk menyokong Umno sahaja.

Golongan yang cerdik di luar negara dapat menerima cara pemikiran dan dasar-dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Mereka tertarik dengan sikap pemimpin PAS dan tidak mustahil mengambil pemimpin PAS sebagai idola mereka.

Pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir dan negara Timur Tengah lainnya begitu hampir dengan lokasi sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, maka tidak menjadi kehairanan jika mereka mudah memahami perjuangan PAS yang berteraskan Islam berbanding dengan Umno yang meminggirkan Islam.

Walaupun Kelab Umno mengadakan pelbagai program termasuk membawa presiden parti mereka ke sana, namun mereka yang cerdik ini tidak terpedaya kerana mereka boleh mengetahui maklumat semasa dinegara ini melalui internet.

Kelab Umno telah menaburkan banyak fitnah tentang PAS, namun mereka gagal memperbodohkan golongan yang cerdik ini, sebab itulah Shabery amat kecewa dan mengeluarkan kenyataan tersebut.

Umno kena terima hakikat, kini PAS menjadi pilihan terbaik rakyat kerana kita menjadi pilihan ramai barisan kepimpinan pelapis yang keluar dari universiti tempatan dan luar negara selepas mereka tamat pengajian.

PAS kesal kerana Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan beberapa Yayasan negeri mendiskriminasikan para pelajar di luar negara. Mana-mana yang disyaki menyokong PAS atau ibu bapa mereka pemimpin PAS akan disenarai hitamkan dari menerima bantuan. Inilah antara punca mengapa mereka lebih benci kepada Umno dan melihat kepada PAS.

Sewajarnya pihak kementerian dan yayasan mengambil inisiatif bagi membantu semua pelajar Malaysia di luar negara tanpa mengira latar belakang kerana organisasi mereka adalah milik rakyat bukan Umno.

PAS juga kesal kerana berdasarkan dakwaan Shabery, Umno telah menubuhkan Kelab-kelab Umno di luar negara yang mana para pelajar adalah ahli-ahlinya. Mujurlah di luar negara tiadanya akta AUKU dan para pelajar boleh terlibat dengan politik dan menyatakan sokongan mereka kepada mana-mana parti.

Ini berbeza di Malaysia, walaupun Umno mengetuai kerajaan dan Kementerian pengajian Tinggi tapi mereka tidak mampu mewujudkan kelab-kelab Umno dalam kampus lantaran kesilapan mereka mewujudkan akta AUKU. Mereka sendiri mengongkong kematangan pelajar.

Apakah bezanya pelajar dalam dan luar negara, usia mereka sebaya, mereka sama-sama menuntut di institusi pengajian tinggi, mengapa yang diluar negara boleh berpolitik dan dalam negara diharamkan?

Malaysia kini menuju ke arah negara maju, maka akta seperti AUKU ini adalah tidak releven dan outdated.

PAS berjanji akan memansuhkan akta AUKU ini sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan untuk memerintah negara ini dalam Pilihanraya Umum ke-13.

PAS tiada halangan jika Umno mahu adakan Kelab Umno di dalam dan luar negara, begitu juga kepada parti-parti lain termasuk PAS kerana mengikut peraturan pendaftaran pertubuhan setiap parti berhak mengajak mana-mana warganegara ini untuk menjadi ahli dan menubuhkan cawangan. Dan mengikut perlembagaan dan peraturan pilihan raya, setiap warganegara berhak memilih parti mana yang mereka suka.

PAS menyeru kepada semua penyokong dan kepimpinan PAS dalam dan luar negara untuk mempergiatkan aktiviti menambahkan keahlian, sokongan dan membina kepimpinan pelapis bagi menggantikan kepimpinan Umno yang ternyata gagal menyediakan kepimpinan berkualiti untuk masa depan negara ini.

Pimpinan-pimpinan PAS yang ada bersedia untuk turun ke mana sahaja bagi membina lebih ramai pewaris negara yang berkualiti untuk menyanggah kezaliman Umno dari puncak kuasa.

Rabu, 4 Ogos 2010

Umno ibarat orang berkudis jual ubat kurap

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak syak lagi perkara paling payah bagi Umno dewasa ini ialah untuk membuktikan bahawa parti itu sangat sukakan perpaduan di kalangan rakyat, khususnya bangsa Melayu. Selain diketahui gemar bertindak keras dan sukar berkompromi dengan parti lawan sebangsanya, sejarah perpecahan dalamannya yang tidak pernah berkesudahan juga mengisyaratkan bahawa Umno bukan sebuah parti yang layak bercakap soal perpaduan dan perdamaian.

Imej buruk itulah yang ikut melatari isu perpaduan antara PAS-Umno yang masih digema-riuhkan kebelakangan ini. Ajakan dan kesediaan bersangatan sebilangan pemimpin utama Umno agar parti lawannya itu bekerjasama dengannya dianggap bagai persendaan apabila dalaman Umno sendiri sedang bergelumang dengan perseteruan dan perpecahan yang tidak berkesudahan.

Hakikat itu jelas tergambar apabila isu pergolakan dalaman parti itu menjadi agenda utama mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno minggu lalu. Mesyuarat berkenaan malah terpaksa mengambil keputusan menyerahkan dua bahagiannya yang bermasalah ke bawah teraju Badan Perhubungan Umno Negeri masing-masing.

“MT bersetuju pentadbiran Umno Bahagian Rantau Panjang diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan sehingga keadaan kembali pulih,” media memetik kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak.

Beliau mengulas pergolakan dalam bahagian itu yang berlarutan sekian lama. Kemuncaknya ialah apabila dua kumpulan berseteruan mengadakan mesyuarat perwakilan secara berasingan pada 26 Jun lalu. Satu diterajui ketua bahagian kini dan satu lagi diketuai bekas ketua bahagian. Masing-masing mendakwa mesyuarat anjuran mereka adalah yang sah di sisi perlembagaan parti, manakala yang dianjurkan kumpulan lawan sebagai tidak sah.

Jika dua puak bertelagah dalam Umno Rantau Panjang memilih mengadakan mesyuarat di tempat berasingan, rakan mereka di Sungai Petani pula memilih cara lebih berani. Kumpulan yang tidak sebulu dengan ketua bahagian itu ikut menyertai mesyuarat perwakilan diadakan.

Mereka bagaimana pun menunggu masa ditetapkan ketua bahagian berucap untuk menzahirkan sikap mereka terhadap pemimpin itu. Akibatnya, ketua bahagian berkenaan gagal menyampaikan ucapannya dan insiden memalukan itu mendapat liputan meluas media massa.

Sepertimana Rantau Panjang, Sungai Petani juga akhirnya diputuskan MT Umno untuk diletakkan di bawah pentadbiran Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.

Lain ceritanya pula yang berlaku dalam Umno Bahagian Setiu. Kumpulan yang tidak sehaluan dengan ketua bahagian tidak cukup kuat untuk mengadakan mesyuarat perwakilan secara berasingan. Mereka juga mungkin tidak terfikir menggunapakai taktik rakan-rakan di Sungai Petani.

Kumpulan ini bagaimana pun memilih untuk memboikot mesyuarat, walau pun ia dirasmikan Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Tidak syak lagi keengganan mereka hadir meraikan kedatangan pemimpin nombor dua parti dan kerajaan itu memberikan kesan amat buruk kepada Umno. Lebih melukakan lagi parti yang sedang beriya-iya mengajak PAS bersatu itu ialah apabila kalangan yang tidak hadir itu bukan calang-calang pemimpin.

Antara mereka adalah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang turut memegang jawatan terkanan dalam Umno Bahagian Setiu. Dua antara mereka pula menjawat Exco kerajaan Terengganu.

Justeru, timbul persoalan mengapa MT Umno tidak ikut meletakkan bahagian itu di bawah pentadbiran Umno negeri? Secara sinis ada yang menjawab, tindakan itu sudah tidak relevan memandangkan Perhubungan Umno Terengganu sendiri pun kini diletakkan di bawah pentadbiran Umno Pusat. Masakan kita tidak tahu betapa masalah dua nakhoda dihadapi Umno negeri itu jauh lebih dahsyat daripada itu?

Bahkan, jika diikutkan mahu diambil tindakan sedemikian, maka dalam konteks Umno Terengganu, ia bukan sahaja berdepan masalah perpecahan di Setiu, malah keadaan serupa turut berlaku di Marang, Hulu Terengganu dan Dungun. Justeru, berapa banyak bahagian mahu dipikul pentadbirannya oleh Umno negeri?

Kes perebutan kuasa dalam Umno Terengganu juga dilaporkan berlaku di negeri-negeri lain, khususnya Selangor dan Perlis. Jika di Perlis ia pertembungan antara menteri besar kini dengan bekas menteri besar, di Selangor pula antara bekas menteri besar dengan seorang menteri kabinet.

Itulah senario yang sedang melanda Umno. Di celah-celah kepeningan Najib menyelesaikan perbalahan anak-anak buahnya sendiri itulah, timbalannya beriya-iya menghulurkan salam perpaduan kepada musuh tradisinya, PAS.

Agak sinikal dinilai orang apabila Umno lantang mengajak PAS berpadu, sedangkan parti itu kini sedang berhempas-pulas mencari ruang bernafas daripada porak-peranda dalamannya sendiri.

Gelagat Umno itu mengingatkan kita kepada kata-kata hikmah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, “kita nak jual ubat kurap kat orang, kita sendiri bertepek (bertompok kudis), siapa nak beli?”.

Nik Aziz mempersoalkan, siapa Umno untuk melabekan PAS sebagai sesat, sedangkan pada perkiraan beliau, Umno sendiri berpegang kepada dasar dan fahaman nasionalisme yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Dalam konteks kini pula, siapa Umno untuk ajak orang lain berpadu, sedangkan dalamannya sendiri tidak pernah reda dari perbalahan?

Ahad, 1 Ogos 2010

Umno Kedah telah lama rebah!

Oleh Safar Jumaat

Membaca tulisan Sobri Sudin (bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain) dalam sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini bertajuk 'Formula menawan semula Kedah' menjentik fikiran untuk menambah sedikit pandangannya itu.

Penulis tersebut mengangkat kata-kata Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang sering diucapkan 'berubah sebelum rebah' sebagai pendorongnya melihat Umno Kedah masih mempunyai peluang jika mahu kembali berkuasa di negeri itu.

Persoalannya, 'berubah sebelum rebah' itu tidak sesuai untuk digunapakai di Kedah kerana Umno sudah rebah tetapi pemimpin dan ahlinya, masih tidak mahu berubah. Contoh terbaik, lihat sahaja apa yang berlaku di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani yang diketuai, Ali Yahya, bekas Setiausaha Politik kepada Dato' Seri Mahdzir Khalid, ketika Mahdzir menjadi Menteri Besar Kedah, selepas Syed Razak.

Beranikah Umno memecat seorang perwakilan bernama Yusof Lazim yang dikatakan bangun menjerit bagi menghalang Ali daripada menyampaikan ucapan – sedangkan dalam mana-mana persidangan Umno, memang peraturan mesyuaratnya didahulukan dengan doa, nyayian lagu Umno dan kemudiannya ucapan alu-aluan ketua bahagian.

Jika Yusof Lazim menghalang Ali daripada berucap, bermakna Yusof sudah melanggar peraturan mesyuarat. Maka, tindakan perlu dikenakan kepadanya bersama-sama orang yang menyokong keceluparannya itu, seorang yang berjawatan tinggi dalam Umno peringkat Pusat.

Pastinya, Umno Pusat tidak akan mampu berbuat apa-apa kerana Umno kini sedang sakit, mengurus dan mengecil walaupun ada beberapa orang gemuk masih berkuasa di sana – sekadar untuk memperlihatkan Umno itu segar dan bugar termasuk yang obesiti.

Umno Kedah sudah rebah. Ini hakikatnya dan kepada sesiapa yang masih mengatakan Umno Kedah belum rebah, ia sesuatu yang lucu. Lelucon ini memang sering berligar-ligar dalam politik Kedah kerana kebanyakkan orang Umno Kedah, mereka tidak suka bekerja tetapi banyak bersembang.

Kalau mahu mengkritik sesiapa, carilah pengkritik dari Kedah. Kalau mahu bekerja, jangan kerana mereka tidak pandai bekerja. Mereka tidak pandai belajar dari sejarah walaupun Kedah pernah melahirkan dua Presiden Umno dan dua Perdana Menteri.

Hari ini, Kedah yang melahirkan kepada Malaysia seorang Bapa Kemerdekaan dan seorang lagi Perdana Menteri paling lama berkuasa – sudah kehilangan kuasa. Ketika mereka kehilangan kuasa, mereka bergaduh sama-sama sendiri, hingga menyebabkan Presiden Umno terpaksa melantik seorang anak Sabah, yang bernikah di Kedah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.




Ketika Umno Kedah bangga kerana Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dilahirkan sebagai seorang Perdana Menteri yang pertama, orang Islam di Kedah pula tidak mungkin dapat melupakan kelahiran Allahyarham Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor sebagai Ketua Pembangkang dan Presiden PAS yang cukup mashur yang juga datang dari Kedah.

Orang Umno Kedah tentunya berbangga kerana mereka dapat menafikan hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berhasrat menjadi salah seorang perwakilan tujuh (G7) ke Perhimpunan Agung Umno mewakili Bahagian Kubang Pasu, selepas 20 tahun memimpin Umno bahagian itu.

Hari ini, Dr. Mahathir tentunya melihat betapa beliau sendiri gagal memenangkan calon BN bagi kawasan Parlimen Pokok Sena di mana beliau sendiri adalah pengundi di kawasan tersebut kerana pengaruh PAS yang cukup tinggi.

Maknanya, Umno Kedah sudah rebah. Kena ulang-ulangi kata-kata ini buat kesekian kalinya. Jika tidak, akan ada nada penulis seperti Sobri Sudin tampil menulis dengan kata-kata 'berubah sebelum rebah' yang kononnya ditujukan kepada Umno Kedah.

Bukan, kata-kata 'berubah sebelum rebah' itu ditujukan kepada negeri-negeri lain, yang belum rebah kerana saat untuk rebah sudah semakin hampir. Di Selangor, negeri di mana Umnonya sudah rebah, ada bahagian-bahagian yang bercelaru seperti apa yang berlaku di Sungai Petani.

Di bahagian-bahagian lain juga begitu tetapi ia tidak dihebahkan kerana Umno cukup pandai 'berdendam'. Mereka merajuk cara pemimpin Umno merajuk. Diam-diam mereka akan mengundi pembangkang dan mustahil dengan jumlah keahlian 3 juta, Umno tiba-tiba kecundang. Rebah! Dalam PRU 12 yang lalu.

Di Kelantan, negeri di mana Umno sudah kehilangan kuasa sejak 20 tahun lalu, pergaduhan dalam Umno bahagian berterusan. Bahagian Rantau Panjang terpaksa mengadakan 'persidangan' dua tempat berasingan dan kedua-duanya dihadiri Naib Presiden Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Najib ke Kuala Kedah sebenarnya bukan untuk 'menyuntik' semangat kepada ahli Umno Kedah tetapi memenuhi undangan ketua bahagian itu yang kebetulan merupakan Pegawai Khas Perdana Menteri.

Begitu juga Najib ke Kota Bharu merasmikan Umno bahagian itu bukan kerana Najib mahu membakar semangat ahli Umno di Kelantan kecuali memenuhi jemputan ketua bahagian itu yang merupakan Setiausaha Politiknya.

Hari ini, ahli Umno di Kedah buat apa? Mereka buruk-memburukkan antara satu sama lain. Jika kita bertanya dengan mereka, rata-rata mengakui bahawa kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak sekarang ini cukup baik dan berkesan.

Ketika Najib mengarahkan semua peringkat kepimpinan Umno menyerang pembangkang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Dato' Paduka Ahmad Bashah cuba-cuba menyerang, tetapi serangannya hanya dengan bom asap, tidak meninggalkan apa-apa kesan.

Umno Kedah berpuak-puak. Umno Kedah kaki sembang. Umno Kedah tidak buat apa-apa kerja sebaliknya masing-masing hanya mahu 'mengerjakan' musuh politik masing-masing.

Masih ingat dengan nama Ustaz Fadzil Hanafi? Kononnya dia dibawa bertanding ke Kedah kerana mahu memberi nafas baru kepada Umno Kedah yang dilihat tidak mesra ulama. Malangnya, Ustaz Fadzil Hanafi hanyut dek permainan politik Umno bahagian.

Masih ingat dengan Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman? Di mana beliau sekarang? Adakah orang-orang Umno masih mengundangnya memberi ceramah di Kedah? Apakah orang Umno Kedah masih sudi mengundang bekas MB Kedah, Tan Sri Sanusi Junid yang dikira cukup berilmu untuk menyampaikan ucapan atau ceramah motivasi?

Umno Kedah sudah rebah. Ulang kembali. Umno Kedah sudah rebah. Mereka yang memegang jawatan ketua bahagian sebenarnya sedang menjadikan jawatan yang mereka sandang itu sebagai wahana memperkayakan diri dan keluarga sendiri.

Perangai inilah yang menyebabkan Sobri Sudin perlu tahu bahawa mereka ini bukan 'sokong kawan, makan lawan' tetapi mereka tidak suka 'makan berkawan sebaliknya mereka makan kawan-kawan'.

Ketika Umno Kedah merasakan mereka belum rebah, tanpa mereka sedari bahawa mereka sekarang ini sudah menjadi bahan sejarah kerana tidak pernah mahu mengakui hakikat bahawa mereka tidak lagi memerintah negeri Kedah, Jelapang Padi yang mereka gambarkan 'Kedah Menang, Kita Senang'.
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut