Detikdaily

Khamis, 25 November 2010

Gugat Kuasa Raja- Raja Melau Pemimpin Umno DiMinta Suluh Cermin!

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Semalaysia Pas kesal isu gangguan perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sering dibangkitkan di dalam negara ini. Tindakan Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti ‘tikus membaiki labu’.

Pas berpandangan bahawa isu ini dibangkitkan ialah untuk menimbulkan ketakutan di kalangan orang melayu supaya jangan berjinak dengan Pas dan Pakatan Rakyat.

Sejak mutaakhir isu Meayu dan kedaulatan Raja-Raja dibagkitkan sebagai usaha untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno, kononnya Melayu dan Raja Berperlembagaan hanya selamat di bawah umno, setelah isu pembangunan sudah lapok, kerana dunia semakin maju.

Satu ketika dahulu kononnya ada Perlembagaaan baru dibangkitkan oleh Mufti Perak Tan Seri Harussani sampai sekarang tidak dapat dibuktikan lagi. Pas mencabar mana-mana pihak yang ada bukti siapa yang hendak menggugat perkara yang telah dipersetujui bersama seperti kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Hak Istimewa Raja-Raja Melayu silalah bawa ke pengadilan.

Isu derhaka kepada Raja-Raja Melayu dibangkitkan dengan hebat ketika pilihanraya Kecil Bukit Gantang, kononnya Dato Seri Haji Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak. Mereka eksploit perkatan yang diucapkan oleh Dato Seri Haji Nizar “Patik Mohon Sembah Derhaka”, pada hal ini adalah istilah yang diajar oleh protokol istana ketika berbahasa dengan Raja apabila kita tidak sependapat dalam satu padangan.

Hakikatnya yang berlaku seperti yang tercatat dalam sejarah politik negara kita, yang biadab dengan Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno malahan cuba hendak ambil alih kuasa istihar darurat daripada Yang Dipertuan Agong.

Rakyat Malaysia tidak boleh lupa ketika mereka membelasah Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 kerana menolak cadangan supaya kuasa Yang DiPertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan.

Begitu juga penyokong Umno pula mengatakan Sultan Terengganu binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan Terengganu kerana tidak melantik Dato Seri Idris Jusuh sebagai Menteri Besar Terengganu. Banyak lagi kita boleh bongkarkan siapa yang sebenarnya menghina Raja Raja Melayu

http://idrisahmad.wordpress.com/


Sabtu, 20 November 2010

Ibrahim Libya: "Daripada hidup bercerminkan bangkai ..."

Oleh AZAMIN AMIN

Asap putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang naik menjulang langit, menutupi sebahagian hadapan rumah papan. Kiri kanan tingkap terbuka lebar, memuntahkan haba panas yang mencengkam rasa. Pedih mata, tak terkata hingga nafas tercungap-cungap dada.

Asakan gas bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah susuk-susuk tubuh yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar terpacak di balik pagar buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai, gah berada sejengkal dari mereka sambil menghalakan muncungnya tepat kepada mangsa.

Keributan dan kekalutan dasyat pagi itu, disaksikan fajar yang baru terbit di alis awan dengan iringan sejumlah ketumbukan lebih 3,000 anggota keselamatan yang mengepung kawasan. Orang kampung, hanya mampu mengetap bibir sambil melihat dengan pandangan yang berkaca.

Tidak lama kemudian, tragedi menghayat hati pun memulakan kisah lukanya. Saat itu, sebiji kelongsong peluru gas pemedih mata menghentak buju dahi gadis comel Naziah Hassan, 12 yang berada di situ. Memercik darah merah menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta.

Shafie, seorang guru yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah, sudah tidak dapat menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah membuak-buak akibat kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu meluru ke arah pasukan yang sudah siap siaga.

Dia berhenti lalu melaungkan takbir, sambil menghunus pedang. Belum sempat, nafas dihidu, dua das tembakan tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya longlai menyembah bumi Memali. Tubuhnya, syahid pertama dipanggil Illahi.

Kemudian, di ruang tingkat atas rumah yang masih bermain dengan asap dan bau busuk gas puaka, Abdullah Che Soh sedang bertahan, cuba mengangkat tangan untuk meleraikan keadaan dan minta tidak diapa-apakan. Beliau mengepung dua anggota keselamatan supaya menghentikan tembakan.

Tersalah atur, Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru tak bermata. Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di lengan dan dua di telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri pinggangnya, yang membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur. Darahnya basah di seluruh badan.

Ketika sekujur tubuhnya berada di laman, Pak Tam tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah mula direnjis renyai-renyai hujan, yang berkabung mendung.Darahnya mengalir laju, disirami gerimis pagi itu.

Abdul Rahim Waboh yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakan bersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil menyelamatkan diri.

Lain pula dengan Azmi Haji Salim dan Mat Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan dengan pasukan keselamatan di batas sawah.

Azmi dengan hanya berbekalkan buah-buah guli sekarung yang tersisip di pinggangnya tidak teragak-agak melastik anggota yang melepaskan tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak peduli sehinggalah muncung senapang rapat ke mukanya, tanda perlu menyerah diri serta-merta.

Manakala Mat Ramli yang pada mulanya cuba menghalang anggota keselamatan daripada mara ke hujung jalan rumah Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah hutan berundur diri.

Kemudian anak Azmi dikenali Mohd Zahir,13 yang menyusup dengan guni basah bergerak seiring dengan anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil dihayun penumbuk ke mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia dihumban ke dalam trak.

Di celah semak dan timbunan kayu, seorang anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak dapat menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya terlihat ayah dan adiknya diseret ke penjuru jalan.

Kemudian dia melihat beberapa sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa lagi. Antara yang jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru sahaja mengunyah sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran rumah Ibrahim.

Masing-masing menjamah nasi goreng, sambil menitip nasihat akidah dan tauhid kepada Ahoiri. "Niat dan buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati kita tidak sia-sia...insya-allah syahid hendaknya."

Kata-kata mereka berdua, terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya menemui tuhan. Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah menumpah.

Di anjung rumah, mula kedengaran esakan tangisan yang memilukan. Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk tubuh ayah mereka nan kaku. Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas mengucup dahi insan yang dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah di pipi.

Babak sayu itu tidak terhenti di situ. Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim Libya tidak menyerahkan diri, selagi itulah muntahan senjata dan rempuhan demi rempuhan terus berlaku.

Ibrahim yang ketika itu berada di sebalik tiang berhampiran dinding rumah, tidak berganjak dengan nawaitu pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak akan menawar dan menggadaikan diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya.

Ibrahim makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah, pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini, selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah.

Serangan seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada anggota keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim. Percikan darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu Ibrahim, Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas pemedih mata.

Kemudian tubuh Ibrahim diusung ke penjuru dapur rumah. Di pangkuan isterinya Solehah, beliau tidak henti-henti menyebut kalimah Allah dan akhinya doanya diserap langit nan tinggi, gugur syahid mengadap Illahi.

Beliau kembali menemui tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang turut menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka sejarah hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan dingin memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan makhluk di bawahnya.

Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu.

Gelimpangan jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi berarak ke atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat. Yang cedera dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital untuk dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat.

Dua hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu,daripada bilik simpanan beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir.

Dengan van buruk, mereka membawa jenazah syuhada itu ke Masjid Parit Panjang, yang jauhnya 15 kilometer daripada tempat kejadian yang sudah disekat masuk dan dihalang untuk sebarang pengebumian dilakukan.

Dan 13 syuhada itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan dan dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh, menjadi saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada pula dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang.

Tanah kubur Pasir Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang antaranya terdiri daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah, pegawai agensi kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan bekerja sendiri. Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat hati sanubari

Maka lengkaplah misi. Biar apapun alasan, yang penting operasi mereka selesai. Sebenarnya kisah tragis mengorbankan banyak nyawa tak berdosa, lantaran arahan caca marba dalam Operasi Hapus yang dipanggil mereka.

Kata pihak atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku sebaliknya. Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar lagi. Kata mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru ajaran sesat bernama Ibrahim Libya.

Hasil daripada kecelaruan, kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100 disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping.

Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi kejadian Idris Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia hilang ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris tidak boleh mendengar riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta peronda dan apa jua letupan mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil. Dia semakin menyendiri dan beberapa tahun lalu, Idris pula menemui Illahi dalam keadaan menderita sepi.

Lebih pilu dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu meninggalkan puluhan anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat meraih kasih mesra insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam duka dan mendodoi anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di syurga.

Tidak lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sudi mencemar duli, menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan menyirami kubur yang penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri.

Di kaca TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian itu. Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak difahami oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu.

Dia sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu lantas bersuara.

"Ayah, kenapa pakcik tu kena tembak?" Lantas ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Dia melihat ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata yang berjurai banyaknya.

Saya ketika itu tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian saya sudah berada di bumi Memali, mencari satu jawapan yang pasti. Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami berdua menjejaki pejuang Memali di suatu pagi yang bening.

Sebenarnya, setelah diperkenalkan orang kampung, kami menemui ramai pejuang Memali namun enggan ditemubual. Ada yang cukup malu dan ada yang tidak mahu membuka luka lama. Sukar asalnya hajat kami berdua untuk menyingkap kisah sejarah perjuangan orang terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah tengahari, barulah kami berdua berjaya memujuk seorang pejuang Memali.

Beliau ialah Abdullah Che Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun dizin Allah masih bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60 tunduk merenung lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu itu.

"Allah telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah sedih ini

"Setelah cedera , saya di bawa ke hospital untuk dibedah. Tangan saya masih bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat ke dalam penjara selama lima bulan.

Kemudian, sambil tersenyum memandang saya, sambil berkata tenang:"Saya tidak menyesal apa yang berlaku malah bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan ini,"katanya sambil menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh tembakan peluru.

Itu kisah Pak Tam. Dan banyak lagi cerita yang tak terungkap. Kajang kertas ini tidak cukup menampungnya. Dari kisah semangat api yang tinggi, sehinggalah cerita pedih di hati. Ada yang boleh dicebis tetapi banyak yang terpaksa disisip rapat, agar fitnah yang sedang tidur tidak terus bangkit. Namun bagi yang ingin menyusuri, datanglah ke bumi ini, Pastinya tidak menghampakan. Hadirlah ke sini 18 November akan datang, untuk lebih mengenali pejuang-pejuang dan kisah sejati di sini.

Kami kemudian bersua dengan Timbalan Mudir Madrasah Islahiah Diniah Ustaz Yusof Che Mit, antara yang begitu dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan. dia sebenarnya pada hari kejadian, berada di Kelantan.

Beliau agak hairan mengapa Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seoarang yang cukup dekat di hati masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat agar tauhid dan bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya.

Boleh bermain guli dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw bersama para pemuda di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak namanya dan juga PAS yang perjuangannya berlandaskan Islam.

Akibat itu, cemburu membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya lantas fitnah bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas, penjenayah dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa mengintai untuk menahannya dari sehari ke sehari.

Melihatkan kepada latar belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena.

Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya.
.
As-syahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.

Dan selepas itu, sejarah hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan meninggalkan kesan sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan agama Allah.

Setelah menemubual beberapa orang pejuang, saya dan Zaki melepaskan lelah di sebuah warung di hujung kampung. Rupanya pemilik warung minuman yang bersih itu, seorang wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali sebagai Tarmizi.

Beliau sempat bercerita tentang serban milik Azmi yang pernah membalut tubuh Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah akibat tembakan peluru. Katanya lima bulan selepas kejadian, serban yang itu mencebiskan bau yang cukup harum selama dua minggu sehingga ramai yang datang melawat melihat kejadian aneh itu.

"Pergilah balik ke rumah Azmi untuk lihat tinggalan sejarah....serban tu," katanya kepada kami berdua yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah pemilik serban itu.

Dan kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi mengeluarkan serban yang sudah 25 tahun disimpan kemas tanpa dibasuh darahnya yang kini masih jelas kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi sehingga jam 3.00 pagi, kami kemudian melabuhkan badan dan melelapkan mata di bilik Madrasah tersebut, sambil diselimut sejuk malam.

Keesokan paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami melihat kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil yang terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya.

Ketika itu balu almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki as-syahid yang membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah suai. Hanya bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan bayangan huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah, menerpa ke fikiran tatkala saya memandangnya.

Pagi nan hening itu, kami menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman, tempat berlakunya bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah darah yang tak berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas.

Ya, tidak lama lagi, bermula 19 November akan datang, kawasan sekitar medan tempur dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan sambutan umat manusia.

Bukan lagi untuk mengadap atau mengharung hujan peluru dan kepulan asap putih yang kemudiannya meragut nyawa, tetapi riuh dengan kehadiran gelombang limpahan para pejuang taat setia kepada perjuangan Islam.

Hadir dan datangnya mereka untuk mengutip kembali semangat yang bertebaran di bumi Memali untuk selama-lamanya.

Jangan lupa untuk menjengah perkampungan sejarah ini pada 19 November ini sempena Sambutan 25 tahun peristiwa Memali. Salam perjuangan!

Ahad, 14 November 2010

Kedah belanja RM2 juta bantu mangsa banjir

Oleh Ali Hashim

ALOR SETAR,: Kerajaan Negeri Kedah telah membelanjakan hampir RM2 juta bagi membantu mangsa banjir yang terlibat dalam bencana yang menimpa negeri Kedah baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang media di sini baru ini .Menurut beliau lagi sumbangan bagi mangsa banjir tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penyediaan segala bentuk keperluan seperti makanan dan seumpamanya.


"Selain dari bantuan tersebut, tenaga kerja dan logistik turut disediakan bagi membantu banjir yang berpindah ke tempat perpindahan. Namun begitu bagi mereka yang tidak berpindah kemungkinan bantuan dalam bentuk lain akan dipertimbangkan.

"Sebelum ini adanya dakwaan mangsa banjir yang tidak menerima bantuan datangnya dari mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.

Azizan juga berkata, sehingga semalam jumlah mangsa banjir yang telah pulang ke rumah adalah seramai 45,583 mangsa yang terdiri dari 11,840 keluarga.

Manakala seramai 12,185 mangsa yang terdiri dari 3181 keluarga masih lagi ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan.

Katanya lagi antara pusat pemindahan yang telah ditutup ialah dalam daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang.

Sementara itu 11 pusat pemindahan di Kubang Pasu dan 12 di Kota Setar masih lagi beroperasi sehingga keadaan dipastikan selamat sebelum mangsa banjir dibenarkan pulang kerumah masing-masing.

Beliau juga menyelar Kerajaan Pusat yang cuba mempolitikkan isu bantuan kepada mangsa banjir apabila mendakwa kerajaan negeri tidak mampu untuk menyalurkan sumbangkan kepada mangsa yang terlibat.

"Sebenarnya kita tidak pernah memohon bantuan dari Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Kita hanya meminta bantuan dari Perak. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula menawarkan bantuan yang berupakan minuman dan bekalan air bersih.

"Perak menyalurkan bantuan yang berupa logistik, lori tangki serta 120 sukarelawan bagi membantu melicinkan perjalanan membantu mangsa banjir. Kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sanggup untuk mengenepikan perbezaan fahaman ideologi demi kemanusiaan, " ujarnya lagi.

Banjir - nak tolong kerana Allah atau publisti politik...

Oleh Syed Imran

Negeri Kedah dan Perlis menghadapi bencana alam yang dikatakan antara yang paling buruk pernah dilalui oleh mereka yang bergelar warga emas apatah pula yang masih muda. Banjir yang berlaku kali ini meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk kedua-dua negeri, terutama Kedah.

Banjir kali ini juga menimbulkan bermacam tuduhan dan fitnah di kalangan pihak tertentu terutama di negeri Kedah memandangkan pentadbiran negeri dan persekutuan bukan datangnya dari satu pakatan atau gabungan parti politik. Tiada pula masalah di Perlis kerana parti yang sama berkuasa sedangkan masalah wujud

Soal kemanusiaan dan keutamaan nampaknya diketepikan apabila satu pihak menuding jari kepada pihak lain dengan tuduhan-tuduhan yang berbaur politik. Nampaknya untung nasib rakyat yang menghadapi bencana dan menderita akibatnya dijadikan bahan cemuhan politik.
Laporan media juga tidak membantu meredakan keadaan dan menjurus kepada kerja sebenar, iaitu membantu mangsa banjir tetapi mengutarakan perkara negatif dan tidak seimbang serta jauh daripada kebenaran.

Saya berada di Utara Semenanjung dan dimaklumkan oleh banyak pihak tentang laporan yang lebih memihak kepada kerajaan Persekutuan. Itu yang diberitahu dan jika dilihat dari sudut laporan oleh media elektronik, ada kebenaran mengenai perkara itu.

FOTO DARI BLOG SAUDARA MONIER MAT DIN YANG MENYERTAI NGO WARGAKILANG.COM TURUN PADANG MEMBANTU MANGSA BANJIR DI KEDAH.

Saya tahu dan sedar bahawa satu pihak turun membantu tanpa membawa rombongan media untuk membuat liputan manakala pihak lain sebaliknya. Mereka 'turun padang' dengan diikuti oleh media untuk memberi bantuan dan ini tidak lebih daripada usaha menagih saham politik.

Saya tidak mempersalahkan MB Kedah yang marah kerana dituduh tidak turun padang sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya. Dia turun padang tanpa diiringi media.


Ada media elektronik tertentu yang sengaja mempertonton temuramah dengan pihak yang menyokong parti politik pendokong kerajaan persekutuan untuk memperlekeh pentadbiran negeri Kedah. Ulasan positif kepada satu pihak sahaja yang disiarkan.

Saya tidak menyangka mendengar dan menonton seorang yang ditemuramah itu menuduh kerajaan negeri hanya memberi bantuan makanan kepada penyokong partinya. Itu fitnah namanya kerana saya tahu ia tidak benar. Janganlah sampai sanggup mengeluarkan kata-kata fitnah semata-mata atas kepentingan politik.


FOTO DARI BLOG MUNIER MAT DIN YANG MERANDUK BANJIR UNTUK MEMBANTU MANGSA BANJIR TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK. MEREKA BERBUAT DEMIKIAN KERANA ALLAH BUKAN KERANA POLITIK.


Masalah yang kita hadapi di Malaysia ialah semuanya memperalatkan politik. Menangani bencana alampun dijadikan modal politik. Di Kedah, sebuah jawatankuasa dibentuk dengan anggotanya dari kalangan parti gabungan BN. Ia dikatakan akan menyalur bantuan dari kerajaan Persekutuan. Jika mereka ikhlas dan benar-benar nak bantu, janganlah ketepikan pihak negeri dan PAS. Ini adalah soal kemanusiaan bukan satu pertandingan atau satu peluang untuk mendapat sokongan politik. Musibah yang menimpa bukan kerana politik tetapi sesuatu yang diturunkan oleh Allah.

Pihak media pula ada yang lupa akan etika kewartawanan apabila membuat liputan. Ke mana diletaknya kesaksamaan dalam membuat laporan, ke mana perginya soal kebenaran, dan apa dah jadi dengan ketelusan...Saya tidak menuduh semua media tetapi ada yang berbuat demikian atas sebab tertentu. Amat malang sekali jika media tidak berperanan adil dan saksama dalam membuat liputan atau laporan

Banjir Kedah: BN macam langau asyik cari tempat kotor

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Banjir yang melanda Kedah baru-baru ini akan menambahkan satu lagi catatan sejarah di negeri Jelapang Padi ini. Ia adalah banjir terbesar sehingga kini yang telah meneggelamkan pusat Bandaraya Alor Setar. Tujuh buah daerah di Utara Kedah terbabit iaitu Padang Terap, Pokok Sena, Kubang Pasu, Jerlun, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pendang. Jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat penempatan adalah seramai 55,836 orang, merupakan perpindahan terbesar paling besar untuk satu musim banjir di negeri ini.

Tidak semua berpindah ke pusat penempatan yang disediakan oleh kerajaan. Ada yang enggan berpindah, berpindah ke hotel, rumah saudara mara atau mereka tidak perlu berpindah kerana air sekadar memasuki rumah tetapi tidak membahayakan keselamatan. Jika dihitung semua terbabit, jumlahnya jauh lebih besar

Kedah adalah negeri utama penanaman padi. Banjir melanda sewaktu padi mula menghijau. Jumlah kemusnahan sangatlah besar. Begitu juga dengan kemusnahan barang-barang perniagaan kerana banjir kali ini turut menyerang bandar dan pekan.

Ada orang menamakan ‘banjir VIP’ kerana kawasan kediaman orang kenamaan adalah antara yang terjejas teruk. Rumah Dato’ Seri Azizan Razak di Jalan Sultanah, kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Istana Kesoma, rumah Ketua Pembangkang DUN Datuk Seri Mahdzir Khalid, kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, pegawai-pegawai daerah, menteri Pusat, kerabat di raja adalah antara yang dimasuki air atau dikepungi air. Menteri Besar, seperti mangsa banjir yang lain tidak dapat bermalam di rumah, terpaksa menumpang di KMC.

Sebahagian besar taman-taman perumahan dalam Bandaraya Alor Setar ditenggelami air. Suasana yang tidak pernah berlaku sejak taman perumahan tersebut diwujudkan.


Jika banjir besar menghanyutkan segala sampah sarap dan kekotoran maka ia turut menghamburkan kekotoran keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Umno. Mereka adalah jenis manusia yang sentiasa mengambil kesempatan politik, sekalipun di tengah-tengah penderitaan orang ramai.

Shahrizat Jalil, Khairy Abu Bakar, Chor Chee Heong, Johari Baharom dan beberapa pemimpin BN Kedah menuduh kerajaan negeri sebagai lembab dan tidak mampu menangani masalah banjir. Muhyidin Yasin yang datang menjengah selepas banjir sudah kering pun turut menyalak menyalahkan Kerajaan Negeri yang kononnya berlepas tangan.

Kerajaan Negeri telah bertindak sejak banjir melanda Padang Terap di hari pertama lagi. Semua jabatan kerajaan negeri dan pejabat daerah bertindak mengikut keperluan dan keutamaan.

Sehingga banjir berada di kemuncak dan menawan tujuh daerah, semua jentera negeri dikerahkan ‘all out’ sehingga peralatan yang ada (terutamanya kenderaan) tidak mencukupi untuk menangani puluhan ribu mangsa banjir dalam satu masa serentak. Jika berlaku kelemahan dalam pengurusan banjir, ia bukan kerana pegawai dan kakitangan kerajaan negeri lembab, tetapi kerana kemampuan terhad berbanding Pusat.

Bencana alam, apatah lagi banjir besar, bukan merupakan program tahunan Kerajaan Negeri. Ia datang secara tidak diminta, mendadak dan di luar dugaan. Bagi program kerajaan yang dirancang bertahun-tahun pun terdapat kelemahan maka segelintir kelemahan jika terdapat pada pengurusan banjir ini bukanlah perkara yang perlu dibesar-besarkan untuk memburukkan Kerajaan Negeri. Lebih baik mencari jalan membantu rakyat dari menyalahkan pihak lain.

BN macam langau yang asyik mencari tempat kotor untuk dihurungi sedangkan banyak lagi tempat bersih tapi tidak dipedulikan.

Negeri tidak menguasai tentera, bomba, kesihatan dan polis. Semua itu di bawah Pusat. Sewaktu banjir melanda Kedah di kala BN mentadbir negeri dulu pun, semua jentera itu menjadi lebih penting dari jentera negeri. Kekuatan, kemampuan dan duit ringgit mereka jauh mengatasi Negeri kerana hampir semua hasil negara dikutip oleh Pusat.

Sekarang pun semua jabatan-jabatan tersebut bekerja bertungkus lumus membantu mangsa banjir tetapi janganlah merasakan seolah-olah Pusat hanya ‘membantu’ dan urusan banjir ‘sepatutnya adalah urusan Kerajaan Negeri’ seperti yang disebutkan oleh simulut celupar, Shahrizat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi paling utama dalam menangani banjir adalah milik bersama Pusat dan Negeri. Negeri menyalurkan RM1 juta khusus untuk isu banjir. Setiap bantuan makanan yang diedarkan di penempatan banjir adalah juga wang Negeri, bukan seratus peratus Pusat. Tetapi mereka dengan angkuh memberitahu mangsa banjir bahawa ianya bantuan Pusat, sehingga ada mangsa bercakap di media, “Kalau nak harap bantuan Kerajaan Negeri kebuluranlah kami.”

Satu lagi tohmahan yang dimainkan oleh media-media talibarut BN ialah kononnya YB Pakatan Rakyat tidak turun padang. Tuduhan ini sangat jahat kerana di semua DUN atau Parlimen yang diwakili Pakatan, YB ‘berendam’ sepenuh masa dalam banjir.

Cuma malangnya nasib YB Pakatan ialah bagaimana tinggi pun komitment mereka membantu rakyat, sekeping gambar pun tidak akan tersiar dalam media-media utama yang menjadi talibarut BN. Tapi pemimpin BN, cukup melawat dua, tiga pusat pemindahan tetapi laporan mereka tersiar seantero dunia.

Biarlah media-media mereka terus membohongi rakyat di tempat lain kerana rakyat setempat tahu apa YB Pakatan lakukan.
BN juga menuduh bantuan Kerajaan Negeri hanya untuk penyokong Pakatan. Ini juga satu tuduhan yang jahat. Walhal terdapat bukti bahawa merekalah yang melakukan kerja tersebut.

Di pusat pemindahan Sekolah Rendah Islam Burhanuddn Hilmi, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar yang terletak di pinggir jalan utama, tiada seorang pun pemimpin BN yang datang menjenguk, termasuk Chor Chee Heung selaku Ahli Parlimen. Gerombolan Pemuda dan Puteri Umno pun tidak menjengah. Sebabnya ialah semua mangsa yang berpindah itu dikatakan penyokong PAS.

Walhal di kawasan yang sama, ADUN PAS Alor Mengkudu Dr. Ismail Salleh, Pemuda dan Muslimat sampai ke semua tempat termasuk di pusat pemindahan yang terdiri dari sebilangan besar penyokong Umno. Siapa yang utamakan penyokong sendiri?

Sekalipun, PAS mentadbir Kedah tapi parti tetap berperanan dalam isu banjir. Badan Perhubungan PAS Kedah, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat menubuhkan sekretariat menangani isu banjir. Mereka menggerakkan tenaga dan bantuan dari dalam dan luar Kedah. Mereka bersengkang mata bekerja sepenuh masa.

Maka jika ada pihak yang menuduh Kerajaan Negeri, Pakatan Rakyat, PAS lembab membantu rakyat yang ditimpa bencana banjir, maka ia berpunca dari lembabnya akal mereka berfungsi. Menuduh ikut sedap mulut tanpa berfikir terlebih dahulu.

Banjir besar yang melanda Kedah membawa kemusnahan dan kerugian yang bukan sedikit. Ia juga membawa seribu maksud dan pengertian mengikut perhitungan masing-masing. Pakar kaji cuaca, pecinta alam sekitar, ahli akademik, ahli politik, rakyat bawahan di kaki lima semuanya membuat andaian dan ulasan mengikut bidang masing-masing.
Bencana besar ini berlaku sewaktu PAS dipersada kuasa Kerajaan Negeri. Ia mungkin ujian dan mungkin juga bala. Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan hikmahnya.
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut