Detikdaily

Khamis, 16 Disember 2010

Najib mengaku BN berpenyakit, nak sokong apa lagi?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Konvensyen Barisan Nasional 2010 baru lalu memberitahu seluruh rakyat jelata bahawa Pilihanraya Umum Ke 13 akan diadakan bila-bila masa sahaja. Seperti biasa muncullah peramal-peramal politik yang membuat andaian mengenai tarikh pilihanraya. Bagi Perdana Menteri congaknya sangat mudah, iaitu beliau akan mengisytiharkan pembubaran Parlimen di waktu BN mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Buat masa ini peluang BN sangat tidak cerah kerana sokongan bukan Melayu belum memihak kepada BN, sedangkan undi bukan Melayulah yang membantu mereka mengekalkan kuasa di Pusat sejak sekian lama.

Masalah kedua ialah undi golongan muda. Isu perkauman Melayu yang Umno pasakkan kepemikiran rakyat saban hari, hanya menjauhkan parti itu dari bukan Melayu dan mungkin menarik sedikit sokongan golongan tua Melayu, tetapi tidak pada golongan pengundi muda yang lebih moderat serta tidak terikat dengan politik kepartian.

Golongan muda sudah terlalu jauh dari ‘zaman Jepun’ dan ’13 Mei’. Mereka adalah golongan yang terdedah kepada maklumat maya. Umno boleh menggunakan media-media primitif tunggangan mereka untuk menakutkan golongan katak bawah tempurung yang tidak kenal internet, tetapi sukar untuk menyebarkan propaganda kepada golongan muda. Waktu zaman Jepun, anak dara dilarang keluar rumah takut diambil oleh tentera Jepun.

Ancaman itu memang menakutkan anak dara Melayu kerana keganasan tentera Jepun berlegar dalam masyarakat. Di zaman ini, anak dara tidak takut lagi untuk keluar rumah walaupun terlalu banyak ancaman perogol yang lebih ganas dari Jepun. Bahkan hari ini ada anak dara yang membonceng motorsikal ‘perogol’ mereka sendiri.

Demikian situasi zaman berubah. Ancaman perkauman mungkin berkesan selepas ’13 Mei’ tapi bukan sekarang. Golongan muda hari ini tidak boleh dimomok ancaman perkauman kerana ancaman itu langsung tidak menakutkan mereka. Golongan muda juga bijak untuk bertanya kembali Umno, “Mengapa sekarang baru sibuk bincang hak Melayu yang terhakis dalam pelbagai bidang, setengah abad berkuasa apa Umno buat?”

Bukan Melayu dan golongan muda begitu menggusarkan BN. Nampaknya walaupun Najib sudah memukul gendang perang, pilihanraya boleh diadakan bila-bila masa saja, tetapi waktu terdekat ini masih bukan masanya. Apatah lagi ketua-ketua kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah menegaskan bahawa mereka belum tentu akan mengikut Pusat membubarkan DUN dalam waktu yang sama.

Kenyataan oleh SPR (yang dianggap sebagai ‘parti komponen’ BN ke 14) bahawa penjawat awam juga mungkin disenaraikan sebagai pengundi pos membayangkan langkah terdesak mereka untuk mengekalkan kuasa melalui cara yang tidak demokrastik.

Setiap 10 tahun biasanya SPR akan melakukan persempadanan semula pilihanraya. Setelah hampir satu dekad, nampaknya SPR masih menyepi. Dulu PAS berhempas pulas membantah langkah SPR memasukkan kawasan pengundi bukan Melayu sesuka hati ke dalam kawasan yang dianggap ‘kawasan tradisi PAS’. Jawapan yang diberikan SPR waktu itu ialah, itu kelemahan parti politik tertentu yang tidak mendapat sokongan dari pelbagai kaum. Jawapan itu untuk mengenakan PAS. Kini adakah strategi yang diguna SPR itu akan berulang lagi kerana jika dilakukan, ia menguntungkan Pakatan Rakyat kerana undi bukan Melayu tidak lagi berpihak kepada BN?

Satu lagi pendedahan berguna yang dibuat Najib dalam Konvensyen BN itu ialah pengakuan terbuka beliau bahawa BN sebagai parti yang terlalu lama berkuasa mempunyai empat penyakit utama iaitu; khayalan (delusion), kelupaan (amnesia), kejumudan (inertia) dan keangkuhan (arrogance).

Dalam huraiannya Najib memberitahu bahawa delusion adalah kerana merasa khayal bahawa BN akan menang sampai bila-bila. Penyakit amnesia kerana mereka sudah lupa asal usul perjuangan. Penyakit inertia kerana BN enggan membuat perubahan dan pembaharuan dan penyakit arrogance kerana tidak boleh terima teguran rakyat.

“Sesungguhnya semua penyakit tersebut terutama penyakit keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah,” ujar Najib.

Semua jentera penerangan Pakatan Rakyat hendaklah mengambil pendedahan Najib perihal sifat BN ini untuk diterangkan kepada seluruh rakyat jelata, sehingga rakyat sudak tidak berselera lagi untuk melihat BN.

Keangkuhan, misalnya, adalah sifat yang boleh dihuraikan secara panjang lebar. Antaranya ialah keangkuhan BN yang mendakwa kononnya mereka sahaja yang layak di atas muka bumi Malaysia ini untuk menjadi pemerintah, keangkuhan BN menggunakan media-media untuk memperbodohkan rakyat dengan pelbagai pembohongan dan melakukan fitnah terhadap Pakatan Rakyat, keangkuhan BN menjatuhkan kerajaan Perak yang dipilih rakyat secara demokratik, keangkuhan BN menangkap rakyat yang disyaki bersalah dibawah ISA tetapi tidak mendakwa mereka di mahkamah, keangkuhan BN menggantung Ketua Pembangkang Parlimen selama enam bulan, keangkuhan BN menggunakan pihak keselamatan untuk membelasah penyokong Pakatan Rakyat yang menyertai demonstrasi sebaliknya memberi layanan istimewa kepada penyokong BN yang menyertai perhimpunan haram, keangkuhan BN menyalahgunakan semua jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka, keangkuhan BN mengalihkan peruntukan Pusat dan menyalurkan melalui ketua Umno Bahagian dan bukannya Kerajaan Negeri, keangkuhan BN menyekat royalti minyak di Kelantan, keangkuhan BN memenangi pilihanraya kecil melalui rasuah dan ugutan serta 1001 cerita keangkuhan lagi. Mohamad Sabu boleh bercerita mengenai keangkuhan BN saja, tujuh hari tujuh malam.

Pengerusi BN telah mengaku di hadapan rakyat bahawa parti mereka bermasalah, habis rakyat nak sokong apa lagi?

Khamis, 9 Disember 2010

Strategi Umno jauhkan PAS dengan DAP meleset: Tidak mungkin 'bulan terbit s

Oleh SAFAR JUMAAT

PENING kepala pemimpin Umno hari ini bila menyaksikan sendiri, pemuda-pemuda PAS boleh mengibarkan bendera DAP dan pemuda-pemuda Cina, mengibarkan bendera PAS – sekaligus menampakkan mereka, kedua-duanya tidak ada masalah untuk menghadapi Umno-BN dalam setiap pilihan raya – sama ada pilihan raya kecil mahu pun pilihan raya umum.

Inilah modal Umno selama ini. Usah mengundi DAP kerana ia parti perkauman Cina yang ekstrem dan usah mendekati PAS kerana mereka adalah pendokong Islam yang ortodok. Malangnya, semakin kuat mereka melarang, semakin PAS dan DAP dapat merapatkan diri dan menjauhkan perbezaan.


Hilang segala teori Umno selama ini, kononnya tidak akan berlaku PAS dan DAP boleh duduk semeja, jauh sekali berkempen atas satu pentas, tetapi ia sudah menjadi mustahil sekarang. Mustahil PAS dengan DAP boleh bersama – sudah menjadi sebaliknya. PAS dan DAP sudah mengatakan mustahil kepada Umno-BN yang mereka tidak boleh bersama.

Pakar-pakar strategi Umno sibuk mencari formula baru, untuk memecahkan kembali hubungan PAS-DAP tetapi setakat Pilihan Raya Kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi, nyata usaha Umno-BN itu tidak berjaya.

Dulu, Umno membayangkan kepada penyokong mereka, dengan imej yang ada pada Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, mana mungkin PAS akan dapat bekerjasama dengan DAP. Begitu juga, harapan Umno, selagi ada Lim Kit Siang, tidak mungkin ‘bulan terbit siang’ dan ‘matahari terbit malam’ dengan PAS.

Umno tidak hairan dengan kekuatan PAS selama ini kerana Kelantan dan Terengganu yang pernah diperintah PAS pernah terlepas ke tangan Umno semula tetapi, dengan kerjasama kuat yang DAP berikan kepada PAS kini, Parlimen Kuala Terengganu yang selama ini mudah untuk dimenangi Umno (walaupun pernah sekali dimenangi Parti Melayu Semangat 46 (S46), sudah terlepas ke tangan PAS.

Suka atau tidak, hubungan PAS dengan DAP disebabkan ada jambatan untuk bekerjasama. Ketika PAS bekerjasama dengan (S46) dahulu, ia dikenali dengan nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tanpa membawa bersama DAP ke Pantai Timur Semenanjung – hanya kerana serangan Umno terhadap DAP.

Namun, selepas PRU 1999, DAP dan PAS seperti sudah banyak persamaan. Pemimpin DAP sudah mula berada di Taman Melewar dan pemimpin PAS sudah boleh ke mana-mana termasuk di Bukit Bintang dan Seputeh hanya kerana DAP tidak pernah keberatan menerima kehadiran pemimpin PAS sebagaimana pemimpin PAS tidak pernah cemburu dengan kehadiran pemimpin DAP.

Apa lagi modal Umno untuk berkempen sekarang? Cerita mereka itu (PAS dan DAP) hanya sandiwara politik, tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain sudah tidak termakan oleh penyokong kedua-dua parti ini. Mereka bukan sahaja tidak termakan, malahan, mereka makin rapat kini, hanya kerana mereka tahu bahawa perbalahan sama-sama sendiri akan menyebabkan Umno-BN terus mengaut keuntungan politik.

Semua jari pemimpin Umno kini menuding ke arah KeADILan. Kata mereka, jika bukan kerana KeADILan menjadi jambatan, mana mungkin antara PAS dengan DAP boleh duduk bersama.

Namun, makin kerap serangan dihalakan kepada KeADILan, semakin mereka menyaksikan DAP dan PAS sudah boleh menyusun program bersama, untuk berdepan dengan Umno-BN.

Betul, dulu jika ada lukisan mengambarkan Roket (DAP) naik ke Bulan (PAS), dengan kurikutur pemimpin DAP dan PAS, ia sudah cukup menyebabkan pengundi atas pagar, yang kuat menyokong DAP akan kembali menyokong Umno-BN. Begitu juga dengan penyokong PAS, akan berpatah balik sokongan mereka kepada parti itu, hanya kerana pengaruh propaganda Umno.

Hari ini, semuanya itu sudah tidak termakan lagi. Semua itu hanya sejarah dan Umno sendiri terpaksa bekerja keras menarik sokongan pengundi kerana mereka semakin sedar, kempen-kempen kotor, menakut-nakutkan rakyat dengan cerita perkauman yang menebal sudah tidak berkesan.

Jika DAP kuat perkaumannya terhadap orang Cina, apakah ianya salah? Jika PAS kuat keIslamannya terhadap orang Melayu, apakah ianya salah? Dan apakah orang yang kuat semangat keCinaannya tidak boleh berkawan dengan orang yang kuat keIslamannya?

Apakah DAP menentang Islam sejak mereka memerintah Pulau Pinang? Apa yang kurangnya kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang lakukan jika dibandingkan dengan apa yang pernah dilakukan kepimpinan Gerakan ketika berpuluh tahun mereka memerintah negeri itu?

Cina di Kelantan dan Kedah kini terancam sejak PAS memerintah? Begitu juga dengan Cina dan Melayu mana yang kerugian sejak KeADILan menerajui Selangor?

Dengan dua orang menjadi Menteri Besar dari PAS (Kelantan dan Kedah), seorang dari DAP menjadi Ketua Menteri (Pulau Pinang) dan seorang lagi di Selangor (KeADILan), sekaligus semua persoalan yang membezakan antara PAS, DAP dan KeADILan terjawab dengan tindak-tanduk mereka bertiga, Tan Sri Khalid Ibrahim (Selangor), Lim Guan Eng (Pulau Pinang) dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan) dan Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (Kedah).

Jika sesiapa terjumpa ada orang Melayu miskin di Kedah dan Kelantan, mereka tidak boleh salahkan PAS kerana di negeri-negeri yang Menteri Besarnya dari kalangan Umno pun ada orang Melayu miskin. Apakah tidak ada orang Melayu miskin di Sabah?

Begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang kerana kemiskinan berada di mana-mana dan jika ada pihak yang sengaja mahu memperbesar-besarkan cerita ini, ia tidak lebih dari propaganda politik yang tidak pernah habis.

PAS dan DAP boleh terus bekerjasama, dengan mengenepikan semua perbezaan dan mencari persamaan – bagi berdepan dengan Umno-BN dalam PRU 13 akan datang



Isnin, 6 Disember 2010

Pakatan Rakyat tidak punyai banyak masa

Oleh Mohd Rashidi Hasan

PILIHAN Raya Umum ke-13 sudah semakin hampir. Ramai yang menjangkakannya berlangsung bulan Mac atau April 2011.Mac dipilih kerana ia bertepatan dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak, yang sudah cukup tempoh lima tahun.

Barisan Nasional nampaknya tidak berani untuk bargain. BN tidak mempunyai keyakinan sepenuhnya kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengekalkan kemenangan besar BN pada pilihan raya negeri yang lalu.

BN jelas bimbang, jika hasilnya tidak baik, ia akan menjejaskan peluang BN untuk terus berkuasa di Kerajaan Pusat.

Lalu disebut-sebut pilihan raya Sarawak harus diadakan serentak dengan pilihan raya di peringkat federal.

Lagi pun dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini, Umno menangguhkan pemilihannya dalam tempoh 18 bulan, menandakan mereka sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke-13.

Penangguhan dibuat kerana Umno bakal menghadapi pemilihan pucuk kepimpinan tertinggi parti secara terus menerusi cawangan dan bahagian. Mekanisme pemilihan seakan-akan sama dengan cara Parti KeADILan Rakyat, baru-baru ini.

Maka sudah tentu pemilihan secara ini, akan mencetuskan ketegangan, bantahan dan krisis di kalangan pemimpin yang bertanding.

Ketegangan dan krisis ini kebiasaannya membawa perpecahan. Oleh itu, Umno mengambil keputusan menangguhkan pemilihan bagi mengelakkan perpecahan dalamannya, diambil kesempatan oleh musuh politik.

Apa pun Pakatan Rakyat tidak harus berpandukan kepada penangguhan perhimpunan Umno. Pakatan Rakyat juga Jangan menunggu, jangan berharap Umno-BN masih memerlukan masa untuk bersedia menghadapi PRU.

Memang sebagai sebuah entiti politik Umno-BN masih belum bersedia kerana mereka mempunyai banyak masalah dalaman.

Walau tidak sedia bagaimanapun mereka, Umno-BN tetap akan dibantu dengan media dan jentera-jentera kerajaan. Masalah dalaman mereka boleh ditutup dan ditampung oleh jentera kerajaan.

Justeru dalam PRU ini, Pakatan Rakyat bukan sahaja berhadapan dengan parti komponen BN, tetapi jentera kerajaan dan media yang akan dipergunakan untuk mempertahankan kerajaan Umno-BN.

Harus diperingatkan kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang menguasai negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, usah dipercayai pegawai kerajaan negeri seratus peratus, kerana sebahagian besar mereka adalah balaci-balaci Umno-BN, yang mungkin melakukan sabotaj semasa PRU nanti.

Walaupun dari segi perbandingan, pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat diberi kepujian kerana lebih cekap dan telus daripada kerajaan negeri pimpinan BN, namun semua itu tidak banyak diketahui rakyat.

Pagi petang siang malam media tali barut Umno-BN dipergunakan sepenuhnya untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. Tiada yang baik dari Pakatan Rakyat, semuanya buruk dari sisi media Umno-BN.

Mereka bukan sahaja memfitnah Pakatan Rakyat, malah berusaha keras untuk memecahbelahkan pakatan PAS, KeADILan dan DAP dengan menimbulkan pelbagai isu sensitif.

Isu-isu sensitif ini dilontar, sama ada berpunca daripada kelemahan Pakatan Rakyat dan juga berpunca daripada manipulasi media di atas kenyataan pemimpin tertentu.

Di atas kesempatan yang diambil media talibarut Umno-BN ini, jelas mereka berjaya memalitkan persepsi buruk kalangan tertentu terhadap Pakatan Rakyat.

Dalam soal politik, Umno-BN nampaknya seakan-akan berjaya memalit persepsi buruk bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai kestabilan politik, tidak bersatu padu dan tidak mempunyai polisi yang jelas. Rakyat yang 'beriman' kepada media massa akan mempercayainya, walaupun hakikat sebenarnya tidak begitu.

Begitu juga dalam soal ekonomi, Umno-BN mempunyai kelemahan yang cukup besar. Mereka gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik, penuh dengan rasuah dan ketirisan serta salah laku.

Namun, menerusi manipulasi media talibarut, ada kalangan rakyat yang terpedaya sehingga mempercayai bahawa ekonomi negara sedang pulih dari kemelesetan.

Inilah masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat sebenarnya. Walaupun Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin yang berkredibiliti, telus, transparen dan memerintah dengan adil, tetapi kebanyakan rakyat tidak mengetahuinya.

Kita harus disedari, persepsi sebegini amat berbahaya. Sebabnya orang yang menjadi ahli kepada parti politik yang bergabung dalam Pakatan Rakyat tidak ramai berbanding orang yang di luar sana.

Dalam erti kata lain pengundi atas pagar memainkan peranan amat penting dalam PRU ke-13. Mana-mana parti yang dapat 'catch' minda mereka, menerapkan persepsi baik, parti itulah yang akan diundi menerajui negara.

Persepsi ini adalah fenomena sementara yang boleh memberikan impak yang besar. Walaupun mungkin pengundi atas pagar sudah mengetahui Umno-BN mempunyai puluhan salahlaku, tetapi mungkin hanya dengan satu kebaikan sahaja, boleh menenggelamkan puluhan kesalahan Umno-BN.

Setakat ini berdasarkan kajian yang dibuat Merdeka Centre, trend rakyat yang cenderung terhadap Pakatan Rakyat dan BN masih 50:50. Ianya adalah paras berbahaya bagi kedua-dua pihak.

Tetapi harus diingat bahawa sokongan terhadap BN boleh menokok kerana ada kalangan rakyat yang cenderung kepada stail kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kerana ada tinjauan yang mengatakan populariti Najib menokok sehingga 70 peratus.

Walaupun Najib tidak banyak berbeza berbanding bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun ada persepsi yang cenderung bahawa Najib lebih baik daripada Mahathir dan Abdullah.

Oleh itu, ada penganalisis yang menjangkakan bahawa keyakinan pengundi terhadap populariti Najib, boleh memberi kelebihan kepada Umno-BN, walaupun kebanyakan rakyat cenderung menolak Umno-BN.

Persepsi baik terhadap Najib ini amat membahayakan Pakatan Rakyat. Najib dilihat baik kerana beliau tidak sekeras pendekatan Mahathir dan tidak selembap cara Abdullah.

Pakatan Rakyat juga harus memperhalusi beberapa kesan daripada keputusan pilihan raya kecil seperti di Bagan Pinang, Manek Urai, Hulu Selangor dan Galas.

Sebabnya ada andaian yang mengatakan terdapatnya fakta yang jelas bahawa ada di sekitar 5-7 peratus orang Melayu 'sudah kembali' menyokong BN. Angka-angka ini tidak semestinya accurate. Namun, ia cukup untuk dijadikan garis panduan yang kritikal.

Harus dikaji juga bagaimana trend kaum India dan Cina, supaya jika penurunan undi dari kalangan Melayu misalnya, dapat ditampung.

Ada juga tinjauan yang membimbangkan dari kalangan pengundi-pengundi muda. Dikhabarkan wujud pertambahan sekitar 10-20 peratus pengundi baru.

Trend pengundi-pengundi baru ini sukar dijangka. Mereka barangkali tidak menganggotai parti politik, atau mungkin juga tidak minat politik.

Selalunya sokongan golongan muda ini bersandarkan kepada populariti personaliti tertentu. Kuasa politik bukan sahaja harus disandarkan kepada akidah dan komitmen perjuangan, perlu diketengahkan bakal-bakal pemimpin atau personaliti tertentu yang dikenalpasti boleh menarik sokongan pengundi baru.

Pada hemat penulis, inilah di antara rangka program penting yang harus diperhalusi Pakatan Rakyat pada konvensyen kedua yang akan diadakan pada 19 Disember 2010 di Pulau Pinang.

Persediaan yang rapi harus dibuat bagi menghadapi pilihan raya. Masing-masing pemimpin harus merendahkan ego mereka, mengetepikan kepentingan peribadi dan meletakkan matlamat menumbangkan BN sebagai yang paling utama.

Harus dibincangkan bagaimana Pakatan Rakyat menangani fitnah. Bagaimana Pakatan Rakyat boleh mengelak daripada menimbulkan isu-isu yang kontroversial, yang boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Oleh itu, jangan sesekali dijadikan konvensyen nanti sebagai 'funfair' untuk menghimpunkan ahli dan penyokong mendengar yang positif sahaja mengenai Pakatan Rakyat.

Ambillah kesempatan untuk bermuhasabah diri, ambillah peluang untuk memperkukuhkan kesatuan, agar mendapat kepercayaan majoriti rakyat untuk menerajui negara selepas PRU ke-13 nanti.

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut