Detikdaily

Ahad, 23 Januari 2011

Tak Mustahil PAS Akan Menang Di Tenang- Presiden PAS

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata peluang Pakatan Rakyat untuk meramps kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang bermula hari ini adalah 50:50 tetapi “tidak mustahil” untuk menang.

Menurut Abdul Hadi, Pakatan yang meletakkan calon PAS Normala Sudirman mempunyai peluang cerah sekiranya maklumat dapat disampaikan dengan tepat kepada pengundi di DUN Tenang.

“Peluang kita (Pakatan Rakyat) 50 peratus, begitu juga Barisan Nasional (BN), tidak mudah untuk kita menang tapi ia tidak mustahil.

“Kita letak 50 peratus dulu tapi kempen kita bergerak bermula dari 40 peratus, di Johor kita sudah menang dua kerusi. Jadi peluang (menang) memang ada.

“Malah perubahan besar sudah berlaku di sini (Johor), BN juga hadapi masalah malah kedudukan Umno juga tidak kuat,” kata beliau ketika ditemui di proses penamaan calon DUN Tenang di pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Pakatan Rakyat meletakkan Ketua Muslimat PAS Labis, Normala, bekas guru manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 38.

Tambah Abdul Hadi, pengundi muda di DUN Tenang merupakan penentu kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan itu.

“Pengundi muda yang dapat menatap media baru, mereka boleh mendapatkan maklumat yang tepat. “Bagi saya pengundi muda adalah undi penentu, di sini BN tiada undi Orang Asli, malah undi warga Felda juga sudah memihak kepada kita.

“BN tiada undi deposit di sini, kita mempunyai peluang kerana meletakkan calon anak tempatan bukan BN yang meletakkan calon yang sudah lama meninggalkan kawasan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang. Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang. Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.


Isnin, 10 Januari 2011

Hamba politik Umno-BN bakal terima hukuman

Oleh Mohd Rashidi Hasan

NEGARA jadi susah apabila pegawai-pegawai kerajaan, sudah mempamerkan diri mereka menjadi balaci orang-orang politik, sama ada untuk kepentingan peribadi mereka mahupun untuk kepentingan orang-orang politik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan boleh menafikan pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat kerana politik.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Munir Bani juga menafikan beliau menjadi alat politik Umno dalam kes ini.

Malah Khusrin juga menafikan beliau alat politik Umno-Barisan Nasional.

Siapa hendak percaya cakap Sidek, Munir dan Khusrin? Bolehkah dipercayai pelantikan Khusrin tidak ada kena mengena dengan politik atau dalam erti kata lain, ianya dibuat mengikut pure government procedure?

Semua orang tahu, politik ada di mana-mana. Bukan dalam parti politik sahaja. Dalam rumah, di pejabat, dalam persatuan, di mana-mana sahaja kita tidak boleh menolak wujudkan politiking.

Justeru jika pelantikan Khusrin dengan mengetepikan ramai pegawai kerajaan yang lebih senior tidak dibuat berdasarkan kehendak politik, KSN mengikut prosedur mana? Adakah khidmat Khusrin sebagai pegawai kerajaan begitu cemerlang? Adakah kerana merit?

Berdasarkan maklumat penulis, ramai pegawai kerajaan yang marah dan kecewa apabila Khusrin yang lebih junior naik mendadak.

Jika pelantikan Khusrin tidak ada kena mengena dengan politik, mengapa KSN atau pihak tertentu terus by-pass kerajaan negeri? Mengapa tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar?

Hakikat yang disembunyikan ialah Umno-BN sedia mengetahui, Kerajaan Pakatan Rakyat berusaha menyusun pentadbiran negeri secara telus dan demokratik.

Menteri Besar mahu memilih pegawai yang cemerlang dan komited serta non-partisan menjadi SUK. Nama-nama pegawai kerajaan yang dicadangkan menjadi SUK, bukannya datang dari orang politik. Ianya datang dari kalangan pegawai-pegawai kerajaan sendiri.

Apabila Umno-BN tahu kebanyakan pegawai-pegawai terbabit tidak memihak kepada mereka, lalu mereka terus by-pass kerajaan negeri kerana mengetahui kuasa melantik SUK di bawah kerajaan pusat.

Walaupun begitu, dari segi amalan demokrasinya, oleh kerana SUK akan bertugas di bawah MB, maka kebiasaannya MB mengetahui siapakah yang akan dilantik menjadi SUK, sebagai ketua kepada semua pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Namun di sinilah 'kurang ajarnya' Umno-BN. Mereka tidak mahu menghormati kerajaan yang sah, dipilih oleh majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Umno-BN tidak mahu menghormati demokrasi. Umno-BN mahu mensabotaj kerajaan negeri dengan mempergunakan pegawai-pegawai kerajaan untuk menjadi alat politik mereka.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK tidak mempunyai asas kukuh selain kejayaannya menjadi alat politik Umno-BN semasa menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Khusrin didapati membelakangkan kerajaan negeri atas alasan beliau menjalankan titah Sultan. Hakikatnya bukan titah Sultan, tetapi titah pemimpin Umno-BN.

Khusrin melarang AJK Masjid dan Surau di seluruh Selangor menjemput Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (dan lain-lain ulama PAS) menyampaikan kuliah kerana, kedua Tuan Guru ini tidak mempunyai tauliah.

Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din juga mengalami nasib yang sama. Semasa Khusrin menjadi Pengarah Jais di bawah Menteri Besar, Dato' Seri Dr Khir Toyo, pernah diserbu beberapa kali (sehingga hendak ditangkap) dan dilarang menyampaikan kuliah atas dakwaan tiada tauliah.

Siapa Khusrin atau juak-juak Umno di Selangor hendak mempertikaikan kewibawaan agama alim ulama PAS?

Secara sinisnya penulis mahu menyebut, sebelum Khusrin kenal 'alif ba ta', belumpun pegawai-pegawai Jais yang diarahkan membuat larangan dan serbuan ini diberanakkan, tokoh-tokoh PAS ini sudah mengajar agama.

Siapa Khusrin yang hendak mempersoalkan keilmuan dan ketokohan mereka, jika tidak dibuat larangan kerana menurut kehendak politik Umno-BN?

Untuk menghalalkan tindakannya,Khusrin sering mempergunakan peraturan di bawah Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mensabitkan kesalahan mengajar tanpa tauliah boleh didenda RM3000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Inilah hasil kejahatan Khursin terhadap perkembangan agama Islam di Selangor, menjadi dalang kepada Umno-BN, sehingga dinobatkan menjadi SUK.

Pada pendapat penulis, ada dua analogi, sama ada Sidek atau Munir tidak mengetahui latar belakang Khusrin, atau kerana latar belakang itulah beliau dipilih.

Kita lihat pula, dalam kes yang membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Didakwa dengan jelas bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (semasa dalam tugasnya) memalsukan ujian DNA untuk memastikan Anwar dipersalahkan dalam mahkamah.

Untuk tujuan apa Gani dan Musa terbabit dalam pemalsuan ini? Bukankah ianya ada tujuan politik dengan mengikut nafsu serakah pemimpin Umno-BN yang diketuai oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ketika itu?

Bukankah tindakan ini membuktikan mereka selaku pegawai kerajaan, menjadi alat bagi memenuhi kehendak politik Mahathir, supaya dengan apa cara sekalipun, Anwar mesti dihukum.

Kes membabitkan Anwar juga memperlihatkan bagaimana kegelojohan pemimpin Umno-BN, melantik Hakim lompat dari jawatan yang junior terus naik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, seperti Dato' Augustine Paul.

Hakim Paul terkenal dalam sejarah perundangan negara kerana kerap mengeluarkan keputusan menolak fakta-fakta dari pasukan peguambela Anwar. Beliau sering mengucapkan ungkapan irrelevant (tidak relevan) setiap kali tidak bersetuju dengan peguambela.

Dalam perbicaraan kes kedua Anwar, Hakim Dato' Ariffin Jaka juga begitu. Beliau juga dilihat menjadi alat kepada Umno-BN.

Ramai hakim-hakim dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak diyakini kredibiliti mereka selepas banyak kes yang meragukan.

Gelagat hakim jika hendak ditulis begitu banyak. Ada hakim yang dibayar perjalanan ke luar negara, semuanya disenyapkan. Kes melibatkan VK Lingam juga disenyapkan.

Malah sistem perundangan negara menjadi kucar kacir dan tidak lagi dipercayai rakyat selepas berlakunya pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988.

Semua ini berlaku akibat jenayah pemimpin Umno-BN. Mereka mempergunakan semua aspek dalam perjawatan kerajaan untuk kepentingan politik.

KSN, SUK, IGP, AG, Hakim, Polis semuanya dijadikan 'hamba-hamba' politik Umno-BN. Demi jawatan, pangkat, kesenangan dan kepentingan diri, mereka-mereka yang dibayar gaji oleh rakyat, untuk menjalankan tugas secara adil dan saksama, sudah terjebak menjadi pelacur-pelacur politik yang durjana.

Apakah semua pegawai-pegawai kerajaan ini berfikir bahawa rakyat akan mempercayai mereka? Mempercayai tindakan mereka tidak berasaskan kepada kepentingan politik Umno-BN?

Pakatan Rakyat harus bertekad membersihkan sistem pentadbiran negara dari manusia spesies seperti ini. Kita harus bertekad, sesiapa sahaja yang jelas, secara terbuka menjadi balaci Umno, jika kita memerintah nanti, mereka ini dahulu akan 'dikerat' dari kerajaan.

Tekad ini bukan tekad pemimpin Pakatan Rakyat sahaja, ia adalah aspirasi dan kehendak rakyat, iaitu membersihkan sistem pentadbiran negara dari tangan-tangan kotor Umno-BN, seterusnya mengembalikan sistem demokrasi ke landasan yang sebenar.

Justeru tiada label atau gelaran yang sesuai untuk mereka-mereka ini, selain daripada menyamakan mereka dengan watak-watak yang dipaparkan oleh Dato' Shahnon Ahmad dalam novel SHIT dan satira karya Yahaya Ismail bertajuk Maharaja Beruk suatu ketika dahulu.

Selamatkan Malaysia dari kedurjanaan mereka!


Selasa, 4 Januari 2011

Perang puak Umno Kedah makin menjadi-jadi

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Blog Pria Malaya memetik pendedahan 'Kedahleaks' oleh blogger Kedah Times (sebuah blog pro BN) perihal skandal oleh bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut Kedahleaks semasa menjawat jawatan pemangku Menteri Besar Kedah selama enam bulan, Mahdzir Khalid telah melakukan urusniaga balak dengan pemberian tender secara tertutup membolehkan beliau mengutip hasil peribadi yang dimasukkan kedalam beberapa akaun proksi bernilai RM10juta.

Dedah blog itu, seorang kerani kewangan di Pejabat Menteri Besar semenjak era Tan Sri Sanusi Junid, kini bertugas di bahagian pembelian dan kewangan SADA, mengesahkan perkara ini kerana beliau antara salah seorang yang ditugaskan untuk memasukkan wang kutipan berkenaan kedalam akaun peribadi orang tertentu.

Mahdzir Khalid, menurut Kedahleaks, menggunakan jet TUDM dan jet pihak swasta yang disewa dari seorang Kapten untuk semua urusan rasmi dan peribadi meskipun pekeliling dan arahan pentadbiran tidak melayakkan beliau berbuat demikian. Arahan perbendaharan mewajibkan MB mesti menaiki pesawat komersial Malaysia Airlines. Hutang tertunggak sewa jet berkenaan kini mencecah RM1.2 juta. Dakw

a blog itu lagi, mengikut rekod bendahari Negeri menunjukkan sejumlah RM4.4 juta dibelanjakan untuk lebih 23 kali lawatan keluar negeri sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.

Satu pendedahan yang mengejutkan (jika benar) ialah kononnya semasa menjadi Pemangku Menteri Besar, beliau telah mengupah wartawan TV3 dan Jeffery jurukamera dengan bayaran RM450,000 termasuk hadiah sebuah kereta BMW3series dan Honda CRV dengan tujuan mendedahkan satu persatu apa yang dikatakan kepincangan pentadbiran Syed Razak (MB Kedah yang sedang sakit diserang mild stroke ketika itu).

Mahdzir Khalid, dakwa Kedahleaks lagi, dengan kuasanya sebagai Menteri Besar telah menjadikan para pegawai khasnya kaya raya dan jutawan segera.

Saya tidak tertarik untuk mengetahui benar atau salah dakwaan yang disenaraikan itu kerana ia bersumberkan blog oleh penulis hantu. Ia boleh jadi semuanya bohong. Atau semuanya benar. Dan mungkin juga bercampur antara yang benar dan bohong.

Hari ini blog tidak boleh dijadikan sumber rujukan yang kuat atau muktabar, kerana jika ada pihak diserang oleh blog yang selama ini menyerang pihak lawannya, maka terpaksalah pihak tersebut membuat dua piawaian yang berbeza. Bukankah hipokrit namanya?

Macam media pro BN yang beriya-iya mensahihkan dakwaan (kononnya) Anwar benar-benar peliwat berdasarkan sumber Wikileaks. Apabila tiba-tiba Wikileaks mendedahkan pula seorang menteri BN adalah perogol maka tercungap-cungap mereka mencari dalih.

Apa yang mahu saya dedahkan ialah sikap puak-puak di dalam Umno negeri ini sedang bertungkus lumus bekerja keras untuk menjatuhkan musuh politik mereka sesama parti. Serangan melalui medan maya adalah antara langkah yang digunakan secara meluas dan terbuka.

Apa yang sedang dihadapi oleh Mahdzir sekarang ialah usaha nekad untuk menyahkan beliau dari persada kepimpinan Umno Kedah. Mahdzir diangkat sebagai ketua pembangkang kerana beliau bekas Menteri Besar. Jika berjaya BN merampas Kedah maka ketua pembangkanglah adatnya menjadi Menteri Besar. Namun untuk Mahdzir, jawatan ketua pembangkang itu juga mahu dinyahkan darinya selepas beliau dilucutkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Terkini Pengerusi Perhubungan Umno Kedah ialah ADUN Bakar Bata yang menang pilihanraya dengan 358 undi, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah. Pelantikan yang dibuat oleh Presiden Umno itu begitu mengecewakan penyokong Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Mukhriz hanya diberi jawatan Timbalan Pengerusi sebagai ‘gula-gula’ untuk meredakan kemarahan penyokongnya. Bagi penyokong Mukhriz, Ahmad Bashah tidak mampu menarik sokongan golongan muda, memandangkan beliau adalah ADUN warisan zaman Tan Sri Osman Aroff lagi. Zamannya sudah berlalu. 11 ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian yang dipimpinnya meletak jawatan kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan bahagian yang diterajuinya. “Bahagian sendiri pun kelam kabut, nak mampu nak satukan, macam mana nak satukan Umno Kedah?” ujar pengkritiknya.

Sementara penyokong Ahmad Bashah membalas kritikan tersebut dengan menonjolkan kelemahan Mukhriz. “Nak tarik golongan muda konon, piiraahh, nak tarik Pemuda Umno sokong dia pun tak mampu sampai kalah di tangan Khairy, macam mana nak tarik golongan muda yang bukan ahli Umno…” balas pengkritiknya.

Perang puak dalam Umno Kedah menjadi sangat menarik. Jika mahu dibuat catatan, boleh buat kitab setebal hikayat seribu satu malam.

Beberapa hari selepas dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno, Mukhriz melancarkan Gelombang Merah Tawan Kedah di Kuala Nerang. Masyarakat dapat menilai apa rasionalnya program tersebut dibuat tanpa kehadiran Pengerusi Perhubungan serta lain-lain pemimpin utama Umno negeri. Takkanlah nak gerakkan gelombang tawan negeri setaraf dengan program mesyuarat agung cawangan? Jangankan gelombang, riak pun tak nampak. Program tersebut tidak mendapat sambutan ahli-ahli Umno tempatan sendiri. Kredibiliti politik Mukhriz jatuh tersepuk. Kebetulan di sebelah malamnya, seluruh rakyat Malaysia meraikan kejayaan meranapkan gelombang merah di Stadium Bung Karno.

Hakikatnya siapa pun yang naik memimpin Umno Kedah maka nasib yang dialami sama saja, iaitu tidak akan mendapat sokongan padu ahli-ahli serta kepimpinan bawahan mereka. Tiada lagi tokoh penyatupadu Umno di Kedah macam di zaman Tun Mahathir, Osman Aroff, Sanusi Junid dan Syed Razak Syed Zain. Umno Kedah sedang bergelut di hujung nyawa, sementara menunggu kuasa mereka di Pusat runtuh menyembah bumi.

http://warta-utara.blogspot.com/



Isnin, 3 Januari 2011

Tahun 2010 Akan 'Dimeriahkan' Dengan kenaikan Harga Barang

Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Jika rakyat tidak memprotes dari awal, kita akan melihat tahun baru ini menyaksikan kenaikan harga barang yang membimbangkan. Kesannya akan dirasai oleh rakyat bawahan terutama mereka yang berpendapatan rendah. Para peniaga di pelbagai peringkat akan mengambil kesempatan dalam hal ini. Maka beberapa perkara berikut perlu saya katakan;


1. Pihak kerajaan; jika mereka tidak mengambil langkah yang berkesan dalam mengawal kenaikan harga barang bererti slogan 1Malaysia: ‘rakyat didahulu’ bermaksud rakyat yang didahulukan dalam menanggung beban hidup, sedangkan golongan pembesar negara dan istana terus kemewahan dan pelbagai peruntukan, mereka dikemudiankan.

2. Golongan agama; jangan menyempitkan Islam dalam batasan yang terhad. Jangan hanya ceramah agama di media elektronik dan cetak sekadar menekan orang bawahan semata, tetapi melupai ‘kerakusan’ sesetengah golongan atasan. Ceramah dalam isu yang remeh temeh tetapi membiarkan rakyat hidup dalam ‘social justice’ yang tidak seimbang. Para penceramah jangan sekadar ‘guna agama untuk cari makan’, tetapi hendaklah agama berfungsi dalam menegakkan hak dan keadilan.

3. Golongan peniaga; mereka wajib beretika dalam perniagaan mereka. Kerakusan peniagaan akan merosakkan negara dalam jangka masa panjang dan akhirnya tiada pihak yang dapat hidup senang. Bagi yang muslim, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dalam urusan perniagaan mereka.

4. Media massa; hendak pro-aktif menentang usaha kenaikan harga barang ini. Golongan yang menindas rakyat bawahan ini hendaklah dikecam dan didedahkan bahaya mereka kepada masyarakat.

5. Rakyat; Pastikan anda menjadi pembeli yang bijak dalam memilih kedai atau pasaraya. Di samping itu, anda juga mesti menjadi pengundi yang bijak yang bersedia menghukum pihak yang membiarkan kenaikan harga barang dan ‘mengumpulkan’ kekayaan negeri atau negara dalam kalangan mereka sahaja.

Selamat Tahun Baru

http://drmaza.com/


PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut