Detikdaily

Khamis, 26 Mei 2011

Umno yang cemas dan lemas; rakyat ok-ok sahaja

Oleh Dr Khairuddin Abdul Malik

Tidak siapa di dunia ini percaya Umno adalah parti Islam. Buktinya sahabat sekelambu Umno: iaitu MCA awal-awal lagi memberikan amaran supaya Umno jangan pandai-pandai ajak PAS masuk BN kecuali jika PAS menggugurkan hasrat untuk melaksanakan prinsip Islam di Malaysia.

SEJAK pilihan raya Sarawak berakhir,negara gegak gempita dengan ucapan-ucapan retorik pemimpin-pemimpin Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tajaannya Perkasa.

• Orang Cina tak berterima kasih dan tak mengenang jasa Barisan Nasional (BN).

• Orang Cina nak ambil alih kuasa daripada Melayu.

• DAP ada agenda nak singkirkan kuasa Melayu.

• Kalau orang Cina tak sokong MCA,tidak ada lagi suara Cina di Putrajaya dan orang Cina akan merana.

• PAS susah-susah dukung Pakatan Rakyat,tapi DAP yang menang.

• Lebih baik PAS bersama Umno kuatkan kuasa Melayu.

• Buat apa PAS berpakat dengan DAP, kerana DAP tak pernah pun memperjuangkan Islam.

Malah media lidah bercabang Umno, Utusan Malaysia lebih jauh lagi mendedahkan betapa membarahnya roh Umno yang sedang sakit itu dengan kenyataan seperti berikut :
"Umno-BN disarankan lupakan sahaja undi orang-orang Cina dan mengajak orang-orang Melayu bersatu dengan slogan baru ‘1Melayu , 1Bumi’.

Penulis bahkan dimaklumkan oleh rakan-rakan daripada Kementerian Pelajaran jagaan Muhyiddin Yassin (TPM Malaysia),kursus dan pelbagai seminar yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran mengugut kakitangan kerajaan tentang kemungkinan DAP akan menguasai Malaysia. Diceritakan betapa jahatnya DAP. Namun, PAS tidak diserang sekadar menyatakan PAS tanpa sedar sedang diperalatkan oleh DAP.

Sebagai doktor perubatan dan sekali gus pengawal sains politik, penulis akan gagal jika tidak membuat – diagnosis-diagnosis berikut terhadap pesakit saya yang bernama Umno.

i. Umno sedang menghidap penyakit ‘Senile Dementia’-pelupa dan kurang kekuatan intelek. Kejap Satu Malaysia kejap Satu Melayu. Seolah-olah pesakit kena telan ubat cirit dan ubat sembelit sekali gus!

ii. Umno sedang menghidap sakit jiwa bertaraf psikosis dengan ciri-ciri halusinasi dan delusi-semua orang salah,dia sahaja yang betul, Nampak bayang katanya hantu.

iii. Umno sedang mengidap penyakit fizikal yang berupa kerosakan menyeluruh pelbagai organ (multi-organ failure)-selalu pening pitam,sesak nafas,perut membusung dan kaki membusuk gangrene. Hutang negara menggunung, rasuah tak terkawal, jenayah berleluasa, gejala sosial luar kawalan dan hubungan perpaduan rakyat yang tercalar.
iv. Umno sedang menghidap andropause-lelaki tua yang bernafsu besar, kuat cemburu, asyik tuduh isteri main mata dengan jejaka muda dan suka menuduh lelaki yang lalu lalang di depan rumah cuba menggoda isteri yang gagal diberikan nafkah. Umno dah tak boleh jaga MCA, Gerakan dan MIC dan tak habis-habis mengugut MCA dan MIC. Pulak tu kuat cemburu dengan lelaki-lelaki tampan bernama PAS dan DAP.

v. Umno sedang menghidap sakit ‘fiqulubihim marodun’ (al-Baqarah: 10): qulub (hati) yang dipenuhi sifat-sifat mazmumah-dengki, buruk sangka, takbur, ujub dan ragu-ragu (syak). Dengan pengundi Melayu katakan PAS jadi alat DAP dan gadaikan Islam. Dengan pengundi Cina, Umno kata PAS parti ekstrem nak potong segala kepala orang Cina. Umno ajar MCA supaya sebut "Satu undi untuk DAP bermakna satu undi untuk negara Islam." Benci sangatkah Umno kepada Islam? Itulah tanda-tanda munafik yang dinukilkan dalam al-Quran.

Benarkah DAP perkauman dan anti-Melayu?

Penulis bukan peminat setia DAP dan tidak juga memusuhi DAP. Namun penulis sudah bergaul dan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin DAP peringkat negeri sejak 1988. Memang benar kebanyakan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli DAP orang Cina tetapi di Perak tidak kurang juga ahli-ahli DAP daripada bangsa Melayu, India dan Sikh. Bahkan di Perak bebarapa orang Melayu pernah memimpin DAP Perak dan memenangi kerusi-kerusi Dun atas tiket DAP. Antaranya, Salleh Nakhoda Hitam, Ibrahim Singgah, Fadzlan Yahya dan Asri Othman. Bahkan di peringkat nasional, tokoh-tokoh Melayu yang menjadi pemimpin DAP terus ada dari semasa ke semasa. Antaranya, Allayarham Ahmad Nor dan kini Tengku Aziz. Orang mungkin lupa Karpal Singh adalah pengerusi DAP dan orang seperti Karpal Singh langsung tidak berminat tentang agenda berasaskan kaum, baik atas nama Melayu, Cina ataupun Sikh. Orang secelupar Karpal Singh tidak mudah menerima agenda Cina di Malaysia.

Karpal Singh dan ramai pemimpin DAP adalah pemimpin-pemimpin yang berideologi sekular yang sangat taat memperjuangkan ‘Rule of Law’ berasaskan Perlembagaan Malaysia yang mereka anggap seperti ‘kitab suci’ mereka. Buktinya Karpal Singh pernah membela kakitangan perempuan Melayu beragama Islam yang dipecat jawatan kerajaan kerana memakai purdah. Bukan Karpal Singh sukakan Islam dengan amalan menutup aurat tetapi beliau sangat menghormati prinsip undang-undang yang mempertahankan hak-hak asasi manusia dan segi berpakaian dan mengamalkan agama masing-masing.
Lim Guan Eng pula pernah dipenjarakan kerana memperjuangkan hak seorang gadis sunti Melayu yang dikatakan dirogol oleh seorang Ketua Menteri daripada Umno ketika itu. Lim Kit Siang pula pernah ditahan ISA kerana menentang kekecohan perkauman cetusan Umno-MCA. Gobind Singh Deo pula digantung oleh Parlimen tanpa elaun kerana mempertikaikan tindak-tanduk Dato’ Seri Najib Razak dalam isu ‘rasuah kapal selam dan pembunuhan Altantuya’.

Benarkah PAS parti boneka Cina-DAP?

Wajar diperingatkan PAS adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang secara tegas, tidak berselindung dan istiqamah mengaku sebagai sebuah parti Islam yang bercita-cita di negara Malaysia ini terlaksana hukum-hakam dan nilai-nilai hidup yang berteraskan al-Quran dan As-sunnah. Dengan kata lain akidah perjuangan PAS adalah Islam dan matlamat keberadaan ahli-ahli PAS dalam politik adalah demi mencari keredaan Allah. Wajar juga diperingatkan dasar Islam PAS tidak pernah berganjak dan tidak akan dikorbankan. Adapun cara, kaedah dan pendekatan mencapai matlamat PAS ataupun istilah yang selalu digunakan – Strategi - akan diubahsuai dari semasa ke semasa berdasarkan suasana, keperluan dan mengambil kira faktor untung-rugi. Namun strategi yang PAS gunakan tidak akan menyalahi prinsip-prinsip al-Quran dan As-sunnah. Bahkan banyak disandarkan dengan sirah (perjalanan perjuangan Rasulullah) dan iktibar gerakan-gerakan Islam lain yang lebih awal.

Testimoni kepda strategi berbeza yang PAS gunakan dapat dilihat dalam sejarah panjang perjuangan PAS dalam politik Malaysia. PAS juga satu-satunya parti yang pernah bergabung dan bekerjasama atau bertahaluf dengan pelbagai entiti politik di Malaysia. PAS pernah bersama Umno-BN, APU (Semangat- 46 dan Berjasa), dan bersama Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat.

PAS juga biasa bersendirian. Semasa PAS bertahaluf dengan BN tentulah PAS juga bekerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Semasa bersama dengan APU juga ada hubungan tak langsung dengan PBS di Sabah. Ini bermakna PAS sangat terbuka dan tidak jumud dalam tindakan dan pendekatannya.

Apa makna kepada strategi PAS yang pelbagai tersebut? PAS tetap sama dan tidak pernah menggadai perjuangan. Buktinya mudah. Dikala PAS tidak diperlukan oleh Umno, ketika itu PAS akan dicerca sebagai memperalatkan Islam dan mengkafirkan orang Umno. Tetapi ketika Umno gila talak mahukan PAS menyertai BN, tiba-tiba Umno berubah! Seperti kata PM Najib: "PAS sebagai parti Islam tentu lebih sesuai dengan Umno. Cita-cita Islam PAS lebih mudah dicapai melalui BN." Yang pasti dan tetap adalah: PAS sama ada di kaca mata Umno, DAP, KeADILan mahupun MCA adalah parti Islam.

Tidak siapa di dunia ini percaya Umno adalah parti Islam. Buktinya sahabat sekelambu Umno: iaitu MCA awal-awal lagi memberikan amaran supaya Umno jangan pandai-pandai ajak PAS masuk BN kecuali jika PAS menggugurkan hasrat untuk melaksanakan prinsip Islam di Malaysia. Makna kedua bagi kenyataan MCA itu adalah selama ini MCA boleh menerima Umno sebagai rakan kongsi kerana Umno menolak Islam. Berbeza dengan DAP, mereka tahu PAS memperjuangkan Islam tetapi tidak pernah mendesak PAS untuk menggugurkan dasar murni PAS tersebut.

Atas hujah-hujah tersebut bagaimana mungkin orang yang berakal (tidak gila) dan cerdik boleh percaya PAS sudah jadi alat atau boneka DAP. Adakah pernah orang DAP meminta lesen judi dan lesen arak yang PAS luluskan sebagaimana Umno luluskan beratus-ratus lesen judi dan arak kepada tauke-tauke MCA.

Adakah pernah PAS cuba kambus jenayah dan rasuah DAP sebagaimana Umno cuba selamatkan tauke-tauke MCA seperti dalam skandal Perwaja Terengganu, Bakun Sarawak dan PKFZ dan semua skandal berbilion-bilion ringgit di Malaysia ini selalunya adalah gabungan makar Umno dan MCA. Terlalu banyak bukti bahawa MCA-lah yang tunggang Umno atau dengan kata lain Umno adalah boneka MCA.

Sekadar PAS mempertahankan wakil-wakil rakyat DAP yang memasuki surau atau masjid untuk berucap dan menyampaikan bantuan kepada fakir miskin itu bukan boneka DAP. Itu maknanya PAS boneka Islam kerana uslub dakwah Islam tidak pula menghalang orang-orang bukan Islam memasuki surau atau masjid kerana itulah yang pernah diamalkan oleh Rasulullah di Madinah.

Keputusan PAS yang hanya ada satu kerusi bersetuju untuk menjadi kompenan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin pleh DAP di Pulau Pinang adalah satu kewajaran. Yang tidak wajar adalah apabila Umno menang paling banyak kerusi di Pulau Pinang, tiba-tiba serah kerusi Ketua Menteri kepada Gerakan. Bukankah itu juga bermakna Umno adalah boneka kepada Gerakan. Sehinggakan pada tahun 2007 hanya 1.6 peratus sahaja tanah milik orang Islam yang wujud di Pulau Pinang akibat kebaculan Umno. Komplot Umno-Gerakan-MCA selama 50 tahun adalah punca longlainya Melayu/Islam Pulau Pinang. Kenapa tiba-tiba sekarang DAP dan PAS dipersalahkan?

Nyata bahawa ungkapan PAS boneka DAP adalah ciptaan Umno sebagai propaganda memburukkan PAS bagi mengalihkan segala kepincangan dan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu-Islam. Baik PAS atau Umno perlukan sokongan orang Cina untuk menang dalam pilihan raya. Mana lebih baik antara persahabatan PAS-DAP yang tidak rasuah dan bebas judi dengan persekongkolan Umno-MCA yang rasuah dan mesra judi. Terserah kepada orang Melayu untuk berfikir. Sementelahan pula mutakhir ini terbukti bahawa era MCA dipimpin Chua Soi Lek adalah sangat kuat bencinya kepada Islam.

Umno buta Matematik

Najib kata PAS kerja kuat untuk menangkan DAP. Orang-orang Melayu ditakutkan kemungkinan DAP akan menguasai negara atau beberapa negeri. Sekali lagi Umno tak habis-habis cuba memperbodohkan Melayu.

Di semua kerusi yang DAP memang baik kerusi Parlimen ataupun Dun - kerusi BN yang terus adalah sama ada kerusi MCA, MIC, PPP atau Gerakan. DAP tak kalahkan calon Umno. Bagaimana pula tiba-tiba DAP nak memerintah dan jadi anti-Melayu.

Statistik membuktikan,di seluruh negara ada 222 kerusi Parlimen. DAP hanya boleh bertanding tidak lebih 45 kerusi. Kalau menang 100 peratus DAP tetap tak boleh memerintah. Di Perak ada 59 kerusi Dun tetapi DAP hanya boleh bertanding dan menang di 18 kerusi sahaja. Di Sarawak ada 71 kerusi Dun dan DAP hanya bertanding 15 kerusi sahaja. Takkanlah orang Melayu nak ikut ketololan Umno yang buta Matematik.

Yang benar tetap benar. Kepalsuan tidak mungkin boleh bertahan lama. Politik baru akan terus mewarnai kehidupan rakyat Malaysia. Politik baru bermakna kebenaran, fakta, hujah, ketelusan, keikhlasan dan setiakawan. Politik lama ala Umno akan melabuhkan tirai. Sentiman dan perjuangan berdasarkan perkauman, kepentingan kelompok, benci membenci dan curiga mencurigai yang ditaja Umno tetap akan tewas kerana ia batil dan bertentangan dengan fitrah akal manusia.

Umno yang lemas dan cemas tak perlu kecoh. Rakyat ok, ok sahaja

Sabtu, 14 Mei 2011

Kesian Ahmad Basha terkontang-kanting kemudi Umno Kedah

Oleh Safar Jumaat

UMNO Kedah terpingga-pingga. Mereka sudah tahu siapa yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, tetapi mereka tidak nampak apakah peranan sebenarnya. Sehingga hari ini, sejak ia diumumkan dua bulan yang lalu, Dato' Ahmad Basha Md Hanipa hanya memanggil mesyuarat Badan Perhubungan dan tidak langsung mempunyai gerak kerja yang teratur.

Malahan, Ahmad Basha dilihat berseorangan. Dia tidak mempunyai kawan-kawan di Kedah sekarang jika dibandingkan dengan rakan-rakan sejawatan di negeri lain, sama ada di negeri yang BN menang atau pun di negeri yang BN kalah

Khabarnya, perlantikan Ahmad Basha dibuat oleh Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana mengenangkan Ahmad Basha adalah penyokong Najib. Bukan kerana kemampuan dan kewibawaan Ahmad Basha.

Peringkat awalnya, banyak pihak di Kedah mahukan Najib mengekalkan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mhdzir Khalid sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri tetapi, disebabkan bekas Perdana Menteri (PM) tidak berminat dengan Mhdzir, maka Najib tidak berani menghadapi risiko membuat perlantikan tersebut terhadap Mhdzir.

Kenapa Dr. Mahathir kurang berminat dengan Mhdzir? Ini disebabkan Mhdzir dikatakan memainkan peranan penting memastikan Dr. Mahathir tidak menang bertanding menjadi perwakilan tujuh (G7) Umno Bahagian Kubang Pasu – dalam era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno.

Kalau betul cerita ini, nampaknya Dr. Mahathir masih berperanan dalam politik Umno dan politik Barisan Nasional (BN). Malahan, perlantikan anaknya, Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah jelas membuktikan Najib mahu selamat dari serangan Dr. Mahathir.


Umum tentunya mengetahui, Dr. Mahathir suka menyerang sesiapa yang tidak disukainya. Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah salah satu contoh, jika akhirnya Abdullah terpaksa berundur kerana desakan dari Dr. Mahathir.


Ketika ini, khabarnya Ahmad Basha hanya membenarkan Mukhriz berurusan dengan tiga sayap parti di Kedah, iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri. Maknanya, Mukhriz jangan cuba memandai-mandai mahu campur tangan dalam soal ketua-ketua bahagian yang secara otomatik menjadi Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno.


Ahmad Basha juga bimbang dengan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah yang dikatakan aktif bergerak ke seluruh bahagian-bahagian. Walaupun sudah ada ikrar dari kepimpinan Mubarak Kedah yang diketuai Dato' Paduka Abdul Rahman Ibrahim bahawa mereka tidak berminat untuk ditawarkan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang, namun gesaan dan cadangan yang diutarakan kepimpinan Mubarak masih diperap.

Mukhriz juga menghadapi masalah sebenarnya di Kedah. Pertama dia bukan berjawatan di peringkat bahagian. Sukar juga baginya untuk memulakan langkah kerana pengalaman tidak ada untuk bekerja. Mukhriz tidak pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian walaupun pernah bertanding, namun dia tewas.

Ketika Ahmad Basha terkial-kial mahu memulakan langkah, nasib baik Naib Cencelor Universiti Utara Malaysia (UUM) membantu untuk memburuk-buruk imej kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak – dengan mengaitkan kononnya cukai tanah UUM dinaikkan.

Namun, Menteri Besar sudah memberikan penjelasan walaupun akhbar arus perdana menjadikan ia sebagai isu besar yang bertujuan menaikkan perasaan marah rakyat di Kedah terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat. Mereka timbulkan cerita UUM kurang air sedangkan kegagalan UUM menaik taraf infrastruktur bekalan air adalah punca sebenar mengapa berlaku kekurangan air.

Ketika mereka di UUM sibuk mahu membantu Umno-BN dan dalam masa yang sama menjejaskan imej kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat, mereka sendiri tidak tahu apa peranan mereka di UUM dan apa yang patut mereka buat, jika tidak mahu berlaku tekanan air rendah di UUM.

Jika masa yang mereka ada digunakan untuk melihat sendiri infrastruktur di UUM, tidak sibuk mengulas isu-isu politik dan tidak sibuk mahu menonjolkan populariti dengan kerap menjadi tetamu di televisyen, nescaya tekanan air rendah tidak berlaku di UUM.

Ahmad Basha usah terkejut jika jawatan yang disandangnya terlepas kali ini kerana Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tentunya berazam untuk merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat. Jika Najib tidak berkeyakinan, Ahmad Basha mempunyai kemampuan, walaupun mereka adalah kenalan lama, dan mempunyai sejarah kekeluargaan yang intim, Umno Kedah mungkin akan mempunyai Pengerusi BPUN yang baru tidak lama lagi.

Setakat ini, dua nama disebut-sebut. Pertama Mhdzir Khalid akan dilantik semula dan kedua, Mukhriz. Jika diukur dari dua nama ini, nama Mhdzir Khalid terkehadapan kerana kemampuannya sudah terbukti dan pengalamannya tidak boleh dipandang remeh.

Tetapi halangan yang bakal Mhdzir dan Najib hadapi ialah, serangan dari Dr. Mahathir jika perlantikan ini dibuat oleh Najib. Kata mereka yang mengenali Dr. Mahathir dari dekat, Dr. Mahathir boleh menerima sesiapa sahaja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah asalkan jangan Mhdzir.

Jadi, Najib kenalah mempunyai sedikit keberanian tetapi keberanian yang sedikit itu mestilah keberanian yang luar biasa, untuk bercanggah dengan kehendak Dr. Mahathir. Pernah sekali Najib bercanggah dengan Dr. Mahathir ialah ketika memilih Tan Sri Mohd Isa Abd Samad sebagai calon mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bagan Pinang, tidak lama dahulu.

Dr. Mahathir tidak mahu Mohd Isa dicalonkan tetapi Najib tidak akur dengan kehendak Dr. Mahathir itu. Adakah keberanian Najib akan dibuktikan sekali lagi kali ini dengan menukarkan Ahmad Basha dengan Mhdzir?

Atau, Najib mahu Dr. Mahathir senyap dengan melantik Mukhriz menggantikan Ahmad Basha kerana Najib sudah diberitahu bahawa Ahmad Basha tidak mempunyai kemampuan untuk mengorak langkah menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya?

Kali ini, sekali lagi Kedah akan bergelora dan cita-cita mereka untuk merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat akan hampa dan dihampakan oleh pengundi. Mereka akan terus bergaduh dan masa banyak mereka buang hanya kerana mereka sibuk bergaduh sama-sama sendiri.

Sabtu, 7 Mei 2011

Nasihat Umno Dulu Sebelum Ajak Pas Bersatu

Parti Islam Se-Malaysia terkejut dengan kenyataan Dr Juanda Jaya Mufti Perlis yang mengatakan siapa yang menghalang penyatuan PAS dan Umno adalah pengkhianat. PAS hendak menasihatkan Sahibussamahah jangan terlalu gopoh memberi pandangan mengenai perkara ini.

Perlu diingatkan sebarang pandangan yang keluar daripada orang agama ia mempunyai implikasi yang besar kepada orang awam. Sepatutnya sebagai seorang mufti perlu berpegang kepada disiplin untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, antaranya ialah perlu memahami tasawwur (gambaran sebenar) perkara yang hendak dihukum, barulah ia mendapat natijah yang betul.

PAS bimbang kenyataan ini akan diperalatkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, terutama Umno yang akan menjaja pandangan ini bahawa Umno hendak kepada perpaduan, yang tidak mahu kepada perpaduan ialah PAS, sehingga rakyat nampak PAS jahat, manakala Umno baik.

Pas tegas dengan prinsip bahawa penyatuan yang tidak berlandaskan kepada prinsip Islam, seperti bersatu dengan parti yang jelas mengkhianati amanah rakyat selama mereka memegang tampuk kuasa 54 tahun. Ketika bercakap soal perpaduan Melayu dalam masa yang sama tabiat jahat tidak pernah dibuang, seperti diskriminasi pada Kelantan mengenai tuntutan royalti minyak.

PAS menasihat kepada Sahibussamahah supaya menggunakan platform Mufti untuk menasihat pemimpin Umno BN supaya kembali kepada penghayatan agama dan laksanakan amanah dengan baik. Tegur mereka supaya tidak zalim kepada rakyat yang berlainan ideologi.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Memilih pemimpin semasa muktamar

Oleh Khalid Samad

Ada yang bertanya saya berhubung pemilihan yang akan diadakan semasa Muktamar tahun ini. Mereka bertanya, “atas dasar apa perlu kami memilih dan siapa patut kami sokong?” Saya menjawab secara umum, “pilih yang boleh menunaikan tanggungjawab yang datang bersama jawatan tersebut”.

Seperti yang sering diingatkan, jawatan adalah tanggungjawab dan bukan penghormatan. Atau dalam istilah yang digunakan Ketua Pemuda PAS Pusat, ‘takhlif laa tasyrif’. Ini bermakna, kita pilih seseorang itu dengan tujuan utama supaya dia memainkan sesuatu peranan, bukan sebagai pengiktirafan terhadap kehebatan dirinya. Ini adalah lebih-lebih lagi sekiranya jawatan tersebut bersifat ‘eksekutif’ atau untuk ‘execute’ iaitu melaksanakan sesuatu tugas atau peranan.

Dalam PAS, semua jawatan AJK PAS Pusat adalah bersifat ‘executive’. Mungkin itu sebabnya ianya disebut sebagai Jawatankuasa KERJA PAS Pusat. Penekanan diberi kepada perkataan KERJA! Maknanya, seseorang yang dipilih untuk menyandang mana-mana jawatan dipilih kerana dipercayai dia boleh membuat kerja yang perlu dibuat oleh seseorang yang menyandang jawatan tersebut. Sekiranya kemudiannya dia didapati tidak mampu atau tidak sesuai untuk kerja berkenaan, maka dia boleh ditukar.

Ini sebenarnya semangat disebalik kata-kata ‘takhlif laa tasyrif’. Sekiranya atas dasar penghormatan, atau ‘tasyrif’, ianya penganugerahan atas sebab kehebatan seseorang dalam bidang tertentu. Maka anugerah itu adalah atas sebab apa yang telah dan sedang dilakukan dan ianya tidak menuntut sesuatu prestasi atau perlaksanaan selain dari apa yang telah dicapai. Sebagai contoh, tokoh perniagaan untuk tahun 2011 adalah berdasarkan pencapaian seseorang peniaga pada tahun berkenaan dan walau apa sekalipun yang berlaku selepas itu, beliau yang dianugerah tokoh perniagaan 2011 tetap merupakan tokoh pada tahun tersebut, walaupun pada 2015 katakan, dia bankrupt! Dalam erti kata lain penganugerahan itu tidak mewajibkan beliau melakukan sesuatu, termasuk meneruskan prestasi cemerlang dalam perniagaan beliau.

Pemilihan atas dasar ‘takhlif’ pula mengambil kira kerja yang perlu dilakukan dan orang yang dianggap paling mampu untuk melakukannya. Oleh itu, dua aspek penting perlu diambil kira semasa membuat pilihan. Yang pertama kerja atau tanggung jawabnya dan yang kedua kemampuan calon-calon yang dicadangkan.

Dalam soal kerja untuk setiap jawatan, ianya dijelaskan secara umum di dalam perlembagaan. Sebagai contohnya, kerja atau tanggung jawab Presiden dinyatakan dengan jelas sebagai 5 tugas utama, iaitu, secara ringkas:

1. Melaksana pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan
2. Bertanggung jawab atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas JK PAS Pusat
3. Melantik SUA, Penolong SUA, Bendahari dan lain-lain di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat JK PAS Pusat.
4. Mengambil apa-apa jua langkah demi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli JK PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing
5. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat JK PAS Pusat dan Jk Harian PAS Pusat.

Adalah jelas dari yang di atas bahawa jawatan Presiden menuntut peranan tertentu dan bukan sekadar anugerah atas kehebatan atau ketokohan seseorang. Ianya adalah jawatan yang bersifat eksekutif atau untuk membuat kerja tertentu.

Begitu juga semua jawatan yang terdapat di dalam JK PAS Pusat!

Setelah dipilih maka prestasi mereka yang dipilih dipantau selama tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, apa-apa kekurangan dan kelebihan perlu disuarakan dengan ikhlas dan terbuka dalam muktamar tahunan atau apa-apa program muhasabah parti yang diadakan. Teguran dan kritikan ini tidak wajar dianggap sebagai bersifat tidak hormat atau tidak wala’ kerana seperti yang dijelaskan, mereka dipilih untuk melaksanakan sesuatu tugas, bukan sebagai penganugerahan sesuatu penghormatan atau darjat. Maka sekiranya perwakilan beranggapan tugas tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh mana-mana pemimpin, maka perwakilan berhak untuk menegurnya.

Sekiranya selepas segala teguran dan nasihat, prestasi tidak berubah atau tidak mampu ditingkatkan, maka pada Muktamar tahun kedua, pejawat-pejawat yang tidak menyerlah dan tidak berprestasi baik boleh ditukar. Pengguguran dari jawatan tidak bererti seseorang itu tidak baik, tidak mantap imannya atau kurang ‘alim, tetapi hanya bererti bahawa dia tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.

Inilah sebabnya mengapa pilihan tidak wajar dilakukan semata-mata atas dasar menghormati ketokohan seseorang tanpa mengambil kira kemampuannya untuk memainkan peranan seperti yang diperlukan bagi jawatan tersebut. Sekiranya dia tidak berprestasi dengan baik, maka dia tidak akan ditukar atau ditegur disebabkan dia dipilih atas sebab ketokohan tertentu yang tetap dimilikkinya. Ketokohan seorang pemidato, ulama’, professional atau penulis tidak hilang di atas sebab dia bukan seorang pelaksana (executive) yang baik. Ketokohan tersebut tetap kekal pada dirinya tetapi dia tidak merupakan orang yang sesuai untuk jawatan pelaksana yang diinginkan dan diperlukan parti.

Orang yang dipilih dibebankan dengan tanggungjawab yang berat dan oleh itu, tidak wajar kita menzalimi seseorang yang kita tahu tidak mampu tetapi oleh kerana suka dan hormat, kita meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas bahunya. Itu bukan ‘suka’ atau ‘hormat’ pada seseorang. Sebaliknya ianya sesuatu penganiayaan. Namun, lebih zalim lagi, setelah kita membebannya dengan tanggungjawab sebegitu berat, kita tidak pula membantunya.

Oleh itu saya menyeru kepada semua yang akan ke Muktamar PAS tahun ini untuk memahami apa yang kita lakukan semasa kita membuat pilihan. Semoga pilihan itu adalah yang terbaik bagi jawatan berkenaan dengan kita memberikan amanah itu kepada yang ahli padanya atau yang mampu melaksanakannya. Kedua saya menyeru semua untuk menerima keputusan Muktamar dengan hati terbuka dan siapa sahaja yang terpilih, mereka hendaklah diberi sokongan yang padu dan tidak berbelah-bagi. Namun sekiranya walaupun dengan sokongan ini ada yang gagal menunjukkan prestasi yang diinginkan, maka ditukarnya selepas 2 tahun!

Selamat bermesyuarat Agung Tahunan dan seterusnya bermuktamar.

---------------------------------------------------------

Penulis adalah anggota Parlimen Shah Alam dan juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut