“Sejak saya berjuang di dalam PAS sejak tahun 70an lagi, saya tidak pernah rasa
pilihan raya di negara kita ini berjalan dengan bersih dan adil," Begitulah luahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS kepada wartawan yang menemui beliau semasa menziarahi keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad, 56 tahun yang meninggal semasa perhimpunan Bersih 2.0 akibat sesak nafas terhidu gas dan semburan serta dikejar oleh FRU.Inilah realiti demokrasi tempang di negara kita. Kita bertarung secara demokrasi ala-Malaysia ibarat di lempar kegelangang pertarungan demokrasi dengan kaki dan tangan diikat serta mulut disumbat, lalu diajak bersaing dengan Umno/BN yang bebas sebebasnya. Lebih parah lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya menjadi pengadil pertarungan telah bertindak secara tidak adil dan berat sebelah.
Ya, Siapa boleh menafikan bahawa perjalanan demokrasi dan sistem pilihan raya negara kita adalah tempang dan berat sebelah. SPR yang sepatutnya menjadi badan kepercayaan awam bagi menjalankan tugas mereka secara telus dan berkecuali telah dilihat gagal melaksanakan tugas murni mereka. Rakyat awam semakin hari semakin hilang kepercayaan mereka terhadap fungsi dan peranan SPR itu sendiri. Banyak persoalan besar kepincangan pilihan raya yang sehingga kini gagal di tangani oleh SPR.
Persoalannya, adilkah apabila SPR terus menerus dilihat sanggup di perkudakan dan menjadi alat kepada Umno/BN? Semua rakyat tahu bahawa agenda tersurat dan tersirat SPR bukan lagi untuk memastikan perjalanan pilihan raya yang adil dan bersih tetapi hanya bagi memastikan Umno/BN terus mengekalkan kuasa mutlak mereka. Paling malang lagi apabila ada kalangan penjawat tertinggi SPR yang bekerja solah-olah menjadi agen Umno dengan bersekongkol dan merancang pelbagai cara dan tektik kotor bagi menjamin kemenangan dan kuasa politik terus kekal ditangan pimpinan Umno/BN.
Contoh yang paling ketara adalah peranan media massa di negara kita. Setiap kali pilihanraya diadakan di negara kita, SPR di lihat tidak bertaring apabila media massa perdana bertukar menjadi alat propaganda Umno/BN. Tidak hairanlah apabila dari segi kedudukan kebebasan media dunia, negara kita kini terperusuk di tangga 166 dari 178 negara yang dianggap tidak bebas dan tidak adil. Ini telah meletakkan negara kita sama dengan negara Zimbawbwe dan Angola dari segi kekebasan media. Amat malang apabila media arus perdana seperti RTM, TV 3, dan akhbar-akhbar utame seperti Straits Times dan Utusan Malaysia bukan lagi wujud untuk mendidik rakyat serta mempertahankan ketelusan dan kebebasan, tetapi terus menerus mnjadi bahan propaganda murahan bagi Umno/BN.
Begitu juga dengan manipulasi dan penipuan undi pos di negara kita. Ianya berlaku secara berterusan di negara kita tanpa sebarang tindakan pro-aktif dari pihak SPR bagi membaiki kepincangan ini. Adalah dianggarkan sekurang-kurangnya 25 kerusi parlimen di negara kita Umno/BN menang dengan bantuan serta manipulasi dan penipuan dari undi pos ini. Persoalannya apa yang SPR telah buat selain dari perubahan kosmetik yang tidak merubah penipuan dan manipulasi undi pos berjalan secara berterusan setiap kali pilihan raya diadakan di negara kita?
Kita telah menyuarakan hal kepincangan sistem pilihanraya ini di Parlimen. Kita telah menghantar pelbagai peringatan dan memorandum kepada SPR, Kita juga telah berpuluh-puluh kali berdailog dengan SPR. Namun apabila kita bertemu dan berdailog dengan mereka, pelbagai alasan dan dalih yang mereka kemukakan bagi membenarkan tindakan kotor dan kepincangan terus menerus berlaku dalam perjalanan pilihan raya di negara kita.
Saya amat bersetuju dengan saranan Dato Husam Musa yang menyarankan bahawa; "Kita memohon kepada Yang di Pertuan Agong agar bubarkan sistem SPR yang ada sekarang. Dalam perlembagaan negara kita, Agong boleh melantik SPR yang baru, menggunakan sistem SPR yang baru dan bersih, SPR yang tidak berat sebelah tetapi menjalankan tugas dengan bertanggungjawab, tulus dan adil,"
Ya, inilah realiti demokrasi tempang yang wujud di negara kita sehingga kini. Apabila pilihan raya dijalankan secara tidak adil dan terlalu banyak berlaku penyelewengan maka sudah pasti rakyat akan lambat laun bangkit menuntuk kembali hak dan maruah mereka. Generasi baru anak-anak muda Malaysia yang celik Twitter dan Facebook lambat laun akan bangkit bagi menuntut hak dan kebebasan mereka sebagimana anak-anak muda yang berjaya menjatuhkan kerajaan autokratik di Mesir dan Tunisia.
Tanggal 9hb Julai akan terus terpahat sebagai hari yang paling bersejarah buat pejuang demokrasi di negara kita Malaysia. Himpunan aman Bersih telah membuktikan bahawa suara rakyat yang cintakan keadilan tidak mungkin di sekat lagi. Puluhan ribu rakyat yang cintakan keadilan dan ketelusan telah berhimpun secara aman walaupun diri mereka terpaksa dikorbankan dengn ugutan tangkapan dan gas pemedih mata, Bersih dan jernihkan kembali demokrasi di negara kita dengan ‘kuasa rakyat’..



