Detikdaily

Selasa, 22 November 2011

Teguran audit bakal dipersia pemimpin BN

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Selain komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 36 fail siasatan susulan beberapa isu dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 (LKAN ‘http://umno-online.com/wp-content/uploads/2011/10/kdeb-300x1751.jpg10), reaksi lebih bertanggungjawab daripada para pemimpin negara setakat ini belum kedengaran.

Sehingga rencana ini ditulis (Khamis), belum ada mana-mana menteri atau timbalannya mengulas mengenai kelemahan dan salah urus kewangan yang didedahkan laporan terbabit.

Media arus perdana yang selalunya menjadi medan menyebarluas dan menjela-jelakan kejayaan pemerintahan Barisan Nasional (BN) juga tidak begitu galak bercakap soal LKAN ‘10. Laporan mengenainya hanya sepintas lalu dan amat hambar. Tiada analisis mahu pun ulasan terperinci dibuat sepertimana lazimnya media terbabit menggemariuhkan sesuatu pencapaian positif BN.

Ia sebaliknya seakan sengaja mengalihkan tumpuan pelaporan kepada berbagai isu lain, termasuk isu Himpun dan ura-ura akta murtad, serta isu tiket perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia yang ‘cekik darah’. Apakah sebabnya tidak sukar difahami. Sebahagian besar pendedahan LKAN ’10 tidak menguntungkan BN, sebaliknya menjadi modal tambahan buat parti lawan. Bukankah segala kepincangan dan kelemahan pengurusan kewangan itu bukti jelas yang boleh dikaitkan dengan kegagalan pemerintahan parti itu?

LKAN ‘10 yang diantara lain mendedahkan tujuh kementerian dan agensi kerajaan berada pada tahap pengurusan kewangan lemah. Tujuh kementerian dan agensi itu ialah Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Pengangkutan; Lembaga Hasil Dalam Negeri; Kastam Diraja Malaysia dan Perbadanan Stadium Nasional.

Berbagai aspek pengurusan kewangan diaudit dan ditegur. Namun yang paling mendapat perhatian umum ialah perbelanjaan meragukan dalam pembelian peralatan dan pengurusan kontrak. Perincian laporan itu mendedahkan betapa wewenangan membelanjakan peruntukan kerajaan masih berulang walau pun tabiat sama sentiasa dibangkitkan dalam setiap laporan audit saban tahun.

Dalam laporan kali ini, Jabatan Audit Negara (JAN) antara lain menyebut kes pembelian 23 ekor kuda oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Kejohanan Kuda Lasak Dunia 2008 dan Pertandingan Ekuestrian Antarabangsa (WEG) 2010 serta Sukan Asia 2010 di China. Kesemua kuda itu dibeli dengan harga RM5.6 juta.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, sepatutnya hanya enam ekor kuda bernilai RM1.98 juta perlu dibeli untuk kegunaan kedua-dua temasya sukan tersebut. Bermakna sudah berlaku lebihan perbelanjaan yang tidak sepatut berjumlah lebih RM3.6 juta.

Lebih meragukan, siasatan juga mendapati hanya lima daripada 23 ekor kuda itu yang melepasi tahap layak bertanding. Justeru, 18 ekor kuda bernilai RM3.94 juta sepatutnya tidak dibeli sedari awal apabila gagal memenuhi syarat ditetapkan Persatuan Antarabangsa Ekuestrian.

Akibatnya kuda yang selebihnya itu terpaksa diagihkan kepada lima pihak lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dua universiti tempatan.

Sepertimana di tahun-tahun sebelumnya, LKAN ‘10 juga mendedahkan beberapa kes perbelanjaan terlampau dan tidak masuk akal. Antara contoh disebutkan ialah bagaimana sebuah syarikat yang mendapat tender dengan Mara membekalkan ketuhar kepada Giatmara dengan harga RM1,200 seunit, sedangkan harga pasaran unit tersebut hanya RM419.

Transaksi pembelian beberapa peralatan oleh Jabatan Taman Laut bahkan jauh lebih tidak munasabah. Antara peralatan yang dibeli melebihi harga pasaran termasuk komputer riba dengan harga RM11,845 berbanding hanya RM3,428 harga pasaran. Bermakna harga belian itu hampir 245 peratus lebih mahal.

Lebih teruk lagi, pembelian TV LCD dengan harga RM16,100 berbanding harga pasaran hanya RM2,182. Entah berapa ratus peratus lebihan perbelanjaan itu?

Dua jenis alat pandang jauh dibeli jabatan berkenaan juga membabitkan wewenangan serupa. Marine Binocular dengan harga pasaran RM1,940 dan Bushnell Binocular dengan harga asal RM2,827 dibeli dengan harga RM56,350 tiap-tiap satu. Lebihan perbelanjaan itu melebihi 2,000 peratus.

Begitu juga dengan harga kontrak alat ‘Colour Marine Radar (X-Band)' bernilai RM47,725, iaitu 478 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran hanya RM8,255.

Banyak lagi contoh pembelian peralatan yang sedemikian boros dan tidak munasabah dikemukakan dalam LKAN ’10. Itu belum lagi disentuh soal kegagalan mengikuti peraturan pengurusan kewangan atau projek dilaksanakan yang gagal mencapai objektif. Antaranya, JAN mendapati 188 jabatan, pejabat Persekutuan peringkat negeri dan daerah yang masih melakukan kesilapan dan gagal mematuhi prosedur utama yang diaudit.

Begitu juga dengan kes-kes peralatan digunakan tidak menepati tahap piawaian keselamatan, termasuk kenderaan tentera yang terlebih tempoh dan bumbung beberapa stadium utama yang kebocoran. Manakala 37 projek bernilai RM28.37 untuk Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah antara contoh yang gagal mencapai objektifnya.

Masalah utama dalam keseluruhan isu dibual bicarakan ekoran pendedahan LKAN ‘10 ialah betapa segala kelemahan pengurusan kewangan itu adalah tabiat yang sudha berulangkali didedah dan ditegur JAN. Sikap jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mengambil endah teguran-teguran serupa sebelum ini menjadikan kerja pengauditan itu seolah-olah suatu yang sia-sia. Lebih mengecewakan, pihak JAN memang tidak mempunyai apa-apa peruntukan undang-undang untuk bertindak terhadap pihak yang ditegur atau didapati menyalahi prosedur diaudit.

Isnin, 21 November 2011

Umno berselindung di sebalik mempertahankan Melayu, Islam

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

MUTAKHIR ini banyak penulisan meluahkan kebimbangan terhadap kekuasaan orang Melayu Islam – seolah-olah melihat dengan jatuhnya kerajaan Umno Barisan Nasional (Bhttp://pejuangkite.files.wordpress.com/2011/04/tuan.jpg?w=320&h=212N), maka kekuasaan orang Melayu juga akan turut hilang.

Kewujudan Pakatan Rakyat (PR) dilihat akan melemahkan kekuasaan orang Melayu dan juga akan menghakiskan kekuatan Islam di negara ini. Pandangan begini bukan baru, malah semakin lumrah dalam pemikiran sebahagian besar penulisan dan cetusan idea di kalangan pemikir Melayu Islam.

Namun, apa yang penting ialah “Adakah pemikiran ini bertolak kepada fakta dan realiti sebenar atau hanya satu luahan rasa tanpa berpijak kepada fakta yang nyata?”

Bagi menjawab kebimbangan golongan ini, kita harus berpijak kepada sejarah negara dan kedudukan kekuasaan Melayu dan agama Islam selama ini.

Sejak negara ini merdeka, Umno adalah tunjang kekuasaan BN dan Umno-lah yang diharapkan memelihara maruah Islam dan kaum Melayu. Selama 54 tahun nasib Melayu dan Islam terbela, dan kalaulah Umno tewas maka orang Melayu akan hancur dan semakin lemah.

Itulah pemikiran yang hendak diterapkan di kalangan rakyat, agar umat Islam dan kaum Melayu akan sentiasa was-was dan ketakutan untuk kehilangan Umno.

Tapi, wajarkan ketakutan begitu? Sekali imbas, atas permukaan ada terasa seperti benar, namun fikirkanlah selepas membaca hujah-hujah di bawah ini.

1. Kalau betul Umno pentingkan kekuasaan Melayu Islam, kenapa tiada tambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah - sehinggakan ada kawasan parlimen yang jumlah pemgundinya mencecah hampir seratus ribu orang.

2. Kenapa tambahan kerusi banyak pula dilakukan di Sarawak dan Sabah?

3. Umno dah tewas lebih 20 tahun di Kelantan, apakah kuasa Melayu dan Islam hilang di Kelantan? Bahkan Islam bertambah megah di Kelantan dengan pelaksanaan pentadbiran sifar rasuah, dan terus memperjuangkan perlaksanaaan undang-undang Islam di sana.

4. Kalaulah benar Umno ikhlas untuk menjaga Melayu dan Islam, kenapa royalti minyak Kelantan tidak dibayar sehingga kini walaupun ada perjanjian jelas yang mewajibkan Petronas melalui kerajaan pusat membayar royalti tersebut. Apakah orang Kelantan yang memilih PAS dan penyokong Umno di Kelantan yang majoritinya Melayu Islam, bukan Melayu Islam sebenar pada kaca mata Umno sehingga pelbagai penindasan dilakukan sejak tahun 1990?

5. Kenapa Umno sanggup serahkan beberapa kerusi parlimen yang dahulunya ditandingi oleh Umno kepada parti lain seperti yang berlaku di Kuala Selangor, Kuantan, Raub, Port Dikson dan puluhan kerusi yang lain. Bukan ke ini Umno sendiri yang melakukan pengkhianatan kepada Melayu?

6. Siapakah yang membuang tulisan Jawi dari sistem pendidikan kalau bukan kerajaan Umno dan menteri yang mencadangkannya pun dari Umno?

7. Siapa yang meluluskan pelbagai jenis loteri dan judi halal untuk berakar umbi di negara ini kalau bukan pemimpin Umno?

8. Apakah hanya Melayu Umno (yang pandai mengampu sahaja, yang mengkritik tak termasuk) dianggap sebagai Melayu Islam, sedangkan kalau Melayu dari PAS, PKR dan DAP mereka ini bukan Melayu Islam?

Kebimbangan hilangnya kekuasaan orang Melayu dilihat tertunjang dengan kekuasaan Umno – seolah-olah tiada parti lain dalam Malaysia yang akan memelihara kuasa Melayu dsn agama Islam.

Namun hakikatnya, dalam soal membela Melayu, Umno selama ini tidak mampu menaikkan martabat dan sosio-ekonomi mereka dengan ketara walaupun sudah 54 tahun memerintah negara. Begitu juga, dalam soal membela Islam, berapa kali Umno melacurkan Islam dan menggunakan Islam hanya apabila keadaan perlu untuk memelihara kepentingan politik semata-mata?

Janganlah rakyat Melayu Islam terus membuta tuli menyokong kerajaan yang sengaja menakut-nakutkan mereka dengan propaganda, “Tanpa Umno, mereka hilang tempat bernaung.” Sebaliknya, mereka harus menuntut Umno untuk berubah dan sekiranya tidak, slogan ‘Asal bukan Umno’ akan menjadi laungan dan pilihan mereka pada pilihanraya akan datang.

Pemikiran sempit dari era sebelum merdeka dilihat masih dianuti oleh parti perkauman sehingga hari ini. Namun, pemikiran sedemikian diyakini akan bakal berakhir dengan kemunculan gabungan politik berbentuk majmuk seperti PAS-PKR-DAP, di mana ketiga-tiga parti ini boleh menerima semua bangsa sebagai ahli mereka tidak seperti gabungan Umno-MCA-MIC.

Kini, rakyat negara ini dilihat sudah bersedia berhadapan dengan era baru yang lebih terbuka.

Harus diingat, kaum dan bangsa seseorang bukanlah pilihan seseorang manusia - ianya ketentuan Allah. Lantaran itu, Islam melihat kemuliaan bukan kepada bangsa dan warna kulit tetapi pada ketaqwaannya.

Apakah yang rakyat Melayu Islam nak bangga kalau rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa berleluasa dalam negara diketuai oleh sebuah kerajaan yang majoriti ahlinya mendadik dada sebagai pembela orang Melayu dan Islam?

Rakyat Melayu Islam mesti melakukan perubahan besar untuk melahirkan umat Islam yang kuat akidahnya dalam berpegang kepada ajaran Islam. Mereka perlu segera menyelaraskan tindakan mereka dengan ajaran Islam dan menterjemahkan sifat sebenar Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, tanpa mengira apakah mereka Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Kerana itu, janganlah mereka terus mempertahankan kerajaan korup, rasuah dan pelbagai penyelewengan dengan berselindung semata-mata atas nama mempertahankan Melayu dan Islam. Ini bukan sahaja memalukan umat Melayu Islam malah mencemarkan agama Allah kerana penganutnya bersifat sebegitu rupa.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Ahad, 20 November 2011

Gerakkan golongan muda melalui laman sosial

Oleh Zulkifli Yahaya

AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang memegang portfolio ICT, Dr Ismahttp://www.techxav.com/wp-content/uploads/2010/03/facebook-guide1.jpgil Salleh dijadualkan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mobilisasi Media Sosial Dalam Mempengaruhi Generasi Muda’ di Persidangan ICT dan Media Baru yang dianjurkan oleh Lajnah ICT PAS Pusat.

Malangnya penerbangan Dr Ismail ke Tanah Suci diawalkan berbanding yang dijadualkan sebelumnya menyebabkan beliau terpaksa mencari pengganti di kalangan Exco.

Beberapa Exco menolak kerana ada komitmen, manakala yang tiada komitmen pula menolak kerana ICT bukan ’bidang’ mereka. Akhirnya tugas tersebut terbeban kepada saya yang mengambil alih tugas Dr Ismail sebagai pembentang.

Hari ini ICT masih belum menjadi bidang semua orang, tetapi peranan ICT dalam merubah dan memandu pemikiran manusia sangatlah penting.

Dalam struktur organisasi PAS, banyak entiti yang meletakkan ICT berada di bawah Lajnah Penerangan dan Dakwah.

Jika diletakkan berasingan pun, pengerusinya bukanlah orang yang penting sangat dalam organisasi parti. Adakah kerana ICT masih belum dianggap penting?

Dalam tempoh empat dekad yang lalu, dunia telah melihat perkembangan mendadak yang telah berlaku dalam industri komputer, teknologi maklumat dan juga telekomunikasi.

Dalam tempoh tersebut, sebahagian besar daripada kehidupan kita telah dipengaruhi oleh aspek teknologi maklumat yang membolehkan maklumat disimpan dan diakses dalam kuantiti yang besar serta pantas dan ia merupakan satu aktiviti yang global.

Kejayaan media sosial seperti Facebook dalam dunia ICT ialah keupayaan menyebarkan maklumat dalam masa yang pantas.

Hari ini Facebook dan twitter benar-benar menjadi ‘akhbar, radio dan televisyen’ bergerak bagi segolongan anggota masyarakat yang menatapnya seperti menikmati sarapan, makan tengah hari atau malam.

Menurut fakta terkini, Malaysia berada di tangga yang ke-5 di Asia mempunyai sehingga 12 juta pengguna Facebook aktif.

Jika 60 peratus adalah daripada golongan belia, maka belia atau generasi muda Malaysia yang ‘menghuni’ di Facebook kini berjumlah 7.2 juta orang! Ia berdasarkan angka mutlak.

Jika dilihat pada penggunaan berdasarkan peratus penduduk pula, Malaysia menduduki tangga ke-7 selepas Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Chile, Australia dan Turki; iaitu kira-kira 35.6 peratus.

Di Mesir, pemegang akaun Facebook hanya kira-kira sembilan peratus tetapi Hosni Mubarak tumbang dengan revolusi yang digerakkan oleh Facebook. Ia adalah berita yang sangat baik bagi aktivis siber di Malaysia.

Kelebihan media sosial ialah kerana ia diakses oleh majoriti golongan muda. Di Malaysia, generasi berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang atau 43 peratus.

Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 orang generasi muda yang berusia 21 tahun ke atas sudah berdaftar SPR. Pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus.

Statistik yang ada menjadikan golongan muda kelompok yang penting untuk diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.

Generasi muda mempunyai pakej berikut; menghormati antara satu sama lain, rajin belajar, bersemangat dan bertenaga, berpengetahuan mengenai matlamat, objektif dan halatuju organisasi, berkebolehan melaksanakan peraturan dan prosedur, kreatif dan inovatif dalam gerak kerja, cekap melaksanakan amanah, berani kerana ilmu dan amal, bertanggungjawab, menghormati antara satu sama lain, rajin belajar, bersemangat dan bertenaga, berpengetahuan mengenai matlamat, objektif dan halatuju organisasi, berkebolehan melaksanakan peraturan dan prosedur, kreatif dan inovatif dalam gerak kerja, cekap melaksanakan amanah, berani kerana ilmu dan amal dan bertanggungjawab.

Dalam pembentangan tersebut saya menekankan supaya setiap kawasan menggerakkan semua aktivis laman sosial mereka dengan betul dan bersungguhsungguh.

Terlalu ramai penyokong Pakatan Rakyat yang bersemangat memerangi BN; tetapi hanya membazir tenaga dan masa dalam jaringan sosial dalam kerja yang nampaknya bersungguh tapi hakikatnya hanya ‘merosakkan’ sokongan terhadap Pakatan Rakyat di samping terdapat segolongan besar lagi yang malas memanfaatkan peluang menyebarkan maklumat secara mudah yang terhidang dalam Facebook dan twitter.

Semua itu perlu diuruskan dan dibuat pembetulan di peringkat kawasan. Ia sepatutnya tidak bermula dan berakhir di medan siber tetapi penyebaran maklumat mestilah dikeluarkan ke alam nyata melalui pelbagai kaedah.

Percayalah jika semua tenga sukarelawan aktivis media social ini digerakkan menyebarkan maklumat dengan aktif di medan maya, maka ia menjadi kuasa yang lebih kuat daripada revolusi di Mesir dalam menumbangkan ‘rejim tua’ bernama Barisan Nasional.

Sabtu, 19 November 2011

Meramaikan jaringan penyokong dan simpatisan PAS

Oleh USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN

BEBERAPA fakta terkini menekankan betapa revolusi teknologi maklumat melalui sepuluhhttp://makemoney24hour.com/wp-content/uploads/2009/01/internet.jpg teknologi-teknologi strategik sedang merubah landskap perniagaan, kerajaan, kehidupan dan seterusnya gerakerja dakwah dan politik.

Organisasi dakwah dan politik seperti PAS sudah pasti terkesan, perlu bersiap siaga, mengambil peluang dan memanfaatkannya.

Kini, penggunaan telefon bimbit pintar dan tablet telah melebihi komputer meja dan riba.

Seperkara yang penting ialah telefon bimbit pintar adalah sebenarnya sebuah komputer yang dimampat dan dipadatkan dan semuanya boleh dibuat dengan menggunakannya.

Dengan pemerkasaan media baru melalui penggunaan ICT, kini, penguasaan media adalah terletak kepada setiap individu manusia, yang ada perkakasan seperti telefon bimbit pintar,ada capaian internet, menjadi ahli media sosial seperti Facebook dan aktif menghasil dan menyebarkan maklumat.

Pengguna kini ada pilihan maklumat yang mereka mahu, boleh berkongsi dengan mudah dan pantas, tidak mudah terikat dan terpengaruh, dan akhirnya, mereka membuat keputusan yang terbaik mereka rasakan.

PAS sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik tidak mahu ketinggalan dengan peluang untuk memperkasakan organisasi dan ahlinya, serta keupayaan mencapai lebih ramai sasaran dakwah dan pengundi dengan pantas dan mudah.

Melalui laman-laman rasmi portal dan Facebook PAS, rakyat jelata di luar dan dalam negara kini diberi pilihan untuk mendapat maklumat yang tepat dari organisasi PAS sendiri.

Ceramah-ceramah PAS kini tidak lagi tertumpu di markas sahaja, malah boleh dicapai dari mana-mana sahaja di dunia melalui WebTV PAS.

Meraih kekuatan dan pemerkasaan melalui ICT dan Media Baru juga memerlukan pengorbanan daripada semua penggerak, daripada semua lapisan kepimpinan dan penggerak bawahan.

Sebagai merumuskan usaha-usaha memperkuat dan memperkasakan organisasi dan gerakerja PAS untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-13 (PRU 13), langkah-langkah berikut mestilah dimulakan dari sekarang:

1. Manfaatkan Prasarana dan Teknologi Berasaskan Cloud Computing – Dengan cara ini, tidak perlu lagi penggerak teknikal dan IT PAS memiliki dan menyenggarakan perkakasan kerana sumber perkomputeran (computing services) telah boleh disewa dan dibayar secara bulanan dengan harga berpatutan. Jabatan IT PAS Pusat akan mempelopori dan menerokai penggunaan servis-servis cloud yang memperkasakan organisasi PAS, seperti penggunaan Google Apps, Cloud Flare dan Cloud P2P yang meramaikan lagi penonton video-video PAS melalui internet;

2. Manfaatkan Media Sosial untuk Menyebarluaskan Maklumat dan Pengarahan Tugasan Jentera Parti – Sehingga bulan April 2011, lebih 10 juta rakyat Malaysia adalah pengguna aktif Facebook. Kewujudan (presence) organisasi dan fikrah PAS melalui Facebook adalah amat strategik.

PAS Pusat, Negeri dan Dewan-dewan perlu memanfaatkan Facebook dan media sosial lain seperti Twitter dan Google Plus untuk meramaikan jaringan penyokong dan simpatisan PAS.

Pengarahan tugasan gerakerja umum PAS, seperti meramaikan kehadiran ke rapat-rapat umum, adalah lebih cepat dan efektif disalurkan melalui wahana media-media sosial ini;

3. Menggalakkan Ahliahli dan Penggerak PAS Melabur untuk Memiliki dan Memanfaatkan Telefon Bimbit Pintar (smartphones) Berserta Capaian Internet Bergerak (3G) – Inilah senjata maklumat dan komputer kecil yang perlu dimiliki dalam dunia yang kian terjaring dan pantas bergerak. Maklumat-maklumat dari SSDP, SPOKAS, SMSPRO dan SISPRO kini benar-benar berada di dalam tangan;

4. Memiliki Skil dan Kemahiran Baru untuk Keluar Dari Zon Selesa dan Berinteraksi Dengan Generasi Muda dan Rakyat Pelbagai Bangsa Melalui Media Baru Skil dan kemahiran baru untuk berinteraksi dengan jutaan generasi muda dan rakyat pelbagai bangsa adalah diperlukan dengan menggunakan media-media baru.

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN adalah Pengerusi Lujnah Teknologi Maklumat dan Komunikasi PAS Pusat 

Jumaat, 18 November 2011

Prestasi unggul dekatkan Pakatan Rakyat dengan Putrajaya |

Oleh MOHD RASHIDI HASSAN

JOM kita pakat angkat dua-dua ibu jari tangan kepada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mhttp://1.bp.blogspot.com/_0ynStjSqY7A/SXC850br0iI/AAAAAAAAKO0/djySRA1pzYM/S960-R/pakatan-rakyat.jpgat, Dato' Seri Azizan Abdul Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng di atas prestasi terbaik mereka menguruskan amanah rakyat.

Mereka berjaya mengemudi negeri-negeri di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat dengan baik di sebalik pelbagai kekangan dan tekanan yang dihimpitkan Kerajaan Persekutuan.

Prestasi Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, jauh mengatasi kerajaan-kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional, walaupun dilimpahkan dengan pelbagai bantuan dan sokongan Kerajaan Persekutuan.

Kita juga percaya jika Perak tidak dirampas, nescaya Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan termasuk dalam kelompok terbaik ini.

Mereka berempat harus dipuji kerana berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara mengiktiraf kejayaan mereka menguruskan negeri dengan cemerlang, berjaya menambah pendapat negeri, berjaya mengawal perbelanjaan dengan berhemah dan menunjukkan kebolehan menguruskan ekonomi negeri dengan berhemah.

Berbanding negeri di bawah pimpinan Umno-BN, yang menerima teguran dan kritikan keras Ketua Audit berikutan prestasi hambar pentadbiran mereka.

Sekurang-kurangnya rakyat kini, boleh 'membuka mata', membuat perbandingan dan menilai kemampuan Pakatan Rakyat berbanding BN.

Walaupun Pakatan Rakyat ditohmah pagi petang, siang malam oleh media-media tali barut Umno-BN, namun fakta dan petunjuk ekonomi, jelas membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja boleh membuktikan ia mampu mentadbir, malah mentadbir lebih baik daripada BN.

Tekanan dan fitnah yang dilemparkan media tali barut BN terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat bukan calang-calang. Sepanjang lebih tiga tahun ini, jika kita perhatikan, tiada apa yang baik daripada Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Negeri pimpinan BN semuanya bagus, diurus dengan baik, banyak pelabur dan macam-macam lagi ditonjolkan.

Tetapi malangnya pembohongan media pengampu ini tidak bertahan lama. Caci maki mereka terhadap Pakatan Rakyat, ditempelak oleh Laporan Audit Negara. Negeri yang ditohmah tidak pandai memerintah, huru-hara kerana parti gabungan didakwa berpecah belah, sebaliknya membuktikan prestasi ekonomi yang cemerlang. Cemerlang menguruskan hasil negeri, berhemah dalam membelanjakan hasil.

Negeri BN yang senantiasa baik di mata mereka, sebaliknya di perintah oleh manusia yang hampas, penuh dengan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme. Negeri pimpinan BN cemerlang dalam menimbunkan hutang, boros dalam membelanjakan hasil yang diperolehi.

Fakta ini seharusnya cukup menjadi asas kepada pegawai-pegawai kerajaan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Gaji anda dibayar rakyat yang mendokong kerajaan yang memerintah. Pegawai-pegawai kerajaan jangan lagi menjadi tali barut Umno-BN. Jangan mengulangi unsur-unsur sabotaj.

Pegawai kerajaan harus sedar bahawa, sebagai ketua kerajaan negeri dan pentadbir, Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada BN.

Dengan bukti-bukti jelas ini, khususnya fakta angka yang terdapat dalam Laporan Audit Negara, Pakatan Rakyat boleh mencabar BN, bahawa ia mempunyai kredibiliti yang tinggi, berintegriti, transparen dan akauntibiliti sebagai kerajaan.

Pakatan Rakyat bukan lagi pencabar kepada BN, malah ia adalah alternatif kepada BN. Alternatif untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Kebangkitan rakyat akan berterusan untuk menempatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Putrajaya. Pakatan Rakyat adalah government in-waiting, insya'Allah.

Khamis, 17 November 2011

Bentuk skuad siber hadapi PRU13

Oleh DR MOHD FADZLI HASSAN

KEPERLUAN PAS masa kini adalah satu pasukan pendukung parti yang mampu memanfaatkan ICT dan Media Baru sebagai satu ‘alat’ memperkasakan kerja-kerja peneranghttp://4.bp.blogspot.com/_mFe4nvV0PXc/TMlHRejRabI/AAAAAAAAAGc/5ixROMuECWY/s400/internet.jpgan dan dakwah dalam dunia moden sekarang ini.

Kehadiran teknologi internet yang ditunjangi ICT seperti web, blog, Facebook, Twitter, YouTube, webtv dan berbagai lagi media sosial yang lain telah memberikan kesan yang besar terhadap penyebaran maklumat yang selama ini sentiasa berat sebelah kepada parti pemerintah.

Bagi menjadikan ICT dan Media Baru ini lebih dihargai dan dibudayakan di dalam parti, siaran web radio dan webtv ceramah dan kuliah pimpinan PAS harus dijadualkan secara lebih agresif tidak terhad kepada kuliah Tok Guru Mursyidul Am dari Dewan Zul, Kota Bharu dan Tok Guru Presiden dari Masjid Rusila sahaja.

Bagi tempat yang tiada capaian kepada internet, dicadangkan kaedah mengadakan tayangan ‘Wayang Pacak’ dengan menggunakan teknologi VCD (video compact disc). Berita yang disiarkan oleh TVPAS hendaklah diperbanyakkan.

PAS sebuah organisasi yang telah mencapai tahap kematangan setelah lebih 60 tahun mengharungi perjuangan tentunya kaya dengan pelbagai data dan maklumat yang tidak disimpan dan diuruskan secara bersepadu.

Bagi memenuhi hasrat ini, proses kerja dan konsep pengurusan moden seperti Total Quality Management (TQM), pengurusan pengetahuan (knowledge management), Organisation Learning, Organisational Restructuring, Process Innovation, Business Process Improvement (BPI), Business Process re-engineering (BPR) dan lain-lain perlu diimplementasikan dan menjadi sebahagian daripada agenda pengurusan ICT.

Inisiatif strategik kepada pembangunan ICT di Kelantan sebagai contoh negeri yang diperintah oleh PAS adalah untuk untuk menjadikan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulama sebagai negeri berpengetahuan atau knowledge state (k-state) dirancang menjelang tahun 2015.

Ketiga-tiga elemen ini disasarkan kepada 3 sektor iaitu Sektor Awam (Kerajaan), Sektor Swasta (Perniagaan) dan Sektor Komuniti (Rakyat) Kerangka Strategik Pembangunan ICT Kelantan dibentuk untuk menyediakan satu halatuju strategik pembangunan ICT di Kelantan untuk mencapai visi Membangun Bersama Islam dengan menekankan kepada 3 elemen; iaitu Government to Government (G2G); Govenrment to Community (G2C) dan Government to Business (G2B) di bawah kepimpinan ulama untuk merealisasikan model good governance.

Saya ingin menyarankan Lujnah Penerangan perlu mengusahakan dana yang mencukupi bagi bersaing dalam mendapatkan teknologi media baru ini. PAS mempunyai tenaga manusia yang ramai di semua peringkat negeri dan kawasan serta Dun untuk menjayakan sesuatu tujuan termasuk dalam bidang ICT dan Media Baru ini.

Sungguhpun begitu, tenaga petugas dalam bidang ICT dan Media Baru ini perlu dilatih secara terancang dan sistematik termasuk pimpinan tertinggi parti.

Dalam merealisasikan objektif ICT dan Media Baru, proses-proses pelaksanaannya perlu diambil secara menyeluruh dan konsisten.

Di antara proses perlaksanaan yang dicadangkan adalah melaksanakan Pengurusan Perubahan (change management) untuk mewujudkan budaya kerja yang berasaskan ICT (ICT oriented).

Selain itu, PAS perlu mempromosikan budaya perkongsian maklumat dan ilmu dengan penggunaan teknologi ICT dan Media Baru (contoh: e-mel, FB, Twitter dan lain-lain) sebagai alat untuk berkomunikasi bagi mewujudkan persekitaran dan pembudayaan ICT di kalangan anggota parti.

Jentera Penerangan dan Jentera ICT adalah dua jentera yang berbeza sebagaimana yang diamalkan sekarang ini, iaitu Lujnah Penerangan dan Dakwah (LPD) dan Lujnah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (LICT).

Perkara ini pernah dibincangkan dalam satu Resolusi Bengkel Pemerkasaan e-Media PRU12 pada tahun 2007 yang lepas dengan mencadangkan pembentukan Cyber Squad.

Satu pelan perancangan kerja untuk persediaan PRU13 yang bersepadu dan menyeluruh serta praktikal yang berorientasikan hasil kerja dan realistik dengan mengambil kira tempoh yang ada sebelum PRU13 untuk; i. Menyediakan Petugas (Squad)

ii. Mengenalpasti kemahiran/ kepakaran ICT dan Media yang diperlukan (Squad)

iii. Mengukur kesediaan perkakasan, teknologi dan akses saluran komunikasi (Cyber) Penyebaran maklumat dan bahan-bahan PAS berkaitan PRU- 13 secara bersepadu;

i. Melalui kerjasama yang mantap antara LICT/JITP (penyedia teknologi) dan LPD (penyedia maklumat/bahan sebaran);

ii. Melakukan strategi penyampaian yang tersusun/ tersepadu dari Pusat kepada Negeri dan Kawasan secara formal dan terbuka (kaedah penerangan) serta tidak formal dan tertutup (kaedah saraf) – pelbagai format media (eg. teks, grafik, audio, video, multimedia); pelbagai saluran (eg. Internet,SMS, MMS, CD,
DVD).

DR MOHD FADZLI HASSAN Exco Penerangan Pengurusan Maklumat Sains & Teknologi Kelantan

Najib dipaksa berhenti awal?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kontroversi Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil bukan saja tidak dapat diredakan oleh penjelasan rakan sejawatnya dalam Pemuda, Khairy Jamaluddin, malah keterangan menantu bekias Perdana Menteri itu makin memanaskan isu ini.

Khairy mempertahankan penyaluran dana hampir RM10 juta daripada NFC, untuk membeli apartmen mewah  One Menerung, sambil menegaskan tiada unsur penyelewengan dalam pembelian hartanah itu, sebaliknya beliau berhujah, ia merupakan satu bentuk "pelaburan yang paling selamat".

Sebelum ini, Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata wang yang disalurkan kerajaan kepada NFC diletakkan di dalam sebuah akaun amanah khas dan Khairy sendiri menegaskan bahawa setiap transaksi memerlukan kelulusan kerajaan dan dipantau ketat.

Apakah kerajaan telah dirujuk terlebih dahulu sebelum transaksi pembelian kondominium mewah bernilai RM9,758,140 itu dibuat, yang langsung tiada kaitan dengan industri penternakan dan penyembelihan lembu?

Secara peribadi saya menghormati pandangan Ahli Parlimen Rembau itu -- yang tidak diberikan sebarang jawatan dalam kabinet Najib Razak -- mengenai demokrasi, khususnya menyentuh kebebasan bersuara. Khairy (bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping nSiew) bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan mengenai Seksyen 15, Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, Khairy, beberapa tahun lalu, semasa Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 3 Mei, turut mahu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan.

Malangnya, Khairy tidak mempunyai kekuatan untuk menjuarai isu-isu ketelusan, integriti, salahguna kuasa, apatah lagi berbicara hal berkaitan kronisme dan pilih kasih. Rekod hitamnya di zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi ternyata menyukarkan beliau, malah kekalahan teruk Umno-BN dalam pilihan raya umum, Mac 2008 juga disandarkan kepada karenahnya.

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli yang mula membangkitkan isu ini menyifatkan alasan Khairy itu sebagai tidak masuk akal. Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasuiton Ismail pula menyifatkan pembelian kondo itu sebagai "perlakuan pecah amanah yang jelas bertentangan dengan tujuan pinjaman RM250 juta diberikan NFC".

Dalam wawancara dengan Sinar Harian, Rafizi mengusik Khairy: "Di sini saya hendak ucap terima kasih kepada Khairy kerana sibuk untuk mempertahankan menteri itu (Shahrizat). Saya hairan kenapa perkara ini seolah-olah melibatkan pihaknya sedangkan kita mahu orang lain jawab."


Sementara itu, banyak pihak percaya, kerjaya politik Shahrizat kini bagai telur di hujung tanduk. Pimpinan Umno-BN sendiri merasakan ia satu beban atau liabiliti yang bertindan-tindih dengan masalah besar yang sedia menekan parti itu. Imej buruk Umno yang sukar bercerai tanggal dengan elemen korupsi dan salahguna kuasa makin terpahat kukuh pada persepsi rakyat.

Mampukah Shahrizat menepis segala dakwaan dan serangan, terutama yang dibuat melalui media baru, yang berupaya membongkar pelbagai fakta dan dokumen, dengan cepat dan menyeluruh? Rangkaian aktiviti perniagaan suami dan anak-anak beliau diteropong sehalusnya. Restoran mewah berasaskan daging milik keluarganya juga menjadi perhatian dan dikaitkan dengan NFC yang mencurigakan itu.

Shahrizat juga bakal berdepan dengan 'penghakiman' Rosmah Mansor, yang dilihat mempunyai kata putus dalam isu-isu kritikal seperti ini. Meskipun hubungan mereka agak intim, namun bagi pemerhati politik, Rosmah akan bertindak nekad kepada sesiapa jua, termasuk 'menghukum keras' kenalannya jika mereka boleh mendatangkan kesulitan, apatah lagi menjejaskan sokongan kepada BN. Banyak contoh yang boleh diberikan; rakan-rakan karib Rosmah terpelanting disebabkan 'wanita pertama' itu merasakan mereka menyusahkannya.

Dalam pada itu, saya begitu tertarik dengan buku Kesilapan-Kesilapan Najib, nukilan Shahbudin Husin, seorang teman lama yang saya kenali semasa bertugas sebagai wartawan Mingguan Tanahair, yang dimiliki Allahyarham Ikhwan Nasir, pertengahan 1980-an.

Sewaktu rakan-rakan penulis buku politik yang lain, misalnya Sayuti Omar, Daud Ibrahim dan Yahaya Ismail, tidak menampilkan karya terbaru mereka, Shahbudin seperti melawan arus. Untuk tahun 2011, ini merupakan buku keduanya, selepas Najib Perdana Terakhir ... mendapat sambutan memberangsangkan, sehingga tiga kali diulang cetak.

Di zaman kuasa siber mendominasi situasi, pasaran buku politik popular terjejas teruk. Pembaca lebih mudah dan cepat mengutip info serta analisis melalui internet. Bagaimanapun, Shahbudin, seperti mahu menyanggah tanggapan itu. Dengan menerbitkan buku sendiri (seperti kebiasaan semua penulis buku politik popular), pasaran memberikan respons baik terhadap karya bekas wartawan Watan ini.

Rupanya buku masih medium berpengaruh dan mempunyai kedudukan istimewa buat peminat politik semasa, terutama yang dahagakan  kupasan isu yang segar. Agak ramai yang mahukan analisis lebih mendalam yang mampu menggugah pemikiran, dan hanya buku dapat memenuhi hasrat itu.

Buku politik popular memang berbeda daripada buku-buku ilmiah yang dihasilkan sarjana sains politik, namun ia tetap ada keunikan tersendiri. (Segera saya teringat kepada Allahyarham Prof Dr Hussain Mohamed, yang banyak menyimpan koleksi buku-buku politik popular dan menjadikannya satu bidang kajian beliau).
Banyak rahsia dan maklumat dalaman terselit di dalamnya. Pengalaman penulis yang rata-rata terjun langsung ke lapangan, malah terlibat aktif dalam pergolakan semasa, juga memberi kelebihan.

Kunjungan Shahbudin ke pejabat Harakah, 10 Nov lalu, secara tidak langsung mencabar saya untuk kembali berkarya, selepas lebih 10 tahun menyepi. Ia mengingatkan saya tentang 'kegemilangan' era reformasi, 1998-99; buku Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi Politik, dicetak lebih 50,000 naskhah dan dipercayai jumlah cetak rompak juga mencecah angka sama. Sedangkan buku itu lantang mengkritik Anwar Ibrahim!

Buku terbarunya ini juga dijangka dapat menarik perhatian pembaca. Latar belakangnya sebagai seorang aktivis Umno (masih menjadi ahli), dengan jawatan terakhir sebagai Naib Ketua Pemuda dan AJK Bahagian Wangsa Maju, turut mewarnai sentuhan beliau dalam mengutarakan 19 kesilapan Najib.


Di antara kesilapan-kesilapan itu adalah:

* Slogan 1Malaysia merupakan silap pertama di hari pertama sebagai PM
* Menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan
* Paling ramai memasukkan kawan-kawan dalam kabinet
* Kabinet lemah dan ramainya menteri senator
* Pemotongan subsidi walaupun atas nama rasionalisasi
* Perlantikan Apco sebagai perunding kerajaan
* Gagal mengawal karenah dan gaya mewah Rosmah
* Gagal mengurus parti komponen dan anggota kabinet
* Terlalu banyak program transformasi tetapi hasil diragui
* Tidak tegas, tidak konsisten dan flip-flop
* Terlalu bergantung kepada bekas panglima Anwar
* Merestui budaya politik jijik dan lucah
* Mempunyai terlalu ramai pegawai tapi tidak membantu
* Terlalu ghairah mengejar populariti

Shahbudin memberi penekanan kepada masalah-masalah yang melibatkan peribadi Najib, Rosmah dan keluarganya, sebagai halangan utama untuk Umno meraih kembali sokongan. "Pihak Wanita Umno yang terlibat dalam Rumah 10 ketika berkempen dan berdepan langsung dengan pengundi, mengakui mereka kadang-kadang menjadi kelu dan hilang kata-kata untuk mempertahankan Umno apabila dibangkitkan isu-isu melibatkan Rosmah.

Beliau juga membayangkan, Najib akan mengikuti jejak Pak Lah, yang terpaksa meletakkan jawatan, ekoran prestasi buruk pada Mac 2008. Sekiranya BN masih gagal memperolehi kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen selepas PRU13 nanti, desakan supaya Najib berundur pasti bergema dengan kuat.

Bukankah timbalannya, Muhyiddin Yassin juga yang lantang menekan Pak Lah dahulu? Dari sisi ini, Muhyiddin dilihat ada kekuatan tersendiri, untuk berani dan tegas bertindak bagi "menyelamatkan" Umno.

Atau sekurang-kurangnya Najib harus berupaya merebut kembali negeri termaju, Selangor; beliau masih pengerusi perhubungan Umno negeri. Shahbudin melihat syarat itu sebagai penanda aras paling minimum untuk mengelakkan Najib dihambat lebih awal daripada posisinya sebagai PM.


Saya sempat mengusik Shahbudin: "Mungkin Muhyiddin sendiri akan beli borong buku Kesilapan-Kesilapan Najib itu. Bukankah dia bakal meraih manfaat politik yang besar daripada kandungan buku tersebut?" Beliau sekadar ketawa kecil ...

Ekonomi Kedah memuaskan

LAPORAN Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan kedudukan kewangan Kerajaan Negehttp://3.bp.blogspot.com/_ecElWnnBAe8/So7snxQ_XdI/AAAAAAAAAYE/2HWMVU8op1k/s400/mb+logo%5B1%5D.jpgri Kedah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak pada tahun 2010 secara keseluruhannya adalah memuaskan.
 
Laporan itu menyebut, pada tahun 2010, baki kumpulan wang disatukan adalah berjumlah RM328.28 juta berbanding sejumlah RM265.52 juta pada tahun 2009
Peningkatan hasil sejumlah RM87.94 juta atau 23.9 peratus pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus sejumlah RM2.55 juta atau 0.6 peratus.

“Ini menyebabkan Kerajaan Negeri mencatat surplus pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta berbanding defisit tahun 2009 berjumlah RM62.89 juta iaitu peningkatan mendadak sejumlah RM85.39 juta atau 135.8 peratus,” kata Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikemukakan Ketua Audit, Tan Sri Ambrin Buang baru-baru ini.

Laporan itu menyebut, peningkatan ini telah mengurangkan baki defisit akaun hasil disatukan tahun 2010 sejumlah RM22.50 juta atau 7 peratus menjadi RM298.23 juta berbanding RM320.73 juta pada tahun 2009.

Pengurangan wang tunai juga adalah seimbang dengan peningkatan ketara deposit dalam negeri berjumlah RM84 juta atau 45.7 peratus menjadi RM268 juta pada tahun 2010 berbanding RM184 juta pada tahun 2009, katanya.

Manakala pertambahan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM249.87 juta pada tahun 2010 menambah komitmen kerajaan negeri terhadap baki hutang awam yang kini berjumlah RM2.61 bilion berbanding RM2.38 bilion pada tahun 2009.

Ketua Audit Negara mengesyorkan, tindakan yang lebih berkesan perlu diambil untuk mengutip tunggakan hasil.

Jumlah tunggakan hasil pada tahun 2010 berjumlah RM172.67 juta telah berkurangan sejumlah RM27.16 juta atau 13.6 peratus berbanding RM199.83 juta pada tahun 2009, ujarnya.

Berikut adalah ringkasan Laporan Ketua Audit Negara 2010:

Kedudukan Kewangan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah

Mengikut Lembaran Imbangan, Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2010 berjumlah RM328.28 juta.

Jumlah ini merupakan lebihan terkumpul daripada ketiga-tiga Akaun Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan. Jumlah ini meliputi wang tunai berjumlah RM40.14 juta dan pelaburan berjumlah RM288.14 juta.

Analisis audit mendapati Kumpulan Wang Disatukan mengalami peningkatan sederhana sejumlah RM62.76 juta atau 23.6 peratus menjadi RM328.28 juta pada tahun 2010 berbanding RM265.52 juta pada tahun 2009.

Peningkatan ini adalah disebabkan baki Akaun Pinjaman Disatukan meningkat sejumlah RM42.32 juta atau 121.7 peratus berbanding pada tahun 2009. Selain itu, Akaun Hasil Disatukan mengalami peningkatan sejumlah RM22.5 juta atau 7 peratus berbanding pada tahun 2009.

Wang Tunai

Mengikut Penyata Kewangan, baki wang tunai pada 31 Disember 2010 berjumlah RM40.14 juta. Wang tunai merupakan aset yang terdiri daripada Wang Tunai Dalam Bank berjumlah RM15.46 juta, Wang Tunai Dalam Perjalanan berjumlah RM24.65 juta dan Wang Tunai Dalam Tangan berjumlah RM0.03 juta.

Analisis perbandingan kedudukan wang tunai bagi tahun 2010 menunjukkan penurunan berjumlah RM20.60 juta atau 33.9 peratus menjadi RM40.14 juta berbanding RM60.74 juta pada tahun 2009.

Penurunan ini disebabkan oleh aliran wang tunai keluar pada tahun 2010 berjumlah RM3.13 bilion melebihi aliran wang tunai masuk berjumlah RM3.11 bilion.

Wang tunai dalam perjalanan pada tahun 2010 pula telah berkurangan sejumlah RM14.03 juta atau 36.3 peratus menjadi RM24.65 juta berbanding RM38.68 juta pada tahun 2009.

Pelaburan

Baki pelaburan Kerajaan Negeri Kedah pada akhir tahun 2010 berjumlah RM288.14 juta meningkat sederhana sejumlah RM83.36 juta atau 40.7 peratus berbanding RM204.78 juta pada tahun 2009.

Peningkatan ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun. Analisis perbandingan menunjukkan peningkatan adalah disebabkan penambahan dalam Deposit Dalam Negeri berjumlah RM84 juta.

Analisis Keuntungan

Pelaburan Kumpulan Wang Amanah dan Pelaburan Am Analisis Audit mendapati keuntungan daripada pelaburan pada tahun 2010 telah meningkat sejumlah RM0.85 juta atau 18.7 peratus menjadi RM5.39 juta berbanding RM4.54 juta pada tahun 2009.

Peningkatan ini adalah disebabkan agihan keuntungan MAB berjumlah RM0.70 juta dan Petronas berjumlah RM0.90 juta bagi Saham Dan Syer.

Selain itu, keuntungan pelaburan Deposit Dalam Negeri telah meningkat sejumlah 0.50 juta menjadi RM3.79 juta pada tahun 2010 berbanding RM3.29 juta pada tahun 2009. Analisis Audit seterusnya mendapati keuntungan daripada pelaburan MAB dan Petronas sepatutnya diperakaun sebagai hasil di Akaun Hasil Disatukan tetapi telah silap diperakaunkan ke Akaun Amanah SSI.

Prestasi Kewangan Akaun Hasil Disatukan

Akaun Hasil Disatukan pada tahun semasa mengalami peningkatan sejumlah RM22.50 juta atau 7.0 peratus menyebabkan baki defisit Akaun Hasil Disatukan berkurangan menjadi RM298.23 juta berbanding RM320.73 juta pada tahun 2009.

Peningkatan ini adalah kali kedua dalam tempoh 5 tahun kebelakang iaitu sejumlah RM19.53 juta pada tahun 2006. Peningkatan ini adalah disebabkan lebihan pendapatan semasa berjumlah RM85.39 juta melebihi baki defisit pada awal tahun berjumlah RM62.89 juta.

Hasil

 Hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah terdiri daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Kutipan hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta iaitu meningkat sederhana sejumlah RM87.94 juta atau 23.9 peratus berbanding tahun 2009 berjumlah RM368.27 juta.

Rabu, 9 November 2011

Korban niat kongsi rezeki bukti sifat ketakwaan insan

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

AIDILADHA atau hari raya korban mempunyai banyak manfaat dengan pahala berlipathttp://2.bp.blogspot.com/_h_Ng3xJsrdc/TNYF8M6RvvI/AAAAAAAADXc/-pW4BPOSQfM/s400/raya+korban.jpg kali ganda kepada seluruh umat Islam. Bukan sekadar merayakannya dengan keinsafan dan kebahagiaan, Aidiladha turut menyediakan peluang umat Muhammad menunaikan ibadat korban.

Anas melalui riwayat oleh Bukhari dan Muslim katanya: “Rasulullah telah mengorbankan dua ekor kambing berbulu hitam dan putih. Aku melihat Baginda meletakkan kedua-dua kakinya di atas leher kedua kambing itu lalu membaca Basmalah dan bertakbir. Kemudian Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri.”

Ada beberapa gambaran dan tamsil yang dilakukan Rasulullah SAW iaitu meletakkan kedua kaki kambing di kedua-dua tengkuknya untuk mengelak kambing itu meronta. Lebih afdal jika orang yang melakukan ibadat korban itu menyembelih sendiri binatang akan dikorbankan.

Keutamaan ibadat korban terletak pada niat iaitu ikhlas untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan sebagai bukti keimanan serta ketakwaan kerana menyembelih haiwan korban sekadar menunjuk-nunjuk kemampuan diri adalah perbuatan sia-sia.

Tujuan bersedekah daging korban juga perlu jelas kerana membantu golongan kurang berkemampuan berkongsi rezeki yang diperoleh hasil kurniaan Allah. Sesungguhnya Allah akan memberikan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan korban dan bersedekah dagingnya.

Pada masa sama, matlamat korban juga perlu terpelihara daripada unsur negatif kerana kisah korban dilakukan Nabi Ibrahim dan anakanda baginda, Nabi Ismail bukan sekadar kisah sejarah yang enak diceritakan atau didengar.

Pengorbanan mereka sepatutnya meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam kerana dalam suasana hari ini, sukar rasanya untuk seseorang itu berkorban melepaskan insan atau perkara yang disayangi, sedangkan ganjarannya tidak nampak oleh mata kasar.

Nabi Ibrahim bukan saja berkorban hati dan perasaannya, bahkan terpaksa melakukan perkara berat iaitu menyembelih anaknya sendiri kerana mentaati perintah Allah. Namun, disebabkan keyakinan bahawa apa yang datang daripada Allah adalah kebenaran, maka itulah yang dilakukan.

Nabi Ismail sendiri sebagai anak yang patuh kepada Allah dan bapanya dengan reda merelakan dirinya disembelih. Adakah anak hari ini yang bersedia menyokong bapanya memenuhi tuntutan agama jika terpaksa mengorbankan diri sendiri.

Tambahan pula, hasilnya tidak diketahui kerana jika kesan daripada pengorbanan itu memberi keuntungan yang dapat dilihat atau dirasai, agaknya semua kita berebut-rebut untuk melakukan pengorbanan.

Apa yang pasti, setiap pengorbanan akan ada ganjarannya dengan syarat dilaksanakan seikhlas hati berbekalkan keyakinan, setiap amalan baik akan dibalas baik.

Setiap apa juga yang dilakukan dalam kehidupan seharian, semuanya menuntut kekuatan dan pengorbanan yang tinggi. Disebabkan itu, ada bersetuju melakukan sesuatu tetapi apabila tiba saatnya, hati tidak bersedia berkorban.

Sebagai umat Islam, kita juga perlu berhati-hati dalam melakukan pengorbanan. Jangan berkorban untuk perkara menyalahi syariat agama kerana perbuatan itu hanya menjurus kita kepada kemurkaan Allah SWT.

Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa tetapi matlamatnya perlu jelas untuk meningkatkan syiar Islam dan mengharapkan kasih sayang Allah. Barulah pengorbanan itu menjadikan kita hamba Allah yang untung.

Isnin, 7 November 2011

Kegagalan kerajaan Umno-BN kekang masalah hutang

Oleh DR MUJAHID YUSOF RAWA

SAYA mengharapkan bahawa kerajaan memberi jaminan cara untuk mengekang defisit ini tetapi nampaknya dalam suasana global yang ada hutang dan suasana keberhutangan ini akan terus menghimpit negara kita.Apatah lagi kita mendapat maklumat betapa hari ini ramai yang menjadi muflis.

Muflis salah satu sebabnya adalah kerana berhutang. Jadi, kita harap apa yang disebutsebut dahulu bahawa negara kita akan muflis sebelum 2020 itu adalah suatu yang tidak benar.
Akan tetapi, sebagai melihat trend yang ada hari ini, kita mengharapkan supaya isu hutang ini dapat diselesaikan dengan cara yang bijak.

saya juga ingin memberikan pandangan tentang tumpuan kepada sektor awam. Saya tidak ada masalah apabila sebahagian besar daripada bajet ini meletakkan pendekatan baru tangga gaji, sistem saraan baru perkhidmatan awam.

Cuma, bagi saya, bagi kami kita melihat bahawa persoalan gaji ini apa yang kita cuba dekati dalam permasalahan ini ialah dengan mengemukakan apa yang kita namakan gaji minimum.

Bermakna pemikiran dan kerangka kita dalam melihat permasalahan kehidupan hari ini dengan gaji, kita memperkenalkan apa yang kita katakan dengan gaji minimum.

Saya tidak tahu kerangka apakah yang dipakai dalam melihat tetapi malangnya sektor awam ini hanya diberikan tumpuan kepada sektor awam. Saya di bawah sana apabila berjumpa dengan sektor swasta mereka mengatakan kami tidak ada apa-apa habuan dalam bajet baru-baru ini.

Jadi, saya juga mengharapkan kerangka pemikiran kita untuk meletakkan masalah ini mestilah jelas. Kita mencadangkan kerangka itu di bawah konsep atau kerangka pemikiran gaji minimum ataupun ‘minimum wages’.

Kedua, dari sudut bajet ini saya juga ingin memberikan pandangan tentang apa yang kita namakan bajet seimbang ataupun bajet jangka panjang.

Ya kita ada Rancangan Malaysia Kesepuluh sebagai satu program jangka panjang tetapi dalam kita menangani suasana yang kita sedang lalui hari ini di negara kita mahupun di peringkat global.

Saya bersetuju bukan semua masalah ini kita boleh longgokkan kepada satu sektor ataupun kepada satu pihak. Ia merupakan masalah global, masalah ekonomi di Amerika, masalah ekonomi di negaranegara membangun. Semua ini bukan masalah kita sematamata.

Tuan Ibrahim: Usah puas hati dengan media baru

MEDIA baru memang dilihat mampu mengimbangkan pengaruh dan propaganda media tradisional, malah mengatasihttp://1.bp.blogspot.com/_JqIvIKg-tiQ/RqgQm5YjwkI/AAAAAAAAAAc/52vCBp7d4pE/s1600/UstDTuanSmallC.jpgnya. Ia bukan lagi terhad di bandar-bandar besar, namun untuk PRU13 nanti, banyak lagi faktor lain yang mesti diambil kira. Kepada PAS, mampukah ia meyakinkan pengundi Melayu untuk turut sama membuat perubahan besar? Ikuti wawancara wartawan, AHMAD LUTFI OTHMAN dan SAIDAH HAIRAN, dengan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di pejabat Harakah, baru-baru ini.

HARAKAH: Sekarang banyak pihak bercakap soal pengaruh media baru dalam politik. Di Malaysia, dari satu segi, "padang permainan" semakin rata berbanding penguasaan mutlak pemerintah dahuludi. Namun, ada yang bimbang jika aktivis parti (PAS) yang obses dengan kuasa siber ini secara tidak sedar mungkin meremehkan tugas-tugas tradisi, melalui medium biasa, tapi berkesan seperti pendekatan bersemuka dengan rakyat ...

TUAN IBRAHIM: Saya tengok dari sudut peranan media baru ada banyak yang mengubah persepsi masyarakat. Cuma ruanglingkup masih terhad. Terdapat jurang yang jauh di antara suasana di bandar, pinggir kota dan luar bandar. Pengaruh terhadap masyarakat bandar hebat sehingga mereka sanggup membuat perubahan politik.

Namun, di kawasan luar bandar masih lagi kuat penggantungan pada media tradisi. Sememangnya media tradisi tidak boleh ditinggalkan. Kita masih kekalkan program ceramah, dialog dan pendekatan bersemuka.

Kita juga risau dengan media baru yang tiada kawalan. Dalam konteks ini, bagaimana kita boleh mengurus tenaga yang ada fikrah atau kesedaran untuk digembling, supaya kita boleh lebarkan penerimaan masyarakat. Tinjauan menunjukkan pengaruh media baru di kampung agak terhad. Jika boleh mencetaknya daripada sumber itu, dan diedar, ia lebih berkesan.

Maknanya kalau orang baca internet, kemudian print-out dan boleh edar, maka ia lebih berkesan. Jadi, kita sedang berusaha wujudkan satu pasukan supaya mereka boleh manfaatkan sumber internet dengan berkesan. Kalau boleh, dalam setiap ceramah ada bahan yang diedar kepada orang ramai untuk dibawa, dalam bentuk CD, bahan bercetak dan sebagainya. Ini amat berkesan untuk sasaran yang kita tumpu.

Mungkin yang datang dengar ceramah itu kebanyakannya ahli kita tetapi di rumah mereka mungkin bukan, jiran mereka mungkin bukan.

Sekarang kita tengok di negeri Pakatan, seperti Kelantan. Kita ada banyak bahan, begitu juga di Selangor, di Kedah. Mereka terbit buletin, cuma sejauh mana kita dapat manfaatkannya lebih meluas. Soal pengedaran mesti diberi perhatian besar. Ada kalanya cetak banyak tapi tak teredar.


Dahulu ramai mengeluh soal maklumat tidak sampai kepada sasaran. Kini, dengan perkembangan pantas ICT dan maklumat di hujung jari, apakah senario politik dapat diubah dengan mudah?

Kalau kita tengok sirah Rasulullah, Islam datang dalam satu istilah "Alfathu", iaitu buka. Islam itu cukup menentang elemen menutup pandangan, pemikiran dan maklumat kepada rakyat. Islam datang untuk buka, bukan untuk paksa. Konsep buka itu menarik. Islam datang bukan untuk menjajah tetapi membuka. Supaya rakyat dapat buka minda, buka telinga. Dengan konsep buka itu rakyat dapat membuat perubahan.

Sebab itu kalau kita tengok aduan Nabi Nuh a.s. "Ya Allah, apabila aku menuju kepada mereka, mereka tutup telinga, tidak mahu mendengar." Sebab itu Islam datang untuk buka. Justeru, kita menentang apabila permit diberi secara terhad, tauliah ditarik.

Sebenarnya zaman Nabi pun ada tauliah. Misalnya, Nabi temuduga Muaz bin Jabal dahulu sebelum beliau mengajar. Jadi konsep temuduga itu ada. Nabi tanya dan apabila sudah yakin baru boleh mengajar. Sayidina Ali masuk satu masjid, melihat seorang lelaki sedang mengajar. Habis mengajar lelaki itu dipanggil dan ditanya soalan. Apabila Ali yakin dengan jawapannya, lelaki tersebut boleh meneruskan mengajar.

Tetapi Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Othman, orang seperti ini tidak perlu ditemuduga. Maknanya, ada orang yangkita yakin dengan ilmunya, kerajaan sepatutnya mendorong mereka mengajar. Apabila kita rasa bimbang dan ragu dengan ilmu mereka, panggil untuk ditemuduga.

Umumnya, bila berlaku pembukaan minda, saya yakin perubahan akan berlaku.

Begitu juga dengan pengaruh model teladan. Di Makkah, 13 tahun Nabi berdakwah, tidak sampai 1,000 masuk Islam, tetapi di Madinah, hanya selepas 10 tahun berdakwah, lebih 300,000 masuk Islam.

Rakyat akan buat perubahan kalau mereka yakin. Jadi, macam mana kita hendak bina keyakinan? Orang mudah yakin kalau mereka tengok contoh. Justeru, kita kena pertahan kemenangan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan di Selangor, sebab kita nak tunjuk model.

Kedua, yakin dengan ilmu melalui proses kuliah, pengajian dan ceramah. Ada benda yang kita tidak perlu tengok, seperti yakin dengan dosa dan pahala serta alam akhirat. Sebab itu orang beriman mereka boleh yakin walaupun tidak ada model. Masyarakat awam tidak boleh, mereka perlukan model sebab mereka hendak tengok.

Sebab itu kita kena pertahankan kemenangan. Penggal pertama kita menang memang cabaran banyak kerana hendak bersihkan perkara yang Umno-BN tinggalkan. Bagaimanapun setelah kita tunjuk model, rakyat baru yakin dengan pencapaian ekonomi kita, insya-Allah.

Orang selalu membandingkan, kenapa tahun 1999, zaman reformasi, internet belum meluas, tetapi pencapaian kita baik, terutama di kalangan orang Melayu. Namun, pada 2004, perkembangan media baru jauh lebih maju, tetapi hasilnya BN mencapai keputusan pilihan raya paling membanggakan.

Faktor perubahan itu banyak, termasuk media baru. Tapi pada 1999 ledakan itu adalah isu Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kemudian kemarahan rakyat tinggi terhadap Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan PM, sentimen orang marah kepada Dr Mahathir hilang. Rakyat kembali meletakkan harapan.

Ini ada kelemahan pada kita. Kita harus fokus pertembungan bukan kepada manusia tetapi dasar. Kita jangan letakkan pertembuangan dengan manusia sebab apabila individu itu tidak ada, rakyat rasa individu lain okey. Sebab itu kita bukan lawan faktor peribadi tetapi lawan Umno kerana dasar. Dasar tetap kekal.

Majoriti pengundi masih bergantung pada isu yang berlaku ketika itu. Umumnya di Malaysia, pengundi bandar dan luar bandar itu hampir seimbang. Pengaruh media baru boleh menguasai pengundi bandar dan pinggiran bandar tapi di luar bandar ia bergantung pada isu.

Misalnya, tahun 1999 di Pahang kita menang enam kerusi. Enam kerusi termasuk kawasan Felda yang lojiknya payah kita menang. Saya bertanding di Dun Jengka, yang ada 10 peti undi, 9 daripadanya Felda. Waktu itu, Ketua Umno dan AJK sokong kita. Saya pergi jumpa mereka dan mereka tidak boleh terima hakikat Mahathir pecat Anwar.

Jadi saya ingat perubahan itu bergantung pada isu. Mutakhir ini kita agak beruntung sebab kita boleh jawab lebih mudah. Bila timbul isu kita terus boleh jawab. Dulu, kalau muncul isu menyerang kita, terpaksa dibuat road show sampai dua bulan. Sekarang apabila timbul isu, dalam sehari kita masuk youtube, rakyat dapat akses dan mampu buat penilaian. Cuma mesti ada mekanisma lain agar penjelasan dapat sampai kepada orang yang tidak ada internet.

Mungkin daripada segi ICT, soal teknikal misalnya, kita sudah sudah setaraf dengan pesaing kita, tetapi bagaimana pula dengan pengisian dalam media baru itu. Sejauh mana persiapan dibuat agar kandungannya bermutu dan boleh diyakini?

Memang kita ada beberapa mekanisma yang perlu diselesaikan. Pertama, ada blogger yang secara sukarela menjawab isu. Kedua, mekanisme dalam parti sendiri. Dan ketiga, ada ahli parti yang mengisinya, tetapi penyelarasan menjawab itu tidak berlaku

Ada ustaz yang naik ke pentas dan dalam kuliah, kadang-kadang jawapan mereka tidak selaras dengan kehendak parti. Mungkin mereka hanya timbulkan isu agama dan tidak dalam konteks politik. Pertama, kita perlu wujudkan rangkaian di antara parti dengan simpatisan, iaitu blogger kita.

Baru-baru ini ada seminar ICT bersama Lajnah Penerangan dan Dakwah. Saya fikir ini satu pendekatan yang sangat baik. Timbalan Penerangan PAS Pusat, Dato' Seri Nizar Jamaluddin bertanggungjawab menguruskan bagaimana hendak mencari tenaga dan bahan, supaya bahan ini selaras dengan kehendak parti.

Kadang-kadang timbul sentimen melampau sehingga ada yang menulis dengan emosi. Memang kita akui hendak kawal individu agak payah tetapi perlukan penyelarasan dan kawalan. Kita ada Meja Penerangan Pakatan Rakyat. Diputuskan setiap bahan dari negeri mesti disalurkan ke Meja Pakatan Rakyat. Senang untuk semua pihak membuat rujukan.

Kita tak mahu perubahan di Kelantan misalnya tidak diketahui di negeri lain, misalnya Johor. Perubahan itu mesti dapat dikongsi oleh lebih ramai khalayak. Di Selangor banyak bahan tetapi bukan terhad untuk Selangor sahaja. Bila Kedah buat perubahan, negeri lain mesti mendapat maklumat.

Jadi, Meja Pakatan Rakyat ini sebagai penyelaras. Cuma halangan kita adalah kekangan kewangan untuk menyebarkan bahan-bahan itu, misalnya Buku Jingga.

Seterusnya, apa yang ditimbulkan blogger Umno. Kita mesti pastikan orang ramai tidak terpengaruh dengan fitnah mereka. Untuk menjawab fitnah itu, kita kena ada satu jawatankuasa khas.


Masa 1999 dahulu, semangat kesukarelawanan untuk menyebarkan maklumat begitu tinggi. Tanpa disuruh, masing-masing ghairah mengedarkan bahan, walaupun terpaksa mencetak daripada internet dengan kos sendiri. Rasanya, hal seperti itu agak merosot sekarang ini, masing-masing mengharapkan pihak atasan, yang berautoriti melakukannya.

Saya tengok apabila masing-masing buat, semua orang perlu fikir ada penyelerasan. Cuma perlu mewujudkan beberapa orang penting yang boleh menjadi penyelaras dan boleh mengumpul tenaga. Sebagai contoh, kita ada blogger yang hebat dan apabila kita buat pertemuan, mereka gembira.

Masalah kita adalah dana. Kalau kita boleh wujudkan satu jawatankuasa, kita kena bagi peruntukan untuk mereka, terutama untuk menyelaraskan isu. Kita ada beberapa orang yang boleh membantu hal ini, dan ia mesti disegerakan.

Ya Dato', masa cukup suntuk sekarang, segala masalah termasuk dana mesti diselesaikan segera.

Pertama, dari sudut media baru kita kenal pasti beberapa tenaga penggerak melalui rangkaian Lajnah Penerangan dan Dakwah. Apabila timbul isu, mereka boleh ambil dan sebarkan dengan cepat. Insya-Allah, cuma mampu atau tidak untuk kita menjawab dengan baik.

Kita perlu manfaatkan tenaga kita, misalnya blogger yang mendapat sambutan baik seperti cukup baik. Pengalaman mereka perlu dikongsi bersama dengan blogger lain. Blog yang baik itu mesti dihubungkan dengan blog lain.

Musuh juga akan melakukan perancangan yang sama, malah mereka dibayar gaji khusus untuk membawa cerita mengarut. Sekarang adalah perlawanan untuk menguasai dunia maklumat. Namun, kita masih yakin kita perlu yang berakhlak, bermaklumat, bertanggungjawab dan berhemah.

Saya tengok masyarakat Cina telah melakukan perubahan politik yang besar kerana mereka hilang keyakinan terhadap pimpinan. Orang Melayu, walaupun laporan audit mendedahkan pelbagai ketirisan dan penyelewengan, sebahagiannya masih tidak berubah. Ini kerana Umno berjaya menanamkan, dalam satu tempoh yang lama, pergantungan kepada pemerintah.

Sekarang, kita hendak ubah persepsi terutama di kalangan orang Melayu, bahawa PAS mampu mengambil peranan Umno, malah dapat mentadbir jauh lebih baik, serta mampu menyelesaikan banyak masalah rakyat.


Rasanya, di antara masyarakat Melayu dan Tionghua, tidak banyak perbedaan dari segi penerimaan atau pendedahan terhadap maklumat. Bagaimanapun, persepsi sebahagian orang Melayu masih sukar diubah. Mengapa jadi begitu, ya?

Pendekatan agama tidak boleh ditinggalkan kerana harapan orang Melayu dari segi agama tinggi kepada PAS. PAS yang akan membela Islam. Apabila timbul isu agama, orang hendak tengok pendirian PAS.

Isu kalimah Allah misalnya, orang tidak tanya kepada Umno, orang tanya PAS. Maknanya, penggantungan rakyat terhadap isu agama kepada PAS amat tinggi. Ini kita kena urus dengan baik dan cermat. Sebab itu, dalam kita bertahalluf, ada syarat yang kita cermati dan kita kena pelihara. Kita kena istiqamah dengan prinsip dan orang sensitif hal ini.

Begitu juga Isu ekonomi, saya perhati pada tahun 1999 apabila saya bertanding ada sembilan Felda dan lima daripadanya kelapa sawit. Kawasan getah saya kalah semua. Faktornya, kerana orang miskin takut hendak buat perubahan kerana penggantungan mereka kepada kerajaan amat tinggi.

Orang Cina kurang penggantungan terhadap kerajaan. Mereka tidak kisah untuk belajar tinggi kerana mereka bukan hendak kerja dengan kerajaan. Mereka perlu sijil dan selepas itu boleh melakukan apa sahaja kerja. Orang Melayu sukar hendak berubah sebab penggantungan mereka terhadap Umno kuat.

Saya ambil congoh menarik, misalnya dalam Buku Jingga, di antara program 100 hari Pakatan Rakyat memerintah adalah membatalkan Felda Plantation bagi membuka ladang yang akan diuruskan oleh generasi kedua dan ketiga peneroka Felda. Kita edar borang. Sambutan luasa biasa. Kita cetak 6,000 habis dan cetak semula. Walaupun yang berjanji itu kita masih belum memerintah. Maknanya persepsi orang Melayu masih lagi bergantung.

Saya tengok dalam setiap pilihan raya, Umno menggunakan pendekatan sama iaitu berjanji hendak bagi rumah kepada rakyat dan edar borang, rakyat berebut tetapi selepas pilihan raya, tiada. Rakyat mahukan perubahan dan kita akan laksanakan janji-janji kita itu.


Dalam pada itu, kita juga patut beri perhatian kepada golongan yang tidak sensitifdengan perkembangan semasa. Misalnya menurut satu tinjauan, 20 peratus mahasiswa tidak kisah dengan politik. Ini sangat bahaya. Mereka kecewa apabila ahli politik yang menang dan melompat. Ada juga yang menang tetapi tidak peduli pada rakyat, hanya ambil kesempatan. Golongan yang kecewa ini mendakwa, serupa sahaja PAS atau Pakatan dengan BN apabila menang. Kedua, mereka tengok pertembungan besar dalam politik. Mereka celaru dan ambil sikap malas layan.

Bagi saya, PAS berjaya istiqamah. Cuma kelemahan yang ada kita kena atasi. Kita tunjukkan kepada rakyat, sikap bertanggungjawab dan ambil berat masalah mereka.

Dato' sebut soal pengiktirafan kepada agama pada PAS tinggi. Dan itulah yang hendak dirobohkan Umno bagi menanamkan keraguan rakyat terhadap kekuatan PAS. Ditimbulkan, apabila PAS bergabung dengan kerajaan campuran KeADILan dan DAP, banyak prinsip PAS dikorbankan. PAS juga ditohmah menjadi kuda tanggungan DAP. PAS dikatakan semakin tamak untuk berkuasa dan rela mempertaruhkan dasar Islam?


Propaganda Umno dalam soal ini menggambarkan kerisauan Umno. Punca besar kerana keputusan pilihan raya 2008. PAS gagal mencapai kemenangan besar, berbeda dengan DAP. Jadi orang tengok yang menjadi ketua adalah DAP. Dalam politik, orang ukur dengan kemenangan, orang tidak ukur dengan dasar, seperti berapa ramai ahli dan cawangan.

Apabila timbul sesuatu isu, orang tengok siapa menjuarai isu itu. Yang menjuarainya dilihat hero. Sebab itu PAS kena menjuarai setiap isu yang berlaku dan orang hendak tengok komitmen kita. Apabila timbul isu, orang tengok kecenderungan kita kepada DAP walhal sebenarnya kita bukan cenderung pada DAP tapi kita berpegang kepada nas.

Contoh, isu kalimah Allah, kita berdasarkan hujah ilmiah dan nas, bukannya terikat dengan DAP. Memang Quran dan hadis sebut begitu. Apabila Umno timbul isu macam ini, sasaran mereka satu kelompok sahaja. Kelompok itu ialah orang yang tidak ada maklumat, selain TV dan akhbar harian. Sasaran mereka adalah pengundi Melayu.

Tahun 1999, kita manfatkan situasi di Lembah Klang yang besar pengaruhnya terutama kepada keluarga di kampung-kampung. Pilihan raya 2004 mereka angkut semua pengundi bawa ke Kelantan. Apabila Tok Guru buat solat hajat, dan mereka berasa simpati dengan PAS, maka mereka balik bukan undi BN, tengah jalan mereka tanggal baju dan sokong PAS.

Kini kesempatan perlu diambil oleh negeri-negeri yang tidak ditumpu Umno. Apabila kita menang empat negeri, seluruh jentera tertumpu ke empat negeri ini. Ini kesempatan yang baik, yang perlu diambil negeri yang tidak menang, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Supaya ruang kosong serangan dapat dimanfaatkan semaksimumnya.

Dulu serangan teruk hanya kepada Kelantan. Semua pengundi dibawa ke Kelantan dan kita menang empat negeri. Sekarang negeri yang belum menang kena buat kerja betul-betul sebab sasaran mereka berpindah.

Semua akui dalam PRU13 nanti, iaitu pilihan raya paling sengit bakal disaksikan, penentunya adalah pengundi Melayu, terutama di luar bandar. Kebetulan PAS banyak bertanding di kawasan itu. Maknanya, kejayaan Pakatan menguasai Putrajaya bergantung kepada kejayaan PAS dalam pilihan raya berkenaan. Dalam tempoh singkat ini, apa yang boleh diusahakan PAS?

Secara ikhlas, masih banyak kita kena buat dalam masa terhad. Persiapan pilihan raya masih banyak perlu diperbaiki terutama dari segi jentera, daftar keahlian, organisasi, dana dan lain-lain. Memang sengit dna tidak mustahil akan berlaku perkara di luar jangka, termasuk kekerasan fizikal.

Kita letak harapan bahawa kalau kita boleh tingkatkan sikit peratus sokongan kepada kita, ia cukup positif. Dalam konteks Felda, nampak ada perubahan, insya-Allah. Terutama dalam isu saman Felda, menang. Dulu peneroka nak saman Felda, tidak masuk dalam kepala pun. Nak tubuh cawangan takut.

Bagi pengundi kampung pula kita boleh manfaatkan kesedaran anak-anak mereka tanpa menafikan di kampung-kampung sendiri sudah perubahan besar. Yang penting jaringan maklumat perlu disebarluaskan.

Kita juga berharap kepada kekuatan calon yang rapat dengan rakyat, yang rajin ziarah dan sebagainya. Begitu juga dengan undi pos, kalau ini kita boleh dapat sedikit, saya rasa insya-Allah kita boleh menang. Apa pun, kerja masih banyak.

Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Razak secara terbuka, melalui TV kita dapat saksikan, telah mengkritik dan menegur pimpinan parti itu, agar tidak sombong dan mesti mendekati rakyat, turun ke akar umbi. Kita jarang dengar kritikan sama daripada pimpinan tertinggi PAS kepada wakil rakyat dan pimpinan negeri yang berkuasa.

Isu calon dalam PAS, Alhamdulillah. Mungkin melalui proses tarbiyah dan kita tekankan jangan berebut soal jawatan kerana ia menyusahkan di akhirat nanti. Pengalaman saya sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang, tidak ada orang berjumpa hendak jawatan. Bahkan yang kita minta bertanding, merayu-rayu minta diberi kepada orang lain. Mungkin kita belum menang, jika sudah menang mungkin berbeza.

Di Kelantan, eleman itu mungkin ada tetapi tidak besar. Umno berdepan masalah apabila mereka buat polisi baru. Polisinya tidak semestinya ketua bahagian menjadi calon, jadi masing-masing melobi. Disember nanti Umno ada perhimpunan walaupun tidak ada pemilihan. Perhimpunan ini dijadikan medan melobi untuk jadi calon. Masing-masing bergantung dengan pemimpin.

Apa pun kita ambil mudah isu ini dalam PAS. Misalnya, zaman Nabi, selepas perang, Nabi dapat banyak harta rampasan. Tapi waktu mengagihkan harta, Nabi bagi kepada orang Makkah. Ini menyebabkan orang Madinah berkecil hati.

Nabi panggil mereka dan berkata, "Aku dengar orang Madinah tidak puas hati." Sahabat kata, "Ya Rasulullah, dalam perang kami di depan, tapi bila dapat harta kami tak dapat." Nabi berkata,"Orang Makkah akan balik ke Makkah dan bawa kambing tapi mereka tidak bawa Nabi. Kamu balik ke Madinah, memang kamu tidak ada kambing tapi kamu ada Nabi. Apakah kamu rasa aku lebih murah daripada kambing?"

Jadi, ini soal tarbiyah. Nabi sebut soal jawatan ini pada mulanya menyesal, pertengahan berdukacita, dan di hujungnya dihumban di neraka. Nabi pesan, jangan minta tapi kalau orang beri jawatan jangan lari. Siapa-siapa yang orang beri jawatan tapi dia lari, aku tidak mahu jumpa di padang Masyar nanti, kata Nabi.

Sebab itu saya letakkan syarat bahawa pimpinan mesti ada usrah; ahli tidak apa, pimpinan hendak jadi calon mesti ada usrah, hadir tamrin dan kena faham dasar parti. Pimpinan yang tidak ada usrah, tidak ada tamrin apabila datang ujian mereka tidak tahan.

Selasa, 1 November 2011

Kerajaan Kedah terus melangkah gagah!

Oleh Mohd Nasir Zakaria

Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010. Walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia "setahun jagung" iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang.

Berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan; pengalaman pentadbiran, kewangan, penyaluran peruntukan kerajaan pusat yang tidak melalui negeri, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Azizan Abdul Razak terus melangkah gagah. DPPNK mempunyai alasan kukuh untuk terus mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.
PERTAMA: Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9% atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau 0.6%. Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding tahun 2009 sebanyak RM368.27 juta. Pencapaian ini adalah yang terbaik di dalam masa lima tahun!

KEDUA: Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta! Peningkatan ini sangat ketara dan sangat membanggakan. Ia adalah defisit tertinggi dalam masa lima tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut. Berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8%!

KETIGA: Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009. Pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri. Tahniah kepada para pegawai.

KEEMPAT: Laporan ini telah memperakui peningkatan penerimaan hasil Cukai Tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9%. Kerajaan negeri telah berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding tahun 2009 hanya RM85.37 juta. Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75% di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan di dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut. Kutipan ini adalah yang kedua tertinggi di dalam tempoh lima tahun!!

KELIMA: Peningkatan ketara iaitu 125.2% atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah. Hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta. Kutipan ini adalah tertinggi dalam masa lima tahun!

KEENAM: Sekali lagi premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Peningkatan sejumlah 46.9% atau RM15.49 juta. Berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta! Jumlah ini adalah yang tertinggi dalam masa lima tahun! Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400% !

KETUJUH: Kerajaan juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa lima tahun terakhir! Berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM 26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3%!

DPPNK berpandangan bahawa dengan laporan ini, Ketua Audit Negara terus memperakui keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat. Ini membuktikan secara fakta bahawa segala tohmahan bahkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan adalah tidak berasas. DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendokong pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Azizan Abdul Razak. Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat.

*Kenyataan media oleh Mohd Nasir Zakaria (gambar kiri) selaku ahli parlimen Padang Terap merangkap Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut