Detikdaily

Jumaat, 7 September 2012

Kemeriahan Aidil Fitri dan kekaguman anak perantau Kedah

Oleh ZULKIFLI YAHAYA Rumah Terbuka Aidil Fitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentalon telah mencatatkan kehadiran paling tinggi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pada Mac 2008. Dianggarkan lebih 50 ribu yang hadir pada rumah terbuka yang diadakan buat kali kelima oleh Dato’ Seri Di-Raja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Rakyat datang berpusu-pusu tanpa jemputan berulang kali dalam televisyen seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri. Hanya banner dan banting yang menjemput mereka datang.
Walaupun majlis rasmi bermula jam 11 pagi, namun seawal jam 10 pagi orang ramai telah ‘membuka’ pintu pagar untuk meraikan Aidil Fitri di kediaman rasmi Menteri Besar itu. Sehingga selepas jam 4 petang orang ramai yang kebanyakannya datang berkeluarga, tidak putus-putus berkunjung. Khemah jamuan penuh sesak. Maka terpaksalah sebahagiannya melepak di mana-mana sahaja ruang di kompleks Seri Mentaloon, dari atas ruang surau hinggalah ke atas rumput, semuanya penuh dengan rakyat jelata.
Kehadiran orang ramai untuk majlis yang terdapat jamuan percuma bukanlah luar biasa. Ia tidak menggambarkan sokongan politik kerana nawaitu sebahagian besar yang datang adalah untuk makan. Namun harus diingat bahawa orang yang tegar pendirian politiknya sukar untuk hadir ke majlis jamuan yang dibuat pihak lawan.
Rakyat pelbagai kaum, kecil besar, tua muda semuanya datang menjengah. Pelbagai NGO yang datang dengan kumpulan masing-masing. Termasuk sekumpulan sami buddha yang terdiri dari ketua-ketua watt di seluruh Kedah turut hadir. Kumpulan ini tidak hadir hanya untuk makan melainkan kerana menghargai sebuah kerajaan yang berjaya menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk rakyat berbilang kaum. Jika kehadiran mereka digambarkan dalam bentuk sokongan untuk kerajaan negeri pimpinan Pakatan, maka nampaknya tiada ‘kecederaan’ dari aspek sokongan rakyat selepas berada di tahun kelima kekuasaan, bahkan nampaknya sokongan rakyat semakin meningkat.
Teraju pentadbiran kerajaan Pakatan di Kedah ialah PAS. Berpuluh tahun UMNO melalui rakan kongsi mereka MCA, mencanangkan negara Islam dan hudud kepada bukan Muslim dalam persepsi yang jelik tapi nampaknya masih tidak mampu menjauhkan mereka dari PAS.
Sewaktu PAS dan Pakatan menjadi pembangkang, PAS tiada rangkaian bukan Melayu di peringkat pertengahan dan akar umbi. Hari ini sebagai kerajaan, PAS sudah mempunyai rangkaian Majlis Ketua Kampung/Komuniti terdiri dari pelbagai kaum di seluruh negeri Kedah. PAS sudah ada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mantap hingga ke peringkat akar umbi. PAS ada rakan kerjasama DAP dan bukan Melayu dari KeADILan.
Mengikut sifir matematiknya, sewaktu PAS tanpa rangkaian jentera bukan Melayu pun sudah mampu mendapat sokongan bukan Melayu maka tiada masalah rasanya untuk mengekalkan sokongan bukan Melayu ketika rangkaian jenteranya sudah mantap sebagai sebuah kerajaan.
Anak Kedah di perantauan yang pulang berhari raya tidak lupa untuk bertanya, mampu lagikah Pakatan bertahan di Kedah? Jawapannya mudah saja. Secara tradisi kekuatan UMNO dan PAS adalah seimbang di negeri ini. Di mana ada cawangan UMNO di situ ada cawangan PAS, malahan kalau dinilai kekuatan PAS di seluruh negara, ahli PAS paling ramai di Kedah. Yang menjadi pemberat untuk mencondongkan keseimbangan UMNO dan PAS di Kedah ialah pengundi bukan Melayu (khususnya Cina) yang mewakili kira-kira 25 peratus dari keseluruhan pengundi. Jika 11 kali PRU mereka memihak kepada BN maka menanglah BN. PRU 12 mereka memihak kepada Pakatan, menang Pakatan. Maka jika pengundi bukan Melayu ini terus kekal menyokong Pakatan untuk PRU 13, jawabnya BN akan terus jadi pembangkang. Itu perhitungan di atas kertas, sedangkan yang mengangkat dan menjatuhkan sesebuah kekuasaan ialah Allah SWT.
Sebab itu UMNO beriya-iya benar cuba memecahkan persefahaman parti-parti dalam Pakatan, khususnya antara PAS dan DAP dengan bermodalkan hudud. Bila terburai persepakatan maka Perdana Menteri pun segera akan umumkan pembubaran Parlimen. Namun niat jahat UMNO sudah boleh dihidu sejauh setahun perjalanan kerana acap benar mereka menggunakan modal yang sama menjelang pilihanraya. Asal pemimpin Pakatan tiada yang melatah maka dacing BN akan patah.
Kemeriahan Aidil Fitri di Kedah kali ini juga benar-benar dapat dirasai oleh anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman khususnya yang tinggal di sekitar ibu negeri, Bandaraya Alor Setar. Mereka terkejut besar apabila dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri perubahan yang berlaku. Lanskap bandaraya benar-benar sudah berubah. Empat buah jejambat terbina kukuh di Simpang Kuala, Jalan Langgar, Jalan Teluk Wanjah dan Lebuhraya Sultanah Bahiyah, meniti searas bumbung bangunan. “Macam Kuala Lumpur,” ujar seorang anak perantau.
Kompleks Ukir Mall yang tersergam, kompleks Aman Central yang sedang giat dibangunkan serta pengindahan di kiri kanan jalan-jalan utama di pusat bandar benar-benar meyakinkan anak-anak perantau bahawa Kedah tidak mundur di bawah Pakatan, malah terus membangun.
Sambutan Aidil Fitri kali ini pastinya yang terakhir sebelum PRU 13. Semoga rakyat Kedah boleh beraya lagi tahun hadapan di bawah kerajaan negeri yang sama.

Tiada ulasan:

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut