Detikdaily

Jumaat, 7 September 2012

KUIN akan dijual kepada syarikat swasta?

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Setelah semua isu berkaitan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dapat dijelaskan oleh kerajaan Negeri kini muncul pula cerita baru, kononnya KUIN akan dijual kepada swasta. Spekulasi ini dimainkan oleh Ketua Pembangkang DUN Kedah yang kini menjadi ‘penganalisis sepenuh masa’ isu KUIN, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah pun pura-pura terkejut dengan pendedahan tersebut. 
"Sekiranya benar perkara berkenaan bakal berlaku ia adalah satu insiden yang sangat memalukan rakyat Kedah. Penjualan KUIN juga bakal mencemar imej kerajaan PAS Kedah, malahan sekiranya benar perjualan berlaku ia harus ditentang kerana melanggari dasar dan matlamat penubuhan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Kedah itu," katanya.

Cerita KUIN akan dijual sama saja dengan cerita Dasar Baru Perumahan Kerajaan Kegeri Kedah. Ianya baru di peringkat idea oleh pihak tertentu, belum dijadikan agenda mesyuarat jawatankuasa tetap di bawah potfolio Exco. Jauh sekali dari dibincangkan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) tetapi ia telah diserang habis-habisan oleh pembangkang seolah-olah telah menjadi satu keputusan rasmi. Tidak pelik selepas ini jika seorang ADUN pembangkang Kedah bermimpi sesuatu mengenai pentadbiran negeri maka BN akan memanggil sidang media menyerang kerajaan negeri perihal mimpi yang muncul sewaktu tidur. Pembangkang di Kedah benar-benar ketandusan isu sehingga ke peringkat mengulas khabar angin.
Exco Agama, Pelajaran, Koperasi, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri dan ianya juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KUIN.
“Khabar bahawa kerajaan negeri Kedah telah menerima surat daripada syarikat antarabangsa berkenaan dengan pengambil alihan pengurusan KUIN sejak dua bulan lepas adalah tidak benar.
“Saya tidak menerima surat tersebut dan tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah,” tegasnya.
Di sebalik kencangnya khabar tersebut diulas oleh pihak pembangkang yang kebuluran isu, muncul pihak yang mendakwa wakil syarikat swasta yang berhasrat membeli KUIN itu memberi penjelasan. Syarikat gergasi tersebut yang dikatakan beribupejabat di Turki bukan berhasrat mahu mengambil alih KUIN sepenuhnya. Mereka mahu membeli 90 peratus equiti KUIN dan selepas memilikinya akan mewakafkan kesemua equiti tersebut kepada pemegang amanah KUIN, dengan maksud yang jelas mereka membeli untuk mewakafkannya. Dengan itu KUIN tidak akan terbeban dengan hutang pembinaan kampus induk dan sebagainya yang agak membelenggu sekarang ini. Syarikat tersebut dikatakan telah melakukan perkara yang sama untuk sebahagian wakaf di Universiti Al-Azhar.
Syarikat tersebut sebelum ini bersetuju menyumbangkan RM1 juta untuk pembinaan masjid baru KUIN dan telah menyalurkan sebahagian sumbangan tersebut secara ansuran. Setakat ini mereka tidak memungkiri janji.
Kesal dengan tohmahan yang dimainkan oleh pihak pembangkang, syarikat ini dilaporkan menarik balik tawarannya dan akan menyalurkan cadangan yang sama kepada mana-mana universiti Islam di Thailand atau Turki.
Apa yang menariknya ialah tawaran yang dibuat oleh syarikat tersebut hanya baru di peringkat emel yang dihantar kepada Rektor KUIN. Hebatnya teknologi hari ini kandungan emel itu tersebar kepada pihak pembangkang sebelum sampai ke pengetahuan rektor lagi.
Sejauhmana benarnya kekuatan, kemampuan dan keikhlasan syarikat tersebut belum diketahui. Lembaga Pengarah KUIN belum berbincang dan majlis mesyuarat Exco pun belum tahu apa-apa, namun ia telah menjadi bahan manipulasi pembangkang. Kerajaan negeri pun tidak terlalu bendul untuk membuat keputusan hanya berdasar catatan emel. Jika benar usaha itu serius maka kerajaan tentu akan mengambil perhatian yang serius juga. Tidak menerima secara mudah dan tidak menolak mentah-mentah. Semuanya akan dibuat mengikut kajian dan penelitian.
Bagaimanapun cerita cadangan pembelian oleh syarikat gergasi itu terhenti setakat itu, namun propaganda dan putarbelit pembangkang mengenai KUIN tidak akan berhenti sama sekali. Selagi BN jadi pembangkang di Kedah cerita merapu meraban mengenai KUIN akan berterusan. Mereka tak peduli untung atau rugi untuk rakyat, yang penting ‘untung politik’ jangka pendek mereka untuk manipulasi isu untuk mencari undi dalam pilihanraya.

Tiada ulasan:

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut