Detikdaily

Ahad, 25 November 2012

Gaza bermandi darah lagi!

Oleh Johan Jaaffar
Pada tahun 2006, tentera Israel menyerang Lubnan. Di tengah kemarahan dunia terhadap Israel, bekas pegawai tinggi tenteranya, Ave Azrieli menulis di dalam akhbar International Herald Tribune tentang perlunya negara itu berubah sikap. Azrieli menggesa Israel menjadi sebahagian daripada ‘negara Asia Barat’, bukan sebuah pulau di tengah wilayah yang membenci dan mengasingkannya.


 Menurut beliau, demi kelangsungan, Israel ‘harus menerima hakikat bahawa manusia di sekelilingnya bukan sahaja perlu dilihat sebagai musuh tetapi juga mereka yang harus hidup bersama-sama di dalam wilayah yang paling bermasalah di dunia.” Malah beliau mencadangkan agar Israel menghantar mesej yang jelas kepada dunia Arab, ‘bahawa kami menghormati kamu.’
Pandangan sedemikian tidak pernah dan tidak mungkin dipedulikan oleh pimpinan Israel. Banyak lagi sebenarnya ilmuwan dan pemikir berbangsa Yahudi yang tidak menyenangi dasar Israel dan fahaman Zionisme. Noam Chomsky, cendekiawan berbangsa Yahudi, yang juga ahli falsafah, tokoh sejarah dan ahli linguistik tersohor banyak menyuarakan kecaman beliau terhadap dasar Israel.

Israel hantar mesej pada Obama

Gaza in Crisis: Reflections on Israel’s War Against the Palestinians yang merupakan koleksi wawancara dan esei beliau yang terbit pada tahun 2010 amat relevan ditelaah pada masa ini. Dua buah bab di dalamnya, ‘The Ghettoization of Palestine’ dan ‘The Killing Fields of Gaza 2004-2009’ sangat penting dibaca hari ini.

Serangan ke atas Lubnan pada tahun 2006 tidak menguntungkan Israel. Pada tahun itu, dalam satu tinjauan ke atas rakyat negara-negara Kesatuan Eropah (EU) mendapati 59 peratus responden mengatakan dalam konteks mengacau keamanan dunia, Israel lebih berbahaya daripada Iran, Korea Selatan dan Pakistan.

Seperti biasa, Israel tidak akan menghormati sesiapa. Malah tidak memandang sebelah matapun pada bantahan dan kecaman 1.3 bilion umat Islam. Serangan ke atas Gaza yang bermula dua minggu lalu menunjukkan satu lagi contoh bagaimana Israel akan berbuat apa sahaja yang disukainya. Seperti biasa juga, alasan yang diberikan adalah demi ‘mempertahankan diri’. Tiada siapa yang menanyakan hak rakyat Palestin untuk hidup. Apakah dengan menyerang pejabat Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniyeh dan membunuh dan Ahmad Jabari sebahagian daripada usaha mempertahankan diri?
Israel sebenarnya mahu menghantar mesej pada Presiden Barack Obama bahawa “kami tidak perlu mengikut cakap kamu.” Atau amaran pada Obama bahawa Israel tidak menghormati sesiapa dalam konteks menangani jiran-jirannya. Obama yang dilantik semula sebagai Presiden AS antara lain kerana sokongan lobi Yahudi yang kuat, tidak akan mengecam tindakan Israel. Pada waktu yang sama AS meminta Mesir menggunakan ‘pengaruhnya’ di rantau itu untuk menenangkan keadaan. Apakah pula ‘nasihat’ AS terhadap sekutunya, Israel?

Kebangkitan ‘Arab Spring’

Kali ini tindakan Israel membawa implikasi yang jauh lebih berbahaya. ‘Arab Spring’ telah memberikan nafas demokrasi baru di negara-negara Arab. Kemarahan anak-anak muda kali ini tidak mampu dibendung oleh kerajaan baru yang lebih demokratik dan terbuka. Kita semua tahu Palestin adalah punca utama kemarahan orang Islam terhadap Israel dan AS. Sikap radikal di kalangan anak-anak muda Islam dicetuskan sebahagian besarnya oleh isu Palestin.

Tidak ada seorangpun Presiden AS yang sehingga ini dapat menyelesaikan masalah Palestin. Harapan umat Islam pada Obama nampaknya terlalu tinggi. Kita semua tahu siapapun di Rumah Putih tidak akan mengubah dasar AS terhadap Israel. Nampaknya untuk empat tahun lagi, rakyat Palestin akan terus menderita. Sebahagian besar daripada mereka menjadi pelarian di negara orang – tanpa negara, tidak dikehendaki dan hanya menjadi statistik dalam bentuk jumlah pelarian. Selepas Obama? Keadaan mungkin lebih buruk. Jikalau Obama tidak dapat mengekang keganasan Israel, tiada siapa lagi yang boleh berbuat demikian.

Tidak lama dahulu seorang penulis sejarah berbangsa Yahudi menulis buku Hitler’s Willing Executioners: Ordinary Germans and the Holocaust. Menurut beliau, bukan Hitler dan anggota Parti Nazi sahaja yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan kaum Yahudi sewaktu Perang Dunia Kedua. Rakyat Jerman seluruhnya ‘turut bertanggungjawab’.

Apakah agaknya teori beliau terhadap kekejaman kerajaan Israel hari ini terhadap rakyat Palestin? Tidakkah seluruh rakyat Israel sepatutnya ‘bertanggungjawab’? Bukankah mereka juga pada masa ini ‘willing executioners’ seperti juga tuduhan yang beliau lemparkan ke atas seluruh rakyat Jerman sewaktu pemerintahan HitlerOleh Johan Jaffar

Tiada ulasan:

PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut