Tiada dakwaan rasuah atau penyelewengan isu balak di Papua
|
ALOR
SETAR – Masih belum terdapat dakwaan rasuah mahupun penyelewengan
terhadap kegagalan projek pembalakan di Papua New Guinea yang ditegur
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.Pengerusi Jawatankuasa Industri
dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani,
Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, sekiranya terdapat
dakwaan membabitkan rasuah dan penyelewengan, kerajaan negeri tidak
akan melindungi mereka yang bersalah.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah masuk dan
sebahagian besar fail bukan di tangan kita (kerajaan), telah diberi
kepada SPRM.
“Ingin saya tegaskan di sini, sekiranya ada terbabit apa-apa dengan
rasuah, kita terbuka untuk dibawa ke muka pengadilan,” jelas beliau
ketika menjawab soalan lisan yang dikemukan oleh YB Dato’ Dr Ku Abdul
Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak).
YB Dato’ Dr Ku Abdul Rahman mahukan penjelasan apakah tindakan
kerajaan negeri terhadap kegagalan ini dan juga kepada pihak pengurusan
yang terlibat.
Dalam laporan audit, penemuan mendapati kedudukan kewangan Kedah
Corporation Berhad (KCB) adalah lemah kerana mencatat kerugian pada
tahun 2008 hingga 2010, yang mana kerugian dialami akibat daripada
kerugian yang ditanggung dalam projek pembalakan di Papua New Guinea.
Menurut YB Dato’ Ir Amiruddin, jumlah RM134 juta yang disebut dalam
Laporan Ketua Audit Negara 2011 itu merupakan jumlah pinjaman dibuat
oleh KCB dengan firma Capital Investment Agency yang berpusat di London.
Pinjaman tersebut bagi membiayai pengambilalihan 70 peratus
kepentingan dalam MAS Incorporated (PNG) Ltd yang memperolehi kawasan
pembalakan di negara Papua New Guinea.
“Setelah melihat perkembangan usaha untuk majukan projek ini tak
berkesudahan, terlalu banyak kewangan perlu diletakkan untuk memastikan
ia berjalan, maka lembaga pengarah memutuskan untuk hentikan projek
ini.
“Berlakunya kegagalan projek ini adalah disebabkan pelaksanaan projek
yang banyak dipengaruhi maklumat-maklumat yang tidak betul dan
disembunyikan oleh pemegang asal saham (MAS Incorporated),” jelas
beliau.
Bagi menjawab soalan tambahan YB Dr Leong Yong Kong (BN-Gurun)
mendakwa sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan
sejak Mac 2008, banyak penyelewengan didedahkan.
“Tahun kita (PR) memerintah masih tiada kes-kes rasuah dan penyelewengan dikemukan dan dibuktikan oleh SPRM,” ujar beliau. |
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan