Detikdaily

Ahad, 26 Februari 2012

Kedah : BN tandus isu lawan PAS

TANPA kontroversi mahupun terseret ke kancah pertikaian berpanjangan. Segalanya seperti nampak mudah kepada PAS Kedah menghadapi serangan BN dari segenap penjuru. Banyak kali juga dilihat BN meludah ke langit dan menghambur isu seumpama buih di pantai. Dari satu sudut lain, perlu juga dilihat kepada penerangan PAS Kedah itu sendiri dalam mengemukakan keupayaan pentadbirannya untuk terus meraih sokongan pada PRU13.

Ikuti temubual Wartawan Kedah, IZWAN ABDUL HALIM bersama Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung peranan penerangan membantu mengekalkan kemenangan di Kedah.

WARTAWAN: Bagaimana peranan penerangan dalam membantu usaha mengekalkan kemenangan PAS di Kedah?




MUHAMMAD SANUSI: Kami amat menyedari bahawa Lajnah Penerangan, Dakwah dan Media Baru yang dibentuk di peringkat Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah menggalas tanggungjawab yang sangat besar. Kita serba kekurangan dari segi prasarana penerangan berbanding saingan politik kita. Kita menghadapi jentera penerangan BN yang datang dari semua penjuru media, jabatan,agensi kerajaan yang dieksploitasi, dan aktiviti parti mereka setiap masa.

Di samping memberi jawapan dan reaksi kepada propaganda parti lawan, kita perlu membentangkan pencapaian kita selama menjadi kerajaan.

Jika dulu ahli dan pengundi mahu dengar pandangan pemimpin PAS terhadap sesuatu isu, tapi sekarang mereka mahu tahu perihal yang kita buat dan setakat mana pencapaian kita.

Ini yang lebih utama dan secara asasnya, inilah peranan Lajnah Penerangan sekarang dan di masa akan datang.

Dalam keadaan demikian, tentulah tugas dan skop kerja lajnah penerangan makin bertambah. Penerangan PAS Kedah telah merangka plan tindakan bersepadu untuk memastikan rakyat Kedah khususnya mendapat maklumat tepat dan cepat tentang setiap yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Fokus kami ialah memastikan semua aktiviti dan pencapaian kerajaan negeri diketahui oleh rakyat sepantas yang mungkin, di samping memastikan rakyat memahami sesuatu isu dari perspektif yang betul.

Betul dalam erti kata rakyat membuat pendirian terhadap sesuatu hal dengan maklumat yang lengkap, dan betul dari sudut syariat. Selain itu, penerangan juga memikul tugas dakwah.

Alhamdulillah, setakat ini, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri telah dapat berfungsi dengan baik untuk menghebahkan aktiviti dan pencapaian kerajaan, dan Lajnah Penerangan telah dapat menyusun program-program penerangan sekerap yang boleh.

Kita memantau pada setiap masa untuk pastikan program penerangan di peringkat dewandewan dan kawasan-kawasan juga bergerak aktif, malah ke peringkat organisasi parti yang paling bawah.

Kita juga bertanggungjawab menentukan isu “local” dan nasional yang penting untuk utarakan di dalam programprogram penerangan. Kita juga berperanan mencari jawapan penjelasan segera terhadap isu yang berbangkit baik oleh parti lawan ataupun akibat daripada peristiwa yang tercetus.

Bagaimana pula isu-isu yang dimainkan BN dan usaha menanganinya?

Sebenarnya BN tidak ada isu di Kedah. Pernah mereka cuba beberapa kali mengada-adakan isu seperti isu perumahan awam, isu air, isu balak dan beberapa isu lain tetapi tidak berjaya mempengaruhi rakyat. Seluruh rakyat tahu setiap perkara yang mereka bangkitkan adalah berpunca daripada kelemahan dan kesilapan masa lalu ataupun ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Di hujung jalan cerita mereka, mereka akan temui muncung meriam yang sedang menghala kepada mereka sendiri.

Contohnya isu kenaikan tarif air, mereka mendakwa ia adalah keputusan kerajaan negeri, dan mula menyerang pelaksanaan itu dengan berbagai-bagai dakwaan.

Tetapi bila didedahkan bahawa ia adalah kehendak Kerajaan Persekutuan, malah diputuskan dalam mesyuarat kabinet dan diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Warta Jilid 54, No. 20, bertarikh 1 Oktober 2010, P.U (A) 332 di bawah tajuk Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi melaksanakan Akta 655 yang diluluskan di Parlimen, mereka mula gelabah.

Malah Perlembagaan Persekutuan telah dipinda oleh tangan-tangan mereka sendiri pada tahun 2005 lagi untuk melaksanakan perkara ini. Kita bersedia mendedahkan lebih banyak maklumat termasuk langkah mereka memilih untuk berhutang daripada pusat untuk melaksanakan projek-projek besar bekalan air walaupun mereka mempunyai pilihan lain pada waktu itu.

Akibatnya kita terpaksa memikul beban hutang bekalan air sahaja yang mencecah RM1.9 bilion. Demikian dalam isu perumahan awam kos rendah yang berhadapan bayaran tertunggak yang terlalu tinggi.

Kita tahu siapa di belakang senario tunggakan ini dan kenapa ia dibiarkan berlaku.

Penjelasan dan penerangan kita berjaya meyakinkan rakyat bahawa kerajaan bertindak di atas landasan yang betul untuk memastikan penghuni melaksanakan tanggungjawab mereka. Ini terbukti apabila kutipan telah meningkat berlipat kali ganda yang dapat digunakan untuk membayar pinjaman daripada pusat dan melaksanakan lebih banyak projek yang berkaitan.

Demikian juga isu tanah di Padang Terap yang berlarutan sejak puluhan tahun. Ia bukan baru berlaku setahun dua ini.

Ia telah melalui proses perbicaraan di mahkamah dan sudah ada keputusan mengenainya. Cubaan-cubaan mereka membangkitkan sentimen di kalangan penduduk dalam hal ini hanya mendedahkan kesilapan masa lampau dan menikam diri mereka sendiri pada hari ini.

Kita bersimpati dengan penduduk yang terbabit walaupun kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki kesilapan masa lalu.

Antara lain mereka bangkitkan isu balak yang kononnya bukit- bukit menjadi gondol dan berlaku banjir lumpur di Sik satu ketika dulu.

Apabila kita tunjukkan bukti bahawa ia adalah kawasan balak yang diluluskan pada zaman mereka menjadi kerajaan, mereka hilang punca.

Saya difahamkan masih terdapat banyak kawasan yang diluluskan sebelum 2008, malah sejak tahun 2005 yang masih belum ditebang. Mereka juga cuba kaitkan kerajaan sekarang dengan skandal balak sedikit masa lalu. Kita telah tunjukkan dengan jelas perbezaan ketara hasil industri pembalakan dulu dan sekarang. Sebelum 2008, hasil sektor ini kepada kerajaan hanya sekitar RM 7 juta hingga RM 8 juta, tetapi dengan keluasan yang sama kita berupaya mencapai sehingga RM53 juta. Apakah dengan angka ini, orang ramai boleh percaya bahawa kita berwewenang untuk mengaut laba demi kepentingan diri dan parti kita melalui industri ini?

Apakah pergerakan jentera penerangan di semua peringkat telah mencapai keberkesanan yang saudara harapkan?

Saya berbesar hati dan berterima kasih kepada kepimpinan jentera penerangan di semua peringkat yang bekerja keras menyusun program-program penerangan.

Walaupun menghadapi banyak cabaran dan rintangan terutama sumber kewangan yang terhad dan peningkatan permintaan terhadap “tokoh-tokoh besar” yang semakin tinggi, petugas kita berupaya mencari jalan penyelesaian.

Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada penceramah-penceramah dari seluruh negara, terutama kepimpinan tertinggi PAS yang tidak jemu-jemu datang membantu kami di Kedah, di samping tenaga dalam negeri yang sentiasa memberikan kerjasama penuh.

Perbandingan dan pendedahan yang dibuat dalam majlis-majlis penerangan telah banyak membantu melancarkan aliran maklumat dan meningkatkan kefahaman ahli untuk terus berjuang. Program kita juga telah membuka mata banyak pihak dalam isu-isu yang berlaku saban hari, dan saya yakin ia dapat meningkat sokongan rakyat kepada PAS di Kedah.

Saya sangat berpuas hati dengan keupayaan petugas, ahli dan penyokong menguasai kaedah-kaedah baru penerangan disamping meneruskan kaedah tradisi PAS melalui ceramah dan perjumpaan. Walaupun begitu, masih banyak perkara yang boleh dan perlu dilakukan oleh jentera penerangan di semua peringkat. Keperluan untuk melipat gandakan program penerangan amat mendesak di saat-saat ini menjelang PRU-13, berbanding tenaga dan masa yang kita ada.

Bagaimana pula PAS Kedah akses atau menguasai medium-medium penerangan termasuk media baru?

Kita perlu mengakui bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna akaun Facebook ketujuh tertinggi di dunia berbanding populasi. Hal ini tidak boleh dianggap remeh dan mudah. Buat masa ini saya dapat melihat perkembangan positif penerangan PAS dalam media baru khususnya di Facebook dan blog yang dikendalikan oleh jentera penerangan, ahli dan penyokong.

Untuk menghadapi perkembangan yang sangat pantas dalam medan ini, kita telah mewujudkan rangkaian dan jaringan yang mantap di semua peringkat dan usaha menggalakkan penglibatan lebih ramai pimpinan dan ahli sentiasa dilakukan. Malah, melalui penguasaan media baru, saya percaya kita berjaya mewujudkan gelombang yang akan menumbangkan BN dalam PRU13.

Penerangan PAS Kedah sangat menyedari bahawa pengundi muda sekarang lebih bergantung dengan sumber maklumat melalui medium ini berbanding propaganda BN di media tradisi yang hanya berkesan kepada pengundi berumur lebih 40 tahun. Alhamdulillah, buat masa ini kita berupaya menyalurkan maklumat yang pantas dan tepat, khususnya kepada “Generasi Y” dan kita berazam akan terus mengekalkan kecekapan jentera dan ahli untuk menguasai bidang ini

Serangan ke atas Kedah lumrah politik

Pelbagai serangan dan isu mutakhir ini ke atas Negeri Kedah khususnya terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak adalah cabaran dalam lumrah berpolitik, demikian menurut Setiausaha PAS Kawasan Jerai, Muzaini Azizan.

Ujar beliau, pihaknya penuh yakin dan percaya, semua cabaran ini mampu dihadapi sebaik mungkin sebagaimana keupayaan yang telah dibuktikan oleh Ustaz Azizan sepanjang hampir empat tahun menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah

Bahkan katanya, segala pencapaian Kedah sejak 2008 adalah petunjuk kepada komitmen bersama seluruh pendokong PAS, KeADILan dan DAP serta rakyat negeri ini terhadap kepimpinan Ustaz Azizan.

Demikian itu ujarnya, semua agenda yang telah, sedang dan akan dilaksanakan atas tema “Kedah Sejahtera” perlu terus dilangsungkan demi kesejahteraan semua.
Menurutnya, semakin hampirnya Pilihan Raya Umum Ke-13, PAS Kawasan Jerai amat menyedari betapa komponen Barisan Nasional akan saling berpadu mengancam, memanipulasi serta memperalat pelbagai pihak dan medium untuk mengeliru serta menjejaskan sokongan rakyat kepada PAS, KeADILan dan DAP.

“Sehubungan itu, seluruh pendokong Pakatan Rakyat diseru meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan sedemikian agar tidak terperangkap dalam polemik yang dicipta hingga boleh meretakkan hubungan antara PAS, KeADILan dan DAP.

Sebaliknya, penjelasan berhubung sesuatu isu perlulah didapatkan dari mereka yang berautoriti. Tumpuan dan fokus kini harus diberi sebaiknya dalam meneguhkan sokongan rakyat seterusnya memastikan pentadbiran yang sedang diterajui kini dapat dipertahankan,” ujarnya.
Tegas beliau, PAS Kawasan Jerai sentiasa menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Ustaz Azizan yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah dan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai.

Khamis, 23 Februari 2012

Pas: Semua harus jamin keselamatan Palestin


SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian parti itu dengan menegaskan, keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama dan mahu semua pihak memberi jaminan keselamatan daripada kebiadapan rejim Israel.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata, parti itu mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional (BN), yang terus berurus niaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel ketika rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan.


Katanya, Pas akan terus bersama "darah, air mata dan derita rakyat" di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka.

Malah katanya, bagi parti itu, apa jua perancangan masa depan negara Palestin hendaklah mengambil kira pendirian Hamas yang telah menerima mandat rakyat.

"Seperti yang ditegaskan Murshidul Am Pas, Pas sekali lagi ingin menegaskan pendirian parti bahawa kita tetap bersama rakyat di Palestin yang berjuang bagi mendapatkan balik hak negara mereka yang telah dirampas oleh rejim Israel," kata beliau dengan merujuk kepada pertemuan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, kelmarin.

Anwar menemui Nik Abdul Aziz bagi menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal, bulan lalu.

Pertemuan itu turut disertai Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga menolak 'road map' yang ditaja oleh kuasa Barat dan mana-mana pihak yang terlibat, yang sedang memaksa pelan penyelesaian ke atas rakyat Palestin dan seluruh dunia.

Dalam kenyataannya semalam, Nik Abdul Aziz menegaskan, adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa jua bentuk hubungan.

Menteri Besar Kelantan berkata, beliau berpandangan bahawa Anwar memahami pendirian Pas yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin.

"Oleh kerana itu tidak berbangkit Pas telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat," katanya.

Sehubungan itu kata Nik Abdul Aziz, beliau yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Sumber : Sinar Harian


Rabu, 22 Februari 2012

Perwakilan UMNO 2010 mengakui PASTI lebih baik daripada KEMAS


Ceramah DSAI di Kluang di Sabotaj!

Ceramah DSAI di Kluang di bawah Parlimen Sembrong iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Jelas menampakkan Sabotaj dari individu tak dikenali, Kereta DSAI juga dipecahkan cermin serta dihentak keretanya sehingga kemek. Saksikan ceramah beliau dan babak-babak kedengaran bunyi cermin kereta beliau dipecahkan. Marilah kita sama-sama mendoakan beliau supaya teguh dengan perjuangan bersama rakyat walaupun ditempa berbagai-bagai ujian.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta





Sumber omakkau.blogspot.com

Isnin, 20 Februari 2012

Isu Syria - Kebangkitan Rakyat!


Kebangkitan Syria menyaksikan 40000 rakyat Syria mati dan berpuluh ribu lagi cedera dalam revolusi melawan pemerintah yang sangat kejam.
Isu Syria – 40000 Rakyat Mati Dibunuh dan Dirogol Pemerintah!

Apakah Sebenarnya yang terjadi di Syria sehingga Liga Arab memboikot kerajaan Syria?

Alhamdulillah hari ini saya diberi kesempatan untuk mendengar tentang bagaimana revelosi Syria berlaku dan apakah kekejaman yang telah dilakukan oleh kerajaan Syria ini.

Yang memberi taklimat atau talk tentang revolusi Syria ini ialah Syeikh Hassan Al-Hindawi.

Beliau telah di hantar oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawidalam misi menjelaskan apakah yang sebenarnya berlaku di Syria.




Mengapa Syeikh Hassan Al-Hindawi dihantar oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi?

1) Gambaran tentang Syria agak tidak jelas bila dijelaskan oleh media-media terutamanya media antarabangsa. Jadi, beliau dihantar bagi menjelaskan apakah sebenarnya yang berlaku di Syria.

2) Media-media barat sebenarnya tidak mahu manusia dunia tahu akan apakah sebenarnya yang berlaku di Syria. Lalu mereka media barat telah putar belitkan fakta.

3) Syeikh Khalid bercerita, ketika beliau di Indonesia dan bertemu dengan seorang teman. Teman itu berkata dia lihat di surat khabar bahawa ramai orang menyokong Kerajaan Syria. TV di Indonesia juga menyiarkan bahawa ramai yang menyokong Kerajaan Syria yang dipimpin oleh Basyar Asad. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, kerajaan Syria telah mengumpulkan pegawainya supaya berkumpul dalam erti kata lain mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Basyar Asad ini mempunyai ramai yang menyokong beliau.

4) Jangan terpedaya dengan keyataan2 yang kita dengar dari ahli intelektual Syria dan ahli politik Syria bahawa yang Syria menentang Israel. tapi, sejak zaman ayah Basyar Asad lagi tidak ada SATU PELURU PUN yang singgah ke tanah Israel. Bahkan tanah Tinggi Golan yang terletak di tanah Syria telah dikuasai oleh Israel.



Punca Revolusi

Puncanya bila ada sekumpulan kanak2 dalam 28 orang bermain2 dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka.

Apa yang ditulis oleh kanak2 ini ialah RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN. Slogan ini telah dilaungkan dinegara-negara yg berrevolusi.

Apabila tahu pasal ini, pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak2 ini. Mereka telah disiksa dengan cara mencabut kuku2 kaki dan tangan mereka.

Salah seorang kanak2 itu telah meninggal dan keluarga minta mayat kanak2 itu serta meminta kanak2 yang lain dilepaskan.

Kerajaan telah meletakkan syarat dimana bila mahu lepaskan kanak2 itu, mereka perlu memberi wanita2 di kalangan mereka untuk dinikahi oleh puak2 kerajaan ini.

Perkara ini merupakan sesuatu yang menghinakan.

Lantas berlakulah revolusi di Syria.



Kemarahan Rakyat Syria

1) Kebangkitan rakyat bermula 8 bulan yang lepas.
2) Jumaat lepas, labih 3 JUTA rakyat Syria keluar berdemo.
3) Kini, kesemua rakyat Syria keluar berdemo. Mereka mahukan kebebasan. Selama 42 tahun mereka tidak mendapat hak kebebasan.
4) Rakyat minta supaya Allah diletakkan pada tempatnya, mahukan kebebasan, dan supaya jaga tanah air dengan seeloknya.
5) Rakyat Mahu Presiden Dihukum. Itu antara slogan yang dilaungkan sekarang keranapresiden Syria telah banyak membunuh rakyatnya.




Kekejaman Kerajaan Syria (Presiden Basyar Asad)

1) Dalam masa 42 hari telah mati seramai 40 000 orang rakyat Syria. Ini serius kejam.

2) 39000 orang Syria telah cedera. Mereka TIDAK dirawat dan dibiarkan sahaja.

3) Bunuh 19 orang doktor Syria di hospital dan 40 orang pesakit Syria di hospital.

4) 9000 tahanan ditahan.

5) 413 orang telah syahid didalam penjara.

6) Wanita2 diculik dan dibawa ke tempat yang tak diketahui. Wanita-wanit ini DIROGOLdi hadapan abang2, ayah, anak2 dan ahli keluarga mereka. Sebelum dirogol, mereka digari terlebih dahulu.

7) Seorang ukhti, bernama Zainab Al-Husni. Beliau telah ditangkap dan dia mahu diperkosa oleh tentera yang menangkapnya. Tetapi beliau melawan. Lantas beliau dibunuh dan telah dipotong 4 KERAT. Anggota badan yang di kerat itu dimasukkan ke dalam plastik, lalu dicampakkan ke hadapan keluarga beliau. INI SERIUS KEJAM!

8 ) Mengucapkan takbir merupakan sesuatu yang tidak disukai.

9) Menyuruh tukar La ilahaillah kepada La ilah illah Basyar Asad. INI SERIUS SESAT!



Berita Baik



1) Masa depan kebangkitan ini begitu baik. ia berterusan dan semakin kukuh. Lebih 30 000 tentera yang terdiri dari pegawai telah bersama rakyat. Mereka ini telah melindungi orang2 yang turun berdemo. Mereka tidak tahan melihat kekejaman rejim Basyar Asad ini yang sesuka hati membunuh rakyatnya sendiri.

2) Pertubuhan2 Arab telah ambil pendirian untuk tentang apa yang telah Syria lakukan tehadap rakyatnya. Mereka tidak benarkan pegawai2 Syria untuk memasuki tanah mereka. Tapi ada duanegara yang tidak berpendirian sedimikian iaitu Iraq dan Lubnan.

3) Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang terbunuh dalam keadaan yang sebegini adalah seorang yang SYAHID.

4) 95% ulama’ Syria telah bersama dalam kebangkitan rakyat ini.


Ini sahaja yang mampu saya beritahu perihal apakah sebenarnya yang berlaku di Syria sana. Oleh Irfan Masiri Islamic Theology and Phylosophy | Group Usrah HRM


Khamis, 2 Februari 2012

Konsep al-wasatiyyah

Mutakhir ini perkataan al-Wasatiyyah diwar-warkan, menggantikan slogan Islam Hadhari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan Sayyidina Ali K.W.

كلمة حق أريد بها باطل
(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)

Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.

Firman Allah (maksudnya):

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: 143)

Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah (الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.

Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan maksud boleh dikumpulkan benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.

Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.

Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam.

Firman Allah (maksudnya):

Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.(Surah al-Baqarah: 42)

Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.

Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau dikurangkan.
Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga, bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.

Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat, mengikut perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan berdosa besar atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan. Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah al-Fatihah) atau ulama jahat.

Firman Allah menunjukkan adanya kalangan ulama seperti ini (maksudnya):

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.
Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.
Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.(Surah al-A’raf: 175-177)

Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit ayat-ayat Allah.

Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut ilmu-ilmu yang berkait dengannya iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.

Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):

Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) المائدة
(Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah, kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang kamu lakukan). (Surah al-Maidah: 8)

Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang pertama menjadi contoh Ummatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini ditolak dengan tegas, sabdanya :
يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته .
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 474)
(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya).

Al-wasatiyyah dalam agama dan sistem cara hidup

Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing, sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat dengan mengadakan hukum yang tidak diizin oleh Allah.

Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta menyanjung para sami seperti Tuhan. Islam berada ditengah-tengah penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi. Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang dan makhluk yang lain.

Berdasarkan firman Allah (maksudnya):

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.(Surah al-Israk: 70)

Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.

Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut hawa nafsu.

Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara sekularisme.

Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak, dengan menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.

Meletakkan batas sempadan perkara-perkara kemampuan manusia dan di luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat, kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi Makkah.

Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.

Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib menunaikan kewajipan bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain.

Firman Allah (maksudnya):

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.(Surah az-Zariyat: 19)

Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah (maksudnya):

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.(Surah al-Israk: 29)

Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang mengharamkan paderi dan saminya berkahwin seperti malaikat dan ajaran yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan, nafkah dan perceraian.

Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan keharmonian kehidupan mereka.

Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman dengan panduannya.

Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa, perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia, kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai kemenangan.

Firman Allah (maksudnya):

Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.(Surah al-Baqarah: 190)

Islam mendahulukan perdamaian

Firman Allah (maksudnya):

Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin.(Surah al-Anfal: 61-62)

Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan tidak melampau apabila bertindak.

Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi masalah baru yang bertalu-talu.

Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara terpilih atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan kebaikan yang tidak sempurna membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
PANDANGAN DALAM LAMAN INITIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER DAN PAS KAWASAN KUBANG PASU)Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan.(Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)

Pengikut