Headlines News :
Home » » Setahun Mukhriz dan BN Kedah sangat teruk!

Setahun Mukhriz dan BN Kedah sangat teruk!

Written By zabidi on Wednesday 28 May 2014 | 13:49

OLEH ZULKIFLI YAHAYA 

PADA masa Pakatan Rakyat memerintah Kedah, Menteri Besarnya Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak menekankan keperluan mengekalkan Kedah sebagai penghasil utama bekalan beras negara. Penguatkuasaan yang dilakukan ialah tiada pembukaan kawasan industri mahupun perumahan di atas tanah sawah padi.

 Di kala itu bekalan beras dari Kedah yang disumbangkan untuk keperluan rakyat Malaysia sudah tinggal 44 peratus.Agak mengejutkan apabila, selepas setahun BN mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan, negeri Jelapang Padi ini hanya mampu menghasilkan 30 peratus bekalan beras dalam negara. Kemerosotannya sangat besar.

Apakah BN prihatin terhadap isu yang melibatkan makanan asasi rakyat Malaysia ini? Jawapannya tidak!

Buktinya, meskipun BN sedar bahawa hasil beras dari Kedah merosot teruk akibat kegagalan mereka namun mereka meneruskan kerja rakus memusnahkan tanah sawah atas nama pembangunan.
Hampir genap setahun pemerintahan Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir, beliau mengumumkan penerusan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dimulakan oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid dahulu.

Mungkin ramai yang sudah lupa bahawa Ustaz Azizan sebaik mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 10 Mac 2008, Almarhum telah membatalkan projek ZIPY yang dirancang dalam kawasan sawah padi seluas 4,300 ekar di Yan. Kalau nak buat boleh tapi jangan korbankan kawasan sawah padi. Maka diubahlah rancangan ZIPY menjadi SULIHH yang tapaknya adalah di dalam laut.
Setahun pentadbiran BN Kedah,penuh dengan kegagalan. Mukhriz menjadi menteri besar yang paling teruk pernah dilahirkan di Kedah.

Sentuhannya serba tidak menjadi. Wibawanya hanyalah palsu, tidak lebih daripada menumpang status anak bekas perdana menteri.

Jika Mukhriz mahu dinilai prestasi berasaskan pencapaiannya, maka beliau hanya layak menerima satu bintang. Satu bintang tersebut adalah kejayaan melaksanakan projek- projek Pusat di negeri.

Misalnya projek UTC, perumahan rakyat dan sebagainya. Rakyat tidak nampak projek besar yang dibuat atas nama negeri dan dengan menggunakan dana negeri. Jangankan hendak membuat yang baharu gagal, yang telah diasaskan oleh kerajaan terdahulu pun gagal disambung walaupun projek dirancang penuh kebaikan.

Semua tahu, bahawa Mukhriz gagal menguruskan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan baik sekalipun kampus induk dan kemudahan yang ditinggalkan begitu cemerlang sekali. Sekejap arah berpindah ke kampus asal yang sempit di Mergong dan sekejap berpindah balik ke kampus induk.
Kakitangan dan pelajar yang jadi mangsa.

Mukhriz didakwa berbohong dalam isu pembelian kereta baharu untuk Menteri Besar Kedah. Kenyataan yang dibuat kononnya untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, walhal plet kereta terangterangan tertera perkataan ‘Menteri Besar Kedah.’

Barisan Exco kerajaan Negeri juga tidak dapat menahan nafsu, menukar kereta rasmi daripada Camry ke Perdana baharu, walaupun kereta yang ditinggalkan Exco terdahulu masih elok. Walhal sewaktu kerajaan dahulu menukar kereta baharu akibat kereta lama sudah terlalu uzur, BN sebagai pembangkang di kala itu menentang keras.

Mukhriz juga gagal mengawal pembalakan yang berjalan dengan rakus sekali terutama di daerah Padang Terap, Baling dan Sik. Hutan digondolkan tanpa belas kasihan seolah- olah hutan tidak menyumbang apa-apa terhadap kestabilan alam.

Mukhriz juga gagal mengawal pertambahan pusat-pusat hiburan.

Rakyat Kedah tidak perlu ke Danok atau Hadyaai untuk berhibur, di Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim - pusat hiburan bersepah-sepah. Ia menjadi tempat menjahanamkan akhlak anak-anak muda.

Dahulu, merekalah kononnya paling anti dengan pusat hiburan. Bila dah dapat kuasa, yang haram menjadi halal.

Tidak cukup dengan maksiat dari dalam negeri, pelopor program hedonism melampau dari luar juga dibenarkan dibawa masuk sekalipun dibantah oleh umat Islam setempat.

Kumpulan penyanyi separa bogel KPop dibawa masuk dari Korea dalam konsert UEPE yang diadakan di Sungai Petani.

Kerajaan pimpinan Mukhriz dengan murah hati ‘bersedekah’ kepada Astro yang menganjurkan Program Maharaja Lawak Mega sebanyak RM200,000. Jumlah tersebut terlalu besar untuk rakyat Kedah yang miskin tetapi BN menghabiskannya untuk orang ramai bergelak ketawa.

Mukhriz juga telah membuat keputusan tidak wajar dalam isu pembalak menyaman anak syarikat kerajaan negeri, apabila bersedia menerima penyelesaian di luar mahkamah sekalipun kes tersebut hampir pasti dimenangi oleh pihak kerajaan negeri. Akibatnya kerajaan negeri kerugian RM2.5 juta.

Mukhriz turut gagal mengurus sembilan buah Maktab Mahmud yang selama ini diurus oleh kerajaan negeri dengan menyerahkan kelolaannya kepada Kementerian Pelajaran di bawah pentadbiran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Tidak dinafikan Mukhriz bijak kerana berjaya menyelamatkan duit negeri sebanyak RM26 juta yang selama ini membiayai Maktab Mahmud tersebut. Lepas ini Pusat yang tanggung. Cuma soalnya, ke mana perginya RM26 juta tersebut?

Mukhriz juga gagal merealisasikan pembinaan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi yang dicetuskan idea penubuhan dan pembinaannya oleh Ustaz Azizan. Khabarnya projek tersebut dibatalkan terus. Entahlah, mungkin kerana bagi Mukhriz pelaburan di bidang pendidikan adalah ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’ Mukhriz juga dikaitkan dengan keputusan tidak wajar apabila melantik Pengarah Urusan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang dikaitkan dengan siasatan salah laku.

Mukhriz juga dipersalahkan kerana gagal membentuk sebuah kepimpinan kerajaan negeri yang benar-benar berwibawa dan berkelayakan.

Ramai Exco yang tidak selayaknya menjadi Exco berdasarkan tahap pendidikan.

Kegagalan paling besar Mukhriz selaku Menteri Besar ialah pembelaan terhadap penderitaan hidup rakyat, khususnya penoreh getah yang terbeban dengan kejatuhan harga getah serta peningkatan kos hidup. Kepimpinan kerajaan negeri Kedah seolah-olah tidak tahu langsung cara untuk menanganinya. Terlalu banyak kegagalan

Mukhriz dan kepimpinan BN Kedah untuk disenarai dalam ruangan yang terhad ini. Apa yang nyata adalah Mukhriz gagal! Negeri Kedah boleh lingkop jika Mukhriz dan kepimpinan BN terus menerajui kerajaan negeri Kedah.
Share this article :

1 comment:

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU