Headlines News :
Home » » 'Walau baru sehari, saya amat rindukan dia...'

'Walau baru sehari, saya amat rindukan dia...'

Written By Editor Bebas on Sunday 15 February 2015 | 15:55

PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.

Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG di kediaman beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.

“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.

Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.

(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di kediamannya).

Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.

Tiada istilah mahukan ‘privacy’ dalam kamus hidupnya. Walaupun wartawan sentiasa menerjahnya tidak kira di mana, termasuk di kediamannya di Pulau Melaka. beliau akan melayan mereka.

Beliau juga tidak pernah amalkan ungkapan 'off the record' (tidak boleh siar) walaupun perkara yang dijawabnya agak kontroversi.

Apa yang diucapkan nampak datangnya dari hati, tanpa nampak sebarang percubaan untuk menyembunyikan sesuatu. Kadang-kadang kenyataan beliau menjadi bahan untuk dikritik,  namun  beliau tidak pernah memulaukan wartawan atau media terbabit, tetapi hanya membiarkan ia berlalu.

Umum mengetahui beliau seorang pemimpin sederhana.
Pada suatu hari semasa  masih menjadi menteri besar, wartawan menunggu di depan rumahnya di Pulau Melaka, beliau  tiba dengan membawa dua bungkus nasi.

“Minta maaf la, ambo (saya) rasa nak makan nasi bungkus, tadi ke pasar di Bachok. Cukuplah untuk dua orang (bersama isteri), ” katanya sambil menguntumkan senyum kepada wartawan.

Oleh kerana rumahnya terbuka dan tidak berpagar, ia sering kali dikunjungi pelawat mahupun peminta sedekah.

Sering kali diperhatikan walaupun penat seharian menjalan tugas beliau cuba sedaya upaya melayan pelawat atau peminta sedekah sebaik mungkin.

Lima tahun saya berkhidmat dengan Sinar Harian di Kelantan, ada beberapa kenangan dengan Tok Guru, yang membuat pemergian beliau cukup terkesan, terutama apabila menyaksikan betapa teguhnya pendirian beliau dalam meneruskan perjuangan walaupun sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian.

Beliau tidak pernah menjadikan kanser yang dihadapinya sebelum PRU13  itu penghalang untuk berdakwah sehingga ke akhir hayat walaupun terpaksa membawa kantung air kencing ke hulu ke hilir.

Rumah saya tidak jauh dari rumah Tok Guru dan kadang-kadang bersolat di masjid Pulau Melaka.

Biasa saya lihat dalam keadaan uzur, Tok Guru berusaha ke masjid, kadangkala terpaksa dipimpin oleh anak lelakinya Nik Omar atau pelajar-pelajar Maahad Darul Anuar yang diasaskannya.

Sepanjang bertugas di negeri ini, saya pernah mengadakan empat kali wawancara eksklusif bersama beliau dan setiap kali berjumpa saya gunakan sebaik mungkin peluang untuk bertanya isu-isu semasa, sama ada pentadbiran kerajaan negeri mahupun sebagai Mursyidul Am Pas.

Ada kalanya saya bertanya soalan yang agak sensitif dan bersifat peribadi, tetapi dijawab dengan penuh berhemah.

Dalam satu wawancara tiga hari sebelum PRU13,  iaitu tempoh akhir beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, saya bertanya mengenai jawatan yang disandangnya begitu lama sehingga mengundang kritikan banyak pihak.

Jawapan yang diberikan cukup bersahaja, antara kata-katanya yang dipetik:

“Orang pilih saya, ia bermakna orang bersangka baik pada kita. Sangka baik bukan boleh dibeli. Bila kita tolak ia bermakna kita tak menghargai. Dalam umur saya, sekali sahaja saya minta mahu jadi calon. Ketika itu zaman Pas belum bergabung dengan Umno. Saya merayu  minta nak jadi calon, sebab bila jadi calon kita akan ada nilai. Saya nak bercakap atas kapasiti YB, lepas itu saya tak pernah minta, sebaliknya parti calonkan dan saya terima,” katanya.

Beliau menambah: “Jawatan yang berat bagi saya bukan menteri besar, tetapi mursyidul am, (kerana) sebagai mursyidul, mesti ada gambaran macam Nabi Muhammad  SAW; (dari segi)  tutur kata, tidur, makan, minum, kuliah  kita akan  diperhatikan. Kalau nak tengok Nabi tengok mursyid. Tidak kira mana-mana negara atau gerakan, mursyid adalah sesuatu yang besar. Sebab itu saya merasakan jawatan itu sangat-sangat berat untuk dipikul."

Dalam satu soalan lain, saya bertanyakan adakah Tok Guru seorang pendendam kerana sering kali mengungkit kisah Umno dan Pas?

Beliau menjawab: “Saya tidak dendam, saya menerangkan kebenaran. Kita ikut keadaan. Kalau kesalahan kuat, kita tingkatkan serangan. Nabi ajar tak boleh surung (masuk) sekali kena sengat, tidak boleh sengat kali kedua,” katanya.

Di akhir wawancara, Tok Guru meminta jurufoto Sinar Harian mengambil gambar beliau bersolat jemaah di pejabatnya, tetapi tidak siapa yang menyangka ia adalah hari-hari terakhir beliau selepas menamatkan perkhidmatan 23 tahun mengetuai kerajaan Kelantan.

September tahun lalu, saya juga sempat mengadakan wawancara terakhir dengan beliau. Antara intipati yang paling besar dalam wawancara itu adalah beliau menyatakan beliau sudah reda dengan kehidupan dan rintangan yang ditempuhi dan berpesan kepada semua cucunya “atok tidak meninggalkan harta banyak, tetapi carilah bekalan ilmu  dibawa untuk menghadap ALLAH”

Saya mengikuti perkembangan kesihatan Tok Guru dari semasa ke semasa sehinggalah hari terakhir beliau meninggal dunia. Kanser yang dihadapinya sudah lama menjadi perbualan tetapi tiada siapa yang mengesahkan sehinggalah, anaknya Nik Abduh, mengiyakan  pada awal tahun lalu ketika kami menjadi saksi kepada satu kes mahkamah.

Alhamdulillah, saya juga diberi kesempatan melihat beliau di unit rawatan rapi Hospital Universiti  Sains Malaysia, walaupun melalui cermin.

Begitu juga pada malam kematiannya, saya berada di pekarangan rumahnya setelah mengetahui beliau akan dibawa balik dari hospital, namun tidak menyangka beliau akan pergi selamanya hanya sejam selepas diusung dari ambulans.

Allahuakhbar, saat diumumkan oleh sanak saudaranya, Tok Guru sudah tiada, hati berdegup kencang, air mata mula membasahi pipi, wajah Tok Guru terus terbayang.

Moga-moga Tok Guru ditempatkan ALLAH bersama mereka yang diredaiNYA. Alfatihah.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU