Headlines News :
Home » » PAS terus jadi pembangkang, tak sertai Pakatan Harapan

PAS terus jadi pembangkang, tak sertai Pakatan Harapan

Written By zabidi on Tuesday 27 October 2015 | 16:27

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan terus menjadi pembangkang tetapi tidak akan menyertai Pakatan Harapan.

Menurut Abdul Hadi, PAS akan mengambil pendekatan 'menerang' bukannya 'menyerang' antara satu sama lain.

"Hujah yang menerang tidak menyerang. Ini pendekatan yang kita ambil," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, sebarang perubahan yang hendak dilakukan mestilah berteraskan Islam yang menjadi dasar, konsep dan matlamat PAS.

Bahkan katanya, PAS tidak akan menyertai sebarang langkah yang tidak berteraskan kepada Islam kerana PAS tidak mungkin menaiki 'bas ekspress' yang tidak pasti sampai ke destinasi yang dituju.

Abdul Hadi juga menegaskan PAS mahukan proses demokrasi yang beradab dan berakhlak dalam masa yang sama tidak melupai konsep Raja Berpelembagaan dan mesti memelihara hubungan dengan masyarakat majmuk.

Justeru, ujar beliau, PAS sedia bertemu dengan kerajaan dan bersemuka dengan sesiapa sahaja di kementerian termasuk Perdana Menteri untuk kemukakan cadangan-cadangan terhadap perkara yang tidak dipersetujui PAS.

"Misalnya GST. PAS tidak setuju dengan GST dan PAS ingin mencadangkan apakah inisiatif untuk menampung hasil kerajaan selain GST.

"Kita ada cadangan cuma tak cukup masa hendak bentang di Parlimen. Termasuk penurunan nilai mata wang. Kita ada pendekatan bagaimana meningkatkan dan mempertahankan nilai mata wang kita. Kita ada cadangan," kata beliau.

Tegasnya, pendekatan inilah yang diketengahkan PAS dalam menerangkan isu-isu kerana PAS lebih mahu memelihara hubungan dengan rakyat bukan dengan Ahli Parlimen sahaja.

Turut bersama dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary.

Berikut transkrip beliau pada sidang media itu.

Wartawan:  'Bas ekspress' yang dimaksudkan itu adakah merujuk kepada Pakatan Harapan?

Tuan Guru Abdul Hadi: Itu masing-masinglah. Masing-masing boleh menilai dan faham sendiri.

Apa pandangan DS (Datuk Seri) tentang MP PAS yang tidak mengangkat placard 'mana RM2.6b' semasa bajet?

Kita ada MP yang bukan tunjuk perasaan. Saya dah sebut tadi kita jadi MP yang beradab. Membangkang dengan beradab.

Adakah kerjasama dengan Kerajaan BN berkaitan isu rakyat?

Ya, isu rakyat. Kita perlu berjumpa. Tidak cukup di Parlimen. Apa lagi ramai menteri tidak hadir ke Parlimen.

Adakah ini satu titik permulaan kerjasama dengan Kerajaan BN?

Kita punyai pengalaman yang lebih lama daripada parti lain. PAS pernah adakan kerajaan campuran tahun 1970. Ini merupakan pendekatan terbaru.

Adakah PAS akan kerjasama dengan parti lain?

Kita kerjasama dengan semua termasuk DAP, PKR dan semua. Kerjasama dalam perkara yang baik. Tak kerjasama dalam perkara yang tidak baik. Ini konsep kita.

Dengan Pakatan Harapan?

Kita tidak ada harapan...harapan. Dengan harapan yang tidak sampai destinasi. Bas ekspres nak pergi Kuantan tetapi jalan ke Kuala Lipis. Mana boleh sampai. (Gelak).

Sesi ini DS tidak masukkan notis Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan hudud?

Kita tunggu keputusan mahkamah. Ia ada kaitan dengan mahkamah kerana bukan sahaja saya termasuk Speaker, dan Timbalan dibawa ke mahkamah oleh pihak tertentu. Tidak boleh bincang pun kalau bawa ke dewan. Benda yang dibawa ke mahkamah tidak boleh bincang dalam Parlimen.

PAS tidak akan sertai Pakatan Harapan dan tidak akan bekerjasama dengan BN dari segi politik. Adakah PAS yakin sebagai parti yang boleh berdiri sendiri?

Bukan sahaja boleh, malah kita dah lama berdiri sendiri dan kita bersendirian. Kita percaya banyak parti lain bergantung dengan kita selama ini. Kita punya cawangan dan akar umbi yang kuat. Kamu saksikan sendiri. Berdemonstrasi! PAS tak ada... tak ada orang. Ini kekuatan yang ada pada kita dan kita tidak bangga dengan kekuatan ini. Dan kita tidak kerjasama dengan BN, itu tidak betul. Kita kerjasama dengan perkara yang baik. Tidak kerjasama dalam perkara yang tidak baik.

Adakah ini konsep Kerajaan Perpaduan (UG)?

Tidak, tidak. Itu sudah lama. Sudah ketinggaan sejarah. UG tahun 2008 yang saya kemukakan.

Kenapa DS membuat penegasan ini semua?

Supaya masyarakat lebih mengenali PAS. Bila tak umum, tak kenali PAS.

Pakatan Harapan tidak yakin mereka akan menang dalam PRU akan datang. Mereka merayu agar rakyat bagi sokongan kepada DAP. Apa komen DS?

Akan datang saya tidak tahu. Bagi Islam dan bukan Islam kalau mahukan perubahan mereka undi PAS. Parti PAS terbuka kepada orang Islam dan bukan Islam. Kita ada DHPP, kita ada hubungan dengan semua NGO Islam dan bukan Islam.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU